Monday, May 31, 2010

DEDAH PAYU DARA PUNCA GEMPA BUMI - ULAMA IRAN

*Gambar : Ayatullah Kazem Sadeqi (Ulama Iran).


Isu payu dara tiba-tiba 'meledak' di laman sembang Facebook, apabila seorang penulis blog wanita menggesa 'rakan sejantina' membuktikan dakwaan ulama Iran, Ayatullah Kazem Sadeqi yang berkata wanita seksi dan perbuatan mendedahkan buah dada sebagai punca gempa bumi, adalah salah.


Ketika pengguna internet melayari laman rasmi dikenali 'Boobquake', gempa bumi 6.5 skala Richter yang melanda Taiwan, mencetuskan jenaka online, di kalangan pelayar internet, apabila mereka bertanya sama ada ia adalah bukti kenyataan ulama berkenaan.


Lebih 55,000 orang menyokong laman Boobquake nukilan Jennifer McCreight yang menyifatkan dirinya seorang pejuang wanita yang lantang bersuara dan tidak beragama, menunjukkan gambar payu daranya yang besar.


“Tidak, gempa bumi Taiwan belum lagi menunjukkan kesan ketara. Jika kita dilanda gegaran pada kekuatan yang sama sehingga esok, mungkin kita terpaksa terima pendapat ulama itu ,” kata pelajar senior kolej itu ketika mengemaskini blognya.


McCreight yang tinggal di Indiana, Amerika Syarikat, menggunakan laman sembang sosial Twitter untuk mendapatkan pandangan wanita seluruh dunia untuk menguji sejauh mana kebenaran dakwaan ulama itu bahawa wanita seksi boleh menyebabkan ‘bumi bergegar’.


“Ramai wanita zaman ini tidak memakai pakaian yang sopan sehingga menyebabkan ramai lelaki ‘sesat jalan’ dan mencemar kesucian diri, menyebabkan maksiat berlaku secara berleluasa di kalangan masyarakat dan meningkatkan jumlah kejadian gempa bumi,” kata Sadeqi baru-baru ini.



# Ulasan Abang Long:


"Tidak perlu kajian ter-per-inci. Hakikatnya. Setiap lelaki NORMAL akan BERGEGAR iman dan naluri mereka bila melihat wanita yang mendedahkan tubuh mereka.

Tuesday, May 25, 2010

I LUV ISLAM. Sumber rujukan PA.


I LOVE ISLAM sumber rujukan PA.


Tugas aku kini rupanya tidak semudah yang disangka. Aku bukan sahaja berhadapan dengan orang ramai. Tetapi, aku berhadapan dengan soalan yang ada ketikanya menggetarkan sanubari aku !


Aku bukannya lulusan agama dari mana - mana pusat pengajian. Apatah lagi penuntut lepasan pondok. Dan yang pasti, aku masih terus mencari ilmu dari segenap sumber.


Cuba bayangkan satu perkara mudah. Ibu bapa atau orang ramai sering beranggapan, jika kita bekerja dengan institusi agama, maka kita tergolong dalam golongan agamawan. Kita akan menjadi sumber rujukan kepada pelbagai permasalahan hukum.


Tetapi hakikatnya ialah. Aku bukannya mahir atau pakar dalam perkara itu. Cuma, sudah ditakdirkan Allah. Aku bekerja atau berkhidmat dengan sebuah institusi pengajian ala pondok moden.


Dalam bab ini. Aku terasa betapa kerdilnya diri aku. Lebih membimbangkan, bilamana aku diamanahkan tugasan sebagai PA ! Aku bukan sekadar perlu menjalankan tugasan pejabat, malah lebih jauh dari itu. Aku perlu merancang banyak program luaran.


Namun, aku bersyukur. Disaat aku memerlukan ilmu untuk menjadi petunjuk kepada kerjaya aku. Aku temui sebuah majalah Islam yang begitu bersesuaian dengan keperluan semasa dan sering aku jadikan sebagai rujukan dalam pelbagai perkara.


I LUV ISLAM. Sebuah majalah kontemporari. Padat bermaklumat dan santai. Persembahannya tidak terlalu berat. Penyampaian bahasa dan bahan dipermudahkan. Malahan, penuh bermotivasi.


Yang pasti. Majalah I LUV ISLAM, adalah TEMAN ISTIMEWA yang aku bawa dalam setiap program. Ramai yang bertanya, adakah aku menjual majalah itu. Aku tersenyum dan mengatakan bahawa aku hanya membaca.


Setelah menelek dan membelek majalah ini dalam beberapa keluaran. Aku merasakan majalah ini berupaya untuk mendapat tempat dihati khalayak yang cenderung kepada ilmu Islam yang syumul.


Cuma sebagai pekerja disektor yang khusus dalam pendidikan agama. Aku suka mengesyorkan kepada pihak penerbitan I LUV ISLAM supaya dapat diwujudkan ruangan khas untuk berita yang berkaitan dengan institusi pengajian pondok yang tumbuh mekar, khususnya di negeri Selangor.


Kepada yang belum mengenali majalah ini, sila dapatkan dipasaran. InsyaAllah, majalah ini berupaya membantu kefahaman Islam dengan gaya yang begitu menarik.

Sunday, May 16, 2010

Dakwah & BISNES.


Membeli sambil menderma.


Itulah motto bisnes tempat aku bekerja sekarang. Pada kali ini, anda semua akan didedahkan tentang satu perkara yang selama ini menjadi persoalan kepada ramai orang.


# Inilah rupa bentuk bisnes / gerai jualan sewaktu ceramah.


Buat makluman para pengunjung dan sahabat sekalian. Sudah 6 bulan, aku bekerja dengan seorang Ulamak yang juga seorang pendakwah bebas. Beliau juga merupakan Mudir merangkap Pentadbir atau Pengarah sebuah pusat tahfiz Al Quran.


Namanya ialah Al Fadhil Ustaz Mohd Sofiuddin Bin Amran. Seperti dientri yang lalu. Aku adalah Pemandu @ Drebar @ Penulis Blog @ Penjual @ Jurufoto @ Pelayan @ Kerani Kaunter @ Pembantu Peribadi kepada Ustaz Sofiuddin ini.


Beliau juga merupakan seorang penceramah didalam stesen radio Selangor FM. Kami akan pergi memenuhi pelbagai program diserata negara.


Jika ada sesiapa yang berhajat atau berhasrat untuk menjemput beliau untuk sebarang majlis, adalah dipersilakan dan dialu - alukan. Beliau bersedia memenuhi sebarang bentuk majlis ilmu.


Dan AKU. Sebagaimana kebiasaan. Dimana sahaja ada program. Maka, aku akan bertugas untuk membuka gerai menjual pelbagai produk Muslim. Jadi, sekiranya ada yang berminat untuk menjemput Ustaz Sofiuddin, maka aku ingin menasihatkan supaya kami diberikan peluang untuk membuka gerai jualan. Kerana, segala hasil dari jualan akan digunakan untuk pembangunan tahfiz ini.


Andainya banyak barang terjual. Maka, banyaklah komisen. Tetapi, jika tiada barang yang terjual. Maka, tiadalah komisen. Apapun, yang penting, aku SIHAT. Kerana, itu juga rezeki.


# Ada sesiapa yang berhasrat untuk memberikan peluang bisnes kepada Abang Long ? Kalau boleh janganlah bisnes yang besar dan memerlukan modal besar. Biarlah bisnes kecil, modal kecil, tapi boleh dilakukan dengan ISTIQAMAH.


# Bagi sesiapa yang berhasrat untuk membeli novel atau bahan bacaan terbitan ALAF 21. Maka, pembelian minimum ialah sebanyak 2 buah novel. Dan penghantaran adalah PERCUMA. HANYA bagi penduduk sekitar - Klang, Pelabuhan Klang, Shah Alam, Bandar Sultan Suleiman, Sri Andalas.

Saturday, May 08, 2010

Yang Tersedap.


Jalan - Jalan Cari Makan.


Sepanjang aku mengikuti program yang dibuat oleh pendakwah ini, aku dapati ada satu perkara yang benar - benar hampir sama antara aku dan pendakwah ini. Iaitu, kami sering bergurau dan menikmati makanan dan minuman yang sama.


Kali ini, aku akan menceritakan tentang bagaimana kami menjadi semakin arif dalam urusan mencari makanan atau minuman yang paling sedap.


Sepanjang penjelajahan aku seluruh Selangor ini. Dalam tempoh beberapa minggu ini. Aku dan pendakwah bebas ini akan memilih untuk menikmati air Lai Chee Kang. Bukan air LCK sejuk, tapi yang panas. Tetapi kami akan meminta ais ketul diasingkan.


Hampir beratus gerai, warung dan restoran yang kami singgah. Terlalu mendukacitakan, tidak ada satu warung pun yang boleh diberikan anugerah atau piala AIR LAI CHEE KANG TERSEDAP ! Nahi, nahi !


Bagaimana kami membuat penelitian ? Mudah sahaja. Kami pernah minum LCK di sebuah restoran di Kota Cornwallis, Pulau Pinang, dan kami dapati air LCK disitu adalah paling sedap. Satu mangkuk boleh dikongsi berdua. Isinya banyak dan pelbagai bahan dimasukkan kedalamnya. Bau atau aromanya memang membangkitkan perasaan ghairah untuk menikmati setiap isi sudu yang dimasukkan kedalam mulut.


Ops ... Maaf. Ramai yang sudah bertanya satu soalan yang paling utama.


Abang Long bekerja dengan siapa ?


# Natikan jawapannya dalam entri akan datang ... :)


Yang pasti, sedikit dari rupanya disiarkan. Baru kelihatan tangannya.

Wednesday, May 05, 2010

TUGAS BARU.


6 bulan berjalan, menjalani dan perjalanan.


Ramai yang sudah tahu dan ramai juga yang belum tahu tentang satu perkara - APA KISAH ABANG LONG SEKARANG ?


Diruangan ini, aku akan mendedahkan apa yang telah berlaku kepada diri aku selama 6 bulan ini. Hanya perkara yang sensitif dan ada unsur 18SX sahaja yang tidak akan dipaparkan. :)


Bermula dari bulan November 2009. Bolehlah dikira sebagai waktu akhir sempadan azab dan sengsara serta derita selama hampir 3 tahun. Aku hampir tumbang. Namun, Alhamdulillah, masih ada ramai sahabat yang menjadi 'tongkat sakti' diwaktu itu, yang memapah aku dengan perasaan KASIH SAYANG dan UKHUWAH sesama MUSLIM.


Bermula dari bulan 9, adalah waktu kemuncak. Dimana, tanpa disangka, aku meluahkan perasaan (seumpama gunung berapi meluahkan lahar). Dihadapan sekumpulan Ulamak dan para ustaz. Aku menceritakan segala - galanya tanpa perasaan malu.


Kerana bagiku KELUARGA adalah paling utama. Setiap SEN adalah NYAWA !


Akhirnya, ketentuan Allah. Seorang ustaz yang juga pendakwah bebas dan merupakan mudir disebuah pusat Tahfiz. Telah bersedia untuk mengambil aku menjadi seorang staff di pusat tahfiz itu.


Yang paling menarik ialah, Ustaz itu mengambil aku bekerja tanpa melalui SESSI TEMUDUGA. Kerana, seperti yang telah aku nyatakan bahawa. Aku TIDAK MAHU untuk ditemuduga. Aku benar - benar kesal dan tersangat kecewa dengan proses temuduga.


Maka, bermulalah episod aku bekerja dan berkhidmat dengan pusat tahfiz tersebut. Pelbagai pengalaman telah aku timba. Bila aku dan ustaz tersebut menghadiri pelbagai jemputan program di seluruh negara.


Apakah tugas hakiki Abang Long ? :)


Tugas aku begitu rencam, dan yang pastinya, tugas aku langsung tidak sama dengan cara dan corak aku bertugas di syarikat perkapalan.


Aku bertugas sebagai PEMANDU (Drebar - bahasa mudah).
Sebagai PA,
sebagai Penulis Blog,
sebagai PEGAWAI PENGIKLANAN,
sebagai PEGAWAI PERHUBUNGAN AWAM,
sebagai PENIAGA PRODUK MUSLIM,
sebagai PENYAMBUT TETAMU,
sebagai JURUGAMBAR yang langsung tidak professional (atas nama JURU FOTO KOMTAS),
sebagai KERANI KAUNTER,
dan sesekali sebagai IMAM TUA.


Pendapatan aku berpandukan kepada margin keuntungan perniagaan harian. Inilah rezeki yang Allah berikan kepada kami sekeluarga. Samada cukup atau tidak, itu urusan Allah. DIA yang menghidupkan dan DIA yang mematikan segalanya.


Yang pasti kami sekeluarga wajib berjimat dalam segala urusan. Alhamdulillah, kalau dahulu, selama 3 tahun, aku langsung tidak punya apa. Dan sekarang, sekurang - kurangnya sekarang ada juga beberapa sen dalam poket. ALHAMDULILLAH.


Kehidupan aku sekarang adalah bersama pusat tahfiz ini. Dari selepas Subuh, aku akan berada di pusat tahfiz itu. Dan program akan bermula dari jam 6 petang. Khususnya program kuliah Maghrib.


Banyak lagi akan aku ceritakan dalam blog ini. InsyaAllah, bersambung lagi ...


TERIMA KASIH KHUSUS kepada penulis blog, HANYA ANDA dan Allah sahaja yang MAHA MENGETAHUI siapakah yang telah menghulurkan sumbangan kepada Abang Long.


Setiap kali pelajar tahfiz berdoa. NAMA - NAMA KALIAN sentiasa aku sematkan dalam doa itu.


AMIN.

#Eh, apa kena mengena dengan gambar Lai Chi Kang dalam entri ini ? Jawapannya dalam entri akan datang. Hehehe ....

Monday, May 03, 2010

lelaki tua (1)


TUA LIAT.


Sepanjang aku berkhidmat dengan seorang pendakwah. Aku dapati golongan LELAKI TUA adalah golongan paling sukar untuk dibentuk.


Golongan lelaki tua merasakan bahawa mereka sudah masak dengan segala - galanya. Dan mereka maha mengetahui segalanya.


Ops ! Maaf. Aku tidak emosional. Aku jarang emosi sewaktu menulis. Tetapi, apa yang aku dedahkan adalah dari rancangan REALITI MASJID.


Baru - baru ini aku disergah oleh seorang lelaki tua. Puncanya mudah sahaja. Aku menjalankan bisnes dengan pelbagai produk. Dan sebuah tabung derma diletakkan berhampiran meja jualan.


Lalu seorang tua memberikan aku not RM10. Produk yang dibelinya berharga RM6 sahaja. Kebetulan aku tidak ada wang tukar yang kecil. Jadi aku bertanyakan kepada lelaki tua itu, andainya beliau mempunyai wang kecil. Dia hanya menggelengkan kepala.


Lalu lelaki tua itu berkata kepadaku "wang baki masukkan dalam tabung derma ini." Aku menganggukkan kepala tanda faham.


Dan aku terus pergi kearah seorang ustaz untuk bertanyakan samada ada wang kecil. Tiba - tiba aku disergah oleh lelaki tua itu "Hoi, aku nak tengok duit tu masuk tabung ni!" Dia berkata dengan suara garang.


Dan kali ini aku terpaksa nekad. Aku berkata dengan bersahaja "Maaf, pakcik, saya tak jual barang ini, sebab saya tak ada duit kecil, kalau pakcik nak barang ini, pakcik berikan wang kecil." Aku terus mengambil semula barang itu dari tangan lelaki tua itu. Dan lelaki tua itu memang tergamam dengan sikap aku.


Lalu lelaki tua itu berkata "Kenapa ni?" Aku terus berkata dengan selamba. "Kalau nak berurusan biarlah cakap dengan bahasa yang bersopan, bukannnya dengan sergah orang, semua orang ada MARUAH."


Orang ramai yang ada disekeliling aku terus memberikan reaksi spontan "Aha... janganlah tau nak sergah orang .... kalau nak derma pun, buatlah diam - diam."


Dan orang tua itu terus berlalu pergi dengan mengomel tanpa henti.

Friday, April 30, 2010

AURAT yang MENGGHAIRAHKAN


AURAT SEKSI.


Bila aku melihat gambar ini dalam internet. Aku kehairanan. Memang rasa pening. Pelbagai persoalan timbul. Semuanya berkait dengan hal ehwal dan urusan serta hukum hakam agama Islam.


Hendak kata si pemakainya tidak faham hukum menutup aurat, rasanya tidak juga. Tetapi, bila diperhatikan. Tutup bahagian atas, bahagian bawah terdedah.


Seorang sahabat bertanya dengan nada nakal. "Abang long, bagaimana hendak buat bila berhadapan dengan situasi begini?"


Baiklah, biar aku menjawab dengan serius soalan sebegini.


"Kita pandang perempuan ini dengan pandangan tajam dan bernafsu, pandang jangan berkelip, pandang dari atas sampai bawah, biar sampai dia terasa rimas diperhatikan begitu?"


"Tapi kalau dia marah macam mana?" Luah sahabat aku lagi.


"Kenapa dia hendak marah, kita tak buat apa - apapun padanya, kita cuma pandang dan renung sahaja."


# Kalau cakap lebih, kita dikatakan menjaga tepi kain orang. Sekarang, cara paling mudah ialah - PANDANG dan RENUNG - SAHAJA. Dengan niat untuk menegur.

Friday, April 16, 2010

Melayu Professional.


"Makan apa tadi?"


Rasanya tidak perlu diceritakan lagi, bentuk soalan diatas. Memang tidak professional langsung. Tidak kelihatan ada tanda perubahan.


Hatta sikap itulah yang memalukan bangsa Melayu.


Cuba kita pergi warung atau restoran mamak. Cuba kita pergi warung atau restoran China Islam. Sewaktu pelayan mengambil pesanan makanan atau minuman, dan resit dengan harga bayaran telahpun tersedia. Dan usai sahaja menjamu selera. Sewaktu kita pergi ke kaunter. Kita hanya dimaklumkan berapakah harga yang perlu kita bayar.


Tetapi, berlainan dengan warung atau kedai makan atau restoran Melayu. Kita bebas untuk membuat pesanan, bebas untuk mengambil makanan, malah bebas untuk membawa lari makanan.


Usai sahaja menjamu selera. Maka, kita akan melalui satu lagi sessi . Iaitu sessi 'soal jawab' dengan pelayan. Kita akan ditanya apakah makanan atau minuman yang kita pesan tadi.


Aku pernah beberapa kali membawa pelancong asing pergi menjamu selera direstoran milik orang Melayu. Dan, pelancong asing ini kehairanan dengan SISTEM yang diamalkan. Mereka lalu bertanya pelbagai soalan tentang perkara ini. Namun, yang pasti aku tidak betah untuk menjawab.


Ini tidak termasuk lagi kesilapan sewaktu mengambil pesanan. Lain yang dipesan, lain yang tiba diatas meja.


Satu perkara lagi yang paling mengaibkan. Aku pernah beberapa kali melihat bagaimana pelanggan naik berang. Bila pelanggan yang awal datang memesan makanan, tetapi pelanggan yang kemudian tiba mendapat makanan terlebih dahulu.


Aku berharap sangat kepada seluruh peniaga makanan Melayu. Ubahlah SIKAP. Ubahlah CARA BERNIAGA. Ubahlah FORMULA. Kalau tidak, sampai KIAMAT pun orang Melayu tidak akan berjaya dalam perniagaan makanan.

Wednesday, April 07, 2010

Jalan - jalan Singgah Makan


Makanan dan Minuman.


Setelah 5 bulan aku bergerak ke serata negara. Dan paling utama, banyak program yang perlu dihadiri 1 Selangor.


Maka, sudah banyak tempat aku pergi. Dan paling utama ialah tempat makan dan minum. Di Blog Abang Long ini. Aku akan siarkan tempat makan PALING BEST ! Paling Sedap ! Paling Diminati dan menjadi tumpuan orang ramai.


Sekurang - kurangnya, jika ada yang berada didalam kawasan yang disebutkan atau sedang melalui kawasan yang disebutkan itu. Maka, anda boleh sahaja singgah dan menikmati makanan dan minuman yang ada.


Buat kali ini, aku maklumkan, jika anda sedang berada berhampiran kawasan Lapangan Terbang Subang, dan paling dekat dengan kawasan Masjid Subang. Maka, singgahlah di sebuah restoran ditepi Masjid Subang.


Restoran ini menghidangkan SEGALA JENIS SUP. Sup ayam, sup daging, sup puyuh, sup tulang dan nasi ayam berempah.


Aku telah menikmati semua sup. Dan aku tidak dapat membezakan yang mana sup paling sedap. Kerana semua sup yang dihidangkan sedap - sedap belaka.


Semuanya terasa BEREMPAH ! Memang sedap !


Tapi harus diingat. Restoran ini hanya dibuka pada HARI BEKERJA SAHAJA ! Dan, pada waktu rehat, restoran ini akan penuh sesak.


Maaf, gambar tiada, sebab setiap kali aku singgah di restoran ini. Akibat teruja dengan sup, maka aku sering terlupa untuk mengambil gambar.

Monday, March 29, 2010

KTM 3030


KTM oh KTM !


Sudah lama diperkatakan oleh rakyat Malaysia dan juga oleh pelancong. Sudah lama ditertawakan dan diperkatakan secara sinis oleh orang ramai dan juga pengguna perkhidmatan KTM. Namun, perkhidmatan KTM 'begitu - begitu' juga. Seolah - olah tidak kelihatan perubahan sikap yang ditunjukkan oleh kakitangan KTM.


Dari dahulu, perkatan KTM seolah - olah sudah sinonim dengan KERETAPI TAKTENTU MASA !


Memang sungguh malang dan memalukan KTM khasnya dan negara Malaysia amnya. Pada hari Sabtu, 27 hb March 2010, yang lalu. Aku menaiki tren dari Stesen KTM Komuter Sentul. Aku dan temanku bergegas membeli tiket untuk ke Shah Alam. Malangnya kami diberitahu oleh pemandu komuter, dimana tren mengalami kerosakan. Dan tidak dapat digunakan.


Maka, kami pun menunggu tren yang berikutnya. Setelah tren baru tiba, kami masih tidak dibenarkan untuk menaiki tren tersebut. Ini bermakna telah 3 buah tren tiba, dan semuanya dilaporkan rosak.


Semua penumpang tertunggu - tunggu, TERTANYA - TANYA, termenung, termangu dan tidak keruan. Seluruh penumpang benar - benar RESAH menunggu.


Kami hanya melihat petugas komuter bekerja untuk menghidupkan komuter yang mati.


Seorang dua pekerja komuter berulang alik kehulu kehilir. Hinggakan kami terfikir, bagaimana TIDAK EFFISEN nya KTM. Komuter yang begitu panjang, petugas tidak dibekalkan dengan alat komunikasi @ walkie talkie. Hanya memberikan isyarat tangan dari jauh.


Dan perkara yang sama berulang. KTM seolah - olah TIDAK TAHU dan TIDAK PEDULI tentang satu perkara paling utama. Apabila berlaku sesuatu perkara diluar jangka, pihak KTM tidak tahu mengambil INISIATIF untuk memaklumkan sesuatu untuk penumpang dan pelanggan mereka.


Selama 1 jam kami menunggu, TIDAK SEORANG PUN kakitangan KTM yang mengambil sikap untuk menyantuni penumpang yang sedang resah menunggu !


Selama 1 jam menanti, TIDAK ADA SEBARANG PENGUMUMAN yang dibuat melalui pembesar suara, memaklumkan apa yang terjadi. Supaya penumpang boleh mengambil tindakan bersesuaian.


Kelihatan beberapa orang pelancong yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh KTM. Apabila seorang pelancong asing bertanya kepada kakitangan yang bertugas, aku hanya mendengar staff KTM menjawab dengan bersahaja "we have problem, so you wait for a while." Dan pelancong ini berlalu dengan wajah kecewa yang teramat sangat sambil menggelengkan kepala.


Adakah pihak KTM tidak pernah belajar dari sejarah ?


Malah, tidak keterlaluan apabila masyarakat sering memperkatakan bahawa "Setiap kali musim perayaan, KTM pasti akan bermasalah, datang dan bertolak tidak ikut waktu, gerabak tidak cukup, tren tergelincir, tempat duduk penumpang bertindih dan sebagainya."


Ini tidak termasuk lagi dengan makanan dan minuman yang dijual didalam Koc Buffet, yang terkenal dengan harganya yang TIDAK MASUK AKAL !


Lalu sahabat aku meluahkan pertanyaan "Agaknya, bilakah perkhidmatan KTM akan menjadi secanggih MRT di Singapura atau Bullet Train di Jepun ?"


Aku menjawab dengan bersahaja "Tahun 3030!"

Tuesday, March 23, 2010

PBAKL. Peminat Buku Berpesta.



Bersempena dengan acara Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke 10, yang sedang berlangsung sekarang. Aku belum berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke PWTC.


Bila aku tatap diari harian. Aku termenung panjang. Aku masih memikirkan kaedah atau jalan untuk aku 'lari' sebentar, untuk turut sama memeriahkan pesta buku itu. Saban tahun, aku belum pernah gagal untuk turut serta dalam acara atau program terhebat dan terbesar bagi peminat dan pencinta buku.


Apapun, antara perkara yang sudah pasti berlegar difikiran peminat buku ialah untuk mendapatkan buku pada harga diskaun. Dan, sudah pasti penerbit buku juga akan turut sama menawarkan buku pada harga yang paling menarik.



Bagi mereka yang akan ke PBAKL. Diruangan yang terhad ini. Suka aku mengesyorkan supaya mendapatkan buku yang tersiar diruangan sebelah. Buku yang disyorkan ini begitu sesuai untuk segenap lapisan masyarakat. Termasuk dalam kategori UMUM.


Kanak - kanak menyukainya. Malahan, ada yang berkongsi bercerita tentang buku ini bersama rakan - rakan sebaya. Para remaja akan mendapatkan buku ini untuk sekali - sekala membaca sesuatu yang santai. Orang dewasa akan tersenyum gelihati apabila menatap kisah yang dipaparkan. Begitu bersantai, bersahaja, misteri, ada unsur - unsur thriller.


Yang penting, anda perlu mendapatkan buku ini terlebih
dahulu. Dan kemudian, barulah anda akan tahu, kenapa buku ini dipromosikan disini.



Bagi peminat buku HARDY BOYS, dizaman 70'an. Sila dapatkan buku ini. InsyaAllah, tidak akan mengecewakan. Hanya anda yang paling layak untuk meletakkan buku ini setanding dengan kumpulan cerita HARDY BOYS.


Kesemua buku - Dol Leman, adalah terbitan KarnaDya Solutions. Sila dapatkan buku ini di BOOTH KARNADYA.




























































Thursday, March 18, 2010

BERJUNUB dan BERSUCI.


MANDI WAJIB.


Dahulu, Aku ada mendengar tentang kisah ada orang Islam yang tidak tahu tentang BAB MANDI WAJIB. Aku menyangka mereka ini terdiri dari golongan remaja yang tidak faham atau tidak tahu mengenai bab bersuci.


Kini, aku berhadapan dengan realiti. Bukan golongan remaja sahaja yang tidak tahu tentang bab bersuci, khususnya bab MANDI WAJIB. Tetapi, aku telah bertemu dengan beberapa orang lelaki yang berusia 50' an dan 60'an yang langsung tidak tahu tentang bab atau perkara MANDI WAJIB.


Aku terkedu tidak tahu untuk berkata apa - apa. Bayangkan selama 50 atau 60 tahun mereka ini melakukan amal ibadah, khususnya solat dalam keadaan mereka ini BERHADAS BESAR !


Malahan, lebih teruk dari itu. Aku bertemu dengan seorang lelaki yang berkata "Saya ingat, kalau seseorang itu mengeluarkan air mani dengan tangan (melancap) sahaja yang kena mandi wajib."


Kepada para muslimin dan muslimat. Ini perkara serius. Perkara penting dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Cuba kita tanya pasangan kita, adakah mereka tahu tentang bab MANDI WAJIB ?


Jangan malu untuk bertanya atau memberikan bimbingan kepada yang memerlukan. Ibu dan ayah memainkan peranan utama dalam hal ini. Tidak perlu malu, untuk bertanya kepada anak - anak.


Lebih jauh dari itu. Dalam perkara seperti ini. Aku terfikir. Inilah pentingnya PELAJARAN AGAMA. Inilah pentingnya pergi ke Surau, ke Masjid dan ke majlis - majlis ilmu.


Bak kata seorang teman "janganlah bila ada kematian dalam keluarga, barulah hendak pergi ke masjid dan mencari tok imam atau ustaz."


Renug - renungkanlah.

Wednesday, March 17, 2010

Mesra bersama keluarga Singapura.


Kenduri atau kematian.


# Pasar baru Perkampungan Melayu Geylang.


Barulah kesemua anggota keluarga dan sanak saudara bertemu. Jauh dan dekat. Semuanya hadir dalam suasana yangberbeza. Begitulah aku. Jika kita mesra dan mudah berdamping dengan semua, maka tidak menjadi masalah. Tetapi jika ada anggota keluarga yang kurang dalam senyuman, 'berat mulut' dan dari jenis pendiam, akan menimbulkan sedikit kekurangan dalam pergaulan, apatah lagi jika sudah terlalu lama tidak bertemu.


Walaupun dalam suasana sedih. Tetapi itu rasanya tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan. Begitulah aku. Maklumlah. Bila sudah hampir 10 tahun tidak bertemu. Ada dikalangan saudara seperti hampir tidak cam wajah antara satu sama lain.


Apatah lagi bila bertemu dengan anggota keluarga yang jauh lebih muda dari kita. Namun, Alhamdulillah, disebabkan aku agak mesra dari dahulu. Maka, hubungan kami terasa begitu intim.


Kesempatan itulah kami ambil dengan sebaik mungkin. Mengambil nombor telefon. Alamat terkini. Dan lebih ceria dari itu, barulah kami tahu, siapa yang mempunyai blog dan Facebook sendiri.


Sewaktu di Singapura. Aku memang tidak akan melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki ke Geylang Serai. Kawasan paling ramai orang Melayu dan bisnes yang dijalankan oleh orang Melayu. Sudah terlalu banyak perubahan.


Aku melihat sekitar. Memandang kearah 'Kampong Melayu' yang sudah dibangunkan lebih cantik, berhampiran pasar Geylang. Joo Chiat Complex. Panggung wayang lama. Jalan Eunos. Jalan Ubi.


Tiba - tiba aku teringat kepada suatu yang paling nostalgia. 40 tahun yang lalu. Aku berjalan berpimpin tangan dengan ibu dan ayah ku. Kami menyusuri Jalan Geylang Serai. Singgah makan di warung untuk menikmati Soto. Masih kuingat, ibuku menyuap Tahufah kedalam mulutku.


Dan. Hingga kini aku masih menggemari kedua juadah tersebut. Aku terus mencari Soto dan Tahufah.


Namun, pada waktu aku berada di Singapura. Dalam lawatan ziarah yang terlalu singkat itu. Aku hanya dapat menikmati Kuey Tiaow Sup. Kerana, banyak kedai yang sudah tutup. Kedai dibuka dari jam 6 pagi hingga 7 malam sahaja.


Setiap orang yang mengunjungi Sipngapura, sudah pasti tidak melepaskan peluang untuk menaiki - Tren MRT, bas dua tingkat (double decker), bas panjang bersambung dan melawat Pulau Sentosa (Sentosa Island). Namun, kali ini, aku hanya sempat untuk menaiki bas awam dan MRT yang canggih itu, bersama adik perempuan aku dan suaminya.


InsyaAllah, aku telah menyimpan tekad untuk membawa seluruh anggota keluarga aku melawat Singapura. Dan jika aku ada wang yang banyak. Aku akan membawa keluarga aku untuk melancong ke Pulau Sentosa.


Tuesday, March 16, 2010

Mengiringi jenazah ke Pusara Aman. Singapura.


Debar dan hiba.


Sewaktu tiba di check point di Woodlands, Singapura. Aku terasa berdebar - debar. Walaupun sistem keselamatan dan pemeriksaan oleh Imigresen dan kastam Singapura begitu canggih. Tetapi, agak merimaskan kerana kita perlu menunggu semua penumpang diperiksa terlebih dahulu sebelum pintu terakhir dibuka dan penumpang dibenarkan kembali untuk menaiki tren. Kami terpaksa menunggu hampir satu jam.


Aku hanya menunggu dan berharap agar waktu tidak lewat untuk kami tiba ke destinasi tepat pada waktunya.


Sewaktu tren menghampiri stesen besar Singapura. Aku benar - benar terasa hiba yang teramat sangat. Maklumlah, sudah 9 tahun tidak pulang ke tanah tumpah kelahiran, dan sekarang, aku pulang untuk menziarahi jenazah ayah saudara yang telah membela aku sedari kecil.


Aku kuatkan mental dan fizikal. Aku perbanyakkan berdoa, beristigfar dan berzikir. Kerana, keadaan kesihatan aku yang Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Aku benar - benar pasrah.


Sewaktu aku tiba dirumah ibu saudara aku. Orang telahpun memenuhi segenap ruang. Namun, aku terus melangkah masuk dan terus menemui ibu saudara aku yang uzur. Aku memeluknya dengan sepenuh perasaan kasih sayang. Diwaktu itu aku sudah tidak dapat menahan perasaan sedih dan hiba.


Jenazah telah selamat disempurnakan. Dan Alhamdulillah aku diberikan kesempatan oleh ibu saudara aku untuk memberikan penghormatan terakhir kepada arwah ayah saudara aku. Aku menabur wangian dan mengucup dahi arwah buat kali terakhir.


Setelah segala urusan selesai. Kaum lelaki telah mengiringi jenazah ke kawasan perkuburan Islam di Jurong. Alhamdulillah. Segala urusan selesai dengan selamat dan ringkas.


Sepulangnya aku kerumah ibu saudara aku di Bedok South. Keluarganya telah mengadakan majlis tahlil. Usai sahaja majlis. Berulah aku berkesempatan untuk bertemu dengan kaum keluarga yang sudah lama tidak bertemu.


Bersambung...

Friday, March 12, 2010

Pulang ke SINGAPURA.



Selepas 9 tahun.


Akhirnya, setelah 9 tahun aku tidak menjejakkan kaki ke tanah kelahiran aku di pulau Singapura, pada 9 March yang lalu. Aku bergegas dengan adik perempuan dan suaminya, masuk ke Singapura.


Ayah saudaraku, Haji Abdul Hamid Bin Haji Sulong telah kembali kerahmatullah. Beberapa bulan yang lalu, Alhamdulillah, aku sempat menziarahi beliau yang datang kerumah anaknya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.




Sepulangnya beliau ke Singapura. Keadaan kesihatannya semakin buruk. Dan, pada beberapa minggu kebelakangan ini, beliau semakin uzur.




Akhirnya, beliau menghembuskan nafas akhirnya pada 8 hb March yang lalu. Dan, aku bersyukur, dalam keadaan tergesa - gesa untuk membuat passport. Namun, aku masih sempat menatap wajahnya buat kali terakhir.




Memang terasa sebak yang teramat sangat. Maklumlah, aku dilahirkan dirumahnya. Beralamat di Nombor 8, Jalan Reteh, Singapura. Isterinya adalah ibu saudaraku, iaitu kakak kepada ayahku. Dan beliau sekeluarga yang menjaga aku sewaktu kecil.






Dan, setelah 9 tahun tidak bertemu dengan seluruh ahli keluarga yang begitu ramai yang menetap di Singapura. Alhamdulillah, aku sempat bertemu dengan sebahagian dari kaum kerabat yang menetap disana.





Bersambung ...

Tuesday, February 23, 2010

Pantai Cherating.


Pantai Cherating.


Aku menghirup udara panas pantai Cherating, Pahang. Kenapa udara panas ? Kerana memang hari itu panas, dan udara yang bertiup terasa habanya. Namun, aku tetap bersenang dan bersantai di pantai itu.


Aku berjalan sambil sengaja membenamkan kaki kedalam pasir sepanjang pantai. Sambil berjalan, aku melihat suasana sekeliling yang benar - benar mendamaikan. Memang mendamaikan bagi seorang yang telah begitu lama terperuk didalam rumah.


Namun, seperti biasa, ditepian pantai. Satu perkara yang tidak mampu dan tidak boleh malah tidak berupaya dielakkan ialah melihat gadis, perempuan dan wanita yang memakai bikini, malah ada yang berani memakai pakaian yang hampir - hampir kelihatan mendedahkan seluruh bentuk tubuh.


Ini baru Cherating ! Bisik hati aku.


Tiba - tiba sahaja aku terfikir. Bagaimana kalau dijalankan program rehlah. Dimana, orang ramai dijemput untuk menghadiri program - IBADAH, UKHUWAH & SANTAI CERIA bersama keluarga di kawasan pantai.


Orang ramai bersolat beramai - ramai, berzikir dan alunan zikir itu beralun dan bergabung dengan suara ombak yang memecah pantai. Selepas itu diadakan acara sukan ala - ala 'telematch.' Makan beramai - ramai untuk mengeratkan ukhuwah dikalangan sesama kaum muslimin.


Aku suarakan idea ini kepada seorang sahabat. Lalu dia ketawa terbahak - bahak. "Cuba engkau bayangkan, sewaktu kita sedang bersolat, tiba - tiba seorang wanita berbikini memegang kamera dan merakamkan gambar kita ... hahaha."


Lalu dia bertanya soalan paling 'ganas' kepada aku.


"Waktu itu, apa engkau 'rasa' ?"


Aku hanya mampu tersenyum.

Wednesday, February 17, 2010

Akibat terlupa tanggal ...


Jemaah menjadi penonton.


Apa nak buat. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Perkaranya kecil sahaja. Tetapi menjadi perhatian manusia.


Aku bersolat dalam keadaan kedua belah tangan sedang memakai sarung tangan.


Kejadian berlaku tanpa aku sedari. Sudah beberapa hari, aku memandu dengan memakai sarung tangan putih. Aku rasa selesa menggunakan sarung tangan tersebut. Kalau hari panas, maka aku tidak terasa kepanasan stereng kereta. Dan, kalau hari hujan ditambah dengan kesejukan alat penghawa dingin, maka jari - jemari aku tidak sejuk ataupun kecut. Memang selesa.


Dan, sewaktu mengangkat barang - barang keluar dari kereta. Maka, sarung tangan itu juga digunakan. Jadi, mudah bicara, tangan aku tidak kotor.


Tetapi, semalam, aku terleka. Sewaktu aku keluar dari kereta. Aku melihat jemaah sedang berada dalam keadaan duduk tahiyyat akhir. Jadi, dalam keadaan tergesa - gesa, aku terus masuk kedalam surau dan terus mengangkat takbir untuk masuk kedalam solat berjemaah.


Usai bertakbir, aku terus duduk mengikut imam. Diwaktu itu, baru aku tersedar, aku masih memakai sarung tangan. Hendak buat macam mana. Aku terus bersolat. Tetapi, aku seperti tidak berapa khusyuk, kerana aku terlihat kelibat jemaah dihadapan aku yang memerhatikan aku.


Mungkin, pelbagai perkara dan pelbagai persoalan bermain di kotak fikiran mereka.


Usai solat dan memberi salam. Tanpa berlengah, aku terus sahaja menanggalkan sarung tangan dengan bersahaja.


Apa yang penting. Solat tidak batal. Namun, selepas itu, aku hanya mampu tersenyum sendirian mengenangkan akibat 'terlupa.'

Thursday, February 04, 2010

MEMBELI sambil MENDERMA.


ROTI dan AIR PENAWAR.


Ini memang promosi. Jika anda menetap di sekitar kawasan Klang, Shah Alam, Pelabuhan Klang. Dan ingin mencuba untuk merasai roti yang dibuat sendiri, sila berhubung dengan Abang Long.


Roti yang dibuat memang agak besar jika dibandingkan dengan roti jenama lain dipasaran. Harganya murah. Cuma RM2.50 sebuku / sebiji. Dibuat dalam tiga perasa iaitu:


1 - Roti berinti kacang.

2 - Roti pandan berkismis.

3 - Roti berperisa keju.


Penghantaran akan dibuat dalam kuantiti yang besar, berdasarkan kepada permintaan. Khususnya oleh syarikat - syarikat yang hendak mengadakan sebarang majlis.


Manakala AIR PENAWAR pula adalah air campuran zam - zam dan air GAU. Dibacakan bacaan 30 juzuk Al Quran dan doa syifa'. Harganya adalah sebanyak RM 10.00 sebotol.


Wednesday, February 03, 2010

SOALAN TANPA SUARA.


Cantik sungguh cantik tapi mendebarkan.


Seorang gadis yang berusia dalam lingkungan usia 30'an. Datang kearahku dengan perlahan dan penuh sopan. Wajahnya sungguh cantik. Comel. Kulit putih kemerahan, mata bulat, kening hitam tebal, hidung agak mancung. Memakai jubah dan bertudung labuh.

Yang pasti jantung aku sedikit berdebar bila berhadapan dengan si gadis itu. Walaupun tugasan aku memang berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat.


Lalu si gadis itu menghulurkan sekeping kertas kecil. Dan memberikan isyarat supaya kertas itu diberikan kepada ustaz yang sedang mengajar. Aku faham dengan permintaan itu, dan aku menganggukkan kepala.


Tiba - tiba sahaja lidah aku gatal untuk bertanya. "Cik, ini sahaja?" Aku bertanya dengan senyuman. Lalu soalan aku dibalas dengan bahasa isyarat. Rupa - rupanya si gadis itu seorang yang bisu dan pekak.


Oh ... kasihannya.


Setibanya aku dirumah. Aku lalu menceritakan pengalaman aku. Dan isteri aku hanya tertawa. Yang pasti aku tidak tahu kenapa isteri aku ketawa.


# Hendak tahu apa soalan yang diberikan oleh gadis itu ? Tunggu entri akan datang. Memang menarik.

Tuesday, February 02, 2010

Ekspedisi Dakwah & Tarbiyyah di JANDA BAIK.

Janda Baik.


Kawasan sekitarnya memang terasa begitu nyaman. Itulah Al Sakinah. Sebuah penempatan buat pelancong. Untuk pergi menginap disitu, kita akan berjalan diatas jampatan kecil yang tergantung.


Air sungai yang begitu deras mengalir, menyebabkan terasa sedikit gementar tika melaluinya, apatah lagi dengan jambatan gantung yang bergoyang.


2 hari berada disitu untuk ekspedisi dakwah dan tarbiyyah, benar - benar meninggalkan kesan mendalam buat diriku, begitu juga buat para peserta lain.

Selama ini aku hanya mendengar cerita tentang Janda Baik. Kini akhirnya aku berjaya menjejakkan kaki kesini. Dan jadual serta tugasan yang agak bebas dan santai memudahkan pergerakan aku.


Paling terasa bila seluruh penghuni, pelancong dan peserta dibangunkan ditengah malam untuk melakukan tahajjud, berzikir dan bermunajat diiringi alunan deras air sungai yang mengalir. Terasa begitu tenang dan syahdu. Hingga menyebabkan ramai peserta mengalirkan air mata keinsafan yang teramat sangat.




# Al Sakinah. Gambar menunjukkan sebuah bangunan tempat melakukan solat. Bangunan terbuka. Dihadapan bangunan ini mengalir air sungai yang deras. Dan chalet terletak dibahagian belakang.

Monday, February 01, 2010

CUBAAN ... ! Tidak ? Ini betul - betul !!



Syaitan atas kepala Ustaz.


Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Sedang aku nyenyak tidur. Tiba - tiba pintu bilik aku diketuk bertalu - talu. Aku lalu menjenguk melalui lubang pintu. Terlihat seorang lelaki yang dalam kecemasan.


Lantas pintu dibuka. Seorang lelaki memberi salam lalu aku menjawab salam itu dengan nada perlahan. "Ustaz ada?" Soal lelaki itu dengan nada penuh mengharap. Aku menganggukkan kepala. Aku lantas meminta lelaki itu menunggu sebentar supaya aku dapat menggerakkan ustaz terlebih dahulu.


Bila ustaz sudah terjaga. Aku lalu menerangkan apa yang berlaku. Dan ustaz mengizinkan lelaki itu masuk bersama seorang gadis dalam usia 20'an.


Sebaik sahaja gadis itu melihat ustaz, tiba - tiba sahaja dia meraung sekuat hati dan menjerit "atas kepala dia atas setan ..." nada suara gadis itu begitu menyeramkan. Namun aku melihat, ustaz hanya tersenyum.


Yang pasti, aku memang terasa hendak terkencing yang teramat sangat.


# Ini bukan cubaan ... ini betul - betul !

Saturday, January 16, 2010

Permintaan aneh.


Ais krim 'taufan' ganti milo ais 'tabur'.


Sewaktu sedang asyik memandu di Lebuhraya Persekutuan. Jam ditangan menunjukkan pukul 11.40 malam. Tiba - tiba sahaja ustaz yang sedang ber-sms disebelah aku berkata "Belikan ana ais krim satu."


Aku terdiam, dan lantas menoleh kearahnya. Sambil merenung wajahnya dalam suasana suram. Tiba - tiba ustaz bertanya lagi "eh, kenapa pandang wajah ana macam tu?"


Lalu aku bersuara "Kan kita dilebuhraya, tengah malam pula, mana ada kedai jual ais krim ...?"


Lalu ustaz terus berkata "Ana tahulah kita dilebuhraya ... tapi, bila berhenti sebentar lagi, kita singgahlah dimana - mana kedai untuk membeli ais krim ... pelikkah permintaan ini?"

Aku tidak berkata tetapi terus tertawa mengenangkan permintaan sebegitu.


Selalunya setiap kali singgah dimana - mana, hanya satu permintaannya iaitu Milo Ais 'Tabur'. Tetapi kali ini bertukar kepada Ais Krim 'Taufan.'


Bagaimana rupanya Ais Krim 'Taufan' ?


Ianya adalah ais krim 'calit' atau ais krim ceduk atau 'scoop' yang ditabur kacang hancur diatasnya. Memang sedap ! Cubalah.

Wednesday, January 06, 2010

SUMPAHAN berakhir ?

Tajuk ganas !


Ya. 2008 & 2009. 2 tahun aku dan keluarga menanggung azab, seksa dan sengsara. Pelbagai ujian dan musibah datang bersilih ganti. Hingga aku merasakan bahawa sudah tidak ada lagi manusia atau insan yang beragama Islam yang sudi membantu. Inilah hakikatnya.


Hingga ada yang mengeluarkan kata - kata kecaman dan nista. Seolah - olah aku seorang yang PEMALAS, DUDUK BERPELUK TUBUH dan sebagainya.


Dan begitu juga, hingga ke peringkat aku merasakan untuk menjadikan blog ini sebagai HAK EKSKLUSIF dan hanya boleh dibaca oleh orang yang memahami penderitaan aku sahaja.


Tidak ada kisah yang menggembirakan. Hanya kisah sedih dan rintihan. Tetapi, itulah hakikat kehidupan aku selama tempoh 2 tahun itu.


Satu ketika, aku hampir percaya yang aku sudah terkena SUMPAHAN ! Manakan tidak, aku telah menghadiri sessi temuduga dihampir 200 tempat, dan semuanya tidak berjaya. Dan dalam waktu yang sama, aku menanggung sakit yang tidak dapat dikenal pasti. Begitu juga dengan pelbagai bisnes yang aku jalankan, semuanya bangkrap.


Kerja aku kini bukannya bergaji banyak. Hanya 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tetapi cukuplah, dari langsung tiada.


Kepada kaum muslimin. Sentiasalah beringat diwaktu senang. Renungkanlah kehidupan selepas mati. Renungkanlah, apakah nasib kita diakhirat kelak. Jangan jadi seperti seorang muslim yang merasa begitu kecewa apabila masuk kedalam syurga tingkatan ke tujuh. Bila dia melihat nikmat syurga ditingkat ke 6.

Friday, January 01, 2010

1431 ... Langit masih gelap.

Terlebih ucapan.


Sudah lumrah. Kita sebagai umat Islam sudah terlebih dan teruja untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Masehi, berbanding mengucapkan Selamat Tahun Baru Islam.


Apapun yang berlaku. Nombor atau angka sudahpun berubah.


1430 sudah menjadi 1431 (tanpa sedar).
2009 sudah menjadi 2010 (disambut hingga tidak sedar diri).


Alhamdulillah, ayah sudahpun dibawa keluar dari wad. Cuma kakinya perlukan rawatan rapi.


Aku tidak mahu menulis banyak - banyak. Cuma entri ini untuk memaklumkan yang Abang Long masih berjuang untuk menyara kehidupan keluarga. Yang pasti .... Aku tidak pernah berpeluk tubuh.

Tuesday, December 29, 2009

RAHSIA YAHUDI.


YAHUDI wajib dibantu !


Walaupun jumlah mereka terlalu sedikit, tetapi mereka terlalu kuat dan ampuh. Cuba lihat bilangan dan lokasi mereka di Palestin dan Israel. Kekuatan mereka begitu kuat mencengkam pemerintah Amerika.


Ditakdirkan, aku bertemu dengan seorang sahabat yang berbangsa Yahudi. Kami bertemu, berbual mesra, dan saling bertanya khabar dalam suasana santai.


Hinggalah ke satu peringkat. Kami berbual secara terbuka dalam urusan agama. Dan aku difahamkan yang orang Yahudi amat mementingkan urusan agama. Adalah satu dosa besar andainya mereka membiarkan saudara mereka merempat. Bangsa Yahudi adalah satu bangsa yang agung dan mulia, dan kerana itu mereka layak untuk melakukan apa sahaja kepada bangsa lain.


Cuma, satu sahaja yang mereka tidak mampu untuk lakukan. Iaitu untuk menewaskan Hizbullah. Bagi mereka, pejuang Hizbullah, pengikut Hizbullah dan pemimpin Hizbullah benar - benar melaksanakan tugas dan kewajipan mereka mengikut agama.


Lalu aku teringat kata - kata seorang sahabat aku yang banyak melakukan lawatan bisnes ke Lubnan. Dimana beliau menyatakan bahawa. Pemimpin ulung Hizbullah, iaitu Seyyed Hassan Nasrullah adalah seorang pemimpin agung. Beliau dihormati lagi dikasihi bukan sahaja oleh orang Islam, malahan Seyyed Hassan Nasrullah juga disayangi oleh orang Kristian dan Yahudi.


Pernah berlaku dalam satu majlis, dimana sewaktu jamuan makan diadakan. Seyyed Hassan Nasrullah berjalan - jalan melihat orang ramai sedang menikmati juadah yang disediakan. Lalu seorang pengawal tentera Hizbullah bertanya kepada Seyyed Hassan. "Kenapa Tuan tidak makan?" Lalu dijawab oleh Seyyed Hassan, "Aku mahu pastikan saudaraku kenyang ... barulah aku akan makan."


Dan yang pasti. Setiap pejuang Hizbullah melaksanakan setiap amalan SUNAT seumpama melakukan amalan WAJIB, tanpa gagal.


Lalu aku teringat hadith Rasulullah. "Akhir zaman kelak, umat Islam terlalu ramai, umpama BUIH di LAUTAN, tetapi mereka terlalu lemah..."

Sunday, December 20, 2009

Tubuh Sakit V Tubuh Letih


Renung dan renung dan renung.


Aku berada di Taiping. Menziarah ayah yang dimasukkan kedalam wad. Sudah seminggu ayah berada didalam wad di hospital Taiping. Sebelum itu, ibu ditahan didalam wad selama seminggu akibat penat dan semput, dan ditahan lagi akibat darah tinggi.


Sebaik sahaja ibu keluar dari hospital, ayah pula dimasukkan kedalam hospital. Ibu berada hampir seminggu. Tetapi, aku tidak pasti berapa hari ayah akan ditahan didalam wad. Sementara menunggu urusan pembayaran bank draft bagi alatan yang akan dimasukkan kedalam bahagian pinggang.


Ayah kelihatan terlalu uzur untuk menghadapi semua ini. Kami redha. Kami bersabar.


Seperti kebiasaan. Aku tidak mahu terlalu serius. Aku sendiri sudah terlalu letih. Sudah terlalu banyak memikirkan masalah demi masalah yang tidak kelihatan akan selesai.


Aku bergurau dengan ayah. Aku tersenyum. Aku melawak. Ya, aku bergurau !


Ayah sakit dan terlalu uzur. Dan aku mengambil sikap terus bergurau dan berlawak dengan ayah. Sewaktu isteri aku menyuapkan bubur kedalam mulut ayah. Aku terus bertanya "papa nak makan beef steak?" Dan ayah terus tertawa dalam kepayahan.


Bila ayah bercakap. Banyak pertuturannya yang tidak difahami. Dan cara yang paling sesuai ialah dengan mendekatkan telinga dengan mulut ayah.


Dikesempatan ini. Aku mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan TERIMA KASIH. Khususnya buat adik - adik dan adik ipar aku yang lebih banyak berkorban untuk ibu dan ayah, berbanding dengan diri aku sendiri.


Jadi bagi sesiapa yang tertanya - tanya. Kemanakah menghilangnya Abang Long selama ini. Entri ini menjelaskan segala - galanya.

Saturday, December 12, 2009

Hantu Laksa.


Masuk hutan atau bayar RM1.30.


Malam tadi usai sahaja solat Isyak. Tiba - tiba sahaja suami berbaring diatas ribaku. Dan terus berkata dengan lembut "ada bau laksa ..."


Dan anak - anak pun terus menyampuk "Ya lah ummi, dah lama tak makan laksa." Aku menjawab "Hai ... kan bulan lepas kita dah makan laksa?"


Anak kedua aku yang paling rajin menjawab "Laaa ... bukan semalam ke, minggu lepas ke ... bulan lepas la ummi!"


Pagi tadi aku tergamam bila aku ke pasar bila mendapati harga bunga kantan untuk dimasukkan kedalam resipi laksa berharga RM1.30 sepokok. Aduhai ...


Lantas suamiku berkata "Jom pergi rumah adik, manalah tau, kalau ada bunga kantan yang dah tumbuh dibelakang rumah."


Alhamdulillah, terdapat beberapa batang pokok yang sudah mengeluarkan bunga kantan.


Keluarga kami memang 'hantu laksa.' Hahahahaha ....

Friday, December 11, 2009

Larian solo ...


Larian diteruskan ... bertukar baton.


Minggu hadapan. Suami akan meneruskan perjuangan untuk mencari sumber pendapatan. Beliau akan menghadiri sessi temuduga. Temuduga yang sudah menjadi satu bentuk 'pekerjaan baru' buat beliau. Bukan mudah untuk terus memujuk seorang lelaki yang hampir putus asa.


Tidak ada apa yang mampu aku lakukan sebagai seorang manusia yang serba kekurangan. Melainkan terus berdoa. Walaupun dia sering tersenyum dihadapan aku, namun aku tahu, jiwanya sedang menangis, hatinya sedang merintih, perasaanya sedang berkecamuk.

Wednesday, December 09, 2009

BLOG kurang upaya.


Kawan. Sahabat. Saudara.


Bila aku nyatakan hasrat untuk berhenti menulis. Ada beberapa orang teman yang menasihatkan supaya jangan mudah putus asa. Kena kuatkan semangat. "Kalau sudah tidak ada manusia yang mahu menghulurkan bantuan, Abang Long jangan ambil kisah, yang penting, kami tetap mahu membaca coretan Abang Long." Itulah antara kata perangsang yang aku terima.


Seorang sahabat pula berkata "Hari ini Abang long susah, dan Abang long catatkan kisah didalam blog ini, InsyaAllah, mana tahu dengan kuasa Allah, satu hari nanti Abang long jadi orang kaya, terkenal dan hebat ... waktu itu ... segala coretan diblog ini akan dibaca oleh ramai orang untuk mengetahui bagaimana seorang manusia yang satu ketika dahulu jatuh sejatuh jatuhnya, menjadi miskin fakir dan hidup melarat ... tiba - tiba boleh bangkit semula ... waktu itulah blog ini akan menjadi blog popular dan ramai yang akan membuat kajian ... dan yang pasti ... waktu inilah Abang long akan kenal ... SIAPA KAWAN, SIAPA SAHABAT, SIAPA SAUDARA dan SIAPA MUSUH!"


Aku terima pandangan itu. Tetapi aku juga memohon kemaafan kerana buat waktu ini, aku masih tidak punya kesempatan untuk mengunjungi dan melawat serta meninggalkan jejak diblog para penulis blog.

Monday, December 07, 2009

WANG bertaburan !


Kering kontang.


Jutaan warga asing datang dan mencari rezeki dibumi Malaysia ini. Mudah sungguh. YA, mudah sungguh mereka mendapat rezeki dibumi Malaysia ini. Kenapa mereka mudah mendapat rezeki ? Sebab mereka tidak memilih pekerjaan. Jadi kepada anda yang tidak mempunyai pekerjaan. Jangan memilih pekerjaan. Aku juga tidak pernah memilih pekerjaan. Terasa sungguh aneh. Bila segala ruang seolah sudah tiada untuk mencari rezeki. Memang sungguh aneh dengan kehidupan ini. Aku sudah merasai keanehan itu. Kini, aku hanya memandang kitab al ma'thurat yang sudah lunyai itu. 'Vice versa.'

Thursday, December 03, 2009

BOMOH. Bijak Wang.

Blogger BIJAK WANG.


Petang semalam, aku bertemu lagi dengan seorang penulis blog. Pertemuan diadakan di KFC Pelabuhan Klang. Sebelum bertemu penulis ini sempat bertanya "Abang long sudah habis pantang ? Sudah boleh makan ayam goreng ?" Aku hanya tertawa.


Aku sudah tidak mahu berfikir banyak. Nanti nampak tua. Aku teringat pesan seorang sahabat penulis blog. Kalau Allah hendak menghidupkan manusia, maka manusia akan terus hidup walau tanpa makan selama - lamanya. Jadi, kenapa aku mesti susah hati kalau tidak ada makanan ?


Terasa sungguh seronok bertemu dengan beberapa orang rakan penulis blog dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Mereka memberikan pelbagai cadangan, idea, rangsangan dan peluang.


Mereka tidak menghina, mengecam mahupun menjatuhkan harga diri aku yang sudah 2 tahun bergelar penganggur. Tetapi, mereka ini mendekati diri aku serapat - rapatnya hingga terasa percantuman nafas, darah dan daging sebagai SAUDARA SEAGAMA.


Mereka begitu banyak membantu aku. Sepertimana yang sering aku lafazkan. Aku bukannya hendak menjadi peminta sedekah. Aku hanya mahukan sumber pendapatan tetap. Aku hanya mahu mencari rezeki dengan kudrat dan tenaga upaya aku sendiri. Barulah aku rasa puas dengan setiap titisan peluh yang keluar dari tubuh aku.


Alhamdulillah. Penulis blog ini telah banyak memberikan tunjuk ajar. Ransangan. Peluang dan sebagainya. Ya, Alhamdulillah. Apabila sudah bertemu secara langsung. Bertentang mata. Bercakap dari hati ke hati. Sudah tidak ada lagi persoalan yang sering bermain dijiwa. Kami bebas untuk berbicara. Alhamdulillah.


Seorang sahabat penulis blog telah bertanya soalan yang paling sensitif tapi paling berharga dan begitu bermakna.


"Abang Long sudah tidak mahu bertemu bomoh lagi?"


Aku menjawab dengan penuh yakin dan dengan ketawa yang bersungguh - sungguh "Sebab sudah terlalu banyak bertemu bomoh, sekarang Abang Long tidak perlu bertemu dengan bomoh, kerana Abang Long sendiri sudah menjadi bomoh!"


# "Hahahahaha .... harta itu, Ahmad Albab yang punya ... hahaha"

Tuesday, December 01, 2009

Berjalan. Berlari.

Berjalan Serius V Berjalan Santai.


"Kalau anda boleh berlari, kenapa anda masih berjalan?"


Mana lebih baik, antara berjalan dengan gaya seorang tokoh korporat, tokoh politik, tokoh pemimpin agung. Berjalan dengan serius tetapi dengan membawa senyuman disepanjang perjalanan. Dengan roman wajah yang sentiasa manis dan senyuman sentiasa terukir dibibir.


Atau.


Berjalan santai dengan gaya seumpama seorang pesakit. Wajah yang sentiasa muram dan masam mencuka.


Malam tadi. Aku diketuk. Aku dipukul bertalu - talu. Aku dibelasah. Aku 'ditembak', semahu - mahunya !

Tuesday, November 24, 2009

KERJA PERCUMA. 5 HARI SAHAJA !!!


Memang SERIUS ! 5 HARI SAHAJA !


Sewaktu minum petang bersama seorang sahabat aku. Dia melontarkan cadangan ini. 'KERJA PERCUMA 5 HARI SAHAJA!'


Petang itu sungguh redup. Sambil menikmati minum petang di Coffee Bean. Aku duduk bersantai bersama sahabat aku yang baru sahaja selesai menjalankan tugasan dalam gereja berdekatan. Sahabat yang aku kenali dari zaman kanak - kanak. Hingga kini, beliau kekal menjadi paderi disebuah gereja di Petaling Jaya. Beliau bahagia dengan kehidupannya sekarang.


Buat pengunjung blog ini. Aku dengan ini mengisytiharkan bahawa ada seorang HAMBA ALLAH, yang bersedia untuk bekerja selama 5 hari, secara PERCUMA ! Dimana - mana pejabat atau syarikat. Khususnya dikawasan Klang, Pelabuhan Klang ataupun Shah Alam.


Tapi, dengan syarat yang ketat.


1 - Tidak perlu sessi TEMU-DUGA. Kerana Hamba Allah ini sudah fobia dengan TEMU & DUGA. Sudah beratus tempat Hamba Allah ini menghadiri TEMU&DUGA. Dan semuanya gagal.


2 - Hamba Allah ini akan bekerja atau bertugas dimana - mana syarikat dengan bersungguh - sungguh. Dan selama 5 HARI, khidmatnya adalah secara PERCUMA ! Tidak perlu dibayar !


3 - Seandainya pihak syarikat berpuashati dengan tugasan yang dibuat, maka Hamba Allah ini mestilah diterima bekerja secara tetap.


4 - Seandainya Hamba Allah ini tidak menepati sasaran atau gagal dalam tugasan didalam syarikat, maka pihak syarikat boleh terus mengeluarkan notis BERHENTI KERJA secara automatik. Tanpa sebarang syarat.


5 - Hamba Allah ini mempunyai keluarga dengan 5 orang anak yang masih kecil. Dan Hamba Allah ini sudah berusaha sepenuh nyawa untuk mencari kerja. Dan masih gagal untuk mendapatkan kerja. Dan sudah 2 tahun tidak mempunyai sebarang punca pendapatan.


6 - Tawaran ini HANYA bagi syarikat yang beroperasi di Klang, Pelabuhan Klang atau Shah Alam - SAHAJA.

7 - Resume akan diberikan atas permintaan sahaja.



Ada sesiapa yang berminat ? Sila tinggalkan komen didalam blog ini.


Ini bukan gurauan ! Ini bukan melawak ! Ini bukan acah - acah sahaja. TETAPI.
Kenyataan atau entri kali ini memang serius ! Benar - benar serius !


# Ingatlah pesanan Nabi. Barangsiapa yang memudahkan urusan saudaranya, maka Allah akan mempermudahkan urusannya.

Monday, November 23, 2009

Dalam Pelabuhan Klang


20 jam !


Ada yang sudah terlentuk diatas kerusi panjang. Ada yang merokok, berkepul - kepul asap memenuhi ruang menunggu. Ada yang asyik ber-sms. Begitulah keadaan beberapa orang sahabat yang sedang melaksanakan tugasan untuk mengeksport kontena.


Yang pasti, semuanya belum ada pengalaman langsung dalam urusan import dan eksport serta pengisytiharan dagangan. Hingga mereka 'buta' langsung tentang apa yang mereka perlu lakukan dalam kawasan pelabuhan.


Dan yang paling menarik. Sewaktu aku berada didalam kawasan pelabuhan itu. Ada satu sms yang membuatkan aku berasa perlu untuk memaklumkan sesuatu disini.


Buat waktu ini. Disaat dan ketika ini. Aku sedang berada di Klang. Dan sedang menjalankan tugasan sementara (bukan 'part time') tetapi sekadar membantu sahabat yang hendak mengeksport barangan ke luar negara. Aku diberikan upah untuk menunjuk ajar beberapa orang yang tidak tahu langsung tatacara untuk menjalankan tugasan didalam kawasan pelabuhan.


Tiba - tiba sahaja, aku merasa hiba bila mengenangkan sudah hampir 2 tahun aku tidak bekerja dan langsung tidak menjejakkan kaki kedalam kawasan pelabuhan. Satu ketika dahulu, aku pernah makan, minum dan tidur dalam kawasan pelabuhan. Malah, masa aku lebih banyak dalam kawasan pelabuhan dan dalam kapal berbanding dalam rumah sendiri.


Tiba - tiba seorang gadis yang turut serta dalam tugasan itu bertanya kepada aku "Bang, macam mana abang boleh buat kerja begini ... selama hampir 20 tahun ... sedangkan saya hendak menunggu selama 20 jam pun terasa bagai hendak tercabut nyawa!"


Aku hanya tersenyum.


# Dalam hati aku cuma berkata "gadis secantik awak rasanya tidak perlu berada dalam kawasan pelabuhan."

Saturday, November 21, 2009

Entri Khas. HAJI MABRUR buat Neeza dan suami.

Semoga mendapat Haji yang MABRUR ! AMIN.




Entri kali ini. Adalah entri khas buat seorang teman, seorang saudara, seorang sahabat, seorang muslimah yang entah kenapa terasa begitu dekat dihati Abang long dan keluarga. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya.


Benar, kami belum pernah bersua di alam maya. Tetapi pertautan hati diantara saudara muslim menyebabkan Abang long terasa begitu terkesan dengan beliau. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya.


Dikesempatan ini, aku, isteri dan anak - anak saban malam mendoakan yang terbaik buat Puan Neeza Shahril dan suaminya yang akan berangkat ke Makkatul Mukarramah bagi menunaikan ibadah haji.


"Ya Allah, Engkaulah yang mencipta segalanya, Engkaulah yang Maha Berkuasa, Engkaulah yang Maha Penyayang, Engkaulah yang Maha Pengampun .... Ya Allah, aku merayu kepada MU, aku bermohon kepada Mu, aku merafakkan sembah kepada MU, Ya Allah ... Engkau mudahkanlah, Engkau turunkanlah rahmatMU, KeredhaanMU, kasih sayangMU, perlindunganMU, buat insan yang kami sayangi ... kami pohon Engkau permudahkanlah perjalanan Puan Neeza Shahril dan suaminya bagi mendapatkan haji mabrur ... Ya Allah, Ya Rabb, Ya Mulk, Ya Kuddus, Ya Jalal ... kami merayu kepada MU ..." AMIN. AMIN. AMIN.



Semoga mendapat HAJI MABRUR wahai Neeza dan suami.

Friday, November 20, 2009

Thursday, November 19, 2009

AMUK (2)


BIL Api Kemarahan yang sedang meluap !

Yang pasti, hari ini ada satu lagi tempat untuk aku pergi temuduga.


Adakah aku perlu mengamuk baru orang ramai hendak menghulurkan bantuan ?


Kalau aku sudah mengamuk. Rasanya orang ramai tidak perlu tahu, kenapa aku MENGAMUK !


Aku minta cara baik. Aku memohon dengan wajah penuh mengharap. Aku merayu dengan cara paling berhikmah. Hatta, ORANG ASING pun mudah dapat kerja di bumi Semenanjung Tanah MELAYU ini. Yang menghairankan, aku orang Melayu pula yang sukar untuk mendapatkan kerja. Aku MEREMPAT !


Kalau aku masih bujang, aku tidak kisah. Tapi kini, aku ada 5 orang anak dan satu isteri sahaja. Untuk disara.