Friday, August 29, 2008

Kisah Anak Bangsa.


Kerajaan Melayu Melaka yang sudah berkuasa selama 110 tahun di ambang kejatuhan akibat perpecahan dari dalam. Apabila pemerintah berlaku zalim, para pembesar berebut kuasa maka adu domba dan fitnah bagaikan api yang membakar ketuanan Melayu. Akhirnya pada tahun 1511, Kerajaan Melayu Melaka dilenyapkan oleh Portugis. Ekoran daripada itu, bangsa Melayu dijajah selama 446 tahun.


# Satu kisah sejarah yang perlu dimiliki. Dihasilkan dalam bentuk novel. Penulisan mengikut 'kaca mata' anak pribumi.

Memang menarik. Satu kisah sejarah yang sarat dengan fakta, dan disertai dialog dan plot serta klimaks.








Si Bongkok Tanjung Puteri menentang Inggeris dan mereka yang dimusuhinya, berlatar belakangkan negeri Johor yang dahulunya dikenali dengan nama Tanjung Puteri. Tokoh realiti ini pernah menjadi sebutan di kalangan rakyat negeri Johor suatu ketika dahulu. Si Bongkok Tanjung Puteri sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mempertahankan tanah airnya. Namun seperkasa manapun fizikal dan semangatnya menentang kuasa penjajah, dianggap sebagai penderhaka yang namanya tidak tercatat dalam lipatan sejarah.


# Adakah mempertahankan tanahair dianggap sebagai pengganas dan pemberontak ?


Dapatkan jawapannya melalui novel ini.


# Bagi anda yang menetap di kawasan - Klang, Pelabuhan Klang, Sri Andalas, Pandamaran, Bandar Sultan Suleiman dan Shah Alam. Penghantaran adalah PERCUMA. Dapatkan segera sempena dengan HARI KEMERDEKAAN.

# Sila emelkan pesanan anda ke - safmi_80@yahoo.com

Wednesday, August 27, 2008

Menjelang RAMADHAN (2)

Ke garisan ... bersedia ...


Tersembur keluar air Horlick dari dalam mulutku. Apabila anak - anakku belajar bagaimana untuk melafazkan kata - kata dan niat untuk memulakan puasa. Isteri ku berkata kepada anak - anakku. "Ok, sebelum kita buat apa - apapun, kita mesti ada niat, dan lafaz".


Lalu anak ku yang ketiga, yang berada didalam darjah tiga, terus sahaja menyatakan yang dia tahu bagaimana hendak melafazkan kata - kata sebelum niat untuk berpuasa.


Dengan penuh keyakinan dan dengan lantang, dia melafazkan ayat yang berbunyi "Nawaitu saw maghribi an ada..."


Apa lagi, seluruh ahli keluarga tertawa dengan lafaz yang diucapkan itu. "Mana datang maghribi tu?" Aku bertanya sambil tertawa yang tidak boleh dihentikan. Terasa senak perut dibuatnya.


"Eh ... " Sambil tersenyum dia menggaru kepala, dia melihat ke wajah ibunya. "Tak betul ke ....?" Dia bertanya meminta kepastian.


Lalu aku masuk campur dengan berkata "kalau lafaz untuk solat, itu betul", "contohnya "usalli fardhal maghribi ...", "tapi, kalau untuk lafaz puasa, nawaitu saw maghadin ...." aku menyebut lafaz itu dengan terang dan jeas.


Aku lantas memberikan panduan utuk memulakan puasa. Akhirnya, anak ku yang sulung berkata "oh, kalau macam tu, kita sekarang berada di ambang Ramadhan ... sudah hampir ... macam orang nak berlari .... ke garisan ... bersedia ..."


Tidak sukar untuk membimbing si kecil.

Monday, August 25, 2008

Menjelang RAMADHAN (1)

Muhasabah dan kritik diri sendiri.


Sewaktu hendak memasuki dunia blog. Dan sewaktu hendak menyertai dan memeriahkan dunia blog. Ada beberapa orang sahabat yang memberikan pelbagai pandangan. Dan kesemua cadangan, pandangan atau maklumbalas itu akan terima dengan lapang dada. Yang penting adalah niat. Dan biarlah apa yang kita lakukan itu adalah kerana Allah. Kita berkongsi kisah suka duka dan dalam masa yang sama kita menegur untuk kebaikan dan mendidik dalam situasi harmoni.


Setelah 3 tahun aku berblog. Setelah aku masuk ke blog - blog lain dan ratusan jumlahnya. Aku dapati ada satu unsur yang kurang harmoni. Dimana, seperti yang semua bloggers ketahui dan maklumi. Dimana, terdapat mereka yang meninggalkan jejak yang tidak mempunyai sikap sebagai seorang muslim yang baik.


Aku sedar. Blog aku dan jutaan blog lagi. Akan dilawati dan dikunjungi oleh manusia yang pelbagai. Antaranya, ada pengunjung muslim dan 'non-muslim.'


Dan satu perkara yang pasti. Blog PERIBADI adalah tetap sebagai blog peribadi. Terpulang kepada pemiliknya untuk menulis dan mencatatkan apa yang dia suka. Tiada halangan. Cuma, apabila pemilik blog itu seorang muslim. Maka ada tanggungjawab tertentu yang perlu dilaksanakan.


Satu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah. Bukan semua atau setiap apa yang berlaku akan diceritakan secara terperinci oleh bloggers didalam blog masing - masing. Kerana, berkemungkinan akan mendedahkan kekurangan atau keaiban diri sendiri, mahupun insan lain.


Ada pengunjung yang menjadi pembaca sahaja atau dikenali sebagai 'silent reader'. Ada pembaca yang sering meninggalkan jejak dan mempunyai pelbagai nama. Namun, kepada semua bloggers. Aku yakin, kalian juga akan berhadapan dengan pengunjung dari spesis yang pandai menegur dan mengkritik, tetapi tidak mempunyai fikiran terbuka. Andainya mereka seorang Islam, maka mereka tidak mempunyai ciri - ciri sebagai seorang muslim yang baik.


Bagi aku mudah sahaja. Andainya mereka seorang muslim. Maka, mereka perlu mempunyai keberanian untuk menegur dan niat kerana Allah. Tidak perlu menggunakan panggilan - 'anonymous'.


Aku lebih menghormati dan menghargai, mereka yang mempunyai keberanian dan keikhlasan untuk memberikan teguran secara beradab sebagai seorang muslim. Seperti aku telah nyatakan tadi. Bukan semua yang terjadi didalam kehidupan seorang bloggers itu diceritakan dan didedahkan untuk bacaan dan tatapan orang lain.


Sejujurnya, aku merasa terharu dengan sikap yang diambil oleh ramai pengunjung blog ini. Dimana, mereka mengambil sikap sebagai seorang muslim yang baik, dengan berusaha mengirimkan emel secara peribadi kepadaku. Bertanyakan khabar, menjalinkan ukhuwwah, menyelidiki perkara sebenar. Dan akhirnya bertemu di alam maya dan barulah terang dan jelas duduk perkara sebenar apa yang berlaku dan apa yang TERSURAT.


Akhirnya, nasihat aku kepada - anonymous. Sempena dengan kehadiran Ramadhan yang mulia ini. Ambillah sikap sebagai seorang muslim yang baik. Dengan menjalinkan ukhuwwah sesama muslim. Jika ragu - ragu dan tidak pasti dengan keadaan semasa. Adalah lebih aula untuk tidak meninggalkan jejak dan memberikan kritikan yang boleh mengeruhkan keadaan.


Setiap manusia PASTI ada kekurangan. Yang penting, berusahalah menjadi seorang muslim yang baik dan tiada KEKURANGAN bila berada di hadapan RABB di padang mahsyar kelak.

Sunday, August 24, 2008

Menjelang RAMADHAN

BERSAMA MU

Kedengaran seperti iklan talian komunikasi. Ya, bila dihitung. Berapakah tempoh atau masa yang kita berikan untuk tuhan yang MENCIPTA kita ?

Campur, tolak, bahagi dan darab. Seandainya dalam satu hari kita luangkan masa selama 20 minit untuk bersolat, berzikir dan membaca al-qur'an. Ini bermakna, kita hanya luangkan masa selama 100 minit (I jam 40 minit) untuk - BERSAMA MU.

Bila aku melihat rekod dan bil telefon bimbit yang tiba. Aku telah meluangkan masa selama 130 minit. Untuk berbual dan meluangkan masa bersama manusia, melebihi dari masa yang aku berikan untuk 'berbual' dan meluangkan masa - BERSAMA MU.

24 jam ditolak 2 jam 10 minit. Kurang lebih aku ada berbaki 22 jam lagi lagi. Namun, ujian yang Allah berikan kepada aku terasa begitu hebat. Hingga ada ketikanya aku seperti terlupa dan terleka untuk - BERSAMA MU.

Semoga kehadiran Ramadhan ini. Aku dan seluruh umat Islam akan mempunyai lebih masa yang diperuntukkan untuk - BERSAMA MU.

Saturday, August 23, 2008

Bicara Bisnes (18)

Peti Sejuk dan Telefon bimbit. Dua taukeh.

Syukur Alhamdulillah. Akhirnya peti sejuk telah dibaiki. TERIMA KASIH kepada Hamba Allah yang telah menghulurkan sumbangan wang.

Tidak terucap rasa kesyukuran. Sekarang aku sudah boleh menjalankan kembali bisnes dadih yang telah terhenti beberapa ketika.

Bayaran sebanyak RM250. Telah dilunaskan. Kerosakan dibahagian pintu, iaitu getahnya terpaksa ditukar. Dan kawasan simpanan gas telah ditutup.

Sambil berjalan di deretan kedai. Tiba - tiba mataku terpempan ke arah sebuah peti sejuk baru. Tertera harganya RM550. Aku merenung sambil menggaru kepala.

# Aku menyesal kerana tidak membuat pemerhatian terperinci.



Aku memang tidak keruan. Aku gelisah. Aku garu kepala semahu - mahunya. Aku MALU !

Seorang HAMBA ALLAH telah memberikan sebuah telefon bimbit baru kepadaku. Aku rasa macam nak lari. Aku tidak tahu apa hendak cakap lagi. HAMBA ALLAH ini seorang sahabat. Tetapi dek kerana keikhlasan beliau. Aku terima jua pemberian itu.

Ya ALLAH. Dalam tempoh dua hari. ENGKAU memberikan rezeki dari sumber yang tidak terfikir oleh akal.

"Ya ALLAH yang MAHA BERKUASA dan MAHA HEBAT. Aku bermohon kepadamu YA ALLAH. Supaya ENGKAU panjangkan umur, murahkan rezeki, berkatilah, rahmatilah, dan berikan kesihatan yang baik buat mereka yang ikhlas membantu aku. Yan pasti aku tidak akan mampu membalas JASA mereka yang terlalu besar. Hanya kepadaMU aku serahkan segala - galanya."

"Mana abang dapat duit dan telefon bimbit ini?" Soal isteri ku meminta penjelasan.

"Rezeki turun dari langit... Malaikat yang hulurkan" aku menjawab dengan serius.

Friday, August 22, 2008

NOVEL MERENTAS MASA

TRILOGI BAGAIKAN PUTERI.

Sebuah majlis berwarna - warni. Meraikan novelis thriller tersohor negara - RAMLEE AWANG MURSHID.

Dipetik dari Laman Web ALAF 21.

Wednesday, August 20, 2008

KHIDMAT MASYARAKAT.

Bermula dengan - BAGAIKAN PUTERI.
Disusuli dengan - CINTA SANG RATU.
Kini trio menjelma - HIJAB SANG PENCINTA.

Ratusan ribu peminat novel, khususnya peminat RAMLEE AWANG MURSHID. Sedang menunggu dengan penuh debaran. Pelancaran trio novel - HIJAB SANG PENCINTA.

Bagi peminat novel ALAF 21. Aku akan membuat penghantaran secara PERCUMA. Bagi pesanan minimum 2 buah novel. Kawasan tersebut adalah - Klang, Pelabuhan Klang, Sri Andalas, Pelabuhan Utara dan Shah Alam.

HIJAB SANG PENCINTA adalah novel terbaru hasil karya RAMLEE AWANG MURSHID. Akan berada di pasaran pada 30hb Ogos. Namun, bagi sesiapa yang ingin mendapatkan awal, sila kirimkan emel ke alamat - safmi_80@yahoo.com dan novel tersebut akan dihantar ke rumah anda. PENGHANTARAN percuma adalah tertakluk kepada minimum 2 buah novel. Dan kawasan penghantaran percuma adalah seperti dimaklumkan diatas.

Sunday, August 17, 2008

Bicara Bisnes (18)

Hilang Sumber Pendapatan. Hilang Kata - Kata, Semangat Pun Hilang.

Aku terus terdiam. Aku membisu seribu bahasa. Aku sudah tidak mampu untuk berfikir lagi. Aku sudah hilang daya. Aku terduduk.

Satu lagi benteng telah ROBOH. Benteng untuk aku berpaut. Benteng penguat semangat.

Kini, bisnes yang aku jalankan telah berhenti. Terhenti. Aku sudah tidak ada daya lagi buat masa ini.

Kepada pengunjung dan juga pembeli dadih. Aku harap kalian mengerti. Buat masa ini, aku tidak dapat membuat atau memproses dadih. Disebabkan peti sejuk, satu - satunya peti sejuk yang ada di rumahku telah rosak.

Gas bocor. Lantai bahagian dingin beku telah berlubang. Semua barang didalamnya terpaksa dibuang akibat rosak.

Aku terus terdiam. Aku membisu seribu bahasa. Aku sudah tidak mampu untuk berfikir lagi. Aku sudah hilang daya. Aku terduduk.

Satu persatu ujian dan musibah datang silih berganti. Aku hanya melihat isteriku yang bertafakur di atas sejadah. Wajahnya tunduk ke lantai.

Esok. Aku tidak tahu bagaimana nasib aku. Aku tidak pasti nasib isteri dan anak -anak aku. Aku harap sesuatu yang ajaib berlaku.

Aku tetap percaya kepada ayat - ayat Allah. Seandainya DIA tidak lagi memberikan rezekiNya, maka DIA akan 'memanggil pulang' seseorang manusia itu.

Saturday, August 16, 2008

Bicara Bisnes Yang Tiada Bicara.


Tidak mahu ianya berlaku, tetapi telah berlaku, aku berteleku.


Aku mengurut belakang badan ibu ku. Berselang dengan ayah ku. Ibu ada asthma. Ayah menghidap paru - paru kronik. Ibu termengah - mengah untuk bernafas. Ayah kelihatan mencungap - cungap.

Ini sahaja daya aku. Mengurut dan terus mengurut. Baru dua hari lepas, adik - adikku membawa ibu ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Waktu itu, aku sahaja yang tidak ada di kampong.

Sewaktu mengurut itulah. Aku terima panggilan dari rumah di Pelabuhan Klang. Aku sengaja membiarkan telefon bimbitku berbunyi hingga tamat lagu. Ibuku bertanya "awat hang tak angkat tadi?"

Aku menjawab berbasa - basi. "Telefon bimbit ni rosak, cuma boleh sms je".

Lalu aku memohon keizinan untuk menggunakan telefon di rumah orang tua ku. "Uzair, kenapa telefon abah?"

"Abah, peti sejuk bau macam benda terbakar" anakku terus menjawab sambil memberikan maklumat yang penting.

Aku terus sahaja memberikan arahan "sekarang pergi tutup suis, dan jangan buat apa - apa".

Aku meletakkan telefon. Beberapa minit kemudian, aku mendail semula nombor telefon rumahku. Dan panggilan dijawab oleh anak ku sekali lagi. "Uzair, dah tutup suis peti ais?" Aku terus sahaja bertanya. "Sudah, Jai rasa peti ais kita terbakar" anakku menjawab dalam nada bimbang.

Setelah lewat petang, lebih kurang jam 6. Aku menghubungi isteri ku yang baru pulang dari mengajar. Aku bertanya tentang kedudukan peti sejuk di rumah. Isteri aku mengesahkan tentang bau yang berlegar dalam rumah ku adalah disebabkan oleh kebocoran gas pada peti sejuk.

Setelah meletakkan telefon.

Aku terus terdiam. Aku terus terduduk. Aku tidak dapat bercakap. Aku tidak dapat berfikir lagi. Aku hilang semangat. Aku pasrah. Yang pasti, gugur lagi air mata ku.

Aku masuk kedalam bilik air. Aku terus sahaja menangis.

Kepada pengunjung blog ini. Aku tidak menulis dalam keadaan emosional keterlaluan. Aku bukan menangis tidak bersebab. Cuma, aku rasa sebak, disebabkan aku adalah manusia yang dilahirkan normal dan mempunyai perasaan.

Begitu hebat ujian dari Allah. Dan kini, yang pasti. Aku sudah tidak mampu lagi berhadapan dengan ujian dari NYA.

Aku serahkan segala - galanya kepada Allah. Aku pasrah.

AH ! Takkan peti sejuk rosak pun engkau menangis ?

Bukan kerana peti sejuk rosak aku menangis. Aku menangis kerana, dengan peti sejuk itulah, dan itulah satu - satunya peti sejuk yang aku ada. Aku menjalankan bisnes aku, menyara kehidupan dan "MENGHIDUPKAN NYAWA ANAK - ANAK KU !!!"

Namun aku pasrah. Allah MAHA mengetahui segala - galanya.

"YA ALLAH, aku bermohon kepada MU. Cukuplah, cukuplah engkau berikan ujian dan dugaan kepadaku... AKU TEWAS!"

Thursday, August 14, 2008

TAZKIRAH (2)

Mohon simpati...

Bagi mereka yang telah menerima emel secara peribadi. Harap maklum. Bahawa pada malam ini, sekali lagi bacaan Yaasin akan diadakan.

Mohon simpati untuk mendo'akan keselamatan dan kesejahteraan buat diri Abang Long.

TERIMA KASIH.

Bicara Bisnes (17)

MERENUNG bukan BERMENUNG.

"Mengapa kau bermenung, oh adik, berhati bingung."
"Sekarang bukan bermenung, zaman bermenung."

Itu adalah antara lirik lagu SEROJA.


Selepas 4 kali berulang alik. Antara rumahku dan beberapa pejabat disekitar kawasan perindustrian di Pelabuhan Utara, kerana menghantar bekalan produk yang dipesan. Jarak antara rumahku dan Pelabuhan Utara adalah sejauh 6 kilometer. Ini bermakna pergi dan balik, adalah 12 kilometer. Jadi, keseluruhan jarak pergi dan balik untuk 4 kali pusingan adalah sejauh 48 kilometer.

Dan aku membawa produk dalam motor. Ke arah Pelabuhan Utara, bersaing dengan kereta dan lori serta treller yang membawa muatan kontena.

Setiap kali keluar dari rumah. Aku melihat wajah isteriku seperti tidak keruan.

Sebaik selesai menghantar produk. Aku berhenti melepaskan lelah di Masjid Sultan Suleiman, Pelabuhan Utara. Sementara menantikan masuknya waktu solat Asar. Usai berwuduk, aku berbaring dan melepaskan pandangan ke arah siling bangunan.

Aku merenung dan memikirkan untung nasib hari itu. Aku tidak mahu mengeluh. Aku cuma merancang, sedikit wang hasil jualan aku mesti disimpan untuk membeli telefon bimbit yang baru. Kerana aku rasa lenguh dan sengal jari - jemari aku untuk menaip sms. Semenjak telefon bimbit aku rosak dibahagian pendengaran (speaker). Aku hanya boleh ber-sms sahaja. Ini sudah tentu merugikan. Kerana setiap sms, bermakna wang juga mengalir keluar dari poket aku.

Bagi aku, telefon bimbit terlalu penting untuk aku meneruskan usaha niaga. Biarlah kereta aku rosak dan belum dibaiki lagi. Biarlah. Esok bila aku ada lebih wang, aku akan baiki kerosakan itu. Yang penting aku mesti memiliki telefon bimbit terlebih dahulu.

Lamunanku berkecai. Apabila azan dilaungkan. Dan serentak itu pula masuk sms yang baru.

"Bang, dadih mmg best, mak kata nak order utk raya, standby ye bang - Shahril".

Aku terus sujud syukur. Hanya ENGKAU sahaja yang layak menerima pujian.

Tuesday, August 12, 2008

Bicara Bisnes (16)

TERIMA KASIH DATIN.


Tiada kata seindah bahasa. Itulah yang dapat aku ucapkan buat insan yang bernama Datin Ani. Seorang yang aktif menjalankan program di Surau At Takwa, Seksyen 7, Shah Alam.

TERIMA KASIH. Itu sahaja yang mampu aku ucapkan kepada Datin Ani. Atas kesempatan yang diberikan oleh beliau kepada aku untuk membuka tapak gerai bagi menjual kerepek dan novel.

Aku mengucapkan syukur yang tidak terhingga, kerana berpeluang untuk menjalankan bisnes didalam kawasan surau.

Sememangnya aku agak terkilan sedikit, kerana tidak dapat menjual dadih pada hari tersebut. Ini disebabkan kuantiti yang diperlukan tidak mampu untuk dilaksanakan. 100 bekas adalah untuk Surau At Takwa, dan 100 bekas lagi untuk seorang lagi blogger.

Peti sejuk dirumah aku bersaiz kecil. Setelah semua barang didalamnya dikeluarkan. Kami hanya mampu untuk menyusun sebanyak 130 bekas sahaj. Manakala 70 bekas lagi terpaksa disimpan @ disewa dirumah ibu mertua dan adik ipar yang tinggal berdekatan.

Isteriku berkata, kalau ada pesanan hingga 1000 bekas sekalipun, dia masih mampu membuatnya, tetapi dengan syarat ada bekas penyimpan yang besar dan bersesuaian. Kami pernah membuat pemerhatian, dimana sebuah peti sejuk (chiller) yang sederhana besar, berharga RM1,800. Namun apakan daya, impian tersebut terpaksa dipendam terlebih dahulu. Untuk mengharapkan Pusat Zakat Selangor (permohonan telah dibuat, tetapi terpaksa menunggu hingga 6,7 bulan lagi ataupun mungkin memakan masa bertahun), aku tidak pasti kalau Kerajaan Selangor dibawah Pakatan Rakyat bersedia membantu dan prihatin dengan masalah orang miskin seperti aku.

Apapun, aku mengucapkan TERIMA KASIH kepada Datin Ani. Kerana memberikan peluang dan ruang untuk aku menjalankan bisnes pada hari tersebut. Dapatlah aku sedikit rezeki untuk menyambung kehidupan keluarga.

"Ya Allah, aku bermohon kepadaMU, supaya ENGKAU panjangkan umur, murahkan rezeki, sihatkan tubuh badan dan lapangkan serta rahmati akan mereka yang telah membantu aku"



TUKAR STRATEGI.


Bila aku menjual kerepek sebagai barangan jualan bersama dengan dadih. Aku menghadapi sedikit kesulitan. Dimana, kerepak yang dijual adalah dibungkus mengikut suasana perayaan. Dibungkus dalam bekas atau plastik yang besar, dan berharga diantara RM5 - RM8.

Sekarang, aku mengambil keputusan untuk 'repacking' dalam saiz kecil. Dan dijual dalam harga cuma RM1.00 sebungkus atau sepeket. Ini memudahkan pembeli, samada kecil mahupun dewasa. Dan pembeli boleh membeli beberapa perasa atau citarasa dalam satu waktu.

Dan strategi itu agak berjaya. Dimana, sewaktu program di Surau At Takwa, Seksyen 7, Shah Alam. Jualan kerepek meningkat. Dan begitu laku hingga anakku tak menang tangan. Walaupun untungnya kelihatan sedikit untuk sebungkus, tetapi 'volume' nya besar.

Disamping itu, hakikat yang tersirat adalah, supaya anakku tidak menghadapi kesukaran untuk membuat urusniaga. Kerana harga jualannya adalah RM1.00. Senang untuk dikira.



URUSNIAGA BARU.


Siapa kata novel tidak boleh dijual dalam program dakwah ?

Aku gunakan kesempatan untuk menjual novel Islami, novel pejuang Islam. Hasil karya Abdul Latip Talib. Menceritakan tentang kisah sejarah dan pengorbanan pejuang Islam. Ramai yang datang ke gerai aku dan membelek novel tersebut. Dan ada beberapa orang yang kagum dengan novel tersebut lalu membelinya.

Cara aku menjualnya mudah sahaja. Ini adalah kisah sejarah, kalau ada sesiapa yang bosan membaca catatan sejarah, maka novel ini tidak akan membosankan kerana mengandungi dialog, plot serta ada klimaks. Dan bagi sesiapa yang berminat dengan bahan sejarah, maka novel ini dikarang mengikut fakta sejarah.

Beberapa orang (aku merasakan mereka ini adalah pensyarah) telah menyatakan keinginan mereka untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang novel ini. Dan mereka menyuarakan hasrat untuk mendapatkan novel ini untuk disebarkan kepada pelajar mereka.

Ini bermakna satu lagi urusan bisnes sedang dijalankan.

Thursday, August 07, 2008

TAZKIRAH (1)

MOHON SIMPATI.



Selepas solat Maghrib, bacaan Surah Yaasin akan dimulakan ...

Menghadap Tuhan.

Gegar.

Baca Al- Fatihah dan Ayatul Kursi. Tarik nafas dalam - dalam. Terasa bergegar tubuh ku ini.

Rasa seperti orang tidak siuman. Memang rasa macam nak lari.

Ya Allah. Aku letih yang teramat sangat.

Wednesday, August 06, 2008

TERUS BERUSAHA.

Tolong do'akan sahaja...

Setelah 11 bulan, aku bersabar dan redha dengan ujian Allah. Akhirnya, Doktor menyatakan bahawa, aku tidak menghidapi apa - apa penyakit. Aku terima penjelasan. Setelah pelbagai ujian dilakukan. Luaran dan dalaman secara terperinci.

Perubatan secara tradisional juga telah dilakukan. InsyaAllah, malam ini, aku akan melakukan pengubatan melalui perubatan Darul Syifa'. Selagi hayat dikandung badan. Selagi itu aku akan tetap berusaha.

Buat teman dan sahabat yang mengenali aku di alam maya dan juga di alam siber. Hanya satu permintaan setulus ikhlas dariku.

Do'akan keselamatan dan kesejahteraan aku. Untuk itu, aku ucapkan TERIMA KASIH.

Bicara Bisnes (15)

Motor kedai.


KESELAMATAN. Itu adalah isu paling utama. Tiada kompromi !


Aku pastikan motor aku berada didalam keadaan yang paling baik. Kerana motor aku adalah umpama 'nyawa'. Kemana sahaja aku pergi, itulah kenderaan yang aku gunakan. Yang paling utama, segala barangan atau produk aku ada didalam motor.


Ada yang bertanya kehairanan. Abang Long bawa semua sekali ?


"Kenapa, tak percaya ?" Aku bertanya kembali. "Cuba lihat benggali atau Pakistan jual roti, apa jenis roti yang tidak dibawanya ?"


Ya, semuanya ada, untuk kemudahan pelanggan dan pengguna yang dihormati. Ada produk dadih, ada barangan herba, ada kerepek, ada sabun. Malah dalam raga motor ada novel untuk dijual.


Cuma, kalau ada pesanan untuk dadih atau produk lain dalam kuantiti yang banyak, barulah aku gunakan kereta kancil. Itupun adalah perkiraan terakhir. Seandainya boleh, aku tetap membawa produk menggunakan motor. Syukur alhamdulilah, setakat ini, kalau ada pesanan yang banyak dan perlu ke beberapa tempat, maka aku gunakan van kepunyaan saudara aku.


Dan pengalaman paling pahit dan kering yang tidak akan aku lupakan hingga ke padang mahsyar adalah. Bila motor aku pancit dua kali, dalam satu masa. Kali pertama, sewaktu berada dikawasan Batu 3, tidak jauh dari Stesen Komuter Batu 3. Aku menolak motor lebih kurang 2 km. Letihnya memang tidak terucap.


Bila jumpa kedai motor, usai ditukar tiub. Aku meneruskan kembali perjalanan. Tidak sampai 30 minit, sekali lagi motor aku pancit, waktu itu aku berada dikawasan Shah Alam. Aku rasa macam nak menangis. Waktu itu jam sudah menunjukkan pukul 6.30 minit petang, angin bertiup kencang, dilangit sudah menunjukkan tanda hujan akan turun. Bila aku periksa, aku dapati aku hanya membawa baju hujan. Sedangkan kotak aku tidak dapat ditutup.


Mahu atau tidak, aku terpaksa menolak motor aku perlahan - lahan. Paling tragis, aku menolak motor aku didalam hujan yang turun mencurah - curah, selebat - lebatnya. Sewaktu menolak motor dikawasan dimana air bertakung, pemandu kereta dan lori yang lalu tidak menampakkan perasaan kasihan langsung, air yang bertakung diredah. Menyebabkan air percik dan menyimbah tubuh aku.


Tiba dirumah, azan Isya' berkumandang. Ya, aku telah meninggalkan solat Maghrib. Apakan daya aku Ya Allah.


Isteri aku menyambut kepulangan aku dengan senyuman. "Muka abang basah, nampak kotor" isteriku berbasa basi. Aku hanya tersenyum.


Wahai sayang. Muka abang memang basah. Sebab, kena air hujan, air longkang dan bercampur dengan air mata yang mengalir.

Monday, August 04, 2008

Bicara Bisnes (14)

Dadih dalam Komuter.


Aku menerima tempahan dadih, dari seorang pelanggan yang menetap di Pantai Dalam. Setelah memikirkan semua faktor. Aku merasakan bahawa, penghantaran melalui komuter adalah paling berkesan.


Faktor paling utama adalah, kawasan tempat tinggal pelanggan tersebut adalah berhampiran dengan Stesen Komuter Pantai Dalam. Kalau hendak dihantar dengan motor, rasanya memang tidak sesuai. Kerana jumlah yang dipesan agak banyak. Kalau hendak dihantar dengan kereta, rasanya tidak berbaloi, kerana mesti membayar segala kos. Maka penghantaran melalui komuter adalah paling sesuai.


Setakat ini, ini adalah penghantaran yang paling jauh aku buat. Itupun disebabkan pelanggan itu bersetuju untuk membayar kesemua kos yang terbabit.


Tetapi, aku tidak tahu dimana silapnya. Sejak dari awal pagi, setelah aku mengirimkan sms, memaklumkan yang aku akan membuat penghantaran. Sms yang dikirimkan tidak berjawab langsung. Aku mula rasa curiga. Namun aku kuatkan hati, untuk membuat penghantaran. Hinggalah aku tiba di Stesen Pantai Dalam, aku masih mengirimkan sms, namun masih tidak berjawab.


Aku pun terus menggunakan telefon awam untuk membuat panggilan, kerana telefon bimbit aku mengalami masalah teknikal, dimana setiap kali aku menekan butang penerimaan, talian akan terputus.


Panggilan aku juga tidak berjawab. Si pelanggan itu telah menutup talian telefon bimbitnya. Aku merasa resah, marah dan terkilan dengan cara begini. Aku merasa ditipu.


Hingga jam 3 petang, aku terus mencuba nasib. Ini bermakna telah lebih 5 jam aku terus mencuba dan bersabar menanti. Namun tidak mendapat jawapan kembali.


Diwaktu itu, aku terasa bagaikan hendak menitis air mataku ini. Mengenangkan aku telah diperlakukan sedemikian rupa.


Aku bukannya orang senang. Inilah cara dan bisnes untuk aku menyara kehidupan keluarga, yang semakin terhimpit dan tertekan. Setelah syarikat dimana aku bekerja ditutup, ini adalah sumber utama rezeki aku sekeluarga.


Akhirnya, hampir jam 4 petang. Aku mengambil keputusan untuk pulang kerumah bersama sekotak besar berisi dadih. Sudahlah kotak itu besar dan berat. Penumpang komuter pula penuh dan sesak. Aku hanya mampu menahan segala perasaan yang bercampur baur.


Setibanya aku dirumah. Isteriku melihat dengan penuh kehairanan. Akhirnya, aku ceritakan segala apa yang telah berlaku. Dia hanya menggeleng kepala, dan aku dapat rasakan yang isteriku menahan perasaan dengan apa yang terjadi.


Aku belajar banyak perkara dengan peristiwa ini. Aku boleh bersabar dengan dugaan sebegini. Cuma aku tidak mampu melihat air mata isteri ku terus bergenang.

Saturday, August 02, 2008

Bicara Bisnes (13)

Sabarlah wahai saudaraku,
Sabare wak,
Sabo je.


Disaat perniagaan aku mula mendapat maklumbalas, disaat inilah telefon bimbit mengalami masalah teknikal.


Aku ketawa sekuat - kuatnya. Ya Allah, ini adalah ketentuan-MU. Betapa hebat ujian dari MU.


Bila setiap panggilan terputus. Aku terpaksa menghantar sms, menerangkan duduk perkara sebenarnya. Dan ini adalah ayat yang paling banyak aku terima:


"Sabarlah wahai saudaraku"
"Sabare wak"
"Sabo je".


Hendak atau tidak, mahu atau tidak. Kehidupan mesti diteruskan. Maka aku terpaksa menyediakan hampir RM50, dalam bentuk wang syiling. Aku rasa lenguh dan sengal untuk terus menaip sms. Maka aku terpaksa menggunakan telefon awam untuk menjawab balik panggilan yang terputus.


Kepada pemanggil, ini adalah pesanan setulus ikhlas dariku - HARAP BERSABAR.