Wednesday, February 04, 2009

WAHAI WAKIL RAKYAT.

POLITIK V SUNNAH.


Yang dihebohkan ialah tentang politik. Yang dikecohkan ialah tentang pergolakan akibat tindakan wakil rakyat yang tidak menjaga amanah rakyat. Akhbar arus perdana menyiarkan berita itu dimuka hadapan. Bagaimana teruknya krisis yang berlaku.


Sejujurnya, sudah hampir 20 tahun aku tidak membeli akhbar arus perdana. Nanti disatu ketika, dilain waktu aku akan kisahkan, kenapa aku mengambil tindakan tersebut. Bagi aku, akhbar arus perdana tidak dapat memberikan pengisian ilmu dan bersikap jujur terhadap agama Islam.


Bila aku menghubungi beberapa orang saudara mara aku yang menetap di daerah Changkat Jering. Mereka memaklumkan bahawa kehidupan mereka adalah seperti biasa. Tiada kekecohan yang berlaku. Berlainan dengan gambaran yang diberikan oleh akhbar arus perdana, yang cuba menggambarkan bahawa kerajaan Negeri Perak akan tumbang.


Cukup. Aku bukan seorang penyokong fanatik atau ahli UMNO atau BARISAN NASIONAL.
Aku juga bukan seorang penyokong tegar PAS atau KeADILan atau PAKATAN RAKYAT.


Aku hanyalah seorang rakyat Malaysia yang telah menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan menjadi seorang pengundi. Telah 5 kali aku mengundi. Aku tidak pernah bersorak bila BN menang. Aku juga tidak melonjak kegembiraan bila PAS menang.


Usai pilihanraya. Kehidupan aku 'begitu-begitu juga.' Tiada perbezaan. Kalau adapun mungkin disebabkan aku dinaikkan pangkat oleh pihak majikan, 5 tahun yang lalu, maka aku boleh 'bermewah' sedikit.


Aku tidak mahu membebel menceritakan tentang wakil rakyat dinegara kita. Aku yakin dan aku pasti tentang satu perkara. Kalau dibuat 'survey' tentang wakil rakyat dinegara kita. 9:10 orang akan menyatakan rasa tidak puas hati.


Aku membayangkan tentang satu perkara yang MESTI diambil iktibar oleh setiap wakil rakyat yang beragama Isalam. Yang penting ialah setiap wakil rakyat beragama Islam telah MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH. Maka, aku rasa tidak perlu untuk menyatakan 'tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang mengucap dua kalimah syahadah.'


SOLAT. Memang ada wakil rakyat yang beragama Islam yang tidak solat. Aku berani kerana mempunyai maklumat dari seorang muslimah yang menyatakan bahawa ada wakil rakyat yang tidak bersolat. Kalau wakil rakyat tidak bersolat. Maknanya mereka TIDAK TAKUT kepada Allah.


Imbas kembali apa yang dilakukan oleh Khalifah Sayydina Ali. Sewaktu sedang bersolat, apabila datang seorang peminta sedekah. Lalu Sayyidina Ali menghulurkan tangannya, dan si peminta sedekah terus mengambil cincin besi dari jari Sayyidina Ali.


Imbas kembali, bagaimana Saidina Omar 'mengendap' diwaktu kegelapan malam untuk 'MEMASTIKAN' tidak ada rakyat yang kelaparan. Bila beliau menghampiri sebuah khemah, didapati ada sebuah keluarga yang sedang kebuluran, dimana si ibu memasak seketul batu untuk 'menyedapkan' hati si anak yang kelaparan. Lalu apakah yang dilakukan oleh Saidina Omar ?


Beliau sendiri memikul gandum dari PERBENDAHARAAN NEGARA, dibawa ke khemah dan dimasakkan gandum itu lalu diberi makan keluarga miskin itu.


Imbas kembali, apakah yang diperkatakan oleh Saidina Uthman ?


"Aku tidak akan makan, selagi ada rakyat aku yang kelaparan, dan aku akan berhenti makan, sebelum rakyatku kekenyangan."


Imbas kembali apa yang diucapkan oleh NABI MUHAMMAD S.A.W disaat - saat kematiannya ?


"UMMATI, UMMATI, UMMATI."


Semua media dan parti politik bercakap tentang isu politik semasa. Yang diceritakan ialah posisi dan polisi dan kerusi dan agihan dan wakil rakyat dan isu hudud dan pembangkang.


Yang dikisahkan ialah 'Rakyat perlu berkorban' dan diulang - ulang 'rakyat perlu berkorban' dan diulang lagi 'rakyat perlu berkorban.'


Memang menjengkelkan. Bila kita menyebut perkataan 'wakil rakyat.' Ini bermakna mereka adalah HAMBA RAKYAT. ORANG SURUHAN RAKYAT. SUARA RAKYAT. NAFAS RAKYAT.


Tetapi baru setahun menjadi YB. Cuba lihat gaya, cara hidup dan percakapan HAMBA RAKYAT ini.


Sepatutnya antara manifesto parti politik yang bertanding ialah ikrar seperti berikut:


"Kami BERSUMPAH, kami akan berkorban untuk rakyat. Kami BERSUMPAH untuk menurunkan harga barang. Kami BERSUMPAH untuk mengambil sedikit sahaja dari gaji kami sebagai wakil rakyat, dan seandainya kami melanggar SUMPAH, maka secara automatik status kami sebagai wakil rakyat akan terlucut."


Ada wakil rakyat yang berani bersumpah sebegini ? Kalau ada, itulah wakil rakyat yang akan mendapat undi dari aku.

Monday, February 02, 2009

PROJEK SEMENTARA

WANG BESAR ! WANG BESAR ! WANG BESAR !


Memang menyesakkan bila memikirkan tentang kegawatan ekonomi global. Tiba - tiba, dinegara kita ditambah lagi dengan kegawatan politik. Aku memang malas, menyampah, geram dan benci dengan politik dan politikus. Cuma ada satu kali sahaja aku menyiarkan entri tentang politik.


Sudah beberapa hari, negara digemparkan dengan kisah ADUN 'melompat' parti. Khususnya yang berlaku dinegeri Perak. Aku memang tidak faham dengan sepak terajang arena politik. Tetapi sejujurnya, aku rimas dengan apa yang berlaku. Tetapi bak kata seorang sahabat. Kalau kita tidak ambil tahu pun tidak boleh, kerana ia melibatkan kehidupan seharian kita.


Hinggakan satu ketika isteri aku bertanya "Abang, kenapa semua ini terjadi?" Lalu aku berkata dengan nada serius "Bila ahli politik TIDAK TAKUT kepada Allah, inilah yang berlaku."


Sewaktu pilihanraya, sewaktu hendak MERAYU UNDI. Banjir lumpur pun SEDIA untuk diharungi. Walau kepenatan, walau keletihan, dan walau kelihatan hampir putus nyawa, WAJAH tetap berseri dan senyuman sentiasa 'menguntum.'


Usai pilihanraya, HILANG wajah YB. Sms tidak berjawab. Telefon tidak diangkat. Hendak bertemu dengan YB terpaksa buat temujanji. Dan cuma boleh berbicara untuk 10 minit sahaja. YB teramat sibuk.


Ya, sebagai pengundi, kita semua faham dengan tugas, tanggungjawab dan beban yang terpaksa ditanggung oleh YB. Tetapi sebagai YB, mereka juga perlu faham, andai tidak mampu menggalas AMANAH ini, lebih baik jangan terima tawaran.


Entri ini ditujukan kepada semua YB, samada dalam BARISAN NASIONAL mahupun dalam PAKATAN RAKYAT.


Sekarang tersebar khabar angin menyatakan ada ADUN yang 'dibeli' dengan tawaran harga hingga mencecah jutaan ringgit. Disaat banyak pihak menyatakan 'kami tidak ada wang.' Tiba - tiba 'wang berjuta' boleh pula 'diberikan' kepada seorang dua wakil rakyat ?


Aku tidak tahu bagaimana caranya untuk 'mengajar' wakil rakyat sebegini ? Tetapi yang pasti berlaku ialah, setiap kali berlaku pilihanraya kecil. Maka semua pemimpin dan pimpinan tertinggi setiap parti, akan 'berkampong' didaerah mengundi. Rakyat akan dijadikan sebagai 'RAJA SEMENTARA.'


Usai pilihanraya, barulah RAJA SEMENTARA akan tersedar tentang sesuatu. HARGA GULA NAIK !

Friday, January 30, 2009

MEMORI INDAH di TAIPING (5)

Nikmat dalam hujan...


Bila berada di Taiping, satu perkara harus diingat. Taiping adalah kawasan yang paling banyak menerima hujan dalam setahun. Hampir setiap hari hujan akan turun. Sewaktu berkayuh melintasi bangunan LLN (Lembaga Letrik Negara). Kelihatan langit agak gelap, dan sudah ada setitik dua air hujan yang turun. Maka, aku terpaksa berkayuh dengan agak laju.



Waktu itu baru aku teringat. Sudah hampir 30 tahun tidak berbasikal. Dan selama waktu itu, aku menaiki kereta, dan kalau menunggang motor, maka baju hujan sudah tersedia didalam bakul.



Tetapi, bila ku kenang kembali, sudah lama aku tidak mandi hujan. Apa salahnya, biarlah badan aku basah, lagipun kalau aku mandi hujan dengan cara itu, tidak ada siapa yang akan memandang kearahku. Malah orang ramai akan lebih bersimpati kerana seorang pengayuh basikal basah dek hujan.


Sewaktu melalui Stesen Keretapi Taiping. Aku terpaksa memperlahankan kayuhan, maklumlah kawasan itu agak sempit dan sibuk dengan kenderaan yang bergerak perlahan. Walaupun pada mulanya aku bercadang untuk singgah sebentar di Stesen Keretapi itu, tetapi cuaca tidak mengizinkan.



Usai melintas Stesen Keretapi, maka aku kembali mengalami nostalgia lama. Berkayuh dalam hujan. Hujan telah turun dengan selebat – lebatnya. Begitu besar butiran air hujan yang turun, hingga terasa sakit muka aku, dan paling merimaskan bila aku tidak dapat membuka kelopak mata kerana air hujan yang begitu lebat.



Sampai sahaja dirumah. Adik aku tersenyum memandang kearah aku lalu bertanya “la, awat basah?” Aku dengan bersahaja menjawab “baru lepaih mandi ayaq teghejun.”


Sambil menghulurkan bungkusan makanan kepada adik aku. Aku terus masuk kedalam bilik air. (Bab ini tidak perlu diceritakan, sebab kita orang Malaysia).



Alhamdulillah, makanan yang dibeli masih agak panas. Cukup seronok melihat ayah, ibu dan adik menjamu selera. Makan mee rebus, popiah dan rojak sewaktu hujan petang turun mencurah – curah. Aku hanya makan biskut dan air susu. Maklumlah itu sahaja yang termampu untuk aku diwaktu kesihatan belum pulih sepenuhnya.


Tiba – tiba sahaja ibu aku bertanya “hang tak nak bawak balik pekasam ka?” Aku mengangguk, lalu berkata “rasa macam nak pi Changkat Jering... mak nak ikut ka?” Aku memandang kearah ibuku.


Bersambung ... membeli kuih dangai di Pasar Changkat Jering.


# Selesai sahaja kisah - MEMORI INDAH di TAIPING. Sebanyak 30 episod. Maka kuiz akan diadakan. Hanya 3 orang pemenang sahaja akan dipilih. Setiap seorang akan diberikan hadiah SATU NOVEL.
# TERIMA KASIH kepada Encik Zainal Abidin Jahaya. Bekas pelajar SMKE. Atas sumbangan yang amat bermakna ini.

Wednesday, January 28, 2009

MEMORI INDAH di TAIPING (4)

Zaman Indah.


Bila dikenang kembali. Waktu bersekolah adalah waktu dan ketika yang paling indah dan menyeronokkan. Seolah – olah kita tidak mempunyai sebarang masalah. Yang penting adalah belajar dan menghadap pelajaran.


Tidak kurang juga yang ‘terjatuh’ cinta waktu masih dibangku sekolah. Aku juga tidak terlepas dari fenomena itu. Buat apa hendak menipu. Menyatakan bahawa aku seorang yang ‘alim dan bersih. Malahan, jika mengikut rumusan oleh pakar biologi dan motivasi, itu adalah ‘lumrah’ dan normal. Tetapi harap bersabar, entri pada kali ini, aku tidak akan menceritakan tentang kisah itu.


Sekolah aku adalah antara sekolah yang tertua di Malaysia. Telah melahirkan ribuan manusia yang berjaya dan terkenal. Tetapi yang pasti, aku adalah diantara bekas pelajar yang tidak terkenal.


Aku hanya aktif dalam berpersatuan. Tetapi kurang aktif dalam acara olahraga. Minat sangat dengan permainan bola sepak, cuma seingat aku, aku hanya berjaya menjaringkan gol tidak sampai 50 kali. Dan antara saat paling manis ialah, aku berjaya menjaringkan gol dengan merembat bola dari luar kawasan kotak penalti, dan jaringan aku disaksikan oleh si gadis manis yang memberikan semangat di tepi padang.


Aku sengaja berkayuh melalui jalan dihadapan Sekolah Rendah Kebangsaan KING EDWARD VII. Itulah sekolah kebanggaanku. Siapa yang tidak kenal sekolah itu. Bagi penduduk negeri Perak, sebut sahaja Sekolah K.E, semua orang tahu. Malah, sekolah itu menjadi pilihan utama. Sering menjuarai dalam apa bidang sekalipun.


Manakala Sekolah Menengah King Edward VII, pula terletak dibahagian belakang, tidak jauh dari Sekolah Rendah Kebangsaan King Edward VII. Sekolah K.E, adalah sekolah untuk pelajar lelaki sahaja.


Sekolah K.E, sering bersaing dengan MCKK dan Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR). Terutama dalam acara permainan RAGBI. Malahan, Sekolah K.E setanding dengan Maktab Vijaravudh, Thailand.


Terlalu banyak perubahan yang dilakukan, khususnya hiasan taman. Namun yang pasti, aku tidak ada masa untuk masuk kedalam kawasan sekolah. Bila aku memikirkan makanan yang aku beli mungkin telah sejuk.


Dan aku terus berkayuh, dengan penuh berhati – hati, maklumlah bungkusan makanan yang aku sangkutkan pada bahagian pemegang basikal telah bergoyang dan menyebabkan aku merasa agak bimbang, seandainya bungkusan itu tidak jatuh, atau mungkin aku pula yang akan terjatuh.


Bersambung ... melintas Stesen Keretapi tertua ...

Friday, January 23, 2009

MEMORI INDAH di TAIPING (3)

Corner baring


Sudah 30 aku tidak lalu disitu, jadi aku sengaja 'corner' baring, menyusup ke tempat yang dahulunya menjadi tumpuan ramai iaitu Panggung Cathay yang telah beberapa tahun ditutup. Di panggung itulah aku pergi menonton bersama dengan ayah dan ibu. Filemnya ialah KISAH SEORANG BIDUAN, lakonan Dhahlan Zainuddin. Dan tidak berapa lama kemudian menonton pula filem THE CHAMP, aku sudah tidak ingat lakonan siapa, tetapi aku terpasa balik, kerana tiket telah habis dijual, dan datang semula pada petang yang sama. Dan filem terakhir yang aku tonton bersama adik - adikku di pawagam ini ialah filem THE GOD MUST BE CRAZY. Sememangnya 'crazy' kerana kawan sekolah aku ada yang menonton dua kali.


Kemudian aku terus menyusup ke Jalan Tupai, (disinilah terjadinya sebuah tragedi, dimana dikisahkan penyanyi Jamal Abdillah merana akibat ditinggalkan kekasih, waktu itu dia belum popular), dan dijalan ini juga aku ada kisah tersendiri (akan diceritakan dilain episod).


Aku melintas disebuah Balai Bomba, itulah hebatnya warisan di Bandar Taiping, dimana Balai Bomba berada dipusat bandar. Lalu aku terus 'corner' baring ke kiri dan melalui Jalan Panggung Wayang. Sepanjang jalan ini dahulunya terkenal dengan begitu banyaknya warung menjual pisang goreng, ubi goreng, dan segala macam makanan bergoreng, tetapi kesemua peniaganya adalah berbangsa China.


Akhirnya, tempat yang aku tujui sudah sampai. Iaitu bangunan Supermarket Larut & Matang. Dimana, dibahagian bawah supermarket itu terjual pelbagai jenis makanan yang popular dan sedap seperti, mee rebus, popiah, cendol, rojak sotong, bee hoon sup, ais kacang dan sebagainya.


Aku parkir basikal dihadapan bangunan itu. Inilah keistimewaan penuggang basikal, dimana kita boleh parkir dimana sahaja kita suka, asalkan tidak mengganggu lalulintas, lagipun, mana ada kawasan parkir basikal ?


Basikal pun aku tidak kunci, kerana bila aku memesan makanan untuk dibungkus dan dibawa pulang, basikal itu hanya berada beberapa langkah dari gerai makanan, lagipun, siapakah yang 'tergamak' hendak mencuri atau melarikan sebuah 'basikal tua' ?


Sambil menunggu itu, aku sempat mendongak ke bahagian atas bangunan Supermarket Larut & Matang itu. Dimana, dibahagian itulah pelajar - pelajar lelaki akan duduk atau bersantai beramai - ramai sambil belajar untuk menjadi 'orang dewasa'. Dimana, disitulah pelajar lelaki akan mula belajar merokok, mencarut dan mengorat pelajar perempuan. Alhamdulillah, aku tidak termasuk didalam golongan itu.


Bila makanan sudah siap dan aku sudah membayar harganya, aku tersenyum. Inilah keistimewaan Taiping. Harganya masih murah, malahan jauh lebih murah berbanding dengan harga makanan beberapa bandar lain dalam negara kita.


Bila sahaja aku sedang menjinjit beberapa bungkusan makanan yang banyak itu. Barulah aku tersedar ... oh, dimanakah hendak aku letakkan bungkusan makanan yang banyak itu ? Basikal tua itu tidak ada bakul ! Alahai ...




Bersambung ... lalu depan sekolah ...

Wednesday, January 21, 2009

MEMORI INDAH di TAIPING (2)

KAYUHLAH ke Taman Tasek Taiping.


Aku mengambil masa selama 30 minit untuk sampai ke Taman Tasek Taiping. Itupun sudah terasa letih. Rasa tercungap - cungap. Baju yang aku pakai sudah lencun dek peluh. Kalau diperah, boleh dapat air satu baldi. Kalau 30 tahun yang lalu, aku boleh 'merempit' dengan rakan - rakan sekolah tidak sampai 15 minit dari rumah ke Taman Tasek Taiping.


Setibanya aku di satu lokasi. Aku berhenti dan tersenyum sendirian. Itulah lokasi dimana aku dan kawan - kawan sekolah sering melepak, sambil memberi makan beruk dan monyet. Dan itulah juga lokasinya dimana aku jatuh cinta pandang pertama, dengan seorang gadis yang bersekolah di Treacher Methodist Girls School atau ringkasnya TMGS. Mulanya cuma pandang - pandang, kemudian jeling - jeling, kemudian bertegur sapa, kemudian ... oh, terasa indah dunia aku diwaktu itu (akan diceritakan dilain episod), sayangnya waktu itu belum ada internet dan telefon bimbit.


Sewaktu aku bersendirian, menghirup udara segar sambil duduk diatas basikal tua. Tiba - tiba sahaja seorang lelaki berjambang datang memberikan salam. Lalu menegur aku. Rupanya aku sedang berada didalam kawasan petak untuk letak kereta. Hilang berkecai nostalgia aku. Sedih rasanya, tempat aku jatuh cinta pandang pertama telah dijadikan kawasan letak kereta.


Sambil tersenyum aku memohon maaf. Lalu beredar dari situ. Aku terus mengayuh. Mengelilingi Taman Tasek Taiping. Nasib baik aku tidak membawa pisang. Kalau tidak, sudah tentu aku dapat memberi makan monyet yang ada di Taman Tasek Taiping.


Memang meletihkan, walaupun aku belum berkayuh mengelilingi satu pusingan Taman Tasek. Kalau dahulu, aku boleh berlumba dengan kawan sekolah mengelilingi Taman Tasek itu hingga 5 kali pusingan. Dan masih sempat bersiul dan mengusik anak gadis sekolah Convent atau TMGS. Tapi kali ini, boleh hilang akal dan menambah bala kalau aku melakukan sedemikian.


Kalau aku buat juga, mungkin orang ingat aku sewel. Sudahlah naik basikal tua, rambut di kepala yang sudah memutih. Masih ada hati ...


Sampai disatu persimpangan, aku memperlahankan kayuhan basikal. Itu adalah lokasi bagi sesiapa yang hendak naik ke Bukit Larut atau lebih dikenali dengan panggilan Bukit Maxwell. Begitu banyak perubahan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan. Dimana papan tanda yang disediakan begitu banyak dan jelas tanda tunjuk arahnya.


Dan aku terus berkayuh, lalu membelok ke kiri. Dan terus masuk ke Bandar Taiping, untuk membeli mee rebus.


Bersambung ...

Monday, January 19, 2009

MEMORI INDAH di TAIPING (1)

NOSTALGIA yang meletihkan.


Sudah hampir 30 tahun aku tidak mengayuh basikal. Apatah lagi sebuah basikal tua. Baru - baru ini, sewaktu pulang ke kampong halaman di Taiping. Untuk menziarahi kedua ibubapa aku yang sudah uzur. Baru aku tersedar, ada sebuah basikal tua didalam setor. Lama juga aku membelek basikal tua itu.


Lantas aku mengambil keputusan untuk menggunakan basikal tua yang menjadi milik Paklong aku. Basikal tua itu telah digunakan zaman - berzaman oleh Paklong aku, ditahun 60'an. Sekarang, basikal tua itu disimpan didalam setor dirumah orang tuaku.


Aku terpaksa menuntun basikal itu ke kedai basikal berhampiran. Kerana kedua - dua tayarnya telah bocor dan rosak. Hanya beberapa bahagian basikal itu sahaja yang dibaiki. Yang lainnya tidak boleh diganti kerana alat gantinya sudah tidak ada dalam pasaran.


Sesudah membaikpulih. Kos keseluruhan termasuk mencantikkan basikal adalah sebanyak RM31.00.


Dengan perasaan gembira dan senang hati aku terus sahaja mengayuh basikal tua itu, sambil menyanyi lagu - BASIKAL TUA. Dendangan Allahyarham Sudirman.


Wow ! Aku terasa seperti seorang manusia yang bebas. Sambil mengayuh sambil mengangkat tangan, maklumlah kawasan kampong, jadi ramai yang mengenali aku, dan kami bertegur sapa. Termasuklah anak - anak gadis yang tersenyum memandang kearah aku, sambil berbisik sesama sendiri.


Pada mulanya kayuhan aku agak laju. Tetapi apabila mula mendaki jambatan yang merentangi landasan keretapi Taiping. Aku sudah tidak mampu untuk mengayuh, lantas aku turun dari basikal dan menuntun atau menolak basikal menaiki jambatan. Tercungap aku dibuatnya.


Dan saat yang paling indah. Bila menuruni jambatan. Aku hanya perlu mengawal brek tangan. Dan nasib baik aku memakai kasut. Kalau tidak, boleh nahas juga, maklumlah kalau brek putus, sekurang - kurangnya aku boleh gunakan kekuatan kaki untuk menghentikan basikal.


Bersambung ... tempat yang dilawati ...di Taiping.

Friday, January 16, 2009

GEJALA BARU

Seluar Pendek atau Purdah.


Semakin hari semakin ramai gadis kecil molek yang memakai seluar pendek dikampong aku. Hinggakan ianya bukan lagi menjadi satu perkara yang janggal. Tapi satu yang lumrah.


Bayangkan, gadis yang memakai seluar pendek ini menunggang motor, berkeliaran disekitar kampong. Sudahlah berseluar pendek dan ketat. Menampakkan dengan jelas bentuk pinggul atau punggung mereka, ada yang kelihatan leper dan ada yang kelihatan bulat melentik dan berisi.


Maaf, jangan ada yang kata aku seorang yang kuat seks, atau aku tidak mempunyai keinginan untuk terus melihat. Bila aku membaca jurnal kesihatan. Satu perkara yang lumrah, bila mana seorang lelaki itu akan merasa ghairah bila melihat objek seks, khususnya gadis atau wanita yang memakai pakaian yang seksi atau ada bahagian yang terbuka.


Sudahlah memakai seluar pendek yang ketat, ditambah pula dengan memakai baju yang tidak berlengan, baju yang nipis, dan ada ketikanya kelihatan 'tali' pakaian dalam mereka terkeluar sedikit.


Lebih 'menyeksakan' naluri seorang lelaki, bilamana ada gadis yang lebih berani dari itu. Dengan memakai seluar pendek, dan memakai baju - T yang pendek hingga menampakkan pusat.


Aku tidak pasti REAKSI ibu bapa mereka. Adakah ibubapa atau penjaga mereka tidak faham tentang bab aurat ? Atau ibubapa mereka memang 'TAK KISAH' apa anak gadis mereka hendak pakai ?


Hingga kini, aku masih menunggu jika ada pihak terutama Sister In Islam akan mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini. Kerana mereka amat prihatin dengan NASIB WANITA ISLAM. Satu ketika dahulu, aku pernah mendengar ada pemimpin yang mengkritik wanita yang berpurdah. Kononnya pakaian itu menampakkan ciri - ciri EKSTRIM atau MELAMPAU.


Aku tidak mengatakan haram memakai pakaian tersebut. Tetapi bagi wanita yang sudah berkahwin, pakailah dihadapan suami. Banyak masalah boleh diselesaikan.

Thursday, January 15, 2009

ZIONIS adalah PEMENANG.

Kedai RUNCIT, Kedai Burger.


Zionis sedang merayakan kemenangan. Zionis sedunia sedang tersenyum gembira.


Hingga ke saat ini, semua usaha Zionis telah mencapai kejayaan. Umat Islam masih tidak dapat bersatu dalam segala segi.


Hendak memboikot, kita berpecah.
Hendak berdemonstrasi, kita tidak bersatu.
Hendak bersuara, kita tidak sekata.


Inilah akibat dari umat Islam yang telah jauh meninggalkan Al Quran dan Sunnah Nabi.


Sewaktu umat Islam di Palestin sedang berdebar jantung, menantikan hujan peluru dan bom. Umat Islam di Malaysia pula sedang berdebar menunggu keputusan Anugerah Juara Lagu 2008.


Usai bersalaman dengan jamaah setelah selesai solat Isyak berjemaah. Aku terus ke gerai menjual burger. Sebuah gerai kecil yang diusahakan oleh seorang anak muda dikampong aku.


Akibat tidak tahan mendengar rengekan dari anak - anakku untuk makan burger. Lalu, adik ipar aku yang memang rapat dengan anak - anakku, terus sahaja menghulurkan sedikit wang kepada aku "bang, beli burger 10 biji."


Sewaktu tiba digerai burger itu, telah ada beberapa orang sedang menunggu burger yang sedang dimasak. Aku terus sahaja memesan burger.


Sewaktu aku sedang menunggu burger dimasak, baru aku perasan, rupa - rupanya ada tiga orang sedang bekerja digerai itu. Dan ketiga - tiganya aku kenal.


Lalu aku menegur dengan ramah "hai, tiga - tiga sekali bisnes disini?"


"Aha ... tak menang tangan sekarang bang" lalu dijawab oleh anak muda yang mengusahakan gerai burger itu. Aku terus bertanya lagi "banyak ke burger yang dijual sekarang?"


"Alhamdulillah bang, kalau dulu, nak jual 30 biji sehari pun susah, tapi sekarang, 50 hingga 100 biji pun boleh, dan sekarang saya kena buka awal, dari pukul 6 petang sampai malam" pemuda itu menjelaskan panjang lebar, sambil bibirnya terukir senyuman.


Aku terus bertanya "kamu jual burger jenama apa?"


Dengan spontan pemuda itu menjawab "Ramly Burger."


Aku tidak pasti adakah situasi yang sama berlaku ditempat lain. Tetapi, seandainya sama, maka ini adalah rahmat dari Allah. Ini adalah hikmah disebalik apa yang berlaku.


# Inilah KESAN KECIL akibat dari BOIKOT.
# Gambar diatas tiada kena mengena dengan entri ini.
# Ada juga yang memberikan fikiran yang agak 'ekstrim'. Andainya TESCO ditutup. Berapa banyak kedai runcit yang perlu dibuka, dan berapa ramai orang Malaysia yang boleh bekerja didalam kedai runcit itu.


Tapi ada satu perkara yang menggemparkan akan aku ceritakan dientri akan datang. Aku baru terbaca sebuah buku yang meramalkan apa yang akan berlaku pada tahun 2009. Dan peristiwa itu telah berlaku. Tunggu ...

Tuesday, January 13, 2009

BOIKOT TETAP BOIKOT !


SERULAH, SEDARLAH, INSAFLAH.


Pelbagai pihak bercakap tentang isu Palestin. Pelbagai pihak sedang berusaha memboikot barangan dan produk yang ada hubungkait dengan Yahudi @ Israel LAKNATULLAH.


Biarlah pemikiran ummah bercambah. Walaupun semakin hari semakin ramai Umat Islam di Palestin yang dibunuh. Kita masih lagi tidak ada ketetapan dan penyatuan hati serta penyatuan fikrah dalam menghadapi Yahudi @ Israel LAKNATULLAH.


Ada yang kata "kita boikot Starbuck, Coca - Cola dan Colgate." Tetapi dalam masa yang sama, ada pula suara yang mempersoalkan apa akan terjadi kepada nasib pekerja Islam dan ahli keluarga mereka yang bekerja disyarikat - syarikat itu ?


Aku lebih mengetahui bagaimana perit, seksa, azab, derita bila tidak ada kerja. Buat bisnes pun lingkup. Ah, biarlah, itu cuma nasib aku dan keluarga sahaja. Lagipun nasib diri aku yang menderita tidak mengganggu masyarakat dan kerajaan hari ini.


Yang pasti, selagi BALA atau UJIAN itu tidak 'kena batang hidung sendiri', maka kita tetap merasa 'apa kita boleh buat?'


Cuba bayangkan, kalau bom meletup dihadapan kita dan anak, isteri, ibu, ayah dan saudara - mara kita terkorban. Waktu itu barulah kita fikir, LAKNAT YAHUDI, aku tidak akan maafkan kamu, aku akan lawan, apa sahaja yang ada hubungkait dengan kamu.


Jadi, aku berseru dalam nada yang paling ringkas sahaja, setelah aku renung sedalam - dalamnya. Ada barang yang kita seperti diamkan dari diboikot. Iaitu ROKOK. Kepada PEROKOK. Hentikan MEROKOK.


Ini adalah produk utama YAHUDI @ ISRAEL LAKNATULLAH.


Tapi, janganlah pula ada yang kata, kalau KITA BOIKOT ROKOK. Kalau kita tidak hisap rokok, nanti kilang rokok akan ditutup. Apa akan terjadi dengan nasib pekerja kilang rokok dan ahli keluarga mereka ?

Friday, January 09, 2009

TENTANG atau TATANG ?

Sebuah kisah PERJUANGAN.


Lima orang sahabat begitu bersemangat untuk menyertai demonstrasi ANTI ISRAEL @ ZIONIS LAKNATULLAH.


Mereka berkumpul di Starbuck, menikmati secawan kopi. Sambil menunggu seorang lagi rakan yang masih belum tiba. Mereka begitu sabar menunggu sambil menghirup kopi yang begitu enak sambil menghisap rokok jenama Dunhil.


Mereka terus berbual dalam bahasa rojak, antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Akhirnya, rakan yang ditunggu mucul jua. Sambil bersalaman dan bertanya khabar. Mereka terus sahaja bergerak menuju destinasi untuk berkumpul bersama ribuan lagi orang ramai yang dijangka menghadiri demonstrasi itu.


Apabila lalu dihadapan 7-Eleven. Seorang rakan lalu masuk kedalam kedai untuk membeli sedikit barangan sebagai bekal. Sejurus, rakan itu keluar dan menjinjit sebuah bungkusan yang berisi beberapa keping coklat KitKat dan beberapa botol air Coca-Cola.


Lalu barangan itu diagihkan kepada rakan - rakan yang lain. Namun seorang lagi rakan terpaksa masuk kembali ke dalam kedai 7-Eleven, kerana beliau telah kehabisan rokok, dan terus membeli rokok Benson & Hedges.


Dan dalam keadaan bersemangat mereka terus berjalan laju untuk bersatu dengan puluhan ribu rakyat yang sedang berkumpul untuk berdemonstrasi.


# Aku ingin sekali meliht Ulamak dan Mufti serta para Tuan Guru, memimpin umat Islam, dan berada dibarisan hadapan untuk berarak mengetuai perarakan demonstrasi. Dengan memakai JUBAH DAN BERSERBAN. Tentu ada kelainan !

# Ini sebuah kisah rekaan semata - mata. Tetapi, aku sendiri pernah melihat seorang pemuda yang bersemangat lalu melaungkan TAKBIR !!! sambil mengangkat tangan dan jarinya masih mengepit sepuntung rokok.

* Poster itu diambil dari Laman Web Persatuan Pengguna Islam, Malaysia.

Wednesday, January 07, 2009

DUA BENUA, DUA ALAM YANG BERBEZA.

HARMONI dibumi MALAYSIA
HURU HARA dibom PALESTIN.


Hari pertama persekolahan. Aku menemani anak kelima disekolah, yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Pelbagai gelagat yang dirakam.


Yang paling menarik perhatian aku ialah, terdapat ibu dan ayah yang lebih teruja untuk duduk didalam kelas berbanding anak – anak mereka. Kelihatan mereka begitu menjaga dan memberikan lebih perhatian kepada anak – anak.


Memang betul zaman sudah berubah, ada ibu dan bapa yang duduk disebelah si anak dan mengambil gambar foto. Sambil berposing dengan si anak. Untuk kenangan sempena hari pertama persekolahan si anak dalam tahun satu.


Ibu dan bapa yang berada diluar kelas hanya tersenyum dengan gelagat ibu dan ayah yang berada didalam kelas. Para guru pula terpaksa menahan sabar, senyum dalam geram. Namun, suasana begitu harmoni.




Huru hara, dibom (Di Palestin).


Perasaan bercampur baur. Aku yakin dan pasti, seluruh rakyat Malaysia berasa simpati yang teramat sangat dengan kejadian yang berlaku kepada saudara kita di Palestin.


Geram, marah, sedih, benci, bercampur baur. Aku perhatikan, ada wanita yang begitu emosi sewaktu bercakap tentang nasib umat Islam di Palestin, hingga menggeletar jari tangan mereka, menahan kemarahan yang teramat sangat.


Aku tidak pasti, adakah rakyat Malaysia yang berani dan nekad untuk pergi ke bumi Palestin untuk berjuang bagi mendapatkan SYAHID, kerana menentang Yahudi @ Israel LAKNATULLAH.


Aku berseru kepada semua. Hendak terbang ke Palestin untuk berjuang, ada yang kata risiko terlalu tinggi. Hendak boikot barangan Yahudi @ Israel LAKNATULLAH, kita masih teragak – agak dan masih tidak bersatu dalam tindakan. Maka usaha terakhir kita sebagai umat Islam ialah berdoa sahaja.


Andainya berdoa juga kita tidak lakukan. Maka aku tidak tahu apa lagi yang boleh kita lakukan. Tanda – tanda kiamat sudah begitu banyak dan tidak terkira lagi.


# *Gambar : Meratap...seorang lelaki Palestin meraung ketika mengecam mayat tiga anaknya yang terkorban akibat bedilan kereta kebal Yahudi di Hospital Shifa, Gaza.


Aku berasa gerun bila memikirkan tentang hal yang akan berlaku seterusnya. Bila aku menyatakan bahawa kemuncak kezaliman oleh Yahudi @ Israel LAKNATULLAH. Diwaktu itulah Nabi Isa akan diturunkan, diwaktu itulah Imam Al Mahdi akan muncul dihadapan Ka’abah. Dan Dajjal LAKNATULLAH akan menunjukkan kekuatannya.


Usai memberikan tazkirah. Lalu anak aku bertanya “abah, macam mana rupa Nabi Isa, Imam Mahdi dan Dajjal?”

Monday, January 05, 2009

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN.


AJAR ANAK BENCI ZIONIS !


Kita sebagai ibu dan ayah adalah bertanggungjawab mencorak kehidupan anak – anak. Menyedari hakikat itulah, walau menyedari bahawa pada hari ini, umat Islam seluruh dunia, sedang ditindas, maka tiada lagi cara untuk aku bartindak melainkan melakukan yang paling mudah sekali, iaitu MEMBOIKOT barangan keluaran dari Negara HARAM ISRAEL.


Sewaktu hendak membeli beg sekolah tempohari. Walaupun waktu itu belum ada berita tentang serangan oleh Yahudi @ Israel LAKNATULLAH keatas saudara kita di Palestin.


Tetapi, aku sudah mengambil sikap MEMBOIKOT barangan yang ada hubungkait dengan Yahudi @ Israel LAKNATULLAH. Hatta, aku mengambil sikap berhati – hati dan teliti supaya tidak ada barangan sekolah yang mempamerkan lambang atau ada hubungkait dengan Yahudi @ Israel LAKNATULLAH.


Beberapa waktu dahulu, aku ada menerima kiriman emel yang menyatakan bahawa telefon bimbit jenama NOKIA juga adalah termasuk dalam rangkaian atau hasil keluaran Yahudi @ Israel LAKNATULLAH. Namun setelah aku melakukan carian didalam Wikipedia mahupun google, aku langsung tidak menemui apa – apa maklumat yang berhubung kait dengan perkara tersebut.


Jika pengunjung blog ini ada sebarang maklumat, sila tinggalkan jejak.


Seandainya betul maklumat tersebut, apakah tindakan kita sebagai seorang MUSLIM yang mengucap dua kalimah syahadah ?

Thursday, January 01, 2009

TEMPAT RUJUKAN DAN PERANCANGAN 2009

Kalendar. Diari. Blog.



Catatan 1 - Kalendar.


Kalau tahun 2008. Tiada satu pun kalendar yang tergantung dirumahku. Tetapi tahun ini, setiap bilik, ruang makan, dapur, dan diatas meja tulis pun ada kalendar. Semuanya diperolehi secara percuma.


Ada yang diperolehi sewaktu membeli barangan di Econmart. Ada yang diperolehi dari kedai mencuci gambar. Ada yang diperolehi sewaktu membeli pakaian sekolah. Yang paling aku suka, sebab semuanya 'kalendar kuda'.


Aku yakin, kalendar kuda adalah pilihan ramai. Kerana ianya seperti 'lengkap' dengan maklumat tentang cuti di Malaysia.


Dan kalendar pemberian dari Lembaga Zakat Selangor, melengkapkan pengumpulan kalendar tahun ini. Kerana kalendar itu mencatatkan waktu solat.


Semoga 2009 akan membawa kebahagiaan, kesejahteraan, kejayaan dan sukses dalam segala bidang buat keluarga aku. AMIN.



Catatan 2 - DIARI.


Ini merupakan satu keperluan. Dan ada yang menjadikannya satu perkara yang mesti. Sebenarnya, diari terus berfungsi untuk mengingatkan tentang banyak perkara. Catatan peribadi, catatan harian, setiap kejadian yang telah berlaku dan perancangan masa hadapan.


Malah diari adalah lebih khusus dalam 'penyimpanan maklumat rahsia pemiliknya.'


Kalau dahulu, aku sering memiliki lebih dari satu diari. Sebab, ada yang aku beli, dan ada yang dapat secara percuma. Maklumlah, dahulu sebagai seorang yang berjawatan dalam syarikat. Banyak syarikat yang memberikan diari dan kalendar percuma.


Tetapi bagi tahun 2009 ini. Aku hanya membeli sebuah diari 'planner.' Cukuplah untuk mencatatkan perkara penting. Dan pelan perancangan bagi tahun ini.


Pada muka hadapan, perlu ditulis biodata dan maklumat ringkas pemiliknya. Dan pada muka surat dalam, barulah dicatitkan AZAM dan IMPIAN untuk tahun 2009.


Biarlah AZAM dan IMPIAN itu 'realistik' dengan kemampuan kita.


AZAM dan IMPIAN aku untuk tahun ini:

1 - Mendapat kerja tetap, berpandukan kepada kelayakan dan kemampuan aku.
2 - Mendapat pendapatan sampingan dari bisnes jualan langsung sekurang - kurangnya RM1,000 sebulan.
3 - Mencapai sasaran menjual novel, minimum sebanyak 30 buah sebulan.


Itu adalah diantara sasaran yang berada didalam perancangan.


Pelan perancangan telah diatur dan dibuat secara terperinci. Matlamat atau sasaran ialah untuk mencapai simpanan sebanyak RM5,000 bagi tahun 2009.



Catatan 3 - BLOG.


Selain dari kalendar dan diari. Zaman sudah berubah. Kini, kita sebagai 'BLOGAWAN' mempunyai satu lagi alternatif untuk mencatitkan segala yang kita fikir boleh dan perlu untuk dikongsi bersama iaitu - BLOG.


Kalau diari, ia adalah catitan peribadi yang kebanyakannya tidak boleh dikongsi bersama. Tetapi berlainan dengan BLOG. Dimana pemilik blog boleh sahaja berkongsi suka dan duka, pengalaman dan ada ketikanya boleh 'memberi teguran' secara 'tidak langsung' kepada insan - insan tertentu.


Namun ada satu perkara yang sering menjadi keluhan dan sikap kurang enak didalam dunia blog. Dimana, ada juga pengunjung blog yang TIDAK TAHU MENGHORMATI perasaan pemilik blog. Dimana mereka ini memberikan teguran yang tidak menepati PRINSIP UKHUWAH didalam Islam. Mereka beranggapan BEBAS untuk meninggalkan jejak, tetapi tulisan yang ditinggalkan sebenarnya 'mengguris perasaan' pemilik blog.


Bagi aku, mereka yang digelar 'Anonymous' sebenarnya adalah manusia HIPOKRIT dan PENGECUT !!!


Apapun, yang penting, kepada blogawan semua. Selamat menyambut TAHUN BARU ISLAM, Selamat menyambut MAAL HIJRAH. Dan selamat menyambut tahun baru 2009, dengan semangat dan azam baru.

Wednesday, December 31, 2008

TAIPING KAMPUNGKU KEBANGGAANKU

TAIPING BANDAR WARISAN. Tentang makanan.


Makanan Pilihan 1 - CENDOL TAIPING.


Tidak termaktub atau tertulis didalam mana - mana buku. Tetapi, seperti satu perkara yang lumrah dan tradisi. Jika sesiapa sahaja yang pergi ke Bandar Taiping, jika tidak menikmati minuman cendol, maka dianggap atau dikatakan tidak sah lawatan itu.


Hatta, walaupun cendol itu rasanya manis, dan kalau hendak lebih 'kick' lagi ditambah dengan pulut. Namun ianya tidak menghalang pesakit kencing manis untuk menikmatinya. Janganlah minum bermangkuk - mangkuk, cukuplah sekadar satu mangkuk. Tetapi masalahnya, pemilik blog ini, kalau sudah 'pekena' cendol, lupa dunia sekeliling !


Lokasi peniaga cendol: Dihadapan Restoran Bismillah (bertentangan dengan Jam Besar). Berhampiran Sekolah Menengah St. George. Warung dihadapan Stesen Keretapi Taiping.




Makanan pilihan 2 - MEE REBUS.


Hampir seluruh kedai makan, warung, restoran dan pusat penjaja ada menjual mee rebus. Tetapi yang paling sedap (mengikut cita rasa tekak pemilik blog ini). Ialah dibawah Supermarket Larut & Matang. Sebabnya, mee dimasukkan kedalam raga kecil yang diperbuat dari buluh), lalu dicelup berulang kali didalam periuk.


Kemudian barulah dimasukkan kedalam pinggan dan dimasukkan kesemua perencah mee rebus, barulah dihidangkan. Kuahnya juga yang paling sedap. Letakkan sebiji telur rebus. Kalau nak pedas, taburkan cabai hijau.



Makanan pilihan 3 - PASEMBOR.


Kebanyakan peniaga PASEMBOR adalah dari kaum mamak. Dari seluruh peniaga pasembor di Taiping. Aku dan famili aku lebih suka 'menghadap' makanan ini di sebuah kedai makan berhampiran Jalan Stesen.


Pertama, kerana lokasinya yang strategik. Tidak susah untuk parkir kenderaan. Keduanya kerana kita boleh pilih hendak item makanan yang kita suka sebanyak mana sekalipun. Ketiga, kerana kuahnya yang memang sedap. Keempat, kerana kita boleh makan bersama dengan cendol.


Ini adalah entri aku yang paling banyak menceritakan tentang makanan. Ketiga - tiga makanan itu adalah yang paling popular di Taiping. Dan makanan itu sendiri telah diusahakan puluhan tahun, hatta sebelum aku dilahirkan.


Maka, memang tepat ini adalah antara warisan yang ada dan dikekalkan. Tepatlah dikatakan bahawa Taiping adalah BANDAR WARISAN.

Monday, December 29, 2008

KISAH UMAT SEWAKTU 1430 Hijrah

KINI SUDAH 1430 TAHUN HIJRAH.


Catatan pendek 1
1 MUHARRAM 1430 Hijriah. Sudah begitu lama waktu berlalu. Apa kisah umat Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu 'Alaihi wasallam ?



Catatan pendek 2
Tajuk akhbar utama, menyiarkan berita tentang umat Islam di Palestin yang telah dibom oleh Israel Zionis LAKNATULLAH.


Kulihat orang Melayu yang membaca tajuk akhbar, hanya membaca tajuk sahaja. Tidak pasti apa perasaan mereka.



Catatan 3


Petang semalam, usai solat Asar, aku memberikan sedikit tazkirah kepada ahli keluarga. Hanya 2 perkara yang aku fokus, menceritakan tentang jihad dan redha.


Usai tazkirah. Aku tersenyum memandang wajah anak sulong aku yang balik sementara dari pusat tahfiz. Lalu memberi arahan "Abang ambil alih tugas"


Si anak lalu terus membaca do'a akhir tahun dan terus disambung dengan membaca Al Ma'thurat, dan tugasnya selesai selepas do'a awal tahun. Isteriku tersenyum dan terharu dengan kemampuan si anak.


Syukur Alhamdulillah.



Catatan pendek 4

SMS yang aku terima dari sahabat:

1 - Ya Allah, seketika di akhir tahun ini, InsyaAllah muncul tahun baru yang ceria. Engkau muliakan & sayangi penerima ucapan ini, berkati keluarganya, sihatkan tubuh badannya , limpahkan rezekinya, jauhkan daripada fitnah, penganiayaan & penghinaan, suburkan benih keimanan dengan penuh rasa kasih sayang serta takwa tanpa alasan. Makbulkan cita-citanya yang murni. Amin Ya Rabbal 'Alamin. Selamat Menyambut Maal Hijrah. 1430 Hijrah.



Catatan pendek 5

Terasa benar sambutan yang berbeza. Bayangkan sambutan Tahun Baru Masehi. Sambutan Tahun Baru China.

Sambutan Tahun Baru Islam terasa muram.Yang Dipertuan Besar Negri Sembilan mangkat. Umat Islam Palestin DIBOM !

Saturday, December 27, 2008

TAIPING BANDAR WARISAN

SELAMAT DATANG KE BANDAR TAIPING. 'From Taiping With LOVE'


Sewaktu pulang ke Taiping. Baru aku tersedar, rupa - rupanya pintu gerbang dijalan utama masuk ke bandar Taiping, ditulis perkataan - Selamat Datang Ke Bandar Taiping - BANDAR WARISAN.


Sebenarnya terdapat 100 sebab kenapa Taiping diberikan gelaran BANDAR WARISAN. InsyaAllah, pada entri akan datang aku akan berikan senarai itu didalam blog ini.


Cuma, yang paling utama ialah, taburan hujan di Bandar Taiping adalah yang tertinggi dan terbanyak di Malaysia. Sudah menjadi satu perkara yang biasa, jika kita melihat orang ramai berjalan atau beriadah didalam keadaan hujan gerimis. Hatta, sewaktu Hari Raya, atau cuti kelepasan umum, masyarakat disana akan tetap keluar dari rumah, walaupun hujan sedang turun. Kerana, bak kata orang Taiping "kalau nak tunggu hujan berhenti, kita langsung tak boleh keluaq rumah ... bila masa hujan nak berhenti?"


Jadi, kalau anda berkunjung ke Taiping, maka jangan takut, malu atau segan pakaian anda basah. Kerana kalau anda takut badan anda basah. Anda tidak akan keluar ke mana - mana.


Sedikit coretan untuk anda. Bandar Taiping adalah yang paling unik diantara semua bandar dalam Negara Malaysia. Dalam daerah Taiping, semua lokasi berada berhampiran dan terlalu dekat antara satu sama lain. Air terjun, Muzium, Penjara, Taman Tasek, Zoo, Hotel, Pusat membeli belah, semuanya ada dalam satu kawasan.


Sewaktu pulang untuk menziarahi kedua orang tua yang sedang uzur. Aku mengambil kesempatan untuk membawa anak - anak keliling bandar. Lalu aku tunjukkan semua tempat pelancongan. Barulah anak - anak aku tersedar lalu berkata "abah, semuanya dekat, Zoo dalam Taman Tasek, sebelah Taman Tasek ada Muzium."


Aku hanya memandu dalam keadaan perlahan dan bersantai. Tidak seperti bandar - bandar lain dalam negara kita. Taiping adalah kawasan yang 'FREE JAMMED'. Tidak ada kesesakan jalanraya.


Aku membawa seluruh ahli keluarga ke kawasan air terjun yang berdekatan. Dengan dua buah kereta yang sendat dan padat dengan penumpang, khususnya anak - anak dan anak saudara, kami berkelah dikawasan air terjun.


Ohhh .... terapi minda yang menyenangkan, bila mendengar deruan air yang mengalir ... aku terlelap ...


# Kelihatan anakku sedang memancing. Aku bertanya, "dapat tangkap ikan apa?" Aku bertanya dengan sinis.

Dia menjawab dengan bersahaja "Dugong"

Friday, December 26, 2008

BERSAMAMU (1)

SIRAH yang DILUPAKAN.


Aku bukannya seorang yang berpendidikan agama. Apatah lagi seorang Ustaz. Aku bukannya seorang yang faham dengan isi kandungan Bible, apatah lagi menjadi seorang Paderi. Aku hanya sekadar faham dengan asas dalam ugama Islam. Hasil usaha mencedok sedikit sebanyak dari ceramah ugama, kuliah dan seminar. Namun seperkara yang paling utama ialah, aku berusaha sedaya mungkin untuk menjadi seorang MUSLIM yang kehidupan aku mendapat KEREDHAAN ALLAH.


Aku tidak fanatik kepada politik kepartian. Bagi aku UMNO, PAS, KeADILAN mempunyai kebaikan dan kekurangan masing - masing. Maaf cakap, kalau dahulu, sewaktu BN memerintah Selangor, aku dan keluarga tidak mendapat apa - apa habuan. Begitu jua sekarang, kawasan aku dimenangi oleh PAS. Aku juga tidak mendapat apa - apa habuan. Walaupun sewaktu pilihanraya masing - masing parti mengemukakan manifesto yang menarik dan muluk - muluk belaka.


Sebenarnya itu adalah intro pengenalan, supaya pengunjung diberikan gambaran awal kedudukan aku.


Itu adalalah kenyataan sewaktu aku masih sihat. Jika pengunjung setia blog ini sering melayari blog ini dari dahulu. Akan ada entri yang menceritakan tentang permintaan aku supaya dibacakan surah Yasiin. Ada entri tentang urusan bisnes. Ada entri tentang perkara yang agak ghaib. Sebenarnya, semuanya adalah entri yang bersangkut paut antara satu sama lain.


Dan aku bersyukur serta berterima kasih kepada blogawan yang mengirimkan emel, secara peribadi untuk bertanyakan 'apa yang sebenarnya berlaku?"


Malahan aku merasa begitu terharu dengan keprihatinan pengunjung blog yang ingin mengetahui apakah CERITA SEBENAR seorang yang dipanggil Abang Long. Lalu mereka dengan SIKAP serta SEMANGAT sebagai seorang yang faham dengan UKHUWWAH dalam Islam. Telah datang menziarahi aku. Melihat aku dan keluarga di alam NYATA.


Ternyata mereka mengambil sikap yang betul. Tindakan mereka menepati SIRAH.


Biarlah kali ini aku bercakap dengan nada seorang yang benar - benar kecewa dengan tindakan oleh UMAT ISLAM sendiri. Khususnya JKKK. Kalau dahulu aku seorang yang sihat walafiat. Mempunyai jawatan yang baik dalam sektor swasta. Tetapi kini, keadaan sudah terlalu jauh berubah.


Bila aku sudah tidak mampu dalam segala hal. Maka yang paling utama ialah faktor kewangan. Hendak keluar rumah sahaja memerlukan wang. Ditambah pula sudah 10 bulan aku berada didalam keadaan kurang sihat. Seboleh - bolehnya, atas nasihat dari Doktor, juga atas nasihat dari pakar perubatan tradisional, serta pengalaman sendiri. Maka, aku dinasihatkan supaya tidak keluar dari rumah khususnya diwaktu malam.


Hanya aku yang mengalami perkara ini tahu. Hanya isteri dan anak - anak yang tahu. Hanya ayah dan ibu serta mertua yang tahu keadaan diri aku yang sebenar. Isteri aku sendiri sudah kering air mata.


Cubalah memahami keadaan seseorang. Janganlah membuat tuduhan semberono. Kononnya aku tidak mahu aktif dalam masyarakat. Tidak mahu menghadiri apa - apa program anjuran anjuran NGO.


Buat mereka yang masih tidak mahu faham. Disini aku ingin menyatakan bahawa. Masuk sahaja waktu Maghrib. Aku hanya mampu bercakap, dan bercakap, dan bercakap, dan terus bercakap dengan TUHAN. Masa aku HANYALAH untuk mendekatkan diri dengan Allah, Tuhan yang MENCIPTA DIRIKU dan SEKALIAN ALAM.


Maaf cakap. Hingga kini, ramai USTAZ yang menasihati aku supaya bersabar dengan ujian ini. Aku terima nasihat dengan hati terbuka. Tetapi yang menariknya, tanpa aku sedari dari awal. Ada beberapa orang yang begitu prihatin dengan nasib yang menimpa diriku, telah menghulurkan bantuan, aku terima bantuan dengan hati terbuka. Bila ku risik, aku tergamam, bila insan ini mengaku bahawa mereka adalah PADERI !


Bersambung ...


++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


JANGAN LEPASKAN PELUANG ~ JOM SERTAI KUIZ.

Sempena pelancaran novel terbaru Liza Zahira iaitu, KAU TETAP DI HATI, maka satu peraduan kuiz akan di adakan untuk memberi peluang kepada anda semua memenangi hadiah-hadiah yang sangat menarik.


Cepat hantarkan penyertaan anda ke email yang tertera!


MENANGI HADIAH MENARIK


20 penyertaan paling awal akan menerima Baju T Liza Zahira

Hadiah Pertama: Wang Tunai RM300
Hadiah Kedua : Wang Tunai RM200
Hadiah Ketiga : Wang Tunai RM100
10 Hadiah Saguhati: Senaskah novel Liza Zahira (Pemenang boleh memilih salah satu novel Liza Zahira)

SOALAN-SOALANNYA:

1. Novel Kau Tetap Di Hati (KTH) merupakan novel Liza Zahira yang ke berapa?
2. Selain Malaysia, negara manakah yang menjadi latar cerita KTH?
3. Berikan nama anak-anak saudara Sophia dalam Kau tetap Di hati?
4. Bahtera Kasih (BK) merupakan novel ketiga Liza Zahira. Apakah nama kapal lanun yang menculik Carra Lina dalam novel tersebut?

5. Siapakah lelaki yang akhirnya menjadi pilihan Carra Lina dalam BK?

Lengkapkan kata-kata berikut (tidak lebih dari 20 patah perkataan).
Saya gemarkan novel-novel Liza Zahira kerana ……………………………..

Tuliskan Nama, No.kad pengenalan, Telefon dan Alamat berserta jawapan lengkap anda ke:

liza_ktd@yahoo.com dan cc ke
lizaali@karangkraf.com atau liza_zahira2@yahoo.com.my

TARIKH TUTUP PENYERTAAN ADALAH PADA: 31 DISEMBER 2008

CEPAT! JANGAN LEPASKAN PELUANG ANDA

Wednesday, December 24, 2008

SEMANIS KURMA DAN KUIZ

ISTERI PEMALAS. BERSABARLAH wahai para SUAMI.


Semalam, seperti minggu – minggu sebelumnya. Aku dan seluruh ahli keluarga menonton rancangan kegemaran kami. SEMANIS KURMA di TV9.

Tajuk yang dibawa kali ini ialah - ISTERI PEMALAS.


Memang menarik isi dan isunya. Dengan perantara yang tidak asing lagi iaitu – Dato’ Ustazah Siti Norbahiyah dan suami tersayang iaitu Ustaz Wan Akashah. Dengan dua orang tetamu jemputan iaitu Puan Salwa Abd Rahman (penyanyi) dan Puan Safura.

Rancangan dakwah yang berkonsepkan santai dan romantik ini. Pelbagai isu diutarakan. Namun, semalam, tiba – tiba sahaja kami tidak dapat menahan ketawa yang teramat sangat. Hingga isteriku mengesat air mata dek kerana ketawa yang keterlaluan.


Manakan tidak, terdapat beberapa orang pemanggil lelaki yang memberikan komen dan sekaligus menceritakan sikap kurang senang terhadap isteri masing – masing.


Pemangil pertama menceritakan tentang sikap isterinya yang takut - MANDI PAGI.
Aku kata pada ahli keluarga aku, "kalau sudah takut mandi waktu pagi, ini memang masalah besar".


Pemanggil kedua menceritakan tentang bau pada tubuh isterinya - BAU KETIAK.


Bila Ustaz Wan Akashah bertanya berapa lama usia perkahwinan saudara, si pemanggil kedua menjawab “sudah 20 tahun.” Lalu si pemanggil kedua berkata lagi “memang keturunan isteri saya, badan berbau.”

Kelihatan tetamu undangan juga seakan terpaksa menahan ketawa.


Apapun, yang terbaik ialah, masing – masing perlu bijak untuk menangani masalah ini. Tips dan panduan telahpun diberikan oleh kedua - dua perantara yang terkenal itu.

Monday, December 22, 2008

ANAK MELAYU naik darjat.

MELAYU & ARAK - sudah sinonim.


Aku kira, besar kemungkinan inilah entri aku yang paling kontroversi. Tetapi, apakan daya, kalau tidak bercakap, aku bimbang tanggungjawab aku diakhirat tidak lepas.


Kalau dahulu, lelaki dewasa - Melayu, hanya 'berani' minum arak didalam bar, pub, disko dan kawasan - kawasan yang sewaktu dengannya.


Tetapi hari ini. Didepan mataku. Bukan dikawasan 'eksklusif' tetapi di restoran. Anak - anak muda Melayu, tanpa segan silu, meminum minuman beralkohol secara terbuka. Seumpama minum Coca - cola dan Pepsi layaknya.


Anak Melayu minum ARAK secara terbuka, bebas - sebebas - bebasnya.


Maaf, jika aku membawa kronologi seperi berikut:

1 - Minum arak, secara terbuka, lelaki dan perempuan.
2 - Merokok.
3 - Mabuk.
4 - Perempuan minum arak, tidak sedar butang baju terbuka.
5 - Lelaki minum arak. Mata memandang tepat kearah belahan dada si perempuan.
6 - Nafsu si lelaki bergelora.
7 - Mata bertentang mata.
8 - Sambil bergurau, bertepuk tampar, nafsu bergelora.
9 - Berjalan terhoyong - hayang, menuju bilik.
10-Perempuan rebah.
11-Lelaki tidak dapat mengawal keadaan.
12 - Ya, DETIK 12 TENGAH MALAM. IBLIS DAN SYAITAN ketawa semahu - mahunya. Tugas mereka berjaya.

13 - Siapa yang berani untuk meneruskan kronologi ini ... (ada yang kata, angka 13 adalah angka SIAL).


Bila sudah berlaku, barulah ibu, ayah, nenek, tokwan, abang, kakak menangis semahu - mahunya.


Ada ketikanya aku terfikir. Jika ada yang minum arak dan merokok. Pasti mulut mereka berbau. Tidak adakah ibu bapa atau penjaga yang boleh mengesan dari awal ?


Bila anak perempuan sudah TER-MENGANDUNG. Siapakah yang harus dipersalahkan ?


Punca atau asas kepada keruntuhan akhlak sudah dikesan. Apa harus kita lakukan ?


Kalau ada yang hendak meninggalkan jejak atau komen yang BER-EMOSI. Aku tidak akan jawab. Sebab , yang penting aku sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Islam.


Aku TIDAK MAHU MENJAWAB dihadapan Allah ! Biarlah urusan aku selesai didunia.

Saturday, December 20, 2008

KENALAN BARU.

Jogging dengan NOVEL.


Antara lokasi untuk yang menarik dan selesa untuk aku sekeluarga berjogging ialah di Taman Tasek Shah Alam. Dengan pelbagai kemudahan yang ada. Serta begitu banyak ruang untuk parkir. Ditambah dengan keluasan kawasan yang mengelilingi tasek.


Sudah menjadi amalan kami sekeluarga. Andainya kami beriadah di Taman Tasek Shah Alam. Maka kami akan membawa bekalan sarapan. Supaya apabila selesai beriadah atau berjogging, kami akan terus menghadap sarapan pagi. Maklumlah, perut sudah pasti kosong dan kami akan kelaparan. Begitu nikmat menikmati sarapan dikawasan taman tasek.


Disini, aku ingin sekali memberi nasihat dan berkongsi ilmu. Cuba elakkan membawa sarapan seperti makanan yang ada marjerin, atau nasi lemak, atau makanan bergoreng, ataupun sardin. Kerana jika anda memantau dalam internet dan jurnal kesihatan. Ataupun majalah Pengguna. Terbukti hasil kajian mendapati bahawa bahan makanan tersebut mengandungi bahan yang tidak membantu dalam proses kesihatan.


Berbalik kepada kisah berjogging. Baru - baru ini. Sewaktu sedang berjalan perlahan santai mengelilingi taman tasek. Aku masih belum mampu untuk bergerak aktif. Tiba - tiba aku dipintas oleh seorang lelaki dalam lingkungan usia 50'an.


Bagi aku itu perkara biasa. Tetapi, apabila aku tiba disebuah jambatan kecil, aku terlihat, lelaki itu sedang membaca sebuah buku yang agak tebal. Aku lalu memberanikan diri untuk mendekati lelaki tersebut.


Rupa - rupanya, beliau sedang membaca sebuah novel terbitan ALAF 21. Sambil tersenyum aku menyapanya. Dan bermulalah sebuah persahabatan. Kelihatan lelaki itu begitu gembira mendapat kenalan baru yang mempunyai hobi dan kegemaran yang sama.


Setelah bertukar - tukar nombor telefon bimbit. Aku lalu meminta diri. Kerana keluarga aku sudah pasti menanti kehadiran aku untuk menikmati sarapan pagi.


Kepada anda yang meminati novel ALAF 21. Jomlah sertai Kelab Peminat Novel ALAF 21 atau kata ringkasnya - ALAF 21 FC. Pasti anda akan menemui begitu ramai kenalan baru yang meminati novel.


Hantarkan permohonan anda ke alamat - alaf21fc@yahoo.com

Friday, December 19, 2008

Pendapat Blogawan (1)

TERIMA KASIH - BLOGAWAN.


Aku mengucapkan TERIMA KASIH kepada semua blogawan yang telah memberikan pendapat berhubung entri yang bertajuk - Memang MEMALUKAN. Masjid TEWAS, Gereja JUARA !


Ya, semuanya bersependapat iaitu satu aspek yang perlu ditekankan ialah kefahaman umat Islam tentang KEBERSIHAN (Hukum TAHARAH - BERSUCI) begitu rendah.


Kita sudah tidak boleh bersikap sambil lewa. Kita mesti mengambil satu pendekatan baru, iaitu, jawatankuasa masjid dan pegawai urusan masjid mesti FAHAM dan mesti MENGAMBIL BERAT tentang aspek kebersihan dan kesucian masjid.

Jangan jadikan alasan, terlalu ramai umat Islam yang menggunakan tandas masjid, maka keadaan sudah tidak terkawal.


Dan sebagai pengguna. Kita juga bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan tandas masjid.


Kita semua perlu maklum. TUBUH BERNAJIS, SOLAT TIDAK SAH.

TERIMA KASIH kepada blogawan dibawah yang memberikan komen:


Sabiah, aNIe, Kak Zue, KAK TINY, silversarina, Neeza Shahril, Mak Su, zino, BurungBelatuk, Tie, maklang, Intan Rosnitta, kak ina kl, Nek Cun, Zalisa Maz, crack cracker, ciklin, noorlara.

Tuesday, December 16, 2008

Memang MEMALUKAN !

Masjid TEWAS, Gereja JUARA !


Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah orang tua aku di Taiping, beberapa hari yang lalu. Anak - anakku mengalami cirit - birit. Jadi boleh dibayangkan kesukaran yang aku tempohi. Memang sedari awal aku telah merancang perjalanan mengikut 'jalan dalam' melalui daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor.


Jadi, setiap kali anak - anakku merungut hendak buang air, maka aku perlu berhenti. Kalau jumpa stesen minyak, maka distesen minyak menjadi tempat untuk buang air besar. Tidak kira apa nama bangunan yang dilihat oleh mata yang sempat. Restoran, kedai makan, surau, masjid hatta gereja sekalipun.


Pengalaman 'berharga' inilah yang menyebabkan aku terpaksa memasukkan entri pada kali ini menyentuh tentang isu kebersihan sekali lagi.


Boleh dikatakan 5 buah masjid yang aku gunakan kemudahan didalamnya. Kelima - lima Masjid aku kategorikan sebagai - TERUK dan TIDAK MEMUASKAN !


Sepatutnya, sebagai sebuah Masjid. Ini adalah 'institusi' yang perlu dan mesti terkehadapan dalam menunjukkan contoh dalam aspek KEBERSIHAN.


Perlu diingatkan lagi, jika kita dalam keadaan berhadas dan bernajis, maka solat dan ibadah yang lain tidak akan diterima, atau dalam bahasa yang mudah, solat kita TIDAK SAH ! Bila solat kita tidak sah dan tidak diterima oleh Allah, maka ibadah yang lain juga mengalami 'nasib yang sama.'


Tanda didalam Masjid yang masih berada didalam kategori tidak memuaskan atau TERUK, KOTOR, MEMUALKAN, HENDAK TERMUNTAH, dan tidak ada selera hendak digunakan adalah seperti dibawah:


1 - Najis bersepah ditepi mangkuk.
2 - 'Flush' rosak.
3 - Najis bertakung, kelihatan najis terapung didalam mangkuk tandas.
4 - Tiada selipar atau terompah atau kasut khas yang disediakan.
5 - Air melimpah dari dalam tandas ke bahagian untuk berwuduk.
6 - Pintu tandas tiada kunci didalam dan diluar.
7 - Air menitik dari atas kepala (air tangki yang ada kebocoran)
8 - Terdapat pelbagai kata - kata dan lukisan lucah dipintu tandas sebelah dalam.
9 - Paip air tidak mengeluarkan air.
10-Tiada gayung disediakan.
11-Tiada baldi didalam tandas.
12-Tandas berpasir.
13-Lampu dalam tandas tidak menyala.
14-Cat didinding yang telah kusam.
15-Tandas tidak mencukupi. Hanya ada sebuah untuk muslimin dan sebuah untuk muslimat.
16-Tiada getah paip.
17-Mangkuk tandas berkulat.
18-Laluan ke tandas yang kotor dan air bertakung.
19-Tandas yang berkunci dan tidak boleh digunakan.
20-Pintu tandas terkopak.


Yang paling mengaibkan. Cuma ada sekali sahaja aku terpaksa berhenti dan singgah disebuah Gereja. Itupun sebab aku melihat pintu gereja terbuka, dan anak aku sudah tidak tahan lagi untuk buang air besar.


Aku berhenti di sebuah Gereja di daerah Sitiawan. Aku memohon kebenaran untuk berhenti dan menggunakan kemudahan tandas mereka. Memang mengejutkan, tandas mereka begitu bersih, lengkap, kemas dan CANTIK !


Bukannya hendak menyatakan bahawa tandas didalam Gereja itu seperti dalam hotel. Tetapi, bila melihat keadaan tandas yang sebegitu rupa, aku dan seluruh ahli keluarga terus sahaja menggunakan tandas itu. Memang SELESA !


Usai mengunakan tandas di Gereja itu, aku mengucapkan terima kasih kepada penjaga Gereja itu. Dan dengan ramah dan senyuman penjaga tandas itu bertanya "Incik mau pigi mana?" soal apek tua berbangsa China kepadaku.


Aku menyatakan bahawa kami hendak balik kampong di Taiping.


Lalu si apek tua itu sempat memberi pesan, "bawa keleta baik - baik ooo ...."


Anak - anak ku tersenyum sambil melambai kearah apek tua itu.

Monday, December 15, 2008

USRAH IR

IR.


Tajuknya pendek. Perkataannya juga pendek. IR, membawa kepada dua perkataan yang digabungkan. Tetapi bukan IR yang membawa maksud 'engineer' walaupun IR disini juga hakikatnya adalah re-engineering.


Aku mendapat perkataan itu setelah menghadiri usrah yang diadakan dirumah seorang sahabat. Sudah berbelas tahun lamaya tidak menghadiri majlis usrah.


I - Membawa maksud - IKHLAS.
R - Membawa maksud - REDHA.


Kedua - dua perkataan itu benar - benar terkena 'batang hidungku' sendiri. Dua perkataan yang mudah, malah terlalu mudah untuk diucapkan. Tetapi begitu sukar, begitu payah, begitu azab untuk dilaksanakan.


Aku menjalankan tugas dengan ikhlas. Tetapi tidak betul jika ada yang menggunakan perkataan 'seikhlasnya'. Kerana ikhlas adalah ikhlas. Aku redha dengan pemberian dan ketentuan serta takdir dari Allah.


Pesanan dari Ustaz yang merupakan naqib pada malam itu. Jangan ingat orang kaya atau berharta sahaja yag mesti 'memberi'. Kita, sebagai orang yang tidak berapa kaya, tidak berapa berharta dan berapa berada juga MESTI dan WAJIB memberi.


"Ana bawa contoh, ana ada 10 sen dalam poket, bukan banyak Tuan - tuan dan Puan - puan, dalam poket cuma ada 10 sen sahaja, ini bukan cerita lawak, jangan ingat zaman sekarang tidak ada orang yang miskin, papa kedana sampai dalam poket ada 10 sen sahaja. Tetapi, disebabkan ana hendak mendapat ganjaran dari Allah, dan dengan ikhlas ana masukkan duit syiling 10 sen ke dalam tabung masjid, InsyaAllah, itulah amalan kita yang Allah suka, Allah sayang ... dan jangan harap untuk mendapat balasan selepas itu, sebab ramai orang yang beramal ibadah dan berbakti dijalan Allah, tetapi tidak mendapat balasan didunia, dan sampai mati pun mereka masih tidak mendapat balasan nikmat, tetapi perlu diingat, ganjaran atas amalan kita akan dibalas oleh Allah dengan sehebat - hebat dan maha hebat diakhirat kelak, InsyaAllah."



Berlinang air mataku disaat itu ... sambil menyeluk poket.

Friday, December 12, 2008

Tugas yang bersambung.

Sejarah berkitar semula.


30 tahun yang lalu. Sewaktu seorang anak lelaki yang baru memasuki alam dewasa. Selesai proses berkhatan. Si ayah lalu menghampiri anaknya dengan senyuman. Lalu menyentuh bahu si anak dengan lembut dan berkata "ayah bangga kerana kamu berani."


Si anak yang masih sakit hampir menangis. Lalu berkata "ayah, dalam dunia ni, ayah takut apa?" (dalam fikiran si anak, mesti si ayah tidak takut apa - apa sebab si ayah pasti sudah bersunat).


Lama si ayah mendiamkan diri. Tiba - tiba kelihatan air mata si ayah bergenang di tubir mata. "Ayah takut kalau ayah tak berjaya menjadi seorang ayah yang baik, Ayah takut kalau ayah tak berjaya mendidik anak - anak Ayah menjadi manusia yang baik."


Si anak merenung wajah ayahnya begitu lama. Kemudian si anak bertanya lagi. "Ayah, waktu bila ayah rasa paling takut?"


Si anak berfikir, mesti Ayahnya akan menyatakan bahawa waktu hendak bersunat adalah waktu paling mendebarkan.


Lalu si ayah menjawab "kamu takut waktu hendak bersunat, ibumu takut sewaktu hendak melahirkan kamu, ayah takut sewaktu sekolah kamu hendak dibuka."


Dahi si anak berkerut memikirkan kata - kata ayahnya. Namun si ayah hanya mendiamkan diri.


30 tahun kemudian. Si anak merakamkan kembali dialog itu didalam blog ini.


Thursday, December 11, 2008

BER~ KHUTBAH

'BER'Khutbah yang menggemparkan !


Ya, baca betul - betul. Bukan - MEMBACA KHUTBAH. Tetapi - BERKHUTBAH !


Aku yakin dan pasti. Majoriti rakyat dan kaum muslimin mengharapkan ada perubahan kepada cara dan konsep khutbah yang ada dinegara kita.


Cuba lihat, bila saluran TV dinegara kita menyiarkan secara langsung upacara solat Juma'at, samada dari Masjid Negara, mahupun dari mana - mana masjid terpilih. Pasti akan ada jemaah yang - tunduk, menunduk dan tertunduk - akibat terlalu khusyuk mendengar Khatib MEMBACA KHUTBAH.


Maaf cakap. Usai solat Jumaat. Cuba kita serkap jarang seorang daripada ribuan jemaah. Dan kita tanyakan apa isi kandungan khutbah yang baru didengari. Aku pasti mereka tidak akan dapat memberikan jawapan yang memuaskan. Silap haribulan jemaah tersebut akan menjawab sambil tersenyum:


"Maaf, saya tertidur."


Apakah makna semuanya ini. Kepada pihak yang arif dalam urusan agama, khususnya - PEGAWAI JABATAN AGAMA. Fikir - fikirkanlah.


Cuba bayangkan, baru - baru ini terjadi satu fenomena alam, dimana berlakunya - SMILEY. Iaitu bulan dan bintang, masing - masing membentuk seolah - olah 'sebuah senyuman'. Dan cuba bayangkan berapa ramai yang dapat melihat fenomena itu.


Tiba - tiba, khutbah yang berlangsung pada minggu itu, Khatib membicarakan tentang TAKWA dan menghubungkaitkan dengan fenomena itu. Aku yakin dan pasti, ramai jemaah akan 'mengangkat atau mendongak' kepala, memandang kearah Khatib, walaupun mungkin tidak mendongak kearah langit.


Dan sekadar cadangan dari aku (aku lulusan sekolah Inggeris, bukan sekolah agama). Apa salahnya, setiap kali selesai solat Jumaat. Pihak masjid tempatan, mengedarkan risalah isi kandungan khutbah yang telah diperkatakan oleh Khatib. Supaya jemaah dapat mengumpulkan bahan dan isi kandungan khutbah untuk dijadikan rujukan dimasa akan datang, dan supaya ilmu itu bermanfaat untuk kaum muslimin.



# Aku membayangkan Ketua Polis Negara, berpakaian lengkap, lalu berkhutbah menerangkan tentang ISU KESELAMATAN NEGARA.


Wednesday, December 10, 2008

REBUT PELUANG !

Jangan lepaskan peluang !


Sewaktu menghadiri rumah terbuka, adik ipar aku yang diadakan pada Hari Raya Aidil Adha. Masing - masing memperkatakan tentang tentang krisis ekonomi global dan juga tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.


Semuanya memperkatakan tentang dua peristiwa penting itu dari persepsi dan dari kaca mata masing - masing.


Ya, semuanya bersetuju tentang satu perkara. Iaitu itulah dinamakan TAKDIR !


Akhirnya aku mengambil peluang yang masih tersisa, sebelum berangkat pulang, dengan melontarkan satu pandangan.


Kalau semuanya bersetuju bahawa ini adalah 'kerja tuhan'. Kenapa kita harus melepaskan peluang. Kita kembali kepada fitrah. Bukankah agama Islam adalah agama FITRAH ? Yang sesuai dengan semua golongan ? Dan yang penting kita mengharapkan KEREDHAAN ALLAH ?


Bagi diriku ini adalah masa nya, inilah waktunya, inilah detik dan ketikanya kita perlu merebut peluang yang ada. Maka kita laksanakan seluruh sistem kehidupan manusia mengikut apa yang digariskan didalam Al Qur'an dan Sunnah Rasulullah.


Teruskan kepada matlamat hidup kita iaitu mendapat keredhaan Allah. Maka laksanakan sistem Ekonmi Islam. Jangan bertangguh lagi !


Cuba fikirkan tentang satu perkara. Setiap pusingan 10 tahun. Dunia akan mengalami dan menghadapi krisis ekonomi global. Jutaan manusia menderita. Dan pakar - pakar ekonomi Islam menyatakan bahawa Sistem Ekonomi Islam mampu membawa keluar manusia dari kemelut ini. Tetapi semuanya TAKUT untuk melaksanakannya. Semuanya hanya pandai berteori dan berseminar.


Kenapa perlu takut ? Bukankah sistem ekonomi Islam adalah sistem yang 'ditunjukkan' Allah. Tuhan yang menciptakan manusia dan seluruh alam ?


Jadi pada hemat ku. Yang menyebabkan seluruh manusia, khususnya umat Islam masih takut atau tidak yakin untuk melaksanakannya adalah kerana, masing masing 'keras kepala' dan hendak 'menunjukkan' kepada Allah, bahawasanya 'otak manusia' adalah lebih bijak dan lebih hebat dari Allah !


Ingatlah wahai kaum Muslimin. "DUIT ADALAH KERJA TUHAN!"

Tuesday, December 09, 2008

PILIHAN ANDA ?

KORBAN, BERKORBAN, TERKORBAN.


Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam.


Dizaman kemelesetan dan kegawatan ekonomi ini, kita perlu bijak dalam berbelanja, walaupun sewaktu menyambut hari kebesaran didalam Islam, dan inilah pengorbanan besar kita dalam memulihkan kegawatan ekonomi.


Apa yang penting adalah, kewajipan kita dalam melaksanakan tuntutan agama disempurnakan dengan sebaik mungkin.


Dalam konteks dinegara kita Malaysia, janganlah kita menjadikan satu lagi pengorbanan yang sering berlaku sebagai amalan, kerana ia tidak termasuk dalam urusan beragama, iaitu - TERKORBAN DIJALANRAYA !


Cukuplah dengan jumlah KORBAN DIJALANRYA yang berlaku hingga hari ini. Cubalah kita kurangkan atau hapuskan perkara tersebut. Kerana tiada siapa yang mendapat manfaat dari - KORBAN DIJALANRAYA.


Hatta, seekor lembu yang terkorban dijalanraya akibat dari dilanggar kenderaan juga tidak boleh dimakan kerana sudah termasuk didalam kategori - BANGKAI.


SEMOGA ANDA SEMUANYA SELAMAT DIJALANRAYA.

Tuesday, December 02, 2008

Laluan Alternatif


Disebabkan oleh permintaan yang tinggi untuk menjadi AHLI - Kelab Peminat Novel ALAF21 - ALAF21 FC. Serta laluan trafik yang agak sesak, disamping beberapa masalah teknikal.


Maka, disini, Abang Long memberikan cara manual yang agak mudah untuk mendaftar sebagai AHLI.


1 - Taipkan butiran peribadi. Seperti nama penuh, nombor MyKad, Alamat lengkap, nombor untuk dihubungi dan alamat URL atau alamat blog peribadi (jika ada).

2 - Untuk ruangan subjek. Taipkan - MOHON AHLI.

3 - Hantarkan permohonan anda ke alamat - alaf21fc@yahoo.com


Itu sahaja.


TERIMA KASIH.


# Bagi peminat novel ALAF 21, yang tinggal dikawasan - SHAH ALAM, KLANG, PELABUHAN KLANG, SRI ANDALAS, BANDAR SULTAN SULEIMAN, BUKIT TINGGI. Anda boleh memesan novel minimum sebanyak 2 buah. Dan penghantaran adalah PERCUMA !!! Hantarkan pesanan anda ke alamat emel Abang Long - safmi_80@yahoo.com