Friday, December 12, 2008

Tugas yang bersambung.

Sejarah berkitar semula.


30 tahun yang lalu. Sewaktu seorang anak lelaki yang baru memasuki alam dewasa. Selesai proses berkhatan. Si ayah lalu menghampiri anaknya dengan senyuman. Lalu menyentuh bahu si anak dengan lembut dan berkata "ayah bangga kerana kamu berani."


Si anak yang masih sakit hampir menangis. Lalu berkata "ayah, dalam dunia ni, ayah takut apa?" (dalam fikiran si anak, mesti si ayah tidak takut apa - apa sebab si ayah pasti sudah bersunat).


Lama si ayah mendiamkan diri. Tiba - tiba kelihatan air mata si ayah bergenang di tubir mata. "Ayah takut kalau ayah tak berjaya menjadi seorang ayah yang baik, Ayah takut kalau ayah tak berjaya mendidik anak - anak Ayah menjadi manusia yang baik."


Si anak merenung wajah ayahnya begitu lama. Kemudian si anak bertanya lagi. "Ayah, waktu bila ayah rasa paling takut?"


Si anak berfikir, mesti Ayahnya akan menyatakan bahawa waktu hendak bersunat adalah waktu paling mendebarkan.


Lalu si ayah menjawab "kamu takut waktu hendak bersunat, ibumu takut sewaktu hendak melahirkan kamu, ayah takut sewaktu sekolah kamu hendak dibuka."


Dahi si anak berkerut memikirkan kata - kata ayahnya. Namun si ayah hanya mendiamkan diri.


30 tahun kemudian. Si anak merakamkan kembali dialog itu didalam blog ini.


Thursday, December 11, 2008

BER~ KHUTBAH

'BER'Khutbah yang menggemparkan !


Ya, baca betul - betul. Bukan - MEMBACA KHUTBAH. Tetapi - BERKHUTBAH !


Aku yakin dan pasti. Majoriti rakyat dan kaum muslimin mengharapkan ada perubahan kepada cara dan konsep khutbah yang ada dinegara kita.


Cuba lihat, bila saluran TV dinegara kita menyiarkan secara langsung upacara solat Juma'at, samada dari Masjid Negara, mahupun dari mana - mana masjid terpilih. Pasti akan ada jemaah yang - tunduk, menunduk dan tertunduk - akibat terlalu khusyuk mendengar Khatib MEMBACA KHUTBAH.


Maaf cakap. Usai solat Jumaat. Cuba kita serkap jarang seorang daripada ribuan jemaah. Dan kita tanyakan apa isi kandungan khutbah yang baru didengari. Aku pasti mereka tidak akan dapat memberikan jawapan yang memuaskan. Silap haribulan jemaah tersebut akan menjawab sambil tersenyum:


"Maaf, saya tertidur."


Apakah makna semuanya ini. Kepada pihak yang arif dalam urusan agama, khususnya - PEGAWAI JABATAN AGAMA. Fikir - fikirkanlah.


Cuba bayangkan, baru - baru ini terjadi satu fenomena alam, dimana berlakunya - SMILEY. Iaitu bulan dan bintang, masing - masing membentuk seolah - olah 'sebuah senyuman'. Dan cuba bayangkan berapa ramai yang dapat melihat fenomena itu.


Tiba - tiba, khutbah yang berlangsung pada minggu itu, Khatib membicarakan tentang TAKWA dan menghubungkaitkan dengan fenomena itu. Aku yakin dan pasti, ramai jemaah akan 'mengangkat atau mendongak' kepala, memandang kearah Khatib, walaupun mungkin tidak mendongak kearah langit.


Dan sekadar cadangan dari aku (aku lulusan sekolah Inggeris, bukan sekolah agama). Apa salahnya, setiap kali selesai solat Jumaat. Pihak masjid tempatan, mengedarkan risalah isi kandungan khutbah yang telah diperkatakan oleh Khatib. Supaya jemaah dapat mengumpulkan bahan dan isi kandungan khutbah untuk dijadikan rujukan dimasa akan datang, dan supaya ilmu itu bermanfaat untuk kaum muslimin.



# Aku membayangkan Ketua Polis Negara, berpakaian lengkap, lalu berkhutbah menerangkan tentang ISU KESELAMATAN NEGARA.


Wednesday, December 10, 2008

REBUT PELUANG !

Jangan lepaskan peluang !


Sewaktu menghadiri rumah terbuka, adik ipar aku yang diadakan pada Hari Raya Aidil Adha. Masing - masing memperkatakan tentang tentang krisis ekonomi global dan juga tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.


Semuanya memperkatakan tentang dua peristiwa penting itu dari persepsi dan dari kaca mata masing - masing.


Ya, semuanya bersetuju tentang satu perkara. Iaitu itulah dinamakan TAKDIR !


Akhirnya aku mengambil peluang yang masih tersisa, sebelum berangkat pulang, dengan melontarkan satu pandangan.


Kalau semuanya bersetuju bahawa ini adalah 'kerja tuhan'. Kenapa kita harus melepaskan peluang. Kita kembali kepada fitrah. Bukankah agama Islam adalah agama FITRAH ? Yang sesuai dengan semua golongan ? Dan yang penting kita mengharapkan KEREDHAAN ALLAH ?


Bagi diriku ini adalah masa nya, inilah waktunya, inilah detik dan ketikanya kita perlu merebut peluang yang ada. Maka kita laksanakan seluruh sistem kehidupan manusia mengikut apa yang digariskan didalam Al Qur'an dan Sunnah Rasulullah.


Teruskan kepada matlamat hidup kita iaitu mendapat keredhaan Allah. Maka laksanakan sistem Ekonmi Islam. Jangan bertangguh lagi !


Cuba fikirkan tentang satu perkara. Setiap pusingan 10 tahun. Dunia akan mengalami dan menghadapi krisis ekonomi global. Jutaan manusia menderita. Dan pakar - pakar ekonomi Islam menyatakan bahawa Sistem Ekonomi Islam mampu membawa keluar manusia dari kemelut ini. Tetapi semuanya TAKUT untuk melaksanakannya. Semuanya hanya pandai berteori dan berseminar.


Kenapa perlu takut ? Bukankah sistem ekonomi Islam adalah sistem yang 'ditunjukkan' Allah. Tuhan yang menciptakan manusia dan seluruh alam ?


Jadi pada hemat ku. Yang menyebabkan seluruh manusia, khususnya umat Islam masih takut atau tidak yakin untuk melaksanakannya adalah kerana, masing masing 'keras kepala' dan hendak 'menunjukkan' kepada Allah, bahawasanya 'otak manusia' adalah lebih bijak dan lebih hebat dari Allah !


Ingatlah wahai kaum Muslimin. "DUIT ADALAH KERJA TUHAN!"

Tuesday, December 09, 2008

PILIHAN ANDA ?

KORBAN, BERKORBAN, TERKORBAN.


Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam.


Dizaman kemelesetan dan kegawatan ekonomi ini, kita perlu bijak dalam berbelanja, walaupun sewaktu menyambut hari kebesaran didalam Islam, dan inilah pengorbanan besar kita dalam memulihkan kegawatan ekonomi.


Apa yang penting adalah, kewajipan kita dalam melaksanakan tuntutan agama disempurnakan dengan sebaik mungkin.


Dalam konteks dinegara kita Malaysia, janganlah kita menjadikan satu lagi pengorbanan yang sering berlaku sebagai amalan, kerana ia tidak termasuk dalam urusan beragama, iaitu - TERKORBAN DIJALANRAYA !


Cukuplah dengan jumlah KORBAN DIJALANRYA yang berlaku hingga hari ini. Cubalah kita kurangkan atau hapuskan perkara tersebut. Kerana tiada siapa yang mendapat manfaat dari - KORBAN DIJALANRAYA.


Hatta, seekor lembu yang terkorban dijalanraya akibat dari dilanggar kenderaan juga tidak boleh dimakan kerana sudah termasuk didalam kategori - BANGKAI.


SEMOGA ANDA SEMUANYA SELAMAT DIJALANRAYA.

Tuesday, December 02, 2008

Laluan Alternatif


Disebabkan oleh permintaan yang tinggi untuk menjadi AHLI - Kelab Peminat Novel ALAF21 - ALAF21 FC. Serta laluan trafik yang agak sesak, disamping beberapa masalah teknikal.


Maka, disini, Abang Long memberikan cara manual yang agak mudah untuk mendaftar sebagai AHLI.


1 - Taipkan butiran peribadi. Seperti nama penuh, nombor MyKad, Alamat lengkap, nombor untuk dihubungi dan alamat URL atau alamat blog peribadi (jika ada).

2 - Untuk ruangan subjek. Taipkan - MOHON AHLI.

3 - Hantarkan permohonan anda ke alamat - alaf21fc@yahoo.com


Itu sahaja.


TERIMA KASIH.


# Bagi peminat novel ALAF 21, yang tinggal dikawasan - SHAH ALAM, KLANG, PELABUHAN KLANG, SRI ANDALAS, BANDAR SULTAN SULEIMAN, BUKIT TINGGI. Anda boleh memesan novel minimum sebanyak 2 buah. Dan penghantaran adalah PERCUMA !!! Hantarkan pesanan anda ke alamat emel Abang Long - safmi_80@yahoo.com

Friday, November 14, 2008

HATI KERAS.

Mencairkan HATI.


Bukan mudah sebenarnya untuk mengajak tetamu untuk bersolat berjemaah. Ada sahaja alasan yang diberikan. Dan ada juga tuan rumah yang menggigil kepala lutut untuk mengajak saudara mara mahupun sahabat dan kenalan yang bermalam dirumah untuk bersolat bersama - sama.


Malahan, ada diantara tuan rumah yang tidak ambil kisah, seandainya tetamu yang berkunjung kerumah tidak bersolat.


Pagi tadi, sebaik sahaja bangun dari tidur. Aku merasa kurang sihat, lantas mengambil keputusan untuk bersolat subuh dirumah. Maka, aku menggerakkan beberapa orang saudara aku yang lelaki untuk bersolat secara berjemaah.


Usai solat subuh, aku seperti terlupa (atau memang ditakdirkan Allah), yang ada jemaah dibelakang aku. Selalunya, jika ada jemaah yang mengikut, maka aku akan ringkaskan bacaan solat dan berdoa. Tetapi pagi tadi, usai sahaja solat, aku terus mengalunkan zikir munajat.


Entah kenapa, sewaktu rancak mengalunkan kalimah mengagungkan Allah, tiba - tiba aku terdengar suara esakan seseorang.


Rupa - rupanya, seorang saudaraku sedang menangis. Namun, aku teruskan mengingati kalimah Allah hingga selesai.


Usai berdoa, tiba - tiba saudaraku ini terus bersalam dan memelukku dengan begitu erat. Lalu aku tanya "kenapa?"


Dengan jujur, saudaraku berkata, beliau sudah 10 tahun tidak menunaikan solat. Dan terasa gementar serta takut mengenangkan azab meninggalkan solat. Dan lebih hiba, apabila terasa benar - benar syahdu mendengar kalimah nama Allah yang MAHA AGUNG dialunkan.


Aku hanya mengucapkan SYUKUR.

Thursday, November 13, 2008

UCAPAN PENGHARGAAN

Setulus Ikhlas.


TERIMA KASIH diucapkan kepada bloggers yang telah memberikan maklumbalas kepada emel yang telah dikirimkan secara peribadi.


Kerjasama yang diberikan amat dihargai.


TERIMA KASIH

Sunday, November 09, 2008

Macam - macam kisah

Kisah 1 - Pakcik. Abang.


Sewaktu berada didalam wad, tempohari. Hampir kesemua kakitangan yang bertugas memanggil aku - PAKCIK. 'Terasa' benar aku sudah tua. Benar, kalau berpandukan kepada uban yang 'melekat' di kepala aku ! Walau apapun, biarlah ada uban, supaya aku 'sedar diri.'


Sewaktu sedang berjalan ke bilik air. Aku melewati kaunter pemeriksaan, kebetulan ada Dr disitu, lalu aku mengambil kesempatan untuk bertanya, bilakah aku dapat pulang. "Dr, bila saya dapat keluar ?" Lalu Dr menjawab dengan senyuman "Bila abang nak keluar ?"


Aku tahu Dr cuma bergurau.



Kisah 2 - Realiti, jangan jijik !


Perut aku memulas - mulas. Terasa ingin melepaskan hajat. Tetapi aku berkira - kira. Hampir dua jam aku bertahan. Akhirnya, aku sudah tidak ada daya ketahanan lagi. Perlahan - lahan aku turun dari katil. Menuju ke tandas. Dengan jarum dan air masih melekat di tangan. Terasa ngilu yang teramat sangat.


Selesai membuang air besar. Aku mencedok air dengan tangan kanan lalu membasuh (xxx). Kerana tangan kiri ada jarum dan air yang melekat, juga botol yang masih tergantung.


Kepada pengunjung sekalian. Jika ada sesiapa yang mempunyai saudara di hospital. Cubalah memahami keadaan 'genting' itu.



Kisah 3 - Suntik yang menusuk.


Adakah ini nasib ?, atau kerana pakar ?, atau kerana pengalaman ?


Ada ketikanya jarum masuk dengan begitu cermat dan sakit yang minima, ada ketikanya terasa benar jarum itu masuk, tetapi paling malang, bila ada petugas yang menyuntik jarum seumpama bermain - main. Jarum suntikan diacu didalam kulit berkali - kali, hingga terasa hendak pengsan !


Dalam satu tahun ini sahaja, aku telah disuntik sebanyak 9 kali ! Ambil darah, ambil darah, ambil darah ! Terkadang aku terfikir, betapa TIDAK EFFISEN nya perkhidmatan kesihatan, khususnya KEMENTERIAN KESIHATAN.


Setiap kali hendak memberi ubat, maka aku perlu 'memberi darah'. Memang 'cekik darah !'


Tidak adakah satu sistem, dimana darah pesakit diambil dan disimpan keputusan serta direkodkan dan boleh menjadi rujukan kepada semua pihak. Maklumat RAHSIA PERIBADI itu boleh disimpan dan hanya boleh dirujuk oleh pegawai kesihatan yang bertugas. Pada bila - bila masa.


Bukankah cara itu boleh menjimatkan masa, menjimatkan jarum suntikan dan menjimatkan DARAH pesakit ?

Wednesday, November 05, 2008

WAD 4 A - Hospital Tunku Ampuan Rahimah

TERIMA KASIH MISI.


Di kesempatan ini, aku ingin merakamkan ucapan TERIMA KASIH. Khususnya kepada Dr. Wivien D dan kepada seluruh jururawat yang bertugas di Wad 4 A.


Selama beberapa hari. Aku dijaga dengan penuh kasih sayang.


Aku tahu ada jururawat yang menutup tubuhku yang kesejukan di malam hari dengan cadar tebal. Aku sudah lupa nama jururawat yang sering datang kepadaku untuk mengambil darah, diwaktu sedang lena, dan menggerak aku dengan penuh hemah.


Aku sudah lupa nama jururawat yang memapah aku untuk turun dari katil dengan begitu cermat. Yang pasti seluruh kakitangan yang bertugas di Wad 4 A menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh profesional, berhemah tinggi dan sentiasa senyum.


TERIMA KASIH Dr. TERIMA KASIH MISI. Sekarang sudah ada jururawat lelaki yang bertugas.

REZEKI AKU.

Ubat & Berubat.


Saban waktu aku terpaksa menelan pelbagai jenis ubat. Ada yang kecil, benar - benar kecil, sudahlah kecil, perlu dibahagi dua pula. Ada yang besar, hingga terasa menyeramkan. Ada yang berwarna putih, kuning, coklat, hijau, malah macam - macam warna. Ada yang berbentuk bulat, bujur, empat segi dan tiga segi.


Sebelum mendapat ubat. Maka satu perkara yang tidak dapat dilepaskan begitu sahaja, dimana darah aku diambil untuk pemeriksaan. Bila aku renung bahagian lengan, terdapat bintik - bintik hitam, tanda kawasan itu telah disuntik untuk pengambilan darah. Sekali pandang macam tangan seorang penagih dadah.


Itu habuan aku di klinik. Sudah terseksa dan menyakitkan.


Bila bertemu dengan pengamal perubatan tradisional pula. Lain kisahnya. Seluruh tubuh berbau disebabkan oleh minyak yang digunakan untuk mengurut. Sebelum di urut, jari - jemariku yang comel akan dibelai dan diurut dengan pelbagai jenis kayu penyepit. Belum pernah aku tidak menjerit.


Air sudah berbotol - botol. Darah sudah satu baldi. Kayu sudah bertukar ganti.


Apa pun yang berlaku. Aku bermohon kepada Allah. Ya ALLAH, tetapkanlah IMAN ku.

Tuesday, October 28, 2008

MERAWAT

SABAR. SETAN.


Terlalu mahal harga sebuah kesabaran. Pelbagai dugaan, pelbagai cabaran. Pelbagai rintangan. Pelbagai musibah datang bertali arus. Andainya tsunai hanya datang melanda sekali. Tetapi ujian ini datang berkali - kali.


Debaran didada umpama menantikan sepakan penalti. Gementar tubuh bagaikan kali pertama bersalam dengan Tok Kadhi.


Mudahnya mengucapkan perkataan sabar. Setelah bertahan selama 9 bulan. Aku tahu, kesabaranku sudah senipis kulit bawang. Iman oh Iman, dimanakah dikau ?


Jika aku terseksa selama ini. Aku tidak peduli. Andai aku terlontar kelembah kehinaan. Aku juga tidak kisah. Andai tidak ada seurat benang ditubuhku juga, Aku tidak ambil pusing.


Tetapi apabila anak isteriku turut merasai sama bahananya. Memang aku terasa darah Jebat sudah mula menyelinap kedalam tubuhku.


Butiran tasbih sudah kusam dek daki kulitku. Sejadah sudah bertukar alas kepada singlet koyak. As Syahid Hassan Al Banna sudah sebati dengan jiwaku.


Sebuah ayat yang diungkap oleh Dr. H.M. Tuah Iskandar Al Haj sewaktu menjamu selera tempohari masih terngiang dikelopak telingaku - "Abang Long kena bersabar, sekarang abang long sedang berperang bukan dengan prebet tapi sudah bertembung dengan Jenderal"


SABAR !
SETAN !!!.

Saturday, October 25, 2008

Rumah Terbuka ALAF 21

Jemputan Rumah Terbuka ALAF 21.


Baru - baru ini, aku menghadiri jemputan 'rumah terbuka' yang dianjurkan oleh ALAF 21 Sendirian Berhad. Di Shah Alam.


Benar - benar menggembirakan. Setelah berbulan - bulan lamanya tidak bertemu dengan novelis. Inilah majlis yang berupaya untuk mengumpulkan sebanyak mungkin novelis yang bernaung dibawah bumbung ALAF 21. Dari novelis yang telah menghasilkan karya lebih dari 10 buah novel, hinggalah novelis yang baru menghasilkan sebuah novel. Semuanya berkumpul untuk berhari raya, bermesra dan bermaaf - maafan.


Antara yang hadir ialah Ramlee Awang Murshid, Sri Diah, Anis Ayuni, Aisya Sofea, Dr. H.M. Tuah Iskandar Al Haj, Damya Hanna dan adiknya, Eka Fahara, Eyman Hykal, Lily Haslina Nasir, Lily Suriani, Meen Zulaikha, Durrah Fatiha, Murni Aqila, Bikash Nur Idris, Aleeya Aneesa, Aida Adirani, Rose Harissa, Hezzy Azra, Hani Fazuha, dan ramai lagi.


Namun, aku terlepas peluang untuk bertemu dengan seorang novelis tersohor iaitu Norzailina Nordin. Beliau merupakan seorang novelis dan selebriti chef yang terkenal. Dimana antara novel beliau yang 'ngetop' ialah - Impian Terindah, Menanti Kasih, Getaran Rindu dan banyak lagi. Selain dari itu, bagi penggemar masak - memasak atau yang gemar menyimpan atau memiliki koleksi buku masakan, maka boleh dapatkan hasil karya beliau di ALAF 21.


Yan paling mengujakan pada kali ini ialah, pihak ALAF 21 telah membawa lori cendol ke dalam kawasan premis. Sesuatu yang berjaya menarik perhatian para jemputan.


Alhamdulillah, walaupun aku tidak dapat menjamah makanan yang terhidang disebabkan masih berada dalam tempoh rawatan. Namun aku bersyukur kerana dapat menghadiri majlis tersebut. Dan paling menggembirakan, bilamana inilah kali pertama aku membawa kamera bersamaku. Untuk merakamkan detik - dteik indah 'bersamamu'. Terima kasih kepada adik iparku yang sudi meminjamkan kamera itu.


# Aku terlihat pemidang di simpang jalan utama ke rumahku, Jemputan Aidilfiitri pada - 10 hb November. Aku hanya tersenyum dan menggeleng kepala.

Sunday, October 19, 2008

Rencah RAYA

Kisah 1 - Bloggers tidak dikenali.


Sewaktu berkunjung dari rumah kerumah. Selain dari untuk menjalinkan silaturrahim, sambil menjamu selera. Sudah tentu pelbagai perkara dibualkan.

Antara yang aku tidak dapat lupakan ialah, bilamana seorang gadis yang bercerita tentang dunia blog. Beliau tidak mempunyai blog sendiri, tetapi sering mengunjungi blog - blog persendirian.

Yang menariknya, antara blog yang sering dikunjungi oleh si gadis ini ialah Blog Abang Long. Jadi sebagai pemilik blog ini, sudah tentu aku cuba 'mengorek' apa yang patut dan perlu. Untuk mengetahui sejauh mana pandangan orang yang tidak dikenali tentang tulisan di blog ini.

Aku hanya tersenyum, bila si gadis ini memberikan pendapat dan pandangan tentang tulisan di blog ini. Beriya benar si gadis menceritakan tentang blog ini. Apa - apapun, Alhamdulillah, aku bersyukur kerana si gadis ini memberikan pendapat yang jujur.

Kepada si gadis itu (maaf, aku tidak pula bertanya siapa namanya waktu itu). Masih ingat pertemuan di majlis jamuan hari raya, di rumah Wan Farid, Taman Sri Andalas, Klang ?

Andainya cik adik membaca tulisan ini, maka dimaklumkan bahawa, seorang lelaki yang membawa anak seramai 5 orang, itulah - Abang Long.



Kisah 2 - SMS Amaran.


Tiba - tiba sahaja, seorang sahabat mengirimkan sms. "Kenapa sudah lama tidak kemaskini blog, abang long sihatkah ?"

Bila ku buka, baru aku sedar, sudah lama aku tidak kemaskini blog, terlalu banyak yang hendak diceritakan. Terlalu banyak yang hendak dikongsi bersama.



Kisah 3 - BLOGGERS BERKUMPUL BERAYA.


Sudah ramai yang bertanya, kenapa tidak diadakan pertemuan hari raya diantara semua bloggers.

Aku sendiri tidak pasti siapa yang akan memulakannya. Yang pasti, pertemuan kecil - kecilan antara bloggers memang sudah berlangsung dimerata tempat.

Rasa teringin untuk melihat dan mengenali dengan lebih dekat, bloggers dan pemilik blog yang selama ini 'berselindung' disebalik pelbagai nama samaran.

Persoalannya ialah, siapa yang hendak mula ?

Wednesday, October 08, 2008

DUA MAJLIS SERENTAK.


Kahwin & Raya.


Hari ke 3 Syawal. Seluruh ahli keluarga, sebelah mertuaku. Telah berkunjung ke Kampong Paya Rumput, Melaka Bandaraya Bersejarah. Bagi menyempurnakan majlis pernikahan adik ipar.


Kami dari pihak pengantin lelaki, bersama rombongan telah bertolak dari Pelabuhan Klang, pukul 8.15 pagi, dan tiba di Melaka jam 10.00. Alhamdulillah, kami tiba tepat pada masa yang telah dijanjikan. Dan rupa - rupanya, pihak kami yang telah tiba terlebih dahulu. Namun, Syukur Alhamdulillah, perjalanan pergi begitu lancar.


Cuma, berdekatan dengan masjid dimana berlangsungnya upcara akad nikah itu, telah diadakan majlis rumah terbuka oleh Timbalan Menteri Pertahanan. Dan kebetulan, jalan disitu agak sempit. Jadi, kesesakan trafik sememangnya tidak dapat dielakkan.


Seperkara yang aku agak gembira, begitu juga dengan rombongan pengantin lelaki ialah, jurunikah yang ditugaskan, begitu 'mesra pelanggan'. Tok Kadhi benar - benar memahami konsep urusan nikah, dimana jurunikah telah memudahkan urusan pernikahan. Tidak ada khutbah panjang berjela - jela, tidak ada soalan bertubi - tubi, tidak ada perkara remeh temeh yang dibangkitkan.


Dan jurunikah juga kelihatan tenang dan bersahaja. Sempat bergurau dengan pengantin. Ini sebenarnya boleh menghilangkan perasaan gemuruh kepada pengantin yang akan melangsungkan upaca akad nikah.


Usai upacara akad nikah. Rombongan terus ke rumah pengantin perempuan. Untuk menyerahkan menyerahkan barang hantaran. Rumah yang terletak tidak jauh dari masjid juga memudahkan urusan perjalanan kami.


Majlis kenduri berlangsung keesokan harinya, iaitu pada hari Sabtu. Maka ruang masa yang begitu banyak, telah kami gunakan untuk 'menjelajah' kawasan sekitar Masjid Tanah, Alor Gajah dan menziarahi dua buah rumah saudara yang menetap di kampong Durian Daun.


Syukur Alhamdulillah. Majlis berlangsung dengan lancar dan meriah. Perjalanan pergi dan balik juga lancar.

# TAHNIAH buat pasangan pengantin - Kapt. Mus dan Kapt. Alin.

Monday, October 06, 2008

TANDA ARAS.

Semakin tua, semakin pantas.


Samada kita sedar ataupun tidak. Waktu atau saat yang kita lalui sekarang, terasa semakin pantas dan cepat berlalu. Sewaktu entri ini ditulis, kita telahpun memasuki hari ke 6 dalam bulan Syawal.


Terbayang sewaktu aku masih kecil, 20 atau 30 tahun yang lalu. Hendak menghabiskan satu hari dalam bulan puasa, terasa begitu lama. Malahan, kita dapat 'merasakan' saat dan detik yang dilalui begitu lama dan lambat.


Sekarang, aku perhatikan, sesuatu yang seperti 'tidak kena' telah berlaku. Dimana, anak - anakku berpuasa seperti didalam keadaan santai. Tidak kelihatan wajah sayu dan tubuh lembik, sewaktu menjalani ibadah puasa. Pejam, celik, berbuka dan bersahur. Habis bulan Ramadan.


Cuba kita renungkan sebentar. Aku 'tersedar' sesuatu. Bila anak - anakku berkata "abah, kenapa cepat sangat, baru tadi kita solat Zohor, sekarang sudah masuk waktu Asar?"


Tidakkah ini bertepatan dengan hadith Rasulullah, dimana Baginda pernah menyatakan bahawa, diakhir zaman kelak, masa dan waktu yang bergerak begitu pantas. Hingga kita tidak sedar waktu yang berlalu begitu sahaja.


DUNIA sudah terlalu tua. Semakin UZUR. Ini menandakan bahawa KIAMAT seperti yang kita semua maklum, sudah semakin hampir, malah terlalu hampir !


Walau apa pun yang berlaku. Walaupun mungkin ada yang kurang senang. Dikesempatan ini, aku sebagai seorang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, yang mempunyai tugas sebagai seorang MUSLIM. Dengan tenang, menyeru kepada pengunjung blog ini supaya, laksanakan tugas, tanggungjawab dan amanah sebagai KHALIFAH diatas muka bumi ini dengan sebaiknya.


BERSOLAT - JANGAN TINGGALKAN SOLAT. Ini adalah soalan PERTAMA akan ditanya di Padang Mahsyar kelak.

ADIL - Jangan kita bersikap ZALIM terhadap makhluk diatas muka bumi ini.

AURAT - Kepada sesiapa sahaja yang masih belum menutup aurat dengan sempurna. SEGERALAH menutup aurat anda. TAKUTLAH kepada Allah. Baca dan renunglah akan AMARAN dari Baginda, tentang azab kepada mereka yang tidak menutup aurat.


Yang penting, lakukan sebanyak mungkin amalan yang disuruh dalam agama dengan hati yang ikhlas - KERANA ALLAH.


# Kita kata, kita 'hendak' syurga Allah ...

Tuesday, September 30, 2008

Universiti Ramadan (10)

Kisah 1 - TAKBIR. TASBIH. TAHMID.


Bermula malam ini. Masuk sahaja waktu Maghrib. Selesai sudah umat Islam berpuasa didalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.


Dan yang pasti, ramai yang akan menitiskan airmata. Samada kerana Ramadan telahpun berlalu. Ataupun sebak, pilu dek kerana alunan lagu Dendang Perantau berkumandang, dan ada yang tidak dapat balik ke kampong halaman untuk berhari raya.


Apapun, yang pasti, ramai yang akan menitiskan airmata kerana alunan TAKBIR Hari Raya. Yang begitu syahdu. Lalu terkenangkan mereka yang telah tiada, untuk bersama menyambut Hari Lebaran yang mulia.


Maka, pada malam 1 Syawal ini. Marilah kita bersama - sama merebut peluang keemasan yang tetap diberikan ganjaran yang begitu besar oleh Allah. Marilah kita bersama - sama, BERTAKBIR, BERTASBIH dan BERTAHMID. Memuji kebesaran dan keagungan Allah.


ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR,
ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR !!!




Kisah 2 - BERSALAM.


Semakin lama, aku perhatikan teknik bersalaman telah berubah dek perubahan dunia. Ada yang bersalam, bagaikan tidak bersungguh. Ada yang bersalam, macam orang nak bergaduh, ada yang bersalam cuma dengan menyentuh ibu jari "set".


Dan aku perhatikan, lebih teruk lagi. Ada yang bersalam seperti 'buat tak tau'. Buat PEMIMPIN masyarakat. Ya, PEMIMPIN masyarakat. Bersalamlah dengan penuh kesungguhan dan tunjukkan kasih sayang anda !


Janganlah sewaktu PILIHANRAYA. Pemimpin kita bersalam dengan bersungguh - sungguh. Pegangan tangan begitu erat mencengkam, tangan kiri memegang tangan yang menghulur dengan begitu mesra. Disertai dengan senyuman yang begitu menawan. Lalu bertanya khabar, walaupun tidak kenal.


Tetapi, selesai PILIHANRAYA. Bila bersalam, tergopoh - gapah. Macam hendak dikejar MALAIKAT MAUT. Terlalu sibuk. Hendak mengejar masa kononnya. Riak muka pun sudah SERIUS.


Bagi PEMIMPIN AGAMA. Ini pun satu hal. Bila bertemu dengan 'sama ranking'. Cuba perhatikan, bila ulamak bertemu ulamak, bila ustaz bertemu ustaz, bila yang berjubah dan berserban bertemu dengan yang berjubah dan berserban besar. Cara mereka bersalam. Mereka akan bersalam dengan bersungguh - sungguh, erat tersimpul pegangan tangan mereka, lantas berpeluk dan melekat tubuh mereka dan berlaga pipi.


Tetapi, bila 'sang ulamak' atau tok guru bersalam dengan orang biasa. Maka mereka akan bersalam, bagaikan orang 'dihadapan' mereka TIDAK WUJUD. Mata tidak bertentang mata.


# Sunnah Nabi. Bila bersalam. Baginda akan menggenggam tangan umatnya, begitu erat, hinggalah umatnya sendiri yang menarik tangan, dan merungkaikan salam.



Kisah 3 - BERHATI - HATI DIJALANRAYA - WAHAI SAUDARAKU !


Ada ketikanya aku rasa marah, dengan tindakan KERAJAAN MALAYSIA yang mengeluarkan wang berjuta. Semata - mata untuk MENYEDARKAN RAKYAT, supaya berhati - hati dijalanraya. Aku merasakan bahawa, wang sebegitu banyak, lebih baik disalurkan kepada rakyat yang benar - benar memerlukan.


Tetapi, apakan daya. Kalau tidak ada kempen sebegitu, rasanya keadaan akan menjadi bertambah buruk. Dan tidak terkawal. Kasihan pada pegawai yang menjaga keselamatan jalanraya khususnya. Hingga ada yang tidak berpeluang untuk balik kampong, semata - mata hendak menjaga NYAWA Rakyat Malaysia.


Dikesempatan ini, aku merakamkan ucapan TERIMA KASIH, khususnya kepada POLIS, POLIS TRAFIK dan seluruh pegawai yang menjaga keselamatan awam. JASA ANDA tetap dikenang.


# Hari Sabtu ini, aku akan menghadiri majlis kenduri kahwin adik ipar di ALOR GAJAH, Melaka. Aku berharap sangat ada PEGAWAI POLIS yang menjaga TRAFIK. Aku rasa serik dengan pengalaman perjalanan sewaktu hari raya, 3 tahun lalu. Masa yang diambil dari Nilai ke Pelabuhan Klang adalah selama 6 jam !

Sunday, September 28, 2008

Universiti Ramadan (9)


Kisah 1 - Rapat bahu & berlaga bahu.


"Rapatkan saff", inilah yang sering diingatkan oleh imam, sebelum memulakan solat. Sunnah Rasulullah, dimana Baginda mengarahkan supaya makmum hendaklah merapatkan kedudukan dalam barisan dan sebaiknya adalah sehingga rapat antara bahu diantara jamaah.


Hanya tinggal 2 hari sahaja lagi untuk menyambut hari lebaran. Jemaah yang telahpun jauh berkurangan, tetap cuba merapatkan saf dan mendekatkan bahu antara satu sama lain.


Di sebuah pasaraya, orang ramai yang bersesak - sesak, disaat - saat akhir, untuk membeli belah, terpaksa berlaga bahu dan bergesel punggung.



Kisah 2 - Kad Raya.


Walaupun di zaman serba canggih ini, ucapan hari raya boleh dihantar melalui pelbagai cara, namun, aku tetap merasakan keseronokan, keindahan, kemeriahan apabila mengirimkan dan menerima KAD LEBARAN dari mereka yang mengenali aku.


Cuba bayangkan betapa NOSTALGIA. Apabila posmen menghulurkan sampul kad lebaran. Kita ambil dengan hati yang riang dan berbunga. Apabila sampul dibuka, kita mengetahui siapa 'si penghantarnya'. Kita baca bait - bait ucapan yang ditulis. Walaupun ayat yang ringkas, tetapi cukup memberi seribu makna.


Dan kita melekatkan atau menggantung KAD LEBARAN itu, samada di dinding atau digantung di pokok - pokok kering. Bila tetamu hadir. Mereka pasti tidak akan terlepas soalan yang begitu penting. "Banyak dapat kad raya tahun ini?"


# Masih aku ingat, hampir 20 tahun yang lalu. Apabila menerima KAD LEBARAN dari mantan Perdana Menteri - Tun Dr. Mahathir Mohamad. Seluruh ahli keluarga merasa gembira yang tidak terkata. Dan seluruh penduduk kampong mengetahuinya.



Kisah 3 - MAAF ZAHIR BATIN.


Dikesempatan ini. Menjelang Hari Raya. Aku dengan setulus ikhlas. Menyusun sepuluh jari. Memohon ampun dan maaf. Kepada sesiapa sahaja. Seandainya selama setahun ini, dalam beberapa penulisan di blog ini. Aku telah melakukan apa - apa kesilapan atau kesalahan yang secara tidak sengaja telah dilakukan.


TERIMA KASIH kepada semua pengunjung blog ini.
TERIMA KASIH kepada mereka yang telah mengirimkan KAD LEBARAN.
TERIMA KASIH kepada insan berhati mulia yang telah membantu aku selama ini.


Hari raya kali ini akan disambut dengan cara yang paling sederhana. Mengikut kemampuan aku sekeluarga. Aku dengan ini secara rasmi, menjemput sahabat dan bloggers untuk datang kerumah. Untuk saling mengenali dengan lebih dekat siapakah aku - Abang Long.

Wednesday, September 24, 2008

Universiti Ramadan (8)

Minit - minit akhir.


Dalam sebuah tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz. Beliau menyatakan bahawa, seandainya, atau katakan bahawa malam lailatul qadar itu telahpun berlalu. Disebabkan itu adalah rahsia Allah. Dan sebagai manusia atau hamba-Nya. Kita tidak mengetahui tentang perkara itu.


Jangan bersedih. Teruskan beribadah. Kerana kita masih berada didalam bulan Ramadan yang suci, mulia dan penuh keberkatan. Teruskan komitmen. Tetap beristiqamah dalam menjalani ibadah tersebut.


Kalau selama ini, kita hanya baca Al-Qur'an selama 10 minit sehari. Sekarang kita gandakan dengan membaca selama 30 minit. Kalau dahulu kita bersolat dirumah, sekarang cuba kita gagahkan diri dengan bersolat secara berjamaah di surau atau masjid.


Kalau dahulu kita boleh 'berjaga' untuk menonton bola pada pukul 2, 3 pagi. Sekarang cuba kita 'berjaga' untuk 'kekasih kita'. Semata - mata untuk Allah. Kerana Allah. Dan yang paling penting untuk 'mendekatkan diri' dengan Allah.


Inilah waktu. Inilah ketika. Inilah saat yang paling indah dan mustajab. Berdoalah. Merayulah. Merintihlah. Menangislah. Bercakaplah dengan Tuhan yang Maha Mendengar.


Lakukan sebanyak mungkin amalan yang terdaya. Selain dari solat wajib, teruskan dengan solat sunat. Berzikirlah, biar bibir dan mulut kita kering kerana berzikir. Ingat tentang kebesaran Allah.


Tetapi ingat wahai Tuan - tuan dan Puan - puan sekalian. Lantas ustaz tanpa berselindung, terus sahaja memberi 'amaran'. Jangan kita akhiri amalan puasa kita, jangan kita kurangkan amalan puasa kita, jangan kita hakiskan pahala puasa kita dengan satu amalan, dengan satu perkara, dengan satu perbuatan yang tercela iaitu MENGUMPAT !




Thursday, September 18, 2008

Universiti Ramadan (7)

Makin hampir, makin sibuk, makin kena bersabar.


Dalam tempoh dua minggu ini. Entah apa yang berlaku. Ada ketikanya berlaku banyak perkara yang diluar jangkaan dan jangkauan.


Tiba - tiba sahaja ada orang yang membuat pesanan kuih raya, sedangkan pesanan telah ditutup, pada minggu pertama puasa. Tetapi aku tidak tergamak hendak menolaknya begitu sahaja. Maklumlah, kuantiti yang dipesan agak besar. Bila lagi hendak mencari rezeki lebih di bulan lain ?


Tetapi pesanan untuk kerepek memang ditolak. Kerana kilang yang membuatnya telah memberhentikan semua pesanan baru.


Menjelang raya dan sepanjang bulan Syawal yang akan datang ini. Pesanan untuk dadih juga telah diterima. Dan aku sedang mengatur jadual. Kerana sesuatu yang diluar jangkaan telah berlaku. Namun, blog ini bukan hak milik aku untuk diceritakan segala - galanya.


Aku juga berhadapan dengan situasi kurang menyenangkan. Aku terima jemputan dari seorang sahabatku. Bila selesai berbuka bersama keluarga. Masing - masing terus berborak sakan. Hingga lenyap solat Maghrib dan Isya'. Maksudnya, semua orang berpuasa, tetapi tidak mengerjakan solat.


Aku mengambil masa hampir 2 jam untuk menulis sesuatu untuk dikongsi bersama. Kenapa ambil masa begitu lama ? Jawabnya, kalau dahulu, aku hanya berkongsi cerita kisah suka dan duka dengan beberapa orang sahaja. Tetapi kini blog ini dilawati oleh ratusan orang sehari. Jadi banyak perkara yang WAJIB DITAPIS.


Aku pergi ke Darul Syifa'. Seorang ustaz bertanya "enta apa khabar?". Aku hanya mengangguk sambil tersenyum.

Aku merakamkan ucapan TERIMA KASIH kepada sahabat bloggers, yang tidak henti menghantar emel dan sms, memberikan kata - kata semangat, pendorong dan bahan - bahan yang boleh menaikkan semangat untuk aku terus menulis.

Tuesday, September 16, 2008

Universiti Ramadan (6)



Belum ada atau belum berjumpa ?


Kali ini, aku memang benar - benar memohon bantuan. Kepada sesiapa jua yang mengetahui. Jika ada sesiapa yang mempunyai maklumat, sila tinggalkan jejak disini.


Sebenarnya, sewaktu sedang berjalan - jalan menemani saudaraku mencari baju raya. Di deretan gerai di Bandar Klang tempohari. Suasana yang bingit dengan lagu raya. Sewaktu menyusuri deretan gerai itu, tiba - tiba pendengaran kami 'disejukkan' dengan alunan irama Asma 'Ul Husna.


Lalu kenangan aku terimbau di tahun 70'an. Diwaktu itu tentera Kesatuan Soviet sedang menyerang Mujahidin Afghanistan. Dan para mujahidin ini telah mempertaruhkan jasad dan nyawa mereka untuk mempertahankan Islam. Dan diantara syiar mereka ialah dengan sentiasa mengingati nama - nama Allah yang Maha Suci.


Dimana, lagu mereka yang mengalunkan Asma 'Ul Husna ini telah dirakamkan dalam bentuk kaset. Dan hampir setiap waktu senggang. Aku akan membuka lagu ini. Hingga aku boleh hafal Asma 'Ul Husna. Suasana kelihatan begitu damai dengan alunan tersebut.


Tetapi kini. Apabila aku ingat kembali. Hampir kebanyakan perkara telah dirakamkan dalam bentuk lagu. Malah kini boleh diperolehi dalam bentuk digital.


Tetapi baru aku tersedar. Rupa - rupanya - AL MA'THURAT tidak dirakamkan oleh sesiapa pun atau oleh mana - mana pihak. Cuba bayangkan. Seandainya seseorang itu tidak tahu membaca Al - Qur'an, atau tidak tahu berbahasa Arab. Tetapi mempunyai minat untuk berdo'a dengan amalan yang dilakukan oleh As Syahid Hassan Al Banna.


Sekurang - kurangnya. Dengan adanya kaset, atau CD atau apa sahaja. Maka ianya boleh dipasang dimana - mana pun jua. Dan jika setiap hari mendengarnya, aku dapat rasakan, satu ketika, pasti ramai yang akan lancar untuk membaca Al Ma'thurat lalu dijadikan amalan.

Friday, September 12, 2008

Universiti Ramadan (5)


Main sebelum berbuka.


Paling murah dan menyeronokkan. Tetapi bukan untuk dimainkan setiap hari. Sebab ada juga pembaca blog ini yang terlalu emosional. Yang mungkin terfikir "setiap entri cuma menagih simpati."


Permainan 'dulu - dulu'. 'Zaman dah berubah'. Mungkin ada di antara pembaca yang tidak pernah mengenali permainan disebelah.


Tiba - tiba sahaja anak ku mengajak aku turut serta bermain. "Abah, jom main benda ini"


Aku lantas berkata "ohh .... ini permainan abah masa kecil dahulu"


"Haaa ...?" Anak ku terpinga - pinga.

Wednesday, September 10, 2008

Universiti Ramadan (4)

Kenapa, tak percaya ?


Pergi ke pasar Ramadan dengan membawa wang sebanyak RM1.00 sahaja. Belilah apa sahaja makanan yang berharga RM1.00.


Tepung pelita 3 bekas masih berharga RM1.00.
Kuih muih dua biji, masih berharga RM1.00
Cakui dua biji, masih berharga kurang RM1.00


Jangan kerana nafsu lapar, kita rambang mata.


Bila waktu berbuka, telan air seteguk, makan kurma barang sebiji dua, makan kuih barang sebiji dua. Alhamdulillah, boleh kenyang. Terus mengerjakan solat dalam keadaan selesa.


Akhirnya, anak - anakku tesenyum. Mereka berjaya melakukannya.

Monday, September 08, 2008

RINTIHAN HAMBA MU

"Sungguh berat ujian dari MU ... Ya Allah"


"Aku memohon, aku merayu .... walau apapun yang berlaku, samada aku sedar atau tidak ... tetapkanlah iman ku kepada MU"


"Ya Allah, ampunilah dosaku ... aku merayu kepada MU ... Ya Allah ... tetapkanlah hati, minda dan iman ku untuk menyembah-MU... Ya Allah ... teguhkanlah iman ku kepada MU"

Thursday, September 04, 2008

Universiti Ramadan (4)

Berbuka dirumah saudara.


Pagi semalam, rancangan yang disiarkan oleh Radio Shah Alam, benar - benar menggamit perasaan dan begitu nostalgia.


Kisahnya ialah berbuka puasa di rumah orang.


DJ mengajak pendengar supaya berkongsi pengalaman mereka, sewaktu berbuka puasa dirumah sanak - saudara.


Contohnya. Ada diantara kita yang tinggal dikampong. Dimana, dalam kampong yang sama, begitu ramai adik - beradik yang menetap dan tinggal bersama. Dihulu kampong, tinggal Tok Wan dan Opah, berselang dua, tiga rumah, ada rumah Pak Long, sebelah rumah Pak Long, ada rumah Pak Tam. Tepi sebelah kanan, tinggal pula keluarga Mak Teh. Hingga hujung kampong, ada ramai adi - beradik dan saudara mara, yang mempunyai pertalian kekeluargaan.


Dan masing - masing menjemput adik - beradik dan saudara - mara untuk berbuka bersama. Dan paling minima ialah menghantar juadah berbuka puasa. Dan saling bertukar juadah.


Teringat kembali kisah aku sewaktu kecil, diawal tahun 70'an. Dalam sebulan, boleh dikira dengan jari, berapa hari aku berbuka dirumah sendiri. Makanan yang disediakan, tidak semestinya mahal. Ada ketikanya aku berbuka dengan air teh o panas (sebab waktu itu belum ada peti sejuk). Dan makan lempeng pisang. Tetapi sudah cukup menggembirakan dan menceriakan.


Tetapi, yang pasti. Nasi adalah hidangan wajib. Dan lauk - pauknya memang menyelerakan. Hatta ikan sepat goreng, sambal belacan dan ulam pegaga.


Zaman sekarang. Lidah aku terkelu. Juadah berbuka puasa di hotel, harganya hingga mencecah RM100.00 bagi satu kepala. Wang sebanyak itu, kalau diberikan kepada aku. Akan mengambil masa selama 7 hari. Dan boleh makan hingga kenyang bagi aku sekeluarga.



# Bagi peminat novel terbitan ALAF 21. Setiap pesanan minimum sebanyak 2 buah novel, atau pesanan bahan terbitan ALAF 21 dengan minimum harga RM40.00. Penghantaran PERCUMA, bagi kawasan - Klang, Pelabuhan Klang, Sri Andalas, Bandar Sultan Suleiman dan Shah Alam. TERIMA KASIH.

Wednesday, September 03, 2008

Universiti Ramadan (3)


Seksi dan MATI.

Usai bersolat sunat Ramadhan. Aku keluar dari bilik untuk menjamah makanan yang dibawa pulang oleh anak ku dari masjid berdekatan. Kami berbual santai sebelum masing - masing masuk tidur.

Tiba - tiba isteri ku bertanya "bang, apa hukumnya orang perempuan yang pakai seksi dibulan puasa?"

Aku terdiam sebentar, sambil memandang wajahnya. Kemudian memberikan pendapat dan dalam masa yang sama bertanya "kalau lepas berbuka, depan suami nak pakai seksi, rasanya tidak menjadi masalah, tapi kalau boleh, dibulan puasa ... lebih baik dielakkan ... maklumlah, orang lelaki bukan boleh tengok benda - benda macam tu ..."

"Tapi, masalahnya bukan dalam rumah ... tadi... di pasar ramadhan .... ada seorang perempuan tu ... pakai punyalah seksi ... nampak semua benda yang tak rata..." sambil berkata, isteriku tertawa kecil.

"Ok, beginilah... asasnya semua muslimin dan muslimat wajib menutup aurat... terutamanya bila keluar rumah... bukan setakat bulan puasa sahaja" aku meneruskan komen.

Inilah antara permasalahan umat dewasa ini. Bila tiada ilmu. Berpuasa itu WAJIB. Menutup aurat juga WAJIB. Dan mencari ILMU juga WAJIB.

Isteriku yang masih tidak berpuas hati terus berkata "diaorang tu tak takut dosa ke...?"

Lalu aku dengan bersahaja menjawab "tak takut dosa dan tak takut MATI."

# Bagi peminat novel terbitan ALAF 21. Setiap pesanan minimum sebanyak 2 buah novel, atau pesanan bahan terbitan ALAF 21 dengan minimum harga RM40.00. Penghantaran PERCUMA, bagi kawasan - Klang, Pelabuhan Klang, Sri Andalas, Bandar Sultan Suleiman dan Shah Alam. TERIMA KASIH.

Tuesday, September 02, 2008

Universiti Ramadhan (2)


Bubur nasi dan bubur lambuk.

Sudah lebih 5 tahun, aku menjalani ibadah puasa dan berbuka dengan bubur nasi. Bukan bubur nasi yang bercampur dengan segala bahan yang menaikkan selera. Tetapi bubur nasi yang mana bahannya hanyalah nasi dan halia.

Bukannya tidak menjamah bahan makanan yang lain. Tetapi, itulah makanan yang paling sesuai dan paling serasi dengan perut sewaktu berbuka. Aku rasa tidak begitu selesa, terutama sekali kalau berbuka dengan makanan yang agak pedas.

Tetapi, seperti kebanyakan para muslimin lainnya, aku berbuka dengan buah kurma dan segelas air susu. Kemudian barulah disusuli dengan bubur nasi.

Sempena dengan bulan Ramadhan ini, hampir semua surau dan masjid, menyediakan hidangan bubur lambok untuk juadah berbuka puasa. Tetapi, aku tidak dapat mengambilnya sebagai hidangan pembuka selera. Walaupun, anakku bersusah payah mengambilnya dari surau berdekatan.

Hanya aku seorang sahaja yang tidak makan bubur lambok. Entah mengapa, tekak aku tidak dapat menerima bubur lambok. Agaknya, selera aku adalah 'selera orang tua'. Sukar untuk menerima makanan yang dicampur dengan pelbagai bahan 'moden'. Ada bubur lambok yang terlalu cair, ada yang terlalu pekat, ada yang rasa santan yang terlalu banyak.

Jika ada mana - mana jawatankuasa atau tukang masak surau atau masjid yang membaca entri ini. Berusahalah untuk menyedapkan bahan masakan anda. Bukan sukar sebenarnya untuk menjadikan masakan anda sedap dan menyelerakan.

Seperkara lagi. Bersabarlah dan berilah senyuman ikhlas sewaktu melayani 'karenah dan kenakalan' anak - anak jamaah yang datang 'menadah' bubur lambok.

Rasulullah adalah manusia yang paling banyak bergurau senda dengan kanak - kanak.

# Buku Aneka Bubur dan Pengat diatas cuma RM5.50 sahaja.

# Bagi peminat novel terbitan ALAF 21. Setiap pesanan minimum sebanyak 2 buah novel, atau pesanan bahan terbitan ALAF 21 dengan minimum harga RM40.00. Penghantaran PERCUMA, bagi kawasan - Klang, Pelabuhan Klang, Sri Andalas, Bandar Sultan Suleiman dan Shah Alam. TERIMA KASIH.

Monday, September 01, 2008

Universiti Ramadan (1)

Tewas atau Menang ?


Aku: "Ustaz, ana rasa tidak dapat bersama ustaz untuk bertarawih hari ini, atas sebab yang ustaz sedia maklum... ana tewas kali ini" aku mengeluh.

Ustaz: "Sebenarnya Allah maha mengetahui segalanya, tetapi ana yakin, enta sebenarnya sudah menang pusingan pertama ... ana beribadah dalam keadaan sihat, tetapi enta beribadah dalam segala kepayahan"

Sempena dengan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Marilah kita berdo'a dengan bersungguh - sungguh. Dan tingkatkan amalan kita.


Syeikh al-Islam ibn Taimiyyah r.h. pernah berkata:

"Sekiranya engkau ingin mengetahui setulus mana tauhidmu kepada Allah, perhatikanlah do'a - do'amu."


Buku ini merupakan himpunan do'a - do'a daripada al-Qur'an dan hadith sahih yang boleh dijadikan zikir - zikir harian. Hidup kita ini memang tidak terlepas daripada do'a. Kita amat memerlukan do'a dalam semua urusan. Selain do'a - do'a umum dan khusus, buku ini juga menghimpunkan do'a dan zikir untuk mengubati gangguan sihir atau kejahatan jin.

Setiap do'a dan zikir lengkapi teks Arab dan disusuli teks Melayu untuk memudahkan bacaan bagi individu yang tidak tahu berbahasa Arab, makna serta rujukan kita atau hadith yang diambil. Justeru, para pembaca tidak perlu ragu - ragu tentang kesahihan do'a dan zikir yang dibaca.

Semoga do'a - do'a dan zikir yang diamalkan mampu menjadi 'senjata' dan 'benteng' diri dalam menghadapi musibah atau ujian Allah.

Friday, August 29, 2008

Kisah Anak Bangsa.


Kerajaan Melayu Melaka yang sudah berkuasa selama 110 tahun di ambang kejatuhan akibat perpecahan dari dalam. Apabila pemerintah berlaku zalim, para pembesar berebut kuasa maka adu domba dan fitnah bagaikan api yang membakar ketuanan Melayu. Akhirnya pada tahun 1511, Kerajaan Melayu Melaka dilenyapkan oleh Portugis. Ekoran daripada itu, bangsa Melayu dijajah selama 446 tahun.


# Satu kisah sejarah yang perlu dimiliki. Dihasilkan dalam bentuk novel. Penulisan mengikut 'kaca mata' anak pribumi.

Memang menarik. Satu kisah sejarah yang sarat dengan fakta, dan disertai dialog dan plot serta klimaks.








Si Bongkok Tanjung Puteri menentang Inggeris dan mereka yang dimusuhinya, berlatar belakangkan negeri Johor yang dahulunya dikenali dengan nama Tanjung Puteri. Tokoh realiti ini pernah menjadi sebutan di kalangan rakyat negeri Johor suatu ketika dahulu. Si Bongkok Tanjung Puteri sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mempertahankan tanah airnya. Namun seperkasa manapun fizikal dan semangatnya menentang kuasa penjajah, dianggap sebagai penderhaka yang namanya tidak tercatat dalam lipatan sejarah.


# Adakah mempertahankan tanahair dianggap sebagai pengganas dan pemberontak ?


Dapatkan jawapannya melalui novel ini.


# Bagi anda yang menetap di kawasan - Klang, Pelabuhan Klang, Sri Andalas, Pandamaran, Bandar Sultan Suleiman dan Shah Alam. Penghantaran adalah PERCUMA. Dapatkan segera sempena dengan HARI KEMERDEKAAN.

# Sila emelkan pesanan anda ke - safmi_80@yahoo.com

Wednesday, August 27, 2008

Menjelang RAMADHAN (2)

Ke garisan ... bersedia ...


Tersembur keluar air Horlick dari dalam mulutku. Apabila anak - anakku belajar bagaimana untuk melafazkan kata - kata dan niat untuk memulakan puasa. Isteri ku berkata kepada anak - anakku. "Ok, sebelum kita buat apa - apapun, kita mesti ada niat, dan lafaz".


Lalu anak ku yang ketiga, yang berada didalam darjah tiga, terus sahaja menyatakan yang dia tahu bagaimana hendak melafazkan kata - kata sebelum niat untuk berpuasa.


Dengan penuh keyakinan dan dengan lantang, dia melafazkan ayat yang berbunyi "Nawaitu saw maghribi an ada..."


Apa lagi, seluruh ahli keluarga tertawa dengan lafaz yang diucapkan itu. "Mana datang maghribi tu?" Aku bertanya sambil tertawa yang tidak boleh dihentikan. Terasa senak perut dibuatnya.


"Eh ... " Sambil tersenyum dia menggaru kepala, dia melihat ke wajah ibunya. "Tak betul ke ....?" Dia bertanya meminta kepastian.


Lalu aku masuk campur dengan berkata "kalau lafaz untuk solat, itu betul", "contohnya "usalli fardhal maghribi ...", "tapi, kalau untuk lafaz puasa, nawaitu saw maghadin ...." aku menyebut lafaz itu dengan terang dan jeas.


Aku lantas memberikan panduan utuk memulakan puasa. Akhirnya, anak ku yang sulung berkata "oh, kalau macam tu, kita sekarang berada di ambang Ramadhan ... sudah hampir ... macam orang nak berlari .... ke garisan ... bersedia ..."


Tidak sukar untuk membimbing si kecil.

Monday, August 25, 2008

Menjelang RAMADHAN (1)

Muhasabah dan kritik diri sendiri.


Sewaktu hendak memasuki dunia blog. Dan sewaktu hendak menyertai dan memeriahkan dunia blog. Ada beberapa orang sahabat yang memberikan pelbagai pandangan. Dan kesemua cadangan, pandangan atau maklumbalas itu akan terima dengan lapang dada. Yang penting adalah niat. Dan biarlah apa yang kita lakukan itu adalah kerana Allah. Kita berkongsi kisah suka duka dan dalam masa yang sama kita menegur untuk kebaikan dan mendidik dalam situasi harmoni.


Setelah 3 tahun aku berblog. Setelah aku masuk ke blog - blog lain dan ratusan jumlahnya. Aku dapati ada satu unsur yang kurang harmoni. Dimana, seperti yang semua bloggers ketahui dan maklumi. Dimana, terdapat mereka yang meninggalkan jejak yang tidak mempunyai sikap sebagai seorang muslim yang baik.


Aku sedar. Blog aku dan jutaan blog lagi. Akan dilawati dan dikunjungi oleh manusia yang pelbagai. Antaranya, ada pengunjung muslim dan 'non-muslim.'


Dan satu perkara yang pasti. Blog PERIBADI adalah tetap sebagai blog peribadi. Terpulang kepada pemiliknya untuk menulis dan mencatatkan apa yang dia suka. Tiada halangan. Cuma, apabila pemilik blog itu seorang muslim. Maka ada tanggungjawab tertentu yang perlu dilaksanakan.


Satu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah. Bukan semua atau setiap apa yang berlaku akan diceritakan secara terperinci oleh bloggers didalam blog masing - masing. Kerana, berkemungkinan akan mendedahkan kekurangan atau keaiban diri sendiri, mahupun insan lain.


Ada pengunjung yang menjadi pembaca sahaja atau dikenali sebagai 'silent reader'. Ada pembaca yang sering meninggalkan jejak dan mempunyai pelbagai nama. Namun, kepada semua bloggers. Aku yakin, kalian juga akan berhadapan dengan pengunjung dari spesis yang pandai menegur dan mengkritik, tetapi tidak mempunyai fikiran terbuka. Andainya mereka seorang Islam, maka mereka tidak mempunyai ciri - ciri sebagai seorang muslim yang baik.


Bagi aku mudah sahaja. Andainya mereka seorang muslim. Maka, mereka perlu mempunyai keberanian untuk menegur dan niat kerana Allah. Tidak perlu menggunakan panggilan - 'anonymous'.


Aku lebih menghormati dan menghargai, mereka yang mempunyai keberanian dan keikhlasan untuk memberikan teguran secara beradab sebagai seorang muslim. Seperti aku telah nyatakan tadi. Bukan semua yang terjadi didalam kehidupan seorang bloggers itu diceritakan dan didedahkan untuk bacaan dan tatapan orang lain.


Sejujurnya, aku merasa terharu dengan sikap yang diambil oleh ramai pengunjung blog ini. Dimana, mereka mengambil sikap sebagai seorang muslim yang baik, dengan berusaha mengirimkan emel secara peribadi kepadaku. Bertanyakan khabar, menjalinkan ukhuwwah, menyelidiki perkara sebenar. Dan akhirnya bertemu di alam maya dan barulah terang dan jelas duduk perkara sebenar apa yang berlaku dan apa yang TERSURAT.


Akhirnya, nasihat aku kepada - anonymous. Sempena dengan kehadiran Ramadhan yang mulia ini. Ambillah sikap sebagai seorang muslim yang baik. Dengan menjalinkan ukhuwwah sesama muslim. Jika ragu - ragu dan tidak pasti dengan keadaan semasa. Adalah lebih aula untuk tidak meninggalkan jejak dan memberikan kritikan yang boleh mengeruhkan keadaan.


Setiap manusia PASTI ada kekurangan. Yang penting, berusahalah menjadi seorang muslim yang baik dan tiada KEKURANGAN bila berada di hadapan RABB di padang mahsyar kelak.

Sunday, August 24, 2008

Menjelang RAMADHAN

BERSAMA MU

Kedengaran seperti iklan talian komunikasi. Ya, bila dihitung. Berapakah tempoh atau masa yang kita berikan untuk tuhan yang MENCIPTA kita ?

Campur, tolak, bahagi dan darab. Seandainya dalam satu hari kita luangkan masa selama 20 minit untuk bersolat, berzikir dan membaca al-qur'an. Ini bermakna, kita hanya luangkan masa selama 100 minit (I jam 40 minit) untuk - BERSAMA MU.

Bila aku melihat rekod dan bil telefon bimbit yang tiba. Aku telah meluangkan masa selama 130 minit. Untuk berbual dan meluangkan masa bersama manusia, melebihi dari masa yang aku berikan untuk 'berbual' dan meluangkan masa - BERSAMA MU.

24 jam ditolak 2 jam 10 minit. Kurang lebih aku ada berbaki 22 jam lagi lagi. Namun, ujian yang Allah berikan kepada aku terasa begitu hebat. Hingga ada ketikanya aku seperti terlupa dan terleka untuk - BERSAMA MU.

Semoga kehadiran Ramadhan ini. Aku dan seluruh umat Islam akan mempunyai lebih masa yang diperuntukkan untuk - BERSAMA MU.

Saturday, August 23, 2008

Bicara Bisnes (18)

Peti Sejuk dan Telefon bimbit. Dua taukeh.

Syukur Alhamdulillah. Akhirnya peti sejuk telah dibaiki. TERIMA KASIH kepada Hamba Allah yang telah menghulurkan sumbangan wang.

Tidak terucap rasa kesyukuran. Sekarang aku sudah boleh menjalankan kembali bisnes dadih yang telah terhenti beberapa ketika.

Bayaran sebanyak RM250. Telah dilunaskan. Kerosakan dibahagian pintu, iaitu getahnya terpaksa ditukar. Dan kawasan simpanan gas telah ditutup.

Sambil berjalan di deretan kedai. Tiba - tiba mataku terpempan ke arah sebuah peti sejuk baru. Tertera harganya RM550. Aku merenung sambil menggaru kepala.

# Aku menyesal kerana tidak membuat pemerhatian terperinci.



Aku memang tidak keruan. Aku gelisah. Aku garu kepala semahu - mahunya. Aku MALU !

Seorang HAMBA ALLAH telah memberikan sebuah telefon bimbit baru kepadaku. Aku rasa macam nak lari. Aku tidak tahu apa hendak cakap lagi. HAMBA ALLAH ini seorang sahabat. Tetapi dek kerana keikhlasan beliau. Aku terima jua pemberian itu.

Ya ALLAH. Dalam tempoh dua hari. ENGKAU memberikan rezeki dari sumber yang tidak terfikir oleh akal.

"Ya ALLAH yang MAHA BERKUASA dan MAHA HEBAT. Aku bermohon kepadamu YA ALLAH. Supaya ENGKAU panjangkan umur, murahkan rezeki, berkatilah, rahmatilah, dan berikan kesihatan yang baik buat mereka yang ikhlas membantu aku. Yan pasti aku tidak akan mampu membalas JASA mereka yang terlalu besar. Hanya kepadaMU aku serahkan segala - galanya."

"Mana abang dapat duit dan telefon bimbit ini?" Soal isteri ku meminta penjelasan.

"Rezeki turun dari langit... Malaikat yang hulurkan" aku menjawab dengan serius.

Friday, August 22, 2008

NOVEL MERENTAS MASA

TRILOGI BAGAIKAN PUTERI.

Sebuah majlis berwarna - warni. Meraikan novelis thriller tersohor negara - RAMLEE AWANG MURSHID.

Dipetik dari Laman Web ALAF 21.

Wednesday, August 20, 2008

KHIDMAT MASYARAKAT.

Bermula dengan - BAGAIKAN PUTERI.
Disusuli dengan - CINTA SANG RATU.
Kini trio menjelma - HIJAB SANG PENCINTA.

Ratusan ribu peminat novel, khususnya peminat RAMLEE AWANG MURSHID. Sedang menunggu dengan penuh debaran. Pelancaran trio novel - HIJAB SANG PENCINTA.

Bagi peminat novel ALAF 21. Aku akan membuat penghantaran secara PERCUMA. Bagi pesanan minimum 2 buah novel. Kawasan tersebut adalah - Klang, Pelabuhan Klang, Sri Andalas, Pelabuhan Utara dan Shah Alam.

HIJAB SANG PENCINTA adalah novel terbaru hasil karya RAMLEE AWANG MURSHID. Akan berada di pasaran pada 30hb Ogos. Namun, bagi sesiapa yang ingin mendapatkan awal, sila kirimkan emel ke alamat - safmi_80@yahoo.com dan novel tersebut akan dihantar ke rumah anda. PENGHANTARAN percuma adalah tertakluk kepada minimum 2 buah novel. Dan kawasan penghantaran percuma adalah seperti dimaklumkan diatas.

Sunday, August 17, 2008

Bicara Bisnes (18)

Hilang Sumber Pendapatan. Hilang Kata - Kata, Semangat Pun Hilang.

Aku terus terdiam. Aku membisu seribu bahasa. Aku sudah tidak mampu untuk berfikir lagi. Aku sudah hilang daya. Aku terduduk.

Satu lagi benteng telah ROBOH. Benteng untuk aku berpaut. Benteng penguat semangat.

Kini, bisnes yang aku jalankan telah berhenti. Terhenti. Aku sudah tidak ada daya lagi buat masa ini.

Kepada pengunjung dan juga pembeli dadih. Aku harap kalian mengerti. Buat masa ini, aku tidak dapat membuat atau memproses dadih. Disebabkan peti sejuk, satu - satunya peti sejuk yang ada di rumahku telah rosak.

Gas bocor. Lantai bahagian dingin beku telah berlubang. Semua barang didalamnya terpaksa dibuang akibat rosak.

Aku terus terdiam. Aku membisu seribu bahasa. Aku sudah tidak mampu untuk berfikir lagi. Aku sudah hilang daya. Aku terduduk.

Satu persatu ujian dan musibah datang silih berganti. Aku hanya melihat isteriku yang bertafakur di atas sejadah. Wajahnya tunduk ke lantai.

Esok. Aku tidak tahu bagaimana nasib aku. Aku tidak pasti nasib isteri dan anak -anak aku. Aku harap sesuatu yang ajaib berlaku.

Aku tetap percaya kepada ayat - ayat Allah. Seandainya DIA tidak lagi memberikan rezekiNya, maka DIA akan 'memanggil pulang' seseorang manusia itu.

Saturday, August 16, 2008

Bicara Bisnes Yang Tiada Bicara.


Tidak mahu ianya berlaku, tetapi telah berlaku, aku berteleku.


Aku mengurut belakang badan ibu ku. Berselang dengan ayah ku. Ibu ada asthma. Ayah menghidap paru - paru kronik. Ibu termengah - mengah untuk bernafas. Ayah kelihatan mencungap - cungap.

Ini sahaja daya aku. Mengurut dan terus mengurut. Baru dua hari lepas, adik - adikku membawa ibu ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Waktu itu, aku sahaja yang tidak ada di kampong.

Sewaktu mengurut itulah. Aku terima panggilan dari rumah di Pelabuhan Klang. Aku sengaja membiarkan telefon bimbitku berbunyi hingga tamat lagu. Ibuku bertanya "awat hang tak angkat tadi?"

Aku menjawab berbasa - basi. "Telefon bimbit ni rosak, cuma boleh sms je".

Lalu aku memohon keizinan untuk menggunakan telefon di rumah orang tua ku. "Uzair, kenapa telefon abah?"

"Abah, peti sejuk bau macam benda terbakar" anakku terus menjawab sambil memberikan maklumat yang penting.

Aku terus sahaja memberikan arahan "sekarang pergi tutup suis, dan jangan buat apa - apa".

Aku meletakkan telefon. Beberapa minit kemudian, aku mendail semula nombor telefon rumahku. Dan panggilan dijawab oleh anak ku sekali lagi. "Uzair, dah tutup suis peti ais?" Aku terus sahaja bertanya. "Sudah, Jai rasa peti ais kita terbakar" anakku menjawab dalam nada bimbang.

Setelah lewat petang, lebih kurang jam 6. Aku menghubungi isteri ku yang baru pulang dari mengajar. Aku bertanya tentang kedudukan peti sejuk di rumah. Isteri aku mengesahkan tentang bau yang berlegar dalam rumah ku adalah disebabkan oleh kebocoran gas pada peti sejuk.

Setelah meletakkan telefon.

Aku terus terdiam. Aku terus terduduk. Aku tidak dapat bercakap. Aku tidak dapat berfikir lagi. Aku hilang semangat. Aku pasrah. Yang pasti, gugur lagi air mata ku.

Aku masuk kedalam bilik air. Aku terus sahaja menangis.

Kepada pengunjung blog ini. Aku tidak menulis dalam keadaan emosional keterlaluan. Aku bukan menangis tidak bersebab. Cuma, aku rasa sebak, disebabkan aku adalah manusia yang dilahirkan normal dan mempunyai perasaan.

Begitu hebat ujian dari Allah. Dan kini, yang pasti. Aku sudah tidak mampu lagi berhadapan dengan ujian dari NYA.

Aku serahkan segala - galanya kepada Allah. Aku pasrah.

AH ! Takkan peti sejuk rosak pun engkau menangis ?

Bukan kerana peti sejuk rosak aku menangis. Aku menangis kerana, dengan peti sejuk itulah, dan itulah satu - satunya peti sejuk yang aku ada. Aku menjalankan bisnes aku, menyara kehidupan dan "MENGHIDUPKAN NYAWA ANAK - ANAK KU !!!"

Namun aku pasrah. Allah MAHA mengetahui segala - galanya.

"YA ALLAH, aku bermohon kepada MU. Cukuplah, cukuplah engkau berikan ujian dan dugaan kepadaku... AKU TEWAS!"

Thursday, August 14, 2008

TAZKIRAH (2)

Mohon simpati...

Bagi mereka yang telah menerima emel secara peribadi. Harap maklum. Bahawa pada malam ini, sekali lagi bacaan Yaasin akan diadakan.

Mohon simpati untuk mendo'akan keselamatan dan kesejahteraan buat diri Abang Long.

TERIMA KASIH.

Bicara Bisnes (17)

MERENUNG bukan BERMENUNG.

"Mengapa kau bermenung, oh adik, berhati bingung."
"Sekarang bukan bermenung, zaman bermenung."

Itu adalah antara lirik lagu SEROJA.


Selepas 4 kali berulang alik. Antara rumahku dan beberapa pejabat disekitar kawasan perindustrian di Pelabuhan Utara, kerana menghantar bekalan produk yang dipesan. Jarak antara rumahku dan Pelabuhan Utara adalah sejauh 6 kilometer. Ini bermakna pergi dan balik, adalah 12 kilometer. Jadi, keseluruhan jarak pergi dan balik untuk 4 kali pusingan adalah sejauh 48 kilometer.

Dan aku membawa produk dalam motor. Ke arah Pelabuhan Utara, bersaing dengan kereta dan lori serta treller yang membawa muatan kontena.

Setiap kali keluar dari rumah. Aku melihat wajah isteriku seperti tidak keruan.

Sebaik selesai menghantar produk. Aku berhenti melepaskan lelah di Masjid Sultan Suleiman, Pelabuhan Utara. Sementara menantikan masuknya waktu solat Asar. Usai berwuduk, aku berbaring dan melepaskan pandangan ke arah siling bangunan.

Aku merenung dan memikirkan untung nasib hari itu. Aku tidak mahu mengeluh. Aku cuma merancang, sedikit wang hasil jualan aku mesti disimpan untuk membeli telefon bimbit yang baru. Kerana aku rasa lenguh dan sengal jari - jemari aku untuk menaip sms. Semenjak telefon bimbit aku rosak dibahagian pendengaran (speaker). Aku hanya boleh ber-sms sahaja. Ini sudah tentu merugikan. Kerana setiap sms, bermakna wang juga mengalir keluar dari poket aku.

Bagi aku, telefon bimbit terlalu penting untuk aku meneruskan usaha niaga. Biarlah kereta aku rosak dan belum dibaiki lagi. Biarlah. Esok bila aku ada lebih wang, aku akan baiki kerosakan itu. Yang penting aku mesti memiliki telefon bimbit terlebih dahulu.

Lamunanku berkecai. Apabila azan dilaungkan. Dan serentak itu pula masuk sms yang baru.

"Bang, dadih mmg best, mak kata nak order utk raya, standby ye bang - Shahril".

Aku terus sujud syukur. Hanya ENGKAU sahaja yang layak menerima pujian.

Tuesday, August 12, 2008

Bicara Bisnes (16)

TERIMA KASIH DATIN.


Tiada kata seindah bahasa. Itulah yang dapat aku ucapkan buat insan yang bernama Datin Ani. Seorang yang aktif menjalankan program di Surau At Takwa, Seksyen 7, Shah Alam.

TERIMA KASIH. Itu sahaja yang mampu aku ucapkan kepada Datin Ani. Atas kesempatan yang diberikan oleh beliau kepada aku untuk membuka tapak gerai bagi menjual kerepek dan novel.

Aku mengucapkan syukur yang tidak terhingga, kerana berpeluang untuk menjalankan bisnes didalam kawasan surau.

Sememangnya aku agak terkilan sedikit, kerana tidak dapat menjual dadih pada hari tersebut. Ini disebabkan kuantiti yang diperlukan tidak mampu untuk dilaksanakan. 100 bekas adalah untuk Surau At Takwa, dan 100 bekas lagi untuk seorang lagi blogger.

Peti sejuk dirumah aku bersaiz kecil. Setelah semua barang didalamnya dikeluarkan. Kami hanya mampu untuk menyusun sebanyak 130 bekas sahaj. Manakala 70 bekas lagi terpaksa disimpan @ disewa dirumah ibu mertua dan adik ipar yang tinggal berdekatan.

Isteriku berkata, kalau ada pesanan hingga 1000 bekas sekalipun, dia masih mampu membuatnya, tetapi dengan syarat ada bekas penyimpan yang besar dan bersesuaian. Kami pernah membuat pemerhatian, dimana sebuah peti sejuk (chiller) yang sederhana besar, berharga RM1,800. Namun apakan daya, impian tersebut terpaksa dipendam terlebih dahulu. Untuk mengharapkan Pusat Zakat Selangor (permohonan telah dibuat, tetapi terpaksa menunggu hingga 6,7 bulan lagi ataupun mungkin memakan masa bertahun), aku tidak pasti kalau Kerajaan Selangor dibawah Pakatan Rakyat bersedia membantu dan prihatin dengan masalah orang miskin seperti aku.

Apapun, aku mengucapkan TERIMA KASIH kepada Datin Ani. Kerana memberikan peluang dan ruang untuk aku menjalankan bisnes pada hari tersebut. Dapatlah aku sedikit rezeki untuk menyambung kehidupan keluarga.

"Ya Allah, aku bermohon kepadaMU, supaya ENGKAU panjangkan umur, murahkan rezeki, sihatkan tubuh badan dan lapangkan serta rahmati akan mereka yang telah membantu aku"



TUKAR STRATEGI.


Bila aku menjual kerepek sebagai barangan jualan bersama dengan dadih. Aku menghadapi sedikit kesulitan. Dimana, kerepak yang dijual adalah dibungkus mengikut suasana perayaan. Dibungkus dalam bekas atau plastik yang besar, dan berharga diantara RM5 - RM8.

Sekarang, aku mengambil keputusan untuk 'repacking' dalam saiz kecil. Dan dijual dalam harga cuma RM1.00 sebungkus atau sepeket. Ini memudahkan pembeli, samada kecil mahupun dewasa. Dan pembeli boleh membeli beberapa perasa atau citarasa dalam satu waktu.

Dan strategi itu agak berjaya. Dimana, sewaktu program di Surau At Takwa, Seksyen 7, Shah Alam. Jualan kerepek meningkat. Dan begitu laku hingga anakku tak menang tangan. Walaupun untungnya kelihatan sedikit untuk sebungkus, tetapi 'volume' nya besar.

Disamping itu, hakikat yang tersirat adalah, supaya anakku tidak menghadapi kesukaran untuk membuat urusniaga. Kerana harga jualannya adalah RM1.00. Senang untuk dikira.



URUSNIAGA BARU.


Siapa kata novel tidak boleh dijual dalam program dakwah ?

Aku gunakan kesempatan untuk menjual novel Islami, novel pejuang Islam. Hasil karya Abdul Latip Talib. Menceritakan tentang kisah sejarah dan pengorbanan pejuang Islam. Ramai yang datang ke gerai aku dan membelek novel tersebut. Dan ada beberapa orang yang kagum dengan novel tersebut lalu membelinya.

Cara aku menjualnya mudah sahaja. Ini adalah kisah sejarah, kalau ada sesiapa yang bosan membaca catatan sejarah, maka novel ini tidak akan membosankan kerana mengandungi dialog, plot serta ada klimaks. Dan bagi sesiapa yang berminat dengan bahan sejarah, maka novel ini dikarang mengikut fakta sejarah.

Beberapa orang (aku merasakan mereka ini adalah pensyarah) telah menyatakan keinginan mereka untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang novel ini. Dan mereka menyuarakan hasrat untuk mendapatkan novel ini untuk disebarkan kepada pelajar mereka.

Ini bermakna satu lagi urusan bisnes sedang dijalankan.

Thursday, August 07, 2008

TAZKIRAH (1)

MOHON SIMPATI.



Selepas solat Maghrib, bacaan Surah Yaasin akan dimulakan ...

Menghadap Tuhan.

Gegar.

Baca Al- Fatihah dan Ayatul Kursi. Tarik nafas dalam - dalam. Terasa bergegar tubuh ku ini.

Rasa seperti orang tidak siuman. Memang rasa macam nak lari.

Ya Allah. Aku letih yang teramat sangat.

Wednesday, August 06, 2008

TERUS BERUSAHA.

Tolong do'akan sahaja...

Setelah 11 bulan, aku bersabar dan redha dengan ujian Allah. Akhirnya, Doktor menyatakan bahawa, aku tidak menghidapi apa - apa penyakit. Aku terima penjelasan. Setelah pelbagai ujian dilakukan. Luaran dan dalaman secara terperinci.

Perubatan secara tradisional juga telah dilakukan. InsyaAllah, malam ini, aku akan melakukan pengubatan melalui perubatan Darul Syifa'. Selagi hayat dikandung badan. Selagi itu aku akan tetap berusaha.

Buat teman dan sahabat yang mengenali aku di alam maya dan juga di alam siber. Hanya satu permintaan setulus ikhlas dariku.

Do'akan keselamatan dan kesejahteraan aku. Untuk itu, aku ucapkan TERIMA KASIH.

Bicara Bisnes (15)

Motor kedai.


KESELAMATAN. Itu adalah isu paling utama. Tiada kompromi !


Aku pastikan motor aku berada didalam keadaan yang paling baik. Kerana motor aku adalah umpama 'nyawa'. Kemana sahaja aku pergi, itulah kenderaan yang aku gunakan. Yang paling utama, segala barangan atau produk aku ada didalam motor.


Ada yang bertanya kehairanan. Abang Long bawa semua sekali ?


"Kenapa, tak percaya ?" Aku bertanya kembali. "Cuba lihat benggali atau Pakistan jual roti, apa jenis roti yang tidak dibawanya ?"


Ya, semuanya ada, untuk kemudahan pelanggan dan pengguna yang dihormati. Ada produk dadih, ada barangan herba, ada kerepek, ada sabun. Malah dalam raga motor ada novel untuk dijual.


Cuma, kalau ada pesanan untuk dadih atau produk lain dalam kuantiti yang banyak, barulah aku gunakan kereta kancil. Itupun adalah perkiraan terakhir. Seandainya boleh, aku tetap membawa produk menggunakan motor. Syukur alhamdulilah, setakat ini, kalau ada pesanan yang banyak dan perlu ke beberapa tempat, maka aku gunakan van kepunyaan saudara aku.


Dan pengalaman paling pahit dan kering yang tidak akan aku lupakan hingga ke padang mahsyar adalah. Bila motor aku pancit dua kali, dalam satu masa. Kali pertama, sewaktu berada dikawasan Batu 3, tidak jauh dari Stesen Komuter Batu 3. Aku menolak motor lebih kurang 2 km. Letihnya memang tidak terucap.


Bila jumpa kedai motor, usai ditukar tiub. Aku meneruskan kembali perjalanan. Tidak sampai 30 minit, sekali lagi motor aku pancit, waktu itu aku berada dikawasan Shah Alam. Aku rasa macam nak menangis. Waktu itu jam sudah menunjukkan pukul 6.30 minit petang, angin bertiup kencang, dilangit sudah menunjukkan tanda hujan akan turun. Bila aku periksa, aku dapati aku hanya membawa baju hujan. Sedangkan kotak aku tidak dapat ditutup.


Mahu atau tidak, aku terpaksa menolak motor aku perlahan - lahan. Paling tragis, aku menolak motor aku didalam hujan yang turun mencurah - curah, selebat - lebatnya. Sewaktu menolak motor dikawasan dimana air bertakung, pemandu kereta dan lori yang lalu tidak menampakkan perasaan kasihan langsung, air yang bertakung diredah. Menyebabkan air percik dan menyimbah tubuh aku.


Tiba dirumah, azan Isya' berkumandang. Ya, aku telah meninggalkan solat Maghrib. Apakan daya aku Ya Allah.


Isteri aku menyambut kepulangan aku dengan senyuman. "Muka abang basah, nampak kotor" isteriku berbasa basi. Aku hanya tersenyum.


Wahai sayang. Muka abang memang basah. Sebab, kena air hujan, air longkang dan bercampur dengan air mata yang mengalir.

Monday, August 04, 2008

Bicara Bisnes (14)

Dadih dalam Komuter.


Aku menerima tempahan dadih, dari seorang pelanggan yang menetap di Pantai Dalam. Setelah memikirkan semua faktor. Aku merasakan bahawa, penghantaran melalui komuter adalah paling berkesan.


Faktor paling utama adalah, kawasan tempat tinggal pelanggan tersebut adalah berhampiran dengan Stesen Komuter Pantai Dalam. Kalau hendak dihantar dengan motor, rasanya memang tidak sesuai. Kerana jumlah yang dipesan agak banyak. Kalau hendak dihantar dengan kereta, rasanya tidak berbaloi, kerana mesti membayar segala kos. Maka penghantaran melalui komuter adalah paling sesuai.


Setakat ini, ini adalah penghantaran yang paling jauh aku buat. Itupun disebabkan pelanggan itu bersetuju untuk membayar kesemua kos yang terbabit.


Tetapi, aku tidak tahu dimana silapnya. Sejak dari awal pagi, setelah aku mengirimkan sms, memaklumkan yang aku akan membuat penghantaran. Sms yang dikirimkan tidak berjawab langsung. Aku mula rasa curiga. Namun aku kuatkan hati, untuk membuat penghantaran. Hinggalah aku tiba di Stesen Pantai Dalam, aku masih mengirimkan sms, namun masih tidak berjawab.


Aku pun terus menggunakan telefon awam untuk membuat panggilan, kerana telefon bimbit aku mengalami masalah teknikal, dimana setiap kali aku menekan butang penerimaan, talian akan terputus.


Panggilan aku juga tidak berjawab. Si pelanggan itu telah menutup talian telefon bimbitnya. Aku merasa resah, marah dan terkilan dengan cara begini. Aku merasa ditipu.


Hingga jam 3 petang, aku terus mencuba nasib. Ini bermakna telah lebih 5 jam aku terus mencuba dan bersabar menanti. Namun tidak mendapat jawapan kembali.


Diwaktu itu, aku terasa bagaikan hendak menitis air mataku ini. Mengenangkan aku telah diperlakukan sedemikian rupa.


Aku bukannya orang senang. Inilah cara dan bisnes untuk aku menyara kehidupan keluarga, yang semakin terhimpit dan tertekan. Setelah syarikat dimana aku bekerja ditutup, ini adalah sumber utama rezeki aku sekeluarga.


Akhirnya, hampir jam 4 petang. Aku mengambil keputusan untuk pulang kerumah bersama sekotak besar berisi dadih. Sudahlah kotak itu besar dan berat. Penumpang komuter pula penuh dan sesak. Aku hanya mampu menahan segala perasaan yang bercampur baur.


Setibanya aku dirumah. Isteriku melihat dengan penuh kehairanan. Akhirnya, aku ceritakan segala apa yang telah berlaku. Dia hanya menggeleng kepala, dan aku dapat rasakan yang isteriku menahan perasaan dengan apa yang terjadi.


Aku belajar banyak perkara dengan peristiwa ini. Aku boleh bersabar dengan dugaan sebegini. Cuma aku tidak mampu melihat air mata isteri ku terus bergenang.

Saturday, August 02, 2008

Bicara Bisnes (13)

Sabarlah wahai saudaraku,
Sabare wak,
Sabo je.


Disaat perniagaan aku mula mendapat maklumbalas, disaat inilah telefon bimbit mengalami masalah teknikal.


Aku ketawa sekuat - kuatnya. Ya Allah, ini adalah ketentuan-MU. Betapa hebat ujian dari MU.


Bila setiap panggilan terputus. Aku terpaksa menghantar sms, menerangkan duduk perkara sebenarnya. Dan ini adalah ayat yang paling banyak aku terima:


"Sabarlah wahai saudaraku"
"Sabare wak"
"Sabo je".


Hendak atau tidak, mahu atau tidak. Kehidupan mesti diteruskan. Maka aku terpaksa menyediakan hampir RM50, dalam bentuk wang syiling. Aku rasa lenguh dan sengal untuk terus menaip sms. Maka aku terpaksa menggunakan telefon awam untuk menjawab balik panggilan yang terputus.


Kepada pemanggil, ini adalah pesanan setulus ikhlas dariku - HARAP BERSABAR.