Monday, November 28, 2011

Kerja adalah Ibadah.


Istighfar, Redha dan Bersyukur.


Mengambil masa selama 45 minit perjalanan dari rumah ke tempat kerja. Walaupun perjalanan agak jauh, namun aku bersyukur kerana aku menunggang motor, banyak hikmahnya.


Ramai sahabat yang mengirimkan sms, menulis di FB mengucapkan tahniah, kesyukuran dan kegembiraan apabila mendapat tahu aku telah mendapat kerja. Walaupun kontrak, namun sudah cukup memberikan pengalaman bermakna buat diri aku.


Terima kasih juga buat sahabat yang sudi membantu aku dalam pelbagai perkara. Hanya aku mampu berdoa memohon kasih sayang dari Allah agar menurunkan limpahan rezeki buat para sahabat.


Tugasan yang aku terima begitu mencabar. Namun, hasil dari pengalaman selama 20 tahun dalam bidang perkapalan, sedikit sebanyak membantu aku untuk melaksanakan tugasan dengan mudah.


Pejabat yang sederhana luas dengan pekerja seramai 30 orang. Masing masing dengan tugasan yang telah ditetapkan. Bermula dari - Sales, Akaun, HR, Logistik, Customer Service hinggalah kepada Operasi Kapal. Aku ditempatkan dibahagian Operasi Perkapalan. Tumpuan lebih kepada operasi perkapalan dan kemaskini data pergerakan kapal.


Hingga detik aku menulis ini. Pihak syarikat kelihatan amat teruja kerana banyak tugasan yang tertangguh selama ini berjaya diselesaikan dalam tempoh yang tidak terduga. Aku melakukan kerja 'pembersihan dan kemaskini' bak 'halilintar.'


Kerana aku sentiasa berpegang kepada prinsip - Kerja itu adalah AMANAH !

Tuesday, November 22, 2011

KERJA KONTRAK.


Klausa ...


Itulah perkataan yang menggembirakan aku ketika ini. Walaupun klausa itu berbunyi - CONTRACT OF EMPLOYMENT. Position: Temporary Operations Assistant. Namun sudah cukup untuk aku menarik nafas lega. Sekurang kurangnya dalam tempoh 3 bulan ini, aku sudah mendapat kerja untuk menyara kehidupan. Paling utama dan paling penting, aku berupaya membayar yuran kemasukan persekolahan untuk sesi 2012 bagi 5 orang anak aku.


Aku mendapat tawaran sebagai pekerja sementara ini melalui seorang sahabat baik aku. Kami pernah sama sama bekerja didalam industri perkapalan. Jadi, beliau amat memahami situasi aku. Dan sewaktu temuduga tempohari, pihak syarikat telahpun menunjukkan minat untuk mengambil aku bekerja sementara.


Kenapa tempoh kontrak hanya selama 3 bulan ?


Ini disebabkan oleh bebanan tugas yang terpaksa dipikul oleh pekerja tetap. Dengan tugasan yang terlalu banyak, menyebabkan berlakunya kerja tertunggak. Dan pekerja tidak mampu untuk menyelesaikan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan, maka berlaku 'back log.' Kebetulan aku adalah 'pioneer' kepada sistem yang telah beberapa tahun dilaksanakan. Agak mudah bagi aku menghadapinya.


Sewaktu menerima panggilan dari pejabat. Aku sebenarnya amat bimbang. Walaupun aku gembira kerana mendapat kerja ini. Namun, dari sudut lain sebenarnya aku resah yang teramat sangat. Aku sebenarnya semakin buntu.


Keadaan motor aku amat meresehkan. Memerlukan pembaikan yang agak banyak. Tayarnya mesti diganti. Maklumlah, aku akan ke pejabat yang jaraknya 50 km melalui lebuhraya. Sistem brek mesti diganti untuk faktor keselamatan. Bateri juga mesti diganti untuk fungi hon dan lampu. Dan, lesen motor serta lesen kenderaan juga akan tamat pada 23 hb November ini.


Dikesempatan ini, aku ingin merayu jika ada sahabat yang sanggup untuk membantu. Maklumlah, setelah 4 tahun hilang pekerjaan dan berubat merata rata. Terus terang aku katakan, aku sudah tidak ada sebarang simpanan langsung. Aku hanya berserah seluruhnya kepada Allah.


Jika ada yang sudi membantu dari segi kewangan. Aku benar benar amat mengharapkan. Cuba bayangkan bagaimana hendak bergerak ke pejabat jika aku langsung tidak ada wang untuk mengisi petrol ? Sudahlah motor didalam keadaan 'boleh pakai' sahaja.


Dan, jika ada yang sudi memberikan pinjaman. Aku berjanji untuk melunaskan pinjaman itu sedikit demi sedikit. Cuma, kepada sahabat yang sudi memberikan pinjaman, aku berharap mereka dapat memberikan nombor akaun bank bersama bagi kemudahan - bayar balik.


Dalam situsai apapun. Aku akn terus berusaha, berdoa dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah.


Dalam waktu yang sama. Aku masih meneruskan bisnes aku.


1 - Menjual dadih.
2 - Menjual minuman kesihatan HADI'S Nutri Meal.
3 - Menjadi pengedar AMWAY.


Dan yang terakhir. Aku tetap mengharapkan jasa baik para sahabat untuk terus mendoakan semoga Allah membuka pintu rezeki seluas luasnya untuk kami sekeluarga.


Akaun Maybank - 112045101747 - Mohamad Feroz Bin Mohammad Zaini.

Saturday, October 22, 2011

Selamat Hari Jadi dan rezeki mula datang ...


21 hb Oktober 2011.


Sepatutnya aku kemaskini blog pada tarikh - 21 hb Oktober 2011. Namun tidak kesampaian. Akibat terlalu letih mencari kerja. Sampai sahaja dirumah, aku keseorangan kerana isteri dan anak anak mengikut mertua ke Segamat, Johor.


TERIMA KASIH kepada sahabat penulis blog dan sahabat FB yang telah menyampaikan perutusan ucapan TAHNIAH dan Selamat Hari Jadi, samada melalui FB mahupun melalui sms. Aku amat menghargai segala ucapan dan doa itu. Semoga Allah memakbulkan doa para sahabat. Juga aku memohon kehadrat Allah supaya doa yang sama juga untuk para sahabat sekalian.


Hingga hari ini, ramai sahabat yang telah menghubungi aku secara peribadi. Untuk mengetahui kedudukan dan keadaan aku dan famili. Akibat berita yang tidak benar dan berunsur fitnah, maka beberapa orang sahabat telah menemui aku dan ada juga yang terus datang untuk melihat situasi dan 'cerita sebenar' tentang aku dan famili. Alhamdulillah, mereka telah mendapat gambaran yang sebenar dan lebih meyakinkan mereka.


Ada juga sahabat yang menggelengkan kepala apabila telah menemui aku dan bertentang mata dengan aku dan famili. Sebenarnya jumlah yang hampir percaya kepada cerita berunsur fitnah ini hanyalah beberapa orang sahaja. Namun, aku hargai usaha mereka untuk mendapatkan kisah sebenar dengan terus datang menemui aku dan melihat dengan mata kepala mereka sendiri.


Berbalik kepada kisah hari jadi aku. Ini adalah tahun ke 3 berturut - turut aku tidak ada selera langsung untuk menyambutnya.


Apapun, aku bersyukur kerana hari Khamis malam yang lepas, iaitu 20 hb Oktober. Isteri aku belanja minum air lai chee kang di restoran berdekatan. Aku bertanya dari mana dia dapat wang ? Rupanya adik ipar aku yang berikan wang untuk belanja dapur. Alhamdulillah syukur.


Hari Jumaat, 21 hb Oktober 2011. Aku menghadiri 2 sesi temuduga. Dan aku menjelajah kawasan Klang untuk mencari sebarang peluang yang ada. Aku ambil segala maklumat yang ada. Nama syarikat, nombor untuk dihubungi, jawatan yang ditawarkan dan alamat emel. Itulah yang aku lakukan selama 3 tahun ini.


Dan Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa minggu lepas. Beberapa orang telah meminta bantuan dari aku untuk tujuan bisnes. Aku menemani kawan untuk menghantar barangan ke beberapa destinasi. Walaupun aki tidak bekerja tetap, namun dengan bantuan yang aku hulurkan, dapatlah aku sedikit wang poket. Umpama menjadi kelindan tak rasmi. Tapi, aku bersyukur sangat, sekurang kurangnya ada juga kerja yang aku buat.


Aku juga ingin merakamkan ucapan TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada beberapa orang sahabat yang telah banyak menyalurkan maklumat tentang jawatan kosong. Ada yang aku pergi, dan ada juga yang aku tidak pergi atas beberapa sebab.


InsyaAllah, aku akan terus berusaha hingga berjaya. Yang penting usaha, doa dan tawakkal serta doa para sahabat sekalian ...


Tuesday, October 04, 2011

HARIMAU MENERKAM ...!!!




ROUGH OR TOUGH
WE DELIVERED.


Sepanjang Ramadan yang lalu hingga hari ini. Syukur alhamdulillah, rumahku tidak putus - putus dikunjungi oleh para sahabat bloggers dan sahabat FB yang telah lama mengenaliku. Mereka datang atas pelbagai sebab dan urusan. Yang paling utama ialah untuk membantu aku dan famili sekadar termampu oleh mereka.


Tetamu yang datang adalah PEMBAWA REZEKI. Sungguh benar ungkapan itu. Malahan itulah amalan yang dituntut oleh agama Islam kepada penganutnya.


Namun, dari begitu ramai bloggers dan sahabt FB yang berkunjung kerumahku. Ada beberapa orang yang begitu prihatin dengan tulisan aku didalam Blog Abang Long. Mereka memberikan komen yang begitu baik dan jujur. Aku amat menghormati pandangan mereka.


Dan semalam, seorang rakan FB telah melontarkan pandangannya yang agak berlainan. Sudut pandangan seorang wanita. Bila aku hayati dan cermati pandangannya. Aku akui kebenarannya. Dia seolah - olah memberikan aku inspirasi untuk maju dalam perjuangan hidup.


Sebagaimana FB, maka blog juga adalah hak milik peribadi seseorang. Terpulang kepada pemiliknya untuk melakukan apa sahaja tindakan drastik yang perlu. Disitulah ruang dan peluang untuk pemilik 'bersuara dengan bebas.'


Maka, bermula dari detik ini. Aku akan bertindak lebih pantas dan 'garang.' Seumpama ikon atau lambang sekolah aku - seekor harimau yang sedang mengaum untuk menyerang. Pantang nampak peluang atau mangsa.


Perlambangan kaum Cina. Apa sahaja disekeliling kita adalah PELUANG ! Terpulang kepada kepandaian dan kebijaksanaan kita untuk 'merebut' peluang yang ada dihadapan mata.


Slogan sekolah aku - TIGER ! ROAR !!!

<<< Untuk mendapatkan produk dibawah sila klik pada banner >>>



Wednesday, September 28, 2011

DIBELASAH DEMI SUSU ANAK ...

Telah berakhirnya Syawal 1432 hijriah.


Masih segar dalam ingatanku, peristiwa yang berlaku pada tahun 2006. Ya, 5 tahun yang lalu. Bagaimana kisah seorang bapa kepada 3 orang anak mati akibat dibelasah oleh orang kampongnya sendiri. Kejadian bukannya berlaku dikota London, New York ataupun di Madras, tetapi di Rantau Panjang, Klang, Selangor.


Mangsa atau bapa kepada 3 orang anak itu dibelasah kerana mencuri atau meragut beg tangan seorang wanita. Tujuannya mencuri adalah untuk membeli beras dan susu untuk anak - anaknya yang sedang kelaparan. Dimana mangsa telah hilang pekerjaan berbulan lamanya dan tidak mempunyai sumber pendapatan.


Dan perkara ini menjadi perbualan hangat didalam pejabat aku diwaktu itu. Hingga ada usaha mengumpulkan bantuan bagi membantu keluarga mangsa diwaktu itu.


Kini, aku telah dapat merasakan perkara yang sama. Kehidupan aku semakin hari semakin terdesak dan mendesak. Akibat hilang pekerjaan. Kalau pemuda itu hilang pekerjaan dalam tempoh berbulan lamanya. Aku pula telah mengalami tekanan akibat hilang pekerjaan selama 3 tahun.


Aku telah usahakan pelbagai cara dan kaedah. Namun, semuanya masih belum menampakkan sebarang kejayaan. Aku telah mengirimkan ratusan resume kepada ratusan syarikat dan telah menghadiri ratusan temuduga. Tidak ada langsung sinar kejayaan.

"Jangan putus asa, buat bisnes walaupun kecil." Bisik beberapa orang teman. Ya, aku usahakan dengan segala kudrat dan idea. Dengan bermodalkan RM50, baki wang simpanan dalam bank. Aku nekad berusaha. Namun, usaha ini juga langsung tidak menampakkan sebarang tanda untuk berjaya.


Sejujurnya, kami hidup dengan hasil pendapatan isteriku sebagai guru KAFA, dengan gaji bersih tidak sampai RM1,200 sebulan - Lokasinya di KLANG, Bandar Di Raja Selangor.


Aku cabar jika ada sesiapa yang sanggup dan mampu untuk hidup dengan hasil sebanyak itu dan menyara kehidupan seramai 7 orang ahli keluarga yang sedang membesar.


Ada juga suara yang lunak. "Perbanyakkan bersabar dengan ujian tuhan." Memang aku banyak bersabar. Kalau aku tidak bersabar, aku yakin akan berlaku peristiwa seperti pemuda yang mati dibelasah itu berulang pula sekali lagi.

Aku menjawab dengan tenang. "Agaknya, bolehkah kita MEMBAYAR segala bil bulanan dengan AIR LIUR?"

"Eh, mana boleh bayar bil dengan AIR LIUR, sudah hilang akal, tidak pernah dibuat orang!" Habis tu, kalau tak ada pekerjaan maknanya tidak ada duit, kalau tidak ada duit, mana mungkin kita nak bayar bil atau membeli makanan ? Jadi, siapakah yang boleh bersabar ?


Aku bukannya hendak menjadi peminta sedakah. Aku masih ada anggota tubuh badan yang cukup dan minda yang waras.


Kalau tidak waras, mana mungkin aku berupaya menghadiri ratusan temuduga ? Yang ada ketikanya, soalan temuduga itu menghampir 1 jam dengan lebih 30 soalan. Dan ada ketikanya soalan itu seperti tidak masuk akal. Namun, aku tetap sabar menjawabnya.


Dalam usaha untuk mencari pekerjaan ini. Semua tempat aku telah jejaki. Cuma, 3 tempat sahaja yang aku belum cuba nasib - Kilang Arak. Kedai Nombor Ramalan. Pusat Penternakan Babi.


Aku sedar satu perkara sewaktu menghadiri temuduga. Jika kita tidak ada 'orang dalam' atau 'kabel' maka kita mesti berusaha lebih dari 100 %. Dimana, aku mempunyai pengalaman, bila dibeberapa lokasi. Aku dan beberapa orang telah menghadiri temuduga. Dan aku gagal dalam usaha itu. Namun, terdapat insan yang dapat bekerja didalam syarikat itu. Bila disiasat, aku dapati insan yang bertuah itu ada 'orang dalam' yang mengambilnya bekerja. Aku tak kisah, itu rezeki dia.


Inilah episod sejarah hitam gelumat dalam hidupku. Aku TIADA KABEL ataupun ORANG DALAM. Maka nasibku terus bergelumang dalam kegelapan.


"Ya sheikh, perbanyakkan solat hajat, solat dhuha, perbanyakkan sedekah, rajinkan diri bangun malam." Itulah nasihat dari beberapa orang ulamak besar lagi hebat !


Ulamak ini memberikan nasihat dengan begitu bergaya sambil menikmati juadah yang terhidang. Namun, langsung tidak terlintas difikirannya untuk menjemput aku menikmati secebis makanan bersama. Sedangkan diwaktu itu aku sedang kelaparan, aku sedang kebuluran. Perut aku sedang sakit akibat tidak mendapat makanan kerana menahan kelaparan.


Ayat yang aku tulis bak orang yang semakin nipis keimanan. Betul, aku rasakan bahawa aku sudah hilang keimanan. Terpulang kepada pembaca untuk menilai dari satu sudut.


Untuk memohon bantuan. Aku berusaha dengan pelbagai cara. Yang penting - usaha. Maka, aku sudah masuk ke Pejabat Mesra Rakyat - BARISAN NASIONAL. Aku telah menjejakkan kaki ke - MARKAZ PAS. Dan aku juga telah masuk menerjah ke - PEJABAT KHIDMAT DUN DAP. Ironi sungguh. Staff BN dan PAS langsung tiada perasaan untuk membantu sesama muslim. "Kami harap saudara banyak bersabar." Itu sahaja, sekadar secebis nasihat. Berbeza sewaktu aku menerjah pejabat DAP. Dimana staffnya mendengar dengan penuh minat apa yang aku luahkan. Dan mereka membantu dengan sedikit bantuan material.


Benar apa yang disabdakan oleh NABI KITA. - Kefakiran itu menghampiri KEKUFURAN. Aku telah dapat merasainya. Cuma, aku belum mempunyai keberanian untuk mencuri atau merompak. Tetapi, jika keadaan sudah tidak terkawal. Aku sudah tidak mampu untuk berfikir lebih jauh dan rasional.


Ada ketikanya aku sudah mula merasai diri aku sudah mula menjauhi solat, zikir dan membaca Al Quran. Akibat sibuk dengan usaha untuk mencari kerja, untuk mencari nafkah hidup. Apatah lagi bila memandang kaum lain yang berupaya mengecapi kesenangan dan kemewahan hidup. Aku bukannya tamak. Aku hanya mahukan kehidupan yang sederhana.


Sungguh aku sudah tidak mengharap apa apa dari sanak saudara. Setiap kali aku meminta simpati untuk tolong mencarikan kerja, maka jawapan yang aku sudah duga ialah - "eh, kesiannya, dah lama tak kerja?" itu sahaja yang mereka sebut. NOKTAH ! Tiada langsung tindakan susulan.


Teringat kata kata seorang pesakit yang retak tempurung kepala akibat dilontar dengan batu. "Hanya mereka yang kena lontar batu sahaja yang tahu sakitnya akibat kena batu dikepala." Orang yang melihat dan mendengar tidak akan dapat tahu dan merasai SAKITNYA SAKIT YANG SEBENAR.


Selepas membaca posting ini. Terpulang kepada pembaca untuk melakukan sebarang tindakan. Cuma jangan dibuat laporan Polis sudahlah. Manalah tahu, jika ada yang beranggapan aku akan melakukan rompakan. Yang pasti aku tiada senjata yang merbahaya.


*****

Pertama - Jika menyampah dan tidak ada hati untuk menolong. BUANG atau PADAM atau LUPAKAN sahaja mesej ini.

*****

Kedua - Jika ada secebis atau sebesar kuman hasrat hati untuk menolong. Maka, jika ada sebarang kekosongan jawatan (dialam kawasan Klang, Pelabuhan Klang ataupun Shah Alam). Harap maklumkan kepada aku.

*****

Ketiga - Jika ada sesiapa yang sanggup membantu. Dan ANDA adalah BOS disyarikat ANDA. Maka permudahkanlah usaha ini.

*****

Keempat - Jika ada terlihat atau terdengar ada kerja kosong. Dan anda berupaya untuk menjdai 'orang dalam' atau 'kabel'. Maka, ini memudahkan usaha hamba ini.

*****

Kelima - Sekadar mengingatkan kepada sesama saudara muslim. Aku tidak ada kemampuan untuk membalas jasa insan yang membantu kami, hanya doa sahaja yang mampu aku panjatkan. Cuma teringat kepada sebuah hadith - "Barangsiapa diantara kamu yang membantu urusan saudara kamu, maka Allah akan mempermudahkan urusanmu diakhirat kelak."

*****

Wallahu'aklam.


Thursday, September 22, 2011

20 TAHUN PERKAHWINAN.


21/09/1991 - 21/09/2011
20 tahun usia PERKAHWINAN.


Sepatutnya entri ini ditulis pada tarikh 21hb September 2011. Genap 20 tahun usia perkahwinan aku. Namun, dek kesibukan mencari kerja hingga apabila pulang sahaja kerumah, aku sudah terlalu letih. Kamudian, terpaksa keluar rumah semula untuk membeli barangan keperluan anak anak yang belajar di tahfiz.


Aku hanya mampu mengucapkan SYUKUR ALHAMDULILLAH, atas segala nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadaku selama ini. Ya, terlalu banyak nikmat yang telah diberikan oleh Allah. Alhamdulillah.


Pada tarikh 21hb September 1991, 20 tahun yang lalu. Aku dinikahkan di Masjid Jamek Pelabuhan Klang. Hari yang penuh debaran. Namun disambut dengan kesyukuran oleh kedua dua belah keluarga.


Dalam usia perkahwinan ini, kami telah dianugerahkan dengan kelahiran 5 orang anak. 4 lelaki dan seorang perempuan - Alhamdulillah.


Terlalu banyak ranjau, ujian dan rintangan serta halangan yang telah kami tempuhi bersama. Suka duka diharungi bersama. Ketawa ria dan berdukacita telah menjadi asam garam dalam kehidupan yang telah mematangkan kami.


Saat dan detik paling menggetirkan ialah bilamana kami sering diumpat keji hingga ketahap difitnah, bukan oleh orang luar, tetapi oleh sanak saudara sendiri. Pelbagai berita tidak benar ditabur dan disebarluaskan.


Namun, kami tetap cekal berhadapan dengan mehnah sebegini. Apatah lagi bila teringat kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud - "Aku melihat kaum wanita adalah penghuni paling ramai dalam neraka."


Kerana apa kaum wanita paling ramai dihumban kedalam neraka ? Jawapannya cukup senang dan paling mudah. Kerana mereka menggunakan lidah mereka untuk - mengata, mengumpat, mencaci maki, mengadu domba hingga membawa kepada perbuatan fitnah memfitnah !


Kini, setelah 3 tahun tidak bekerja. Hidup kami hanya bergantung kepada gaji isteriku (hakikatnya - hidup ini keseluruhannya bergantung kepada Allah).


Apakan daya, aku memohon maaf kepada isteriku. Sebenarnya aku memang menyimpan hasrat untuk membawanya ke Candle Light Dinner. InsyaAllah, jika ada lebihan rezeki dimasa akan datang, memang aku akan membawa seluruh keluarga untuk bergembira dan bersuka ria diluar.


Apapun, dikesempatan ini. Diruangan blog ini. Aku merakamkan ucapan TERIMA KASIH tidak terhingga kepada isteriku. ATAS SEGALA - GALANYA. Aku bahagia disampingmu !


Semoga kehidupan kami bahagia selamanya .... AMIN.

Monday, September 05, 2011

Variasi Lebaran. Ria, Debar. Hiba.


Soalan Sedih Hiba. LA TAHZAN.


Hari ini, umat Islam di Malaysia telah masuk hari ke 7 berhari raya. Semua orang bergembira, kecuali pesakit yang berada didalam ICU dan ahli keluarga terdekat.


Kali ini, LEBARAN 2011, famili aku tidak bergerak bersama - sama untuk berkunjung kerumah rakan taulan dan sahabat. Maklumlah, mana muat 7 orang ahli keluarga yang semakin membesar menaiki sebuah kereta Kancil yang begitu comel.


Kasihan anak - anak yang menyambut lebaran berpisah dengan ibu dan bapa. Biarlah anak anak bergembira.


Aku telah kirimkan emel kepada para sahabat, menjemput mereka untuk datang berkunjung kerumahku. Kami tidak mengadakan RUMAH TERBUKA. Cuma, sebagai meraikan hari kebesaran dalam Islam, dan mengamalkan tradisi kunjung mengunjungi dan ziarah menziarahi, maka kami menjemput para sahabat untuk datang kerumah kami.


Sesungguhnya tetamu yang datang ke rumah sebenarnya adalah 'pembawa rezeki.' Manalah tahu, dalam ramai ramai tetamu yang hadir itu, bak kata orang tua tua 'masin' mulutnya. Lalu menawarkan kerja kepada aku.


Inilah antara punca aku memang terasa tawar hati untuk menyambut lebaran kali ini. Aku memang sudah tidak sanggup untuk berhadapan dengan soalan paling panas, paling menyakitkan, paling berbisa dan paling menghibakan kami sekeluarga.


Sewaktu berkunjung kerumah saudara, sahabat dan rakan. Inilah soalan yang aku paling tidak sanggup untuk menjawabnya. Malahan, aku faham dari riak air muka isteri aku sendiri.


"Berapa hari cuti" - Aku menjawab dengan kaedah tidak ada mood. "Dah 3 tahun bercuti."
"Eh, seronoklah dapat cuti panjang." - Aku rasa macam nak penampar je mulut celupar begitu !
"Cuti sampai bila?" - Hendak sahaja aku menjawab "Sampai mati."


Itulah soalan yang paling banyak ditanya. Kalau ada sahabat yang bertanya soalan seperti diatas, memang sah, kami sekeluarga akan lebih cepat beredar dari rumah yang kami kunjungi.


Minggu ini, aku akan menunggu jawapan dari 3 buah syarikat. Hasil temuduga yang diadakan pada bulan Ramadan yang lalu. Maka, aku pohon kasihan belas dari para sahabat, tolong doakan sahaja semoga usaha aku berjaya.


Dikesempatan ini, aku dan famili ingin merakamkan ucapan TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada para sahabat yang telah banyak membantu kami selama ini. Dan dibulan Ramadan lalu, kami telah menerima sumbangan yang tidak ternilai dari sahabat yang kenal dan prihatin dengan nasib kami sekeluarga.


Ada yang memberikan sumbangan barangan dapur.
Ada yang menyerahkan berhelai helai baju raya dalam program - Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata.
Ada yang menghulurkan sumbangan kewangan. Hingga kami tergamam dengan jumlah yang tidak terduga.


Dan tidak lupa kepada sahabat yang terus mengangkat tangan berdoa, merayu, merintih dan meminta bersungguh sungguh kehadrat Allah semoga - Abang Long segera sembuh dan mendapat kerja.


Kini, seluruh ahli keluarga hanya menantikan 1 sahaja rayuan kepada Allah untuk dimakbulkan ...


Kepada para sahabat yang dimuliakan Allah sekalian. Jika hendak datang, tolonglah hubungi atau sms terlebih dahulu. Kerana besarlah harapan kami untuk menyediakan DADIH sebagai menu utama sajian.


ALLAH HU AKBAR.


Tuesday, August 23, 2011

DARI ZURAH'S SHOPPE.

Assalamu'alaikum dan salam hormat buat semua Saudaraku .

Kami adalah pembuat dan pengedar
DADIH ASLI
&
PUDING KARAMEL

jenama DADIH FEROZ'S,
diedarkan oleh ZURAH'S SHOPPE.

Sedap, Berkhasiat dan Menyelerakan !

DADIH & PUDING KARAMEL adalah pencuci mulut yang pasti disukai ramai, dari si kecil hinggalah warga emas.

Kini, untuk penduduk sekitar kawasan -

KLANG, PELABUHAN KLANG, PELABUHAN UTARA (Bandar Sultan Suleiman) dan Shah Alam (Seksyen 1 - 25 sahaja). Penghantaran akan dibuat secara PERCUMA dengan pesanan minimum sebanyak 30 bekas.

Untuk setiap tempahan, anda perlu membuat pesanan dalam tempoh 24 jam sebelum majlis. Dan bagi setiap tempahan berkuantiti besar maka 2 - 3 hari diperlukan untuk proses pembuatan dan penghantaran.


Perasa DADIH FEROZ'S ialah -
Coklat, Jagung dan Strawberri.


Sebagai langkah permulaan, SOKONGAN & KERJASAMA dari semua sahabat amat diperlukan untuk mewar - warkan produk, bisnes dan servis ini. TERIMA KASIH diduhulukan atas kerjasama yang diberikan.

# Untuk makluman, disebabkan DADIH & PUDING KARAMEL ini TIADA BAHAN PENGAWET, maka produk akan hanya bertahan untuk selama 7 hari didalam peti sejuk.

* DADIH & PUDING KARAMEL akan dibuat / diproses berdasarkan kepada tempahan oleh pelanggan. Ini bermakna, pelanggan akan mendapat produk baru dan segar !

"Hai orang yang beriman, makanlah barang yang baik - baik dari apa yang diberikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadah kepadaNYA."
(Al Baqarah: 172).

<<<<<>>>>>
Hadi's Nutri Meal
. Minuman Bijirin yang berkhasiat !

HADI'S diadun daripada bijirin terpilih yang berkhasiat seperti beras perang, biji teratai, kacang soya putih dan lain-lain. Diperkaya dengan zat vitamin, mineral dan serat untuk memastikan anda dan keluarga kekal sihat dan cergas sepanjang hari. Bagi ibubapa prihatin. Sajikan minuman ini setiap pagi untuk memastikan kesihatan optimum anak - anak yang akan menghadapi peperiksaan. Tubuh cergas, MINDA CERDAS ! Harga sekotak: RM40.



Membeli Sambil Menderma Untuk Pembangunan & Menjana Ekonomi:
MADRASAH TAHFIZ AL QURAN AR RASYID.

# Sila klik poster diatas


ENSIKLOPEDIA SOLAT.

Ensiklopedia ini harus menjadi rujukan yang penting bagi kegunaan pusat sumber, perpustakaan awam, pusat pengajian tinggi, sekolah, masjid, madrasah, kelas pengajian malah setiap rumah harus memilikinya untuk panduan seisi keluarga.

Sebagai melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk sebaran dakwah dan amalan berkekalan. Maka, saya berusaha untuk mewujudkan SKIM WAKAF. Dimana Ensiklopedia SOLAT ini diberikan kepada sekolah, madrasah dan mana - mana lapangan yang bersesuaian. Harga pasaran RM100


Amway Distributor. Pengedar Amway.


Barangan Penjagaan Dapur. Produk Kesihatan dan Kesejahteraan. Artistry. Amway Water Treatment System. Shoppers Catalogue. Penjagaan Diri. Teknologi Rumahtangga.


Monday, August 15, 2011

SEKATAN dengan izin NYA.


Road Block.

3 tahun berlalu. Sejak anak ke 5 berusia 3 tahun hinggalah hari ini mencecah usia 5 tahun. Dia tidak pernah tahu yang aku ada kerja. Hinggalah dia sudah mula pandai bercakap, bila ditanya oleh orang ramai "ayah ada dirumah tak?" maka dengan spontan dia akan menjawab "ayah ada dirumah, dia tak ada kerja."


Dan paling mengesankan bilamana dalam tempoh 3 tahun aku tidak bekerja ini. Aku tidak pernah membelikan si kecil comel aku itu baju raya, kasut raya, songkok raya. Kalau ada pun, semuanya adalah sumbangan dari adik beradik aku.


Begitu juga dalam tempoh 3 tahun aku tidak ada kerja ini. Anak - anak aku mempunyai soalan yang paling mengharukan aku sebagai seorang ayah. "Abah ada duit tak?" bila aku tanya kenapa, mereka akan menjawab "kalau abah ada duit, nak suruh belikan kicap manis sebotol, kicap dah nak habis." Anak - anak aku yang belajar di madrasah akan makan bersama kicap sebagai pembuka selera.


Bagaimana pula dengan isteri aku ? Dia pernah berkata beberapa kali "tak ada berita yang paling gembira selain dari mendengar abang dah dapat kerja."


Hari ini, umat Islam telahpun memasuki fasa ke 2 puasa. Hari ke 15. Dan pada hari ini, aku masih lagi terkial - kial mencari kerja.


Beberapa kali aku terasa hati dengan sikap umat Islam. Bilamana rayuan aku seolah olah dipandang sepi. Aku bukannya hendak menjadi peminta sedekah. Aku hanya perlukan kasih sayang dan perhatian dari saudara muslim untuk memberikan aku peluang kerja. Itu sahaja.


Bila aku membaca dalam blog dan FB, tentang persiapan umat Islam untuk menyambut hari raya. Aku sebenarnya tidak ada langsung perasaan untuk menyambut raya. Bagaimana hendak menyambut hari raya, sedangkan aku sendiri tidak pasti bagaimana hendak menyambut sesuatu yang diluar kemampuan.


Hari ini, semua orang riuh rendah dengan isu - JAIS - Gereja. Aku tergelak, ya memang aku tergelak. Aku bukan hanya tersenyum, tetapi aku tergelak sungguh dengan sikap begitu prihatin umat Islam yang mempertikai tindakan JAIS. Ada pula yang mempertikai tindakan Gereja.


Aku tidak ada statistik rasmi. Tetapi dari perkiraan orang bodoh seperti aku. Jika setiap umat Islam menyumbangkan RM50 sahaja. Cuba bayangkan dalam negeri Selangor sahaja. Dianggarkan kutipan hasil zakat akan mencecah ratusan juta RM.


Keduanya, aku tergelak sungguh. Bila ada pusat zakat sebuah negeri yang membuat pengisytiharan - LEBIHAN ZAKAT. Lebihan zakat ? Adakah semua orang Islam dalam negeri itu sudah kaya raya hingga menolak zakat ?


Ops... maaf, aku sudah lari tajuk.


Berbalik kepada kisah aku. Aku sakit dan aku mengalami pelbagai perkara. Jadi hanya aku yang dapat merasainya sendiri. Ya, aku dapat merasakan sesuatu yang memang tidak kena dalam tempoh 3 tahun ini.


Cuba bayangkan dalam ratusan temuduga yang aku hadiri. Secara logiknya, takkan satu pun tidak mendapat jawapan positif ? Pelik tapi benar.


Aku pergi berubat. Aku bukannya pergi 'menelek nasib'. Itukan perbuatan syirik. Cuma, pandangan dari mereka yang sudah berpengalaman. Aku dapati semuanya memberikan pandangan yang hampir sama.


Aku 'dihalang'.


Dan memang pun aku terasa seperti itu.

Hasil kajian:


1 - Ada banyak tempat aku hadiri temu-duga. Peluang 90%. Tetapi bila disaat akhir, aku dihubungi menyatakan "maaf, kami memilih calon lain."

2 - Beberapa tempat, aku telah dipanggil untuk 'masuk kerja', tetapi bila aku datang, pekerja disitu terpinga - pinga. "Maaf ya encik, sebenarnya saya terlewat memaklumkan bahawa kami telahpun memanggil pekerja lain untuk bekerja disini."

3 - Aku telah mendapat beberapa peluang untuk berniaga dibeberapa lokasi. Hasil ehsan dari pelbagai pertubuhan. Namun, bila aku 'buka meja' untuk jualan. Aku langsung tidak mendapat sebarang keuntungan. Malahan, aku rugi pula disebabkan terpaksa membayar duit minyak dan tol serta makan diluar.


4 - Aku redah jua. Aku membuat bisnes secara 'on line'. Namun, dari hampir 2,00 emel yang aku kirim. Hanya tidak sampai 5 orang yang memberikan maklumbalas.


5 - Tubuh aku terkena dengan pelbagai jenis penyakit. Namun, bila diperiksa oleh doktor pakar, aku dimaklumkan bahawa aku seorang yang sihat.


Akhirnya aku berserah diri kepada Allah. DIA yang mencipta aku, DIA yang menjadikan aku, DIA yang menghidupkan aku dan DIA yang akan mematikan aku.


Jika DIA tidak mengizinkan 'halangan' itu berlaku keatas diriku. Maka 'halangan' itu tidak akan berlaku.


Aku sakit, dan DIA lah yang menyembuhkan aku.


Saat dan detik ini. Aku tidak memikirkan tentang raya dan segala persiapan. Yang aku tahu ialah, aku hendak terus sujud kepada Allah. Memperbanyakkan zikir 'benteng' diri dan keluarga.


Ini adalah tahun pertama ibu aku beraya tanpa ayah. Jadi memang sedih jika aku tidak pulang ke kampong. Tetapi bagaimana hendak pulang ke kampong ? Maka keputusannya ialah, aku akan pulang seorang diri untuk menemankan ibu di kampong supaya dukanya terubat sedikit. Kalau aku pulang ke kampong bersendirian, mudah sahaja. Harga tiket KTM baru RM14 X 2. Tetapi kalau aku bawa seluruh ahli keluarga. Memang boleh menyesakkan nafas ini.


Lagipun, anak sulung aku pernah meluahkan pandangannya "tahun ini kalau abah tak dapat kerja, kita tak payah beraya, tapi kalau abah dapat kerja, barulah kita beraya."


Anak kedua pula bergurau "macam mana kalau tahun ini, pagi raya kita semua pakai jubah madrasah."


Untuk makluman pengunjung dan pembaca blog ini. InsyaAllah, hasil temuduga dibeberapa tempat akan diketahui atau dimaklumkan selepas hari raya ini. Jadi kepada insan yang kasihkankan kami, tolonglah doakan kejayaan aku. Itu sahaja. Ya, itu sahaja. Bolehkan ?

Sunday, July 31, 2011

Melangkah Kedalam Ramadan Sebagai Fakir.


Penganggur masuk Ramadan.

Setiap umat muslimin yang diberikan hidayah oleh Allah sudah pasti merasa bersyukur yang teramat sangat apabila diberikan peluang untuk melaksanakan ibadah dibulan Ramadan. Setiap amalan diberikan ganjaran pahala yang berkali ganda, malahan ada yang tidak terhitung nilainya didunia.

Bayangkan, setiap amalan sunat yang paling kecil dan paling mudah, akan diberikan ganjaran pahala berkali ganda, menyamai amalan wajib.

Inilah dinamakan GANJARAN BERGANDA. Yang pasti, ianya tidak akan menyamai ganjaran didunia.

Tahun ini - 2011 atau bersamaan 1 Ramadan 1432. Adalah tahun ketiga aku akan melangkah masuk kedalam bulan Ramadan Al Mubarak masih dalam status sebagai seorang PENGANGGUR.

Masih dalam status keluarga miskin, manakan tidak, jika mengikut taraf dan tahap penilaian oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, jika pendapatan ISI RUMAH adalah dibawah RM1,500, maka keluarga itu adalah termasuk didalam kategori miskin tegar. Hakikatnya, pendapatan aku dan isteri hanyalah RM1,200. Isteri aku bekerja sebagai guru KAFA, jadi semua orang pasti tahu berapakah gaji mereka.

Aku memang tidak akan memohon bantuan lagi dengan mana - mana pihak, khususnya dari kerajaan negeri atau LZS. Aku sudah serik. Aku hanya memohon bantuan untuk mendapatkan kerja, tetapi rayuan aku dianggap seperti anjing menyalak bukit. Malahan aku dihina.

Dibulan Ramadan ini, aku berdoa, jika aku tidak mendapat kerja sekalipun, biarlah bisnes aku bergerak dan berupaya mendapat keuntungan seperti yang diharapkan.

Aku juga amat mengharapkan agar para sahabat dapat membantu dalam 2 perkara. Pertama, maklumkan kepada aku, jika terdapat kekosongan jawatan dimana - mana. Tetapi, biarlah munasabah. Kalau boleh, biarlah kerja itu dalam kawasan Klang, Pelabuhan Klang ataupun Shah Alam. Agak mudah untuk berulang alik rumah ketempat kerja. Kerana, kalau kerja itu di Bangi sebagai contoh, gajinya RM1,000 sudah tentu agak berat, kerana jika aku terpaksa berulang alik, sudah tentu gaji aku akan habis ditengah jalan. Perlu juga pada perkiraan logik dan kemampuan.

Keduanya, aku mengharapkan simpati dan kasih sayang para sahabat. Aku menjalankan bisnes kecil - kecilan. Dibawah nama - ZURAH'S SHOPPE. Kami sekeluarga menghasilkan sendiri dan mengedarkan - DADIH FEROZ'S.

Adalah amat diharapkan, jika ada sesiapa yang ingin mendapatkan dadih untuk sebarang majlis, harap ingat - ingatlah diri ini, kami melakukan dalam keadaan yang begitu terbatas.

Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak.

Tuesday, July 26, 2011

Izinkan Aku Melihat Kehidupan Yang Bersinar.


SINAR ZAMDURRANI.


Kali ini aku tidak mahu menunggu lagi. Setelah aku menerima kesan yang terlalu buruk dalam sejarah kehidupan menjadi kelam dan hitam pekat. Sesungguhnya kesabaran aku telah hilang. Atas nasihat dari ramai ahli keluarga dan sahabat handai, dan hasil dari muhasabah serta pengalaman sendiri. Maka aku mengambil sikap - MENANG JADI ARANG, KALAH JADI ABU !


Seorang sahabat lama telah memberikan perangsang, beliau telah menaja pemergianku ke Sinar Zamdurrani untuk berubat. Sebelum aku pergi, aku telah meletakkan syarat yang agak ketat.


Aku tidak mahu disebabkan hendak 'menghalau' hantu jin jembalang iblis atau syaitan, maka tubuhku 'digodam' semahu - mahunya. Konon untuk menghalau iblis dan syaitan laknatullah dari tubuh manusia maka digunakan - biji lada hitam, kayu jati atau duri landak dan seumpamanya, kononnya dengan 'urutan' itu akan berjaya 'menangkap' segala perkara tidak baik dalam tubuh. Hakikatnya 'urutan' itu lebih menyakitkan lagi orang yang telahpun menderita kesakitan !


Alhamdulillah, perubatan di Sinar Zamdurrani dibawah kelolan Ustaz Syarhan menggunakan teknik perubatan Islam yang sungguh lembut.


Aku datang bersama anak - anak dan isteri, seawal selepas subuh aku telah bergerak ke USJ21/11. Dan alhamdulillah, kami tiba diwaktu orang belum begitu ramai. Itupun nombor aku ialah 65.


Disitulah aku melihat pelbagai ragam dan penyakit yang menimpa manusia. Diantara semua pesakit yang aku dapat rasakan paling menyedihkan ialah bilamana aku berkesempatan berbual dengan seorang gadis lulusan ITM. Beliau mendapat 'saka' secara paksa dari ibu kandungnya sendiri. Dan dek kerana saka itulah kehidupan gadis ini tidak seperti manusia lain. Sepanjang hayatnya sentiasa ditimpa musibah. Dan si ibu seperti tidak 'merestui' anak kandungnya sendiri. Sungguh sadis !


Terjadi perbualan spontan dikalangan pesakit dan keluarga mereka. Namun, paling aku tidak dapat lupakan bilamana seorang Datuk (aku tahu sebab diiringi oleh beberapa orang pengawal peribadi yang memanggilnya begitu, namanya biarlah rahsia).


Beliau berkisah bagaimana kehidupannya dipenuhi ranjau dan ujian. Sebelum kini mengecapi kejayaan dan kenikmatan didunia. Namun, entah seperti kebiasaan atau tidak. Golongan Datuk - datuk ini ada ketikanya begitu berbangga dengan pencapaian mereka dan agak meninggi diri. Ada ketikanya kata - kata mereka ini agak menyinggung perasaan. Maaf aku tidak menuduh kesemuanya.


Tiba tiba Datuk K bertanya kepadaku:


Datuk K: "You sakit apa?"
Aku: "Macam - macam Datuk, saya pun dah pening dah, sakit pun ya, tak dapat kerja pun ya."
Datuk K: "Sakit macam mana tu ..."
Aku: "Antara sakitnya, saya sukar untuk bernafas, tapi bila diperiksa dan didiagnos, doktor kata tak ada sakit apapun."
Datuk K: "Hmmm ... pelik tu, rasanya you salah makan atau you banyak buat dosa tak?" (aku memang tidak suka dengan cara manusia bercakap dengan cara ini!)
Aku: "Entahlah." (aku sudah malas hendak melayan soalan)
Datuk K: "Habis tu, hari ini bila you sakit, you tak kerjalah?"
Aku: "Sebenarnya, sudah 3 tahun saya tak kerja, ini pun satu masalah juga, pergi interview, satupun tak dapat."
Datuk K: "You tak boleh putus asa, you kena usaha kuat, kalau satakat interview 1 atau 2 tempat you dah mengalah, you sebenarnya belum berusaha lagi ... I dulu, sampai 14 tempat pergi interview, but it's long time ago laaa .... hahaha ..."

Tiba - tiba seorang pemuda mencelah secara spontan dalam perbualan kami:


Pemuda: "Hari ini pun saya datang nak dapatkan doa, sebab dah pergi 30 tempat untuk temuduga, tapi semuanya gagal ... saudara dah pergi berapa banyak tempat?"

Aku: "Lebih 120 tempat, tidak termasuk warung mamak, kedai loteri, restoran Cina, kelab malam, saya boleh tunjukkan dokumen lengkap, sebab saya bawa kemana - mana saya pergi."

Semua orang terkejut dan memandang kearah aku dengan pelbagai persoalan bermain difikiran mereka.


Dan paling mengesankan, semua orang langsung tidak berbual lagi, termasuklah Datuk K yang begitu hebat bercerita dan berkisah.


Hampir jam 1.45 petang, barulah aku masuk kedalam bilik rawatan. Satu sessi dijalankan keatas 15 orang pesakit sekaligus. Kebetulan, aku diarahkan untuk duduk diatas kerusi berhadapan Ustaz Syarhan sendiri, jadi aku dapat mendengar butir percakapannya dengan jelas.


Pelbagai barangan yang perlu digunakan oleh pesakit. Dan setiap satunya ada fungsi tertentu yang perlu dibuat pada waktu - waktu tertentu. Air zam - zam, air doa, limau kasturi, limau purut, daun pandan, madu lebah herba buah kokka, ruqiah minyak kelapa dara dan seketul kayu.


Kos rawatan dan bahan - bahannya ialah sebanyak RM310.


'Aku sakit, dan DIA yang menyembuhkan.'

Friday, July 15, 2011

Suntikan Semangat V Suntikan Maut !


SUNTIKAN MAUT.


5 hari menderita, aku benar - benar keresahan, jiwa berkocak, dada berdebar dan akhirnya aku tumbang gara - gara suntikan bertalu talu.


Aku bertanya dengan sepenuh perasaan merayu "Doktor, tidak adakah cara selain dari melakukan suntikan?" Doktor hanya tersenyum. "Kalau Encik hendak sembuh, ini sahaja caranya..."


Pembantu perubatan (lelaki) pula langsung tidak menunjukkan tahap profesionalisma mereka. Mereka hanya mahu 'Cepat, Cekap dan Cabut.'


Setiap tusukan jarum suntikan sememangnya mengerikan ! Namun aku terpaksa menghadapinya dengan lelehan air mata lelaki.


Aku menghidap penyakit kulit. Tiba - tiba sahaja menyerang dari bibir dan seterusnya merebak ke hampir seluruh badan. Warna oren dan merah. Kulit menjadi tebal. Merengsakan ! Dibahagian lengan, siku, celah kelangkang, bawah lutut dan betis.


Penyakit ini mempunyai tahap, ada ketikanya ia naik menjadi tebal dan merah, dan ada ketikanya ia menjadi surut dan rata.


Ini adalah kali kedua, aku menghadapi pengalaman dimana hampir beberapa orang Doktor tidak dapat memberikan diagnos yang tepat. Semuanya hanya mengesyaki dan banyak berteori.


Ada yang mengesyaki berpunca dari ubatan gastrik dos tinggi yang aku ambil - ZENPRO Omeprazole 20mg. Dan ada yang meminta supaya aku ingat balik (recall) apakah yang aku makan selama 2 minggu kebelakangan ini yang berkemungkinan menjadi penyebab penyakit ini. Aku terpaksa meminta bantuan dari isteri, anak, mertua dan adik ipar. Namun, kesemua kenyataan yang diambil langsung tidak menepati ramalan. Berkemungkinan aku allergic kepada makanan yang diambil, khususnya makanan laut. Seingat aku, sudah hampir 5 tahun aku tidak menjamah makanan laut.


Seminggu sebelum itu, aku juga telah ditahan didalam wad 8B, katil nombor 10. Akibat dari sakit gastrik dan cirit - birit keterlaluan. Disinilah puncanya aku diberikan ubatan gastrik dalam kadar dos yang lebih tinggi.


Yang agak membimbangkan aku ialah. Aku telah berkali - kali bertanya kepada para doktor yang bertugas. Bagaimanakah keadaan darah aku. Dan para doktor menyatakan bahawa darah aku adalah normal, cuma terdapat sedikit jangkitan kuman tetapi tidak membimbangkan.


Akhirnya, beberapa orang Doktor (termasuk MO) telah memberikan syor agar kes aku dirujuk kepada Pakar Kulit di bahagian - DERMATOLOGY, HTAR.


Kini, sekali lagi tubuh aku terpaksa melalui ujian, tekanan, dan diperlakukan sehingga LUNYAI !


Ada saudara yang mengesyorkan supaya pergi bertemu dan berubat cara tradisional. Namun dengan tegas aku nyatakan "Cukup, selama 3 tahun aku menderita dengan penyakit yang tidak dapat dikenalpasti, aku menghadapi kesukaran untuk bernafas, tubuh aku diuji semahu - mahunya oleh pelbagai PAKAR, tubuh aku ditekan dengan - biji lada hitam, duri landak, kayu jati dan sebagainya."


Duit Habis, Badan Kekal Sakit !


Setiap kali anak - anakku datang melawat, mereka hanya berdiri dibirai katil. Kami langsung tidak bersentuhan. Walaupun para doktor menyatakan bahawa penyakit ini tidak berjangkit. Namun, sebagai kanak - kanak, mereka memandang dengan perasaan cemas dan berbaur ngeri.


Setiap malam, jam 8. Aku dilanda kebimbangan. Kerana waktu itulah aku akan disuntik cecair yang boleh aku gelar sebagai SUNTIKAN MAUT. Kerana sewaktu cecair itu masuk dan meresap kedalam pembuluh darah, aku terasa bagaikan renjatan elektrik.


Dan sepanjang cecair itu masuk dan menyelinap kedalam tubuh aku. Aku akan 'ghaib' dan aku terasa bagaikan - BERJALAN DI ALAM ROH !


# Ubatan ini berada dalam genggaman aku: PREDNISOLONE, PIRITON & HISTAC 150.

***** kepada yang menerima emel, dan membaca entri ini, aku merayu, tolong doakan kesihatan aku, dan untuk makluman, hari ini - Jumaat, ada temuduga disebuah syarikat iklan dan percetakan milik saudagar Cina. *****


Papan Kenyataan - ZURAH'S SHOPPE: Produk DADIH telah mula memasuki sekolah - sekolah.


Saturday, July 09, 2011

Hidup di padang pasir.


Bukan 3 hari, bukan 3 bulan tapi sudah 3 tahun !


Seingat aku, ujian pertama berlaku sekitar bulan Mac 2007. Diwaktu itu aku sedang menunggang motor untuk pulang kerumah, sekitar jam 11 malam. Tiba - tiba sahaja jantung aku berdebar - debar dan debaran itu semakin kuat. Aku tidak keruan, terus sahaja berhenti disebuah klinik panel berdekatan yang dibuka 24 jam.


Nasib baik tiada pesakit lain. Sejurus berdaftar, aku terus sahaja masuk kedalam bilik untuk bertemu doktor. Pemerikasaan dilakukan dengan cermat dan terperinci. Aku lantas diberikan satu dos suntikan penenang. Doktor menasihatkan supaya aku bertenang.


Aku terus melupakan kisah itu.


Setahun berlalu, hidup aku dan keluarga begitu riang tanpa sebarang masalah. Tidak mewah, tetapi mampu memiliki apa yang kami ingini.


Januari 2008. Bermulalah episod hitam dalam hidup aku dan keluarga. Sewaktu sedang bekerja, aku rasakan getaran jantung aku tidak stabil, jari jemari terasa kebas. Pernafasan aku terasa tersekat. Aku hampir rebah, namun beberapa orang teman sekerja sempat membantu aku. Aku terus dibawa ke klinik, namun pihak klinik mengarahkan supaya aku dibawa ke hospital.


Dan bermulalah episod aku berulang alik antara -rumah - klinik - hospital - wad kecemasan. Rekod yang tercatit, aku berulang sebanyak 28 kali dalam tempoh 3 tahun. Setiap kali masuk wad, pihak hospital akan mengambil darah dan memasukkan air (drip). Paling minima 2 suntikan setiap sessi kemasukan.


Dan akhirnya, keputusan dari pihak hospital ialah. Aku disarankan supaya menghadiri sessi rawatan psikologi. Atau dengan lain perkataan, aku perlu masuk Kelas Sakit Jiwa. Kerana pihak hospital tidak dapat mengetahui atau mengesan apakah penyakit sebenar yang aku alami.


Dalam tempoh itu. Aku juga pergi berubat dengan segala rawatan lain. Berubat dengan Darul Syifa', berubat dengan ustaz yang mahir dalam bahagian urat saraf, berubat rawatan sihir dan pelbagai lagi rawatan, bertemu dengan Master dalam rawatan Fengshui. Cuma aku tidak bertemu dengan bomoh Siam sahaja.


Yang pasti, setiap kali bertemu dengan rawatan sebegini, tubuhku bertambah sakit. Jari jemariku ditekan, tubuh aku dihenyak semahu - mahunya, disapu dengan pelbagai jenis minyak, ditekan dengan biji lada hitam, diurut dengan duri landak. Memang menyakitkan.


Kedua dua rawatan, aku terpaksa menahan kesakitan.


Berbalik kepada kisah aku hampir rebah dipejabat. Diwaktu itu, syarikat tempat aku bekerja sedang mengalami proses perpindahan pemilik. Mereka terpaksa memilih beberapa orang pekerja untuk meneruskan khidmat. Dan sungguh malang sekali, dalam tempoh pemilihan dan temuduga itu, aku sedang berada diatas katil dalam wad. Kata putusnya, aku antara pekerja yang diberhentikan. Walaupun dari segi congakan, berdasarkan merit, prestasi kerja dan pengalaman aku antara orang harapan syarikat.


Pada bulan Mac 2008, secara rasmi aku diberhentikan kerja, sewaktu aku sedang terlantar didalam wad ! Isteri aku yang setia hanya diam tidak berkata apa - apa. Bibirnya kering. Aku tahu dia menahan kesedihan yang teramat sangat.


Hari berlalu, bulan berlalu, minggu berlalu dan tahun bertukar angka. Aku terus muhasabah, terus bermunajat, terus merintih dihadapan tuhan. Aku rapatkan diri dengan zikir, munajat, tahajjud dan mesra dengan kitab Allah.


Memohon pertolongan dan memohon petunjuk.


3 tahun menanggung sakit dan tanpa pekerjaan. Mengharap gaji isteri sebanyak RM1,200. Memang tidak cukup langsung. Kalau mengikut tafsiran Kerajaan Negeri Selangor dibawah PAKATAN RAKYAT. Fakir dan miskin tegar adalah KELUARGA yang berpendapatan dibawah RM1,500. Tetapi sayang dan sungguh sedih dan memilukan. Beberapa kali aku pergi menagih simpati dan merayu bantuan dari perjabat ADUN. Hampa sungguh. Rayuan aku seumpama - Anjing menyalak Bukit layaknya.


Aku juga tidak berputus asa, memohon kasih simpati dari beberapa orang ulamak PAS. Namun, sayangnya, ilmu mereka terlalu tinggi. Aku diseru supaya bersabar, sedangkan aku sudah berbulan tidak punya wang, dan sewaktu bertemu mereka, aku sedang kelaparan yang teramat sangat. Sedangkan ulamak - ulamak ini begitu enak menikmati hidangan yang melimpah diatas meja. Langsung tidak terlintas untuk menjemput aku.


Beberapa orang rakan blog dan sahabat FB menasihatkan aku supaya melakukan apa sahaja yang boleh untuk mencari pendapatan. Ada yang menghulurkan sumbangan kewangan untuk aku memulakan bisnes. Aku berterima kasih. Dan bermulalah episod buat bisnes sendiri.


Aku usahakan pelbagai jenis bisnes. Aku lakukan pelbagai cara. Hingga ada ketikanya seperti tidak masuk akal. Sungguh pelik dan menghairankan. Semua bisnes (9 jenis bisnes) yang aku lakukan, satupun tidak menjadi, malah aku pula yang menanggung kerugian. Memang terasa pelik, atau mungkin sebab aku tiada asas berniaga.


Dalam tempoh 3 tahun ini. Aku tetap dan terus tekad untuk mencari pendapatan tetap. Yalah, takkan bila bisnes tak berapa lancar, aku masih menunggu. Aku perlu lakukan apa sahaja usaha. Maka, aku terus bertanya khabar, mencari ruang dan luang yang ada dengan menghantar resume ke puluhan syarikat (maaf, bukan puluhan tetapi telah melebihi ratusan). Dari sekecil - kecil syarikat hinggalah syarikat besar konglomerat.


Ada yang kelihatan peluang begitu cerah, aku menepati seluruh piawaian yang diperlukan. Tetapi disaat - saat akhir. Permohonan aku ditolak mentah - mentah dengan alasan yang langsung tidak munasabah.


Baru - baru ini, dengan kuasa Allah. Aku berkesempatan menonton rancangan Halaqah. Membawakan tajuk Sihir dan Pengubatan Islam. Aku dan isteri agak tergamam. Setiap butir perkataan ustaz kami dengar.


Apa sahaja yang diperkatakan, hampir semuanya berlaku keatas diriku ... (bab ini terpaksa dirahsiakan). Aku hilang bicara.


Sudah beberapa hari, aku mendengar tangisan halus isteri aku yang sedang berbaring lemah diatas katil.


Yang pasti, aku sudah hilang pertimbangan. Aku sudah terlalu lemah menghadapi kesemua ini. Aku hanya mampu MENANGIS ...


# Untuk makluman. Mesej ini disampaikan untuk renungan dan tindakan para sahabat yang bersimpati dengan nasib aku. Aku juga telah mengutuskan emel secara peribadi kepada beberapa orang saudara mara yang menetap di Indonesia, Arab Saudi, Singapura, Brunei dan Filipina. Permintaan ku hanyalah satu. Tolong usahakan supaya aku mendapat pekerjaan dinegeri kalian. Aku sudah putus harap untuk mencari rezeki dibumi Malaysia ini.


# Kehidupan aku amat terdesak, jika ada sesiapa yang bersimpati untuk membantu aku. Bil air dan bil elektrik telah mencecah RM300, namun aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk melangsaikannya. Bayaran yuran tahfiz anak - anak aku, Alhamdulillah, untuk 3 bulan telah berjaya diselesaikan oleh seorang dermawan yang bersimpati.


# Jika ada sesiapa yang boleh membantu. Maka aku juga telah utuskan emel bertajuk - IKLAN ZURAH SHOPPE. Itulah bisnes yang aku telah usahakan. Disitu tertera nombor telefon bimbit dan alamat penuh dan lengkap rumah kami.


Tulisan ini adalah sebahagian sisi gelap gelumat yang melanda kami. Sesungguhnya maha berat azab yang akan ditanggung oleh mereka yang melakukan perbuatan SIHIR.

Tuesday, June 28, 2011

IKLAN ZURAH'S SHOPPE


Assalamu'alaikum dan salam hormat buat semua Saudaraku .

Kami adalah pembuat dan pengedar
DADIH ASLI
&
PUDING KARAMEL

jenama DADIH FEROZ'S,
diedarkan oleh ZURAH'S SHOPPE.

Sedap, Berkhasiat dan Menyelerakan !

DADIH & PUDING KARAMEL adalah pencuci mulut yang pasti disukai ramai, dari si kecil hinggalah warga emas.

Kini, untuk penduduk sekitar kawasan -

KLANG, PELABUHAN KLANG, PELABUHAN UTARA (Bandar Sultan Suleiman) dan Shah Alam (Seksyen 1 - 25 sahaja). Penghantaran akan dibuat secara PERCUMA dengan pesanan minimum sebanyak 30 bekas.

Untuk setiap tempahan, anda perlu membuat pesanan dalam tempoh 24 jam sebelum majlis. Dan bagi setiap tempahan berkuantiti besar maka 2 - 3 hari diperlukan untuk proses pembuatan dan penghantaran.


Perasa DADIH FEROZ'S ialah -
Coklat, Jagung dan Strawberri.


Sebagai langkah permulaan, SOKONGAN & KERJASAMA dari semua sahabat amat diperlukan untuk mewar - warkan produk, bisnes dan servis ini. TERIMA KASIH diduhulukan atas kerjasama yang diberikan.

# Untuk makluman, disebabkan DADIH & PUDING KARAMEL ini TIADA BAHAN PENGAWET, maka produk akan hanya bertahan untuk selama 7 hari didalam peti sejuk.

* DADIH & PUDING KARAMEL akan dibuat / diproses berdasarkan kepada tempahan oleh pelanggan. Ini bermakna, pelanggan akan mendapat produk baru dan segar !

"Hai orang yang beriman, makanlah barang yang baik - baik dari apa yang diberikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadah kepadaNYA."
(Al Baqarah: 172).


Untuk tempahan dan sebarang pertanyaan, sila hubungi -
FEROZ 019 225 4910


KINI, Penggemar kuih tradisional dari Singapura - TART SINGAPORE. Anda boleh mendapatkan TART SINGAPORE ini dengan mudah.

'Aroma Memikat, Rasa Asli.'


Adunan menepati citarasa asal. Untuk dinikmati bersendirian mahupun bersama rakan, sahabat dan saudara bersama menghiasi sebarang majlis keramaian.

Hanya diproses mengikut tempahan. Tiada dipasaran terbuka. Penjagaan kualiti dari mula dengan lafaz Bismillah dan diakhiri dengan pembungkusan yang menarik hati.



Sering memikirkan keadaan diri yang kurang sihat dan perlu mengharungi kehidupan seharian, apatah lagi perlu melaksanakan ibadah puasa dibulan Ramadan yang akan tiba tidak berapa lama lagi ?


Usah bimbang lagi. Kami berusaha memberi perkhidmatan sebaik mungkin kepada pelanggan yang memerlukan tahap kesihatan optimum. Amalkan pengambilan Minuman Bijirian HADI'S (HADI'S Nutri Meal).

"Bersahur ... sepeket pun sudah cukup!"


# Bagi produk TART SINGAPORE & HADI'S- SAHAJA = Urusan secara POS boleh digunakan.


"Ya Allah, aku berusaha dan meminta hanya kepada MU, hanya ENGKAU yang Maha Berkuasa KEATAS SEGALANYA."

Thursday, May 19, 2011

EKONOMI MALAYSIA MEMBERANGSANGKAN.


Melarat Sungguh.


Hujung bulan ini, 31hb Mei 2011, akan menjadi episod hitam pekat dalam sejarah kehidupan aku dan keluarga. Ini hanyalah bayangan suram yang boleh aku gambarkan, jika arus kehidupan aku masih tidak berubah.


Dengan nama Allah. Aku sebenarnya sudahpun menangis sewaktu menunggang motor, usai dari temuduga yang ke 13 petang semalam. Temuduga terpendek dalam sejarah hidup aku. Aku baru sahaja bersalam dengan wajah ceria, baru sahaja duduk, bila si penemuduga berkata:

"Saya dapati awak tidak layak untuk jawatan ini, kerana saya mahukan seorang dalam usia 20'an, yang cergas dan aktif, maaf." Temuduga paling pendek disebuah syarikat pembuatan. Aku hanya mengangguk dan mengucapkan terima kasih. Catatan hari ke 18 sebagai penganggur.

Itulah ada coretan dari FB Abang Long.


Aku tidak berkata apa pun. Langsung berlalu pergi dari situ, keluar dari bilik dengan seribu perasaan sebal yang teramat sangat !


Kini, cuba anda bayangkan. Sewaktu melihat resume aku. Ini adalah antara jawapan balas dari pihak syarikat:


1 - Pengalaman anda begitu luas dalam sektor perkapalan, tetapi MAAF, kami hanya perlukan pekerja muda yang dinamik, dalam lingkungan usia 20'an. Lagipun, kami tidak mampu membayar gaji anda.

2 - Bagus, anda sungguh berpengalaman dalam pelbagai sektor, tetapi anda langsung tiada pengalaman dalam urusan perbekalan minyak, MAAF. Kami perlukan pekerja yang gagah untuk mengangkat tong gas.

3 - Kalau awak nak kerja sini, boleh. Tapi upahnya memang tak berbaloi. Kami boleh bayar RM500 sahaja, tapi makan minum dan tempat tidur kami tanggung.

4 - MAAF, kami hanya memberikan pekerjaan kepada tenaga asing sahaja.

5 -



Aku sudah pergi ke 8 buah syarikat perkapalan. Didapati tiada satupun yang ada kekosongan jawatan. Adakah aku perlu menanti salah seorang pekerja mereka pencen atau MATI untuk aku mengisi kekosongan jawatan itu ? Aku tidak boleh menanti, aku perlu menyara kehidupan keluarga segera.


Bila aku pergi ke sektor yang berlainan, rasanya tidak jauh dari lapangan yang aku ada pengalaman, sebagai contoh bahagian penghantaran. Jawapannya ialah, aku tiada pengalaman dalam sektor itu. Jawapan paling menyakitkan hati ialah "adakah awak sanggup bermula dari bawah, awak diajar oleh mereka yang jauh lebih muda dari awak?' Bila aku nyatakan kesanggupan untuk bermula dari bawah, jawapan mereka mudah sahaja "kami rasa, untuk keadilan, awak carilah kerja yang sesuai dengan pengalaman awak."


Seorang teman mengirimkan emel. "Susah susah, Abang long buatlah bisnes sendiri ?"


Baik. Selama beberapa bulan ini, aku menjalankan bisnes kecil - kecilan. Aku siarkan dalam blog, dalam FB, aku kirimkan emel, sms dan cetak risalah dan ditaburkan ke serata alam. Aku bawa produk dan tunjukkan kepada rakan, sahabat dan saudara. Memang aku tiada skil usahawan hebat, tetapi aku berusaha. Namun, agak mengecewakan. Aku tidak pasti dimanakah silapnya. Bisnes aku seumpama - Hidup Segan MATI Tak Mahu.


JOBSTREET. Aku telah kirimkan resume ke 23 buah syarikat. Dan 4 buah syarikat telah memberikan jawapan untuk temuduga. Dan temuduga itu diakhiri dengan kegagalan. Cuma sebuah syarikat sahaja yang berminat dan bersungguh sungguh mahukan aku, tetapi aku perlu menunggu sedikit sahaja waktu lagi. Bila aku mendesak untuk mendapatkan kerja segera "harap bersabar, syarikat ini sedang gawat!"


Umpama seorang gelandangan. Aku berjalan. Ya, aku berjalan, lagipun minyak motor sudah hampir habis. Dan aku hanya ada RM5 sehelai sahaja dalam poket. Aku berjalan, dan bertanya "Abang, kak, amoi, aney, adik, macha, makcik ... ada kerja tak saya bantu, saya tak ada kerja, nak cari duit untuk sara keluarga ...." Semuanya SENYUM dan menggelengkan kepala.


Tiba - tiba aku melihat sekeping iklan. Bagus ni ! Aku terus menghubungi syarikat iklan itu. Dan aku diarahkan untuk menunggu disatu tempat. Aku diambil oleh seorang lelaki Cina kesatu tempat rahsia. Macam filem James Bond. "Ini kerja manyak senang, lu kena ambil duit dari peminjam saja, itu sahaja, komisen memang banyak, tak kira macam mana lu mau ambil itu duit, yang pasti lu mesti dapatkan itu duit pinjaman, lu tengok dia pakai kereta apa .... bla bla bla bla." Ya Rabbi, itulah tugas Along. Aku diam. Aku Senyum. Aku Angguk. Dan akhirnya aku berlalu dari situ.


Baru kini aku dapat rasakan pengalaman paling mengerikan. Satu pengalaman yang mengajar aku bagaimana seorang yang tidak dapat makan sanggup untuk membunuh.


Solat hajat, solat istikharah, solat dhuha dan segala macam solat telah aku lakukan. Segala macam zikir telah aku lafazkan. Namun, inilah ketentuan tuhan. Aku terima dan aku redha atas ujian dari Allah.


Perbanyakkan bersabar wahai Abang long. Itulah antara nasihat dan sms yang aku terima. Betul aku perlu bersabar. Tetapi bagaimana kedudukan hujung bulan ini ? Adakah aku hanya MEMBAYAR dengan AIR LIUR ?


Bil Api, Air dan HP ?
Barangan dapur ?
Sewa rumah ?
Bayaran kereta ?

Dan terpenting sekali. YURAN TAHFIZ.


Dengan segala perasaan seorang yang sudah HILANG MALU. Aku memohon kepada sesiapa sahaja. Andai masih ada perasaan simpati kepada nasib seorang saudara seAGAMA. Jika tidak menjadi keberatan. Tolong usahakan untuk selesaikan bayaran TAHFIZ untuk 3 orang anakku. Itu sahaja. Yang lain, InysAllah kami bersedia untuk berpuasa.


Dan, yang paling utama.


Abang. Kak. Saya amat mengharapkan kerja. Bukan ugutan, maaf ya. Inilah permintaan orang terdesak. Apapun, cuba bayangkan kalau Abang dan akak berada ditempat saya ? Sesungguhnya, saya masih ingat lagi pesanan dalam agama. Jika kamu menolong saudaramu yang dalam kesempitan, maka Allah akan membantu mu dalam urusan harianmu didunia ini.


Sedih, Seram, bila melihat sudah hilang wajah ceria pada isteri ...
Gerun memikirkan nasib anak - anak yang sedang tekun menghafaz Al Quran ....


Aku harap ada panggilan yang bakal menggembirakan seluruh keluarga aku:


"Abang long, esok pergi ... ada kerja untuk Abang long." Terima kasih tidak terhingga didahulukan.


Ya Allah ....

Ya Rasulullah .... aku umatmu !


Monday, May 09, 2011

EMEL RAYUAN KEMANUSIAAN.


EMEL RAYUAN KEMANUSIAAN.


Aku yakin dan percaya. Rezeki untuk anak - anak aku, isteriku, ibuku dan diriku tetap ada. Allah Maha Adil dan Maha Penyayang.


Memang terasa hiba bila seorang ustaz yang banyak membantu aku telah memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan usahasama ini.


Kini, sekali lagi aku hanya mampu tersenyum dalam pilu. Ini bukan nasib badan, tetapi ujian Allah keatas hamba NYA. Hari ini pandangan aku benar - benar kosong.


Hari ini juga dengan sepantas kilat, aku mengirimkan emel kepada rakan taulan dan saudara mara. Merayu kasih, mengharapkan belas ehsan, meminta bantuan, supaya jika ada dimana - mana KERJA KOSONG supaya memaklumkan kepada aku.


Selama beberapa bulan ini, sewaktu berkhidmat dengan insan berhati mulia ini. Sememangnya aku diberikan imbuhan bagi menyara kehidupan keluarga. Tanpa EPF, tanpa SOCSO, tanpa bayaran lebih masa. Namun aku reda. Kerana yang penting aku lakukan kerja terlebih dahulu. Disamping aku melakukan bisnes kecil - kecilan. Tetapi hasilnya amat halus halusan. Sekadar cukup untuk membayar harga minyak motor pergi balik kerja.


Sememangnya jiwa aku terasa semakin lemah. Namun, demi memerhatikan anak - anak yang mengharapkan kasih seorang ayah, aku kuatkan semangat aku yang sudah semakin menipis, malah lebih nipis dari kulit bawang.


Suatu ketika aku memang tersentap dengan kata - kata seorang teman "apalah sialnya nasib engkau ya?" Aku tidak mampu menjawab kata - kata itu. Mungkin dia tidak pernah merasa susah sepanjang hidupnya.


Kini, sekali lagi aku terasa seperti gelandangan dibumi bertuah. Aku hanya mahukan kerja dan pekerjaan bagi menyara hidup keluarga.


Aku bukannya memilih kerja. Tetapi biarlah munasabah. Lebih elok dan sesuai jika aku bekerja di - Klang, Shah Alam ataupun Pelabuhan Klang. Dekat dengan rumah dan boleh menjaga keluarga.


Untuk makluman. Aku berpengalaman selama 20 tahun dalam pelbagai sektor. 6 tahun bekerja di KTM sebagai Pegawai Trafik (mengendalikan kontena dan gerabak). 9 tahun di MISC (mengendalikan urusan kontena, kapal, gudang dan logistik) dan 3 tahun di sebuah syarikat perkapalan di Klang.


Tetapi demi 'sesuap nasi'. Aku bersedia untuk bekerja dimana - mana bahagian sekalipun.


Ada sesiapa yang sudi membantu ?


"Barangsiapa yang berusaha membantu saudaramu didunia, maka Allah akan membantumu didunia, dan barangsiapa yang berusaha mempermudahkan urusan saudaramu didunia, maka Allah akan mempermudahkan urusanmu didunia."


Monday, April 18, 2011

Berurusan Dengan 3 Etnik.

Restoran Mamak.
Restoran Cina Muslim.
Restoran Wak.


Setakat pengalaman yang terlalu sedikit. Baru bertatih. Aku dapati, berurusan dengan pemilik atau taukeh restoran Cina Muslim adalah paling mudah. Mereka mudah memberikan ruang untuk menjual produk. Senang berkira. Cepat berkomunikasi. Apatah lagi kalau berurusan dengan isteri taukeh.


Restoran mamak agak liat sewaktu hendak membayar. Pernah beberapa kali aku pergi untuk menghantar stok baru, taukeh pagi kata taukeh petang akan bayar, tapi bila aku pergi petang, dia kata taukeh pagi yang kena bayar. Dan setiap kali hendak menyerahkan wang, setiap kali itulah mereka akan kata produk lain jauh lebih murah.


Entah kenapa, dari maklumat beberapa rakan bisnes, aku dapati ada kebenarannya. Kalau boleh, jangan letak produk diwarung Wak. Apabila produk habis, dan kita akan letakkan yang baru, sewaktu hendak mengambil wang, mereka akan pertikai, jumlah produk yang diletakkan. Jadi, hasil dari tunjuk ajar rakan bisnes, aku tulis dan rekod semua maklumat didalam buku rekod, dan Wak mesti turunkan tandatangan.


Setakat ini, secara keseluruhannya aku tidak menghadapi masalah terlalu besar. Hanya memerlukan kesabaran untuk berurusan dengan 3 golongan ini.


Cuma aku akan lebih berhati - hati, jika ada panggilan dari kaum wanita Melayu. Jika mereka bertanya terlalu banyak, maka aku akan terus menghentikan perbualan dan menamatkan urusan. Kerana dari situ sudah terdedah, bahawa golongan ini agak menyombong dan teramat berkira !


Tetapi, jika wanita Cina yang membuat panggilan. Aku akan terus melayan. Kerana, dari pengalaman aku. Lebih banyak mereka bertanya, lebih mudah aku membuat jualan dalam kuantiti yang lebih banyak dan berupaya menjual dengan diskaun minima.


Berbeza bukan ? Maaf ya, ini pengalaman aku sahaja.

Friday, April 01, 2011

Kawasan Sempadan - Kes Khas !


Senyum. Salam. Selawat. Sedekah.


Seorang wanita berusia memujuk aku untuk menghantar produk kerumahnya. Malangnya, rumahnya tidak termasuk didalam kawasan penghantaran percuma. Namun, aku terima juga permintaannya. Memang agak jauh. Disebabkan pesanannya agak banyak aku terima juga.


Bila sampai sahaja ditempat yang dituju. Aku tersenyum sendirian. Rupanya, alamat rumahnya di Sungai Buluh, tetapi alamat jiran sebelah rumah ialah Shah Alam. Aku hanya mampu menggelengkan kepala.


Kira - kira ini adalah kes khas. Kawasan sempadan.


Wanita itu mempersilakan aku masuk kedalam rumahnya yang sederhana. Suaminya duduk diatas kerusi roda. Setelah memberi salam. Aku bertanya khabar dan menceritakan tentang khasiat produk.


15 minit berlalu. Aku dihidangkan dengan perahan air oren yang sungguh enak. Usai berjual beli. Wang yang diberikan oleh wanita itu tidak cukup. Lantas aku menghalalkan sahaja. "Tak mengapa kak, saya sedekahkan sahaja."


Si wanita dan suaminya hanya mampu tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Tidak jauh aku bergerak, tiba -tiba si wanita menghubungi aku semula. "Dik, akak nak minta tolong sangat - sangat, abang kandung akak nak beli HADI'S, tapi dia tinggal di PJ, adik boleh hantar ya?"


Tak sempat aku hendak menjawab - tak boleh. Tiba - tiba si wanita itu menjawab "Tapi, mereka hendak 1 KARTON!"


Aku terus membrek motorsikal aku !


Balasan Allah tidak lama. Aku hanya sedekahkan RM2.50 SAHAJA !

Wednesday, March 30, 2011

MOTO BISNES: PPH.


MOTO BARU.


Petikan dari tulisan di FB Abang Long:

Moto Baru bisnes aku: Penghantaran Percuma HADI'S (PPH). Orang yang berjaya ialah orang yang MENCIPTA PELUANG ! Belum ada orang yang membuat penghantaran produk kesihatan secara Percuma ! Aku menghantar produk HADI'S secara percuma sambil menyebarkan risalah dakwah. PERINGATAN: Penghantaran PERCUMA bagi kawasan Klang dan Shah Alam sahaja. :


Aku tertawa sendirian. Usai solat tahajjud. Tiba - tiba sahaja ilham itu datang. Kedengaran pelik. Tapi itulah hakikatnya. Ayatnya berbunyi: Penghantaran Percuma HADI'S (PPH). Sekali dengar seperti PPZ (Pusat Pungutan Zakat).


Bila aku selidik, setakat ini belum ada sesiapa mahupun organisasi yang membuat Sistem Penghantaran Percuma untuk produk kesihatan, apatah lagi penghantaran Air Zam Zam.


Produk kesihatan yang dimaksudkan ialah:

1 - HADI'S Nutri Meal.
2 - KOPI HADI'S (Ganoderma + Tongkat Ali / Ganoderma + Ginseng). (Kotak / Papan).
3 - Susu Kambing + Madu + Disyifakkan dengan 30 juz Al Quran.
4 - Air Zam Zam.


Adalah dimaklumkan bahawa KAWASAN Penghantaran Percuma ialah seperti dibawah sahaja:

1 - Klang.
2 - Pelabuhan Klang.
3 - Shah Alam (Seksyen 1 - 23 sahaja).


Syarat Penghantaran Percuma ialah: Pelanggan perlu membeli 2 (DUA) produk / mana - mana produk. 2 kotak. Itu sahaja.

Aku telah melaksanakan PPH ini selama seminggu. Baru diperingkat permulaan. Diharap mendapat sokongan dari saudara muslim.

Thursday, March 24, 2011

KARENAH PELANGGAN

Geram. Malu. Ketawa. Serba Salah.

Sketsa Pertama:

Aku dimalukan. Terasa diri ini dihina begitu teruk sekali ! Sewaktu menyerahkan sekotak HADI'S kepada seorang kaya. Memang kaya. Rumah banglo tersergam indah. Ada kereta mewah. Tetapi pemilik rumah tiada akhlak.


Aku ditengking. "Mahal nak mampus!"


Aku terus mengambil semula produk HADI'S dan terus keluar dari banglo itu. Walaupun cuba dipujuk oleh anak dan isteri pemilik banglo itu. Namun, aku juga punya maruah !



Sketsa Kedua:


Seorang pemuda rock (rock kapak) masuk kedalam kedai. Bertubuh kurus melidi. Rambut kusut masai berserabai. Hendak membeli air zam zam. "Bro, lu ada jual air zam zam ka ? Gua mau beli untuk nenek gua, dia kena strok, berapa harga sebotol?" Aku melayan pemuda itu dengan santun. Sewaktu hendak memulangkan wang lebihan. Pemuda itu berkata "Tak apa, gua sedekah." Aku tersenyum. :)



Sketsa Ketiga:


Seorang wanita masuk kedalam kedai. Aku sedikit cuak. Namun aku menyapanya dengan sopan. "Ya, Cik nak apa?" Aku memulakan sapaan dengan hormat. Wanita itu berhajat untuk membeli beberapa kotak HADI'S, dan Susu Kambing Madu.


Semua produk yang hendak dibelinya ditunjukkan dengan isyarat tangan. Aku sangka bisu. Rupanya wanita itu tidak tahu berbahasa Melayu. Cuma boleh berbahasa Inggeris. Datang dari Kemboja.


Wajahnya seperti orang Cina. Pakaiannya begitu seksi. Baju ketat. Skirt singkat. Sungguh singkat ! Tubuhnya gebu.


Aku melayannya segera mungkin. Telah masuk waktu Zohor bagi kawasan Shah Alam dan kawasan yang sewaktu dengannya. :)