Tuesday, July 26, 2011

Izinkan Aku Melihat Kehidupan Yang Bersinar.


SINAR ZAMDURRANI.


Kali ini aku tidak mahu menunggu lagi. Setelah aku menerima kesan yang terlalu buruk dalam sejarah kehidupan menjadi kelam dan hitam pekat. Sesungguhnya kesabaran aku telah hilang. Atas nasihat dari ramai ahli keluarga dan sahabat handai, dan hasil dari muhasabah serta pengalaman sendiri. Maka aku mengambil sikap - MENANG JADI ARANG, KALAH JADI ABU !


Seorang sahabat lama telah memberikan perangsang, beliau telah menaja pemergianku ke Sinar Zamdurrani untuk berubat. Sebelum aku pergi, aku telah meletakkan syarat yang agak ketat.


Aku tidak mahu disebabkan hendak 'menghalau' hantu jin jembalang iblis atau syaitan, maka tubuhku 'digodam' semahu - mahunya. Konon untuk menghalau iblis dan syaitan laknatullah dari tubuh manusia maka digunakan - biji lada hitam, kayu jati atau duri landak dan seumpamanya, kononnya dengan 'urutan' itu akan berjaya 'menangkap' segala perkara tidak baik dalam tubuh. Hakikatnya 'urutan' itu lebih menyakitkan lagi orang yang telahpun menderita kesakitan !


Alhamdulillah, perubatan di Sinar Zamdurrani dibawah kelolan Ustaz Syarhan menggunakan teknik perubatan Islam yang sungguh lembut.


Aku datang bersama anak - anak dan isteri, seawal selepas subuh aku telah bergerak ke USJ21/11. Dan alhamdulillah, kami tiba diwaktu orang belum begitu ramai. Itupun nombor aku ialah 65.


Disitulah aku melihat pelbagai ragam dan penyakit yang menimpa manusia. Diantara semua pesakit yang aku dapat rasakan paling menyedihkan ialah bilamana aku berkesempatan berbual dengan seorang gadis lulusan ITM. Beliau mendapat 'saka' secara paksa dari ibu kandungnya sendiri. Dan dek kerana saka itulah kehidupan gadis ini tidak seperti manusia lain. Sepanjang hayatnya sentiasa ditimpa musibah. Dan si ibu seperti tidak 'merestui' anak kandungnya sendiri. Sungguh sadis !


Terjadi perbualan spontan dikalangan pesakit dan keluarga mereka. Namun, paling aku tidak dapat lupakan bilamana seorang Datuk (aku tahu sebab diiringi oleh beberapa orang pengawal peribadi yang memanggilnya begitu, namanya biarlah rahsia).


Beliau berkisah bagaimana kehidupannya dipenuhi ranjau dan ujian. Sebelum kini mengecapi kejayaan dan kenikmatan didunia. Namun, entah seperti kebiasaan atau tidak. Golongan Datuk - datuk ini ada ketikanya begitu berbangga dengan pencapaian mereka dan agak meninggi diri. Ada ketikanya kata - kata mereka ini agak menyinggung perasaan. Maaf aku tidak menuduh kesemuanya.


Tiba tiba Datuk K bertanya kepadaku:


Datuk K: "You sakit apa?"
Aku: "Macam - macam Datuk, saya pun dah pening dah, sakit pun ya, tak dapat kerja pun ya."
Datuk K: "Sakit macam mana tu ..."
Aku: "Antara sakitnya, saya sukar untuk bernafas, tapi bila diperiksa dan didiagnos, doktor kata tak ada sakit apapun."
Datuk K: "Hmmm ... pelik tu, rasanya you salah makan atau you banyak buat dosa tak?" (aku memang tidak suka dengan cara manusia bercakap dengan cara ini!)
Aku: "Entahlah." (aku sudah malas hendak melayan soalan)
Datuk K: "Habis tu, hari ini bila you sakit, you tak kerjalah?"
Aku: "Sebenarnya, sudah 3 tahun saya tak kerja, ini pun satu masalah juga, pergi interview, satupun tak dapat."
Datuk K: "You tak boleh putus asa, you kena usaha kuat, kalau satakat interview 1 atau 2 tempat you dah mengalah, you sebenarnya belum berusaha lagi ... I dulu, sampai 14 tempat pergi interview, but it's long time ago laaa .... hahaha ..."

Tiba - tiba seorang pemuda mencelah secara spontan dalam perbualan kami:


Pemuda: "Hari ini pun saya datang nak dapatkan doa, sebab dah pergi 30 tempat untuk temuduga, tapi semuanya gagal ... saudara dah pergi berapa banyak tempat?"

Aku: "Lebih 120 tempat, tidak termasuk warung mamak, kedai loteri, restoran Cina, kelab malam, saya boleh tunjukkan dokumen lengkap, sebab saya bawa kemana - mana saya pergi."

Semua orang terkejut dan memandang kearah aku dengan pelbagai persoalan bermain difikiran mereka.


Dan paling mengesankan, semua orang langsung tidak berbual lagi, termasuklah Datuk K yang begitu hebat bercerita dan berkisah.


Hampir jam 1.45 petang, barulah aku masuk kedalam bilik rawatan. Satu sessi dijalankan keatas 15 orang pesakit sekaligus. Kebetulan, aku diarahkan untuk duduk diatas kerusi berhadapan Ustaz Syarhan sendiri, jadi aku dapat mendengar butir percakapannya dengan jelas.


Pelbagai barangan yang perlu digunakan oleh pesakit. Dan setiap satunya ada fungsi tertentu yang perlu dibuat pada waktu - waktu tertentu. Air zam - zam, air doa, limau kasturi, limau purut, daun pandan, madu lebah herba buah kokka, ruqiah minyak kelapa dara dan seketul kayu.


Kos rawatan dan bahan - bahannya ialah sebanyak RM310.


'Aku sakit, dan DIA yang menyembuhkan.'

1 comment:

Naqhuhines said...

Assalamualaikum.
ujian kesabaran sedang berlaku. insyaAllah akan berakhir. InsyaAllah akan berakhir. InsyaAllah akan berakhir.