Sebagai memenuhi permintaan dari beberapa orang sahabat, maka aku cuba untuk "refresh" kembali akan memoriku bersama KTM, yang boleh dianggap sambungan kepada entri terdahulu, ya, ada yang sanggup berkongsi pengalaman mereka, kerana sebagai pengguna ataupun penumpang keretapi, sememangnya, pengangkutan ini sendiri adalah nostalgia.
Sepanjang rangkaian atau laluan perjalanan dari selatan tanahair iaitu bermula dari Stsen Johor Bahru hinggalah ke utara, iaitu Stesen Padang Besar, ada beberapa Stesen yang begitu menggamit memoriku, Stesen Keretapi Tanjung Pagar (terletak didalam negara Singapura), mempunyai rakaman sejarah yang tersendiri bagiku, kerana itulah Stesen keretapi pertama yang aku kenali.Bergerak sahaja keretapi dari Stesen Tanjung Pagar, maka ia akan melalui Woodland, disitu ia akan merentasi Tambak Johor, merentasi dua buah negara berjiran, merentasi Selat Tebrau, dan akan berhenti di Stesen Johor Bahru, inilah Stesen pertama dari arah selatan tanahair, setiap keretapi akan berhenti dalam tempoh antara 1 hingga 5 minit.
Stesen Gemas, Seremban, Negri Sembilan, juga ada identiti tersendiri, dimana, kita akan segera mendengar pertuturan menggunakan bahasa MINANGKABAU, terasa betapa rencamnya bahasa dan budaya kita di Malaysia, di Stesen ini juga keretapi akan berhenti dalam jarak waktu yang agak lama, selain dari itu, penumpang akan segera turun, untuk membeli makanan dan minuman, yang tidak dapat dilupakan ialah, minuman panas akan dijual didalam tin (tin susu pekat, tanpa mengira jenama), dimana tin itu pula akan diikat dengan tali plastik (tali rafia), cara buatan, atau bancuhan airnya tetap sama, tetapi bagi mereka yang pernah minum menggunakan tin ini, atau cara sebegini, akan terasa sesuatu yang berlainan, dari minum menggunakan bekas plastik, terasa ada "umpphhhh ... atau ada ""kick"nya.
Naik lagi ke arah utara, maka kita akan bertemu dengan Stesen Tapah Road, inilah stesen yang paling ditunggu - tunggu oleh penumpang, kenapa ?.Sebab, di Stsesen ini ada tarikan tersendiri, dimana sepanjang puluhan koc atau gerabak keretapi, maka peniaga akan berjualan, makanan dan minuman. Makanannya memang terasa masih panas dan segar, tapi cuma ada nasi lemak, beehon goreng, mee goreng dan karipap "bom" (harganya tiga seringgit), memang besar bentuk karipapnya itu, tapi bila dikunyah, baru tahu, berapa banyak kuantiti "isinya" ... ramai yang terkena, termasuklah diri aku, tetapi setiap kali keretapi berhenti, aku tetap membelinya ... sukar untukku menjawab kenapa .....
Suasana berjual - beli memang terasa meriahnya, penumpang cuma perlu sediakan wang RM1.00, tak kira berapa banyaknya, kerana setiap makanan dan minuman dijual dengan harga yang sama, riuh - rendah juga, kerana, penjual akan memekik, sambil memaklumkan barangan yang dijual .... "mee, bee hoon, nasi lemak, karipap".... dan itulah perkataan yang diulang - ulang.Dalam tempoh keretapi berhenti itulah, maka kita boleh membeli makanan dan minuman "dari bawah" (platform), ada juga gelagat penumpang yang mengundang gelak ketawa, dimana sewaktu penumpang sedang mengira wang, tiba - tiba injin atau lokomotif membunyikan hon, cukup kuat bunyinya, bergema dan bersiponggang seantero Stesen, menandakan yang keretapi akan bergerak, maka terjadilah adengan gopoh dan kocoh, kerana ada juga yang terjatuh wang kebawah, tapi masih berani lompat dan turun kebawah, untuk mengambilnya semula, kemudian seperti lagak "stuntman", lompat naik semula keatas koc.
Satu pemandangan yang tidak akan dapat dielakkan oleh penumpang adalah, bila mana ada seorang "Pakcik" yang akan "berniaga" diatas Keretapi, sewaktu peniaga - peniaga lain berebut pelanggan, Pakcik yang seorang ini, dengan bersahaja akan naik keatas keretapi dan berniaga, tanpa sebarang gangguan, terlalu banyak maklumat yang saya perolehi tentang Pakcik ini, namun saya tidak akan siarkan dalam entri ini, kerana bagi saya, beliau juga merupakan sebahagian sejarah KTM itu sendiri, dan diatas keretapilah beliau mencari rezki untuk keluarga, namun selain dari kegigihannya itu, seperkara yang saya pasti semua penumpang setia keretapi tidak akan lupakan ialah, dimana Pakcik ini akan sentiasa berpantun, sepanjang gerabak dimana beliau akan berjualan, dan pantun yang dilafazkan itu adalah berlainan, dan "aktiviti" ini dijalankan selama 20 tahun.
Stesen seterusnya adalah Stesen Tanjung Malim, dimana stesen ini menyimpan pelbagai nostalgia, dek kerana ramainya "bakal - bakal guru" akan naik ataupun turun bila semesta baru bermula ataupun berakhir, ia ... inilah Stesen yang terdekat dengan Universiti Perguruan Sultan Idris, malah ramai juga rakan - rakanku yang bertemu jodoh, bermula dari Stesen ini, maklumlah bila "terjumpa" bakal - bakal guru yang masih muda .... "cun pulak", maka bermulalah episod tanya "sekarang pukul berapa dik"? ....
Stesen Besar Ipoh, tidak ketinggalan dalam episod memori ini, kerana di Stesen inilah aku dapat berehat @ tidur, sewaktu aku bertugas sebagai Pembantu Trafik, diatas keretapi penumpang, memang terasa keletihan bila terpaksa melayan ragam dan karenah penumpang yang pelbagai, manakan tidak, kalau penumpang lelaki tidak bayar tambang, satu hal juga, aku memang boleh tunjuk ketegasanku, tapi kalau penumpang itu gadis, kecil molek, cun lagi ... serba - salah juga dibuatnya ... bukan sebab aku "tewas" dengan perasaanku, tapi aku takut "si gadis akan menitiskan air mata" sebab "kesalahan yang dilakukan" ...
Stesen Tanjung Rambutan, bila disebut sahaja, ramai yang akan tersenyum, ya ... ada makna tu ..., sebenarnya Stesen ini tidaklah mempunyai sebarang kenangan, cuma mungkin disebabkan nama Tanjung Rambutan (Stesen ini memang berada berhampiran dengan Hospital Sakit Jiwa), oleh itu, ada penumpang yang akan turun di Stesen ini, akan sedari awal lagi, berdiri didepan pintu, semata - mata untuk turun, bila sahaja keretapi tiba di Stesen ini, apa tujuannya ... jawablah sendiri.
Stesen Keretapi Taiping, inilah stesen yang paling banyak melakar sejarah dalam industri perhubungan negara, sejarah dalam perhubungan sosial, ekonomi dan politik negara, dan paling asas adalah, inilah Stesen Pertama dalam sejarah Malaya, Stesen antara Taiping dan Port Weld (Kuala Sepetang), dan paling menarik dalam keseluruhan cerita dan sejarah ini adalah, Stesen Keretapi Taiping adalah terletaknya perhentian rasmi buat diriku, inilah Stesen Kampongku.
IsyaAllah, selepas ini, aku akan memasukkan entri tentang Kapal Kontena, sebagai memenuhi permintaan dari pengunjug Blog ini.