Saturday, June 30, 2007

terus berbincang ...

Sebagaimana yang sudah dijanjikan. Maka, pada 29hb Jun yang lalu. Sebaik sahaja habis waktu kerja, aku terus bergegas ke stesen komuter. Untuk menemui beberapa orang sahabat bloggers di Subang Jaya. Pertemuan yang telah diatur sejak beberapa minggu lalu.

Aku tiba di Stesen Subang Jaya pada pukul 6.45, ini bermakna aku masih punya masa selama 15 minit lagi untuk mengadakan pertemuan bersejarah yang akan dilangsungkan di Carrefour, yang terletak bersebelahan dengan stesen komuter Subang Jaya.


Sambil berjalan ke Carrefour, yang begitu sesak dengan kenderaan bertali arus, aku mendapat sms dan panggilan telefon dari teman - teman bloggers. Ada yang sudah tiba, dan ada yang masih dalam perjalanan.


Tiba sahaja dikawasan food court, Puan Salmah (datang dari Singapura), telahpun menunggu dengan anak dan pembantu rumahnya. Kami terus bertegur sapa, dan memesan air untuk menghilangkan dahaga. Tidak lama kemudian Saudara Budi dan Kak Ros tiba, diikuti dengan kehadiran saudara mersik. Kemudian Puan Zarina tiba diikuti dengan Cik Violet.


Kami terus sahaja berbual mesra, sambil menceritakan agenda yang akan kami lakukan tidak lama lagi. Akhirnya saudara Zaifulnizam tiba, agak lewat sedikit, kerana menyediakan kertas kerja untuk dibincangkan bersama.


Perbincangan yang diadakan begitu menampakkan kematangan. Dimana kali ini, aku dapat melihat adanya usaha yang bersungguh - sungguh untuk melaksanakan agenda yang telah dipersetujui bersama.


Setiap orang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang jitu. Pelbagai perkara dibincangkan dengan begitu teliti. Setiap aspek dibincangkan dan diambil kira, untuk menjayakan program tersebut. Dan Alhamdulillah, setiap orang telah mengetahui skop tugasan masing - masing.


Sambil berbincang, walaupun dalam suasana yang ada ketikanya kelihatan begitu serius, namun setiap orang masih mampu untuk bergembira dan melontarkan segala idea yang baik. Dan satu perkara yang agak menarik, dimana, idea yang aku telah perkenalkan setahun yang lalu, kini menjadi "tradisi" pula. Dimana, setiap orang yang hadir, adalah digalakkan membawa "kudap - kudapan, gula - gula atau apa sahaja manisan" untuk diagih - agihkan dalam setiap pertemuan. Tidak perlu makanan atau manisan yang mahal, memadai dengan sesuatu yang murah, tapi biarlah tidak menyusahkan dan biarlah boleh membawa "kemanisan" dalam pertemuan.


Pertemuan kami berakhir pada jam 10 malam, dengan masing - masing berasa gembira dan teruja. Untuk sama - sama menjayakan program yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi. InsyaAllah.

No comments: