Friday, June 29, 2007

TERIMA KASIH BUAT PAK LATIP

Syukur Alhamdulillah, setelah agak lama novel ini berada dipasaran, akhirnya aku berjaya juga mendapatkannya.

Sewaktu Pesta Buku tempohari, aku tidak dapat membelinya. Maklumlah wang yang aku kumpul selama setahun (untuk memborong buku dengan harga diskaun), telahpun habis. Diwaktu itu aku hanya berjalan – jalan diruang niaga (booth) PTS. Hajat dihati hanya untuk bertemu dengan Puan Zalisa (yang aku kenali di alam blogger).

Namun kuasa tuhan, aku diperkenalkan pula dengan Puan Ez, Puan Saridah dan Pak Latip Talib. Diwaktu itulah aku ditunjukkan dengan buku atau novel pejuang Islam, hasil karya Pak Latip. Namun diwaktu itu, aku tidak mampu memilikinya atau membelinya, kerana poket aku telah kempis (yang betulnya kosong). Wang yang ada hanyalah cukup untuk tambang aku dan keluarga untuk pulang ke rumah.

Aku begitu tertarik dengan novel tersebut, tapi apakan daya, hanya tuhan yang maha mengetahui. Namun aku tetap menyimpan hasrat untuk mendapatkannya. Aku pula bukanlah terdiri dari golongan orang yang berada, pendapatan aku sememangnya “cukup – cukup makan” . Namun, aku tetap berusaha untuk memberikan ilmu dan segala yang termampu untuk keluargaku, khususnya buat anak –anak.

Walaupun gaji aku tidak banyak, dan hanya cukup – cukup makan, namun aku tetap, membelanjakan sebanyak RM 30, sebulan untuk membeli buku, khususnya untuk anak – anak, kerana aku yakin itulah pelaburan jangka panjang yang menguntungkan. Namun dalam masa yang sama aku terpaksa berdikit – dikit dalam berbelanja.

Yang pasti, sering sahaja aku perlu berpuasa, demi untuk mencukupkan keperluan anak – anak.

Usai pertemuan di Pesta Buku, aku sering mengirimkan emel kepada novelis yang aku kenali, dan tidak lupa juga bertanya khabar kepada Pak Latip. Dari sehari – ke sehari perhubungan kami semakin akrab, hinggalah kami membahasakan diri dengan panggilan – Adinda dan Kekanda.


Hinggalah satu hari, anak ku yang sulung – Muhammad Fakhrurrazi, yang belajar di sekolah menengah, bertanyakan “abah dah dapat gaji ke belum ?” (ini adalah soalan lumrah, apabila mereka mahu membeli sesuatu, kerana mereka faham ayah mereka bukan orang kaya dan sentiasa berduit), lalu aku bertanya “kenapa ?”.


Lalu dia menjawab “kawan abang (dia membahasakan dirinya begitu), dah baca novel, Khalid – Pejuang Islam, diaorang kata best, abang pun dah baca sikit, abang ingat nak suruh abah belikan”, Aku terkesima sebentar, maklumlah soalan itu diajukan dihujung bulan.

“Nanti bila abah dapat gaji, abah belikan ya ?” aku memujuk anak ku, dan dia hanya mengangguk sahaja.


Lalu, dalam beberapa kali aku ke Kuala Lumpur atas urusan kerja, aku telah pergi ke Kinokuniya, MPH dan beberapa lagi kedai buku, namun aku hampa. Semuanya kata “tiada dalam stok” ataupun “sudah habis”. Apa lagi cara dan upaya aku, untuk memenuhi permintaan anak ku itu.

Akhirnya, aku mendapat ilham. Dimana aku mengirimkan emel kepada Kekanda Abdul Latip, bertanyakan sama ada, beliau ada menyimpan novel tersebut. Seandainya ada, maka aku akan membeli terus darinya. Itupun kalau ada stok yang berbaki.

Akhirnya aku mendapat jawapan dari Kekanda Abdul Latip, menyatakan bahawa beliau masih ada menyimpan novel tersebut. Setelah berutus emel, akhirnya, atas daya usaha Kekanda Abdul Latip, aku berjaya juga mendapatkannya.

Sewaktu aku memesan novel tersebut. Perkara ini tidak dimaklumkan kepada sesiapapun, hatta kepada isteriku sendiri (sengaja nak buat kejutan). Selepas aku makan tengahari, dipejabat, aku mendapat panggilan dari isteriku. “Abang ada beli novel ke?” soal isteriku, Dalam nada kegembiraan. “Ya”, jawabku ringkas.

Terdengar keriuhan didalam telefon bimbit, rupa – rupanya, anak – anakku begitu gembira dan teruja dengan novel yang baru diterima melalui pos. Dan paling menggembirakan, apabila setiap novel ada tandatangan dari penulis novel itu dan titipan kata – kata buat isteri dan anak – anakku, dan setiap novel ada nama mereka.

Buat Kekanda Abdul Latip.

Adinda, isteri dan anak – anak mengucapkan TERIMA KASIH yang tidak terhingga, atas segala – galanya. HANYA ALLAH SAHAJA yang mengetahuinya.


Disertai do'a kehadrat Illahi "Ya Allah, yang Maha Memperkenankan Do'a, aku memohon kepada MU ya Allah, supaya, DIKAU pajangkan usia, murahkan rezeki, sihatkan lah tubuh badan, jauhkan dari sebarang musibah, kukuhkanlahiman, buat insan yang amat kami hormati dan sayangi, seorang insan yang telah memberikan ilmunya dan yang telah mencurahkan baktinya kepada kami sekeluarga, sesungguhnya ya Allah, kami tidak akan mampu membalas jasa baik yang telah beliau berikan kepada kami sekeluarga, dan hanya kepada MU, ya Allah yang kami sembah, kami bermohon supaya hanya ENGKAU sahaja yang mampu membalasnya, AMIN".


# Maaf, kerana tidak dapat memaparkan gambar foto, aksi anak – anak yang terlalu gembira dan teruja apabila memiliki novel – novel Pahlawan Islam, disebabkan aku sendiri tidak mampu memiliki kamera digital.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamu'alaikum Kekanda Long :-) Apa khabar? Adinda suka dengan entri ini. Kekanda sekeluarga pun baca novel ayah ya? Tahniah dan terima kasih. Kita bersama-samalah menyokong perjuangan ayah di medan penulisan ya.

Salam buat isteri dan anak-anak...

Latiptalib said...

Assalamualaikum adinda Feroz sekeluarga semoga sihat dan bahagia.

Gembira rasa di hati kerana anak-anak adinda suka membaca novel-novel pahlawan Islam itu.

Semoga bermanfaat.