Tuesday, February 23, 2010

Pantai Cherating.


Pantai Cherating.


Aku menghirup udara panas pantai Cherating, Pahang. Kenapa udara panas ? Kerana memang hari itu panas, dan udara yang bertiup terasa habanya. Namun, aku tetap bersenang dan bersantai di pantai itu.


Aku berjalan sambil sengaja membenamkan kaki kedalam pasir sepanjang pantai. Sambil berjalan, aku melihat suasana sekeliling yang benar - benar mendamaikan. Memang mendamaikan bagi seorang yang telah begitu lama terperuk didalam rumah.


Namun, seperti biasa, ditepian pantai. Satu perkara yang tidak mampu dan tidak boleh malah tidak berupaya dielakkan ialah melihat gadis, perempuan dan wanita yang memakai bikini, malah ada yang berani memakai pakaian yang hampir - hampir kelihatan mendedahkan seluruh bentuk tubuh.


Ini baru Cherating ! Bisik hati aku.


Tiba - tiba sahaja aku terfikir. Bagaimana kalau dijalankan program rehlah. Dimana, orang ramai dijemput untuk menghadiri program - IBADAH, UKHUWAH & SANTAI CERIA bersama keluarga di kawasan pantai.


Orang ramai bersolat beramai - ramai, berzikir dan alunan zikir itu beralun dan bergabung dengan suara ombak yang memecah pantai. Selepas itu diadakan acara sukan ala - ala 'telematch.' Makan beramai - ramai untuk mengeratkan ukhuwah dikalangan sesama kaum muslimin.


Aku suarakan idea ini kepada seorang sahabat. Lalu dia ketawa terbahak - bahak. "Cuba engkau bayangkan, sewaktu kita sedang bersolat, tiba - tiba seorang wanita berbikini memegang kamera dan merakamkan gambar kita ... hahaha."


Lalu dia bertanya soalan paling 'ganas' kepada aku.


"Waktu itu, apa engkau 'rasa' ?"


Aku hanya mampu tersenyum.

Wednesday, February 17, 2010

Akibat terlupa tanggal ...


Jemaah menjadi penonton.


Apa nak buat. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Perkaranya kecil sahaja. Tetapi menjadi perhatian manusia.


Aku bersolat dalam keadaan kedua belah tangan sedang memakai sarung tangan.


Kejadian berlaku tanpa aku sedari. Sudah beberapa hari, aku memandu dengan memakai sarung tangan putih. Aku rasa selesa menggunakan sarung tangan tersebut. Kalau hari panas, maka aku tidak terasa kepanasan stereng kereta. Dan, kalau hari hujan ditambah dengan kesejukan alat penghawa dingin, maka jari - jemari aku tidak sejuk ataupun kecut. Memang selesa.


Dan, sewaktu mengangkat barang - barang keluar dari kereta. Maka, sarung tangan itu juga digunakan. Jadi, mudah bicara, tangan aku tidak kotor.


Tetapi, semalam, aku terleka. Sewaktu aku keluar dari kereta. Aku melihat jemaah sedang berada dalam keadaan duduk tahiyyat akhir. Jadi, dalam keadaan tergesa - gesa, aku terus masuk kedalam surau dan terus mengangkat takbir untuk masuk kedalam solat berjemaah.


Usai bertakbir, aku terus duduk mengikut imam. Diwaktu itu, baru aku tersedar, aku masih memakai sarung tangan. Hendak buat macam mana. Aku terus bersolat. Tetapi, aku seperti tidak berapa khusyuk, kerana aku terlihat kelibat jemaah dihadapan aku yang memerhatikan aku.


Mungkin, pelbagai perkara dan pelbagai persoalan bermain di kotak fikiran mereka.


Usai solat dan memberi salam. Tanpa berlengah, aku terus sahaja menanggalkan sarung tangan dengan bersahaja.


Apa yang penting. Solat tidak batal. Namun, selepas itu, aku hanya mampu tersenyum sendirian mengenangkan akibat 'terlupa.'

Thursday, February 04, 2010

MEMBELI sambil MENDERMA.


ROTI dan AIR PENAWAR.


Ini memang promosi. Jika anda menetap di sekitar kawasan Klang, Shah Alam, Pelabuhan Klang. Dan ingin mencuba untuk merasai roti yang dibuat sendiri, sila berhubung dengan Abang Long.


Roti yang dibuat memang agak besar jika dibandingkan dengan roti jenama lain dipasaran. Harganya murah. Cuma RM2.50 sebuku / sebiji. Dibuat dalam tiga perasa iaitu:


1 - Roti berinti kacang.

2 - Roti pandan berkismis.

3 - Roti berperisa keju.


Penghantaran akan dibuat dalam kuantiti yang besar, berdasarkan kepada permintaan. Khususnya oleh syarikat - syarikat yang hendak mengadakan sebarang majlis.


Manakala AIR PENAWAR pula adalah air campuran zam - zam dan air GAU. Dibacakan bacaan 30 juzuk Al Quran dan doa syifa'. Harganya adalah sebanyak RM 10.00 sebotol.


Wednesday, February 03, 2010

SOALAN TANPA SUARA.


Cantik sungguh cantik tapi mendebarkan.


Seorang gadis yang berusia dalam lingkungan usia 30'an. Datang kearahku dengan perlahan dan penuh sopan. Wajahnya sungguh cantik. Comel. Kulit putih kemerahan, mata bulat, kening hitam tebal, hidung agak mancung. Memakai jubah dan bertudung labuh.

Yang pasti jantung aku sedikit berdebar bila berhadapan dengan si gadis itu. Walaupun tugasan aku memang berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat.


Lalu si gadis itu menghulurkan sekeping kertas kecil. Dan memberikan isyarat supaya kertas itu diberikan kepada ustaz yang sedang mengajar. Aku faham dengan permintaan itu, dan aku menganggukkan kepala.


Tiba - tiba sahaja lidah aku gatal untuk bertanya. "Cik, ini sahaja?" Aku bertanya dengan senyuman. Lalu soalan aku dibalas dengan bahasa isyarat. Rupa - rupanya si gadis itu seorang yang bisu dan pekak.


Oh ... kasihannya.


Setibanya aku dirumah. Aku lalu menceritakan pengalaman aku. Dan isteri aku hanya tertawa. Yang pasti aku tidak tahu kenapa isteri aku ketawa.


# Hendak tahu apa soalan yang diberikan oleh gadis itu ? Tunggu entri akan datang. Memang menarik.

Tuesday, February 02, 2010

Ekspedisi Dakwah & Tarbiyyah di JANDA BAIK.

Janda Baik.


Kawasan sekitarnya memang terasa begitu nyaman. Itulah Al Sakinah. Sebuah penempatan buat pelancong. Untuk pergi menginap disitu, kita akan berjalan diatas jampatan kecil yang tergantung.


Air sungai yang begitu deras mengalir, menyebabkan terasa sedikit gementar tika melaluinya, apatah lagi dengan jambatan gantung yang bergoyang.


2 hari berada disitu untuk ekspedisi dakwah dan tarbiyyah, benar - benar meninggalkan kesan mendalam buat diriku, begitu juga buat para peserta lain.

Selama ini aku hanya mendengar cerita tentang Janda Baik. Kini akhirnya aku berjaya menjejakkan kaki kesini. Dan jadual serta tugasan yang agak bebas dan santai memudahkan pergerakan aku.


Paling terasa bila seluruh penghuni, pelancong dan peserta dibangunkan ditengah malam untuk melakukan tahajjud, berzikir dan bermunajat diiringi alunan deras air sungai yang mengalir. Terasa begitu tenang dan syahdu. Hingga menyebabkan ramai peserta mengalirkan air mata keinsafan yang teramat sangat.




# Al Sakinah. Gambar menunjukkan sebuah bangunan tempat melakukan solat. Bangunan terbuka. Dihadapan bangunan ini mengalir air sungai yang deras. Dan chalet terletak dibahagian belakang.

Monday, February 01, 2010

CUBAAN ... ! Tidak ? Ini betul - betul !!



Syaitan atas kepala Ustaz.


Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Sedang aku nyenyak tidur. Tiba - tiba pintu bilik aku diketuk bertalu - talu. Aku lalu menjenguk melalui lubang pintu. Terlihat seorang lelaki yang dalam kecemasan.


Lantas pintu dibuka. Seorang lelaki memberi salam lalu aku menjawab salam itu dengan nada perlahan. "Ustaz ada?" Soal lelaki itu dengan nada penuh mengharap. Aku menganggukkan kepala. Aku lantas meminta lelaki itu menunggu sebentar supaya aku dapat menggerakkan ustaz terlebih dahulu.


Bila ustaz sudah terjaga. Aku lalu menerangkan apa yang berlaku. Dan ustaz mengizinkan lelaki itu masuk bersama seorang gadis dalam usia 20'an.


Sebaik sahaja gadis itu melihat ustaz, tiba - tiba sahaja dia meraung sekuat hati dan menjerit "atas kepala dia atas setan ..." nada suara gadis itu begitu menyeramkan. Namun aku melihat, ustaz hanya tersenyum.


Yang pasti, aku memang terasa hendak terkencing yang teramat sangat.


# Ini bukan cubaan ... ini betul - betul !

Saturday, January 16, 2010

Permintaan aneh.


Ais krim 'taufan' ganti milo ais 'tabur'.


Sewaktu sedang asyik memandu di Lebuhraya Persekutuan. Jam ditangan menunjukkan pukul 11.40 malam. Tiba - tiba sahaja ustaz yang sedang ber-sms disebelah aku berkata "Belikan ana ais krim satu."


Aku terdiam, dan lantas menoleh kearahnya. Sambil merenung wajahnya dalam suasana suram. Tiba - tiba ustaz bertanya lagi "eh, kenapa pandang wajah ana macam tu?"


Lalu aku bersuara "Kan kita dilebuhraya, tengah malam pula, mana ada kedai jual ais krim ...?"


Lalu ustaz terus berkata "Ana tahulah kita dilebuhraya ... tapi, bila berhenti sebentar lagi, kita singgahlah dimana - mana kedai untuk membeli ais krim ... pelikkah permintaan ini?"

Aku tidak berkata tetapi terus tertawa mengenangkan permintaan sebegitu.


Selalunya setiap kali singgah dimana - mana, hanya satu permintaannya iaitu Milo Ais 'Tabur'. Tetapi kali ini bertukar kepada Ais Krim 'Taufan.'


Bagaimana rupanya Ais Krim 'Taufan' ?


Ianya adalah ais krim 'calit' atau ais krim ceduk atau 'scoop' yang ditabur kacang hancur diatasnya. Memang sedap ! Cubalah.

Wednesday, January 06, 2010

SUMPAHAN berakhir ?

Tajuk ganas !


Ya. 2008 & 2009. 2 tahun aku dan keluarga menanggung azab, seksa dan sengsara. Pelbagai ujian dan musibah datang bersilih ganti. Hingga aku merasakan bahawa sudah tidak ada lagi manusia atau insan yang beragama Islam yang sudi membantu. Inilah hakikatnya.


Hingga ada yang mengeluarkan kata - kata kecaman dan nista. Seolah - olah aku seorang yang PEMALAS, DUDUK BERPELUK TUBUH dan sebagainya.


Dan begitu juga, hingga ke peringkat aku merasakan untuk menjadikan blog ini sebagai HAK EKSKLUSIF dan hanya boleh dibaca oleh orang yang memahami penderitaan aku sahaja.


Tidak ada kisah yang menggembirakan. Hanya kisah sedih dan rintihan. Tetapi, itulah hakikat kehidupan aku selama tempoh 2 tahun itu.


Satu ketika, aku hampir percaya yang aku sudah terkena SUMPAHAN ! Manakan tidak, aku telah menghadiri sessi temuduga dihampir 200 tempat, dan semuanya tidak berjaya. Dan dalam waktu yang sama, aku menanggung sakit yang tidak dapat dikenal pasti. Begitu juga dengan pelbagai bisnes yang aku jalankan, semuanya bangkrap.


Kerja aku kini bukannya bergaji banyak. Hanya 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tetapi cukuplah, dari langsung tiada.


Kepada kaum muslimin. Sentiasalah beringat diwaktu senang. Renungkanlah kehidupan selepas mati. Renungkanlah, apakah nasib kita diakhirat kelak. Jangan jadi seperti seorang muslim yang merasa begitu kecewa apabila masuk kedalam syurga tingkatan ke tujuh. Bila dia melihat nikmat syurga ditingkat ke 6.

Friday, January 01, 2010

1431 ... Langit masih gelap.

Terlebih ucapan.


Sudah lumrah. Kita sebagai umat Islam sudah terlebih dan teruja untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Masehi, berbanding mengucapkan Selamat Tahun Baru Islam.


Apapun yang berlaku. Nombor atau angka sudahpun berubah.


1430 sudah menjadi 1431 (tanpa sedar).
2009 sudah menjadi 2010 (disambut hingga tidak sedar diri).


Alhamdulillah, ayah sudahpun dibawa keluar dari wad. Cuma kakinya perlukan rawatan rapi.


Aku tidak mahu menulis banyak - banyak. Cuma entri ini untuk memaklumkan yang Abang Long masih berjuang untuk menyara kehidupan keluarga. Yang pasti .... Aku tidak pernah berpeluk tubuh.

Tuesday, December 29, 2009

RAHSIA YAHUDI.


YAHUDI wajib dibantu !


Walaupun jumlah mereka terlalu sedikit, tetapi mereka terlalu kuat dan ampuh. Cuba lihat bilangan dan lokasi mereka di Palestin dan Israel. Kekuatan mereka begitu kuat mencengkam pemerintah Amerika.


Ditakdirkan, aku bertemu dengan seorang sahabat yang berbangsa Yahudi. Kami bertemu, berbual mesra, dan saling bertanya khabar dalam suasana santai.


Hinggalah ke satu peringkat. Kami berbual secara terbuka dalam urusan agama. Dan aku difahamkan yang orang Yahudi amat mementingkan urusan agama. Adalah satu dosa besar andainya mereka membiarkan saudara mereka merempat. Bangsa Yahudi adalah satu bangsa yang agung dan mulia, dan kerana itu mereka layak untuk melakukan apa sahaja kepada bangsa lain.


Cuma, satu sahaja yang mereka tidak mampu untuk lakukan. Iaitu untuk menewaskan Hizbullah. Bagi mereka, pejuang Hizbullah, pengikut Hizbullah dan pemimpin Hizbullah benar - benar melaksanakan tugas dan kewajipan mereka mengikut agama.


Lalu aku teringat kata - kata seorang sahabat aku yang banyak melakukan lawatan bisnes ke Lubnan. Dimana beliau menyatakan bahawa. Pemimpin ulung Hizbullah, iaitu Seyyed Hassan Nasrullah adalah seorang pemimpin agung. Beliau dihormati lagi dikasihi bukan sahaja oleh orang Islam, malahan Seyyed Hassan Nasrullah juga disayangi oleh orang Kristian dan Yahudi.


Pernah berlaku dalam satu majlis, dimana sewaktu jamuan makan diadakan. Seyyed Hassan Nasrullah berjalan - jalan melihat orang ramai sedang menikmati juadah yang disediakan. Lalu seorang pengawal tentera Hizbullah bertanya kepada Seyyed Hassan. "Kenapa Tuan tidak makan?" Lalu dijawab oleh Seyyed Hassan, "Aku mahu pastikan saudaraku kenyang ... barulah aku akan makan."


Dan yang pasti. Setiap pejuang Hizbullah melaksanakan setiap amalan SUNAT seumpama melakukan amalan WAJIB, tanpa gagal.


Lalu aku teringat hadith Rasulullah. "Akhir zaman kelak, umat Islam terlalu ramai, umpama BUIH di LAUTAN, tetapi mereka terlalu lemah..."

Sunday, December 20, 2009

Tubuh Sakit V Tubuh Letih


Renung dan renung dan renung.


Aku berada di Taiping. Menziarah ayah yang dimasukkan kedalam wad. Sudah seminggu ayah berada didalam wad di hospital Taiping. Sebelum itu, ibu ditahan didalam wad selama seminggu akibat penat dan semput, dan ditahan lagi akibat darah tinggi.


Sebaik sahaja ibu keluar dari hospital, ayah pula dimasukkan kedalam hospital. Ibu berada hampir seminggu. Tetapi, aku tidak pasti berapa hari ayah akan ditahan didalam wad. Sementara menunggu urusan pembayaran bank draft bagi alatan yang akan dimasukkan kedalam bahagian pinggang.


Ayah kelihatan terlalu uzur untuk menghadapi semua ini. Kami redha. Kami bersabar.


Seperti kebiasaan. Aku tidak mahu terlalu serius. Aku sendiri sudah terlalu letih. Sudah terlalu banyak memikirkan masalah demi masalah yang tidak kelihatan akan selesai.


Aku bergurau dengan ayah. Aku tersenyum. Aku melawak. Ya, aku bergurau !


Ayah sakit dan terlalu uzur. Dan aku mengambil sikap terus bergurau dan berlawak dengan ayah. Sewaktu isteri aku menyuapkan bubur kedalam mulut ayah. Aku terus bertanya "papa nak makan beef steak?" Dan ayah terus tertawa dalam kepayahan.


Bila ayah bercakap. Banyak pertuturannya yang tidak difahami. Dan cara yang paling sesuai ialah dengan mendekatkan telinga dengan mulut ayah.


Dikesempatan ini. Aku mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan TERIMA KASIH. Khususnya buat adik - adik dan adik ipar aku yang lebih banyak berkorban untuk ibu dan ayah, berbanding dengan diri aku sendiri.


Jadi bagi sesiapa yang tertanya - tanya. Kemanakah menghilangnya Abang Long selama ini. Entri ini menjelaskan segala - galanya.

Saturday, December 12, 2009

Hantu Laksa.


Masuk hutan atau bayar RM1.30.


Malam tadi usai sahaja solat Isyak. Tiba - tiba sahaja suami berbaring diatas ribaku. Dan terus berkata dengan lembut "ada bau laksa ..."


Dan anak - anak pun terus menyampuk "Ya lah ummi, dah lama tak makan laksa." Aku menjawab "Hai ... kan bulan lepas kita dah makan laksa?"


Anak kedua aku yang paling rajin menjawab "Laaa ... bukan semalam ke, minggu lepas ke ... bulan lepas la ummi!"


Pagi tadi aku tergamam bila aku ke pasar bila mendapati harga bunga kantan untuk dimasukkan kedalam resipi laksa berharga RM1.30 sepokok. Aduhai ...


Lantas suamiku berkata "Jom pergi rumah adik, manalah tau, kalau ada bunga kantan yang dah tumbuh dibelakang rumah."


Alhamdulillah, terdapat beberapa batang pokok yang sudah mengeluarkan bunga kantan.


Keluarga kami memang 'hantu laksa.' Hahahahaha ....

Friday, December 11, 2009

Larian solo ...


Larian diteruskan ... bertukar baton.


Minggu hadapan. Suami akan meneruskan perjuangan untuk mencari sumber pendapatan. Beliau akan menghadiri sessi temuduga. Temuduga yang sudah menjadi satu bentuk 'pekerjaan baru' buat beliau. Bukan mudah untuk terus memujuk seorang lelaki yang hampir putus asa.


Tidak ada apa yang mampu aku lakukan sebagai seorang manusia yang serba kekurangan. Melainkan terus berdoa. Walaupun dia sering tersenyum dihadapan aku, namun aku tahu, jiwanya sedang menangis, hatinya sedang merintih, perasaanya sedang berkecamuk.

Wednesday, December 09, 2009

BLOG kurang upaya.


Kawan. Sahabat. Saudara.


Bila aku nyatakan hasrat untuk berhenti menulis. Ada beberapa orang teman yang menasihatkan supaya jangan mudah putus asa. Kena kuatkan semangat. "Kalau sudah tidak ada manusia yang mahu menghulurkan bantuan, Abang Long jangan ambil kisah, yang penting, kami tetap mahu membaca coretan Abang Long." Itulah antara kata perangsang yang aku terima.


Seorang sahabat pula berkata "Hari ini Abang long susah, dan Abang long catatkan kisah didalam blog ini, InsyaAllah, mana tahu dengan kuasa Allah, satu hari nanti Abang long jadi orang kaya, terkenal dan hebat ... waktu itu ... segala coretan diblog ini akan dibaca oleh ramai orang untuk mengetahui bagaimana seorang manusia yang satu ketika dahulu jatuh sejatuh jatuhnya, menjadi miskin fakir dan hidup melarat ... tiba - tiba boleh bangkit semula ... waktu itulah blog ini akan menjadi blog popular dan ramai yang akan membuat kajian ... dan yang pasti ... waktu inilah Abang long akan kenal ... SIAPA KAWAN, SIAPA SAHABAT, SIAPA SAUDARA dan SIAPA MUSUH!"


Aku terima pandangan itu. Tetapi aku juga memohon kemaafan kerana buat waktu ini, aku masih tidak punya kesempatan untuk mengunjungi dan melawat serta meninggalkan jejak diblog para penulis blog.

Monday, December 07, 2009

WANG bertaburan !


Kering kontang.


Jutaan warga asing datang dan mencari rezeki dibumi Malaysia ini. Mudah sungguh. YA, mudah sungguh mereka mendapat rezeki dibumi Malaysia ini. Kenapa mereka mudah mendapat rezeki ? Sebab mereka tidak memilih pekerjaan. Jadi kepada anda yang tidak mempunyai pekerjaan. Jangan memilih pekerjaan. Aku juga tidak pernah memilih pekerjaan. Terasa sungguh aneh. Bila segala ruang seolah sudah tiada untuk mencari rezeki. Memang sungguh aneh dengan kehidupan ini. Aku sudah merasai keanehan itu. Kini, aku hanya memandang kitab al ma'thurat yang sudah lunyai itu. 'Vice versa.'

Thursday, December 03, 2009

BOMOH. Bijak Wang.

Blogger BIJAK WANG.


Petang semalam, aku bertemu lagi dengan seorang penulis blog. Pertemuan diadakan di KFC Pelabuhan Klang. Sebelum bertemu penulis ini sempat bertanya "Abang long sudah habis pantang ? Sudah boleh makan ayam goreng ?" Aku hanya tertawa.


Aku sudah tidak mahu berfikir banyak. Nanti nampak tua. Aku teringat pesan seorang sahabat penulis blog. Kalau Allah hendak menghidupkan manusia, maka manusia akan terus hidup walau tanpa makan selama - lamanya. Jadi, kenapa aku mesti susah hati kalau tidak ada makanan ?


Terasa sungguh seronok bertemu dengan beberapa orang rakan penulis blog dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Mereka memberikan pelbagai cadangan, idea, rangsangan dan peluang.


Mereka tidak menghina, mengecam mahupun menjatuhkan harga diri aku yang sudah 2 tahun bergelar penganggur. Tetapi, mereka ini mendekati diri aku serapat - rapatnya hingga terasa percantuman nafas, darah dan daging sebagai SAUDARA SEAGAMA.


Mereka begitu banyak membantu aku. Sepertimana yang sering aku lafazkan. Aku bukannya hendak menjadi peminta sedekah. Aku hanya mahukan sumber pendapatan tetap. Aku hanya mahu mencari rezeki dengan kudrat dan tenaga upaya aku sendiri. Barulah aku rasa puas dengan setiap titisan peluh yang keluar dari tubuh aku.


Alhamdulillah. Penulis blog ini telah banyak memberikan tunjuk ajar. Ransangan. Peluang dan sebagainya. Ya, Alhamdulillah. Apabila sudah bertemu secara langsung. Bertentang mata. Bercakap dari hati ke hati. Sudah tidak ada lagi persoalan yang sering bermain dijiwa. Kami bebas untuk berbicara. Alhamdulillah.


Seorang sahabat penulis blog telah bertanya soalan yang paling sensitif tapi paling berharga dan begitu bermakna.


"Abang Long sudah tidak mahu bertemu bomoh lagi?"


Aku menjawab dengan penuh yakin dan dengan ketawa yang bersungguh - sungguh "Sebab sudah terlalu banyak bertemu bomoh, sekarang Abang Long tidak perlu bertemu dengan bomoh, kerana Abang Long sendiri sudah menjadi bomoh!"


# "Hahahahaha .... harta itu, Ahmad Albab yang punya ... hahaha"

Tuesday, December 01, 2009

Berjalan. Berlari.

Berjalan Serius V Berjalan Santai.


"Kalau anda boleh berlari, kenapa anda masih berjalan?"


Mana lebih baik, antara berjalan dengan gaya seorang tokoh korporat, tokoh politik, tokoh pemimpin agung. Berjalan dengan serius tetapi dengan membawa senyuman disepanjang perjalanan. Dengan roman wajah yang sentiasa manis dan senyuman sentiasa terukir dibibir.


Atau.


Berjalan santai dengan gaya seumpama seorang pesakit. Wajah yang sentiasa muram dan masam mencuka.


Malam tadi. Aku diketuk. Aku dipukul bertalu - talu. Aku dibelasah. Aku 'ditembak', semahu - mahunya !

Tuesday, November 24, 2009

KERJA PERCUMA. 5 HARI SAHAJA !!!


Memang SERIUS ! 5 HARI SAHAJA !


Sewaktu minum petang bersama seorang sahabat aku. Dia melontarkan cadangan ini. 'KERJA PERCUMA 5 HARI SAHAJA!'


Petang itu sungguh redup. Sambil menikmati minum petang di Coffee Bean. Aku duduk bersantai bersama sahabat aku yang baru sahaja selesai menjalankan tugasan dalam gereja berdekatan. Sahabat yang aku kenali dari zaman kanak - kanak. Hingga kini, beliau kekal menjadi paderi disebuah gereja di Petaling Jaya. Beliau bahagia dengan kehidupannya sekarang.


Buat pengunjung blog ini. Aku dengan ini mengisytiharkan bahawa ada seorang HAMBA ALLAH, yang bersedia untuk bekerja selama 5 hari, secara PERCUMA ! Dimana - mana pejabat atau syarikat. Khususnya dikawasan Klang, Pelabuhan Klang ataupun Shah Alam.


Tapi, dengan syarat yang ketat.


1 - Tidak perlu sessi TEMU-DUGA. Kerana Hamba Allah ini sudah fobia dengan TEMU & DUGA. Sudah beratus tempat Hamba Allah ini menghadiri TEMU&DUGA. Dan semuanya gagal.


2 - Hamba Allah ini akan bekerja atau bertugas dimana - mana syarikat dengan bersungguh - sungguh. Dan selama 5 HARI, khidmatnya adalah secara PERCUMA ! Tidak perlu dibayar !


3 - Seandainya pihak syarikat berpuashati dengan tugasan yang dibuat, maka Hamba Allah ini mestilah diterima bekerja secara tetap.


4 - Seandainya Hamba Allah ini tidak menepati sasaran atau gagal dalam tugasan didalam syarikat, maka pihak syarikat boleh terus mengeluarkan notis BERHENTI KERJA secara automatik. Tanpa sebarang syarat.


5 - Hamba Allah ini mempunyai keluarga dengan 5 orang anak yang masih kecil. Dan Hamba Allah ini sudah berusaha sepenuh nyawa untuk mencari kerja. Dan masih gagal untuk mendapatkan kerja. Dan sudah 2 tahun tidak mempunyai sebarang punca pendapatan.


6 - Tawaran ini HANYA bagi syarikat yang beroperasi di Klang, Pelabuhan Klang atau Shah Alam - SAHAJA.

7 - Resume akan diberikan atas permintaan sahaja.



Ada sesiapa yang berminat ? Sila tinggalkan komen didalam blog ini.


Ini bukan gurauan ! Ini bukan melawak ! Ini bukan acah - acah sahaja. TETAPI.
Kenyataan atau entri kali ini memang serius ! Benar - benar serius !


# Ingatlah pesanan Nabi. Barangsiapa yang memudahkan urusan saudaranya, maka Allah akan mempermudahkan urusannya.

Monday, November 23, 2009

Dalam Pelabuhan Klang


20 jam !


Ada yang sudah terlentuk diatas kerusi panjang. Ada yang merokok, berkepul - kepul asap memenuhi ruang menunggu. Ada yang asyik ber-sms. Begitulah keadaan beberapa orang sahabat yang sedang melaksanakan tugasan untuk mengeksport kontena.


Yang pasti, semuanya belum ada pengalaman langsung dalam urusan import dan eksport serta pengisytiharan dagangan. Hingga mereka 'buta' langsung tentang apa yang mereka perlu lakukan dalam kawasan pelabuhan.


Dan yang paling menarik. Sewaktu aku berada didalam kawasan pelabuhan itu. Ada satu sms yang membuatkan aku berasa perlu untuk memaklumkan sesuatu disini.


Buat waktu ini. Disaat dan ketika ini. Aku sedang berada di Klang. Dan sedang menjalankan tugasan sementara (bukan 'part time') tetapi sekadar membantu sahabat yang hendak mengeksport barangan ke luar negara. Aku diberikan upah untuk menunjuk ajar beberapa orang yang tidak tahu langsung tatacara untuk menjalankan tugasan didalam kawasan pelabuhan.


Tiba - tiba sahaja, aku merasa hiba bila mengenangkan sudah hampir 2 tahun aku tidak bekerja dan langsung tidak menjejakkan kaki kedalam kawasan pelabuhan. Satu ketika dahulu, aku pernah makan, minum dan tidur dalam kawasan pelabuhan. Malah, masa aku lebih banyak dalam kawasan pelabuhan dan dalam kapal berbanding dalam rumah sendiri.


Tiba - tiba seorang gadis yang turut serta dalam tugasan itu bertanya kepada aku "Bang, macam mana abang boleh buat kerja begini ... selama hampir 20 tahun ... sedangkan saya hendak menunggu selama 20 jam pun terasa bagai hendak tercabut nyawa!"


Aku hanya tersenyum.


# Dalam hati aku cuma berkata "gadis secantik awak rasanya tidak perlu berada dalam kawasan pelabuhan."

Saturday, November 21, 2009

Entri Khas. HAJI MABRUR buat Neeza dan suami.

Semoga mendapat Haji yang MABRUR ! AMIN.




Entri kali ini. Adalah entri khas buat seorang teman, seorang saudara, seorang sahabat, seorang muslimah yang entah kenapa terasa begitu dekat dihati Abang long dan keluarga. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya.


Benar, kami belum pernah bersua di alam maya. Tetapi pertautan hati diantara saudara muslim menyebabkan Abang long terasa begitu terkesan dengan beliau. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya.


Dikesempatan ini, aku, isteri dan anak - anak saban malam mendoakan yang terbaik buat Puan Neeza Shahril dan suaminya yang akan berangkat ke Makkatul Mukarramah bagi menunaikan ibadah haji.


"Ya Allah, Engkaulah yang mencipta segalanya, Engkaulah yang Maha Berkuasa, Engkaulah yang Maha Penyayang, Engkaulah yang Maha Pengampun .... Ya Allah, aku merayu kepada MU, aku bermohon kepada Mu, aku merafakkan sembah kepada MU, Ya Allah ... Engkau mudahkanlah, Engkau turunkanlah rahmatMU, KeredhaanMU, kasih sayangMU, perlindunganMU, buat insan yang kami sayangi ... kami pohon Engkau permudahkanlah perjalanan Puan Neeza Shahril dan suaminya bagi mendapatkan haji mabrur ... Ya Allah, Ya Rabb, Ya Mulk, Ya Kuddus, Ya Jalal ... kami merayu kepada MU ..." AMIN. AMIN. AMIN.



Semoga mendapat HAJI MABRUR wahai Neeza dan suami.