Tuesday, October 31, 2006

Talian KASIH


Telefon bimbit berbunyi, lalu rakan lelaki aku melihat nombor pemanggil pada skrin, dengan kening yang dan dahi yang berkerut seribu lalu terus menjawab, dan dalam nada serius, serta suara yang agak kasar:





Rakan Lelaki: "ha..."
Pemanggil: ?
RL: "bila.."
Pemanggil: ?
RL: "nantilah....abang tengah sibuk ni ..."
Pemanggil: ?
RL: "ok, ok"!.

Panggilan diputuskan, lalu aku bertanya, siapa tu ?

Rakanku menjawab: "bini aku".

Aku diam membisu, hmmmm .... beginikah caranya seorang suami menjawab panggilan dari isterinya ?

Kalau sebelum berumahtangga, seorang lelaki itu boleh menjawab panggilan dari teman wanita atau tunang dengan lembut, romantik, penuh kasih sayang, kenapa bila sudah bertahun - tahun berumahtangga, cara menjawab panggilan dan intonasi perlu diubah ?

Kalau sebelum berumahtangga, seorang lelaki itu boleh berbual lama dengan teman wanita atau tunang, kenapa bila sudah berumahtangga, panggilan it mesti dipendekkan ?

Maaf, n3 ini agak condong kepada mengkritik kaum lelaki, dan maaf juga, aku belum pernah mengalami situasi sebaliknya, bila si isteri pula yang menjawab panggilan, tapi terimalah n3 ini sebagai indeks petunjuk untuk menjadi bahan renungan bersama.

Thursday, October 26, 2006

TEMAN BLOGGERS sentiasa diingatan.

Sewaktu n3 ini ditulis, hari raya telah masuk hari ketiga, sambutan Alhamdulillah begitu meriah, seawal jam 9 pagi, usai solat Aidilfitri, terus sahaja aku dan seluruh kaum kerabat mengadakan program ziarah dan mengunjungi sahabat handai yang terdekat.

Sewaktu program kunjung - mengunjungi itulah, aku terfikirkan sahabat - sahabat internet, sahabat - sahabat yang masih dialam maya, dimana ada yang pernah bersua, dan masih terlalu ramai yang belum pernah bertemu secara langsung, hatta ada yang tidak kuketahui, dimanakah lokasi mereka.

Sebenarnya, sedari awal, sewaktu aku melangkah ke alam maya, kealam internet, atau lebih tepat ke dunia Blogger, aku telah berazam untuk menggunakan teknologi ini untuk berinteraksi secara jujur, disamping untuk berkenalan dengan pelbagai rencam manusia, untuk pelbagai perkara yang baik dan makruf.

Kerana itulah, aku tidak mahu untuk merahsiakan identiti diriku yang sebenar, aku lebih banyak "menceritakan" tentang keluarga dan anak - anakku, tentang kerjaya, tentang pola pemikiran, tentang aktiviti dan sebagainya, bagi diriku, biarlah mereka yang mahu menjadi sahabatku, mengenali diriku yang sebenar.

Asas pemikiranku cukup mudah, sekali aku menipu, maka kepercayaan insan lain kepada diriku akan hilang, begitu juga dengan kata - kata, "dunia ini kecil sahaja".

Dikesempatan ini, seperti diperenggan pertama ayat ini, aku teringatkan sahabat - sahabat Bloggers yang masih dialam siber, seperti nieys, CT, violet, mamajambu, huda, Nur Raina Afsana, mamaerra, Ms_Berry, Qaseh, infa, zura, retna, zaiful, kasih, dan ramai lagi.

Hakikatnya, walaupun aku telah berusia, namun dalam dunia Blog, aku masih terlalu baru, dan mereka lebih jauh lebih berpengalaman, itu yang kuperlukan.

Monday, October 23, 2006

ESOK - 1hb Syawal @ 24hb Oktober

ESOK HARI RAYA, ESOK HARI RAYA, ESOK HARI RAYA !!!

Suara Takbir

Dengar beduk berbunyi.
Sayup bergema disubuh sunyi.
Memanggil kepada muslimin.
Segera berbakti kepada Illahi.

Suara azan menyahut.
Terdengar sayup memecah sunyi.
Memohon restu dengan bakti.
Kepada Illahi Tuhan Maha Suci.

Terdengar suara takbir.
Memuji nama Illahi.
Rasa dalam kalbu.
Tenteram dan aman selalu.

Kini tiba masanya.
Hati gembira di Hari Raya.
Bertemu sanak dan saudara.
Bermaaf-maafan dengan keikhlasan

HARI INI - 30hb Ramadhan @ 23hb Oktober


Hari ini adalah hari terakhir, umat Islam berpuasa.

Aku masih berada dihadapan PC, rasa tidak perlu nak buat apa - apa lagi, sebabnya, segala persiapan telah dibuat, cuma selepas berbuka sahaja, aku akan membantu isteriku untuk masak nasi untuk dibuat nasi himpit, kerana itu adalah makanan kegemaran aku sekeluarga, dengan rendang ayam, atau rendang daging dan dicampur dengan kuah kacang.

SEMALAM - 29hb Ramadhan @ 22hb Oktober


Persiapan akhir seluruh umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Hari Lebaran.

Bekas kuih - muih, balang plastik dan kaca, dikeluarkan dari almari, kepenatan berpuasa seolah - olah hilang dalan suasana ceria dan kerancakan untuk menyambut hari raya.

Baru aku tersedar tentang sesuatu ... pada awalnya, aku bercadang untuk menyediakan 2, 3 jenis kuih - muih sahaja, tetapi bila diatur .... ya rabbi .... semuanya ada 8 jenis, itu belum masuk dodol dan lemang .....

Ah ... tak kisahlah, raya setahun dua kali saja, lagipun bukannya berbelanja sakan sampai habis wang dipoket, rasanya apa yang aku buat pun masih dalam kawalan dan tidak boros.

DUA hari yang lalu - - - 28hb Ramadhan @ 21hb Oktober

Selamat Hari Jadi .... buat ku.

Sebiji kek dibeli oleh anak - anakku, dengan ucapan "Untukmu Abah".

Hmmmmm .... tanpa ku sedar, umur semakin meningkat, anak - anak semakin membesar, yang sulung berumur 11 tahun, kalau dulu, hanya isteriku sahaja yang akan membeli kek untuk ku, sekarang anak - anak dah pandai membeli untuk ayah mereka.

Walaupun harganya tidaklah mahal, tapi berkat dari "kerjasama" diantara mereka, dan wang yang diperolehi itu adalah wang belanja sekolah yang dikumpul selama bulan Ramadhan, menyebabkan dadaku terasa sebak, aku tidak dapat menitiskan air mata dari gugur, lalu aku memeluk seorang demi seorang anak - anakku, terasa kasih yang setulus iklas itu lahir dari hati sanubari mereka.

Kepada pengunjung, aku mohon maaf sebab tidak dapat menyiarkan gambar kek tersebut, sebab aku tidak mempunyai kamera untuk merakamkan gambar kek dan detik - detik yang cukup membahagiakan diriku.

TIGA hari yang lalu - - - 27hb Ramadhan @ 20hb Oktober


MALAM TUJUH LIKUR.



Abangku dengar-dengar ku berkata
Malam ini kita sambut tujuh likur
Hanyalah tinggal tiga hari saja lagi
Kita akan menyambut hari raya

BEGITULAH kehebatan Malam Tujuh Likur hingga dijadikan lagu seperti dinyanyikan penyanyi duet terkenal 1960-an, A Ramlie dan Maria Bachok.


Malam Tujuh Likur adalah istilah yang cukup sebati dengan masyarakat Melayu hingga diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Bagaimanapun, tidak dinafikan ramai hanya pandai menyebut, tetapi tidak memahami pengertiannya


Dari segi bahasa, likur adalah bilangan antara 20 dan 30. Tujuh Likur pula bermaksud 27 menyebabkan ramai menganggap malam Tujuh Likur ketika Ramadan sebagai malam ke-27 Ramadan.


Sudah menjadi kebiasaan, sejak beberapa tahun yang lalu, setiap kali tibanya malam tujuh likur, selesai mengerjakan solat tarawih, aku akan membawa isteri dan anak - anakku untuk berkeliling kampong, untuk melihat kemeriahan suasana sekitar, ya ... untuk melihat skill dan kreativiti masyarakat untuk memasang pelita atau lampu punjut, dan membentuk pelbagai corak, rasanya tidak salah untuk kita mengadakan aktiviti atau pertandingan merekabentuk pelita atau lampu punjut ini.

EMPAT hari yang lalu - - - 26hb Ramadhan @ 19hb Oktober


Anak - anakku merayu, memujuk, hingga ke tahap merajuk, mereka meminta untuk dibelikan pelita.

Dengan harga dipasaran sebanyak RM2.00 hingga RM3.00, bergantung kepada rekabentuk dan saiz, rasanya bukan suatu yang membazir jika kita bersama - sama memeriahkan suasana, dengan syarat niat biarlah betul, iaitu untuk memeriahkan suasana dan bukannya sebab "nak tunjuk laluan kepada malaikat".


Cukuplah ala kadar, lalu kubelikan 5 biji saja, nampak ceria dan teruja diwajah anak - anakku, bukan sahaja anak, malah ibunya pun tumpang seronok..... yalah ... rumah lain ada lampu pelita, rumah kami pun ada juga .... cukuplah, ala kadar dan tidak membazir. Biarlah mereka berseronok dan ada hadnya.

LIMA hari yang lalu - - - 25hb Ramadhan @ 18hb Oktober

Seperti mana amalan masyarakat Islam di Malaysia, setiap bulan Ramadhan, maka satu hari akan ditentukan untuk sebuah keluarga atau sekumpulan orang yang akan menyediakan juadah "moreh" yang akan dijamu selepas selesai solat terawih.

25hb Ramadhan, bersamaan dengan 18hb Oktober, yang lalu, adalah giliran aku dan keluarga menyediakan juadah itu, selain dari amalan yang baik dan berfaedah untuk kaum muslimin, ianya juga sebagai aktiviti untuk menjalinkan ukhuwwah sesama jiran tetangga dan ahli kariah.

Bagi diriku, yang penting adalah lakukan sekadar kemampuan, dan cara terbaik adalah berkongsi dan bergotong - royong. Kerana keikhlasan dan barakah itu adalah suatu yang menjadi tuntutan dalam beramal.

Tuesday, October 17, 2006

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

InsyaAllah, pada 24hb Oktober ini, seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya 'Aidilfitri, atau Hari Lebaran.

Pelbagai persiapan telah diatur dari segenap segi, dari individu, keluarga hinggalah ke peringkat negara.

Blog ini tetap akan terus bersiaran, kerana pemiliknya - Abang Long - tidak bercuti, malah pada hari raya pertama, selepas sembahyang hari raya, abang long akan masuk bertugas, almaklumlah, bekerja dibahagian Operasi, lagipun tahun lepas abang long dah raya sakan, 11 hari lamanya.


Jadi untuk memberi keadilan kepada semua, maka pada tahun ini giliran abang long pula untuk berkerja pada hari raya, nak kata sedih tak juga, sebab bukannya kena duduk dipejabat sepanjang hari, cuma datang sekejap buat pemantauan, kalau tak ada masalah, masih boleh "lari - lari" begitu, lagipun rumah tak jauh dari pejabat, dan bukannya nak pergi beraya jauh dari kawasan, dan seperkara yang paling penting, semua pergerakan dalam pemantauan Ketua .... "if you want to go for hari raya, just go for it, make sure of your safety, especially on the road, but please make sure, don't ever go out over the limit, in case if the is any urgent matter, then you can be reach easily".


Bukan satu perkara yang asing, dan tidak janggal, apabila ada staff, yang berbaju melayu pada hari tersebut.

Dikesempatan ini, diruangan ini, abang long menyusun jari memohon ampun dan maaf kepada semua pengunjung yang sudi ke Blog Abang Long, jika sepanjang abang long menulis ini, ada pihak yang terasa hati atas segala kata - kata dan teguran yang abang long berikan.

Akhir kata dari abang long untuk n3 pada kali ini, Sambutlah Hari Lebaran bersama keluarga tersayang, dengan penuh kegembiraan.

Amaran Keras : BERHATI - HATI DIJALANRAYA !!!

Abang Long sentiasa mendo'akan yang terbaik buat semua. Salam SAYANG.

Monday, October 16, 2006

Soalan sebelum berbuka

Setiap kali nak berbuka puasa, pasti ada sahaja perkara yang hendak diperkatakan oleh anak - anakku.

Satu hari sewaktu sedang duduk beramai - ramai dihadapan juadah berbuka, tiba - tiba anakku yang pertama telah bertanya:

Abang (anak yang pertama membahasakan dirinya dengan panggilan itu): "Abah, abah kerja kapal kan ?.
Aku: "ya, kenapa ?".
Abang: "ok, kalau abah pandai, abah jawab soalan ni".
Aku: "ok, apa dia"?
Abang: "Bila kapal tenggelam, apa yang timbul ?".

Hampir seminit jugalah aku berfikir sebelum cuba menjawab soalan tu ...

Aku: (dengan selamba aku menjawab) "pelampung"....
Abang: "salah" ...
Aku: (hairan juga ye ???) ... "krew kapal".
Abang: "salah".
Aku: (haiiii ....dua - dua jawapan salah) "buih besar".
Abang: "salah".
Aku: "tahhhh .... abah dah tak tau" .... (aku menyerah diri, sebab dah tak tau jawapannya).
Abang: "apa lah abah ni, soalan tu paling senang nak dijawab tau ...."

Aku memandang isteri dan anak - anaku yang lain dengan harapan ada yang tahu jawapannya ...

Aku: "kalau semua jawapan tu salah, apa jawapan yang betul ?".
Abang: (sambil ketawa) "jawapannya, bila kapal tenggelam, yang timbul masalah, kan masalah bila kapal tenggelam" .....

Semua orang ketawa, sebab masing - masing pun tak menduga itulah jawapannya yang begitu mudah tapi kedengaran agak kompleks.

Hai anak - anakku.

Thursday, October 12, 2006

MOTIVASI ISLAM - mudah dan praktikal (4)

JANJI TEMU

Kebanyakan dari kita pernah mengalami perkara diatas - JANJI TEMU atau TEMU JANJI.

Tapi tahukah kita, dalam kita merangka untuk melaksanakan agenda tersebut, secara tidak kita sedari kita telah melakukan satu kesilapan atau dosa (kelihatannya mudah).

Pernahkah anda menunggu disatu tempat, dari jam 9.00 pagi (seperti yang dirancangkan), hingga akhirnya jam menunjukkan angka 9.45 pagi, barulah si dia datang dengan selambanya, tanpa menyedari satu kesalahan telah dilakukan, ataupun anda sendiri yang lewat tiba, dan si dia tetap sabar menunggu kedatangan anda (dalam hal ini, saya pasti, siapa yang menunggu pasti akan memaki hamun dan keluar segala sumpah seranah).

Bagi saya orang yang tiba lewat itu:
1 - Tiada moral,
2 - Tiada perasaan,
3 - Tiada bertimbang rasa,
4 - Tiada ilmu,
5 - Tiada harga diri.

Kenapa ?, tiada MORAL, sebab orang yang bermaruah akan sentiasa tepat pada janjinya, tiada PERASAAN, sebab orang yang mempunyai perasaan akan sentiasa merasa simpati jika orang lain terpaksa menunggu kehadirannya (ada kemungkinan orang yang telah sedia menunggu itu mempunyai program atau aturcara lain pula), tiada BERTIMBANG RASA, sebab orang yang menunggu itu sudah pasti akan keletihan dan terpaksa "buang masa" secara PERCUMA dek kerana terpaksa menunggu begitu lama, tiada ILMU, usah berikan alasan "traffic jam", kerana ini menandakan bahawa anda tidak mahu ambil tahu tentang situasi jalan yang anda akan lalui, tiada HARGA DIRI, hanya mereka yang mempunyai HARGA DIRI sahaja yang akan sedar tentang TANGGUNG JAWAB mereka untuk melaksanakan sesuatu tugas.

Adakah suatu yang susah dan payah untuk kita berkomunikasi, jika salah seorang dijangka tiba lewat ?

Tips yang mudah:
1 - Sebelum berjanji temu, hubungi si dia atau sesiapa sahaja, tentang rancangan yang telah diatur, sebagai isyarat mengingatkan. Maklumkan tentang apa sahaja yang perlu.
2 - Jika salah seorang terlewat, sebelum waktu yang dijanjikan, terus sahaja hubungi dan maklumkan tentang situasi yang berlaku.

Jawapan kepada gagal kendali:
1 - beri makluman, tolong jangan matikan (off), telefon bimbit anda atau orang yang akan ditemui.
2 - jika salah seorang terlewat 10 minit dari waktu yang dijadualkan, maka pihak yang menunggu mempunyai HAK untuk membatalkan JANJI TEMU itu. (supaya dilain waktu, orang yang tiba lewat itu akan sedar tentang hak dan tanggung jawab yang perlu diunaikan).

Kerana MUNGKIR JANJI itu bukan sahaja satu kesalahan, tetapi juga satu DOSA !.


Kenapa kita tidak boleh TEPAT PADA MASA ?

Adakah kita tidak cukup perancangan hingga menyebabkan kita terlewat ?
Adakah kita tidak tahu situasi jalan, hingga menyebabkan kita terperangkap dalam kesesakan jalanraya ?
Adakah tiba - tiba ibu atau bapa meninggal dunia secara tiba - tiba (alasan ini hanya boleh digunakan dua kali sahaja seumur hidup).
Adakah tiba - tiba sahaja kenderaan anda rosak ?
Dan ADAKAH kita akan memberikan pelbagai alasan lagi untuk mewajarkan kesilapan kita yang terlewat tiba.

Tidak bolehkah kita keluar dari rumah 1/2 jam lebih awal, supaya jika berlaku sesuatu, maka kita masih sempat tiba pada waktunya.

Dalam erti kata lain, ANDAIKAN anda akan menghadiri TEMUDUGA di Putra Jaya, dan anda menetap di Klang. ANDAIKAN ibubapa atau adik beradik anda tiba - tiba mendapat kemalangan dijalanraya, dan cuma "menunggu masa". ANDAIKAN tiba - tiba pengurusan tertinggi syarikat anda memberi notis "mesyuarat tergempar" pada jam 11.00 malam.

Soalannya, APAKAH DAN BAGAIMANAKAH anda berhadapan dengan situasi begitu.

Adakah anda akan terus TERLEWAT ?

BERSIMPATILAH PADA MEREKA YANG TERPAKSA MENUNGGU.

MOTIVASI ISLAM - mudah dan praktikal (3)

ULAMA' "PILIH BULU".

Setelah beberapa lama saya memikirkan tentang tajuk yang bersesuaian, akhirnya saya merasakan bahawa biarlah tajuk itu menjadi kontroversi, asalkan umat Islam, khususnya mereka yang bertaraf Ulama' sedar tentang hakikat yang melanda.

Saya pernah bertanya dengan ramai sahabat, adakah mereka kenal si fulan dan si fulan (antara ustaz yang mengajar di daerah), sahabat saya menjawab kenal, adakah kamu rapat dengan mereka ?, jawapannya memang sudah diduga, "kenal begitu je".

Sahabat saya yang ditanya itu adalah jemaah yang rajin bersolat, dan meluangkan masa menadah kitab, namun jarak "hubungan silaturrahim" mereka masih ada jarak. Bagaimana dengan umat islam "di luar" masjid ? bagaimana dengan orang islam yang belum diberikan taufik dan hidayah untuk mendekati masjid, seterusnya mengamalkan islam dalam segenap aspek kehidupan mereka, dan yang terkini, bagaimana nak "memujuk - Mat Rem-pit" ?.

Maaf, ayat saya memang tidak teratur, sebab yang penting adalah mesej saya berjaya disampaikan, itulah matlamat saya.

Sudah lama saya memerhati batang tubuh, bayang dan kelibat, para Ulama' dinegara kita, dari pendakwah bebas, ustaz yang berkerja dengan kerajaan, ulama' dari parti pembangkang dan NGO lain, hampir semuanya sama rentaknya, mengajar, menyampaikan ilmu agama, bersalam bila habis kuliah, makan bersama jawatankuasa masjid, atau makan semeja dengan pimpinan tertinggi parti sahaja, lepas tu balik kerumah masing - masing.

Bila berjalan ke sesuatu majlis ceramah, mesti ada pengawal (mungkin sebab takut kena serang), bersalam pun nak tak nak je, muka sentiasa serius (sebab ulama' tak boleh ketawa, itu kan perbuatan fasik), kalau ada jemaah wanita dikiri laluan, maka muka tak toleh langsung kearah jemaah wanita (haram).

Pernahkah kita berjumpa dengan mereka yang bertaraf Ulama' ini, berada ditengah - tengah masyarakat ?

Dalam erti kata lainnya - TURUN PADANG ?

Saya pernah terbaca kisah pemimpin Ikhwanul Muslimin - As Syahid Hassan Al Banna, dimana beliau berdakwah hingga ke dalam kedai kopi.

Saya jarang bertemu dengan seorang ulamak yang memakai baju biasa (seperti orang awam), dan makan minum bersama orang ramai, sambil bertanya khabar, bergurau dengan orang muda, tak kira lelaki atau perempuan (jangan salah anggap, maksud saya dalam batas syariat), boleh bersemuka dengan gadis remaja (sebagai contoh), sambil bersembang, beri panduan secara lembut dan berhikmah.

Cuba lihat, bila ustaz bertemu ustaz, cara mereka bersalam cukup erat (ada grip), sambil berpelukan, dan bersentuhan pipi dengan pipi.

Cuba lihat ustaz bersalam dengan orang awam.

DAN ...
Cuba lihat bagaimana PADERI KRISTIAN menjalankan dakyah mereka, mereka akan berpakaian mengikut situasi, bergaul dengan masyarakat yang berbilang, dengan roman wajah yang sentiasa tersenyum, sentiasa bersedia menghulurkan bantuan, bertutur dengan lemah lembut, bercakap dengan orang awam seolah - olah telah lama kenal.

Pasti ada yang mempersoalkan kewajaran saya membandingkan antara Ulamak dengan Paderi.

Ya, sekarang sama - sama kita menelaah kitab sirah nabawi, Rasulullah tidak pernah membezakan darjat antara satu sahabat dengan sahabat yang lain, baginda begitu mesra dengan seluruh penghuni Mekah dan Madinah, tak kira islam ataupun kafir, bila bekerja, pakaian beliau akan kotor, makan duduk bersila bersama seluruh pejuang, beliau tidak duduk hanya dengan pimpinan sahahabat yang mulia sahaja, beliau berjenaka dengan kaum wanita, beliau berlari mengejar anak - anak kecil dan segala sifat terbilang yang lain.

Adakah kita mengenali ustaz atau ulamak ditempat kita dalam erti kata yang sebenarnya ?, adakah kita tahu nama penuhnya ?, adakah beliau sudah berumahtangga ?, dimanakah beliau dilahirkan ?, siapa ibubapanya ?, siapa isterinya ?, siapa ahli keluarganya ? dari mana beliau mendapat pelajaran agamanya ? dan sebagainya.

Adakah anda pernah mengalami semua yang saya perkatakan ?

Wednesday, October 11, 2006

MOTIVASI ISLAM - mudah dan praktikal (2)

"Itu kan janji M.E.L.A.Y.U"!

Terasa tajam menikam, menghiris, menusuk - nusuk jantung kalbu, tapi ada sesiapa yang cuba untuk mengubah perspektif ini ?

Cukup terasa, atau memang langsung tidak terasa dengan ayat diatas ?

Majoriti dari Bangsa Melayu adalah beragama Islam, dan didalam Islam sendiri terdapat ayat didalam Al - Qur'an yang berbunyi - "wal asr ....".

"Demi MASA, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan - pesan kepada kebaikan (yang HAK), dan berpesan - pesan dengan kesabaran".

Bagi saya, masa bukan lagi bernilai emas, tapi masa itu adalah NYAWA !.

Dalam kaedah bahasa Arab, bilamana terdapat perkataan DEMI, ia membawa kepada maksud, "BERSUMPAH", dan apa hubungkaitnya bila Allah, menyambungkan dan mengkhususkan perkataan DEMI dengan MASA ?

Dan lebih jauh, cuba kita renung natijahnya, bila MASA itu sendiri dikaitkan dengan orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan - pesan kepada KEBAIKAN dan KESABARAN.

Sering kedapatan, bukan sahaja orang awam yang tidak peka kepada MASA, malah hasil dari pemerhatian saya, mereka yang bertaraf ULAMA' juga tidak mengikuti akan ayat ini.

Saya percaya, ramai yang sering mengeluh, bilamana Kuliah atau Ceramah Agama, yang dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam, hanya akan bermula pada jam 9.30 atau lebih teruk lagi, ada yang bermula pada jam 10.00 malam !, kerana Ustaz yang diundang belum tiba lagi.

Begitu juga bila diadakan mesyuarat, dalam notis atau surat pemberitahuan, memaklumkan yang mesyuarat akan bermula pada jam 10.00 pagi, dan anda pula tiba pada jam 9.30 pagi, namun bila jam menunjukkan pukul 10.30 pagi, pengerusi baru nak cuba alat pembesar suara ....."hello, hello, testing 1,2,3". Adakah anda pernah merasai atau mengalami situasi begini ?

Saya masih ingat dengan peristiwa, dimana suatu ketika saya menghadiri sebuah kuliah tentang Ekonomi di sebuah Universiti, dimana penceramahnya adalah Prof. Diraja Ungku Aziz, saya sangkakan, yang mungkin beliau akan terlewat, namun ramalan saya meleset sama sekali, beliau tiba 5 minit sebelum waktu yang dijadualkan, dengan senyuman terukir, namun kelihatan beliau seolah - olah kepenatan, rupa - rupanya, beliau berlari ke dewan kuliah, kerana katanya, beliau tidak mahu terlewat, inilah dia IDENTITI, PERSONALITI dan PAKAR EKONOMI NEGARA !.

Bagi saya, Prof. Ungku Aziz, berjaya menunjukkan pertalian antara DEMI MASA, BERIMAN dan BERAMAL SOLEH, serta kaitan dengan EKONOMI.

MOTIVASI ISLAM - mudah dan prktikal (1)

"Bila dia bercakap, lihat pada matanya"!.

Saya pasti ramai yang berhadapan dengan situasi ini, suatu perkara yang mudah, tapi ramai yang tidak ambil peduli.

"Ahh, aku malas nak bersembang dengan dia, bila aku bercakap, mata dia melilau ketempat lain".
"Adakah awak faham dengan apa yang saya perkatakan tadi" ?.
"Awak memang tak ambil perhatian bila saya bercakap" !.
"haaa .... apa awak cakap tadi "?.

Itulah adalah ungkapan yang kita sering dengari, dimana - mana sahaja, dengan sesiapa sahaja.

Dari segi TUMPUAN, memang tiada konsentrasi,
Dari segi IKHLAS, boleh dicurigai,
Dari segi MOTIVASI, boleh melemahkan semangat orang yang didampingi,
Dari segi AGAMA, sunnah Nabi tidak diikuti,
Dari segi MORAL, memang tiada identiti yang boleh disanjungi,
Dari segi KESAN, tidak siapa yang sudi,
Dari segi HUBUNGAN KEMANUSIAAN, suatu ketika akan diketepi.

Tak kira dengan siapa kita bercakap atau berkomunikasi, pandanglah wajahnya, lihat pada matanya, dan insan yang lain akan menghargai kita.

Sambutan LEBARAN, antara PILIHAN dan KEWAJIPAN.

Setiap tahun isu ini pasti berbangkit, balik berhari raya kerumah ibubapa sendiri atau rumah mertua ?, atau yang duduk berdekatan pula, yang timbul adalah, malam raya dirumah ibubapa sendiri atau rumah ibubapa mertua.

Beberapa tahun yang lalu aku ada menerima rencana berhubung dengan perkara ini, dimana rencana itu ditulis oleh seorang ustazah, dimana penulisnya (ustazah), itu menyarankan kepada setiap wanita atau isteri supaya sentiasa taat kepada suami, dimana dalam perkara ini, seorang isteri itu jangan bertanya atau mohon kebenaran dari suami untuk berhariraya dirumah ibubapanya (rumah ibubapa isteri), tapi andai suami itu sendiri menyarankan atau menyatakan hajat untuk menyambut permulaan hariraya di rumah mertua (rumah ibubapa si isteri), maka itu adalah bonus atau jalan terbaik kepada seorang isteri itu.

Hujjahnya yang pertama, seorang isteri itu wajib untuk mentaati suami dalam apa keadaan sekalipun, melainkan untuk tujuan maksiat.

Anak lelaki adalah wajib untuk taat dan berbakti kepada ibunya sampai bila - bila, bermaksud, seorang anak lelaki itu tidak boleh menghampakan hajat dan permintaan dari ibunya sendiri, untuk berada dirumah pada hariraya.

Penentuan samada ibu dan bapa (isteri) itu akan mendapat habuan yang baik atau buruk dihari akhirat adalah bergantung kepada taatnya si anak perempuannya kepada suaminya.

Sekali pandang macam tak adil, tetapi itulah pengobanan yang harus dilakukan oleh seorang isteri untuk mendapat redha Allah. Tetapi sudahkah kita meneliti akan situasi atau ganjaran yang akan kita perolehi ?.

Sebagai contoh, apabila seorang anak (atau beberapa orang anak) lelaki, itu telah berkahwin, atau berkeluarga maka proses yang sama akan dihadapi, oleh ibunya, dimana anak itu akan tetap pulang kepangkuannya untuk bersama - sama menikmati kemeriahan hari raya.

Syukur Alhamdulillah, kerana aku tidak pernah berhadapan dengan situasi yang boleh "menggegarkan" ini, pertama, kerana isteriku sendiri telah dilatih oleh ibubapanya untuk melaksanakan kewajipan beragama dalam kehidupan seharian.

Aku pula, merasakan bahawa bukankah sesuatu yang baik untuk memberikan kebahagiaan kepada orang lain, khususnya kepada isteriku, yang selama ini telah banyak berkorban untukku, dimana kami akan bergilir - gilir dalam menyambut hariraya, jadi dia tidak perlu bertanya kepadaku, untuk menyambut permulaan hariraya dirumah orang tuanya terlebih dahulu, yang penting adalah kefahaman dalam asas agama, dan diikuti oleh persefahaman dalam kehidupan berkeluarga.

Lagipun, ibuku sendiri pernah berkata, "raya tak balik pun tak pe, sebab kalau balik pun, ramai orang datang, dan anak - anak pulak bukannya melekat kat rumah, hangpa pun bukannya dapat bersembang dengan aku, sibuk memanjang, jadi hari biasa kalau balik lagi bagus, banyak masa nak bersembang" .....


Lalu aku bertanya lagi: "bukan apa, kami takut nanti mak sedih pulak, kata kami anak derhaka ......".

Ibuku membalas: "aku tak kecik hati .... aku tak kisah, masing - masing ada keluarga sendiri, aku pun dulu macam tu lah dulu ...."....."

Bagi anak lelaki, RESTU ibu adalah perlu, bagi anak perempuan, IZIN suami adalah perlu.

Selamat Menyambut Hari Lebaran.

INUL, BUKU dan RAMADHAN

Menurut Bapak Dr. Haidar Bagir, Presiden Mizan Group, tingkah laku pembeli buku di Indonesia dan di Malaysia amat berbeza pada bulan Ramadhan.


Di Indonesia, bulan Ramadhan adalah bulan jualan buku paling rancak bagi sepanjang tahun. Pada bulan itu para penerbit betul-betul menuai hasil pelaburan mereka.


Pembelian buku di sana naik paling tinggi sepanjang Ramadhan di Indonesia. Malah masuk sahaja bulan Rajab, jualan buku mula meningkat lebih tinggi daripada sebelumnya.


Para penerbit di sana menawarkan pakej set-set buku dengan diskaun yang menarik kepada agen dan kedai-kedai buku.


Kedai-kedai buku pula sibuk mengadakan SALE buku. Mereka juga menyediakan hamper-hamper buku bagi para pelanggan mereka dengan diskaun yang menarik.


Menurut Dr. Haidar, trend membaca sepanjang bulan Rajab dan Ramadhan amat ketara sejak 10 tahun yang lalu. Ini disebabkan banyak penceramah popular di Jakarta menyarankan supaya ibadah membaca dilakukan dengan lebih aktif sepanjang bulan Ramadhan bagi menggantikan pelbagai aktiviti yang tidak sesuai dengan bulan suci itu.


Di Indonesia, sepanjang bulan Ramadhan, semua pusat hiburan tutup! Penari dangdut Inul pun memakai tudung dan pergi kelas mengaji pada bulan mulia itu.


Di Malaysia, keadaan adalah sebaliknya. Jualan buku Melayu pada bulan Ramadhan jatuh teruk! Orang Melayu membelanjakan wang mereka bagi membeli persiapan hari raya.


Entri ini dipetik dari http://ainonmohd.blogspot.com/ dengan izin.

Friday, October 06, 2006

Perancangan Puasa dan Hari Raya

Sahur;

Bagi daerah Klang, waktu bersahur adalah pada pukul 5.39, setakat ini Alhamdulillah aku sekeluarga tidak menghadapi masalah, kerana keluargaku yang tinggal berdekatan, sebelah menyebelah dan dalam satu kawasan berpagar, akan sentiasa memastikan yang semua penghuninya bangun untuk bersahur.

Dari segi makanan, pun tak ada masalah, sebabnya keluarga ku hanya akan makan roti, kurma dan susu panas, sekali - sekala saja isteriku akan masak nugget atau burger bersama french fries, itupun permintaan dari anak - anak, malah isteriku langsung tiada masalah pada waktu sahur, sebabnya dari segi makanan, memang tak banyak karenah, cuma masalahnya bila nak menggerakkan anak yang kedua dan ketiga.

Iftar;

Dari segi makanan, aku hanya boleh makan bubur kosong (tabur ikan bilis dan kicap), berbuka dengan kurma adalah kemestian, dan segelas susu panas, atau nescafe panas, sebab aku memang tak boleh minum air sejuk, dan anak - anakku juga dah biasa minum air milo panas, dari segi pengalaman, kalau anak kecil minum air panas, maka selera makan mereka akan bertambah.

Terawikh & Tadarus;

Alhamdulillah, tak dapat buat sepenuhnya, sekurang - kurangnya, buat sedikit pun jadilah, maklumlah, sebab nak menghadap anak nak periksa hujung tahun.


Persiapan Raya;

Pakaian telahpun siap dibeli & dibuat pada bulan 8 lagi, jadi tak lah terkocoh - kocoh disaat akhir, tahun ini warna temanya adalah hijau, jadi dari ayah, ibu dan anak - anak semuanya sedondon begitu ....


Kuih muih, selalunya akan dibeli 2,3 jenis saja, yang lain akan dibuat secara gotong - royong, jadi keluar modal sikit, tapi hasilnya banyak gitu ...

Cuti, tahun ini cuti hanya pada hari raya saja, sebab tahun lepas dah ambil, jadi bila kerja makan gaji ni, kenalah bertolak ansur ....

Rumah terbuka, akan dimaklumkan kelak ...

Thursday, October 05, 2006

IKLAN - MADU KAUTHAR

MADU KAUTHAR.
Diimport dari ESFAHAN (Republik Islam Iran)



Untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk ini, sila emel ke:


atau hubungi Perubatan Alternatif Beheshti Zahra
124 A Jalan Teluk PulaiTeluk Pulai,
41100 Klang, Selangor
019 373 95 46/ 012 362 1170

"Satu sudu pagi hari, aktif sepanjang hari!"

Wednesday, October 04, 2006

BEKAS PELAJAR - OE

RAMADHAN, bulan penuh keberkatan, bulan kerahmatan, mungkin ada yang bertanya, kenapa secara tiba - tiba, aku "mengiklankan" Sekolah Menengah King Edward VII (KE), bertempat di Taiping, Perak.

Sebenarnya, aku adalah diantara pelajar sekolah tersebut, dan meninggalkan bangku sekolah pada tahun 1987, diwaktu itu Pengetuanya ialah Encik Ismail Sajad, yang berasal dari Gunung Semanggol, Perak.

Hari pertama berpuasa, tiba - tiba sahaja aku bertemu dengan rakan sekelasku pada tahun 1982, kami bertukar - tukar nombor telefon bimbit, lalu dapatlah aku contact number, beberapa orang kawan lama, yang sudah terputus hubungan, hari ketiga berpuasa, berjumpa lagi seorang rakan sekelas, erm ... sudah berkahwin (bab ni aku tak kisah), yang bestnya sebab, kawan aku tu kahwin dengan "kakak angkatnya" sendiri (beza umur 1 tahun), oh ya ... sekolah aku adalah sekolah lelaki, cuma ada kelas campur di tingkatan 6 bawah, sebabnya, waktu itu belum ada sekolah perempuan, yang mempunyai makmal sains yang paling canggih, selain dari sekolah KE.

Hari ke 10 (semalam), sekali lagi aku bertemu dengan rakan satu sekolah, ..... tapi kali ini bukan bertemu di Klang atau Pelabuhan Klang, tapi di Sentral KL, bukan bertemu dengan seorang, tapi 6 orang sekaligus, bila dah bertemu begitu, dah tentu bermacam - macam cerita lama akan "timbul" balik ......

Itulah timbulnya idea, untuk "mendedahkan", tempat yang pernah berjasa kepadaku, dan InsyaAllah, Lebaran tahun ini akan lebih meriah, dengan pertemuan rakan - rakan lama, dari sekolah yang sama.