Wednesday, June 25, 2008

TERIMA KASIH atas sokongan ANDA.

Assalamu'alaikum warah matullah hiwabarokatuh.


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Dengan setulus ikhlas Abang Long menjemput semua pengunjung untuk hadir ke program di bawah. Abang Long akan memulakan perniagaan kecil - kecilan. Ini adalah sumber pendapatan Abang Long untuk menyara kehidupan keluarga. Abang Long amat mengharapkan sokongan dari semua pengunjung yang dikasihi.

Buat pengetahuan semua, ini bukan gerai kekal. Hanyalah sebuah tapak kecil untuk perniagaan sehari sahaja, khusus untuk program ini. Kenyataan ini dibuat selepas beberapa emel yang abang long terima, dimana ada pengunjung yang menyangka abang long mendapat sebuah kedai.


Tempat: Dewan Serbaguna Telok Gadong, Klang.
Tarikh: 29/06/2008
Waktu: 8.30 pagi - 11.30 malam.


Program:~

* Malam Kesenian.
* Pameran Kerjaya.
* Pameran Kesihatan.
* Demo Bomba & JPA.
* Gerai Jualan Produk Muslim.


Personaliti:

Muadz feat Akhbar & Dakmie, Amrain.

Ustaz Wan Akasyah & Ustazah Siti Norbahyah. Kamal Affendi.




# InsyaAllah, Abang Long akan membuka gerai jualan yang menjual dadih dan barangan herba.

# Juga, sila baca entri dibawah.

Tuesday, June 24, 2008

Bangkit semula !!!

Setelah 4 bulan aku diberhentikan kerja. Aku melalui pelbagai ujian, dugaan, tekanan dan cercaan. Rupa - rupanya, ada juga kebenaran pendapat yang menyatakan bahawa - PENGANGGUR itu adalah 'pekerjaan' yang hina.



Dalam tempoh itu. Aku sebenarnya tidak berdiam diri. Walaupun di peringkat awal, aku terduduk, terdiam, tersungkur, termenung, terkelu, tertiarap. Hingga aku merasakan bahawa ramai manusia yang hanya menjadi 'pemerhati' kepada nasib yang menimpa diri aku.



Rupanya, masih ada manusia yang bukan sahaja memberikan nasihat supaya bersabar dengan dugaan yang tiba. Tetapi telah melakukan sesuatu, supaya aku mendapat 'tenaga' untuk pulih. Mereka ini bukan sekadar memerhati, tetapi telah bersama - sama berusaha menunjukkan jalan untuk aku bangkit kembali.



Diantara mereka, aku senaraikan 'klu' nya sahaja. Sebagai menghargai permintaan insan - insan berhati mulia ini, yang dengan tulus ikhlas membantuku:


1 - Beliau berkhidmat di pejabat ALAF 21 Sendirian Berhad.
2 - Beliau adalah seorang novelis veteran dan prolifik, dan telah menghasilkan karya yang 'ngetop' di PTS.
3 - Beliau adalah seorang wanita yang ku anggap Sifu dalam penulisan.
4 - Beliau adalah seorang pengajar di sebuah institusi pengajian tinggi.


Kepada insan - insan yang aku telah aku sebutkan diatas. Do'a dari ku sentiasa bermain dibibir, samada usai solat, mahupun dimana sahaja aku berada. Aku bersungguh memohon kehadrat Illahi, supaya mereka ini diberikan ganjaran yang terbaik disisiNya.



Memang memenatkan. Memang meletihkan. Memang mendebarkan. Namun, aku tabah menghadapinya. Bukan satu perkara yang mudah sebenarnya untuk mengharungi kepayahan ini. Dimana, selama 4 bulan ini, aku telah menghadiri sebanyak 65 sesi temuduga. Cukup !!!



Aku tidak mahu lagi menjalani sesi temuduga. Seandainya, jika ditakdirkan ada yang berminat untuk mengambil aku sebagai pekerja. Hantarkan sahaja soalan melalui emel, dan aku akan memberikan maklumbalas berserta 'resume'. Dan jika bersetuju, ambil terus. Bukan aku bersikap sombong, tetapi cukuplah pengalaman mengajar aku. Aku terlalu kecewa dengan sesi temuduga.



Aku bergantung terus kepada Allah. Aku berserah diri kepadanya. Jika manusia agak sukar menerima rintihan saudara mereka. Allah Maha Mendengar.



Tiba - tiba sahaja keajaiban berlaku. Aku tidak terfikir. Aku langsung tidak menduga. Aku memang tidak dapat menerimanya di peringkat awal. Tetapi itulah KEHENDAK-NYA !!!!!!



Selama berminggu - minggu lamanya. Aku berusaha untuk mencari peluang untuk memulakan perniagaan. Maaf, pengalaman aku dalam bidang perniagaan adalah '0'. Tetapi, entah mengapa, beberapa orang teman telah menasihati aku supaya membuka bisnes walaupun secara kecil - kecilan. Hingga ada yang berkata, daripada aku mengutip sampah. Lebih baik, aku berniaga.



Diwaktu itu, memang fikiran aku berserabut. Aku tidak tahu dari mana harus aku bermula. Ya, pengalaman aku 'zero' atau kosong. Namun, kehendakNya, tiada siapa yang boleh menduga. Aku bertemu secara tidak sengaja, malah aku akan menceritakan sedikit tentang kisah ini. Walaupun ada yang mungkin kurang percaya, atau ada yang susah untuk percaya, terpulang. Namun yang pasti, ini adalah kisah yang aku alami sendiri.



Satu ketika, sewaktu aku sedang makan buah pisang (seperti biasa, itu adalah hidangan yang disediakan di masjid pada hari Juma'at). Tiba - tiba seorang lelaki yang baru selesai berwuduk, datang menghampiri aku, memberi salam , dan tiba - tiba terus sahaja menarik tangan aku ke satu sudut.



"Maaf, sudah beberapa hari ini, saya sering bermimpi wajah saudara" Kata lelaki ini, terus berbicara.



Aku hanya tersenyum, tanpa berkata apa - apa. Lalu lelaki ini, yang hanya berbaju t-shirt dan berkain pelikat terus berkata "maaf, sekali lagi, boleh saya tahu saudara ni siapa, maksud saya nama saudara?"



Aku lantas memperkenalkan namaku kepada lelaki ini. Dan beliau juga memperkenalkan namanya. "Begini, apa yang saudara buat sekarang, maksud saya, saudara kerja apa sekarang ?"



Aku hanya tersenyum lalu menjawab "saya tidak berkerja .... saya menganggur"



Lalu terjadilah dialog yang panjang antara aku dan lelaki ini. Hingga akhirnya, aku terkelu, aku terdiam, tidak dapat berkata apa -apa. Aku seolah - olah bermimpi.



Di dalam masjid. Dengan al - Qur'an dijadikan 'ikatan'. Maka termeterailah sebuah perjanjian yang paling aneh dalam dunia.



Aku (seorang penganggur dan FAKIR), mengadakan MoU dengan seorang saudagar yang bertaraf JUTAWAN. Yang memiliki kilang yang besar. Dengan penghasilan pelbagai produk. Aku seperti bermimpi. Aku tidak mempunyai pengalaman, dan aku juga tidak mempunyai MODAL ! Maaf cakap, tiada satu sen pun di dalam poket aku. Yang menariknya, aku tidak bekerja untuk saudagar tersebut, aku akan menjalankan bisnes ini sendiri.



Maka, dengan sukacitanya, aku ingin memaklumkan dan mewar - warkan. Bahawasanya, aku akan memulakan bisnes kecil - kecilan. Dengan menjual produk herba dan dadih. Dan lokasi pertamanya adalah di Dewan Telok Gadong, Klang. Pada hari Ahad, 29 hb Jun. Bersempena dengan Ekspo Kesenian dan Produk Muslim.



Pelbagai program sehari suntuk diadakan bersempena Ekspo tersebut yang diadakan untuk meraikan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Pameran dari pelbagai agensi kerajaan. Forum tentang kasih sayang. Ceramah pencegahan jenayah. Persembahan nasyid dari kumpulan yang terkenal. Dialog dan diskusi. Dengan personaliti terkenal, seperti Siti Nurbaiyah dan Wan Akashah, dan pelbagai lagi acara menarik diadakan selain dari gerai jualan produk muslim.



Dijemput semuanya hadir beramai - ramai, dan sekaligus memberikan sokongan kepada aku yang akan memulakan kembali kehidupan aku untuk menyara keluarga.



Tempat: Dewan Orang Ramai Telok Gadong, Klang.
Tarikh: 29/06/2008
Masa: 9.30 pagi - 11.30 malam.



# Untuk makluman, di jemput berkunjung ke gerai aku yang menjual produk DADIH dan barangan HERBA. Ya, sila jemput .... dan bertemu dengan Abang Long secara langsung.

Monday, June 23, 2008

SOLAT PENYELESAI MASALAH

Sehingga ke hari ini, sehingga ke saat ini, sehingga ke detik ini. Keadaan negara masih belum tenang. Segala - galanya masih gawat.



Samada dari sudut sosial, ekonomi, politik mahupun dari sudut amalan beragama.



Harga barang, sudah naik 'menggila'. Tanpa sesiapapun dapat melakukan sebarang tindakan untuk menghentikan kenaikan harga barang di pasaran. Memanda menteri dengan 'tenang' menyebut bahawa pihak ke'menteri'an akan memantau harga barangan di pasaran. Lalu aku teringat dengan kata - kata anakku. "Memanda menteri hanya menyebut, mereka akan memantau harga, maksudnya melihat dan memerhati sahaja harga barang, menteri tidak sebut pun untuk menurunkan harga barang!"



Dimana - mana sahaja rakyat sentiasa merasa resah, gelisah dan tertekan dengan keadaan ini. Cuma, ramai yang menyebut satu perkataan sahaja iaitu "apa kita nak buat."



Sebenarnya kita mempunyai pelbagai cara untuk menyelesaikan permasalahan ini. Tetapi entah mengapa, kita seperti terlepas pandang. Aku sudah memerhati perkara ini sekian lama. Semua orang hampir bercakap dalam nada dan ayat yang sama. Tidak kira samada pakar ekonomi, politik dan sosial. Kebanyakan hanya retorik.



Aku terfikir, kenapa kita sebagai umat Islam yang telah mengucap DUA KALIMAH SYAHADAH. Tidak 'bercakap' dan 'mengadu' kepada ALLAH. Tuhan yang menjadikan alam maya, dan segala - galanya. Kita hanya bercakap dan memohon bantuan dari manusia. Hanya mengharapkan bantuan dari satu sudut sahaja.



Baiklah, fikiran aku mudah sahaja. Bila harga barang naik, semuanya dikatakan berpunca dari kenaikan harga minyak dunia. Tidak ada apa yang boleh kita lakukan lagi. Kelihatan yang kita hanya berserah diri kepada keadaan sahaja. Kita telan bulat - bulat apa yang diperkatakan atau diucapkan oleh memanda menteri.



Sudah lupakah kita, minyak juga adalah diciptakan oleh ALLAH. Segalanya di dunia adalah ciptaan ALLAH. Mengapa bila berlaku kegawatan ini, kita tidak 'menghadapkan' wajah kita setulusnya kepada ALLAH ?



Usai solat, aku merenung al - Qur'an surah AL FATIHAH. Satu surah yang wajib di baca di dalam solat, oleh seluruh umat Islam yang berbilion jumlahnya di seluruh dunia.



  1. Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang 1. (QS. 1:1)
  2. Segala puji 2 bagi Allah, Rabb semesta alam 3, (QS. 1:2)
  3. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (QS. 1:3)
  4. Yang menguasai 4 hari pembalasan 5. (QS. 1:4)
  5. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah 6 dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan 7. (QS. 1:5)
  6. Tunjukilah 8 kami jalan yang lurus, (QS. 1:6)
  7. (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan ni'mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat 9. (QS. 1:7)



Ayatnya kelihatan mudah, senang untuk di hafal, begitu hebat pengertiannya. Tetapi sayangnya, umat Islam sendiri kelihatan kurang yakin dengan surah ini. Kita lebih 'gentar' dengan angka - angka ekonomi. Tetapi kita kelihatan seperti 'menjeling' kepada surah ini.



Tidak terfikirkah oleh pemimpin kita untuk 'memimpin' umat Islam untuk mengadakan solat hajat, untuk menyatakan sikap dan perasaan kita kepada ALLAH, tuhan yang mencipta segala - galanya ? Atau kita sebagai rakyat 'memaksa' pemimpin kita untuk 'memimpin dan mengetuai' perhimpunan raksasa rakyat untuk sujud, menghadapkan wajah kehadrat ALLAH. Menangis, dalam sendu memohon bantuan dan pertolongan dari ALLAH.



Atau adakah kita sebagai rakyat dan pemimpin yang kita "pangkah" sudah tidak yakin. Bahawasanya SOLAT dan AL - FATIHAH itu boleh dan mampu untuk menyelesaikan permasalahan dunia.

Thursday, June 19, 2008

Pemimpin Ummah V Ibu ayam.

Lokasi - Di tepi benteng sungai Klang.
Waktu - 5.30 petang.
Situasi - Duduk termenung seorang diri.



Aku menghela nafasku dengan agak berat. Memikirkan apa yang telah aku lakukan seharian ini, oh bukan sehari ini, tetapi telah berhari - hari lamanya. Dan telah mencecah usia 4 bulan lamanya. Satu jangka waktu yang benar - benar menduga jasmani, emosi dan ketahanan imanku sendiri.



Aku sudah tidak mahu menangis lagi. Aku hanya perlu bergerak dan melakukan apa sahaja yang terdaya. Aku sudah menyerahkan segalanya kepada Sang Pencipta. Ya, hidup dan matiku hanya untuk DIA.



Pelbagai usaha telah aku lakukan, tetapi belum menampakkan suatu yang memberangsangkan. Aku tidak kecewa, malah semakin kuat aku berusaha. Kerana aku yakin, jika DIA tidak memberikannya didunia, maka aku pasti, DIA akan memberikan balasan yang MAHA HEBAT diakhirat kelak.



Tiba - tiba dalam lamunanku. Aku terdengar suara ayam dalam satu kumpulan. Agak bising dan riuh sekali. Aku memanjangkan leherku. Memerhati keadaan sekeliling. Oh, memang benar ada sekawan ayam, atau boleh dikira sebuah keluarga, dimana terdapat seekor ibu, seekor ayam jantan dan anak - anak yang berderet.



Aku termenung dan memikirkan sesuatu yang aneh. Ya, bagaimana ayam itu boleh berada disitu, sebuah kawasan taman permainan kanak - kanak. Sedangkan disitu cuma ada sebuah rumah sahaja. Itupun agak jauh dari taman tersebut.



Seperti ada sesuatu, tarik, menarik dan tertarik. Dimana aku memerhati perlakuan sekumpulan anak - anak ayam itu. Bila si ibu berjumpa dengan makanan, ia akan berbunyi memanggil anak - anaknya untuk makan. Dan setiap kali berjumpa lagi dengan sesuatu untuk dimakan, si ibu akan memanggil lagi anak - anaknya yang berlari mendapatkan si ibu dan makanan.



Si anak akan bermain dan makan apabila si ibu berjumpa dengan rezeki yang diperolehinya. Dan menariknya, si ibu tidak pula makan bersama, tetapi membiarkan si anak makan terlebih dahulu sehingga si anak bergembira dan terus bermain.



Aku ingin membawa fikiran pengunjung kepada sebuah sirah Nabi. Dimana terdapat sebuah kisah, dimana Nabi Muhammad menghadiri sebuah majlis kesyukuran. Apabila diserahkan "BEKAS YANG PENUH" berisi makanan. Tiba - tiba, Nabi Muhammad mengarahkan Sayyidina Abu Bakar untuk memberikan makan itu kepada sahabat - sahabat yang lain terlebih dahulu, bermula dari sebelah kanan beliau.



Dan bekas makanan itu terus beredar mengikut pusingan, dimana sahabat yang hadir begitu ramai. Ini membimbangkan Sayyidina Abu Bakar, mengenangkan beliau berada diposisi kedudukan yang terakhir iaitu disebelah kiri Rasulullah.



Namun, anehnya apabila bekas makanan itu tiba ketangannya, Sayyidina Abu Bakar mendapati, bekas makanan itu masih banyak lagi isinya. Dan apabila Sayyidina Abu Bakar memandang wajah Rasulullah, Rasulullah hanya tersenyum, seperti memahami apa yang tersirat difikiran Sayyidina Abu Bakar.



Dua kisah ini, sengaja aku bawakan untuk direnung bersama. Terlalu banyak kisah yang tersirat. Dimana yang utama dan pokok kepada peristiwa itu adalah. Seorang pemimpin itu MESTI dan WAJIB untuk memberikan makanan dan keselesaan kepada rakyatnya. Rakyat MESTI dan WAJIB diutamakan dan didahulukan dalam semua perkara.



Pemimpin adalah wakil kepada rakyat. Pemimpin adalah HAMBA kepada rakyat. Peminpin adalah KULI rakyat. Pemimpin adalah KHADAM kepada rakyat. Itu yang sering kita dengari selama ini.



Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Makanan yang terhidang untuk seorang pemimpin kelihatan begitu mewah. Manakala rakyatnya, masih ada yang terpaksa mengira 'berapa butir beras' untuk dimakan di siang hari. Pemimpin naik kereta besar dan mewah, sedangkan rakyatnya disuruh ubah cara hidup, dari naik kereta kepada naik motor, dari naik motor kepada jalan kaki. Dan banyak lagi.



Aku cuma terfikir, beginikah kehidupan seorang - WAKIL, HAMBA, KULI dan KHADAM kepada rakyat ?



Tidak perlu pergi jauh. Cuma, bayangkan bagaimanakah kehidupan dan GAYA HIDUP seorang KHADAM.



Oh, jauhnya dari mengikut sunnah dan GAYA HIDUP Rasulullah. Hatta GAYA HIDUP para sahabat dan para khalifah amirul mukminin !



Berapa ramai para sahabat yang tergolong didalam golongan kaya raya (billionaire) diwaktu itu. Tetapi apabila menjadi pemimpin UMMAH, mereka menjadi miskin. Kerana apa ? Kerana mereka TAAT kepada titah perintah dari ALLAH, mereka GERUN, TAKUT dan begitu CEMAS, mengenangkan AZAB, AZAB dan AZAB yang MAHA DAHSYAT diakhirat, jika mereka bersikap ZALIM kepada ummah.



Renung - renungkanlah.

Saturday, June 14, 2008

Belanjawan KECUTKAN Perut

Semenjak harga minyak naik dengan "aksi terlampau". Seluruh rakyat (baca: rakyat sahaja). Begitu terasa bahang dan bahananya. Kebanyakan 'benda' telah naik, harga barangan sudah tidak terkawal lagi.



Maka sebagai menurut saranan dari Piem. Maka, aku adalah diantara rakyat yang mahu bersungguh - sungguh mengikut saranan itu. Iaitu - UBAH GAYA HIDUP. Berjimat.



Malah ada memanda menteri yang memberi saranan supaya menukar makanan ruji dari nasi kepada ubi. Itu juga aku sokong. Kerana selama ini, satu fakta yang tersembunyi adalah, nasi mengandungi kadar kolesterol yang agak tinggi. Malahan pesakit diabetis tidak digalakkan memakan nasi. Tapi, aku agak takut juga untuk makan ubi kayu, kerana ia adalah makanan 'berangin', aku pula adalah penghidap gastrik.



Walau apapun, aku sebagai rakyat. Cuba untuk mengaplikasikan saranan tersebut didalam kehidupan seharian aku. Aku akan cuba sedaya upaya aku.



Walaupun apa yang aku bentangkan dibawah ada antaranya agak kelihatan 'melampau' tetapi bagi diri aku, ini akan berupaya untuk menyeimbangkan dengan kenaikan harga minyak yang 'melampau'.



Ini adalah apa yang aku lakukan, dan saranan - saranan untuk mengubah gaya hidup. Tetapi sekiranya ada perkara yang aku terlepas pandang, diharap pengunjung blog ini dapat memberikan maklumbalas atau cadangan atau saranan. Supaya kita dapat bersama - sama mempraktikkannya.



Andainya dahulu - adalah sebagai cara hidup sebelum ini.
Sekarang - adalah sebagai saranan atau jawapan kearah mengubah cara hidup.



001 - Andainya dahulu, kita mengepam minyak tidak kira waktu.

Sekarang, cuba isi minyak waktu malam, diwaktu haba dibumi sudah semakin menurun, dan bahang pemanasan bumi sudah berkurangan, boleh dilakukan sekiranya kita merancang dengan baik. Ingat, bila mengepam, lakukan dengan kadar yang paling perlahan.


002 - Andainya dahulu, kita suka makan keropok yang agak mahal harganya.

Sekarang, cuba kita beli keropok buatan orang kampong yang harganya antara RM1.40 – RM5.00


003 - Andainya dahulu, kita makan roti canai dengan kuah kari atau dhal (kolesterol tinggi).

Sekarang, cuba kita makan roti putih (contoh: Gardenia atau High 5) dengan jem atau sekaya. Sebuku roti yang dimakan oleh satu keluarga 5 orang boleh bertahan selama 2 hari.




004 - Andainya dahulu, kita membeli beberapa akhbar sehari.

Sekarang, cuba kita beli hanya sebuah akhbar sahaja. Sebagai contoh: Sinar Harian (ini bukan promosi tetapi setakat ini, ini sahaja akhbar yang menghampiri sikap neutral, tidak terlalu condong kepada BN mahupun PR). Jadi, penyokong BN atau PR tidak akan merasa sensitiv. Lagipun cuba bayangkan, kita membeli akhbar yang berbeza, tetapi isinya lebih kurang sama sahaja.



005 - Andainya dahulu, kita bersarapan diluar (waktu bekerja).

Sekarang, cuba kita bersarapan didalam pejabat dengan membawa bekalan dari rumah.



006 - Andainya dahulu, kita lebih banyak membuang masa menghadap TV dirumah.

Sekarang, cuba kita kurangkan waktu penggunaan TV, hatta dirasakan menonton TV jam 8 malam juga tidak membawa banyak perbezaan didalam hidup kita. Malahan, saya pernah cuba untuk tidak membuka tv langsung, dan anak – anak berkomunikasi dengan lebih banyak dengan ibu bapa.

007 - Andainya dahulu, kita pergi ke surau atau masjid berdekatan dengan rumah, dengan menaiki kereta atau menunggang motor.

Sekarang, cuba kita pergi ke surau atau masjid yang berdekatan dengan berjalan kaki. Lebih baik, sekiranya kita pergi secara beramai – ramai dengan seluruh ahli keluarga. Disamping baik untuk kesihatan, ianya juga menjana keakraban dalam kehidupan keluarga, kerana sewaktu berjalan itu, kita dapat meluangkan masa berbual dengan ahli keluarga, disamping berpimpin tangan. Sebab, ada suami isteri yang telah bertahun hidup bersama, tetapi seolah – olah hilang ‘grip’ dalam perhubungan. Terasa malu untuk berpimpin tangan. Sedangkan sewaktu bertunang, terasa tidak mahu melepaskan jari – jemari ‘si dia”.

008 - Andainya dahulu, kita bermain bola di dewan futsal yang berhampiran.

Sekarang, marilah sama – sama bergotong – royong membuka padang baru, sama – sama menebas rumput dan membersihkan kawasan. Selain dari dapat menjalin ikatan kejiranan, tubuh kita juga sihat dan saling mengenali keluarga masing – masing.

009 - Andainya dahulu, kita sering mengunjungi pawagam untuk menonton filem.

Sekarang, apa kata kita cuma beli vcd atau dvd filem, panggil jiran tetangga, dan kita buat wayang percuma didalam rumah.

010 - Andainya dahulu, kita membeli kaset atau cd lagu.

Sekarang, kita tidak perlu beli lagi. Cukuplah mendengar lagu dari saluran radio yang ada, lagipun banyak saluran yang boleh dipilih. Saya sendiri amat meminati saluran Klasik Nasional.

011 - Andainya dahulu, kalau pergi ke Kuala Lumpur, kita akan memandu sendirian.

Sekarang lebih baik kita masuk dengan rakan dan sahabat. Tetapi lebih baik kalau pergi ke Kuala Lumpur dan bersiar – siar di bandaraya dengan menaiki pengangkutan awam, ada komuter, ada LRT, ada Star, malah macam – macam ada.

012 - Andainya dahulu, selepas sahaja solat berjemaah di surau atau masjid, tidak sempat imam menghabiskan zikir dan do’a, kita telahpun beredar dari surau atau masjid.

Sekarang, lebih baik kita terus duduk di surau dan masjid, apatah lagi kalau ada ceramah atau pengajian. Selain dari mendapat ilmu, kita juga dapat menjamu selera, kerana kebiasaannya, setiap surau atau masjid akan mengadakan jamuan sekiranya ada program pada hari tertentu. Kalau tidak ada pengajian, apa salahnya kita terus beriktikaf di surau atau masjid, sambil membaca al-Qur’an, selain dari mendapat pahala dan keberkatan, kita juga menjimatkan kos untuk pergi dan balik dari rumah ke surau.

013 - Andainya dahulu, setiap bulan kita mengunjungi restoran makanan segera.

Sekarang, kita beli sahaja ayam dan serbuk perencah, dan kita masak atau goreng sahaja ayam dirumah. Begitu juga kita boleh membeli daging burger keluaran bumiputera seperti Ramly Burger, dan masak sahaja dirumah. Atau kita bancuhkan sahaja segala bahan untuk membuat pizza dan kita masak dirumah, malah kita boleh mencipta resepi sendiri seperti “pizza ikat perut” bagi menggantikan pizza “Hawaiian delite”.

014 - Andainya dahulu, kita sering menukar aksesori dan kelengkapan didalam kereta atau motor.

Sekarang, tidak perlu lagi hendak menambah aksesori. Kerana, yang penting kita jaga keadaan dan keselesaan kenderaan. Dan kelihatan bersih luar dan dalam. Serta enjin sentiasa berada didalam keadaan baik.

015 - Andainya dahulu, kita mandi 3 atau 4 kali sehari.

Sekarang, apa salahnya kita hanya mandi dua kali sehari. Tetapi itu pun bergantung kepada keadaan dan keselesaan tubuh kita. Kalau badan berpenyakit, itu tidak dapat dielakkan.

016 - Andainya dahulu, kita boleh bercakap sehingga 2, 3 jam dalam telefon.

Sekarang, apa masalahnya kalau kita bercakap dalam 2, 3 minit sahaja. Lagipun, kalau terdesak sangat hendak bercakap, apatah lagi soal bisnes, maka lebih baik kita adakan pertemuan. Dan berbuallah, dari matahari belum terbit hingga matahari terbenam.

017 - Andainya dahulu, kita pergi berkelah dan menginap serta makan minum di hotel, setiap bulan.

Sekarang, alangkah baiknya kalau kita pergi berkelah beramai – ramai, kita gabungkan beberapa keluarga, masak ramai – ramai, dan kita pergi berkelah dan mengadakan permainan. Selesai semuanya kita pulang kerumah. Jimat kos dari segenap segi.

018 - Andainya dahulu, kita minum teh 2,3,4 kali sehari (pantang dipelawa rakan sepejabat), hingga tugasan didalam pejabat agak terbengkalai.

Sekarang, tidak perlu lagi keluar. Cukuplah kita minum air masak atau air mineral. Selain dari menjimatkan wang, kita juga dapat menjaga kesihatan. Masih tidak takut melihat bagaimana keadaan orang yang kena potong kaki, tangan akibat diabetis ?

019 - Andainya dahulu, bila waktu makan tengahari, kita akan makan semahu – mahunya, dan makan sepenuh pinggan.

Sekarang, apa kata kita cuma ambil sayur rebus, ikan masak sup dan ulaman. Selain dari mengelakkan makan daging (yang boleh mengakibatkan kadar kolesterol naik), kita juga menjimatkan belanja. Dan lebih baik, jika selepas makan kita hanya minum air panas (air kosong) kerana sudah terbukti, barangsiapa yang mengambil minuman sejuk atau bergas, akan mengakibatkan pelbagai penyakit, khususnya serangan jantung.

020 - Andainya dahulu, kita seorang pencinta buku.

Sekarang, tidak perlu diubah sikap anda terhadap ilmu. Malahan, jika dahulu kita membeli majalah yang kurang menjana minda, apatah lagi majalah yang memaparkan aksi wanita separuh bogel, dan majalah yang memaparkan kisah seks sahaja. Maka adalah terlebih baik dan aula, sekiranya sekarang kita gunakan wang itu untuk membeli buku agama atau yang ada unsur kebaikan.

021 - Andainya dahulu, kita sering ‘melepak’ dengan kawan - kawan diwarung kopi.

Sekarang, apa kata kita ‘melepak’ dirumah dan biarkan isteri kita membancuh ‘fresh orange’ atau air buah – buahan untuk kita nikmati bersama seluruh ahli keluarga. Terlalu banyak kebaikannya.

022 - Andainya dahulu, kita sering ke stadium untuk melihat perlawanan bola dan sebagainya.

Sekarang, apa kata kita menonton sahaja siaran langsung dari rumah. Tetapi sekiranya tiada siaran langsung, rasanya tidak mengapa jika kita tidak menontonnya. Rasanya kita tidak akan menjadi orang zaman batu sekiranya kita tidak menonton perlawanan bola dan sebagainya.

023 - Andainya dahulu kita adalah peminat fanatik kepada rancangan realiti tv.

Sekarang, rasanya adalah lebih baik kita hentikan tabiat itu. Khususnya dari segi membuang duit untuk mengundi dengan cara sms. Lebih baik kita gunakan wang itu untuk membuat panggilan kerumah ibu bapa kita dan berbual lama – lama dengan mereka.

024 - Andainya dahulu, kita sering membiarkan atau mendiamkan anak – anak kita dengan membiarkan mereka bermain ‘video game’.

Sekarang, adalah baik dan bermanfaat seandainya kita bawa seluruh ahli keluarga untuk bermain badminton atau bersenam diluar rumah. Banyak faedahnya.

025 - Andainya dahulu, kita membuang akhbar yang kita baca.

Sekarang, adalah baik sekiranya kita kumpul untuk beberapa bulan, dan kita jual, dapat juga duit poket untuk anak ke sekolah.

026 - Andainya dahulu, kita membeli ubi kayu dan cili dari pasar.

Sekarang, apa salahnya kita gunakan setiap inci tanah disekitar rumah kita dengan menanam pokok yang boleh mendatangkan hasil. Ubah, dari menanam pokok bunga kepada tanaman yang boleh dimakan. Seperti ubi kayu, cili, bendi, jagung (sekadar menyebut beberapa contoh).

027 - Andainya dahulu, kita kerap ke kedai berhampiran dengan rumah untuk membeli barangan keperluan yang telah kehabisan, pergi pula dengan menaiki kereta.

Sekarang, lebih baik sekiranya kedai itu terletak berhampiran dengan rumah, maka kita berjalan kaki sahaja. Selain dari kita boleh bersenam, kita sebenarnya boleh mengukuhkan semangat kejiranan. Cuba bayangkan, sepanjang laluan kita hendak ke kedai, pasti kita akan bertegur sapa atau memberi dan menerima salam dari jiran tetangga. Tetapi, kalau boleh jangan berhenti dan berbual, banyak keburukannya.

028 - Seandainya dahulu, kita membeli kerana mahu membeli.

Sekarang kena ubah motto itu - kita membeli kerana ‘perlu’ membeli, bukan kerana ‘hendak’ membeli.

029 - Andainya dahulu, kita membeli dan menggunakan pen yang berjenama dan mahal harganya.

Sekarang, apa kata kita membeli pen yang murah harga dipasaran. Lagipun tidak siapa tahu, tulisan atau tandatangan anda menggunakan pen jenis apa.

030 - Andainya dahulu, kita membeli dan memakai pakaian atau barangan yang berjenama luar negara.

Sekarang, apa salahnya kita membeli barangan buatan tempatan. Lagipun, tidak ada sesiapa yang akan membelek baju yang anda pakai itu jenama apa.

031 - Andainya dahulu, kita memakai alat solek buatan luar negara.

Sekarang, apa salahnya kita cuma memakai bedak sejuk serai wangi (boleh dibuat sendiri di rumah).

032 - Andainya dahulu, kita merokok dan menjadi perokok tegar.

Sekarang, cuba – cubalah berhenti merokok, tetapi kalau tidak dapat menahan nafsu untuk merokok, maka cubalah gulung kertas surat khabar dan hisaplah asapnya hingga tidak dapat bernafas lagi.

032 - Andainya dahulu, kita balik kampong dengan memandu berseorangan.

Sekarang, rasanya adalah lebih baik jika kita gunakan pengangkutan awam, lagipun tidak berbaloi seandainya kita balik kampong seorang, tetapi kita kena bayar harga minyak yang sudah naik secara ‘TERLAMPAU’, kena bayar TOL lagi, kena bayar parkir lagi ditambah dengan penat dan letih disebabkan memandu.

033 - Andainya dahulu, khususnya diwaktu malam, hampir seluruh ruang dirumah kita terang – benderang dengan lampu yang pelbagai bentuk.

Sekarang, kita jimatkan dengan membuka hanya dikawasan yang ada manusia sahaja.

034 - Andainya dahulu, kita akan bergerak secara solo, samada ke pasar, pusat membeli belah, surau atau masjid.

Sekarang, cubalah kita pergi secara berdua, suami isteri. Ataupun secara berkumpulan dengan ahli keluarga yang lain mahupun bertemankan sahabat. Banyak faedahnya.


035 - Andainya dahulu, kita adalah "mat rempit" atau "minah rempit".

Sekarang. berhentilah dari melakukan pekerjaan yang tidak membawa faedah itu. Kita cuma ada dua pilihan, pertama - bawa lebih laju dari kebiasaan, kalau dahulu kita memecut 200kmsj, sekarang cuba bawa 400 kmsj, sekurang - kurangnya, seandainya berlaku sesuatu, kita tidak akan menyusahkan sesiapa, kita cuma akan dimandi dan dikapankan sahaja. Pilihan kedua adalah, BERHENTI dari merempit. Kerana dengan memecut motor, anda sebenarnya membuang duit dengan cara yang membazir.




# Ada sesiapa lagi yang hendak sambung ?



Ada sesiapa lagi yang mahu menambah cadangan atau saranan untuk dikongsi bersama, tinggalkan jejak anda, saya hormati pandangan yang diberikan.

Friday, June 13, 2008

DHIYA ZAFIRA ~ RINDU BELUM BERHENTI


Bismilah hirahman nirrahim.


Di atas adalah muka depan novel terbaru di pasaran. Sebuah novel terbitan ALAF 21. Sejujurnya, aku belum membacanya lagi. Buat pengetahuan pengunjung sekalian. Hasil karya beliau yang pertama, memang mengagumkan. Terus terang aku katakan memang best. Tidak rugi memilikinya.


Aku sengaja mempromosikan novel beliau di blog ini kerana beberapa sebab seperti dibawah:


DHIYA ZAFIRA:

1 - Beliau adalah adik angkat aku yang paling aku sayang.
2 - Ini adalah novel kedua beliau. Kalau novel yang pertama sudah best ...
3 - Cover novel kali ini memang kelihatan begitu menarik perhatian. Terasa mendamaikan.
4 - Ikuti temubual dengan beliau di sini.
5 - Masih panas di pasaran !

Segera dapatkan di pasaran.

Thursday, June 12, 2008

TERIMA KASIH

Entri ini adalah sebagai ucapan TERIMA KASIH kepada pra bloggers, orang perseorangan atau individu tertentu, yang telah menghulurkan bantuan kepada aku selama ini.



Ada yang mengirimkan emel secara peribadi. Ada yang menghubungi aku secara terus. Dan tidak kurang juga yang mengirimkan sms. Ada yang aku kenali. Dan ada juga yang aku tidak kenal. Malahan ada pengirim emel yang tidak mahu aku mengenali mereka, cukuplah dengan ayat "saya hanya ingin membantu abang long kerana Allah".



Ya Allah. Begitu mulia niat dan hasrat insan - insan begini. Tidak mengharapkan sebarang balasan. Hanya mengharapkan redha dan balasan dari Allah. Bagi diriku ini adalah nikmat menjalankan kewajipan sesama insan didalam Islam.



Ada juga yang ironinya. Dimana, ada dua orang pengirim yang aku rasakan bukan Melayu dan bukan beragama Islam. Berpandukan penggunaan ayat dan nick name didalam emel mereka. Namun aku hanya mendapat maklumat tentang pekerjaan itu hanya sekali. Dan selepas itu, mereka tidak menghantar sebarang maklumbalas apabila aku mengirimkan kembali emel sebagai tanda terima kasih.


Begitulah kuasa dan kehendak Allah. Kebanyakan yang mengirimkan emel bertanyakan tentang status terkini diri aku, alamat lengkap dan nombor telefon bimbit. Ya, memang aku berikan biodata diri aku apabila diminta. Ini akan memudahkan urusan mereka untuk membantu aku.



Namun, belum ada rezeki lagi. Dimana hingga kini, walaupun sudah berpuluh temuduga aku hadiri, namun belum satupun yang berjaya. Aku percaya, ini adalah kifarah atas dosa - dosa aku yang lalu. Dimana, aku yakin, ini adalah ujian dari Allah untuk menghapuskan dosa - dosaku. Aku pasrah.



Bak kata seorang ustaz didalam sebuah ceramah yang aku hadiri. "Kita kena yakin dengan janji Allah, bahawa setiap yang bernyawa telah ditentukan rezeki masing - masing. Dan seandainya rezeki kita telah terputus, atau DIA tidak lagi memberikan nikmat dan rezeki itu, ini bermakna cukuplah sampai setakat itu kita dihidupkan olehNya diatas muka bumi ini, Allah tidak berlaku zalim pada hambanya".

Sunday, June 08, 2008

Sketsa - Ubah cara hidup.

Sketsa 1 - Timbang dan Bilang.


Aku: "Berapa semua apek?"
Apek: "Sulat kaba 2 kilo, botol kaca anam, botol plastik besar 4, botol plastik kecik tak kira".
Aku memandang apek dengan terkulat - kulat.
Aku: "Berapa semua apek?" aku bertanya sekali lagi.
Apek: "semua anam linggit anam puluh sen".
Aku: "Kenapa botol kecik tak kira pakai timbang?"
Apek: "Siapa pun tak mau beli maa"
Aku: "Kalau macam tu, aku ambil balik".
Apek: "Lu mau buat apa dengan itu botol kecik?" Apek bertanya kehairanan.
Aku: "Habis tu, Apek mau ka ?" "lu kata tak ada orang mau beli". Aku sengaja menduga.
Apek itu menggaru kepala.


# Alhamdulillah - rezeki ada dimana - mana.




Sketsa 2 - Mandi kah atau peluh kah ?


Sampai sahaja dipintu surau, yang terletak hampir satu kilometer dari rumahku. Aku ditegur oleh Pak Siak yang bertugas.


Pak Siak: "Assalamu'alaikum"
Aku: "Alaikumsalam warahmatullah hiwabarokatuh"
Pak Siak memandang aku sambil matanya terkebil - kebil.
Pak Siak: "Apa kena dengan kamu ni?" "Basah kuyup baju kamu?"
Aku: "Berpeluh pak cik... berjalan dari rumah ke sini"
Pak Siak: "Eh, kemana perginya motorsikal kamu?"
Aku: "Sengaja tinggalkan dirumah... ikut saranan kerajaan... ubah cara hidup...jimat minyak".
Pak Siak: "Ya tak ya juga, daripada membazir minyak naik motor...lebih baik jalan kaki".
Aku: "Masalahnya kaki saya dah sengal sebab jalan jauh, balik nanti kena urut ... kena pakai minyak juga".
Pak siak memandang aku tanpa berkata apa - apa.


# Minyak naik dengan naik minyak sama sahaja bahananya !




Sketsa 3 - Ubah cara hidup, makan di Masjid atau Surau.


Sewaktu melangkah keluar dari rumahku untuk ke surau. Isteri ku bertanya:

Isteri: "Malam ini, abang balik makan dirumah ke?"
Aku: "Tak, abang makan di surau".
Isteri: "Ada ceramah ke?"
Aku: "Ha'ah, lepas ceramah ada makan, pihak surau masak nasi hari ni"
Isteri: "Jimat belanja hari ini".
Aku: "Alhamdulillah, mintak mintaklah surau masak nasi tiap tiap hari, jadi jimat beras dirumah".


# Aktifkan jawatankuasa dan program di surau di kawasan anda ! Banyak faedahnya !

Friday, June 06, 2008

REZEKI datang lagi ...

Sepanjang cuti sekolah. Seperti kebiasaanya, rumahku sering sahaja dikunjungi sanak saudara dan rakan taulan. Ada ketikanya tidak putus kunjungan. Malahan, tidak kurang juga saudara dekat dan jauh yang tidur semalam dua dirumah.



Tetamu datang membawa 'rezeki'. Ya, memang benar sekali kata - kata itu. Setiap tetamu yang datang, ada sahaja buah tangan yang dibawa. Dan ada ketikanya, ruang meja 'melimpah' dengan makanan yang dibawa oleh tetamu.



Entah kenapa, sikap atau perangai aku dari dahulu, seandainya ada tetamu yang menyatakan hasrat untuk datang ke rumah. Aku (dengan sengaja atau bersahaja) akan berkata "makan dirumah tau!" Dari situ, ruang perbincangan telah dibuka. Ada tetamu yang akan berkata "Eh, tak payah bang, tak payah susah - susah, kami sebenarnya kena makan diluar...", dengan itu sebenarnya menyenangkan isteriku sendiri, kerana beliau tidak perlu untuk masak lebih.



Dan ada juga yang menyatakan "Ok, kami tak kisah..." maka isteriku sudah tentu merasa mudah untuk menyediakan berapa banyak hidangan yang perlu disediakan.



Berbalik kepada 'tetamu membawa rezeki'. Apatah lagi, disaat ini, apabila ramai yang mengetahui 'status' dan 'kedudukan' aku. Makin murah pula rezeki yang datang. Ada adik beradik yang datang berdua, suami isteri sahaja, tetapi makanan yang dibawa, begitu banyak, melimpah ruah, hingga boleh dimakan hingga sehari dua.



Hari ini, datang lagi rezeki. Saudaraku (sepupu aku), dan familinya (warga Singapura), datang kerumah, setelah 15 tahun tidak berjumpa. Punyalah sakan berborak, akhirnya beliau menyedari sesuatu "eh, abang tak kerja ke hari ini ?" Apabila beliau melihat aku berada dirumah pada waktu bekerja. Barulah aku berterus - terang menyatakan apa yang terjadi kepada aku. Beliau dan keluarga menyatakan simpati yang teramat sangat.



Maka, selama dua hari menetap dirumahku. Segala makan minum 'ditanggung sepenuhnya' oleh sepupu ku itu. Malah, malam tadi, kami keluar untuk makan malam disebuah restoran makanan laut ditepi pantai Pelabuhan Klang sambil menikmati panorama malam.



Sewaktu menikmati makan malam itu, kami berborak tentang pelbagai perkara. Sewaktu aku memperkatakan tentang harga minyak yang naik melampau dan keterlaluan. Sepupu ku ini memberikan komen spontan "I really respect, masa Dr Mahathir jadi PM, dia begitu hebat handle economy, walaupun ada yang kata dia keras, tapi from other side .... dia berjaya memacu ekonomi ... tapi sayang .... Pak Lah terlampau lemah ..."



Aku sengaja memprovok "apa pendapat you tentang Anwar?"



Lalu dijawab oleh sepupu aku dengan bersahaja "ok, begini, kalau bercakap tentang politik, rasanya boleh buat orang bergaduh, tapi ingat, I'm Singporean, I tak boleh mengundi sesiapapun disini ... that's for sure ... I pun tak memihak kepada mana - mana parti ... either UMNO, or PAS ... as an extrimist party... or KeADILan, lead by Anwar ... but for me ... kenapa kita takut sangat nak buat decision ... for our future ? Kalau dia (Anwar) boleh melakukan yang terbaik .... sebagai contoh ... dia kata dia boleh turunkan harga minyak ... maka ... eh, dia kan bekas PM dan bekas Menteri Kewangan ! So what ?!



Aku hanya tersenyum mendengar pendapat dari seorang rakyat luar negara. Yang sudah pasti tidak menjadi ahli mana - mana parti politik di Malaysia.



Syukur Alhamdulillah, aku mendapat 'dua rezeki serentak'. Makan percuma, maklumat percuma.

Thursday, June 05, 2008

Harga BARANG NAIK lagi.

HARI INI, YA HARI INI.



PM kata ini adalah situasi "menang - menang". Aku memang tidak faham langsung. YA, bukan sekadar kurang faham, tetapi memang tidak faham langsung !



"Apek, lu faham ka?"

"Wa pun tak faham, sebab wa kayuh basikal maa ... "



Sunday, June 01, 2008

Sempena 50 TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA.


Bersempena dengan sambutan 50 tahun TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA. Jubli emas. Maka pada awal pagi tadi, aku dibawa oleh adik iparku, seorang Kapten (U), ke Subang.



Sebenarnya, beberapa hari sebelum ini, aku sememangnya keberatan untuk pergi kesana. Apatah lagi dengan kedudukan aku yang masih terumbang - ambing. Kataku kepada isteriku "kalau keluar sahaja dari rumah, tentu nak guna banyak duit, duit minyak, tol, makan minum diluar..."



Isteriku hanya mendiamkan dirinya sahaja. Dia memang faham dengan situasi kami yang begitu kritikal diwaktu ini. Walaupun begitu, hatiku sering terdetik, bila mengenangkan rintihan anak - anakku yang begitu kepingin untuk melihat pertunjukan udara di Subang.



Lagipun, ini bukannya pertunjukan biasa, malah ini adalah sejarah, dimana TUDM mengadakan pertunjukan sempena 50 tahun penubuhannya. Dan yang paling menariknya, pertunjukan iu diadakan begitu dekat dengan kawasan aku di Pelabuhan Klang, dimana jarak perjalanannya tidak sampai 30 minit.



Namun akhirnya, dengan ketentuan Illahi. Tiba - tiba sahaja adik iparku mendapat pelepasan selama dua hari. Beliau yang bertugas di TUDM Kuantan, menalifon isteriku (kakaknya), memaklumkan tentang hasratnya untuk membawa aku sekeluarga ke TUDM Subang. Apa lagi, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, apabila aku menyatakan persetujuan untuk pergi, maka riuh rendah rumahku dengan sorakan kegembiraan anak - anakku (termasuk isteriku).



Inilah dinamakan rezeki. Bukan sekadar dibawa keluar untuk menyaksikan pertunjukan itu, malahan segala kos ditanggung sepenuhnya oleh adik iparku itu. Sementelahan pula beliau masih bujang.



Yang menariknya, kenderaan yang aku bawa itu, telah melepasi semua halangan dikawasan TUDM. Yang sememangnya dikawal ketat. Manakan tidak, adik iparku memakai pakaian (overall) anggota TUDM, berpangkat Kapten. Setiap selekoh atau persimpangan jalan, kami sentiasa menerima tabik hormat. Hingga aku sendiri terasa 'semacam' sahaja.



Lalu aku dengan bersemangat, menyatakan kepada anak - anakku "ingat, kalau nak orang tabik hormat kat kita, kena belajar rajin - rajin, masuk askar" Lalu, dengan spontan anak - anakku menjawab dengan jeritan penuh semangat "baik Tuan!"



Pertunjukan yang diadakan bukanlah setaraf dengan pertunjukan LIMA di Langkawi, tetapi syukur Alhamdulillah, sekurang - kurangnya, anak - anak ku didedahkan dengan jet - jet pejuang tempur dan pertunjukan kecanggihan jet - jet pejuang, khususnya MiG-29N. Yang menunjukkan kehebatannya diudara. Jet MiG-29N adalah diantara jet pejuang yang tercanggih didunia setakat ini.


Dan begitu juga dengan pertunjukan jet SUKHOI, yang ternyata hebat ! Dan memukau hadirin.



Usai pertunjukan, aku dan keluarga telah menikmati makan didaerah TTDI. Maklumlah, 'orang pokai', sewaktu hendak memesan makanan, aku hanya mendiamkan diri sahaja, tetapi syukur alhamdulillah, adik iparku dengan bersahaja telah memesan nasi beriani. Apa lagi, 'bersantaplah' kami sekeluarga dengan penuh nikmatnya.



Anak - anakku begitu gembira dengan pemberian cap - MiG-29N. Dan inilah kenangan yang tidak akan dapat dilupakan.



Syukur Alhamdulillah dengan setiap pemberian dari MU - YA ALLAH.


TERIMA KASIH aku ucapkan buat adik iparku - KAPTEN (U). Jasamu tidak terbalas !