Thursday, September 21, 2006

MEMORI bersama K T M (bahagian pertama)

NOSTALGIA yang masih ku kenang ...

Tahun 1970, kenangan yang tidak akan kulupakan, kerana itulah pertama kali aku menaiki Keretapi, yang ketika itu lebih dikenali sebagai "rail car" oleh pengguna pengangkutan awam tersebut.

Aku dibawa oleh kedua orang tua ku, naik dari Stesen Keretapi Tanjung Pagar (Singapura), ketika itu suasana "panas" 13 Mei, masih terasa, walaupun telah lama berlalu, namun disebabkan kedua orang tua aku, seperti "chinese look", maka kami tidak "terasa gangguan" seperti kaum lain.

Diwaktu itu pekerja am keretapi yang lebih dikenali sebagai "poter", mendapat "habuan" yang agak lumayan, dimana tugas mereka adalah sebagai pembawa bagasi penumpang dari pagar hadapan Stesen ke koc penumpang, kalau koc itu dekat, maka mudahlah mereka "u turn" untuk mendapatkan lagi bagasi penumpang yang lain, tetapi sekiranya, koc penumpang atau "pelanggan" mereka itu berada dekat dengan injin (kepala keretapi) atau dihadapan sekali, maka mereka terpaksa heret dengan troli itu "sejauh mata memandang".



"Perjalanan" aku bersama ibu dan bapaku, memang meletihkan, namun tatap terasa keseronokan yang tidak terucap, apatah lagi jadual perjalanan yang sepatutnya bermula jam 2000 (ini adalah waktu antarabangsa), dan akan menempuh pelbagai destinasi dan stesen, dan dijangka hanya akan tiba di Stesen Besar Kuala Lumpur pada jam 0800, keesokan harinya, ya ... lebih kurang 12 jam !.





Pada waktu itu, hanya ada tiket kelas 3 sahaja, dan tempat duduk adalah TIDAK DIJAMIN !. Oleh sebab itulah, sewaktu di Stesen Tanjung Pagar lagi, penumpang akan berbaris panjang, seawal jam 5 petang, hanya semata - mata untuk mendapatkan tempat duduk, maksudnya, pada tiket memang tertera nombor koc, tetapi tidak dicatatkan nombor tempat duduk .... azab memang azab, khususnya musim cuti sekolah, kerana diwaktu itu, cuti persekolahan Malaysia dan Singapura adalah sama (dan nilai matawang juga adalah sama).

Selain dari suasana dalam koc, yang sentiasa penuh, dan ada ketikanya, sesak macam "ikan sardin", kemudahan yang ada tidak seperti sekarang, namun tetap terasa "nikmatnya", kerana tingkapnya yang boleh dibuka separuh, ini menyebabkan angin dari luar akan terasa masuk kedalam dan begitu terasa nyamannya, tempat meletakkan beg atau bagasi penumpang begitu lebar (dibahagian atas kepala), berjaring, jadi memberi kemudahan kepada penumpang yang mempunyai bayi, kerana boleh diikat tali dan dibuat buaian (endoi - sebutan orang utara), kalaulah "kelebihan" itu dikekalkan, rasanya, tidak ada penumpang yang "resah" dek tangisan si anak kecil, namun kita terpaksa akur dengan perubahan zaman.

Dan dek kerana tingkap yang boleh dibuka tutup itulah, menyebabkan penumpang boleh merokok, dan seperti kelaziman suatu ketika dahulu, pengangkutan awam tidak melarang penumpang untuk merokok.

Walaupun tingkapnya jenis yang boleh dibuka itu, namun kipas besar tetap disediakan, punyalah besar, (memang besar, namun tidaklah sebesar kipas di Masjid Negara, suatu ketika dahulu), dan walaupun bunyi bising (kerana tingkap terbuka), namun bunyi kipas berputar tetap kedengaran.

Tidak menjadi suatu yang aib, jika didalam setiap koc, pasti ada penumpang yang tidur dibahagian tengah (bahagian pejalan kaki), dan kerana situasi inilah, menyebabkan kakitangan keretapi yang bertugas, tidak dapat untuk "melaluinya", untuk memerikasa tiket penumpang, macam mana nak lalu ....ada ketikanya, terdengar pula penumpang yang "bermulut celupar" berkata "macam mana nak masuk encik, dah penuh"!. Ini menyebabkan ada penumpang yang dapat naik keretapi secara "percuma". Tentang hal "naik percuma" ini, bukan sahaja berlaku dahulu, malah sekarang juga banyak berlaku perkara yang sama.

Bab makan dan minum dalam keretapi, memang tidak dapat disangkal kelebihannya, bayangkan, koc buffet, menyediakan makanan yang segar, dengan harga sekitar RM1.00, bagi mee goreng sepinggan, macam makan diluar, penuh berisi, boleh kenyang dibuatnya, terasa "isi" dalam mee goreng tersebut, terasa udang dan daging, terlalu berbeza dengan apa yang disediakan sekarang, bayangkan, air nescafe berharga RM2.50 bagi satu cawan kertas kecil, itupun tak rasa macam nescafe.

Tetapi satu perkara yang tidak dapat dielakkan, dan sentiasa menjadi rungutan kepada penumpang adalah tentang "bekalan air" dalam tandas, sentiasa tidak mencukupi, keretapi baru melalui 2, 3 stesen air dah habis. Namun pujian tetap diberikan kepada pengurusan keretapi, kerana jika ada yang memerlukan air, untuk dibuat susu untuk anak kecil, bagi penumpang yang memerlukan, tunjukkan sahaja botol susu, pasti dapat bekalan air "percuma", dari koc buffet (oh ya, waktu itu koc itu namanya KOC MAKAN).

Setiap kali, keretapi berhenti di stesen, maka penumpang akan turun, walaupun bukan destinasi sebenar, khususnya, bagi mereka yang duduk atau tidur dipintu atau tangga, dan nostalgia yang tidak dapat dilupakan, bilamana keretapi akan mula bergerak, maka Ketua Stesen, akan membunyikan loceng besar yang dihayunkan dengan tangan (kalau loceng ini dibunyikan disebelah telinga, rasanya boleh berdengung seminggu).

Pakaian pekerja keretapi juga berbeza mengikut pangkat dan jawatan, Ketua Stesen memakai seragam warna putih, kerani memakai warna kelabu, manakala pekerja am dan poter, memakai pakaian berwarna cokelat kusam, tidak seperti hari ini, semua kakitangan keretapi memakai pakaian seragam yang sama warna.
Namun, apapun perubahan yang berlaku, KTM tetap melalui arus pemodenan yang ketara, dan hingga kini, memori itu tetap terpahat dihati, dah habis ? .... belum lagi .... ini baru kisah pertama, akan ada sambungannya dalam siri kedua .... kisah aku bertugas sebagai Pekerja Keretapi sebagai Pembantu Trafik.

6 comments:

salmah said...

abang long...seronok kan dapat lalui zaman itu...lagi2 kalau musim hari raya...hmmm gamat! sesuatu yang patut dikongsi dengan anak2 zaman sekarang...

Abang Long said...

salmah,
memang benar, terlalu banyak yang boleh diceritakan dan dikongsi bersama dengan generasi kini.

violet said...

abang long,
saya kadang2 naik ketapi gak..slalunya tidur selalu di ganggu oleh pakcik yang jual nasi lemak...setiap kali saya naik dialog dia sama. kadang2 jadi bahan ketawa orang...hmmm...tapi kebelakangan dia dah tak da...p mana agaknya

Abang Long said...

violet,
betulkah ?, sebab abang long kenal benar dengan pakcik tu, sebab dia seorang sj yang dapat berniaga diatas tren, kerana itu adalah sumber pendapatannya untuk menyara keluarga, sewaktu abang long bertugas, dia selalu beri karipap percuma, tapi tak tergamak nak ambil, sebab dia orang susah .... tapi mulutnya yang sentiasa berceloteh, membuatkan penumpang tersenyum ...

cwazy wabbit said...

abang long..
wabbit selalu balik kg amik coach tempat tidur.. :D tapi yg tak syoknya ada jer bunyi2 sumbang.. *dengkur* :p

Abang Long said...

wabbit,
itu bukan bunyi "sumbang", itu bunyi "sumbing" ...