Jalan - Jalan Cari Duit.
Dalam seminggu ini, aku begitu sibuk berjalan - jalan untuk mencari duit. Tetapi anehnya, dua kali aku terjumpa duit, tetapi aku langsung tidak ambil.
Kali pertama sewaktu aku sedang bercakap dengan sebuah badan kerajaan melalui telefon awam, tiba - tiba sahaja sewaktu aku meletakkan tangan diatas kotak telefon, aku terasa sesuatu, dan bila aku ambil, rupa - rupanya duit syiling 50 sen sebanyak 3 keping. Namun, aku meletakkan kembali ke tempat asalnya.
Kali kedua, sewaktu aku meletakkan motor aku dihadapan pejabat Lembaga Zakat Selangor. Tiba - tiba sahaja mata aku terpandang segumpal kertas, diatas jalan. Bila aku ambil, rupa - rupanya sehelai wang kertas RM1.00. Aku pandang kiri dan kanan. Hati aku berasa tidak selesa. Dan aku letakkan kembali diatas jalan. Walaupun aku memang memerlukan wang yang amat mendesak, tapi hati aku berkata "bukan ini caranya."
Alahai ... tajuk diatas bukankah jalan - jalan cari duit, tapi bila sudah terjumpa, kenapa tidak ambil ?
Maaf, tujuan dan matlamat aku ialah untuk mencari peluang dan rezeki yang diusahakan sendiri. Sudah genap satu tahun aku berusaha dengan pelbagai cara. Namun, masih belum menemui kejayaan.
Setelah aku dihentam kiri, kanan, atas dan bawah. Dengan satu persoalan - KALAU SUDAH TIADA REZEKI DENGAN MAKAN GAJI, KENAPA ENGKAU TIDAK MEMULAKAN PERNIAGAAN KECIL?"
Sedih memang sedih. Orang hanya tahu mengkritik, tetapi yang melalui segala kegelapan ini cuma aku dan isteri sahaja. Alhamdulillah, atas nasihat dari seorang ustaz. Aku tidak menjawab, kerana lagi banyak aku menjawab, akan bertambah derita yang menimpa. Aku hanya tersenyum dan mengangguk.
Atas bimbingan dari seorang sahabat yang berbangsa China. Beliau memberikan panduan satu demi satu, setapak demi setapak. Untuk aku bangkit semula. Setiap kali memberikan nasihat, setiap kali itulah dia menggenggam PENUMBUK ke arah aku. Tanda semangat yang kental !
Aku belajar banyak perkara, terlalu banyak pengalaman yang aku kutip. Sepanjang Jalan - Jalan Cari Duit.
Aku pergi pejabat Lembaga Zakat. Aku berbincang untuk mendapatkan pinjaman. MasyaAllah, begitu banyak prosedur yang perlu diikuti. Terlalu banyak borang yang perlu diisi. Dan begitu ramai orang atau VIP yang aku perlu temui - Ketua Kampong, Imam, ADUN, dan Pegawai Kerajaan yang lain.
Cuma satu soalan sahaja yang agak menghiris perasaan aku. "Dalam borang ini Encik mengisytiharkan diri sebagai fakir miskin, tetapi Encik ada kereta dan motor?"
Dalam kesabaran ditahap maksimum aku menjawab "kenderaan itu saya beli 'second hand' hampir 10 tahun yang lalu, sewaktu saya masih kaya." Aku menjawab sinis.
InsyaAllah, permohonan ini akan diproses dan menunggu tempoh antara 6 bulan ke satu tahun.
Aku diam. Tidak menjawab walau sepatah. Aku memberikan salam dan beredar dari situ dengan seribu kekesalan.
Aku pergi ke pejabat
TEKUN. Diberikan penerangan begitu panjang lebar oleh pegawai yang bertugas. Aku diam sewaktu dimaklumkan yang aku perlu membuat kertas kerja yang lengkap. Dari sessi soal jawab yang berlangsung. Jelas kelihatan pegawai ini tidak berfikir diluar kotak pemikiran.
Aku bertanya "antara syarat pinjaman ialah, saya perlu membuktikan kejayaan atau proses perniagaan saya selama ini, bagaimana saya boleh membuktikannya, sedangkan saya belum memulakan sebarang perniagaan, dan kehadiran saya kesini ialah untuk membuat pinjaman bagi MEMULAKAN bisnes?"
Soalan kedua yang aku berikan ialah "Bagaimana saya boleh membuktikan arus aliran tunai didalam bank simpanan saya, seandainya dalam tempoh satu tahun ini saya tidak bekerja dan tidak mempunyai sumber pendapatan?"
Dan kedua - dua soalan itu langsung tidak dapat dijawab oleh pegawai itu, dan beliau hanya menyarankan supaya aku mengisi sahaja borang itu dan serahkan kembali bersama surat sokongan, sekurang - kurangnya dari Ketua Bahagian UMNO.
Yang pasti aku tidak akan berjumpa dengan ALONG. Walaupun ada yang memberikan jaminan untuk memberikan kemudahan itu kepada aku. Kerana aku telah berjaya membuktikan yang aku boleh dan berupaya untuk membuat pembayaran 'on time.'
Dan ALONG itu telah menjadi rakan karib. Namun biarkah setakat berkawan sahaja.
Ada beberapa tempat lagi yang aku telah pergi, dan aku akan ceritakan kemudian ... bersambung ...
SENYUMLAH WALAU GAGAL, KERANA JIKA TIDAK SENYUM ANDA TELAH GAGAL DUA KALI, KALI PERTAMA IALAH SEWAKTU ANDA GAGAL UNTUK TERSENYUM.