Bisnes
BATU atau
SABUT.
Satu analisis kritikal.Walaupun baru 5 kali aku membuka tapak gerai. Iaitu, satu di ekspo, 1 di Seksyen 7, Shah Alam, dan 3 di Sri Andalas, Klang. Namun, kesemuanya belum menampakkan hasil yang baik dan menguntungkan. Semuanya masih dalam kategori 'belum pulang modal'.
Aku merasakan kehidupan aku semakin perit, semakin azab, semakin derita. Sedih, memang sedih. Pilu, memang pilu. Sayu, memang sayu.
Semua langkah yang diambil hanya menunjukkan tanda KEGAGALAN.
Sebagai peniaga, kita mesti sentiasa 'alert'. Ya, aku memang 'alert' dengan situasi sekeliling. Malahan, setiap pergolakan di sekitar aku, yang membabitkan 'perebutan' untuk mengambil hati rakyat oleh dua parti terbesar tanah air juga aku ambil berat. Parti mana yang hendak menjalankan program, dan ada slot bisnes, maka, aku tidak teragak - agak untuk turut serta menambah pendapatan.
Perincian yang membuatkan aku gundah gulana:
Bagi satu tapak, aku perlu membayar sebanyak RM20.00 kepada pihak FAMA negeri. Dan bagi tapak di Sri Andalas, aku perlu membayar wang tambahan sebanyak RM20.00, untuk urusan kebajikan peserta tapak. Manakala bagi tapak di Sek. 7, Shah Alam, aku perlu membayar sebanyak RM30.00 bagi tujuan pemasangan kanopi dan bekalan elektrik.
Ini bermakna. RM50.00 untuk satu tapak di Shah Alam.
RM40.00 X 3 = RM120.00 untuk tapak di Klang.
RM50.00 bagi ekspo.
Duit minyak bagi 5 kali perjalanan untuk setiap tapak = RM50.00.
Jumlahnya: RM270.00
Ini tidak termasuk duit tol, makan minum dan bayaran untuk penggunaan tandas.
Wang masuk atau keuntungan untuk semua tapak adalah sebanyak RM160.00. (bab ini, aku bukan lagi rasa macam nak menangis, tapi memang aku sedang menangis !)
Ini bermakna, wang untuk pelepasan hutang kepada orang tertentu, belum dapat dilangsaikan dalam jarak waktu terdekat.
Setakat ini, aku belum mampu untuk membeli generator yang berharga sekitar RM300.00 (aku tidak pasti, ada pengunjung yang tahu harga yang lebih rendah dari itu).
Ramai teman peniaga yang menyarankan aku supaya membeli beberapa buah bakul besar. Sebagai kemudahan untuk meletakkan barangan supaya tahan lama. Ini kerana buat masa ini, aku hanya menggunakan kotak kertas sahaja. Dimana, bakul besar itu boleh dibeli dipejabat FAMA dengan harga RM25.00 (peniaga tidak pasti berapa harga sekarang, kerana itu adalah harga 2 tahun lepas). Dan meneliti kuantiti barangan yang aku bawa, mereka menyarankan supaya aku membeli 3 buah (paling minimum). Aku hanya tersenyum tawar dengan saranan itu. Yang pasti, aku sudah terasa hendak pitam.
Faktor cuaca. Ada orang kata, hujan membawa rezeki. Ya, aku percaya. Dimana, dalam 5 kali aku buka tapak gerai. 3 kali, hujan turun mencurah - curah lebatnya. Dan aku hanya menerima 'kunjungan' seramai kurang dari 10 orang. Dan hanya 4 orang membeli dadih, manakala seramai 6 orang hanya 'melihat' barang dagangan yang aku bawa.
SEBARAN AM. Dengan kemudahan teknologi yang ada. Aku gunakan semaksimum mungkin. Aku edarkan pamplet atau risalah tentang produk dadih dan barangan herba, melalui blog ini, emel, diedarkan ke seluruh masjid dan surau sekitar Klang dan Pelabuhan Klang. Malahan, aku edarkan kepada ahli UMNO, PAS, KeADILan dan DAP. Sewaktu mereka hendak bermesyuarat. Wang untuk fotostat sahaja telah mencecah RM60.00 (nasib baik ada tabung anak).
Dan setakat ini, aku hanya menerima tempahan dadih sebanyak 200 bekas untuk sebuah program DAP cawangan Pandamaran. Penghantaran adalah PERCUMA, kerana Pandamaran termasuk di dalam Parlimen Pelabuhan Klang.
Aku mendapat nasihat dan teguran dari peniaga yang bersimpati. Dimana, mereka menyatakan bahawa produk yang aku niagakan tidak bersesuaian dengan 'tema' lokasi perniagaan. "Cuba, Saudara perhati, cuma Saudara seorang sahaja yang berniaga barangan herba, dan dadih, dan yang 'bergerak' hanyalah dadih. Barangan herba ni, sesuai untuk tapak ekspo atau pameran perniagaan atau pesta, abang nasihatkan supaya kamu cuba perniagaan kering, seperti jual ikan kering dan ulam - ulam..."
Aku hanya memandang anak mata peniaga senior ini dengan pandangan yang cukup sayu. Terharu dengan nasihat yang begitu ikhlas untuk membantu saudara sebangsa dan seagama.
Bila aku perhatikan senarai tapak yang disediakan oleh FAMA, didapati hampir satu ratus tapak jualan disediakan. Tetapi, hingga kini, aku hanya dapat memilih dua lokasi sahaja, iaitu di Sri Andalas dan Shah Alam. Itupun, aku terpaksa pilih kerana lokasinya yang berdekatan dengan rumahku. Faktor utama adalah kerana, van yang aku gunakan tidak mampu untuk bergerak jauh, itupun van itu aku pinjam (dari mertua aku).
Setiap tapak perniagaan dibawah FAMA, maka kanopi dan lampu disediakan oleh pihak penganjur. Ini bermakna, jika aku berhasrat untuk membuka tapak gerai pasar malam dibawah JKKK. Maka payung sendiri mesti dibawa, setakat ini aku hanya ada sekaki payung sebesar 8 X 8 dan keadaan payung itu juga telah koyak sedikit. Ramai peniaga yang menyarankan supaya aku membeli kanopi. Kerana zaman berniaga menggunakan payung sudah tidak relevan lagi. Malahan penggunaan kanopi seluas 10 X 10 adalah paling effisien. Malah boleh bertahan seandainya angin bertiup kencang di kawasan perniagaan.
Hasil tinjauan, aku mendapati bahawa harga terendah yang boleh diperolehi adalah RM220. Itupun di pekan Banting. Dan seorang pakcik bersedia membelikan kanopi itu "kalau kamu percaya pada pakcik, pakcik boleh tolong belikan, kamu tak payah susah nak pergi kesana, pakcik ikhlas nak tolong, pakcik rasa sedih sangat dengar cerita kamu ni..."
Aku hanya mendongak, memandang ke langit terbuka.
Sebagai seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah. Aku telah melakukan sebaik mungkin apa sahaja suruhan dariNya. Apa sahaja zikir yang yang mustajab, telah aku lakukan. Segala jenis solat sunat, aku telah rasakan dan menjiwai. Do'a ma'thurat menjadi basahan bibir. Ayat seribu dinar menjadi amalan dikala matahari terbit hingga bulan menampakkan diri.
"Ya ALLAH, seandainya ini semua adalah kifarah kepada dosa ku, maka aku hanya mengharapkan pengampunan dari MU. Hanya aku bermohon kepadaMU Ya ALLAH, berikanlah kasih sayang dan simpati serta redha MU kepada anak - anakku yang masih kecil, sebagaimana limpahan kasih sayang yang dicurahkan oleh ibuku kepadaku".
Kepada pengunjung sekalian. Dengan penyiaran entri pada kali ini, aku MEMBUKA peluang dan ruang untuk sesiapa sahaja untuk - memberikan sebarang cadangan, maklumbalas, malah aku bersedia menerima TEGURAN, KRITIKAN, CERCAAN DAN HENTAMAN dari sesiapa sahaja. Supaya aku tahu dimana kekurangan aku, untuk diperbaiki. Yang penting, aku dapat menghidupkan anak - anakku. Kerana mereka adalah AMANAH buatku.
Gelanggang sudah DIBUKA dan aku tidak akan melawan.