Ketupat Pulut Daun Palas.
Satu ketika dahulu. Disebuah kampong. Ada seorang pemuda, yang sejak dari kecil lagi, setiap kali menyambut hari raya. Pemuda itu memang suka memakan Ketupat Pulut Daun Palas. Kemana sahaja ia pergi untuk berhari raya, samada bersama sahabat, rakan dan saudara, mahupun jika berjalan bersama keluarga. Jika tuan rumah menghidangkan Ketupat Pulut Daun Palas, maka itulah makanan yang akan dimakan oleh pemuda itu.
Dan seandainya tuan rumah tidak menghidangkan Ketupat Pulut Daun Palas. Maka pemuda ini akan berdiam diri dan ada ketikanya bermuram durja, menahan perasaan dan keinginan yang meluap - luap.
Pemuda itu pernah berkata, Ketupat Pulut Daun Palas yang dimasak oleh Nendanya adalah yang tersedap didunia. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menandingi keenakan Ketupat Pulut Daun Palas yang dibuat oleh Nendanya.
Malahan, disegenap ceruk rantau negeri Perak Dua Butir. Pemuda ini akan membuat uji kaji sendiri. Setiap rumah yang pemuda ini pergi. Maka, pemuda ini akan merasa, menjilat, mengunyah dengan amat perlahan seumpama seorang Chef, akan setiap ketulan Ketupat Pulut Daun Palas yang masuk kedalam mulutnya, semata - mata untuk merasai akan tahap kesedapan dan kenikmatan Ketupat Pulut Daun Palas, dan pemuda ini akan membandingkan Ketupat Pulut Daun Palas yang dimakannya dengan Ketupat Pulut Daun Palas yang dibuat oleh Nendanya.
Namun kini, semuanya tinggal kenangan. Akibat angin puting beliung, gempa bumi, dan tsunami yang tidak reda melanda diri pemuda ini. Akhirnya pemuda ini hanya memandang sepi akan kehadiran Ketupat Pulut Daun Palas yang disukai, digemari, digilai dan yang disayanginya.
Apatah lagi dengan Nenda yang sudah lama meninggalkan alam yang fana ini. Maka pemuda ini sudah tidak ghairah lagi untuk mencari, memakan, dan hilang sudah ghairah untuk bercerita tentang Ketupat Pulut Daun Palas.