Friday, October 30, 2009

Mesin Gegar Badan


Ilmu baru. Dari komputer ke Mesin rumput.


Dahulu, setiap kali aku melihat orang yang melakukan kerja memotong rumput. Aku terfikir, mudahnya kerja mereka. Hanya yang aku tak boleh tahan ialah bunyi dengung mesin pemotong rumput yang begitu bising dan bingit.


Rupanya, menggunakan mesin rumput juga terlalu banyak ilmu yang perlu dipelajari. Jenis rumput yang hendak dipotong, waktu paling sesuai dan selesa untuk dipotong, cara dan gaya hendak memotong rumput.


Itu belum termasuk lagi, luas kawasan, kawasan 'siapa,' penjagaan mesin dan pelbagai lagi. Juga kita tidak boleh menawarkan harga perkhidmatan kita jauh lebih rendah dari harga yang 'ditetapkan' dalam pasaran, kerana bakal mengundang risiko yang tidak sedikit.


Setakat ini, aku cuma menyewa mesin rumput dari seorang sahabat. Bila aku membuat kajian, aku dapati, harga sewa mesin rumput memang tidak masuk akal. Tetapi, biarlah. Yang penting aku perlu kerja dan mendapat ilmu.


Itu belum lagi termasuk ilmu 'terjatuh' kedalam longkang. Aku memang tahu ada longkang yang dilitupi rumput, tetapi aku tidak tahu betapa dalamnya longkang itu !



abang long

Thursday, October 29, 2009

Talian Hayat atau Internet ?


20 tahun VS 20 bulan.


Selama 20 tahun aku bekerja. Aku telah menghadap komputer dari pelbagai jenis. Namun, kesemuanya aku lakukan disatu tempat sahaja, iaitu didalam pejabat.


Dan selepas tidak bekerja tetap. Selama 20 bulan ini. Aku telah menggunakan komputer dipelbagai tempat. Aku pernah menggunakan komputer di rumah, didalam kedai Cyber Cafe, dirumah orang, didalam kereta, didalam tren, diatas jambatan, di Taman Tasek dan paling mengujakan aku pernah menggunakan komputer di tepian batas bendang.


Tetapi, kesemua komputer dan komputer riba yang aku gunakan dipelbagai tempat itu adalah hak milik sahabat - sahabat aku.


Tidak lama lagi. Blog ini akan mengalami nasib yang tidak menentu. Kerana kedudukan kawasan atau tempat tinggal aku di utara tanahair mengalami masalah laluan internet. Aku tidak akan menggunakan komputer riba, atas masalah kegawatan ekonomi yang memuncak. Malangnya, dikawasan tempat tinggal aku itu kelak, tiada kedai komputer, dan tidak ada langsung walaupun sebuah kedai Cyber Cafe.


Setelah difikirkan keutamaan dalam kehidupan. Aku merenung jauh. Lantas aku teringat. 30 tahun yang lalu. Aku tidak pernah 'menyentuh' komputer. Dan kehidupan tetap aman, damai dan sentosa.


Waktu lapang, aku dan rakan - rakan akan bermain bola ataupun sepak takraw. InsyaAllah tradisi itu akan dapat disambung semula.


Tetapi aku rasa, bila keadaan ekonomi aku telah pulih sepenuhnya, aku akan menyambung semula talian untuk berinteraksi bersama rakan di alam maya. Ataupun aku perlu berkayuh sejauh hampir 10 km untuk mendapatkan perkhidmatan internet.


Bolehkah aku mendapatkan berita sepantas kilat ? Baru 10 minit kejadian jambatan runtuh di Perak, aku sudah mendapat maklumat dalam internet. Tetapi, bila mendapat berita seumpama itu, apa yang dapat kita lakukan ? Sekadar membaca dan bersedih. Itu sahaja, ya, setakat itu sahaja.

Wednesday, October 21, 2009

Kategori 40 tahun keatas. 40SX

Bukan aksi terlampau ...


Selesai tugasan untuk membangunkan blog sebuah pusat tahfiz, waktu menghampiri pukul 12.00 tengah malam. Mata terasa begitu berat. Badan terasa amat letih.


Aku melangkahkan kaki masuk kedalam kamar. Isteri aku sedang nyenyak tidur. Dengan lafaz Bismillah ... aku merebahkan tubuh diatas ranjang. Dalam cahaya bilik yang suram aku merenung ke bahagian siling.


Disaat mata hampir terkatup. Tiba - tiba isteri aku mengalihkan tubuhnya menghadap aku dan tangannya terus terlekap didadaku. Aku dapat mendengar hembusan nafasnya hampir ke corong telinga aku.


Tiba - tiba aku dikejutkan dengan ucapan:


SELAMAT HARI JADI. Semoga panjang umur, murah rezeki, sihat tubuh badan, cerdas akal fikiran, bertambah iman, kuat semangat ... AMIN, AMIN, AMIN, Ya Rabbal 'ALAMIN. Itulah bisikan isteri, seawal pukul 12.01 minit pagi tadi. TERIMA KASIH. :)


Tidak ada apa yang mampu aku perkatakan lagi. Dengan ucapan kudus dari isteri tercinta ...



# Hampir dua jam kemudian. Aku bermimpi mendapat Kek Coklat. Terasa benar nikmat berganda.

Tuesday, October 20, 2009

Lebaran terlajak. Bukan 30 tapi 36.


Lebaran terlajak.


Meriahnya Lebaran melebihi meriahnya Ramadan. Itulah kesimpulan yang boleh dibuat. Bila ditinjau situasi yang berlaku dinegara kita Malaysia, khusunya di Pantai Barat Semenanjung.


# Gambar disebelah ialah antara novel yang dihasilkan oleh Nekchun.


Apabila aku melihat sambutan hari lebaran dinegara - negara lain. Masyarakat Islam diluar negara hanya menyambut hari lebaran cuma sehari atau dua hari sahaja. Tetapi di Malaysia, lagu raya telah berkumandang sebelum umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan lagi.


Malahan, lebih tersentak bilamana ada umat Islam yang menyatakan bahawa, disebabkan kita menjalani ibadah puasa enam hari dalam bulan Syawal. Bermakna kita perlu beraya hingga 36 hari.


Berbalik kepada kisah raya. Minggu lepas, Alhamdulillah, aku menerima jemputan untuk menghadiri rumah terbuka. Satu dirumah sahabat berhampiran dengan rumah aku. Dan satu lagi dirumah seorang teman penulis blog @ seorang rakan FB @ seorang Nekchun @ seorang Novelis.


Majlis yang diadakan begitu santai. Aku dan famili menjamu selera dengan suasana yang cukup selesa. Juadah yang menyelerakan. Dan anak - anak aku paling gembira. Kerana salah satu menu utama ialah coklat.


Makanan yang disediakan ialah hasil buatan Nekchun sendiri. Ringkas tapi memang menyelerakan. Namun, kami terpaksa menghadkan pengambilan makanan. Kerana, selepas jamuan di rumah Nekchun. Kami terpaksa bergegas pulang. Kerana ada satu lagi majlis di Masjid Terbuka dikampong aku.


Seperti yang diutarakan oleh seorang penceramah dalam majlis forum dan Masjid Terbuka itu. Rumah Terbuka ada ada sisi baik dan buruknya. Sebagai umat yang berilmu, utamakan Sunnah dalam setiap tindakan kita. Yang penting, jangan ada pembaziran, bukan hendak menunjuk - nunjuk dan elakkan percampuran bebas lelaki dan perempuan.


Kepada Nekchun. TERIMA KASIH atas jemputan itu. Masih terasa keenakan popiah.

Friday, October 16, 2009

BLOG & FB. Mempertemukan Dunia.

Utara, Selatan, Timur, Barat, Barat Daya, Timur Laut, Tenggara, Asia Tengah, Asia Barat, Eropah, Amerika Utara.
Kalau dahulu, apabila kita bertemu dengan sanak - saudara, sahabat dan rakan taulan. Antara soalan yang paling popular ialah:


1 - "Berapa hari bercuti ?"
2 - "Tak kerja hari ini ?"
3 - "Berapa orang anak kamu ?"


Masuk tahun 80'an. Soalannya telah bertambah:

1 - "Apa nombor telefon bimbit kamu ?"


Selepas masuk alaf baru. Soalan bertambah lagi:


1 - "Apa alamat emel kamu ?"



Kini, soalan bertambah lagi:


1 - "Apa nama blog kamu, tolong bagi alamat URL nya ?"
2 - "Kamu ada FB ?"



Bila anak ada FB, bila mak dan ayah ada FB, Bila adik - beradik ada FB, bila sanak - saudara ada FB, bila ibu dan ayah saudara ada FB. Terasa meriahnya dunia IT.


Abang menetap di Adelaide, menulis dalam FB "hari ini tidak kemana, salji terlalu lebat." Lalu disampuk oleh adiknya yang belajar di Universtiti Jordan "Hari ini saya demam". Lalu dinasihatkan oleh ibunya yang tinggal di Taiping, Perak "Azman, berehatlah dirumah". "Ain, minum air suam banyak - banyak". Lalu ditegur oleh Tok Wan yang tinggal di Gelang Patah, Johor "Atuk sentiasa mendoakan kesihatan kamu semua ... bila nak datang rumah Tok?"


Itulah senario hari ini. Terasa Adelaide dan Jordan itu seperti di 'sebelah rumah' sahaja ...


Begitulah aku. Kini, sedang dalam rangka menjalankan projek untuk mempertemukan seluruh ahli keluarga yang berasal dari KETURUNAN BANJAR. Rasanya dengan adanya teknologi - BLOG & FB, tugasan ini tidaklah terlalu sukar.

Wednesday, October 14, 2009

NENEK dari SINGAPURA


Nenek Singapore.


Hampir 10 tahun tidak bertemu. Akhirnya, petang semalam, sewaktu pulang dari mengambil anak dari sekolah. Aku mendapat sms dari kakak saudara yang tinggal di Sri Hartamas, memaklumkan yang ibubapa saudara kini sedang berada di KL.


Tanpa berlengah, selepas berbincang dengan isteri. Kami terus bersiap. Usai solat Maghrib, kami terus bertolak ke Sri Hartamas.


Pertemuan yang benar - benar terasa syahdu. Terasa sebesar nikmat apabila dapat bertemu dengan kedua ibu bapa saudara yang datang dari Singapura. Bukan mudah untuk aku menjejakkan kaki ke Singapura akibat dari pelbagai ujian yang melanda. Dan kini, Allah permudahkan urusan. Bilamana ibu dan bapa saudara yang menetap di Singapura dibawa oleh anaknya untuk tinggal beberapa hari di KL.


Barulah anak aku tahu kisah sejarah apabila aku menerangkan cerita atau kisah lampau. Dimana, dirumah ibu dan bapa saudara aku inilah aku dilahirkan, iaitu di - Jalan Ubi off Jalan Nanas, Geylang, Singapura. Kisah permulaan hidup aku - lebih 40 tahun yang lalu.


Sesungguhnya, ayah saudara aku yang dipanggil Abah Mid (Abdul Hamid), yang sedang uzur tidak dapat menahan sebak apabila kami bertemu. Air matanya bergenang apabila aku mencium tangannya dan memeluk erat tubuhnya yang benar - benar uzur. Beliau menghadapi masalah kesihatan akibat katarak dibahagian mata.


Semalam, aku berbual rancak dengan ibu saudara (Hajjah Maimunah Binti Abdul Hamid). Aku banyak bertanya tentang asal usul keturunan kami. Aku berharap sangat untuk bertemu lagi bagi membicarakan soal leluhur keluarga. Kerana, aku bimbang jika sekiranya generasi emas ini pergi buat selama - lamanya. Maka, aku tidak pasti, siapa lagi yang mampu untuk menceritakan kisah sejarah lampau yang memakan usia ratusan tahun.


Malam tadi kami dijamu dengan - BEEHON GORENG SINGAPORE. Terasa begitu enak sekali, masakan yang tidak menggunakan minyak yang banyak. Aku sendiri makan bertambah. Terasa begitu nikmat makan bersama sebuah keluarga besar.


Sewaktu pulang, aku diberikan ole - ole berupa buah kurma. Isteri hanya memandang dengan senyuman, kerana dia tahu, aku memang - HANTU KURMA. Satu beg besar - Alhamdulillah.

Monday, October 12, 2009

JAMUAN HARI RAYA

Makin hujung makin rancak ...


"Agaknya, bagaimana kalau ada 35 hari dalam sebulan?" Itulan soalan yang dikemukakan oleh isteri aku, sewaktu dalam kereta menuju ke rumah seorang sahabat yang mengadakan jamuan hari raya dan rumah terbuka.


Semalam, dari awal pagi lagi, aku dan keluarga melangkah penuh riang ke Dewan MPK, Telok Pulai, Klang, untuk menghadiri Rumah Terbuka ADUN Selat Klang, YB Dr. Hjh Halimah Ali. Beliau merupakan ADUN dari PAS. Beliau juga merupakan Exco Pendidikan dan Pendidikan Tinggi. Kerajaan Negeri Selangor.


YB merupakan seorang yang begitu mesra dengan rakyat. Ramai yang menyatakan bahawa mereka langsung tidak kekok, atau janggal, atau merasa terpinggir, atau merasa malu alah bila bersama dengan YB.


Aku perhatikan, dalam kebanyakan majlis yang YB hadiri. Beliau akan sedaya upaya untuk bertemu dan bersalam dan berpelukan dengan sebanyak mungkin kaum wanita dan para muslimat yang hadir dalam mana - mana program.


Jamuan hari raya yang dianjurkan oleh Pejabat ADUN, terasa begitu meriah dengan kehadiran tetamu dari pelbagai bangsa. Dan pelbagai juadah yang enak disediakan.


Dikesempatan ini, aku hanya ingin mencadangkan beberapa perkara untuk menambah baik majlis yang akan dianjurkan oleh Pejabat ADUN dimasa hadapan.



1 - Seandainya boleh, diharap dapat menyediakan khemah diluar dewan. Dan sediakan meja dan kerusi untuk tetamu menjamu selera. Kerana aku mendapati perkara yang sama berulang, dimana tetamu yang hadir begitu ramai, hinggakan ada wanita mengandung dan ada ramai wanita yang terpaksa mendukung anak dan makan dan minum sambil berdiri.



2 - Bagi setiap gerai yang menghidangkan makanan. Tolonglah rasa makanan itu terlebih dahulu, kerana ada makanan yang kurang menepati cita rasa sebenar. Tidak menepati ISO. Sebagai contoh, gerai yang menyediakan Mee Kari. Ramai yang memberikan maklumbalas yang sama, iaitu - kurang garam. Secara keseluruhannya, makanan yang disediakan oleh lain - lain gerai memang sedap.


3 - Kalau boleh, setiap Ahli Jawatankuasa Majlis, diharap tidak sahaja menunggu dan menyambut kehadiran tetamu, tetapi bertemulah, bersalamlah, menyapa dan beramah mesra dengan tetamu yang sedang menjamu selera. Kerana, diwaktu itulah yang paling sesuai untuk beramah mesra. Cuba bayangkan, seorang tetamu (rakyat jelata) yang selama ini sibuk dengan urusan harian hingga tidak kenal dengan aktivis dan pimpinan masyarakat, tiba - tiba disapa dengan penuh mesra oleh - YB, Staff Pejabat ADUN, IMAM Masjid, Ketua Kampong, Para Ulamak, para Ustaz dan sebagainya. APAKAH PERASAAN TETAMU (Baca: RAKYAT) diwaktu itu ?



# Kalau boleh, kalau boleh. Lebih seronok kalau IMAM MASJID atau Ketua Kampong atau Ustaz, duduk sekali dengan tetamu yang sedang menjamu selera. Berbual dan beramah mesra. Ini sebagai contoh sahaja :)


Secara kesuluruhannya, majlis yang berlangsung begitu meriah dan berjaya. TAHNIAH kepada YB Dr. Hjh Halimah dan jawatankuasa pengurusan majlis.


Usai program itu, aku terus pulang ke rumah dan menghadiri majlis rumah terbuka seorang jiran.


Selepas menjamu selera. Aku dan keluarga terus pulang kerumah untuk berehat sebentar. Sementara itu, aku dan anak - anak menunaikan solat Zohor di masjid. Pulang sahaja kerumah, kami terus bersiap untuk menghadiri sebuah lagi rumah terbuka di rumah seorang sahabat di Sungai Saim, Rantau Panjang, Klang.


Belum hilang penat. Selepas hampir sejam disitu. Kami terus memohon diri dan terus menuju ke sebuah lagi rumah di Pandamaran Jaya, Klang. Sebuah rumah sahabat yang mengadakan rumah terbuka dengan begitu sederhana sekali. Alhamdulillah, perut sudah penuh. Mata terasa mengantuk. Badan terasa begitu letih.


Nasib baik, program rumah terbuka semuanya dalam kawasan Klang. Andainya diluar kawasan, rasanya terpaksa ditolak. CEK TAK SANGGUP ! Hehehe ...






# Pemidang sambutan program di atas pentas utama.
















# Dihadapan sekali ialah barisan jawatankuasa program.

# Tetamu dari pelbagai bangsa sedang menjamu selera.
















# Antara gerai yang menhidangkan pelbagai juadah untuk tetamu.















# Pandangan sisi, YB Dr. Hajjah Halimah Ali. ADUN Selat Klang dan Exco Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.






Tuesday, October 06, 2009

MANISNYA LEBARAN


Manisnya KOPI.


Sewaktu berkunjung ke rumah seorang sahabat dihari raya ini. Aku dan isterinya hanya tersenyum memandang seorang lelaki yang berusia pertengahan 70'an. Maaf ya. Tetapi, aku rasa perkataan yang boleh aku gunakan ialah lelaki tua itu agak gatal.


Bukanlah tindakan lelaki itu keterlaluan. Tetapi dari percakapan, gerak tubuh dan pandangan matanya menggambarkan yang lelaki tua itu menaruh harapan yang tinggi untuk 'mendapatkan' seorang wanita sebagai pasangan hidupnya.


Aku tidak mahu bertanya lanjut. Tetapi dari situasi diwaktu itu. Aku rasa, si lelaki itu memang berhajat untuk memiliki wanita yang menjadi idamannya. Apatah lagi, si wanita yang aku agak berada didalam usia 60'an juga telah menunjukkan bibit - bibit menyukai si lelaki.


Bayangkan si lelaki dengan senyuman tersimpul bertanya siapakah yang membuat air kopi yang terhidang. Lantas dijawab oleh tuan rumah, bahawa 'si minah' yang membancuhnya. Dengan bersahaja si lelaki tua ini menjawab "patutlah sedap ... manis secukup rasa" sambil menjeling ke arah wanita idamannya. Dan si wanita itu pula memberikan maklumbalas yang cukup positif, dengan menjeling ke arah si lelaki.


Aku hanya tersenyum simpul melihat gelagat dua orang tua yang sedang dilamun percintaan di hari lebaran.


Aku agak. Aku rasa. Ramai diantara kita yang pernah mengalami dan menjalani 'proses' yang sama. BERCINTA di hari raya. Si Teruna bertandang ke rumah Si Dara di hari raya. Diusik oleh rakan dan sahabat.


Dengan rasa TIDAK MALU. Aku mengaku. Aku juga pernah mengalami situasi yang sama. 19 tahun yang lalu.


Oh ............................................................................ INDAH sungguh Hari Raya ...

Monday, October 05, 2009

Kesukaan Pemuda Perak Dua Butir


Ketupat Pulut Daun Palas.


Satu ketika dahulu. Disebuah kampong. Ada seorang pemuda, yang sejak dari kecil lagi, setiap kali menyambut hari raya. Pemuda itu memang suka memakan Ketupat Pulut Daun Palas. Kemana sahaja ia pergi untuk berhari raya, samada bersama sahabat, rakan dan saudara, mahupun jika berjalan bersama keluarga. Jika tuan rumah menghidangkan Ketupat Pulut Daun Palas, maka itulah makanan yang akan dimakan oleh pemuda itu.


Dan seandainya tuan rumah tidak menghidangkan Ketupat Pulut Daun Palas. Maka pemuda ini akan berdiam diri dan ada ketikanya bermuram durja, menahan perasaan dan keinginan yang meluap - luap.


Pemuda itu pernah berkata, Ketupat Pulut Daun Palas yang dimasak oleh Nendanya adalah yang tersedap didunia. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menandingi keenakan Ketupat Pulut Daun Palas yang dibuat oleh Nendanya.


Malahan, disegenap ceruk rantau negeri Perak Dua Butir. Pemuda ini akan membuat uji kaji sendiri. Setiap rumah yang pemuda ini pergi. Maka, pemuda ini akan merasa, menjilat, mengunyah dengan amat perlahan seumpama seorang Chef, akan setiap ketulan Ketupat Pulut Daun Palas yang masuk kedalam mulutnya, semata - mata untuk merasai akan tahap kesedapan dan kenikmatan Ketupat Pulut Daun Palas, dan pemuda ini akan membandingkan Ketupat Pulut Daun Palas yang dimakannya dengan Ketupat Pulut Daun Palas yang dibuat oleh Nendanya.


Namun kini, semuanya tinggal kenangan. Akibat angin puting beliung, gempa bumi, dan tsunami yang tidak reda melanda diri pemuda ini. Akhirnya pemuda ini hanya memandang sepi akan kehadiran Ketupat Pulut Daun Palas yang disukai, digemari, digilai dan yang disayanginya.


Apatah lagi dengan Nenda yang sudah lama meninggalkan alam yang fana ini. Maka pemuda ini sudah tidak ghairah lagi untuk mencari, memakan, dan hilang sudah ghairah untuk bercerita tentang Ketupat Pulut Daun Palas.

Friday, October 02, 2009

BENGKEL PENULISAN THRILLER DAN AKSI

Kursus Penulisan Thriller ...


ALAF 21 akan mengadakan bengkel penulisan yang akan dipimpin oleh dua orang novelis terkenal iaitu Ramlee Awang Mursyid dan Eyman Hykal. Tujuan bengkel ini untuk memberi panduan bagaimana menulis novel berbentuk thriller dan aksi.


Mereka yang berminat jangan lepaskan peluang mengikuti bengkel ini yang akan diadakan seperti berikut:


Tarikh: Sabtu 10 Oktober 2009

Tempat: Akademi Karangkraf


Alamat: Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd

Lot 2 Jalan Sepana 15/3, Seksyen 15
Shah Alam, Selangor.

Masa: 9.00 pagi – 3.00 petang


Peserta: 27 orang / Yuran: RM35
Sarapan, makan tengah hari dan cenderahati disediakan.

Bayaran hendaklah dibuat kepada Alaf 21 menerusi akaun Maybank 014271416077. Fakskan slip bayaran, butir-butir diri anda serta nama kursus ke 03-55113817 atau e-mel : ke alaf@alaf21.com.my. Sebarang pertanyaan sila hubungi:


Sa’adiah/Roziana di talian 03-55118820/21.






Hasil penulisan :

ADAM (Aku Darah Anak Malaysia)
- Bagaikan Puteri
- Cinta Sang Ratu
- Hatiku Di Harajuku
- Hijab Sang Pencinta
- Mandatori
- MIKHAIL
- PERSONAL JUSTICE
- PERSONAL JUSTICE
- Rahsia Perindu
- Ranggau
- Satu Janji
- Semangat Hutan
- Tombiruo
- Tombiruo Terakhir
- Ungu Karmila



Eyman Hykal

Hasil penulisan :
- Dekat Di Hati
- Ke Mana Hatimu
- Meniti Maut