Walimah.
Nikah dan walimah adalah wajib. Itulah pesanan para ulamak. Maka, insyaAllah, tidak berapa lama lagi, mertua aku sekali lagi akan mengadakan majlis itu. Tetapi kali ini adalah untuk anak yang terakhir, paling bongsu. Putera paling bongsu. Ini bermakna, sudah tidak ada lagi anaknya yang akan berkahwin. "Sudah habis" kata ibu ibu mertua aku dengan senyuman.
Tetapi tidak bermakna kenduri ini paling meriah. Malahan kenduri inilah yang paling kecil dan paling sederhana. Jemputannya juga adalah paling sedikit, jika tidak salah ingatan aku, kad kawin cuma dibuat dalam jumlah 250 orang jemputan sahaja.
Jimat kos. Itulah yang diperkatakan oleh seluruh ahli keluarga. Memang menjimatkan dari segala segi. Khemah hanya dua buah. Dibuat pada waktu malam. Dan tetamu jemputan hanya terdiri dari ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat sahaja.
Namun bagi aku. InsyaAllah, ianya tetap akan meriah. Kerana yang penting adalah mencari keberkatan dalam majlis yang diadakan.
Aku terfikir, selepas majlis kendiru ini, sudah tidak ada lagi majlis kenduri kahwin yang akan diadakan. Hanya menunggu 'pangkat' anak - anak dan anak saudara sahaja yang akan melangsungkan perkahwinan. Cuma, aku tidak dapat mengagak, anak 'siapakah' yang akan memecahkan 'rekod' terlebih dahulu.
Namun dalam perkiraan aku, hanya ada dua 'calon' yang paling hampir untuk menuju 'kearah' itu. Pertamanya, anak saudara perempuan aku yang berusia 14 tahun. Yang kedua, anak lelaki aku yang pertama, berusia 16 tahun, yang sekarang sedang menuntut disebuah tahfiz di Shah Alam.
Aku dan isteri aku hanya tertawa bila aku memperkatakan tentang perkara ini. Namun, satu hakikat yang tidak boleh dielakkan ialah. Bila seseorang itu 'mula menerima menantu' maka diwaktu itu, usia juga telah meningkat.
"Alamak bang ... waktu itu kita sudah tua ya?" Isteri aku bersenda.
Aku hanya menggeleng kepala tanda tidak bersetuju. "Siapa yang tua ... waktu itu ... abang masih belum tua lagi tau ... orang lelaki selepas umur 70 baru dikira tua."
Isteri aku mencebikkan bibirnya.
Hahahahaha ....