Thursday, April 30, 2009

Corat - coret Pesta Buku (4)


"Kami pun penat beratur !"


Sewaktu pesta buku tempohari. Ada satu kejadian yang agak mengaibkan telah berlaku dihadapan mata aku sendiri.


# Foto disebelah ialah pertunjukan oleh kanak - kanak sewaktu PBAKL 2009.


Dimana, sewaktu aku berbaris untuk membayar di salah sebuah kaunter pembayaran. Lalu seorang wanita mengandung sambil memegang buku - buku yang hendak dibeli. Pada mulanya, si wanita ini seperti tidak keruan, maklumlah semua kaunter penuh sesak dengan orang ramai yang beratur panjang.


Tiba - tiba, salah seorang kerani kaunter menggamit tangan ke arah wanita ini. Mungkin keranai kaunter itu memahami perasaan wanita itu untuk membayar dan beratur panjang dan dalam keadaan kepayahan.


Tiba - tiba seorang gadis dengan bersahaja telah berkata "Hoi ... kami pun letih juga beratur!"


Si wanita itu agak tergamam, lalu berhenti dari bergerak. Mungkin disebabkan perasaan bersalah. Namun, Alhamdulillah, sikap spontan orang ramai yang turut beratur telah berkata "Tak apa, biarkan dia .... awak pergi bayar dulu."


Usai membayar, si wanita itu dengan senyuman dibibir mengucapkan terima kasih.


Aku perhatikan, ramai yang memerhatikan gelagat si gadis yang mengucapkan kata - kata kurang sopan itu. Namun, tidak lama kemudian, mungkin terasa malu yang amat sangat dengan perbuatannya itu. Si gadis itu terus sahaja keluar dari barisan dan berlalu pergi dari situ.


Bagi aku, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku. Kita perlu memahami perasaan dan tanggungjawab dalam masyarakat. Berilah keutamaan kepada anak kecil, wanita mengandung, OKU dan mereka yang terdesak dan sakit.

Wednesday, April 29, 2009

Corat - coret Pesta Buku (3)


Kak Sharah. Buku Prima.


Setiap kali bertemu. Pasti ada sahaja yang kami akan bualkan. Kami akan bercerita mengenai novel, tanpa sebarang tapisan. Kami akan bincangkan mengenai pelbagai topik. Tetapi yang paling aku suka dengan insan yang seorang ini adalah, sikapnya yang begitu terbuka. Sedia menerima kritikan. Malah tidak keterlaluan, aku merasakan bahawa aku dan Kak Sharah adalah umpama - adik dan kakak.


Beliau adalah pembaca novel, peminat novel, penerbit novel dan pengurus besar BUKU PRIMA. Walaupun baru dua tahun berada di persada perbukuan. Namun, beliau adalah wanita yang cekal mengharungi badai. Mampu membawa novel terbitan Buku Prima setanding dengan ALAF 21, Creative Ent, KarnaDya dan lain - lain penerbit.


Antara yang membanggakan ialah Kak Sharah mampu bercerita tentang setiap novel yang dicetak dan diterbitkan oleh Buku Prima.


Setiap pengunjung pasti akan teruja dengan sikap ramah mesra Kak Sharah. Beliau bukan sekadar mempromosikan buku atau novel terbitan Buku Prima, malah mampu bercerita tentang kelebihan setiap novel.


Wajahnya kelihatan penuh ceria dan penuh keyakinan untuk memajukan syarikat Buku Prima, yang merupakan salah satu daripada anak syarikat Karangkraf Sendirian Berhad.


Apa yang pasti. Aku yakin Kak Sharah mampu membawa Buku PRIMA melangkah lebih jauh ke arah kecemerlangan.

Tuesday, April 28, 2009

Corat - coret Pesta Buku (2)


PENGHORMATAN.


Dikesempatan ini. Aku ingin mengucapkan TERIMA KASIH yang tidak terhingga buat - Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid. Atas anugerah sebagai rakan sekutu didalam kelab.


Aku agak tergamam, apabila diberikan kad tanda nama dan sekeping lencana pengenalan kelab tersebut.


Ini merupakan penghormatan buat diriku selaku Presiden Kelab Peminat Novel ALAF 21.


Dikesempatan ini aku mengucapkan ribuan terima kasih atas sambuatan yang diberikan oleh RAM FAN CLUB. Dan pada pesta buku kali ini juga, telah mempertemukan aku dengan Presiden Kelab RAM iaitu Saudara Suhaimi, yang lebih dikenali sebagai - Mielong. Aku memohon maaf kepada Saudara Mielong, kerana tidak dapat meluangkan masa untuk berinteraksi pada Pesta Buku ini.


Juga setelah hampir setahun tidak bersua dengan seorang insan yang banyak membantu ALAF 21 FC, dimana beliau adalah penggerak utama program PasiNo. Seorang insan yang banyak memberikan motivasi kepada aku, walaupun usianya jauh lebih muda dari aku, beliau ialah Saudara Zaifulizan atau lebih dikenali sebagai AttoKz dikalangan - Geng Jurnal.


Aku pasti tersenyum setiap kali bertemu dengan gadis berhati waja didalam Kelab RAM ini. Kerana bagi diri aku, beliau adalah diantara pencetus kepada tertubuhnya Kelab RAM. Dan jangan terkejut andainya aku begitu mesra dengan si gadis ini. Beliau lebih dikenali sebagai - Elle 'Darling.' Dan jangan ada sesiapa yang mahu membuat gossip. Kerana aku lebih selesa memanggil beliau dengan panggilan - Darling.


Sekali lagi aku terkedu dengan pelawaan Darling. Dimana beliau dan geng Kelab RAM telah mempelawa aku untuk minum dan bersantai di sebuah restoran terkenal. Namun, seperti yang telah aku maklumkan kepada mereka, aku tidak mempunyai banyak pilihan untuk menjamu selera. Atas faktor kesihatan.


Aku sempat beramah mesra dengan mereka. Dan bayangkan aku dikelilingi oleh jelitawan Kelab RAM. Hanya aku dan anak bujang Ramlee Awang Murshid sahaja lelaki.


Namun, dikesempatan ini, aku memohon maaf. Kerana aku tidak dapat mengingati nama - nama jelitawan - jelitawan itu. Apa pun, aku ucapkan terima kasih kerana sudi berbual mesra dan berkongsi pandangan dalam pelbagai perkara.


Akhir kalam. Aku merakamkan ucapan TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada Saudara Ramlee Awang Murshid yang sentiasa bertanya khabar keadaan diri aku. Juga kepada Kelab RAM yang sentiasa terbuka untuk menjalinkan hubungan ukhuwah dengan Kelab Peminat Novel ALAF 21 - ALAF 21 FC.

Monday, April 27, 2009

Corat - coret Pesta Buku (1)

HATRIK !!!



# Foto disebelah: Antara ahli - Kelab Peminat Novel ALAF 21.


InsyaAllah, atas permintaan dari rakan blogawan yang aku temui di pesta buku. Aku akan melakukan 'hatrik' dengan menulis sebanyak mungkin cerita dan gambaran apa yang berlaku sepanjang pesta buku berlangsung.


Aku dapati, ada dua soalan yang paling utama yang diberikan oleh rakan, sahabat dan blogawan yang aku temui. Soalan pertama berbunyi "Abang long sudah sihat?" dan soalan kedua berbunyi "Kenapa Abang long tidak menulis novel?"


Soalan pertama, aku boleh jawab "Alhamdulillah, Abang long sudah beransur pulih."


Tetapi untuk jawapan kedua, yang pasti aku lebih banyak tersenyum.


Kenapa 'hatrik?'


Sebab, dalam sejarah aku menulis didalam blog, aku tidak pernah menulis entri setiap hari. Tetapi, kali ini aku akan lakukannya. Dan membawa tajuk yang sama iaitu - 'Corat - coret Pesta Buku.'


Selamat membaca.

Tuesday, April 21, 2009

MARILAH BERPESTA !!!

PESTA ILMU - SATU TAHUN SATU KALI SAHAJA.




Kepada anda semua. Sambutlah HARI RAYA ILMU. Yang diadakan satu kali dalam satu tahun. Jangan lepaskan peluang ini.


Bukan mudah untuk mendapatkan bahan bacaan yang pelbagai dalam satu bangunan, didalam satu kawasan, dan seluruh penerbit yang menyertai pesta ini, bermurah hati memberikan pelbagai diskaun dan harga menarik untuk setiap produk buku yang dijual.


Kini, anda bukan sahaja berpeluang membeli buku dengan harga menarik, malahan ada penerbit yang memberikan 'harga runtuh' bagi hasil terbitan mereka.


Bukan setakat membeli buku. Pesta ini juga menjadi satu acara terbesar untuk para blogawan untuk bertemu buat pertama kali, kedua kali dan berkali - kali.


Disebelah kiri blog ini (left side bar). Abang long sengaja meletakkan beberapa buah buku yang harus dimiliki oleh peminat buku @ pencinta ilmu. Buku - buku tersebut mendapat reaksi dan maklumbalas yang baik dan hangat dari peminat buku.


"Menuntut ilmu adalah wajib bagi lelaki dan perempuan."

Sunday, April 19, 2009

Kasih yang berkekalan.


Seredup wajah kasih.


Dalam beberapa minggu ini. Aku kerap berulang - alik ke kampong halaman aku di Taiping. Penat memang penat. Letih tidak tertanggung.


Ayah ku semakin uzur dan kesihatannya semakin merosot. Namun setiap kali pulang ke kampong, tidak banyak yang aku dapat bantu. Selain dari berbual dan memberikan sentuhan kasih sayang dari seorang anak kepada seorang ayah.


Bila aku pegang tangannya dan kupimpin untuk ke dapur atau ke bilik air. Air mata aku memang tidak dapat ditahan dari mengalir.


Tangan itulah yang menyentuh dan membelai aku diwaktu kecil. Tangan itulah yang memegang aku sewaktu bertatih. Tangan itulah yang banyak mendidik aku. Dan kini tangan ayah sudah semakin tidak bermaya. Hanya tinggal kulit dan tulang seorang tua.


Ingatan ayah juga semakin merosot. Ayah menjadi seorang yang pelupa. Hinggakan ayah terlupa beberapa perkara penting dalam hidupnya.


Ibu bercerita tentang perihal ayah yang menunggu kakak dan abangnya di muka pintu di tengah malam. Sedangkan kakak dan abangnya telah lama meninggal dunia.


Ibu aku juga uzur. Jika ayah menghidap penyakit paru - paru kronik. Ibu pula berhadapan dengan masalah penyakit Gout, dan kandungan asid dalam darahnya agak membimbangkan. Akibat penyakitnya itu, ibu menghadapi masalah untuk berjalan atau bergerak kemana - mana.


Hati siapa yang tidak bimbang ?


Sudahlah keadaan aku yang ... (Maaf, aku tidak mahu lagi menceritakan tentang nasib diri aku).


Setiap kali pulang ke rumah orang tua aku. Aku hanya mampu berdoa dan berdoa dan terus berdoa. Ada ketikanya aku merasakan bahawa aku sudah tiada iman lagi.


Beberapa hari lepas, sewaktu pulang ke kampong. Adik aku mengajak aku untuk mandi di air terjun Taiping. Aku tidak melepaskan peluang itu.


Tiba sahaja di air terjun. Aku terus sahaja masuk kedalam air dan berendam. Fikiran aku menjadi tenang sedikit.


Inilah enti bersejarah. Kerana inilah entri yang aku masukkan diwaktu petang dalam keadaan terlalu letih. Inilah entri buat kali pertama aku memasukkan wajah aku yang sebenar walaupun dalam sudut yang berbeza. Inilah entri yang buat kali pertama aku masukkan keadaan ayah ku yang uzur.

Thursday, April 09, 2009

KISAH SEKS (3)

Bukit Gantang - Bukit Selambau - Batang Ai.


Maaf. Entri kali ini tidak ada kaitan dengan nama tempat diatas. Tapi nama yang tertera itu memang ada kaitan. Baca dengan maksud berlapis - lapis. Ini bukan entri lucah. Tapi sejujurnya, setiap individu dari jenis LELAKI pasti akan merasa ghairah dan boleh menaikkan nafsu syahwat. Kalau ada lelaki yang berkata "aku tidak merasa apa - apa". Bererti, lelaki itu memang - A.B.N.O.R.M.A.L !




Itulah wajah - wajah dan batang tubuh gadis yang menyertai program realiti TV - "Malaysian Dream Girl".




Dan ini pula adalah wajah gadis - gadis MELAYU. Yang turut sama menyertai program tersebut. Diantara sessi yang akan dijalankan oleh program ini ialah, sessi memakai - baju dalam dan seluar dalam SAHAJA.


Aku tidak pasti corak program ini. Adakah ianya akan menggunakan sistem pesanan ringkas SMS. Bak kata seorang sahabat yang berkata dengan jujur dan lurus "Dua Bukit sudah menyebabkan gangguan pada Batang Ai."


Aku bukan hendak mempromosi rancangan ini. Tetapi kalau ada yang hendak menyiasat lebih lanjut, sila klik disini.


Tapi aku rasa. Ada juga orang Melayu yang akan bersetuju dengan program ini.


Bak kata seorang pakcik "nak buat macam mana, ini kan akhir zaman, sudah moden ....hehehehe" Pak cik itu menjawab dengan galak sekali.


Lalu aku menjawab dengan bersahaja "Katakan pakcik sedang menonton rancangan itu dengan khusyuk sekali, tiba - tiba malaikat MAUT datang dan mencabut nyawa pakcik."


Si tua pakcik keparat itu terus terdiam.

Friday, April 03, 2009

MEMORI INDAH di TAIPING (12)


Cendol Taiping.

1 - "Pulut taruk kasi lebih."
2 - "Taruk kacang sikit lebih."
3 - "Gula merah lebih sikit."


Itulah ungkapan yang sudah sinonim buat mamak cendol di Taiping. Dan yang menariknya si mamak tidak pernah membantah, malah dengan gelengan kepala dan sedikit senyuman, si mamak hanya menjawab "bole, bole..."


Jangan takut. Harganya tetap sama.


Lokasi mamamk penjual cendol ialah seperti dibawah:


1 - Sebelah Restoran Bismillah (bertentangan dengan Jam Besar, Pasar Besar Taiping).
# Jam Besar Taiping, akan membunyikan siren bila tiba waktu berbuka dibulan Ramadhan. Dan bunyi siren itu akan kedengaran sejauh 5 km.
# Aku telah mula makan cendol disini sejak tahun 1978.


2 - Berhampiran Sekolah Menengah St. George Taiping.
# Jangan bimbang kerana kawasan parkir begitu banyak dan luas. Dan menariknya, anda boleh menikmati cendol dengan laksa. Dijual oleh seorang kakak. Dimana dia menjual dari atas motornya.


3 - Selang beberapa gerai ada sebuah lagi gerai mamak memjual cendol. Di gerai ini, anda boleh menikmati cendol dengan pasembor.
# Jadi kepada 'penggila' cendol. Jangan bimbang banyak gerai mamak cendol di Taiping. Tidak perlu berebut - rebut.


4 - Dihadapan Stesen Keretapi Taiping.
# Anda boleh menikmati cendol dan dalam masa yang sama menikmati kecantikan senibina Stesen Keretapi yang tertua di Malaysia.


5 - Sebelah bangunan MARA.


6 - Dibawah bangunan Supermarket Larut Matang.


7 - Berhampiran bangunan Pawagam Cathay. Jalan Tupai.


Tetapi yang paling sedap ialah disebelah Restoran Bismillah.


Ini adalah tips buat anda yang mahu membawa pulang cendol kerumah. Kalau rumah anda dekat dengan bandar Taiping. Contohnya: Beli sebungkus besar cendol. Dan pesan kepada mamak itu "jangan taruk ais, gula kasi lebih."


Dalam perjalanan pulang kerumah. Belilah ais (air batu) dimana - mana gerai. Dan campurkan ais dengan cendol yang telah dibeli. Maka hasilnya, cendol anda akan menjadi banyak. Tetapi harganya tetap sama. Seperkara lagi, bila anda membeli cendol tanpa ais, maka dalam perjalanan pulang kerumah, tiada ais yang akan cair. Maka rasanya tetap sedap.


Kepada penyokong Barisan Nasional dan PAKATAN RAKYAT yang sedang berkempen di Parlimen Bukit Gantang. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Cuba bayangkan, sewaktu anda sedang penat yang keterlaluan, hampir hilang tenaga, terlalu lapar dan terlalu dahaga. Tiba - tiba dihadapan anda:


Terhindang - Semangkuk CENDOL. Sepinggan LAKSA. Sepiring PASEMBOR.


Boleh MELELEH AYAQ LIOQ !

Wednesday, April 01, 2009

MEMORI INDAH di TAIPING (12)


Tak tahan dengan kuahnya !!!


MEE REBUS TAIPING. Pertama kali aku makan mee rebus ialah pada awal tahun 80'an. Dimana harga pada waktu itu ialah RM1.00 SAHAJA.


Waktu itu ialah hari Keputeraan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Tetapi aku tidak ingat Agung yang mana satu. Waktu itu, pelajar sekolah diberikan tiket percuma untuk menonton wayang.


Jadi, aku diberikan wang sebanyak RM2.00. Dan aku pergi ke sekolah dengan menunggang basikal. Dari sekolah, kami berarak beramai - ramai ke Panggung Cathay.


Tentang cerita ke panggung, aku akan kisahkan dilain episod.


Usai menonton wayang. Kami beramai - ramai menghala ke gerai makan dibawah Supermarket Larut & Matang. Kami menjamu selera. Itulah kali pertama aku makan bersama rakan - rakan diluar. Terasa seronok sangat. Dan pada hari itu, semua gerai di bawah Supermarket itu dipenuhi dengan pelajar sekolah.


Dan disitulah, buat kali pertama aku terlihat wajah seorang gadis yang sungguh ayu. Si gadis itu juga memakai baju sekolah. Jadi, sudah tentu aku tahu beliau dari sekolah mana. Bila aku pandang kali kedua, tiba - tiba sahaja mata kami bertentang antara satu sama lain. Tidak berkelip. Maaf, kisah ini juga akan disiarkan dilain episod. Si gadis tiba - tiba sahaja menjadi tidak keruan...


Kepada sesiapa sahaja yang akan pergi ke Taiping. Khususnya yang akan pergi berkempen. Maka silalah pergi ke mana - mana gerai yang menjual mee rebus. Dijamin sedap, murah, berpatutan. Tapi ingat, jangan bungkus untuk dibawa pulang. Kerana dijamin, mee rebus itu akan rosak.


Yang paling sedap mee rebus di Taiping ialah pada KUAHnya. Aku kalau menghadap mee rebus, dijamin aku akan terlupa untuk menjaga anak - anak. Dan untuk 'matching' dengan mee rebus ialah dengan mengambil minuman air kelapa. Memang kena 'gu'.


Seingat aku. Paling hebat aku pernah makan mee rebus ialah sebanyak dua pinggan. Dan aku bawa pulang sebungkus. Sampai dirumah, aku makan mee rebus itu sekali lagi. Weiii ... malulah nak pesan sampai tiga pinggan, nanti orang kata nak makan ke nak mentedarah !?


OK. Jangan lupa untuk 'pekena' mee rebus Taiping. Kalau ada yang kata tak sedap, boleh tuntut balik wang itu dari penjual mee rebus. Katakan Abang long yang 'rekomen'.