Wednesday, August 29, 2007

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !

Selamat menyambut ~

HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE - 50





Bersama - sama seluruh RAKYAT MALAYSIA. Menyambut HARI KEBANGSAAN.


Malam esok sudah merancang, hendak membawa keluarga dan saudara mara ke Taman Tasek Shah Alam. Sambil berehat santai. Dan tahun ini juga hari kemerdekaan begitu bermakna. Kerana tarikhnya jatuh pada hari Juma'at. Cuma diharap (dan berdo'a), supaya tidak menjadi seperti tahun sebelumnya (malam kemerdekaan dicemari oleh gelagat muda - mudi, dimana botol dan tin arak dijumpai bersepah. Dan yang paling MEMUALKAN ialah bila ada yang menjumpai kondom dibeberapa tempat).



Malam hari kemerdekaan ini juga. Aku dan keluarga akan bersama - sama menikmati keenakan coklat, yang diberikan oleh saudaraku yang baru pulang dari Dubai.



Bak kata seorang teman - "Bawalah seluruh ahli keluarga ke tempat awam, kerana kita menyambut hari kemerdekaan ke 50, hanya sekali sahaja. Belum tentu kita akan hidup sewaktu 100 tahun kemerdekaan, ya, anak kita mungkin".




Monday, August 27, 2007

SETAHUN USIA BLOG

Bersempena dengan ulangtahun pertama "kelahiran" Blog Abang Long ini. Aku hanya menyiarkan tentang fakta dan angka sahaja. Buat tatapan pengunjung Blog Abang Long.


Insan yang sewajarnya mendapat penghargaan dan ucapan TERIMA KASIH, sudah pasti adalah insan yang telah "membangunkan" blog ini, hingga "kelahirannya" telah bersama - sama memeriahkan dunia BLOG iaitu - Mersik @ Pokcik Mersik.


Insan yang diberikan penghargaan untuk "merasmikan" pembukaan Blog Abang Long adalah -Novelis - Norzailina Nordin.


Insan PERTAMA yang telah meninggalkan "jejak" di Blog Abang Long - Nor Ash Burn.


Insan atau sahabat yang paling banyak meninggalkan "jejak" - Novelis - Puan Sifu Zalisa Maz.


Entri yang paling banyak ditingglkan "jejak" atau yang paling banyak menerima komen, bertajuk:

(11 komen) -Macam - Macam Kisah (13). 21hb May 2007,
(10 komen) - Macam - Macam Kisah (2). 12hb Januari 2007,
(10 komen) - Macm - Macam Kisah (4). 29hb Januari 2007.


Lirik lagu - 4 entri:
Nazam Berkasih - 8hb September.
Suara Takbir - 23hb oktober.
MAGNI NOMINIS UMBRA - 4hb Oktober.
Nadi Cinta - 29hb Disember.


Entri didalam Bahasa Inggeris - 5 entri:
Petikan dari The Star - 5hb September,
Just A Joke - 21hb Disember,
National Excuse - 22hb Februari,
Q & A - Boy & Girl - 5hb Februari,
Fear - 17hb March.


Tajuk entri yang membawakan TAJUK yang sama dengan nombor:

MACAM - MACAM KISAH (1 - 22).


Entri PANTUN - 1.
Tajuknya - Penghilang Bosan & Stress - 2hb Oktober.


Entri bagi setiap bulan:

August 2006 - 4
September 2006 - 18
Oktober 2006 - 25
November 2006 - 12
Disember 2006 - 17
Januari 2007 - 13
Februari 2007 - 13
March 2007 - 14
April 2007 - 5
May 2007 - 17
Jun 2007 - 20
Julai 2007 - 10
August 2007 - 7


Berpandukan kepada bulan, rangkuman entri yang paling banyak mendapat komen dan maklumbalas (mengikut turutan yang terbanyak):


1) MAY 2007 - 68 komen.
2) Januari 2007 - 49 komen.
3) Mac 2007 - 48 komen.
4) Jun 2007 - 46 komen.
5) Februari 2007 - 42 komen.
6) November 2006 - 35 komen.
7) Julai 2007 - 35 komen.
8) Disember 2006 - 32 komen.
9) Oktober 2006 - 22 komen.
10) April 2007 - 16 komen.
11) August 2006 - 12 komen.
12)September 2006 - 0 komen.
--------<--@ ------<--@ ----------<--@
Kepada semua pengunjung Blog Abang Long, samada anda membaca setiap entri dan meninggalkan jejak ataupun tidak. Abang Long mengucapkan JUTAAN TERIMA KASIH.

Friday, August 24, 2007

Budaya MEMBACA


Sudah lama aku memerhatikan. Sudah lama aku merenung. Sudah lama aku mengkaji dan sudah lama aku tahu tentang hal ini. Malahan, semakin lama aku memikirkan perkara ini, semakin aku tidak faham.


Isunya mudah sahaja. Di pusat pengajian tinggi atau dimana - mana sahaja. Perempuan lebih banyak membaca dari lelaki. Itu salah satu sebab mengapa kaum hawa atau orang perempuan adalah majoriti di IPT.


Ya, dengan nisbah - 40:60.


Ini menyebabkan perempuan kelihatan MENGUASAI pusat - pusat menimba ilmu. Kalau ada sesiapa yang mahu menyanggah pendapat aku - dipersilakan.


Lihatlah dimana - manapun, antara lelaki dan perempuan, golongan manakah yang paling banyak kelihatan membaca. Etc. tidak kira samada membaca buku, novel majalah dan sebagainya.


Tapi kali ini, aku hanya fokus pada pekerja dipejabat aku sahaja. Jadi kalau ada kakitangan atau staf yang membaca entri ini, tolong jangan marah. Buka fikiran, lapangkan dada dan bersedia menerima teguran ini.


Setiap hari, apa yang aku dengar dan lihat adalah. SEMUA pekerja lelaki, hanya bercakap, bercerita dan berdiskusi tentang:


1 - Bola,
2 - Kereta,
3 - Filem,
4 - Motor,
5 - Politik
6 - Gadis,
7 - Siri televisyen,
8 - Melancong
9 - Komputer,
10-SEKS !. Ini paling hebat dibicarakan (konon !).


Tidak ada seorang pun yang bercerita, berbincang atau berdiskusi tentang buku, novel atau bahan - bahan ilmiah - TIADA LANGSUNG !


Cuma, sekarang telah ada 2,3 orang sahaja yang telah menunjukkan minat membaca novel. Itupun sebab aku membawa BUDAYA ini kedalam pejabat. Sebelum ini, langsung tiada.


Aku pernah beberapa kali menunjukkan beberapa buah buku ilmiah, kepada beberapa orang kakitangan. Dan sekiranya mereka mahu, memang aku telah berniat untuk meminjamkan buku itu terlebih dahulu. Namun jawapan yang aku terima memang mengejutkan dan mengecewakan - "ish, saya tak ada masa nak baca ni Encik, balik ke rumah nak jaga anak pun tak sempat". Tetapi aku berkata dalam hati, "main futsal seminggu dua kali sempat pula !".


Dan ada ketikanya aku merasa sedih, kalau buku ilmiah atau separa ilmiah langsung tidak disentuh, masih boleh diterima. Pernah aku menghulurkan sebuah buku agama, bertajuk - "Rahsia khusyuk dalam solat". Jawapan yang aku terima - "Terima kasihlah Encik, tapi maaflah, saya tak tahu bila boleh habis baca satu buku ni". Lalu aku menjawab "saya tak kisah, kamu baca sahaja, bila - bila nak beri balik pun saya tak kisah". Dalam hati aku berkata "hai, buku yang tak sampai 150 halaman ini pun tak sempat baca juga ?".


Jadi dalam hal ini, secara peribadi. Aku tidak mahu, dan kaum lelaki juga jangan marah atau berasa hati kalau aku katakan - itu sebabnya orang perempuan zaman ini lebih pandai, lebih cerdik dan lebih bijak dari kaum lelaki !.


Itu belum masuk lagi bab membaca AL-Qur'an. Contohnya, dalam radio. Apa - apa siaran sekalipun, yang ada slot belajar membaca Al-Qur'an. Yang pasti, lebih ramai pendengar @ pemanggil wanita, yang mahu mencuba membaca dan memperbaiki bacaan Al-Qur'an.

Thursday, August 23, 2007

Seluar dalam terjelir ...


Entah kenapa, tiba - tiba hari ini, suasana pejabatku agak bising dan gamat. Pelbagai kisah lucu diceritakan seorang demi seorang.


Seperkara lagi, almaklumlah tanpa diduga. Semua pekerja wanita tidak hadir dengan pelbagai sebab. Jadi yang tinggal hanyalah pekerja lelaki. Jadi perbualan begitu "terbuka". Dan tidak ada penapisan langsung !.


Aku juga tumpang 'semangkuk'. Aku bukanlah seorang yang terlalu baik dan alim. Ada ketikanya 'terserlah' juga kejantanan aku dalam berbicara.


Tiba - tiba seorang pekerja berkata "eh, korang tau tak sekarang ada pakaian fesyen baru ?"


Masing - masing termenung seketika, memikirkan apa "fesyen baru" itu.


Lalu aku, dengan perasaan tidak sabar, terus bertanya "apa fesyen baru tu ?" sebab walaupun aku bukan pengikut trend fesyen terkini, tetapi aku ambil tahu juga.


Lalu dengan selamba si mamat ni menjawab "fesyen seluar dalam terjelir".


Aku dan kakitangan lain masing - masing masih terpinga - pinga, bertambah tidak faham.


Lalu si mamat seorang ini dengan bersahaja terus menerangkan apa itu fesyen terbaru "perasan tak, ada perempuan sekarang, bila pakai seluar jeans, bila duduk, bahagian belakang .... bahagian punggung ... mesti nampak seluar dalam diorang terkeluar sikit .... ha kan tu fesyen seluar dalam terjelir".


Barulah semua faham, dan sekali lagi masing - masing ketawa terbahak - bahak.


# Ada juga yang memakai tudung, tapi berbaju ketat menampakkan "bahagian depan" yang "berisi". Dan ada juga yang memakai tudung, tapi memakai seluar yang ketat.

Tuesday, August 21, 2007

Ustaz cakap kotor ?


Trend ceramah masa kini ?


Terus terang aku katakan, bahawa aku tidak faham. Malahan ada ketikanya, aku merasa malu untuk membawa anak - anakku ke surau atau masjid yang berdekatan dengan rumahku. Ini kerana, cara penyampaian ustaz ini agak keterlaluan. Maksud aku mudah sahaja. Para ustaz ini (perhatian: bukan semua), berceramah menggunakan bahasa yang 'double meaning' atau dengan kata mudahnya - LUCAH !.


Kalau diselitkan sedikit sahaja dalam proses penyampaian mereka, bagi aku sudah memadai, tapi yang terkilannya, ada yang berceramah hampir keseluruhan menggunakan perkataan atau bahasa yang hanya sesuai untuk disebut dihadapan jemaah yang berusia ataupun yang telah matang.


Bayangkan ada satu ketika, anakku dengan bersahaja bertanya "abah, apa benda lurah dendam tu ?" dia bertanya, selepas para jemaah ketawa terbahak - bahak selepas seorang ustaz itu menceritakan tentang kisah seorang gadis berpakaian seksi.


Walaupun kisah itu benar - benar berlaku, namun cara olahan dan penggunaan ayat itu agak keterlaluan. Aku tidak pasti penerimaan kaum wanita / muslimat dalam hal ini (kerana kedudukan kaum muslimin dan muslimat dipisahkan oleh tirai).


Tidak bolehkah para ustaz ini, menyampaikan ceramah atau kuliah dalam bahasa yang mudah, berhikmah, menggunakan perkataan yang bersesuian dengan semua peringkat umur, bersopan dalam penggunaan bahasa atau ayat ?


Aku yakin dan aku pasti. Jika para ustaz ini memahami akan uslub dakwah para nabi, khususnya cara dan corak penyampaian oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Mereka pasti akan berasa malu. Kerana Nabi Muhammad tidak pernah sekalipun menggunakan bahasa separa lucah mahupun lucah sepenuhnya.


Hatta sewaktu menerangkan tentang kisah hubungan suami isteri sekalipun, Nabi Muhammad menggunakan perkataan yang begitu harmoni. Aku masih ingat tentang hadith ini - "hendaklah seorang isteri itu menyempurnakan hajat seorang suami, walaupun berada diatas pundak seekor unta". Cukup. Kesemua sahabat memahaminya.


Sudahlah masyarakat kita dihadapkan dan dibebani dengan terlalu banyak gejala soSIAL. Aku bimbang, jika trend para ustaz ini berceramah, maka gejala ini bukan sahaja tidak akan terhapus. Malah akan bertambah parah !!!.

Monday, August 20, 2007

Berhemat dijalanraya.



Marah, geram, takut, kesian bercampur baur.

Aku dalam perjalanan ke pejabat. Sewaktu kejadian itu berlaku.

# Gambar foto ini tiada kaitan dengan entri ini.

Seperti biasa, aku ke pejabat dengan menunggang motorsikal 'kapcai' milikku, yang telah berusia hampir 10 tahun. Motorsikal yang telah begitu banyak berjasa kepada tuannya.


Jalanraya menuju ke pejabat aku, terkenal dengan kekerapan berlaku kemalangan. Sepertimana jalanraya Shapadu (yang sering berlaku kemalangan dan membabitkan ratusan nyawa melayang).


Dalam keadaan hujan gerimis, aku lebih selesa memandu dalam keadaan yang perlahan (biar lambat sampai, asalkan jangan tak sampai langsung). Dan sememangnya, aku tergolong dalam golongan pemandu @ penunggang yang memandu dalam kelajuan sederhana. Jarang sekali aku memandu atau menunggang melebihi 100 kmj.

Tiba - tiba sahaja, ada sebuah lori 3 tan, membunyikan hon dengan kuat dibelakang aku. Hati aku berdetik, aku sudah berada betul - betul ditepi jalan. Malahan motor aku berada dibahagian luar garisan putih.

Lori itu dipandu begitu rapat denganku. Aku terpaksa memperlahankan motorsikal. Dan pemandu lori itu terus memecut dengan kasar. Aku yang berada didalam keadaan begitu tertekan dengan sikap pemandu lori itu, terus menyumpah seranah. Tiba - tiba sahaja aku berdoa'a - "Ya Allah, Dikau berilah petunjuk kepada pemandu kurang ajar itu !"

Lori itu terus memecut dan terus hilang dari pandanganku.

Sewaktu aku membelok di satu selekoh. Tiba - tiba sahaja aku terlihat beberapa kenderaan telah berhenti disebalik jalan. Rupa - rupanya, kemalangan baru sahaja berlaku. Aku memperlahankan motorsikal. Aku melihat didalam kawasan yang agak berpaya dibahagian kiri bahu jalan, sebuah lori telah terbabas dan bahagian kepala lori telah terbenam sebahagiannya kedalam paya bakau.

Apabila aku amati keadaan lori itu. Aku pasti, itulah lori yang sebentar tadi dipandu dengan cara yang kurang berhemat atau dengan kata lainnya - KURANG AJAR !.


Namun yang pastinya, walaupun aku merasa kasihan dengan apa yang berlaku. Tapi aku tidak mampu untuk melakukan apa - apa. Sebabnya, aku sendiri sudah tidak bermaya. Akibat terkena hujan, menyebabkan aku terasa migrain. Dan seperkara lagi, aku masih berasa geram dan marah dengan cara memandu, pemandu lori itu.

Friday, August 17, 2007

CUTI - sekolah, puasa, raya, periksa dan pilihanraya.


Cuti sekolah sudah bermula. Dari 18hb Ogos hingga 26hb Ogos. Tapi cuti sekolah pada kali ini, aku tidak akan balik kampung, membawa anak - anak. Kerana, musim peperiksaan akhir sudah semakin hampir.


Untuk cuti sekolah yang berlangsung selama seminggu ini pun, aku telah mendapat 4 kad undangan perkahwinan. Nasib baik semuanya berdekatan.


Lagipun bila dikira - kira. Kurang dari sebulan sahaja lagi, ummat Islam akan menyambut puasa dibulan Ramadhan. Selepas itu sudah berhari raya, tidak lama kemudian, musim peperiksaan.


Bila difikir - fikirkan, bila dikira - kira, bila dicongak - congak. TERLALU PANTAS waktu bergerak.


4 bulan sahaja lagi kita akan masuk ke tahun baru 2008.


# Nota tambahan: Dapat panggilan dari Datuk, Ahli Dewan Undangan Negeri. Bertanya khabar. "Assalamu'alaikum, apakhabar ? eh ... kenapa lama tak datang rumah saya ?"


Sepatah kata Tok Guru Nik Aziz "pilihanraya ... around the corner".

Thursday, August 16, 2007

Harga baru ?


Aku terkejut, aku tergamam dan aku keliru ...


Bila pula pihak Kerajaan (bayaran perkhidmatan hospital), menaikkan harga resit pendaftaran ? dari RM1.00 kepada RM5.00 ?.


Aku membawa anak sulungku ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang. Untuk mendapatkan rawatan susulan. Seperti biasa, aku meletakkan kad temujanji didalam kotak yang disediakan.


Selepas hampir satu jam menunggu, akhirnya nama anakku dipanggil. Aku terus ke kaunter. Sangka aku, aku hanya akan mengambil nombor giliran. Tiba - tiba, kerani kaunter berkata "lima ringgit ye".


Aku terkejut, aku tergamam dan aku keliru ...


"Tapi Cik, ini adalah temujanji susulan ... kali keempat, sebelum ini, saya tidak pernah dikenakan sebarang bayaran" aku cuba mendapatkan kepastian.


"Anak Encik masih bersekolah kan ? ok, begini, lain kali tolong bawa surat pengesahan dari pihak sekolah, supaya Encik tidak perlu bayar apa - apa, tapi kali ini Encik perlu bayar RM5.00" kerani itu memaklumkan kepada aku.


"Maaf ya, saya nakkan kepastian, sewaktu mula - mula saya bawa anak saya untuk rawatan, memang saya ada bawa surat pengesahan dari pihak sekolah, tetapi selepas itu, sewaktu saya datang kali kedua dan ketiga, saya tidak membawa apa - apa surat ... seperkara lagi, bila pula harga resit dinaikkan dari RM1.00 ke RM5.00 ? aku terus bertanya untuk mendapatkan kepastian.


Kerani dibahagian kaunter itu menjawab bersahaja "eh, dah lama dah".


Aku terkejut, aku tergamam dan aku keliru ...


"Baiklah" aku tidak mahu bersoal jawab lagi, sambil menghulurkan nota RM5.00.

Tuesday, August 14, 2007

Oh ... Si Bongkok

Sembang santai dengan Kekanda Abdul Latip Talib, tentang buku terbarunya - Si Bongkok Tanjung Puteri.

Timbul idea untuk melawat sekali lagi ke pusara Si Bongkok.

Tapi kali ini bukan keseorangan, atau berdua - duaan. Kita akan mengadakan rombongan. Melawat tempat bersejarah, yang sudah hampir dilupakan oleh generasi kini.

Melawat atau menziarahi pusara seorang pejuang tanahair. Kalau tidak kita (sebagai anak Melayu) yang melakukannya sebagai tanda penghormatan, terhadap seorang yang telah berjasa dan menyerahkan nyawa demi untuk agama, bangsa dan negara ... siapa lagi ?

InsyaAllah, perkara ini akan diwar - warkan bila sampai masanya. Semoga Allah memberkati usaha kita.

Monday, August 13, 2007

UJIAN JANTUNG


Seperti yang telah ditetapkan oleh Doktor panel. Maka aku pun melangkah pergi ke Seri Kota Medical Centre, keseorangan dan dengan penuh debaran.


Berbekalkan surat jaminan dari syarikat, memudahkan urusan untuk bertemu dengan doktor pakar.




Satu persatu diuji, dari pengambilan contoh darah, tekanan darah. Dan seterusnya berpindah kebilik yang lebih canggih. Seluruh tubuhku ditampal dengan alat pengesan jantung, penuh berselirat dan keliling pinggang.

Setelah alat itu dipasang, aku diberikan beberapa tips, bagaimana aku perlu lakukan, diatas lantai (maaf aku terlupa nama mesin tersebut). Dimana sewaktu mesin bergerak dalam kelajuan yang perlahan, dan mesin tersebut akan bergerak lebih laju dan akan mencapai kelajuan maksimum.

Diwaktu itu, aku teringat satu siri popular di awal tahun 70'an dahulu, iaitu siri - Six Million Dollar Man. Bagaimana mesin tersebut akan bergerak perlahan dan akhirnya akan bergerak pantas, untuk menguji kepantasan dan seterusnya untuk menguji denyutan jantung.

Setiap 3 minit, kepantasan pergerakan mesin akan ditambah, ini menyebabkan aku hampir - hampir terjatuh. Tapi tanganku masih berpegang kuat pada alat atau kayu pengadang. Hingga ke satu masa, aku sudah tidak mampu bertahan, dadaku berombak laju, denyut jantungku terasa hampir pecah, pandanganku kabur.

Melihat keadaanku yang sudah tidak stabil itu, dua orang jururawat yang sentiasa berdiri disisiku, terus memaut dan memapah tubuhku. Lalu diangkat dan diletakkan diatas katil. Seorang Doktor terus memeriksa keadaan jantungku selama beberapa minit.

Waktu itu, pandanganku kelam, aku terasa seluruh tubuhku menggigil, dan terasa sesak nafas. Monitor mesin berbunyi dengan agak kuat.

Hampir 1/2 jam kemudian, barulah keadaan ku kembali normal. Namun jari - jemariku masih menggeletar, mungkin kerana suhu bilik yang agak sejuk.

Setelah itu, aku kembali ke bilik yang pertama, namun jalanku masih belum stabil sepenuhnya.

Setelah Doktor pakar itu habis meneliti setiap laporan, maka aku diberikan ceramah pendek. Baaimana untuk menangani stress, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, apa yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan dan sebagainya.

Yang penting adalah soalah terakhir yang aku berikan kepada Doktor tersebut.

"Doktor, adakah saya mengidap sakit jantung ?"

Dengan tersenyum dan penuh diplomasi Doktor menyatakan "TIDAK".

Saturday, August 11, 2007

Macam - macam kisah (21)

Kisah 1 - Siap tapi tak jadi.



Aku telah bersiap ala kadar, untuk pergi ke Singapura. Selain dari untuk menyambut Hari Kebangsaan negara itu yang ke 43. Dalam masa yang sama, aku juga berhajat untuk menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai yang menetap disana.


Tapi apakan daya, disaat - saat akhir, atas sebab kesihatan yang agak meruncing, maka atas nasihat dari Doktor. Maka rancangan itu terpaksa dibatalkan.


Sejak dari awal pagi, aku tiba - tiba merasa kurang sihat. Sakit dibahagian dada telah datang berulang. Tapi kini kesakitan itu datang lebih kerap. Hingga aku berasa kurang selesa untuk berkerja. Akhirnya, aku terus mencapai motor kapcai buruk aku, dan terus menunggang, menghala ke klinik panel. Usai mendapat rawatan kecemasan. Doktor memaklumkan yang aku perlu dihantar ke Pusat Rawatan untuk mendapat rawatan lanjut.

# Apakan daya, kita hanya merancang.



Kisah 2 - Kasih seorang isteri.



Tiba sahaja dirumah, aku terus berbaring. Tanpa berkata apa pun. Isteriku menegur "sakit abang datang balik ke ?" Aku hanya mengangguk. Lalu dia menanggalkan stoking yang aku pakai, kerana aku merasa seolah hilang daya.

Diambilnya air segelas, lalu aku mencapainya dan menelan beberapa biji pil, penahan sakit.


"Sayang, sayang boleh ambil anak dari sekolah tak?" aku bertanya, kerana kasihan melihat isteriku yang terpaksa berulang alik, mengambil dan menghantar anak kesekolah.


"Abang, jangan fikir benda tu semua, saya akan ambil anak - anak, yang penting sekarang, abang rehat, abang tidur dulu" sambil mengusap lembut rambut aku.


Tiba - tiba sahaja, aku terus "hilang" ... aku tertidur, dek kerana ubat penenang yang diberikan oleh Doktor.


# Kash sayang yang ikhlas dari seorang isteri - hanya Syurga tempat balasannya.



Kisah 3 - Anak jadi pendiam.



Sewaktu aku terjaga dari tidur (yang agak lama), aku tersedar, waktu itu telah masuk waktu maghrib. Dengan segala kepayahan aku bangun. Aku lihat anak - anak sedang menghadap pelajaran mereka (sekarang musim peperiksaan).


Melihat sahaja aku keluar dari bilik, anak - anak ku terus menerpa kearahku. Semuanya memeluk dengan perasaan kasih sayang, seolah - olah telah lama berpisah layaknya. Anak ku yang sulung terus memapah tubuhku, kerana aku berjalan dalam keadaan terhoyong - hayang (mungkin akibat pil penenang masih berfungsi).


Mereka terus membawa aku ke bilik air, kerana aku belum bersolat lagi. Usai bersolat (dalam keadaan duduk), kerana aku tidak mampu untuk berdiri. Terus sahaja mereka bertanya soalan yang pelbagai, hingga aku ketawa.

# Syukur Alhamdulillah, aku mendapat keluarga yang semakin memahami tugas masing - masing.

Wednesday, August 08, 2007

Happy Birthday Singapore


SELAMAT HARI KEBANGSAAN SINGAPURA - yang ke 42 tahun.

9 hb Ogos 2007.

40 tahun yang lalu. Di Pulau Republik Singapura. Aku dilahirkan. Disitulah tanah tumpah darahku.


Kini aku telah menjadi rakyat dan warga negara Malaysia. Taat dan setia, tetap pada negara ini. Namun kedua - dua negara tetap menjadi sebahagian dari rakaman sejarah hidupku.

Perayaan Hari Kebangsaan Singapura akan diadakan di Marina Bay. Mendapat makluman dari saudara aku yang berada disana, sambutan pada tahun ini adalah yang paling "Grand". Seluruh Pulau Singapura "disaluti" oleh bendera negara tersebut, yang berwarna merah dan putih. Suasana malam bergemerlapan. Yang menjadi lebih hebat kerana perbarisan hari kebangsaan akan diadakan diatas satu kawasan yang dahulunya adalah laut, dan kini terkenal dengan nama - Marina Bay.




Kepada saudara - mara dan sahabat handai yang menetap dan menjadi warga negara Singapura. Aku ucapkan TAHNIAH dan Selamat Maju Jaya - MAJULAH SINGAPURA.

Dibawah adalah lagu kebangsaan negara Singapura - MAJULAH SINGAPURA.


Mari kita rakyat Singapura
Sama-sama menuju bahagia
Cita-cita kita yang mulia
Berjaya Singapura
Marilah kita bersatu
Dengan semangat yang baru
Semua kita berseru
Majulah Singapura
Majulah Singapura






Tuesday, August 07, 2007

Macam - macam kisah (20)


Kisah 1 - Romantik.

Satu hari, di awal pagi. Seorang kakitangan masuk kedalam bilik aku. Sambil menyerahkan fail dokumen, tiba - tiba sahaja dia bertanya:

Khairul (bukan nama sebenar): "Semalam saya nampak Encik dan isteri di Taman Tasek Shah Alam".
Aku: "Ya, sahaja ambil angin diluar, awak nampak saya dimana ?".
Khairul: "Saya di restoran, dekat situ ... wah, romantik betul ya, berjalan sambil pegang tangan, peluk pinggang lagi..."
Aku: "Ermmmm .... awak disitu dengan isteri ?"
Khairul: "Taklah, saya dengan member ... malaslah nak bawa isteri ... lagipun, kalau saya bawa isteri, siapa yang nak jaga budak - budak dirumah ?"

# Maaf, aku tidak tahu macam mana nak beri ulasan tentang hal ini. Bagi aku, lagi lama usia perkahwinan kita, semakin erat dan semakin intim perhubungan kita.



Kisah 2 - BURGER ... satu !

Malam itu, sewaktu berjalan - jalan ditepian tasek, aku dan isteri singgah disebuah gerai menjual burger. Tiba digerai itu, aku lalu memesan sebiji burger.

Aku: "Dik, bagi burger ayam satu".
Penjual Burger: "Satu je bang ?" ... akak tak nak ?" sambil memandang kearah isteriku.
Aku: "tak pe, kami kongsi je" aku menjawab sambil tersenyum.

Beberapa orang pelanggan, yang sedang menunggu tersenyum memandang kearah kami.

# Bukankah berkongsi makanan itu barakah.



Kisah 3 - KETAWA.

Pelbagai perkara dan topik yang kami bualkan sewaktu berdua - duan ditepian tasek itu. Dari sekecil - kecil perkara, hingga ke isu politik, dari hal anak - anak hingga ke isu XXX. Dan hampir kesemua perkara yang diperkatakan mengundang ketawa. Hingga aku sendiri terbahak - bahak, tidak dapat menahan perasaan geli hati.

Tapi malangnya, aku yang sering menjadi "mangsa" akibat cubit - cubitan sayang dari isteri ku.

# Cubit - cubitan ahai, senggol - senggolan. Ada ketikanya, aku sendiri merasa hairan, apabila melihat ramai suami yang terlalu serius bila bercakap dengan isteri.

Nota tambahan: Nabi Muhammad adalah seorang lelaki dan seorang suami yang paling banyak berbincang dan paling banyak bergurau dengan isteri.

Monday, August 06, 2007

Kasih SAYANG


Cerita dibawah, adalah sebuah mesej yang aku terima melalui emel dari Puan Zarina, seorang sahabat yang aku hormati.

Kisah yang begitu "menyentuh" perasaan aku sendiri sebagai seorang suami kepada seorang isteri.



Seorang wanita dan kekasihnya bernikah dan acara pernikahannya sungguh meriah. Semua kawan-kawan dan keluarga mereka hadir menyaksikan dan menikmati hari yang berbahagia tersebut.

Suatu acara yang luar biasa dan sungguh mengesankan. kedua mempelai begitu anggun dan gagah dalam persalinan yang indah. Setiap pasang mata yang memandang setuju mengatakan bahawa mereka sungguh-sungguh saling menyintai dan sepadan.

Beberapa bulan kemudian, si suami berkata kepada isterinya:

“Sayang, abang baru membaca sebuah artikel dalam majalah tentang bagaimana memperkuatkan hubungan dan tali pernikahan kita", katanya sambil menunjukkan majalah tersebut. "Masing-masing kita akan mencatatkan hal-hal yang kurang kita sukai dari pasangan kita”.

"Kemudian, kita akan membahas bagaimana kita mengubah hal-hal tersebut dan membuatkan perkahwinan kita bersama lebih bahagia ...".

Isterinya setuju dan mereka mula memikirkan hal-hal dari pasangannya yang tidak mereka sukai dan berjanji tidak akan tersinggung ketika pasangannya mencatat hal-hal yang kurang baik kerana ia adalah untuk kebaikan mereka bersama.Malam itu mereka sepakat untuk berpisah tidur dan mencatat apa yang terlintas dalam benak mereka masing-masing.

Esok pagi ketika sarapan, mereka sedia membincangkannya. "Abang akan mulai dulu ya", kata suami. Ia lalu mengeluarkan senarainya. Banyak sekali yang ditulisnya, sekitar 2 mukasurat ....

Ketika ia mulai membacakan satu persatu hal yang tidak dia sukai mengenai diri isterinya, ia memperhatikan bahawa airmata isterinya mulai mengalir ...

"Maaf, apakah abang harus berhenti ?" tanyanya."Oh tidak, teruskan ..." jawab isterinya.

Lalu si suami melanjutkan membacakan semua yang tersenarai, lalu kembali melipat kertasnya dengan manis di atas meja dan berkata dengan bahagia, "Sekarang giliran sayang pula membacakan senaraimu".

Dengan suara perlahan isterinya berkata, "Saya tidak mencatat sesuatupun di atas kertas saya”. “Bagi saya abang sudah sempurna, dan saya tidak ingin dan tidak akan mengubah dirimu Abang... Abang adalah tersendiri. Abang adalah pelengkap segala kekurangan saya..Dan jika adapun kekurangan Abang, kekurangan itulah yang mendekatkan hati saya dengan Abang ..."

Si suami tersentak dan tersentuh hatinya oleh pernyataan dan ungkapan cinta serta isi hati isterinya ..... bahawa isterinya menerima dirinya seadanya.

Dia kemudian tertunduk dan menangis ...


P/s: Sebelum kita mencari kekurangan orang lain, carilah kekurangan diri sendiri. Adakah kita cukup SEMPURNA untuk dibandingkan dengan orang lain?...

Kalau jawapan nya YA, maka kita berbohong atau kita PERASAN. Kerana tiada manusia yang SEMPURNA dalam dunia ini dan sentiasa ada yang perlu diperbaiki...

Wallahualam

"Hakikatnya orang-orang yang menyayangi diri kita kerana kelebihan kita dan menerima segala kelemahan kita, sudah pastilah orang ini adalah sangat ikhlas menyayangi diri kita... INSYAALLAH."


# Syukur Alhamdulillah. Setelah usia perkahwinan aku hampir mencecah 20 tahun. Aku masih berupaya dan selesa untuk memanggil isteriku dengan panggilan SAYANG.

Wednesday, August 01, 2007

Gambar foto PERCUMA

Assalamu'alaikum dan salam hormat kepada semua pengunjung Blog Abang Long.

Buat pengetahuan semua. Ramai yang bertanyakan gambar - gambar sekitar PAsiNo. Dimana ramai yang ingin menatapnya. Namun dukacita, usaha pihak Kelab Peminat Novel ALAF 21, untuk memuat turun gambar itu tidak berjaya. Disebabkan keupayaan Blog adalah terlalu terhad.


Akhirnya Pihak Kelab Peminat Novel ALAF 21, telah mengambil keputusan berikut. Dimana pada bulan Ogos ini akan diadakan pertemuan dengan AHLI, pembaca dan peminat novel ALAF 21. Diwaktu itu sekeping CD, yang mengandungi kesemua gambar (yang dirakam dari 3 buah kamera, digabungkan sekali), akan diberikan secara PERCUMA kepada mereka yang hadir pada PAsiNo.


Sekian TERIMA KASIH

Apa kata mereka tentang PAsiNo ?

Lagi tentang PAsiNo ...

Apa kata mereka ?


Saudara Hizam, adalah seorang pembaca, peminat dan pengulas novel. Beliau juga mengusahakan katering. PAsiNo pada kali ini menjemput Lusiana Katering untuk menyajikan makanan kepada tetamu yang hadir. Alhamdulillah sajian yang begitu menyelerakan dan mendapat pujian dari tetamu yang hadir. Saudara Hizam lebih dikenali sebagai Web Sutera. Kita lihat apa yang beliau kata tentang PAsiNo. Klik di sini.

Kali pertama alunan serunai diperdengarkan kepada khalayak pembaca novel, dalam PAsiNo. Ramai yang kagum, teruja dan memuji akan persembahan dan lagu yang didendangkan oleh Kumpulan Gendang Gemalai Kasturi dibawah pimpinan Saudara Serunai Faqir. Sesuatu yang baru, dimana selain dari lagu irama tradsional, kumpulan ini juga membawakan lagu yang berentak moden, selain dari dangdut dan juga irama Bollywood. Apa kata Serunai Faqir ? Klik disini.

Ulasan lanjut tentang PAsiNo, sila klik disini.