Tuesday, September 29, 2009

asal jumpa BATANG BURUK ...


Namanya BATANG BURUK.


Setelah lemang, ketupat pulut, rendang, lodeh, dan segala makanan berlemak terpaksa diketepikan dek faktor yang tidak dapat dielakkan. Tiba - tiba sahaja, entah angin puting beliung mana yang melanda, entah hujan ribut taufan mana yang menimpa. Tiba - tiba aku 'terjatuh cinta' dengan kuih BATANG BURUK.


Sebelum proses 'jatuh cinta' ini berlaku. Aku hampir - hampir terpaksa dan memaksa diriku untuk berkurung dalam bilik. Akibat tidak mampu untuk melihat aksi menggoda dan menggiurkan, rakan sahabat dan sanak saudara yang dengan ghairahnya menjamah segala kuih muih yang dihidangkan.


Akhirnya mata aku tertancap kearah BATANG BURUK. Setelah aku selidik segala asal keturunan dan isi tubuh badannya. Aku dapati itulah makanan yang InsyaAllah, boleh, mampu dan berupaya untuk melunturkan nafsu dan keinginanku kepada kuih raya.


Akhirnya, BATANG BURUK menjadi sasaran aku yang tidak ada kompromi. Biarlah apa orang lain nak kata.


Kali ini aku akan terjah ke seberapa banyak blog rakan, sahabat dan saudara. Untuk bertanya cuma satu sahaja soalan, dan ini bukannya TAG RAYA. Tetapi sekadar sebuah soalan untuk memeriahkan dunia blog bersempena LEBARAN 09.


Soalannya berbunyi: APAKAH KUIH ATAU JUADAH YANG PALING DISUKAI SETIAP LEBARAN ?


Dan setiap jawapan yang aku perolehi akan disiarkan didalam blog ini.


Nantikan kehadiran Abang Long ke blog ANDA ... :)


Jawapan dari teman penulis blog: (akan bertambah dari semasa ke semasa):-


Tie - TART NENAS.
Achik - nasi impit dgn lodeh & sambal udang.
yginsaf4 - rendang daging.
Farah Aminuddin - sate ayam dengan kuah kacang
Mak Su - cornflakes bersalut madu.
Masy - lemang.
Zara Aluwi - ketupat dan rendang Negeri Sembilan bersama air nescafe pekat.
nza - satey dgn kuah kacang
Neeza Shahril - tart nenas
xiinam - Nasi lontong, ayam kampong,
kuah lodeh dan kuah kacang
rudy bluehikari -
nasi impit dan satay (ayam) goreng emak
aNIe - ketupat rendang dengan sambal bilis
fusarium solani - ketupat dan kuah kacang
Kak Zue - daging goreng satay
ILA - Popia berinti udang

kuIna LadyInRed - bahulu
Kakna - sultana.
kirana - batang buruk
AiNeRzA - ketupat palas dan rendang
atie - rendang maman



Saturday, September 26, 2009

Wajah Abang Long & Famili.

Wajah Riang Ria Aidil Fitri.

Tepat pada 20hb September 2009. Maka bersamaan dengan ulangtahun perkahwinan Abang Long dan isteri - 18 tahun usia perkahwinan. 20-09-2009. 18 tahun yang lalu, inilah saat yang mendebarkan kami.

Nikmatilah gambar - gambar foto yang disiarkan dibawah.
Entri ini adalah EDISI KHAS RAYA.

Kepada pengunjung Blog Abang Long yang sering tertanya - tanya bagaimana rupa dan wajah Abang Long dan famili, maka dikeluaran ini, segala - galanya disiarkan buat tatapan anda.



# Gambar foto akan bertambah dan bertukar ganti dari semasa ke semasa, seumpama menyelak helaian album. Khas buat hari raya.


# Gambar foto HANYA disiarkan pada - 26hb September. Dari jam 8 malam - 12 tengahmalam.


TAHNIAH kepada pengunjung yang telah berkunjung ke Blog ini bersempena dengan entri EDISI KHAS RAYA.

FOTO LEBARAN


Siaran Tergendala.


Akibat dari beberapa masalah teknikal, maka gambar foto riang ria Abang Long bersama famili telah tidak dapat disiarkan tepat pada waktunya.


InsyaAllah. Gambar foto akan disiarkan untuk tatapan umum bermula jam 8 malam ini dan berakhir jam 12 malam.


Tunggu ...

Ucapan Sempena Lebaran.


SMS dari yang tersayang ...


Bersempena dengan kedatangan Hari Lebaran ini. Abang long telah menerima beberapa sms. Namun tidak berupaya untuk menjawabnya. Maka, diruangan ini, Abang long mencatatkan mesej yang Abang long terima.


TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada pengirim sms berikut:


"Ya Allah, dipenghujung Ramadhan yang penuh barakah ini & menjelang Syawal yang mulia, ku mohon Kau berkati & muliakanlah saudaraku ini, anugerahkan kebahagiaan untuk dirinya & keluarganya, kurniakan ia segala kekuatan & keteguhan iman, limpahi & berkatilah rezekinya, tinggikan darjatnya, makbulkan hajat, doa & taubatnya. Amin Ya Rabbal 'alamin". Salam Syawal Minal 'Aidil Wal Faa Izin.


Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Dengan ucapan tulus ikhlas semoga berbahagia di hari yang mulia ini ...


Apa yang kita fikir, yang kita tahu atau yang kita percaya sebenarnya tidak penting kerana yang penting ialah apa yang kita lakukan. Selamat Hari Raya dari Fadzil.


BiLa Rya, LiNe Busy giLer .. Mse 2 nyesl pn x gne ... Mxis, CLCM, DiGi sumenya Sma saje ... Tp kLu Org Bjak x yah tggu Rye Ucp skang pn bley ...SLMT HR RYA Aidil fITRI!, Maaf zahir & batin.


salam aidilfitri ... maaf zahir & batin ..
Daripada: Rania Firdaus & keluarga di Terengganu.


Aslkm. Ya Rabbi, ketika diakhir Ramadhan yang penuh barokah ini& insyaallah akan muncul Idul Fitri yang mulia, Engkau muliakan & sayangi penerima ucapan ini, berkati keluarganya, sihatkan tubuhnya badannya, limpakan rezeki yang halal untuknya, jauhkan daripada fitnah, penganiayaan & penghinaan. Suburkan benih keimanan. Makbulkan doa - doa serta cita - citanya. Amin Ya Rabbal Alamin. Salam Idul Fitri "MAAF ZAHIR & BATIN" Ikhlas dari, Azmi Wahid & keluarga.


Selamat Hari Raya Aidil Fitri Minal Aidil Wal Faizin. Maaf Zahir dan Batin. Drpd Rashid dan Keluarga.


WaLaU LaNgKaH TaK BeRtEmU, TaNgAn TaK BeRjAbAt,UcAp TaK TrDeNgAr, MaTa TaK BeRtAtAp, TaPi IzInKaN HaTi MeMoHoN MaAf, ZaHiR & BaTiN. SALAM AIDILFITRI... ARSAILI n FAMILY.


Salam. Tak selamanya mata memandang dgn ramah, hati menilai dgn jernih dan mulut bicara dgn santun. Mohon maaf atas segala kekhilafan, baik yang bersifat lahir ataupun batin. Salam Idulfitri dari saya Suhaimi n Laily, Kedah DA.


Slmt hari raya aidil fitri. Maaf zahir batin andai ada slh silap. Semoga lebaran kali ini lbh bermakna n ceria selalu. Salam tulus ikhlas drpd, ila.


Selamat hari raya aidil fitri. Maaf zahir batin. Ikhlas dari izman sekeluarga.


Sempena hari dan bulan yang mulia ini, saya susun sepuluh jari pohon ampun dan maaf, andainya ada kesalahan dan kesilapan disepanjang urusan dan pergaulan antara kita. Selamat hari raya, maaf zahir batin. ust sapidin amran dan keluarga.


"Selamat Hari Raya Aidilfitri" 2 you n ur family.
Daripada Mr. Selvaraj.

Thursday, September 17, 2009

UCAPAN SALAM LEBARAN


Ucapan setulus ikhlas.


Dikesempatan ini Abang Long dan famili mengucapkan:
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada seluruh umat Islam dimana sahaja mereka berada.


Jua diruangan ini Abang Long menyusun sepuluh jari
MEMOHON AMPUN & MAAF
atas segala salah dan silap yang dilakukan selama ini.


InsyaAllah, pada 25hb Syawal. Abang long akan menyiarkan gambar foto bersama keluarga berhari raya. Dan entri itu akan bersiaran selama 3 jam sahaja. Bermula pada jam 8 malam.


Tuesday, September 15, 2009

SEMANGAT RAYA


Patah kaki. Tapi kuat semangat.


Walaupun patah kaki. Walau apa halangan sekalipun. Dua orang pesakit tetap hendak keluar dari wad, untuk pulang berhari raya.


Mereka memujuk rayu Doktor yang bertugas. Mereka merayu dan menggoda jururawat agar memberikan persetujuan untuk melepaskan mereka pulang untuk berhari raya.


"Kamu berdua masih belum pulih sepenuhnya, andainya saya membenarkan kamu keluar, saya bimbang kamu tidak akan berupaya untuk bergerak ..." Doktor keberatan untuk melepaskan dua orang pesakitnya.


Dua orang pesakit itu tetap berusaha untuk meyakinkan Doktor yang mereka berupaya untuk bergerak walau dalam kepayahan.


Ramai pesakit lain memerhatikan kedua - dua orang pesakit yang patah kaki itu berbincang dengan Doktor yang bertugas. Semuanya tersenyum melihat keletah dan gaya kedua - dua pesakit itu merayu si Doktor.


Akhirnya, Doktor terpaksa mengalah "Ok, ok, ok ... tapi boleh saya tahu ... awak berdua tinggal dimana?"


Kedua - dua pesakit itu tersenyum lebar dan menjawab spontan "Depan tu sahaja ... di Taman Sri Andalas".


Alahai .... beberapa orang pesakit tertawa dengan jawapan dari pesakit patah kaki itu.


# Kedua - dua orang pesakit yang patah kaki itu tinggal di kawasan Taman Sri Andalas. Dimana, Hospital Tunku Ampuan Rahimah adalah berada didalam kawasan Taman yang sama.

Monday, September 14, 2009

DIRAWAT.

Doakanlah ...


Abang long memohon dan merayu kepada semua pengunjung blog ini supaya mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Abang long.


Hari ini Abang long berada didalam Hospital Tunku Ampuan Rahimah.

Friday, September 11, 2009

SYAITAN dalam kopitiam.


Orang tua KURANG AJAR !


Semalam, hari ke 20 umat Islam berpuasa. Akhirnya aku tidak dapat menahan sabar. Sungguh, bukan main - main. Memang aku terasa amat marah, terasa darah aku naik, kalau ikut hati muda aku (cuma tubuh sahaja kelihatan tua), memang aku terasa hendak lempang sahaja !


Waktu itu aku sedang membawa anak - anak aku berjalan dideretan gerai untuk bertemu dengan seorang sahabat lama. Aku lalu berdiri dihadapan sebuah bank. Disebelah bank itu pula terdapat sebuah restoran China.


Disebuah meja diluar restoran itu. Ada beberapa buah meja yang diletakkan dibahagian kaki lima restoran. Seorang LELAKI MELAYU sedang enak mengirup segelas nescafe ais dan menghisap rokok, berkepul - kepul asapnya.


Aku memandang dengan perasaan yang berbaur, terasa malu, segan, marah, geram dan pelbagai lagi. Tiba - tiba sahaja, anak aku bertanya dengan nada suara yang agak tinggi, maklumlah, anak - anak ... manalah mereka tahu apa - apa, yang mereka tahu ialah bertanya jika mereka tidak faham.


"Abah ... kenapa orang itu minum di kedai China ... dia tidak berpuasa ... tak malu ek?"


Aku menyentap tangan anak aku, sambil menunjukkan isyarat supaya diam sahaja. Tiba - tiba LELAKI MELAYU itu datang menghampiri aku dan terus bersuara dengan agak tinggi "Hoi ... kalau aku tak puasa, aku nak buat maksiat pun ... apa masalah engkau ? Tak payah tunjuk alim ... konon nak ajar anak, yang aku ni tak puasa ... hei ... mati mampus esok kubur masing - masinglah !"


Aku terus membawa anak - anak aku berlalu dari situ tanpa mempedulikan LELAKI MELAYU itu terus menjerit - jerit.


Aku berhenti di sebuah gerai lain, yang agak jauh dari restoran kopitiam itu. Lalu, dua orang wanita, tersenyum dan terus bertanya kepada aku apa yang berlaku sebentar tadi. Aku lalu menceritakan apa yang berlaku.


"Entahlah ... apa nak jadi dengan orang Islam sekarang ... sudah hilang rasa malu. Sudahlah tidak ikut perintah tuhan, hendak tunjuk samseng lagi ... saudara tahu tak ... kalau tadi lelaki itu menyerang saudara ... ada beberapa orang lelaki diluar bank kata, mereka akan bantu saudara ... biar kita ajar sikit orang yang kurang ajar pada ugama!" Luah kata - kata oleh wanita itu kepada aku.


Sambil tersenyum aku mengucapkan terima kasih atas keprihatinan mereka. Dan aku terus menyambung "saya terkenangkan anak - anak saya, takut mereka jadi mangsa ... kalau saya seorang sahaja tadi di situ ... memang saya sudah LEMPANG dan bergasak dengan SYAITAN lelaki itu!"


Kedua - dua wanita itu terus sahaja tertawa. Dan terus berlalu sambil mengucapkan salam.

Wednesday, September 09, 2009

Sekadar Untuk Dipandang SAHAJA


Dipandang SAHAJA.


7 hb. September bersamaan 17 Ramadan yang baru lalu, diisytiharkan sebagai hari turunnya Al Quran atau Nuzul Al Quran.


Bagaimana caranya Al Quran diturunkan boleh sahaja dipelajari dari pelbagai sumber. Tetapi ianya adalah satu daripada peristiwa besar yang perlu diagungkan.


Bayangan atau gambaran mudah ialah. Ada dua perkara besar yang melibatkan 'hubungan' anatara manusia dan langit. Iaitu, peristiwa Nuzul Al Quran dan Israk dan Mikraj.


Nuzul Al Quran melibatkan arahan dan titah perintah dari Allah untuk amalan setiap manusia. Manakala Israk dan Mikraj adalah perintah khusus dari Allah untuk solat. Satu amalan yang menjadi tiang atau tonggak dalam agama.


SOLAT dan Al Quran. Dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Andainya kita bersolat, maknanya kita WAJIB membaca Al Quran. Ini membawa maksud, jika seorang muslim itu TIDAK BERSOLAT, dengan sendirinya ia TIDAK MEMBACA Al Quran.


Dan yang lebih mengaibkan ialah. Andainya seorang yang mengaku muslim itu tidak bersolat, bermakna ia tidak mengulangi atau memperbaharui SYAHADAHnya. Kerana, didalam solat itu sendiri kita WAJIB melafazkan DUA KALIMAH SYAHADAH.


Dan jika kita tidak mengucap dua kalimah syahadah. Bagaimana mungkin kita boleh menyatakan bahawa kita adalah seorang muslim yang beramal, tunduk dan patuh kepada suruhan Allah ?


Tiada TUHAN yang aku SEMBAH melainkan Allah.
Aku naik SAKSI bahawa NABI MUHAMMAD adalah PESURUH ALLAH.


Jika kita tidak bersolat atau meringankan solat. Bermakna ucapan diatas hanyalah sekadar ucapan.


Yang penting, rajin - rajinkanlah diri kita untuk melangkahkan kaki ke majlis ilmu, samada ke surau, ke masjid, atau ke mana - mana tempat yang ada pengisian ilmu.


Jangan dipandang sahaja Al Quran. Bukalah helaian didalamnya. Bacalah. Hayatilah. Fahamilah maksudnya.


Sesungguhnya Al Quran adalah sebagai TEMAN SETIA dan pelindung kita sewaktu di ALAM KUBUR. Dan Al Quran juga adalah juga menjadi SYAFAAT kepada kita, di saat kita amat memerlukan SYAFAAT di alam akhirat.


Jangan dipandang sahaja Al Quran yang berada di atas almari ... biarlah kita menangis sewaktu membaca Al Quran, daripada kita menangis menyesal sesesal sesalnya kerana 'ditinggalkan' oleh Al Quran sewaktu di padang MAHSYAR kelak.

Saturday, September 05, 2009

Filem BLACK di bulan Ramadan


B.L.A.C.K bukan A.B.C.D.E


Aku sengaja hendak membawa satu perkara yang lari tajuk. Tapi tetap ada hubungkait dengan Ramadan.


Entah kenapa, tiba - tiba aku terasa letih sangat tengahari ini. Lalu aku dengan tidak sengaja terus terpaku didepan tv. Aku menonton cerita hindustan bertajuk - B.L.A.C.K. Bukan untuk mempromosi filem ini. Tetapi, kisah yang dibawa benar - benar meruntun jiwa.


Kisah bagaimana seorang anak yang dilahirkan - BISU, BUTA & PEKAK. Dan hero filem ini membawa watak sebagai seorang Guru, tidak lain tidak bukan, aktor Amitabh Bachan.


Guru yang mengajar dengan 'jiwa.' Seorang guru yang 'membawa' anak muridnya menuju ke puncak kejayaan. Namun, sewaktu anak murid menggapai segulung ijazah. Gurunya pula berada didalam wad psikiatri. Akibat dari sakit jiwa dan menghidap Alzheimer.


Sejujurnya. Sudah lama. Ya, sudah lama aku tidak menitiskan air mata kerana menonton filem. Lagipun terasa membazir air mata dek kerana sebuah filem. Tetapi tidak untuk kali ini. Aku tidak dapat menahan perasaan gembira, terharu dan pilu yang teramat sangat.


Aku tertawa apabila dalam salah satu babak. Si gadis yang OKU ini disoal oleh jawatankuasa Universiti sebelum diterima sebagai pelajar. Soalannya berbunyi "Tahukah kamu dimana letaknya negara Amerika?"


Dan si gadis ini memang tidak tahu jawapannya. Tetapi kebijaksanaanya menjawab secara universal itulah yang menyebabkan semua orang tertawa. Si gadis hanya menjawab "Di sebabkan dunia ini luas, dan sentiasa berpusing, maka kedudukan negara Amerika juga tidak tetap dan turut berpusing."


Terlalu banyak ilmu, pengajaran dan pelajaran yang aku dapat dari menonton filem ini.


Kata - kata akhir dari gadis ini ialah - "Kita akan berasa puas bukan kerana kita mendapat apa yang kita hajati, tetapi kita akan puas kerana dapat memenuhi impian dan hajat manusia lain."


Alhamdulillah, filem yang diberikan judul B.L.A.C.K ini langsung tidak ada lagu ataupun penari yang memakai baju dalam. Tetapi cukup berkesan.

Wednesday, September 02, 2009

Sekotak Kurma. Sebuah Komuter.


PAHALA melimpah ...


Hampir masuk waktu Isyak. Barulah sepupu isteri aku tiba dirumah kami. Dengan kepenatan membawa beg dan dua orang anak, mereka datang dari Pasir Gudang.


Sambil melepaskan penat, sambil kami menjamu selera. Sebelum aku melangkah keluar untuk ke masjid berhampiran. Isteri aku bertanya, atas komuter berbuka dengan apa ? Lalu dijawab oleh sepupunya "ada orang sedekah kurma buat penumpang berbuka."


"Uihhh ... tentu orang itu kaya, kan ? Balas isteri aku.


"Entahlah kak ... orang itu cuma membuka sekotak kurma, dan dihulurkan kepada penumpang komuter untuk tujuan berbuka." Sepupu isteri menjawab.


Syukur Alhamdulillah. Aku sendiri tidak pernah terfikir atau melihat kejadian seperti itu didalam mana - mana pengangkutan awam. Mana - mana orang perseorangan atau kumpulan atau organisasi yang hendak melakukan amal jariah dengan menyediakan kurma atau apa sahaja juadah yang ringkas dan mudah untuk penumpang yang berugama Islam untuk berbuka puasa.

Tuesday, September 01, 2009

Lajunya PUASA !


Cepat, laju, deras, pantas, pecut ...


Terasa baru semalam kita mula berpuasa. Hari ini sudah masuk hari ke 10 kita menjalani ibadah puasa. Terasa seperti tidak terasa yang kita sudah berpuasa selama 10 hari. Ada ketikanya terasa seperti bermimpi.


Telah 10 hari kita menahan LAPAR dan DAHAGA di siang hari sepanjang bulan Ramadan.


Yang pasti kita sudahpun berada didalam apa yang disebut oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W, "Umat akhir zaman."


Berjaga - jagalah. Bersiap siagalah. Berwaspadalah.


Tingkatkan amalan. Perbanyakkan menimba ilmu. Lakukan dengan ikhlas. Sentiasa beristighfar. Upayakan diri untuk terus menerus berselawat ke atas Nabi Muhammad dan Ahlul Baitnya.


Pandang keliling, adakah kita telah melaksanakan - Hablum minaAllah DAN Hablum minannas.


Apakah kita sudah melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawab kepada 40 buah rumah, sekeliling kediaman kita ? Kerana ini adalah suruhan dan sunnah Nabi.


Setakat ini, aku memohon dan merayu kepada pengunjung blog ini. Selain dari melakukan segala amalan yang mulia di bulan Ramadan ini. Ada satu perbuatan paling tercela dan terkutuk yang sering dilakukan dan kita seolah - olah terlupa untuk menghentikannya iaitu perbuatan - MENGUMPAT, MENCACI MAKI, MENGATA DAN MEMFITNAH.


TOLONGLAH HENTIKAN PERBUATAN SEDEMIKIAN !


Hasil dari pembacaan buku, menadah kitab dihadapan para guru yang mursyid. Aku dapati bahawa perbuatan itu adalah paling keji disisi agama. Balasannya amat perit dan maha dahsyat di akhirat kelak.


Bak kata Rasulullah, jalan terbaik ialah - "DIAM."