Friday, December 28, 2007

Macam - macam kisah (33)



Kisah 1 - Pesakit yang bertambah sakit.



Sewaktu berada didalam wad tempohari, ada ketikanya aku berjalan - jalan diluar bilik. Selain dari untuk 'menggerakkan' anggota tubuh yang terasa kaku, akibat terlalu lama tidur dan terbaring. Aku bertemu dengan seorang pakcik (dalam lingkungan umur 70 tahun). Aku yang mula menyapanya, sewaktu beliau sedang duduk dikerusi diluar bilik dihadapan kaunter.



Perbualan kami yang bermula diluar, akhirnya bersambung kedalam bilik pakcik ini. "Wah, hebat betul pakcik ini" aku berkata didalam hati. Manakan tidak, biliknya adalah didalam kategori wad kelas satu.



Lalu tanpa sengaja, terpacul soalan yang bagiku bukannya luar biasa, tetapi membuatkan pakcik ini menitiskan airmatanya. "Ahli keluarga pakcik tak datang ke?"



Pakcik ini hanya memandang keluar bangunan, "sebenarnya, susah nak cakap dan panjang ceritanya."



Aku yang melihat situasi pakcik ini, cuba untuk menukar situasi dengan berkata "tak mengapa pakcik, bagi je cerita tu jadi pendek", aku cuba bergurau.



"Sebenarnya, pakcik masuk kesini atas nama syarikat pakcik ..." ceritanya tersekat.



"Sebenarnya ... pakcik ada 11 orang anak dari tiga isteri, malangnya, semua isteri pakcik tak boleh bertemu antara satu sama lain, begitu juga dengan anak - anak pakcik, semuanya akan bergaduh kalau mereka berjumpa, ada sahaja yang tak kena. Itulah sebabnya pakcik kata, kalau datang untuk bergaduh depan pakcik, lebih baik jangan datang!"



# Aku terkedu, aku terkelu, aku terdiam.





Kisah 2 - Isteriku menjadi jurucakap.


Jangan ingat bila kita masuk hospital, dan tinggal di wad, kita akan dapat berehat sepenuhnya.



Dari segi fizikal, memang kita kelihatan berehat. Tetapi dari segi hakikatnya, MULUT kita terpaksa dan dipaksa untuk bercakap.



Bayangkan, selama 4 hari aku berada didalam hospital. Kaum keluarga, rakan dan sahabat begitu ramai yang menziarahi. Semuanya bertanya pelbagai soalan dan pelbagai perkara tentang penyakit dan apa yang terjadi kepada aku.



Dan sudah pasti aku terpaksa 'mengulang dan mengulang' jawapan yang sama. Akhirnya, isteriku 'melantik' dirinya sendiri sebagai jurucakap tak rasmi untuk menjawab segala pertanyaan dari sesiapa sahaja.



# Anakku yang sulung bertugas untuk menjawab panggilan telefon dan sms.





Kisah 3 - Waktu berpisah baru sedar.



Selama 4 hari aku berada didalam hospital, khususnya diwaktu tiada tetamu. Aku lebih suka menghabiskan waktu dengan membaca novel. Kerana membaca novel adalah umpama 'terapi minda'. Ada beberapa orang jururawat yang bertanya "Encik suka baca novel?" aku hanya tersenyum sambil mengangguk. "Saya pun suka baca, terutama novel terbitan ALAF 21" komen salah seorang jururawat yang bertugas.



Setakat itu sahaja perbualan kami yang ringkas.



Sewaktu hendak pulang, aku sempat memberikan alamat emel dan alamat blog kelab kepada jururawat yang berkenaan. Supaya kalau beliau berkesempatan, maka beliau boleh sahaja menghantarkan ulasan novel yang telah dibaca.



Sewaktu menerima kertas yang beralamat emel itu, tiba - tiba sahaja wajah jururawat yang bertugas itu seperti kehairanan. "Er, ini alamat encik ke?" Aku mengangguk, lantas bertanya kembali "kenapa?"



"Jadi ..... Encik ni presiden kelab peminat novel alaf 21 ?" seperti tidak percaya jururawat itu terus bertanya lagi kepadaku. "Ya" jawab aku spontan. "Ya Allah ... kalau saya tahu dari awal..." jururawat itu seperti tidak percaya. Aku lantas berkata "InsyaAllah, kita masih boleh berhubung, dan Cik boleh join kami, kalau ada kelapangan. Apapun, saya ucapkan terima kasih atas layanan Cik dan rakan - rakan yang lain, yang telah berusaha menjaga saya."



# Agaknya, apa yang akan berlaku, kalau jururawat itu tahu kedudukan aku dari awal ?

6 comments:

mama ranggie said...

ramainyer bini pakcik tu?

sian die kan!?

Abang Long said...

mama ranggie, itukan TAKDIR.

cikscarlet said...

Assalammualaikum abg long, hopefully abg long sudah semakin sihat n sihat sokmo ye...berkenaan membaca novel ni , sy memang kurang berminat .. bukan sj membaca novel,membaca surat khabar pun sy hanya suka membaca tajuk tajuk yg panas sahaja..Tapi bukanlah bermaksud saya ini umpama katak di bawah tempurung...sy suke mendapat info dari berita di tv atau di internet ..itulah kelemahan sy abg long, dari dulu lagi malas membaca!~ahaks

Yang bernama Siti said...

Salam Abang Long,

Teringat pula waktu saya di wad dahulu. Abang dan kakak saya tidak memberitahu sanak saudara yang saya masuk wad. Walaupun waktu masuk keadaan saya dikira tenat. Memang saya lebih suka begitu. Setelah keluar ICU baru saya hantar SMS kepada beberapa rakan rapat, yang sering membantu apabila saya dalam kesusahan. Sanak saudara hanya diberitahu waktu saya berjumpa mereka di kenduri seorang saudara selepas saya keluar wad.

Kebanyakan orang tidak faham yang pesakit tidak boleh diganggu rehatnya. Mujur Abang Long ada isteri dan anak-anak yang boleh membantu menjawab pertanyaan mereka.

Ada seorang pesakit di hadapan katil saya yang waktu melawat begitu riuh suasana di sekitar katilnya. Sudahlah begitu, salah seorang pelawat itu ada anak kecil yang baru belajar berjalan. Budak itu dilepaskan berjalan di sekitar katil itu. Malangnya budak itu dipakaikan kasut yang berbunyi berdecit-decit tu. Saya rasa seperti hendak angkat budak itu dan campakkan dia ke bawah (wad saya di tingkat 8). Waktu itu saya masih lemah dan masih belum habis kesan bius pembedahan saya.

Begitulah antara perasaan yang dialami pesakit. Jadi saya harap kepada yang membaca entri Abang Long dan komen ini supaya tidak melakukan seperti itu kepada orang sakit yang dilawati.

Abang Long said...

cikcsarlet, Alaikumsalam, alhamdulillah, setakat ini sihat tapi belum pulih sepenuhnya.

yang bernama siti, KITA SERUPA hahaha ...

bayurahmatjatnika said...

Salam Hormat,

Maaf kalau saya mengganggu, saya orang indonesia,maaf yah pak kalau boleh saya mau minta ilmu dari bapak saya mau bertanya:

1. Bagaimana cara menampilkan jumlah pengunjung yang melihat blog kita?

2. Bagaimana cara menampilkan jam seperti yang bapak punya di blog bapak?

3. Dan bagaimana cara memperindah blog yang kita punya atau apa saja yang bapak ketahui untuk menambahkan sesuatu atau theme tertentu di tampilan blog kita?

Terima Kasih dan semoga bapak tetap sukses.