Saturday, May 31, 2008

Sistem Pesanan Ringkas.

Saya memohon ampun dan maaf kepada sesiapa sahaja yang menghantar sms. Kerana atas sebab - sebab tertentu. Saya tidak dapat membalasnya.


Harap maklum.

Ulasan Novel

Ulasan novel


Klik disini

Wednesday, May 28, 2008

Friday, May 23, 2008

Catatan Seorang PENGANGGUR (2)

DUKA LARA.



Tiada apa yang mampu aku lakukan lagi. Aku tidak tahu apakah ini adalah undang - undang atau peraturan. Selama seminggu ini, aku berulang - alik, antara hospital, klinik dan balai polis trafik.



Tubuh aku masih sakit, masih sengal dan masih terasa bisa dibahagian sendi. Sakitnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Lukanya dari siku hingga ke pergelangan tangan, calar yang begitu teruk akibat dari kulit yang tersiat sewaktu jatuh dari motorsikal. Manakala dibahagian lutut, lukanya sudah kelihatan semakin surut, tetapi aku tetap menahan sakit, sewaktu hendak sujud.



Anakku hingga hari Rabu, masih berjalan terhinjut - hinjut, akibat kecederaan dibahagian lutut, namun tetap pergi ke sekolah, kerana ujian belum selesai. Kakinya sentiasa berbalut.



Malang sejuta kali malang nasib aku kini. Hari Khamis, sekali lagi aku pergi ke balai polis cawangan trafik. Bertemu dengan seorang peguam, dimana beliau menyatakan bahawa, aku tidak akan mendapat sebarang pampasan. Kalau ada sekalipun, aku hanya akan mendapat bayaran pampasan kurang dari RM1000. Dan tidak ada mana - mana peguam yang akan mengambil kes aku, kerana bayaran guaman pun tidak lepas. Ini bermakna, aku perlu berusaha sendiri, dan tempoh masanya mungkin akan mengambil masa antara 1 hingga 5 tahun ! Dan kalau aku perlu ke mahkamah, maka semua kos aku perlu tanggung sendiri.



Aku mencuba untuk mendapatkan nombor telefon pemilik kenderaan yang terlibat. Namun pihak polis menyatakan bahawa, aku tidak boleh dan tidak dibenarkan untuk mendapatkan rahsia peribadi pemilik kenderaan itu. Jadi, sekarang bagaimana aku hendak menyelesaikan kes aku ?



Seperkara lagi, selepas berbincang dengan pegawai atasan polis trafik dan peguam itu. SAH, mereka menyatakan bahawa aku tidak boleh atau tidak berpeluang untuk mendapat pampasan, kerana aku tidak bekerja. Atau dengan erti kata lain, aku tidak boleh membuat tuntutan PERKESO atau SOCSO kerana aku seorang - PENGANGGUR !



Dalam erti kata lain, walaupun aku telah bekerja selama 20 tahun, tetapi bila aku menganggur dan terjadi sesuatu, maka aku tidak dapat berbuat apa - apa.


Ya ALLAH ! Beginikah undang - undang ?

Dimana aku hendak membuat tuntutan atas rawatan kecederaan ku ?
Dimana aku hendak membuat tuntutan keatas rawatan kecederaan anak ku ?
Gigi kekal anakku pecah.
Seluarnya koyak.
Seluar aku juga koyak.
Motorsikal rosak, cermin pecah, clutch bengkok.


Semuanya KOS yang aku perlu tanggung SENDIRI sebagai seorang PENGANGGUR !

Thursday, May 15, 2008

Diari Seorang PENGANGGUR (1)

Aku Redha, Aku Pasrah. Itulah ketentuanNya !



Seperti biasa, seawal jam 7.00 pagi, aku akan bergegas menunggang motosikal untuk menghantar anak ku yang kedua, yang berada didalam darjah 5 ke sekolah Anglo Chinese School (ACS) Klang, yang terletak 3 km dari rumahku.



Dan, seperti kebiasaan juga, laluan ke sepanjang perjalanan ke arah Bandar Klang sememangnya sibuk dan sesak. Kesesakan jalanraya sememangnya perkara lumrah.



Begitu juga laluan untuk ke sekolah ACS. Namun, kesesakan yang berlaku pada pagi tadi agak teruk. Namun, bagi penunggang motosikal seperti aku, ianya adalah agak mudah untuk diatasi.



Seperti kebiasaan juga, aku tergolong didalam golongan penunggang @ pemandu yang tidak gemar membawa kenderaan dengan laju.



Namun, bak kata pepatah, kalau sudah takdir. Dan malang memang tidak berbau. Sewaktu aku memotong kenderaan lain yang bergerak perlahan. Maka, secara tiba - tiba, sewaktu aku berada ditepi sebuah kereta jenis Toyota lama. Tiba - tiba sahaja pemandunya memberikan lampu isyarat untuk memotong, dan dalam sekelip mata sahaja, kenderaan itu keluar dari laluannya.



Maka berlakulah tragedi yang tidak ku duga. Dimana, motosikal yang aku tunggang, sudah tidak dapat dikawal, dan terus bergesel dengan kereta itu. Dan aku serta anak aku terus terjatuh diatas diatas jalanraya, terbalik bersama - sama dengan motorsikal yang aku tunggangi.



Kaki kiri aku dan kaki kiri anak aku tersepit dibawah motorsikal yang jatuh. Bila melihat kejadian itu, beberapa orang penunggang motorsikal yang berada berhampiran dengan aku terus sahaja memberikan bantuan segera.



Hati aku memang benar - benar terasa panas diwaktu itu, kerana pemandu kereta itu tidak langsung mahu mengaku kesilapannya yang cuai dan tidak berhati - hati serta berhemah dijalanraya. Beberapa orang penunggang yang ada disitu juga meluahkan perasaan marah mereka, dimana ada yang berkata dengan nada seperti orang yang hendak bergaduh.




"Heiii .... aku nampak tadi ... very clear ... engkau baru bagi signal dan terus masuk tengah jalan sebab nak potong..."



Aku yang masih lagi kebingungan, terus sahaja memapah anak ku yang terbaring diatas jalanraya, aku angkat dan letak ke tepi jalan. Anak aku terus sahaja menangis kesakitan yang teramat sangat. Aku hanya mampu berkata "Uzair, jangan menangis ya sayang..."



Aku melihat mulutnya berdarah, membasahi wajah dan baju sekolahnya. Manakala kakinya tidak dapat digerakkan. Seluarnya terkoyak. Kelihatan darah pada bahagian lututnya.



Beberapa orang kelihatan cuba menghubungi ambulan. Dan aku sendiri diwaktu itu, seperti orang yang dalam keadaan cemas dan mabuk. Nasib baik beberapa orang pemuda, memberikan kata perangsang kepada aku untuk bersabar, dan mereka cuba menghubungi isteri aku.



Setelah, aku dapat menghubungi isteri aku. Aku terus sahaja meminta agar beliau mencatatkan maklumat yang aku berikan. Seperti nama pemandu kenderaan, nombor pendaftaran, jenis kenderaan, waktu berlaku. Aku juga sempat menasihati isteri aku supaya bertenang. Walaupun pada hakikatnya, aku sendiri berada didalam keadaan cemas yang teramat sangat.



Seorang wanita, memberikan nasihat agar aku tidak menunggu ambulan. Dan wanita ini terus sahaja menawarkan diri untuk menghantar aku dan anak ku ke hospital. Tanpa banyak bertanya, seorang pemuda terus sahaja mengangkat anak ku masuk kedalam kenderaan MPV milik wanita itu. Manakala seorang pemuda yang lain terus sahaja meletakkan motorsikal aku ditempat yang agak selamat, dan terus sahaja menyerahkan kuncinya kepada aku. Hanya ucapan terima kasih sahaja yang mampu aku ucapkan kepada pemuda itu.




Sebaik tiba dihospital, dibahagian kecemasan. Beberapa orang staff hospital terus sahaja memberikan bantuan kecemasan kepada anak ku. Manakala aku terus berada dikaunter pendaftaran. Diwaktu itu, barulah aku sedar, rupanya aku juga mengalami kecederaan serius. Tangan ku disebelah kiri telah cedera akibat bergesel dijalanraya, begitu juga lutut aku telah mula membengkak. Dan, seluar aku juga terkoyak. Mungkin, demi memikirkan keadaan anak ku, hingga menyebabkan aku tidak sedar, aku juga senasib dengannya.



Selepas mendaftar, hati aku terus gelisah, memikirkan keadaan anak ku yang berada didalam wad kecemasan. Lantas, aku terus sahaja mengirimkan sms kepada beberapa orang rakan dan teman seperjuangan.



Sms yang berbunnyi ~ "Do'akan anak saya selamat, kami terlibat dengan kemalangan". Dalam beberapa ketika sahaja beberapa orang telah menghubungi aku. Termasuk Pengurus Besar ALAF 21, Encik Norden dan novelis Norzailina Nordin.



Setengah jam kemudian, barulah aku melihat staf hospital menolak troli anak ku keluar dari bilik X-Ray. Bila dianalisis, Dr. memaklumkan yang anak ku tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Tulangnya berada didalam keadaan yang baik. Cuma luka dibahagian luar sahaja, dan mengalami bengkak.



Dan Dr. terus memaklumkan yang aku dan anak ku boleh pulang. Syukur Alhamdulillah. Selesai menghantar anak ku pulang, aku dan isteri ku bergegas ke Balai Polis Trafik, untuk membuat laporan.



Usai membuat laporan, sewaktu keluar dari pejabat polis trafik, tiba - tiba aku dikejutkan dengan kehadiran orang kuat ALAF 21 yang juga Pengurus Besar ALAF 21, iaitu Encik Norden disertai oleh Kak Wan, Ruby, Molee dan Diddy.



Rupa - rupanya, setelah mendapat sms dari ku, mereka terus sahaja bergegas ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah. Namun, sewaktu mereka tiba, aku dan keluarga sudahpun meninggalkan hospital.



Aku merasa begitu terharu dengan kedatangan mereka, yang begitu mengambil berat tentang diri ku. Encik Norden turut menghulurkan sedikit sumbangan dari kakitangan ALAF 21. Ini membuatkan aku terasa sebak dan terharu. Kerana, sepertimana yang ramai ketahui, sehingga kini, aku masih tidak mempunyai sebarang pekerjaan.



Dikesempatan ini aku ingin mengucapkan TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada semua, yang mengirimkan sms, yang menghubungi aku, dan memberikan pelbagai pandangan untuk membantu aku.



Kepada Encik Norden, kakitangan ALAF 21, rakan - rakan dan novelis semua. Aku ucapkan TERIMA KASIH. Semoga ALLAH sahaja yang berkuasa membalas kebaikan kalian semua.



Klik disini untuk melihat gambar. Aku petik khusus dari Laman Web ALAF 21.



Sewaktu entri ini ditulis. Aku berada didalam keadaan yang kurang sihat. Terasa sakit dan sengal diseluruh tubuh aku.



Tapi, yang pasti. Aku PASRAH, AKU AKUR, dan AKU REDHA dengan TAKDIRNYA. Airmata ku terus mengalir...

Friday, May 09, 2008

Catatan Seorang PENGANGGUR

Munajat seorang PENGANGGUR.


Hari ini telah genap 70 hari, aku tidak bekerja. Menjadi PENGANGGUR. Perasaan ? RESAH, GELISAH, TAKUT, RISAU, RIMAS, HINA, FIKIRAN BUNTU.



Ramai yang memberikan nasihat agar BERSABAR. Ya, sudah 70 hari aku bersabar. Dan InsyaAllah, aku akan terus bersabar.



Sudah berusaha ?



Inilah FAKTA dan HAKIKAT:-



17 Syarikat Perkapalan.
9 Syarikat Jual Beli kereta terpakai.
23 buah restoran.
5 buah pasar malam.
4 buah syarikat kawalan keselamatan.
3 buah hipermarkat.
2 buah perbadanan kemajuan kerajaan tempatan.
2 buah syarikat pengangkutan.



Itulah senarai pendek, tempat dimana aku berusaha dan bertanya andainya ada jawatan kosong. Dari tepi pantai Pelabuhan Klang, hingga ke pusat bandar Kuala Lumpur. Dari tepi longkang distesen komuter (manalah tahu kalau ada kerja sebagai pemotong rumput), hinggalah ke pejabat yang berpermaidani setebal 1 kaki. Dari penemuduga yang berwajah bengis hinggalah kewajah pan-asian, dari lelaki, wanita hinggalah yang tiada identiti jelas. Semuanya telah kutempuhi.




Cuma, aku belum buat kerja dengan memegang tin kosong dan duduk diatas jambatan. Tetapi seandainya, anak aku lapar dan aku tidak mampu lagi untuk menyekolahkan anak, maka aku tidak akan malu untuk berbuat demikian. Bukan bergurau, tetapi DEMI ALLAH aku akan lakukan !



Buat masa ini, aku sudah TIDAK BERDAYA lagi, aku sudah terlalu letih untuk ditemuduga. Dan yang pasti, wang untuk gambar foto (resume) pun adalah dari wang simpanan isteriku, yang berjumlah tidak sampai RM500.00.



Kini, aku memang tidak berbuat apa - apa lagi, aku hanya tinggal didalam masjid dikampung aku. Aku hanya bermunajat dihadapan Allah. Aku MENYERAH diri kepadaNya. Aku sudah tidak berdaya lagi. Aku sudah tidak mampu berhadapan dengan ujian dan dugaan ini.

Wednesday, May 07, 2008

Sebutir Permata Anak Bangsa

MENJEJAK WARIS LEFTENAN ADNAN.




Kepada pengunjung Blog Abang Long yang dihormati. Entri pada kali ini, lebih kepada usaha mencari WARIS kepada Pejuang Bangsa yang hampir dilupakan iaitu LEFTENAN ADNAN.



Abang Long merasakan satu keperluan kepada rakyat negara ini, untuk mencari kembali warisan sejarah atau orang perseorangan yang telah banyak menabur jasa dan berkorban untuk negara tercinta.



Diharap, kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sebarang maklumat tentang diri LEFTENAN ADNAN mahupun yang mengetahui dimana waris beliau berada, agar dapat memberikan maklumat itu disini. Atau boleh sahaja tinggalkan jejak anda di Blog ini.


Segala maklumat dan kerjasama yang diberikan amatlah dihargai.

Thursday, May 01, 2008

NOVEL yang memberikan KEPUASAN !



Syukur Alhamdulillah. Aku telah selesai membaca novel - novel diatas. Bukan sekali, tetapi dua kali !



Dua patah perkataan yang boleh aku berikan setelah selesai membaca novel diatas. KEFAHAMAN & KEPUASAN !



Bayangkan selama bertahun lamanya. Aku menghadap para ustaz, para ulamak, para kiai, hatta berhadapan dengan mereka yang bertaraf Proffesor dalam pengajian Islam. Untuk mendapatkan ilmu dan menadah kitab, khususnya yang berhubung dengan SEJARAH ISLAM. Namun, "bayangan" atau "gambaran" tentang sejarah kepahlawanan Islam itu sendiri agak kabur !



Sememangnya kisah tentang Nabi Muhammad dan para sahabat, khususnya kisah dan perjalanan hidup para Khalifah Amirul Mukminin, begitu banyak diperkatakan. Namun, kisah para sahabat yang lain, yang sama - sama berjuang disisi Rasulullah, begitu kurang diperkatakan, sedangkan, perjuangan dan pengorbanan mereka juga begitu hebat dan menjadi bahan sejarah.



Seperkara lagi yang boleh dibanggakan dengan novel diatas. Selain dari ianya mempunyai konsep seperti bercerita, ianya juga mengandungi dialog, yang mana ini sudah pasti tidak membosankan !



Ya, satu perkara yang tidak dapat dielakkan, malahan menjadi satu perkara yang normal, bila sahaja kita 'menghadap' buku sejarah, akan ada pembaca yang akan tertidur. Banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu 'tidur' ketika membaca buku sejarah.



Kepujian harus diberikan kepada penulis novel ini, kerana daya usahanya untuk menghasilkan sebuah kisah sejarah dalam bentuk sebuah novel.



Bilamana kisah sejarah para pahlawan dibuat dalam bentuk novel, satu perkara yang menjadi konsep yang diperlukan ialah "klimaks". Maka, disinilah akan lebih 'terserlah' kehebatan pahlawan atau pejuang Islam yang diperkatakan itu.



Para pembaca akan dapat menghayati dengan sepenuhnya pergerakan atau plot kisah yang dipaparkan dengan lebih jelas. Dan akan dapat merasakan debaran sewaktu berlakunya pertentangan diantara yang hak dan yang batil, diantara tentera Islam dan tentera musyrikin.



Masih ku ingat, sewaktu Pesta Buku Antarabangsa tempohari. Novel ini menjadi bualan para penggemar dan peminat novel, kerana 'kelainan' yang dipaparkan.



Ada yang minat kisah sekarah tetapi tidak suka membaca novel, dan ada yang menggemari novel tetapi tidak suka membaca buku sejarah. Maka novel diatas adalah pilihan yang paling tepat, kerana ianya "menggabungkan" kisah sejarah yang mempunyai fakta dan boleh dibaca dengan santai umpama membaca sebuah novel.



Keseluruhan isi kandungan novel diatas sememangnya boleh memberikan kefahaman yang lebih baik tentang kisah sejarah. Dan paling diperlukan ialah kepuasan dengan ilmu yang diperolehi.

BERSYUKURLAH sempena HARI PEKERJA 2008

SELAMAT HARI PEKERJA.


BERSYUKURLAH, kerana anda masih mempunyai pekerjaan.
BERSYUKURLAH, kerana anda masih bekerja dan boleh menyara kehidupan keluarga.
BERSYUKURLAH, kerana anda masih boleh berbelanja kerana mempunyai wang didalam poket.
BERSYUKURLAH, kerana anda masih boleh makan dan minum diluar.
BERSYUKURLAH, kerana anda masih mempunyai rakan sejawat didalam pejabat untuk berbual.


BERSYUKURLAH atas nikmat pemberianNya.


Kepada semua pengunjung Blog Abang Long, BERSYUKURLAH dengan apa yang ada, TAHNIAH atas sambutan HARI PEKERJA.


Mesej ini disampaikan oleh Seorang PENGANGGUR.