Monday, July 28, 2008

Bicara Bisnes (12)

Gaya Tradisional.


Aku melekatkan sehelai kertas kenyataan bersaiz A4. Di merata tempat, dibatang pokok, dinding hentian bas, papan kenyataan surau, tiang elektrik, dinding bangunan (yang tidak bertulis 'stick no bill').


Risalah yang sama aku edarkan di masjid dan surau.


Yang pasti, aku melihat ada jemaah yang mengerutkan dahi. Tetapi aku rasa, tidak ada apa yang salah dengan ayat yang tertulis di dalam risalah itu. Dan aku juga yakin aku tidak melakukan sesuatu yang melanggar undang - undang negara.


Selain dari itu, aku juga memaklumkan tentang bisnes aku melalui emel dan juga tersiar didalam blog ini. Cuma, aku tidak dapat menyebarkan berita tentang bisnes aku didalam akhbar 'mainstream media' , mahupun akhbar yang dikatakan bertaraf 'akhbar nyamuk'. Kerana yang pasti, setiap ruang iklan memerlukan bayaran atau ongkos.


Pengusaha kecil dan halus seperti aku mana mungkin dapat menyediakan sejumlah wang untuk tujuan itu. Modal pun belum pulang lagi.


Aku teringat kepada iklan yang memaparkan adegan penjual akhbar yang melaungkan perkataan "suratkhabar lama... surat khabar lama..."


Inilah ayat yang tertera di dalam risalah aku yang berbunyi:




PERCUMA ! PERCUMA ! PERCUMA !


Penghantaran PERCUMA bagi ANDA yang menetap di kawasan Klang, Pelabuhan Klang, Sri Andalas, Bandar Bukit Tinggi, Bandar Sultan Suleiman dan Shah Alam.


Rasailah DADIH keluaran ZURAH ENTERPRISE. Pasti menyelerakan !

Menerima tempahan untuk sebarang majlis.

Anda pembaca dan peminat novel ALAF 21 ?
Anda memerlukan produk herba keluaran HPA ?
Anda memerlukan pencuci dan pembersih serta makanan tambahan jenama AMWAY ?


Ya, semuanya ada, dan memudahkan anda untuk mendapatkannya.


Tidak perlu menghabiskan wang untuk petrol.
Tidak perlu menghabiskan wang untuk TOL,
Tidak perlu menghabiskan wang untuk bayaran parkir.
Tidak perlu buang tenaga.
Tidak perlu buang waktu anda yang begitu berharga.


Perlukan produk seperti diatas ? Emelkan kepada alamat yang diberikan. Dan penghantaran adalah PERCUMA !!!


Alamat emel: safmi_80@yahoo.com


TERIMA KASIH.





Sebanyak 100 helai kertas kenyataan telah di fotostat dan ditampal dimerata tempat yang strategik.


Bermula minggu ini, aku akan edarkan pula di pejabat - pejabat.


Strategi yang aku lakukan begitu TRADISIONAL.

Saturday, July 26, 2008

Bicara Bisnes (11)

Keluar dari 'neraka'.


Namanya, Surau Tepi Sungai, Bandar DiRaja Klang. Bangunan itulah saksi utama.


Sejurus selepas menemui seorang manusia yang begitu terkenal seantero Malaya. Selesai berjabat tangan dan mengakhiri satu 'aku janji'. Tiada lagi 'talian hayat' ! Yang pasti menyesakkan dada dan fikiran.


Ya, dibangunan itulah, aku sebagai seorang muslim, meletakkan tubuh aku serapat - rapatnya ke 'tanah'. Mencium lantai yang beralaskan sejadah. Sujud syukur kerana telah 'melepasi' pintu neraka.


Kini, aku adalah manusia bebas. Baru aku 'nampak' dunia. Walaupun cermin mata aku telah kabur dan mesti ditukar dalam kadar segera. InsyaAllah, bila dapat untung nanti, aku akan tukar, pujuk diri sendiri.


Disaat genting sebegini, walaupun talian hayat 'neraka' telah 'langsai'. Tetapi, talian hayat yang 'sebenar' pula menghadapi masalah. Yang pasti, aku sekarang agak 'cacat'. Tetapi bukan OKU. Alat komunikasi, alat sebaran dan alat untuk menghubungi yang tersayang. Alah... telefon bimbit aku. Telah 'dibasuh' didalam mesin basuh. Hasil 'kreativiti' jari jemari si kecil dirumahku. Duit lagi ... nasiblah... labu... InsyaAllah, bila dapat untung, aku akan beli yang baru.


Satu persatu ujian telah ENGKAU berikan kepada aku. Aku redha.


TERIMA KASIH kepada insan yang telah membantu aku dalam KES ini.

Sunday, July 20, 2008

Bicara Bisnes (10)

Bisnes BATU atau SABUT.


Satu analisis kritikal.


Walaupun baru 5 kali aku membuka tapak gerai. Iaitu, satu di ekspo, 1 di Seksyen 7, Shah Alam, dan 3 di Sri Andalas, Klang. Namun, kesemuanya belum menampakkan hasil yang baik dan menguntungkan. Semuanya masih dalam kategori 'belum pulang modal'.


Aku merasakan kehidupan aku semakin perit, semakin azab, semakin derita. Sedih, memang sedih. Pilu, memang pilu. Sayu, memang sayu.


Semua langkah yang diambil hanya menunjukkan tanda KEGAGALAN.


Sebagai peniaga, kita mesti sentiasa 'alert'. Ya, aku memang 'alert' dengan situasi sekeliling. Malahan, setiap pergolakan di sekitar aku, yang membabitkan 'perebutan' untuk mengambil hati rakyat oleh dua parti terbesar tanah air juga aku ambil berat. Parti mana yang hendak menjalankan program, dan ada slot bisnes, maka, aku tidak teragak - agak untuk turut serta menambah pendapatan.


Perincian yang membuatkan aku gundah gulana:


Bagi satu tapak, aku perlu membayar sebanyak RM20.00 kepada pihak FAMA negeri. Dan bagi tapak di Sri Andalas, aku perlu membayar wang tambahan sebanyak RM20.00, untuk urusan kebajikan peserta tapak. Manakala bagi tapak di Sek. 7, Shah Alam, aku perlu membayar sebanyak RM30.00 bagi tujuan pemasangan kanopi dan bekalan elektrik.


Ini bermakna. RM50.00 untuk satu tapak di Shah Alam.
RM40.00 X 3 = RM120.00 untuk tapak di Klang.
RM50.00 bagi ekspo.


Duit minyak bagi 5 kali perjalanan untuk setiap tapak = RM50.00.


Jumlahnya: RM270.00


Ini tidak termasuk duit tol, makan minum dan bayaran untuk penggunaan tandas.


Wang masuk atau keuntungan untuk semua tapak adalah sebanyak RM160.00. (bab ini, aku bukan lagi rasa macam nak menangis, tapi memang aku sedang menangis !)


Ini bermakna, wang untuk pelepasan hutang kepada orang tertentu, belum dapat dilangsaikan dalam jarak waktu terdekat.


Setakat ini, aku belum mampu untuk membeli generator yang berharga sekitar RM300.00 (aku tidak pasti, ada pengunjung yang tahu harga yang lebih rendah dari itu).


Ramai teman peniaga yang menyarankan aku supaya membeli beberapa buah bakul besar. Sebagai kemudahan untuk meletakkan barangan supaya tahan lama. Ini kerana buat masa ini, aku hanya menggunakan kotak kertas sahaja. Dimana, bakul besar itu boleh dibeli dipejabat FAMA dengan harga RM25.00 (peniaga tidak pasti berapa harga sekarang, kerana itu adalah harga 2 tahun lepas). Dan meneliti kuantiti barangan yang aku bawa, mereka menyarankan supaya aku membeli 3 buah (paling minimum). Aku hanya tersenyum tawar dengan saranan itu. Yang pasti, aku sudah terasa hendak pitam.


Faktor cuaca. Ada orang kata, hujan membawa rezeki. Ya, aku percaya. Dimana, dalam 5 kali aku buka tapak gerai. 3 kali, hujan turun mencurah - curah lebatnya. Dan aku hanya menerima 'kunjungan' seramai kurang dari 10 orang. Dan hanya 4 orang membeli dadih, manakala seramai 6 orang hanya 'melihat' barang dagangan yang aku bawa.


SEBARAN AM. Dengan kemudahan teknologi yang ada. Aku gunakan semaksimum mungkin. Aku edarkan pamplet atau risalah tentang produk dadih dan barangan herba, melalui blog ini, emel, diedarkan ke seluruh masjid dan surau sekitar Klang dan Pelabuhan Klang. Malahan, aku edarkan kepada ahli UMNO, PAS, KeADILan dan DAP. Sewaktu mereka hendak bermesyuarat. Wang untuk fotostat sahaja telah mencecah RM60.00 (nasib baik ada tabung anak).


Dan setakat ini, aku hanya menerima tempahan dadih sebanyak 200 bekas untuk sebuah program DAP cawangan Pandamaran. Penghantaran adalah PERCUMA, kerana Pandamaran termasuk di dalam Parlimen Pelabuhan Klang.


Aku mendapat nasihat dan teguran dari peniaga yang bersimpati. Dimana, mereka menyatakan bahawa produk yang aku niagakan tidak bersesuaian dengan 'tema' lokasi perniagaan. "Cuba, Saudara perhati, cuma Saudara seorang sahaja yang berniaga barangan herba, dan dadih, dan yang 'bergerak' hanyalah dadih. Barangan herba ni, sesuai untuk tapak ekspo atau pameran perniagaan atau pesta, abang nasihatkan supaya kamu cuba perniagaan kering, seperti jual ikan kering dan ulam - ulam..."


Aku hanya memandang anak mata peniaga senior ini dengan pandangan yang cukup sayu. Terharu dengan nasihat yang begitu ikhlas untuk membantu saudara sebangsa dan seagama.


Bila aku perhatikan senarai tapak yang disediakan oleh FAMA, didapati hampir satu ratus tapak jualan disediakan. Tetapi, hingga kini, aku hanya dapat memilih dua lokasi sahaja, iaitu di Sri Andalas dan Shah Alam. Itupun, aku terpaksa pilih kerana lokasinya yang berdekatan dengan rumahku. Faktor utama adalah kerana, van yang aku gunakan tidak mampu untuk bergerak jauh, itupun van itu aku pinjam (dari mertua aku).


Setiap tapak perniagaan dibawah FAMA, maka kanopi dan lampu disediakan oleh pihak penganjur. Ini bermakna, jika aku berhasrat untuk membuka tapak gerai pasar malam dibawah JKKK. Maka payung sendiri mesti dibawa, setakat ini aku hanya ada sekaki payung sebesar 8 X 8 dan keadaan payung itu juga telah koyak sedikit. Ramai peniaga yang menyarankan supaya aku membeli kanopi. Kerana zaman berniaga menggunakan payung sudah tidak relevan lagi. Malahan penggunaan kanopi seluas 10 X 10 adalah paling effisien. Malah boleh bertahan seandainya angin bertiup kencang di kawasan perniagaan.


Hasil tinjauan, aku mendapati bahawa harga terendah yang boleh diperolehi adalah RM220. Itupun di pekan Banting. Dan seorang pakcik bersedia membelikan kanopi itu "kalau kamu percaya pada pakcik, pakcik boleh tolong belikan, kamu tak payah susah nak pergi kesana, pakcik ikhlas nak tolong, pakcik rasa sedih sangat dengar cerita kamu ni..."


Aku hanya mendongak, memandang ke langit terbuka.


Sebagai seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah. Aku telah melakukan sebaik mungkin apa sahaja suruhan dariNya. Apa sahaja zikir yang yang mustajab, telah aku lakukan. Segala jenis solat sunat, aku telah rasakan dan menjiwai. Do'a ma'thurat menjadi basahan bibir. Ayat seribu dinar menjadi amalan dikala matahari terbit hingga bulan menampakkan diri.


"Ya ALLAH, seandainya ini semua adalah kifarah kepada dosa ku, maka aku hanya mengharapkan pengampunan dari MU. Hanya aku bermohon kepadaMU Ya ALLAH, berikanlah kasih sayang dan simpati serta redha MU kepada anak - anakku yang masih kecil, sebagaimana limpahan kasih sayang yang dicurahkan oleh ibuku kepadaku".


Kepada pengunjung sekalian. Dengan penyiaran entri pada kali ini, aku MEMBUKA peluang dan ruang untuk sesiapa sahaja untuk - memberikan sebarang cadangan, maklumbalas, malah aku bersedia menerima TEGURAN, KRITIKAN, CERCAAN DAN HENTAMAN dari sesiapa sahaja. Supaya aku tahu dimana kekurangan aku, untuk diperbaiki. Yang penting, aku dapat menghidupkan anak - anakku. Kerana mereka adalah AMANAH buatku.


Gelanggang sudah DIBUKA dan aku tidak akan melawan.

Saturday, July 19, 2008

Bicara Bisnes (9)

BISNES MINGGU INI:



PASAR TANI:

Lokasi: Jalan Sri Sarawak 18, Taman Sri Andalas, Klang.
Tarikh: 19.07.2008 (Sabtu).
Waktu: 07.00 pagi - 12.00 tengahari.


PASAR MINGGU:

Lokasi: Jalan Sri Sarawak 18, Taman Sri Andalas, Klang.
Tarikh: 20.07.2008 (Ahad)
Waktu: 07.00 pagi - 12.00 tengahari.



Untuk bulan ini (Julai), minggu ini dan minggu hadapan, saya tidak mendapat tempat untuk tapak gerai di Shah Alam. Harap maklum.



InsyaAllah, saya dalam proses untuk mendapatkan tapak kekal untuk bisnes di Seksyen 7, Shah Alam.


Untuk penggemar dadih, yang menetap di kawasan Shah Alam. Anda boleh menempah dadih atau barangan herba yang lain. Dimana, penghantaran adalah PERCUMA. Dengan syarat, tempahan minima adalah 60 bekas.






TERIMA KASIH atas sokongan yang diberikan.

Thursday, July 17, 2008

DUA serentak.

Topik 1


Sungguh aku merasa begitu terharu dengan penghormatan yang sebegini tinggi diberikan oleh seorang sahabat aku.


Bukan sahaja kerana beliau adalah sahabatku, atau seorang kenalan yang mesra, tetapi dengan ikhlas aku menyatakan bahawa, aku pernah merasa masakannya, memang SEDAP !





Topik 2


Aku yakin, jutaan rakyat Malaysia melihat rancangan DEBAT yang disiarkan oleh TV9. Diantara Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Penerangan) dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Parti KeADILan Rakyat). Yang membawakan tajuk 'Hari ini memerintah, Esok harga minyak turun'.


Sejujurnya, aku lebih suka dan mahu melihat perdebatan SECARA LANGSUNG. Diantara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


DEBAT diantara Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, seorang PERDANA MENTERI, merangkap PENGERUSI BARISAN NASIONAL dan PRESIDEN UMNO. Dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti KeADILan Rakyat, yang juga pemimpin PAKATAN RAKYAT.


Rasanya, barulah sama setanding. Dimana, kedua - duanya adalah PEMIMPIN UTAMA dalam dua buah parti politik perdana.


Sejujurnya, aku bukanlah penyokong fanatik mana - mana parti politik. Tetapi, aku akan sokong, siapa sahaja yang berhasrat mahu MEMUDAHKAN KEHIDUPAN RAKYAT. Maksudnya mudah. Aku akan sokong, siapa sahaja yang memberikan SERIBU SATU ALASAN untuk menurunkan harga minyak, dan harga barang serta memberikan tumpuan untuk memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada RAKYAT (baca: RAKYAT SAHAJA).

Tuesday, July 15, 2008

Bicara Bisnes (9)

Kisah 1 - Belum masuk, sudah keluar.


Selama ini, aku tidak pernah mengambil berat tentang hal tersebut. Walaupun dari sudut ekonomi, ianya membayangkan sesuatu yang tidak baik. Kerana, selama ini, sewaktu aku bekerja 'makan gaji', aku tidak pernah berbelanja melebihi pendapatan.


Tiba - tiba, pada hari Ahad yang lalu, iaitu sewaktu aku sedang bersiap untuk bertolak ke tapak pasar tani di Shah Alam. Anakku yang sulung bertanya "abah, gerai kita tak pakai lampu kah ?"


Aku bertanya kembali "untuk apa ?" Lalu anakku menyuarakan persoalan yang bermain difikirannya "bukankah kita akan berniaga sampai malam ?" "takkan tak pakai lampu ?"


"Astagfirullah hal'azim..." aku mengucap panjang. Bagaimana persoalan yang paling utama ini aku boleh terlepas pandang. Maklumlah, selama ini, aku memang tidak pernah berniaga, apatah lagi berniaga pasar malam. Sewaktu berniaga di tapak ekspo tempohari. Setiap tapak dibekalkan dengan lampu.


Hanya tinggal dua jam sebelum bertolak. Aku masih berkira - kira. Maklumlah, untuk dua kali membuka gerai, aku belum lagi mendapat untung bersih, cuma pulang modal sahaja. Sekarang, aku terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lagi. Bagi membeli lampu.


Sekarang baru aku faham, mengapa ramai orang seperti tidak percaya, yang aku mahu membuka gerai dengan modal yang sedikit. Rupanya, masih ada lagi perbelanjaan 'tersembunyi' yang tidak diketahui. Selepas ini, aku tidak tahu, apa lagi yang harus aku beli. Macam nak pitam ... hahahaha


# Aku bersyukur kepada MU, Ya Allah. Ujian dari Mu begitu hebat !




Kisah 2 - " Yang mana satu, makcik ?"


Aku sengaja 'menyerahkan' bahagian urus niaga produk dadih kepada anak ku. Kerana itulah produk yang paling mudah untuk dilakukan. Dan kelihatan anak - anakku begitu gembira menjalankan urusan dibahagian itu.


Alhamdulillah, sebanyak 56 gelas dadih berjaya dijual. Dan bakinya, sebanyak 4 bekas, aku sedekahkan kepada peniaga yang menjadi jiran gerai aku.


Sewaktu baki dadih aku berikan kepada jiran gerai. Anak ku tidak menyedari yang bekas meletakkan dadih telah kosong. Tiba - tiba, seorang makcik datang dan melihat bekas tersebut, dan dengan spontan juga anakku bertanya "yang mana satu makcik ?" Tiba - tiba anakku menjadi kaget. "Eh, mana dadih tadi...?"


# Aku kasihan melihat anak ku yang terlalu letih membantu aku. Bila sampai ke rumah, jam 11.20 malam. Tanpa membersihkan tubuh, mereka terus terlena, dan esoknya, mereka perlu bangun awal untuk ke sekolah. Aku berasa zalim kepada mereka. Aku berkira - kira untuk membuka gerai secara berseorangan selepas ini.

Saturday, July 12, 2008

Bicara Bisnes (8)

Lokasi: Seksyen 7, Shah Alam. (belakang gerai makan Medan Selera).
Tarikh: 13 hb Julai 2008 (Ahad).
Waktu: 4.00 p.m - 10.00 p.m.



Antara produk yang dijual dan mendapat sambutan ramai:


DADIH = RM 1.20
TONER MATA = RM 22.00
LOSYEN HALIA = RM 25.00
PADARA (Minyak kelapa dara dalam bentuk Gel lembut) = RM 60.00
PADARA (Minyak kelapa dara) = RM 30.00
EXAMAS = RM 25.00
KAPSUL LANGSINA = RM 25.00
TEH MISAI KUCING = RM 25.00
TEH MAS COTEK RM = RM25.00

DELSTER - (Beer tanpa alkohol. Perasa: PEACH, LEMON, WHEAT) = RM 3.00
(Minuman berkarbonat. Diimport dari Republik Islam Iran)

Madu Kauthar = RM 25.00
(Madu diimport dari Republik Islam Iran)

Madu Golchin (kandungan termasuk sarang lebah) = RM 30.00
(Madu diimport dari Republik Islam Iran)

SAFRON (Daun Za'faran) = RM 20.00
(Diimport dari Republik Islam Iran)

Minyak Asli ZAITON (Extra virgin Olive Oil) = RM 45.00
(Diimport dari Lebanon)

GOJI GUARANA (Kacang Soya, Goji, Madu, Guarana) = RM 69.00
(Diimport dari Ningxia, China)

BIO PADS (Besar) RM = 24.50
SANITARY (Kecil) = RM 11.00
Feminin = RM 10.00

IQ Minda (Kismis - kotak kecil) = RM 1.20

LI KHAMSATUN = RM 38.00
(Madu Asli + 20 herba pilihan)

FAQEH MINDA = RM 36.00

ROOIBOS TEA = RM 19.20

# Produk yang mendapat sambutan hangat.

# 1 dadih promosi akan diberikan secara PERCUMA. Bagi 10 orang pertama BLOGGER yang memperkenalkan diri .

Friday, July 11, 2008

Bicara Bisnes (7)

Selangkah, bukan setapak.


Dalam usaha membina bisnes ini, aku mendapat pelbagai idea, cadangan dan maklumbalas yang begitu memberangsangkan. Tidak cukup dengan jejak yang ditinggalkan di Blog Abang Long. Para blogger mengirimkan emel secara persendirian.


Aku benar - benar menghargai setiap idea mahupun bantuan yang dihulurkan.


Kini, aku sedang mengorak langkah untuk maju setapak lagi. Dimana, perkara paling penting dalam bisnes ialah PROMOSI. Maka, beberapa orang teman yang mempunyai sedikit kepakaran dalam IT, telah memberikan cadangan, agar aku memasarkan produk melalui jaringan sistem internet.


Mulanya aku cuma tersenyum. Maaf, aku terasa seperti sebuah jenaka, agak kelakar juga. Bilamana, ada teman yang bersungguh - sungguh mencadangkan supaya aku menjadi blogger pertama yang mempromosikan barangan produk 'ala - ala pasar malam' atau 'ala pasar tani' dan disiarkan didalam internet.


Aku cuba bayangkan, seorang peniaga yang menjual char kuey tiaw, dan disiarkan bisnes mereka didalam internet. Bagaimana pembeli akan membeli secara 'on line' ? Memang melucukan. Maaf, aku belum dapat membayangkan bisnes cara itu. Hingga kini, aku masih lagi tersenyum sendirian. Dan, yang pasti perkara ini aku belum lagi suarakan kepada isteri aku. Kerana aku pasti akan ditertawakan.


Biarlah aku lakukan yang sudah sedia ada terlebih dahulu. Buat pengunjung yang baru, atau yang terlepas membaca entri aku yang terdahulu. Disini, aku mewar - warkan sekali lagi, bahawa aku akan membuka gerai tapak pasar tani. Dimana produk utama adalah DADIH. Buatan sendiri. Anda adalah dialu - alukan untuk mengunjungi tapak gerai abang long seperti tercatat dibawah.


Lokasi: Seksyen 7, Shah Alam. (belakang gerai makan Medan Selera).
Tarikh: 13 hb Julai 2008 (Ahad).
Waktu: 4.00 p.m - 10.00 p.m.


Lokasi: Jalan Sri Sarawak 18, Taman Sri Andalas, Klang.
Tarikh: 19 hb Julai 2008 (Sabtu)
Waktu: 7.00 a.m - 12.00 a.m


Untuk makluman pengunjung sekalian. Bersempena dengan pembukaan tapak pertama di Shah Alam itu. Maka dadih akan dijual dengan harga PROMOSI. Iaitu dijual dengan harga RM1.20 satu bekas. Dimana harga pasaran semasa adalah RM1.30 satu bekas. Disaat harga minyak naik menggila. Produk dadih aku masih dijual dengan harga sebelum kenaikan harga minyak. Malahan, dikurangkan pula harganya.


Yang penting, anda merasa dahulu dadih itu. InsyaAllah, setakat ini, dadih itu telah mendapat sambutan dan maklumbalas yang baik dari orang ramai, dimana aku juga bersedia menerima tempahan untuk sebarang majlis.


TETAPI. Perlu diingat, dadih itu hanya dijual dan dihantar secara PERCUMA di kawasan sekitar Klang, Pelabuhan Klang, Bandar Sultan Suleiman, Bukit Tinggi, Kampung Jawa, Sri Andalas dan Shah Alam sahaja.

Thursday, July 10, 2008

Bicara Bisnes (6)

Aku cuba. Aku buat.


Terlalu banyak perbezaan untuk perkataan diatas. Aku bukanlah arif dalam hal ini. Tetapi, semenjak menceburi dunia bisnes ini. Aku dapat rasakan memang terdapat perbezaan yang begitu ketara.


Aku cuba - seakan tidak berapa yakin, tidak berapa pasti, tetapi mahu dilakukan dan tidak bersungguh.


Aku buat - menggambarkan keadaan yang pasti, penuh keyakinan, bersemangat dan sentiasa terdorong.


Petang semalam, sekali lagi aku menjejakkan kaki ke pejabat FAMA negeri Selangor. Untuk memohon tapak promosi. Sewaktu ditanya oleh pegawai yang bertugas, "bagaimana jualan hari itu ?" Aku dengan penuh keyakinan menjawab "Alhamdulillah" (walaupun hakikatnya, usaha aku tidak berbaloi).


Lantas pegawai itu mencadangkan beberapa perkara untuk memajukan perniagaan. Aku menjadi pendengar yang baik. Rupa - rupanya, terlalu banyak lagi yang aku tidak tahu. Dan sebenarnya peluang dalam perniagaan begitu cerah dan luas sekali.


Pegawai itu menambah "sebenarnya, kami hanya akan memberikan idea, kalau usahawan itu mahu berjaya dan tidak sombong ... Encik kelihatan yakin dan bersedia menerima teguran ... dan berkongsi idea ... pihak kami bersedia turun padang untuk membantu"


Aku hanya tersenyum dan mengangguk. Beberapa ketika kemudian, permohonan aku diluluskan. Walaupun beberapa hari sebelum itu, aku mendengar yang tapak promosi sudah penuh. Inilah yang dinamakan rezeki.


Buat semua pengunjung Blog Abang Long. Adalah dimaklumkan bahawasanya, aku akan membuka tapak gerai promosi seperti dibawah:



Lokasi: Seksyen 7, Shah Alam. (belakang gerai makan Medan Selera).
Tarikh: 13 hb Julai 2008 (Ahad).
Waktu: 4.00 p.m - 10.00 p.m.



Lokasi: Jalan Sri Sarawak 18, Taman Sri Andalas, Klang.
Tarikh: 19 hb Julai 2008 (Sabtu)
Waktu: 7.00 a.m - 12.00 a.m




Bagi sesiapa yang tinggal berdekatan dengan lokasi tersebut, atau bercadang untuk merasai produk dadih buatan kami. Dengan sukacitanya dialu - alukan.


Dan bagi sesiapa yang bercadang untuk menempah dadih. Dalam kuantiti yang banyak. Sila emelkan ke alamat - safmi_80@yahoo.com. Dadih yang ditempah, akan dibawa ke tapak promosi, dan anda boleh mendapatkannya disana.


Buat makluman semua. Dadih yang dibawa pada hari tersebut adalah terhad untuk tujuan promosi. Sekiranya berminat untuk merasai dadih tersebut. Sila tinggalkan jejak disini.


Jangan lupa, abang long juga menjual produk herba untuk kesihatan.

Tuesday, July 08, 2008

Bicara Bisnes (5)

Belajar lagi, dan lagi, dan lagi, dan lagi ...


Lokasi pertama bisnes yang aku jalankan di tapak ekspo tempoh hari bagaikan 'untung sabut'. Aku bersama hampir keseluruhan peniaga tersenyum riang melihat hasil yang kami perolehi. Berlainan pula dengan lokasi kedua, dimana aku membuka tapak di sebuah pasar tani. Lokasinya di Taman Sri Andalas, Klang.


Usai sahaja bisnes di tapak ekspo. Aku terus sahaja ke pejabat FAMA negeri di Shah Alam. Memohon tapak untuk berniaga. Hasil dari nasihat beberapa orang rakan, aku mengambil keputusan untuk memohon tapak sementara. Atau bahasa bisnesnya di sebut 'tapak promo'.


Dimana aku hanya dikenakan bayaran untuk satu kali dan untuk satu tapak sahaja, iaitu sebanyak RM20.00. Itupun dicatatkan pada resit, untuk bayaran tapak dan kanopi. Ini bermakna, aku tidak perlu membawa payung, kerana kanopi disediakan oleh pihak berkenaan.


Tetapi, pada hari yang telah ditetapkan, iaitu pada 5hb Julai yang lalu. Sewaktu aku bertemu dengan orang yang bertugas (bagi pihak FAMA negeri). Beliau telah menyatakan bahawa aku perlu membayar RM20.00 untuk tujuan perniagaan. Aku menyatakan bahawa, aku telahpun membayar di pejabat FAMA negeri. Tetapi beliau menjelaskan bahawa memang betul aku telah membayar kepada FAMA negeri. Tetapi bayaran seterusnya, iaitu RM20.00 untuk 'hal ehwal kebajikan peserta' disitu. Mahu atau tidak, aku terpaksa juga 'melunaskan' bayaran itu.


Aku mengambil sikap tidak mahu 'bertegang urat' dengan sesiapa dalam hal ini. Kerana yang penting, aku dapat meneruskan perniagaan pada hari itu, untuk 'survival' kehidupan aku.


Namun, keadaan di situ tidak 'semeriah' di tapak ekspo. Dimana pengunjung pasar tani, tidak begitu menggalakkan. Produk dadih yang aku bawa juga tidak banyak dijual. Begitu juga dengan produk herba. Namun aku menyedari, inilah dinamakan rezeki. Dan inilah juga risiko yang perlu ditanggung oleh seorang peniaga.


Tolak, campur, kali dan darab. Aku mendapati bahawa, untung bersih yang aku perolehi pada hari tersebut, hanyalah sebanyak RM15. Sudahlah badan terlalu letih, anak ku yang turut bersama aku juga kelihatan hilang tenaga. Keuntungan yang aku perolehi juga tidak seberapa. Namun, aku kuatkan juga semangat. Bagi aku, inilah 'realiti' alam perniagaan.


Walaupun dalam Islam disebut 9/10 daripada rezeki, datangnya daripada perniagaan. Dalam hal ini, aku belum menikmatinya lagi. Mungkin, aku perlu muhasabah, dimana silapnya langkah aku.

Kepada anak - anak ku, BERSABARLAH SAYANG.

Saturday, July 05, 2008

Festival Membaca 2008


Sewaktu Festival Membaca 2008 di PWTC, pada 2hb yang lalu. Aku telah bertemu dengan penulis novel sejarah Islam, Abdul Latip Talib, di booth PTS.


Sewaktu sedang rancak berbual. Tiba - tiba booth PTS di datangi oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.


Kehadiran beliau kami sambut dengan senyuman dan debaran. Bukan sahaja kerana beliau seorang menteri kabinet. Tetapi, kerana kami dikelilingi oleh sejumlah juru kamera yang mengambil gambar dari pelbagai sudut.


Yang pasti, aku dan novelis ini tidak sempat untuk 'bersolek' atau untuk 'posing maut' dihadapan jurukamera dan wartawan yang merakamkan detik itu.


# Keterangan gambar: berdiri dari kiri - Abang Long (berbaju biru), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Tuan Roslan (Pegawai PTS) dan novelis Abdul Latip Talib.



# TERIMA KASIH kepada Tuan Zamri Mohd, atas foto yang begitu bermakna ini.

Friday, July 04, 2008

Bicara Bisnes (4)

Kini & Masa Hadapan.


Masih ada yang bertanya, adakah aku akan menjalankan perniagaan ini buat sementara, dan akan meninggalkan urusan perniagaan ini bila aku mendapat kerja tetap atau kerja makan gaji dengan pendapatan lumayan ?


Sejujurnya, sebagai seorang Islam yang percaya kepada ketentuan Allah. Dan percaya bahawasanya setiap manusia yang hidup diatas muka bumi ini telah ditentukan rezeki masing - masing. Maka aku berserah diri (baca: untung nasib) kepadaNya.


Tetapi setelah berbulan - bulan lamanya aku mengerjakan solat tahajud dan solat istikharah, sebagai cara memohon petunjuk dariNya. Apa yang 'kelihatan' dan 'terlintas' adalah apa yang aku lakukan sekarang. Membawa maksud, tiada satu pun petunjuk yang 'membawa' aku kepada kerja 'makan gaji'.


Masih ingat tentang betapa aku hampir putus harap dan putus asa, setelah melalui sessi temuduga sebanyak 65 kali ? Dan semuanya gagal !


Dan seingat aku, setiap langkah yang diambil untuk memulakan perniagaan ini, walaupun menempuh cabaran dan onak liku yang menyakitkan, termasuklah terpaksa meminjam dari along. Akhirnya, aku berjaya juga membuka tapak dan memulakan usaha berniaga secara kecil - kecilan.


Bagiku, inilah 'laluan' yang telah ditunjuk olehNya.


Yang penting, aku berusaha, berusaha, berusaha, berdo'a dan bertawakkal kepada Allah.


Aku MAHU BERJAYA. Kerana InsyaAllah, bila aku menemui kejayaan dengan berusaha bersungguh - sungguh. Aku akan memulakan kembali kehidupan aku seperti sediakala. Aku akan memberikan pendidikan yang terbaik buat anak - anakku. Sekarang ini, anak - anakku terpaksa dihentikan kelas tambahan, kerana aku tidak berupaya untuk membayar yuran kelas tambahan.


Sebagai ketua keluarga, aku MESTI dan WAJIB melaksanakan tugas yang diamanahkan olehNya.


InsyaAllah, telah ada dalam fikiranku untuk melaksanakan perniagaan ini secara 'on line'. Dimana dadih atau barangan herba boleh dipesan melalui internet. Dan bagi mereka yang menetap di sekitar Pelabuhan Klang, Klang, Shah Alam, akan memperolehi barangan dengan cara mudah. InsyaAllah, bagi pengunjung blog ini yang menetap di daerah berdekatan. Aku akan menghantar produk dengan motorsikal buruk aku.


Minda ku sedang berputar hebat.

Thursday, July 03, 2008

Bicara Bisnes (3)

"Jangan banyak berteori".


Itu adalah antara kata nasihat dari abang saudaraku, bila aku menyatakan hasrat untuk memulakan perniagaan secara kecil - kecilan. "Yang penting hang letak sahaja barang jualan, selebihnya itu kerja tuhan" sambungnya dalam telo utara.


Kenyataan itu memang benar. Kerana jika aku terlalu fikirkan terlalu banyak teori. Aku mungkin tidak akan membuka tapak gerai itu. Yang penting, berfikir secara sederhana, dan lakukan secara sederhana. Biar mendapat untung sedikit, tetapi berterusan.


Barang jualan pula, janganlah menjual hanya satu sahaja produk, tetapi biarlah rencam, tetapi janganlah terlalu banyak, sebab bisa memeningkan kepala pembeli. Ini bukan kedai runcit atau pasaraya. Ini hanyalah sebuah tapak kecil sebuah perniagaan.


Jadi, keputusan aku menjual hanya 3 produk adalah bersesuaian. Seperkara lagi, aku sendiri tidak perlu memberikan terlalu banyak penjelasan atas kebaikan produk yang dijual. Yang penting, produk itu telah aku gunakan dan telah mendapat kebaikan serta mengetahui setiap kelebihan yang ada.


Alhamdulillah, dua orang ankku yang turut bersama membantu pada hari tersebut juga, tidak menghadapi masalah untuk menerangkan kebaikan produk yang dijual.


Aku melihat bagaimana seorang peniaga jus kurma mendapat keuntungan yang lumayan, begitu juga seorang penjual keropok dan aneka kerepek, tersenyum riang. Tetapi, bagi seorang mak cik yang menjual kraftangan, kelihatan termenung, walaupun ramai yang mengerumuni meja jualannya, tetapi tidak kelihatan ada pembeli yang membeli barangan jualannya.


Tetapi bagiku, rezeki masing - masing tetap ada.

Wednesday, July 02, 2008

Bicara Bisnes (2)

Oh along, aku tiada pilihan !


Barang jualan atau produk telah ada. Lokasinya juga telah ada. Tetapi ada satu perkara yang benar - benar merungsingkan. Sehingga ke tarikh akhir, iaitu 1 hari sebelum pembukaan tapak. Aku masih belum menyelesaikan bayaran deposit.


Inilah beban terakhir yang aku fikirkan. Air mata pilu seperti menunggu masa untuk keluar. Aku pergi ke 4 buah bank. Menyatakan hasrat untuk membuat pinjaman. Sewaktu di kaunter pertanyaan lagi, pegawai bank telah menunjukkan tanda - tanda yang aku tidak akan beroleh pinjaman. Sewaktu bertemu dengan pegawai bertugas, mereka memandang aku dengan pandangan sinis. Manakan tidak. Aku hanya mahu meminjam wang sebanyak RM500 sahaja.


Pegawai bank menasihati aku supaya mengambil pinjaman, sekurang - kurangnya RM5,000. Tetapi, persoalannya adalah, aku bukannya hendak membuka perniagaan yang besar. Cuma aku hendak membuka sebuah tapak kecil sahaja.


Untuk apa aku perlu membuat pinjaman yang besar. Aku cuma hendak membeli payung, meja jualan, papan plywood, plastik barang dan bekas untuk simpan duit. Itu sahaja. Termasuklah wang deposit sebanyak RM50.00 untuk satu tapak. Dimana, jumlah keseluruhan, lebih kurang RM400.


Itu adalah barangan asas untuk memulakan perniagaan kecil - kecilan.


Setelah puas merayu untuk mendapatkan bantuan kewangan dari saudara - mara gagal. Pihak bank juga menunjukkan reaksi yang sama. Akhirnya, aku nekad. Aku sudah tiada pilihan lain. Dengan berat hati aku berkunjung ke sebuah premis yang memberikan pinjaman. Aku terpaksa bertemu along.


Prosesnya begitu mudah. Usai mendapat wang. Aku terus ke pejabat urusetia program. Membayar wang bagi tapak perniagaan.


Namun, harus diingat. Wang yang diperolehi hasil perniagaan itu. Bukan menjadi hak mutlak milik aku. RM200 terus sahaja aku serahkan kepada along. RM200 mesti diketepikan terlebih dahulu, untuk membayar harga barang yang aku perolehi dari syarikat herba tersebut. Bakinya, sebanyak RM35, aku simpan untuk modal pusingan.


Ini bermakna, aku belum lagi mendapat wang untung bersih. Apatah lagi mendapat wang yang boleh menyara kehidupan aku sekeluarga. Aku terima, inilah hakikatnya.

Tuesday, July 01, 2008

Bicara Bisnes (1)

Syukur Alhamdulillah. Ini adalah langkah pertama aku di alam bisnes, yang sebelum ini, sememangnya telahpun aku ceburi, tetapi hanya dengan satu produk sahaja, iaitu menjual dadih. Tetapi, pada kali ini, jualan agak rencam. Selain dari dadih, aku juga menjual barangan herba.


Di meja jualan aku juga, seorang rakan telah menumpang untuk jualan barangan beliau. Dan aku mendapat komisen.


Untuk beberapa siri entri yang mendatang. Aku akan menceritakan segala pengalaman yang telah aku harungi, dalam satu hari, pengalaman berniaga secara kecil - kecilan. Dan bukan tujuan aku untuk mengajar sesiapa, tetapi lebih kepada untuk berkongsi cerita, berkongsi ilmu dan berkongsi pengalaman.


Walaupun jejak atau langkah aku umpama seorang anak kecil yang baru belajar A, B, C. Namun, InsyaAllah, pelbagai pengajaran yang aku kutip dan timba akan aku dedahkan untuk renungan bersama.


Yang penting adalah berusaha, walaupun perit, walaupun sakit. Dan di susuli dengan do'a dan bertawakkal kepada Allah.



Bukan mudah untuk melakukan sesuatu yang pertama di dalam hidup kita. Apatah lagi perkara itu tidak terfikir oleh kita akan dilakukan sendiri. Begitulah yang boleh aku perkatakan sebagai mukaddimah kepada entri Bicara Bisnes bahagian pertama ini.


Namun, keseronokan memang ada. Bukan sahaja kerana kita melihat 'wang masuk' tetapi semangat setiakawan, perpaduan dan kerjasama sesama peniaga begitu jelas kelihatan. Ada yang dengan bermurah hati, memberikan tunjuk ajar yang begitu bernilai. Yang pasti, Ekspo itu telah menerbitkan perasaan AKU BOLEH.

Wednesday, June 25, 2008

TERIMA KASIH atas sokongan ANDA.

Assalamu'alaikum warah matullah hiwabarokatuh.


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Dengan setulus ikhlas Abang Long menjemput semua pengunjung untuk hadir ke program di bawah. Abang Long akan memulakan perniagaan kecil - kecilan. Ini adalah sumber pendapatan Abang Long untuk menyara kehidupan keluarga. Abang Long amat mengharapkan sokongan dari semua pengunjung yang dikasihi.

Buat pengetahuan semua, ini bukan gerai kekal. Hanyalah sebuah tapak kecil untuk perniagaan sehari sahaja, khusus untuk program ini. Kenyataan ini dibuat selepas beberapa emel yang abang long terima, dimana ada pengunjung yang menyangka abang long mendapat sebuah kedai.


Tempat: Dewan Serbaguna Telok Gadong, Klang.
Tarikh: 29/06/2008
Waktu: 8.30 pagi - 11.30 malam.


Program:~

* Malam Kesenian.
* Pameran Kerjaya.
* Pameran Kesihatan.
* Demo Bomba & JPA.
* Gerai Jualan Produk Muslim.


Personaliti:

Muadz feat Akhbar & Dakmie, Amrain.

Ustaz Wan Akasyah & Ustazah Siti Norbahyah. Kamal Affendi.




# InsyaAllah, Abang Long akan membuka gerai jualan yang menjual dadih dan barangan herba.

# Juga, sila baca entri dibawah.

Tuesday, June 24, 2008

Bangkit semula !!!

Setelah 4 bulan aku diberhentikan kerja. Aku melalui pelbagai ujian, dugaan, tekanan dan cercaan. Rupa - rupanya, ada juga kebenaran pendapat yang menyatakan bahawa - PENGANGGUR itu adalah 'pekerjaan' yang hina.



Dalam tempoh itu. Aku sebenarnya tidak berdiam diri. Walaupun di peringkat awal, aku terduduk, terdiam, tersungkur, termenung, terkelu, tertiarap. Hingga aku merasakan bahawa ramai manusia yang hanya menjadi 'pemerhati' kepada nasib yang menimpa diri aku.



Rupanya, masih ada manusia yang bukan sahaja memberikan nasihat supaya bersabar dengan dugaan yang tiba. Tetapi telah melakukan sesuatu, supaya aku mendapat 'tenaga' untuk pulih. Mereka ini bukan sekadar memerhati, tetapi telah bersama - sama berusaha menunjukkan jalan untuk aku bangkit kembali.



Diantara mereka, aku senaraikan 'klu' nya sahaja. Sebagai menghargai permintaan insan - insan berhati mulia ini, yang dengan tulus ikhlas membantuku:


1 - Beliau berkhidmat di pejabat ALAF 21 Sendirian Berhad.
2 - Beliau adalah seorang novelis veteran dan prolifik, dan telah menghasilkan karya yang 'ngetop' di PTS.
3 - Beliau adalah seorang wanita yang ku anggap Sifu dalam penulisan.
4 - Beliau adalah seorang pengajar di sebuah institusi pengajian tinggi.


Kepada insan - insan yang aku telah aku sebutkan diatas. Do'a dari ku sentiasa bermain dibibir, samada usai solat, mahupun dimana sahaja aku berada. Aku bersungguh memohon kehadrat Illahi, supaya mereka ini diberikan ganjaran yang terbaik disisiNya.



Memang memenatkan. Memang meletihkan. Memang mendebarkan. Namun, aku tabah menghadapinya. Bukan satu perkara yang mudah sebenarnya untuk mengharungi kepayahan ini. Dimana, selama 4 bulan ini, aku telah menghadiri sebanyak 65 sesi temuduga. Cukup !!!



Aku tidak mahu lagi menjalani sesi temuduga. Seandainya, jika ditakdirkan ada yang berminat untuk mengambil aku sebagai pekerja. Hantarkan sahaja soalan melalui emel, dan aku akan memberikan maklumbalas berserta 'resume'. Dan jika bersetuju, ambil terus. Bukan aku bersikap sombong, tetapi cukuplah pengalaman mengajar aku. Aku terlalu kecewa dengan sesi temuduga.



Aku bergantung terus kepada Allah. Aku berserah diri kepadanya. Jika manusia agak sukar menerima rintihan saudara mereka. Allah Maha Mendengar.



Tiba - tiba sahaja keajaiban berlaku. Aku tidak terfikir. Aku langsung tidak menduga. Aku memang tidak dapat menerimanya di peringkat awal. Tetapi itulah KEHENDAK-NYA !!!!!!



Selama berminggu - minggu lamanya. Aku berusaha untuk mencari peluang untuk memulakan perniagaan. Maaf, pengalaman aku dalam bidang perniagaan adalah '0'. Tetapi, entah mengapa, beberapa orang teman telah menasihati aku supaya membuka bisnes walaupun secara kecil - kecilan. Hingga ada yang berkata, daripada aku mengutip sampah. Lebih baik, aku berniaga.



Diwaktu itu, memang fikiran aku berserabut. Aku tidak tahu dari mana harus aku bermula. Ya, pengalaman aku 'zero' atau kosong. Namun, kehendakNya, tiada siapa yang boleh menduga. Aku bertemu secara tidak sengaja, malah aku akan menceritakan sedikit tentang kisah ini. Walaupun ada yang mungkin kurang percaya, atau ada yang susah untuk percaya, terpulang. Namun yang pasti, ini adalah kisah yang aku alami sendiri.



Satu ketika, sewaktu aku sedang makan buah pisang (seperti biasa, itu adalah hidangan yang disediakan di masjid pada hari Juma'at). Tiba - tiba seorang lelaki yang baru selesai berwuduk, datang menghampiri aku, memberi salam , dan tiba - tiba terus sahaja menarik tangan aku ke satu sudut.



"Maaf, sudah beberapa hari ini, saya sering bermimpi wajah saudara" Kata lelaki ini, terus berbicara.



Aku hanya tersenyum, tanpa berkata apa - apa. Lalu lelaki ini, yang hanya berbaju t-shirt dan berkain pelikat terus berkata "maaf, sekali lagi, boleh saya tahu saudara ni siapa, maksud saya nama saudara?"



Aku lantas memperkenalkan namaku kepada lelaki ini. Dan beliau juga memperkenalkan namanya. "Begini, apa yang saudara buat sekarang, maksud saya, saudara kerja apa sekarang ?"



Aku hanya tersenyum lalu menjawab "saya tidak berkerja .... saya menganggur"



Lalu terjadilah dialog yang panjang antara aku dan lelaki ini. Hingga akhirnya, aku terkelu, aku terdiam, tidak dapat berkata apa -apa. Aku seolah - olah bermimpi.



Di dalam masjid. Dengan al - Qur'an dijadikan 'ikatan'. Maka termeterailah sebuah perjanjian yang paling aneh dalam dunia.



Aku (seorang penganggur dan FAKIR), mengadakan MoU dengan seorang saudagar yang bertaraf JUTAWAN. Yang memiliki kilang yang besar. Dengan penghasilan pelbagai produk. Aku seperti bermimpi. Aku tidak mempunyai pengalaman, dan aku juga tidak mempunyai MODAL ! Maaf cakap, tiada satu sen pun di dalam poket aku. Yang menariknya, aku tidak bekerja untuk saudagar tersebut, aku akan menjalankan bisnes ini sendiri.



Maka, dengan sukacitanya, aku ingin memaklumkan dan mewar - warkan. Bahawasanya, aku akan memulakan bisnes kecil - kecilan. Dengan menjual produk herba dan dadih. Dan lokasi pertamanya adalah di Dewan Telok Gadong, Klang. Pada hari Ahad, 29 hb Jun. Bersempena dengan Ekspo Kesenian dan Produk Muslim.



Pelbagai program sehari suntuk diadakan bersempena Ekspo tersebut yang diadakan untuk meraikan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Pameran dari pelbagai agensi kerajaan. Forum tentang kasih sayang. Ceramah pencegahan jenayah. Persembahan nasyid dari kumpulan yang terkenal. Dialog dan diskusi. Dengan personaliti terkenal, seperti Siti Nurbaiyah dan Wan Akashah, dan pelbagai lagi acara menarik diadakan selain dari gerai jualan produk muslim.



Dijemput semuanya hadir beramai - ramai, dan sekaligus memberikan sokongan kepada aku yang akan memulakan kembali kehidupan aku untuk menyara keluarga.



Tempat: Dewan Orang Ramai Telok Gadong, Klang.
Tarikh: 29/06/2008
Masa: 9.30 pagi - 11.30 malam.



# Untuk makluman, di jemput berkunjung ke gerai aku yang menjual produk DADIH dan barangan HERBA. Ya, sila jemput .... dan bertemu dengan Abang Long secara langsung.

Monday, June 23, 2008

SOLAT PENYELESAI MASALAH

Sehingga ke hari ini, sehingga ke saat ini, sehingga ke detik ini. Keadaan negara masih belum tenang. Segala - galanya masih gawat.



Samada dari sudut sosial, ekonomi, politik mahupun dari sudut amalan beragama.



Harga barang, sudah naik 'menggila'. Tanpa sesiapapun dapat melakukan sebarang tindakan untuk menghentikan kenaikan harga barang di pasaran. Memanda menteri dengan 'tenang' menyebut bahawa pihak ke'menteri'an akan memantau harga barangan di pasaran. Lalu aku teringat dengan kata - kata anakku. "Memanda menteri hanya menyebut, mereka akan memantau harga, maksudnya melihat dan memerhati sahaja harga barang, menteri tidak sebut pun untuk menurunkan harga barang!"



Dimana - mana sahaja rakyat sentiasa merasa resah, gelisah dan tertekan dengan keadaan ini. Cuma, ramai yang menyebut satu perkataan sahaja iaitu "apa kita nak buat."



Sebenarnya kita mempunyai pelbagai cara untuk menyelesaikan permasalahan ini. Tetapi entah mengapa, kita seperti terlepas pandang. Aku sudah memerhati perkara ini sekian lama. Semua orang hampir bercakap dalam nada dan ayat yang sama. Tidak kira samada pakar ekonomi, politik dan sosial. Kebanyakan hanya retorik.



Aku terfikir, kenapa kita sebagai umat Islam yang telah mengucap DUA KALIMAH SYAHADAH. Tidak 'bercakap' dan 'mengadu' kepada ALLAH. Tuhan yang menjadikan alam maya, dan segala - galanya. Kita hanya bercakap dan memohon bantuan dari manusia. Hanya mengharapkan bantuan dari satu sudut sahaja.



Baiklah, fikiran aku mudah sahaja. Bila harga barang naik, semuanya dikatakan berpunca dari kenaikan harga minyak dunia. Tidak ada apa yang boleh kita lakukan lagi. Kelihatan yang kita hanya berserah diri kepada keadaan sahaja. Kita telan bulat - bulat apa yang diperkatakan atau diucapkan oleh memanda menteri.



Sudah lupakah kita, minyak juga adalah diciptakan oleh ALLAH. Segalanya di dunia adalah ciptaan ALLAH. Mengapa bila berlaku kegawatan ini, kita tidak 'menghadapkan' wajah kita setulusnya kepada ALLAH ?



Usai solat, aku merenung al - Qur'an surah AL FATIHAH. Satu surah yang wajib di baca di dalam solat, oleh seluruh umat Islam yang berbilion jumlahnya di seluruh dunia.



  1. Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang 1. (QS. 1:1)
  2. Segala puji 2 bagi Allah, Rabb semesta alam 3, (QS. 1:2)
  3. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (QS. 1:3)
  4. Yang menguasai 4 hari pembalasan 5. (QS. 1:4)
  5. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah 6 dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan 7. (QS. 1:5)
  6. Tunjukilah 8 kami jalan yang lurus, (QS. 1:6)
  7. (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan ni'mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat 9. (QS. 1:7)



Ayatnya kelihatan mudah, senang untuk di hafal, begitu hebat pengertiannya. Tetapi sayangnya, umat Islam sendiri kelihatan kurang yakin dengan surah ini. Kita lebih 'gentar' dengan angka - angka ekonomi. Tetapi kita kelihatan seperti 'menjeling' kepada surah ini.



Tidak terfikirkah oleh pemimpin kita untuk 'memimpin' umat Islam untuk mengadakan solat hajat, untuk menyatakan sikap dan perasaan kita kepada ALLAH, tuhan yang mencipta segala - galanya ? Atau kita sebagai rakyat 'memaksa' pemimpin kita untuk 'memimpin dan mengetuai' perhimpunan raksasa rakyat untuk sujud, menghadapkan wajah kehadrat ALLAH. Menangis, dalam sendu memohon bantuan dan pertolongan dari ALLAH.



Atau adakah kita sebagai rakyat dan pemimpin yang kita "pangkah" sudah tidak yakin. Bahawasanya SOLAT dan AL - FATIHAH itu boleh dan mampu untuk menyelesaikan permasalahan dunia.

Thursday, June 19, 2008

Pemimpin Ummah V Ibu ayam.

Lokasi - Di tepi benteng sungai Klang.
Waktu - 5.30 petang.
Situasi - Duduk termenung seorang diri.



Aku menghela nafasku dengan agak berat. Memikirkan apa yang telah aku lakukan seharian ini, oh bukan sehari ini, tetapi telah berhari - hari lamanya. Dan telah mencecah usia 4 bulan lamanya. Satu jangka waktu yang benar - benar menduga jasmani, emosi dan ketahanan imanku sendiri.



Aku sudah tidak mahu menangis lagi. Aku hanya perlu bergerak dan melakukan apa sahaja yang terdaya. Aku sudah menyerahkan segalanya kepada Sang Pencipta. Ya, hidup dan matiku hanya untuk DIA.



Pelbagai usaha telah aku lakukan, tetapi belum menampakkan suatu yang memberangsangkan. Aku tidak kecewa, malah semakin kuat aku berusaha. Kerana aku yakin, jika DIA tidak memberikannya didunia, maka aku pasti, DIA akan memberikan balasan yang MAHA HEBAT diakhirat kelak.



Tiba - tiba dalam lamunanku. Aku terdengar suara ayam dalam satu kumpulan. Agak bising dan riuh sekali. Aku memanjangkan leherku. Memerhati keadaan sekeliling. Oh, memang benar ada sekawan ayam, atau boleh dikira sebuah keluarga, dimana terdapat seekor ibu, seekor ayam jantan dan anak - anak yang berderet.



Aku termenung dan memikirkan sesuatu yang aneh. Ya, bagaimana ayam itu boleh berada disitu, sebuah kawasan taman permainan kanak - kanak. Sedangkan disitu cuma ada sebuah rumah sahaja. Itupun agak jauh dari taman tersebut.



Seperti ada sesuatu, tarik, menarik dan tertarik. Dimana aku memerhati perlakuan sekumpulan anak - anak ayam itu. Bila si ibu berjumpa dengan makanan, ia akan berbunyi memanggil anak - anaknya untuk makan. Dan setiap kali berjumpa lagi dengan sesuatu untuk dimakan, si ibu akan memanggil lagi anak - anaknya yang berlari mendapatkan si ibu dan makanan.



Si anak akan bermain dan makan apabila si ibu berjumpa dengan rezeki yang diperolehinya. Dan menariknya, si ibu tidak pula makan bersama, tetapi membiarkan si anak makan terlebih dahulu sehingga si anak bergembira dan terus bermain.



Aku ingin membawa fikiran pengunjung kepada sebuah sirah Nabi. Dimana terdapat sebuah kisah, dimana Nabi Muhammad menghadiri sebuah majlis kesyukuran. Apabila diserahkan "BEKAS YANG PENUH" berisi makanan. Tiba - tiba, Nabi Muhammad mengarahkan Sayyidina Abu Bakar untuk memberikan makan itu kepada sahabat - sahabat yang lain terlebih dahulu, bermula dari sebelah kanan beliau.



Dan bekas makanan itu terus beredar mengikut pusingan, dimana sahabat yang hadir begitu ramai. Ini membimbangkan Sayyidina Abu Bakar, mengenangkan beliau berada diposisi kedudukan yang terakhir iaitu disebelah kiri Rasulullah.



Namun, anehnya apabila bekas makanan itu tiba ketangannya, Sayyidina Abu Bakar mendapati, bekas makanan itu masih banyak lagi isinya. Dan apabila Sayyidina Abu Bakar memandang wajah Rasulullah, Rasulullah hanya tersenyum, seperti memahami apa yang tersirat difikiran Sayyidina Abu Bakar.



Dua kisah ini, sengaja aku bawakan untuk direnung bersama. Terlalu banyak kisah yang tersirat. Dimana yang utama dan pokok kepada peristiwa itu adalah. Seorang pemimpin itu MESTI dan WAJIB untuk memberikan makanan dan keselesaan kepada rakyatnya. Rakyat MESTI dan WAJIB diutamakan dan didahulukan dalam semua perkara.



Pemimpin adalah wakil kepada rakyat. Pemimpin adalah HAMBA kepada rakyat. Peminpin adalah KULI rakyat. Pemimpin adalah KHADAM kepada rakyat. Itu yang sering kita dengari selama ini.



Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Makanan yang terhidang untuk seorang pemimpin kelihatan begitu mewah. Manakala rakyatnya, masih ada yang terpaksa mengira 'berapa butir beras' untuk dimakan di siang hari. Pemimpin naik kereta besar dan mewah, sedangkan rakyatnya disuruh ubah cara hidup, dari naik kereta kepada naik motor, dari naik motor kepada jalan kaki. Dan banyak lagi.



Aku cuma terfikir, beginikah kehidupan seorang - WAKIL, HAMBA, KULI dan KHADAM kepada rakyat ?



Tidak perlu pergi jauh. Cuma, bayangkan bagaimanakah kehidupan dan GAYA HIDUP seorang KHADAM.



Oh, jauhnya dari mengikut sunnah dan GAYA HIDUP Rasulullah. Hatta GAYA HIDUP para sahabat dan para khalifah amirul mukminin !



Berapa ramai para sahabat yang tergolong didalam golongan kaya raya (billionaire) diwaktu itu. Tetapi apabila menjadi pemimpin UMMAH, mereka menjadi miskin. Kerana apa ? Kerana mereka TAAT kepada titah perintah dari ALLAH, mereka GERUN, TAKUT dan begitu CEMAS, mengenangkan AZAB, AZAB dan AZAB yang MAHA DAHSYAT diakhirat, jika mereka bersikap ZALIM kepada ummah.



Renung - renungkanlah.

Saturday, June 14, 2008

Belanjawan KECUTKAN Perut

Semenjak harga minyak naik dengan "aksi terlampau". Seluruh rakyat (baca: rakyat sahaja). Begitu terasa bahang dan bahananya. Kebanyakan 'benda' telah naik, harga barangan sudah tidak terkawal lagi.



Maka sebagai menurut saranan dari Piem. Maka, aku adalah diantara rakyat yang mahu bersungguh - sungguh mengikut saranan itu. Iaitu - UBAH GAYA HIDUP. Berjimat.



Malah ada memanda menteri yang memberi saranan supaya menukar makanan ruji dari nasi kepada ubi. Itu juga aku sokong. Kerana selama ini, satu fakta yang tersembunyi adalah, nasi mengandungi kadar kolesterol yang agak tinggi. Malahan pesakit diabetis tidak digalakkan memakan nasi. Tapi, aku agak takut juga untuk makan ubi kayu, kerana ia adalah makanan 'berangin', aku pula adalah penghidap gastrik.



Walau apapun, aku sebagai rakyat. Cuba untuk mengaplikasikan saranan tersebut didalam kehidupan seharian aku. Aku akan cuba sedaya upaya aku.



Walaupun apa yang aku bentangkan dibawah ada antaranya agak kelihatan 'melampau' tetapi bagi diri aku, ini akan berupaya untuk menyeimbangkan dengan kenaikan harga minyak yang 'melampau'.



Ini adalah apa yang aku lakukan, dan saranan - saranan untuk mengubah gaya hidup. Tetapi sekiranya ada perkara yang aku terlepas pandang, diharap pengunjung blog ini dapat memberikan maklumbalas atau cadangan atau saranan. Supaya kita dapat bersama - sama mempraktikkannya.



Andainya dahulu - adalah sebagai cara hidup sebelum ini.
Sekarang - adalah sebagai saranan atau jawapan kearah mengubah cara hidup.



001 - Andainya dahulu, kita mengepam minyak tidak kira waktu.

Sekarang, cuba isi minyak waktu malam, diwaktu haba dibumi sudah semakin menurun, dan bahang pemanasan bumi sudah berkurangan, boleh dilakukan sekiranya kita merancang dengan baik. Ingat, bila mengepam, lakukan dengan kadar yang paling perlahan.


002 - Andainya dahulu, kita suka makan keropok yang agak mahal harganya.

Sekarang, cuba kita beli keropok buatan orang kampong yang harganya antara RM1.40 – RM5.00


003 - Andainya dahulu, kita makan roti canai dengan kuah kari atau dhal (kolesterol tinggi).

Sekarang, cuba kita makan roti putih (contoh: Gardenia atau High 5) dengan jem atau sekaya. Sebuku roti yang dimakan oleh satu keluarga 5 orang boleh bertahan selama 2 hari.




004 - Andainya dahulu, kita membeli beberapa akhbar sehari.

Sekarang, cuba kita beli hanya sebuah akhbar sahaja. Sebagai contoh: Sinar Harian (ini bukan promosi tetapi setakat ini, ini sahaja akhbar yang menghampiri sikap neutral, tidak terlalu condong kepada BN mahupun PR). Jadi, penyokong BN atau PR tidak akan merasa sensitiv. Lagipun cuba bayangkan, kita membeli akhbar yang berbeza, tetapi isinya lebih kurang sama sahaja.



005 - Andainya dahulu, kita bersarapan diluar (waktu bekerja).

Sekarang, cuba kita bersarapan didalam pejabat dengan membawa bekalan dari rumah.



006 - Andainya dahulu, kita lebih banyak membuang masa menghadap TV dirumah.

Sekarang, cuba kita kurangkan waktu penggunaan TV, hatta dirasakan menonton TV jam 8 malam juga tidak membawa banyak perbezaan didalam hidup kita. Malahan, saya pernah cuba untuk tidak membuka tv langsung, dan anak – anak berkomunikasi dengan lebih banyak dengan ibu bapa.

007 - Andainya dahulu, kita pergi ke surau atau masjid berdekatan dengan rumah, dengan menaiki kereta atau menunggang motor.

Sekarang, cuba kita pergi ke surau atau masjid yang berdekatan dengan berjalan kaki. Lebih baik, sekiranya kita pergi secara beramai – ramai dengan seluruh ahli keluarga. Disamping baik untuk kesihatan, ianya juga menjana keakraban dalam kehidupan keluarga, kerana sewaktu berjalan itu, kita dapat meluangkan masa berbual dengan ahli keluarga, disamping berpimpin tangan. Sebab, ada suami isteri yang telah bertahun hidup bersama, tetapi seolah – olah hilang ‘grip’ dalam perhubungan. Terasa malu untuk berpimpin tangan. Sedangkan sewaktu bertunang, terasa tidak mahu melepaskan jari – jemari ‘si dia”.

008 - Andainya dahulu, kita bermain bola di dewan futsal yang berhampiran.

Sekarang, marilah sama – sama bergotong – royong membuka padang baru, sama – sama menebas rumput dan membersihkan kawasan. Selain dari dapat menjalin ikatan kejiranan, tubuh kita juga sihat dan saling mengenali keluarga masing – masing.

009 - Andainya dahulu, kita sering mengunjungi pawagam untuk menonton filem.

Sekarang, apa kata kita cuma beli vcd atau dvd filem, panggil jiran tetangga, dan kita buat wayang percuma didalam rumah.

010 - Andainya dahulu, kita membeli kaset atau cd lagu.

Sekarang, kita tidak perlu beli lagi. Cukuplah mendengar lagu dari saluran radio yang ada, lagipun banyak saluran yang boleh dipilih. Saya sendiri amat meminati saluran Klasik Nasional.

011 - Andainya dahulu, kalau pergi ke Kuala Lumpur, kita akan memandu sendirian.

Sekarang lebih baik kita masuk dengan rakan dan sahabat. Tetapi lebih baik kalau pergi ke Kuala Lumpur dan bersiar – siar di bandaraya dengan menaiki pengangkutan awam, ada komuter, ada LRT, ada Star, malah macam – macam ada.

012 - Andainya dahulu, selepas sahaja solat berjemaah di surau atau masjid, tidak sempat imam menghabiskan zikir dan do’a, kita telahpun beredar dari surau atau masjid.

Sekarang, lebih baik kita terus duduk di surau dan masjid, apatah lagi kalau ada ceramah atau pengajian. Selain dari mendapat ilmu, kita juga dapat menjamu selera, kerana kebiasaannya, setiap surau atau masjid akan mengadakan jamuan sekiranya ada program pada hari tertentu. Kalau tidak ada pengajian, apa salahnya kita terus beriktikaf di surau atau masjid, sambil membaca al-Qur’an, selain dari mendapat pahala dan keberkatan, kita juga menjimatkan kos untuk pergi dan balik dari rumah ke surau.

013 - Andainya dahulu, setiap bulan kita mengunjungi restoran makanan segera.

Sekarang, kita beli sahaja ayam dan serbuk perencah, dan kita masak atau goreng sahaja ayam dirumah. Begitu juga kita boleh membeli daging burger keluaran bumiputera seperti Ramly Burger, dan masak sahaja dirumah. Atau kita bancuhkan sahaja segala bahan untuk membuat pizza dan kita masak dirumah, malah kita boleh mencipta resepi sendiri seperti “pizza ikat perut” bagi menggantikan pizza “Hawaiian delite”.

014 - Andainya dahulu, kita sering menukar aksesori dan kelengkapan didalam kereta atau motor.

Sekarang, tidak perlu lagi hendak menambah aksesori. Kerana, yang penting kita jaga keadaan dan keselesaan kenderaan. Dan kelihatan bersih luar dan dalam. Serta enjin sentiasa berada didalam keadaan baik.

015 - Andainya dahulu, kita mandi 3 atau 4 kali sehari.

Sekarang, apa salahnya kita hanya mandi dua kali sehari. Tetapi itu pun bergantung kepada keadaan dan keselesaan tubuh kita. Kalau badan berpenyakit, itu tidak dapat dielakkan.

016 - Andainya dahulu, kita boleh bercakap sehingga 2, 3 jam dalam telefon.

Sekarang, apa masalahnya kalau kita bercakap dalam 2, 3 minit sahaja. Lagipun, kalau terdesak sangat hendak bercakap, apatah lagi soal bisnes, maka lebih baik kita adakan pertemuan. Dan berbuallah, dari matahari belum terbit hingga matahari terbenam.

017 - Andainya dahulu, kita pergi berkelah dan menginap serta makan minum di hotel, setiap bulan.

Sekarang, alangkah baiknya kalau kita pergi berkelah beramai – ramai, kita gabungkan beberapa keluarga, masak ramai – ramai, dan kita pergi berkelah dan mengadakan permainan. Selesai semuanya kita pulang kerumah. Jimat kos dari segenap segi.

018 - Andainya dahulu, kita minum teh 2,3,4 kali sehari (pantang dipelawa rakan sepejabat), hingga tugasan didalam pejabat agak terbengkalai.

Sekarang, tidak perlu lagi keluar. Cukuplah kita minum air masak atau air mineral. Selain dari menjimatkan wang, kita juga dapat menjaga kesihatan. Masih tidak takut melihat bagaimana keadaan orang yang kena potong kaki, tangan akibat diabetis ?

019 - Andainya dahulu, bila waktu makan tengahari, kita akan makan semahu – mahunya, dan makan sepenuh pinggan.

Sekarang, apa kata kita cuma ambil sayur rebus, ikan masak sup dan ulaman. Selain dari mengelakkan makan daging (yang boleh mengakibatkan kadar kolesterol naik), kita juga menjimatkan belanja. Dan lebih baik, jika selepas makan kita hanya minum air panas (air kosong) kerana sudah terbukti, barangsiapa yang mengambil minuman sejuk atau bergas, akan mengakibatkan pelbagai penyakit, khususnya serangan jantung.

020 - Andainya dahulu, kita seorang pencinta buku.

Sekarang, tidak perlu diubah sikap anda terhadap ilmu. Malahan, jika dahulu kita membeli majalah yang kurang menjana minda, apatah lagi majalah yang memaparkan aksi wanita separuh bogel, dan majalah yang memaparkan kisah seks sahaja. Maka adalah terlebih baik dan aula, sekiranya sekarang kita gunakan wang itu untuk membeli buku agama atau yang ada unsur kebaikan.

021 - Andainya dahulu, kita sering ‘melepak’ dengan kawan - kawan diwarung kopi.

Sekarang, apa kata kita ‘melepak’ dirumah dan biarkan isteri kita membancuh ‘fresh orange’ atau air buah – buahan untuk kita nikmati bersama seluruh ahli keluarga. Terlalu banyak kebaikannya.

022 - Andainya dahulu, kita sering ke stadium untuk melihat perlawanan bola dan sebagainya.

Sekarang, apa kata kita menonton sahaja siaran langsung dari rumah. Tetapi sekiranya tiada siaran langsung, rasanya tidak mengapa jika kita tidak menontonnya. Rasanya kita tidak akan menjadi orang zaman batu sekiranya kita tidak menonton perlawanan bola dan sebagainya.

023 - Andainya dahulu kita adalah peminat fanatik kepada rancangan realiti tv.

Sekarang, rasanya adalah lebih baik kita hentikan tabiat itu. Khususnya dari segi membuang duit untuk mengundi dengan cara sms. Lebih baik kita gunakan wang itu untuk membuat panggilan kerumah ibu bapa kita dan berbual lama – lama dengan mereka.

024 - Andainya dahulu, kita sering membiarkan atau mendiamkan anak – anak kita dengan membiarkan mereka bermain ‘video game’.

Sekarang, adalah baik dan bermanfaat seandainya kita bawa seluruh ahli keluarga untuk bermain badminton atau bersenam diluar rumah. Banyak faedahnya.

025 - Andainya dahulu, kita membuang akhbar yang kita baca.

Sekarang, adalah baik sekiranya kita kumpul untuk beberapa bulan, dan kita jual, dapat juga duit poket untuk anak ke sekolah.

026 - Andainya dahulu, kita membeli ubi kayu dan cili dari pasar.

Sekarang, apa salahnya kita gunakan setiap inci tanah disekitar rumah kita dengan menanam pokok yang boleh mendatangkan hasil. Ubah, dari menanam pokok bunga kepada tanaman yang boleh dimakan. Seperti ubi kayu, cili, bendi, jagung (sekadar menyebut beberapa contoh).

027 - Andainya dahulu, kita kerap ke kedai berhampiran dengan rumah untuk membeli barangan keperluan yang telah kehabisan, pergi pula dengan menaiki kereta.

Sekarang, lebih baik sekiranya kedai itu terletak berhampiran dengan rumah, maka kita berjalan kaki sahaja. Selain dari kita boleh bersenam, kita sebenarnya boleh mengukuhkan semangat kejiranan. Cuba bayangkan, sepanjang laluan kita hendak ke kedai, pasti kita akan bertegur sapa atau memberi dan menerima salam dari jiran tetangga. Tetapi, kalau boleh jangan berhenti dan berbual, banyak keburukannya.

028 - Seandainya dahulu, kita membeli kerana mahu membeli.

Sekarang kena ubah motto itu - kita membeli kerana ‘perlu’ membeli, bukan kerana ‘hendak’ membeli.

029 - Andainya dahulu, kita membeli dan menggunakan pen yang berjenama dan mahal harganya.

Sekarang, apa kata kita membeli pen yang murah harga dipasaran. Lagipun tidak siapa tahu, tulisan atau tandatangan anda menggunakan pen jenis apa.

030 - Andainya dahulu, kita membeli dan memakai pakaian atau barangan yang berjenama luar negara.

Sekarang, apa salahnya kita membeli barangan buatan tempatan. Lagipun, tidak ada sesiapa yang akan membelek baju yang anda pakai itu jenama apa.

031 - Andainya dahulu, kita memakai alat solek buatan luar negara.

Sekarang, apa salahnya kita cuma memakai bedak sejuk serai wangi (boleh dibuat sendiri di rumah).

032 - Andainya dahulu, kita merokok dan menjadi perokok tegar.

Sekarang, cuba – cubalah berhenti merokok, tetapi kalau tidak dapat menahan nafsu untuk merokok, maka cubalah gulung kertas surat khabar dan hisaplah asapnya hingga tidak dapat bernafas lagi.

032 - Andainya dahulu, kita balik kampong dengan memandu berseorangan.

Sekarang, rasanya adalah lebih baik jika kita gunakan pengangkutan awam, lagipun tidak berbaloi seandainya kita balik kampong seorang, tetapi kita kena bayar harga minyak yang sudah naik secara ‘TERLAMPAU’, kena bayar TOL lagi, kena bayar parkir lagi ditambah dengan penat dan letih disebabkan memandu.

033 - Andainya dahulu, khususnya diwaktu malam, hampir seluruh ruang dirumah kita terang – benderang dengan lampu yang pelbagai bentuk.

Sekarang, kita jimatkan dengan membuka hanya dikawasan yang ada manusia sahaja.

034 - Andainya dahulu, kita akan bergerak secara solo, samada ke pasar, pusat membeli belah, surau atau masjid.

Sekarang, cubalah kita pergi secara berdua, suami isteri. Ataupun secara berkumpulan dengan ahli keluarga yang lain mahupun bertemankan sahabat. Banyak faedahnya.


035 - Andainya dahulu, kita adalah "mat rempit" atau "minah rempit".

Sekarang. berhentilah dari melakukan pekerjaan yang tidak membawa faedah itu. Kita cuma ada dua pilihan, pertama - bawa lebih laju dari kebiasaan, kalau dahulu kita memecut 200kmsj, sekarang cuba bawa 400 kmsj, sekurang - kurangnya, seandainya berlaku sesuatu, kita tidak akan menyusahkan sesiapa, kita cuma akan dimandi dan dikapankan sahaja. Pilihan kedua adalah, BERHENTI dari merempit. Kerana dengan memecut motor, anda sebenarnya membuang duit dengan cara yang membazir.




# Ada sesiapa lagi yang hendak sambung ?



Ada sesiapa lagi yang mahu menambah cadangan atau saranan untuk dikongsi bersama, tinggalkan jejak anda, saya hormati pandangan yang diberikan.