Showing posts with label Bicara Bisnes. Show all posts
Showing posts with label Bicara Bisnes. Show all posts

Thursday, February 04, 2010

MEMBELI sambil MENDERMA.


ROTI dan AIR PENAWAR.


Ini memang promosi. Jika anda menetap di sekitar kawasan Klang, Shah Alam, Pelabuhan Klang. Dan ingin mencuba untuk merasai roti yang dibuat sendiri, sila berhubung dengan Abang Long.


Roti yang dibuat memang agak besar jika dibandingkan dengan roti jenama lain dipasaran. Harganya murah. Cuma RM2.50 sebuku / sebiji. Dibuat dalam tiga perasa iaitu:


1 - Roti berinti kacang.

2 - Roti pandan berkismis.

3 - Roti berperisa keju.


Penghantaran akan dibuat dalam kuantiti yang besar, berdasarkan kepada permintaan. Khususnya oleh syarikat - syarikat yang hendak mengadakan sebarang majlis.


Manakala AIR PENAWAR pula adalah air campuran zam - zam dan air GAU. Dibacakan bacaan 30 juzuk Al Quran dan doa syifa'. Harganya adalah sebanyak RM 10.00 sebotol.


Monday, March 16, 2009

Sunnah adalah terbaik.

"Naik atau turun, rupanya sama, tapi rasa tak serupa"


Anak aku bertanya, "antara tangga bergerak dan tangga statik, yang mana abah lebih suka guna?"


Aku menjawab "abah lagi suka naik tangga statik." "Kenapa?" Soal anak ku lagi.


"Kalau kita guna tangga statik, kita akan lebih sihat sebab badan kita bergerak, dan kalau kita nak cepat, kita boleh berlari."


Corak kehidupan sudah terlalu banyak berubah. Manusia sudah kurang menggunakan tenaga empat kerat. Yang menghairankan, semakin hari semakin bertambah sumber makanan kesihatan tambahan dan semakin banyak ubat yang dicipta, namun semakin banyak pula penyakit kronik yang muncul.


Dan yang lebih menyedihkan, andainya sesuatu penyakit itu tidak dapat dikesan langsung oleh perubatan moden yang menggunakan pelbagai teknologi tercanggih.


Yang lebih utama, bila kita merenung dengan sedalam - dalam dan sejauh - jauhnya. Didapati, jalan yang terbaik adalah dengan mengikuti SUNNAH NABI.



Membaca Basmallah sewaktu hendak makan.
Makan sewaktu lapar dan berhenti sebelum kenyang.
Mengunyah makanan sebanyak 44 kali, ini bermaksud makanan telah hancur dan lumat sebelum hadam. (Aku terfikir apa muslihat mengunyah sebanyak itu), rupanya menggalakkan supaya manusia makan dengan adab, sopan tertib, tidak gelojoh dan sebagainya)
Digalakkan menggunakan tiga jari sahaja. Ini membawa maksud kita tidak memasukkan makanan terlalu banyak kedalam mulut.
Makan dalam keadaan duduk bersila, dan lebih baik jika duduk mengikut sunnah. Rupanya, makan yang dibawa kedalam perut akan mengikut usus dengan sempurna.



Begitu banyak kelebihan apabila kita mengikut sunnah nabi. MasyaAllah.


Cuba kita lihat dan mengkaji sedalam - dalamnya, bagaimana Rasulullah menjalankan tatacara sewaktu berdagang. Terlalu banyak keuntungan yang diperolehi, malahan orang ramai dari pelbagai bangsa dan agama senang sekali untuk menjalankan urusniaga dengan Nabi Muhammad.


Kenapa kita tidak kembali kearah Sunnah sewaktu berekonomi. Sekurang - kurangnya kita berjaya keluar dari kemelut ekonomi yang sedang teruk melanda dunia.


Yang penting, aku hanya menyampaikan mesej. Tuan dan Puan adalah lebih arif dalam mentafsirkannya.

Friday, March 13, 2009

Bicara Bisnes (19)

Jalan - Jalan Cari Duit.


Dalam seminggu ini, aku begitu sibuk berjalan - jalan untuk mencari duit. Tetapi anehnya, dua kali aku terjumpa duit, tetapi aku langsung tidak ambil.


Kali pertama sewaktu aku sedang bercakap dengan sebuah badan kerajaan melalui telefon awam, tiba - tiba sahaja sewaktu aku meletakkan tangan diatas kotak telefon, aku terasa sesuatu, dan bila aku ambil, rupa - rupanya duit syiling 50 sen sebanyak 3 keping. Namun, aku meletakkan kembali ke tempat asalnya.


Kali kedua, sewaktu aku meletakkan motor aku dihadapan pejabat Lembaga Zakat Selangor. Tiba - tiba sahaja mata aku terpandang segumpal kertas, diatas jalan. Bila aku ambil, rupa - rupanya sehelai wang kertas RM1.00. Aku pandang kiri dan kanan. Hati aku berasa tidak selesa. Dan aku letakkan kembali diatas jalan. Walaupun aku memang memerlukan wang yang amat mendesak, tapi hati aku berkata "bukan ini caranya."


Alahai ... tajuk diatas bukankah jalan - jalan cari duit, tapi bila sudah terjumpa, kenapa tidak ambil ?


Maaf, tujuan dan matlamat aku ialah untuk mencari peluang dan rezeki yang diusahakan sendiri. Sudah genap satu tahun aku berusaha dengan pelbagai cara. Namun, masih belum menemui kejayaan.


Setelah aku dihentam kiri, kanan, atas dan bawah. Dengan satu persoalan - KALAU SUDAH TIADA REZEKI DENGAN MAKAN GAJI, KENAPA ENGKAU TIDAK MEMULAKAN PERNIAGAAN KECIL?"


Sedih memang sedih. Orang hanya tahu mengkritik, tetapi yang melalui segala kegelapan ini cuma aku dan isteri sahaja. Alhamdulillah, atas nasihat dari seorang ustaz. Aku tidak menjawab, kerana lagi banyak aku menjawab, akan bertambah derita yang menimpa. Aku hanya tersenyum dan mengangguk.


Atas bimbingan dari seorang sahabat yang berbangsa China. Beliau memberikan panduan satu demi satu, setapak demi setapak. Untuk aku bangkit semula. Setiap kali memberikan nasihat, setiap kali itulah dia menggenggam PENUMBUK ke arah aku. Tanda semangat yang kental !


Aku belajar banyak perkara, terlalu banyak pengalaman yang aku kutip. Sepanjang Jalan - Jalan Cari Duit.


Aku pergi pejabat Lembaga Zakat. Aku berbincang untuk mendapatkan pinjaman. MasyaAllah, begitu banyak prosedur yang perlu diikuti. Terlalu banyak borang yang perlu diisi. Dan begitu ramai orang atau VIP yang aku perlu temui - Ketua Kampong, Imam, ADUN, dan Pegawai Kerajaan yang lain.


Cuma satu soalan sahaja yang agak menghiris perasaan aku. "Dalam borang ini Encik mengisytiharkan diri sebagai fakir miskin, tetapi Encik ada kereta dan motor?"


Dalam kesabaran ditahap maksimum aku menjawab "kenderaan itu saya beli 'second hand' hampir 10 tahun yang lalu, sewaktu saya masih kaya." Aku menjawab sinis.


InsyaAllah, permohonan ini akan diproses dan menunggu tempoh antara 6 bulan ke satu tahun.


Aku diam. Tidak menjawab walau sepatah. Aku memberikan salam dan beredar dari situ dengan seribu kekesalan.


Aku pergi ke pejabat TEKUN. Diberikan penerangan begitu panjang lebar oleh pegawai yang bertugas. Aku diam sewaktu dimaklumkan yang aku perlu membuat kertas kerja yang lengkap. Dari sessi soal jawab yang berlangsung. Jelas kelihatan pegawai ini tidak berfikir diluar kotak pemikiran.


Aku bertanya "antara syarat pinjaman ialah, saya perlu membuktikan kejayaan atau proses perniagaan saya selama ini, bagaimana saya boleh membuktikannya, sedangkan saya belum memulakan sebarang perniagaan, dan kehadiran saya kesini ialah untuk membuat pinjaman bagi MEMULAKAN bisnes?"


Soalan kedua yang aku berikan ialah "Bagaimana saya boleh membuktikan arus aliran tunai didalam bank simpanan saya, seandainya dalam tempoh satu tahun ini saya tidak bekerja dan tidak mempunyai sumber pendapatan?"


Dan kedua - dua soalan itu langsung tidak dapat dijawab oleh pegawai itu, dan beliau hanya menyarankan supaya aku mengisi sahaja borang itu dan serahkan kembali bersama surat sokongan, sekurang - kurangnya dari Ketua Bahagian UMNO.


Yang pasti aku tidak akan berjumpa dengan ALONG. Walaupun ada yang memberikan jaminan untuk memberikan kemudahan itu kepada aku. Kerana aku telah berjaya membuktikan yang aku boleh dan berupaya untuk membuat pembayaran 'on time.'


Dan ALONG itu telah menjadi rakan karib. Namun biarkah setakat berkawan sahaja.


Ada beberapa tempat lagi yang aku telah pergi, dan aku akan ceritakan kemudian ... bersambung ...


SENYUMLAH WALAU GAGAL, KERANA JIKA TIDAK SENYUM ANDA TELAH GAGAL DUA KALI, KALI PERTAMA IALAH SEWAKTU ANDA GAGAL UNTUK TERSENYUM.

Friday, August 29, 2008

Kisah Anak Bangsa.


Kerajaan Melayu Melaka yang sudah berkuasa selama 110 tahun di ambang kejatuhan akibat perpecahan dari dalam. Apabila pemerintah berlaku zalim, para pembesar berebut kuasa maka adu domba dan fitnah bagaikan api yang membakar ketuanan Melayu. Akhirnya pada tahun 1511, Kerajaan Melayu Melaka dilenyapkan oleh Portugis. Ekoran daripada itu, bangsa Melayu dijajah selama 446 tahun.


# Satu kisah sejarah yang perlu dimiliki. Dihasilkan dalam bentuk novel. Penulisan mengikut 'kaca mata' anak pribumi.

Memang menarik. Satu kisah sejarah yang sarat dengan fakta, dan disertai dialog dan plot serta klimaks.








Si Bongkok Tanjung Puteri menentang Inggeris dan mereka yang dimusuhinya, berlatar belakangkan negeri Johor yang dahulunya dikenali dengan nama Tanjung Puteri. Tokoh realiti ini pernah menjadi sebutan di kalangan rakyat negeri Johor suatu ketika dahulu. Si Bongkok Tanjung Puteri sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mempertahankan tanah airnya. Namun seperkasa manapun fizikal dan semangatnya menentang kuasa penjajah, dianggap sebagai penderhaka yang namanya tidak tercatat dalam lipatan sejarah.


# Adakah mempertahankan tanahair dianggap sebagai pengganas dan pemberontak ?


Dapatkan jawapannya melalui novel ini.


# Bagi anda yang menetap di kawasan - Klang, Pelabuhan Klang, Sri Andalas, Pandamaran, Bandar Sultan Suleiman dan Shah Alam. Penghantaran adalah PERCUMA. Dapatkan segera sempena dengan HARI KEMERDEKAAN.

# Sila emelkan pesanan anda ke - safmi_80@yahoo.com

Saturday, August 23, 2008

Bicara Bisnes (18)

Peti Sejuk dan Telefon bimbit. Dua taukeh.

Syukur Alhamdulillah. Akhirnya peti sejuk telah dibaiki. TERIMA KASIH kepada Hamba Allah yang telah menghulurkan sumbangan wang.

Tidak terucap rasa kesyukuran. Sekarang aku sudah boleh menjalankan kembali bisnes dadih yang telah terhenti beberapa ketika.

Bayaran sebanyak RM250. Telah dilunaskan. Kerosakan dibahagian pintu, iaitu getahnya terpaksa ditukar. Dan kawasan simpanan gas telah ditutup.

Sambil berjalan di deretan kedai. Tiba - tiba mataku terpempan ke arah sebuah peti sejuk baru. Tertera harganya RM550. Aku merenung sambil menggaru kepala.

# Aku menyesal kerana tidak membuat pemerhatian terperinci.



Aku memang tidak keruan. Aku gelisah. Aku garu kepala semahu - mahunya. Aku MALU !

Seorang HAMBA ALLAH telah memberikan sebuah telefon bimbit baru kepadaku. Aku rasa macam nak lari. Aku tidak tahu apa hendak cakap lagi. HAMBA ALLAH ini seorang sahabat. Tetapi dek kerana keikhlasan beliau. Aku terima jua pemberian itu.

Ya ALLAH. Dalam tempoh dua hari. ENGKAU memberikan rezeki dari sumber yang tidak terfikir oleh akal.

"Ya ALLAH yang MAHA BERKUASA dan MAHA HEBAT. Aku bermohon kepadamu YA ALLAH. Supaya ENGKAU panjangkan umur, murahkan rezeki, berkatilah, rahmatilah, dan berikan kesihatan yang baik buat mereka yang ikhlas membantu aku. Yan pasti aku tidak akan mampu membalas JASA mereka yang terlalu besar. Hanya kepadaMU aku serahkan segala - galanya."

"Mana abang dapat duit dan telefon bimbit ini?" Soal isteri ku meminta penjelasan.

"Rezeki turun dari langit... Malaikat yang hulurkan" aku menjawab dengan serius.

Sunday, August 17, 2008

Bicara Bisnes (18)

Hilang Sumber Pendapatan. Hilang Kata - Kata, Semangat Pun Hilang.

Aku terus terdiam. Aku membisu seribu bahasa. Aku sudah tidak mampu untuk berfikir lagi. Aku sudah hilang daya. Aku terduduk.

Satu lagi benteng telah ROBOH. Benteng untuk aku berpaut. Benteng penguat semangat.

Kini, bisnes yang aku jalankan telah berhenti. Terhenti. Aku sudah tidak ada daya lagi buat masa ini.

Kepada pengunjung dan juga pembeli dadih. Aku harap kalian mengerti. Buat masa ini, aku tidak dapat membuat atau memproses dadih. Disebabkan peti sejuk, satu - satunya peti sejuk yang ada di rumahku telah rosak.

Gas bocor. Lantai bahagian dingin beku telah berlubang. Semua barang didalamnya terpaksa dibuang akibat rosak.

Aku terus terdiam. Aku membisu seribu bahasa. Aku sudah tidak mampu untuk berfikir lagi. Aku sudah hilang daya. Aku terduduk.

Satu persatu ujian dan musibah datang silih berganti. Aku hanya melihat isteriku yang bertafakur di atas sejadah. Wajahnya tunduk ke lantai.

Esok. Aku tidak tahu bagaimana nasib aku. Aku tidak pasti nasib isteri dan anak -anak aku. Aku harap sesuatu yang ajaib berlaku.

Aku tetap percaya kepada ayat - ayat Allah. Seandainya DIA tidak lagi memberikan rezekiNya, maka DIA akan 'memanggil pulang' seseorang manusia itu.

Saturday, August 16, 2008

Bicara Bisnes Yang Tiada Bicara.


Tidak mahu ianya berlaku, tetapi telah berlaku, aku berteleku.


Aku mengurut belakang badan ibu ku. Berselang dengan ayah ku. Ibu ada asthma. Ayah menghidap paru - paru kronik. Ibu termengah - mengah untuk bernafas. Ayah kelihatan mencungap - cungap.

Ini sahaja daya aku. Mengurut dan terus mengurut. Baru dua hari lepas, adik - adikku membawa ibu ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Waktu itu, aku sahaja yang tidak ada di kampong.

Sewaktu mengurut itulah. Aku terima panggilan dari rumah di Pelabuhan Klang. Aku sengaja membiarkan telefon bimbitku berbunyi hingga tamat lagu. Ibuku bertanya "awat hang tak angkat tadi?"

Aku menjawab berbasa - basi. "Telefon bimbit ni rosak, cuma boleh sms je".

Lalu aku memohon keizinan untuk menggunakan telefon di rumah orang tua ku. "Uzair, kenapa telefon abah?"

"Abah, peti sejuk bau macam benda terbakar" anakku terus menjawab sambil memberikan maklumat yang penting.

Aku terus sahaja memberikan arahan "sekarang pergi tutup suis, dan jangan buat apa - apa".

Aku meletakkan telefon. Beberapa minit kemudian, aku mendail semula nombor telefon rumahku. Dan panggilan dijawab oleh anak ku sekali lagi. "Uzair, dah tutup suis peti ais?" Aku terus sahaja bertanya. "Sudah, Jai rasa peti ais kita terbakar" anakku menjawab dalam nada bimbang.

Setelah lewat petang, lebih kurang jam 6. Aku menghubungi isteri ku yang baru pulang dari mengajar. Aku bertanya tentang kedudukan peti sejuk di rumah. Isteri aku mengesahkan tentang bau yang berlegar dalam rumah ku adalah disebabkan oleh kebocoran gas pada peti sejuk.

Setelah meletakkan telefon.

Aku terus terdiam. Aku terus terduduk. Aku tidak dapat bercakap. Aku tidak dapat berfikir lagi. Aku hilang semangat. Aku pasrah. Yang pasti, gugur lagi air mata ku.

Aku masuk kedalam bilik air. Aku terus sahaja menangis.

Kepada pengunjung blog ini. Aku tidak menulis dalam keadaan emosional keterlaluan. Aku bukan menangis tidak bersebab. Cuma, aku rasa sebak, disebabkan aku adalah manusia yang dilahirkan normal dan mempunyai perasaan.

Begitu hebat ujian dari Allah. Dan kini, yang pasti. Aku sudah tidak mampu lagi berhadapan dengan ujian dari NYA.

Aku serahkan segala - galanya kepada Allah. Aku pasrah.

AH ! Takkan peti sejuk rosak pun engkau menangis ?

Bukan kerana peti sejuk rosak aku menangis. Aku menangis kerana, dengan peti sejuk itulah, dan itulah satu - satunya peti sejuk yang aku ada. Aku menjalankan bisnes aku, menyara kehidupan dan "MENGHIDUPKAN NYAWA ANAK - ANAK KU !!!"

Namun aku pasrah. Allah MAHA mengetahui segala - galanya.

"YA ALLAH, aku bermohon kepada MU. Cukuplah, cukuplah engkau berikan ujian dan dugaan kepadaku... AKU TEWAS!"

Thursday, August 14, 2008

Bicara Bisnes (17)

MERENUNG bukan BERMENUNG.

"Mengapa kau bermenung, oh adik, berhati bingung."
"Sekarang bukan bermenung, zaman bermenung."

Itu adalah antara lirik lagu SEROJA.


Selepas 4 kali berulang alik. Antara rumahku dan beberapa pejabat disekitar kawasan perindustrian di Pelabuhan Utara, kerana menghantar bekalan produk yang dipesan. Jarak antara rumahku dan Pelabuhan Utara adalah sejauh 6 kilometer. Ini bermakna pergi dan balik, adalah 12 kilometer. Jadi, keseluruhan jarak pergi dan balik untuk 4 kali pusingan adalah sejauh 48 kilometer.

Dan aku membawa produk dalam motor. Ke arah Pelabuhan Utara, bersaing dengan kereta dan lori serta treller yang membawa muatan kontena.

Setiap kali keluar dari rumah. Aku melihat wajah isteriku seperti tidak keruan.

Sebaik selesai menghantar produk. Aku berhenti melepaskan lelah di Masjid Sultan Suleiman, Pelabuhan Utara. Sementara menantikan masuknya waktu solat Asar. Usai berwuduk, aku berbaring dan melepaskan pandangan ke arah siling bangunan.

Aku merenung dan memikirkan untung nasib hari itu. Aku tidak mahu mengeluh. Aku cuma merancang, sedikit wang hasil jualan aku mesti disimpan untuk membeli telefon bimbit yang baru. Kerana aku rasa lenguh dan sengal jari - jemari aku untuk menaip sms. Semenjak telefon bimbit aku rosak dibahagian pendengaran (speaker). Aku hanya boleh ber-sms sahaja. Ini sudah tentu merugikan. Kerana setiap sms, bermakna wang juga mengalir keluar dari poket aku.

Bagi aku, telefon bimbit terlalu penting untuk aku meneruskan usaha niaga. Biarlah kereta aku rosak dan belum dibaiki lagi. Biarlah. Esok bila aku ada lebih wang, aku akan baiki kerosakan itu. Yang penting aku mesti memiliki telefon bimbit terlebih dahulu.

Lamunanku berkecai. Apabila azan dilaungkan. Dan serentak itu pula masuk sms yang baru.

"Bang, dadih mmg best, mak kata nak order utk raya, standby ye bang - Shahril".

Aku terus sujud syukur. Hanya ENGKAU sahaja yang layak menerima pujian.

Tuesday, August 12, 2008

Bicara Bisnes (16)

TERIMA KASIH DATIN.


Tiada kata seindah bahasa. Itulah yang dapat aku ucapkan buat insan yang bernama Datin Ani. Seorang yang aktif menjalankan program di Surau At Takwa, Seksyen 7, Shah Alam.

TERIMA KASIH. Itu sahaja yang mampu aku ucapkan kepada Datin Ani. Atas kesempatan yang diberikan oleh beliau kepada aku untuk membuka tapak gerai bagi menjual kerepek dan novel.

Aku mengucapkan syukur yang tidak terhingga, kerana berpeluang untuk menjalankan bisnes didalam kawasan surau.

Sememangnya aku agak terkilan sedikit, kerana tidak dapat menjual dadih pada hari tersebut. Ini disebabkan kuantiti yang diperlukan tidak mampu untuk dilaksanakan. 100 bekas adalah untuk Surau At Takwa, dan 100 bekas lagi untuk seorang lagi blogger.

Peti sejuk dirumah aku bersaiz kecil. Setelah semua barang didalamnya dikeluarkan. Kami hanya mampu untuk menyusun sebanyak 130 bekas sahaj. Manakala 70 bekas lagi terpaksa disimpan @ disewa dirumah ibu mertua dan adik ipar yang tinggal berdekatan.

Isteriku berkata, kalau ada pesanan hingga 1000 bekas sekalipun, dia masih mampu membuatnya, tetapi dengan syarat ada bekas penyimpan yang besar dan bersesuaian. Kami pernah membuat pemerhatian, dimana sebuah peti sejuk (chiller) yang sederhana besar, berharga RM1,800. Namun apakan daya, impian tersebut terpaksa dipendam terlebih dahulu. Untuk mengharapkan Pusat Zakat Selangor (permohonan telah dibuat, tetapi terpaksa menunggu hingga 6,7 bulan lagi ataupun mungkin memakan masa bertahun), aku tidak pasti kalau Kerajaan Selangor dibawah Pakatan Rakyat bersedia membantu dan prihatin dengan masalah orang miskin seperti aku.

Apapun, aku mengucapkan TERIMA KASIH kepada Datin Ani. Kerana memberikan peluang dan ruang untuk aku menjalankan bisnes pada hari tersebut. Dapatlah aku sedikit rezeki untuk menyambung kehidupan keluarga.

"Ya Allah, aku bermohon kepadaMU, supaya ENGKAU panjangkan umur, murahkan rezeki, sihatkan tubuh badan dan lapangkan serta rahmati akan mereka yang telah membantu aku"



TUKAR STRATEGI.


Bila aku menjual kerepek sebagai barangan jualan bersama dengan dadih. Aku menghadapi sedikit kesulitan. Dimana, kerepak yang dijual adalah dibungkus mengikut suasana perayaan. Dibungkus dalam bekas atau plastik yang besar, dan berharga diantara RM5 - RM8.

Sekarang, aku mengambil keputusan untuk 'repacking' dalam saiz kecil. Dan dijual dalam harga cuma RM1.00 sebungkus atau sepeket. Ini memudahkan pembeli, samada kecil mahupun dewasa. Dan pembeli boleh membeli beberapa perasa atau citarasa dalam satu waktu.

Dan strategi itu agak berjaya. Dimana, sewaktu program di Surau At Takwa, Seksyen 7, Shah Alam. Jualan kerepek meningkat. Dan begitu laku hingga anakku tak menang tangan. Walaupun untungnya kelihatan sedikit untuk sebungkus, tetapi 'volume' nya besar.

Disamping itu, hakikat yang tersirat adalah, supaya anakku tidak menghadapi kesukaran untuk membuat urusniaga. Kerana harga jualannya adalah RM1.00. Senang untuk dikira.



URUSNIAGA BARU.


Siapa kata novel tidak boleh dijual dalam program dakwah ?

Aku gunakan kesempatan untuk menjual novel Islami, novel pejuang Islam. Hasil karya Abdul Latip Talib. Menceritakan tentang kisah sejarah dan pengorbanan pejuang Islam. Ramai yang datang ke gerai aku dan membelek novel tersebut. Dan ada beberapa orang yang kagum dengan novel tersebut lalu membelinya.

Cara aku menjualnya mudah sahaja. Ini adalah kisah sejarah, kalau ada sesiapa yang bosan membaca catatan sejarah, maka novel ini tidak akan membosankan kerana mengandungi dialog, plot serta ada klimaks. Dan bagi sesiapa yang berminat dengan bahan sejarah, maka novel ini dikarang mengikut fakta sejarah.

Beberapa orang (aku merasakan mereka ini adalah pensyarah) telah menyatakan keinginan mereka untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang novel ini. Dan mereka menyuarakan hasrat untuk mendapatkan novel ini untuk disebarkan kepada pelajar mereka.

Ini bermakna satu lagi urusan bisnes sedang dijalankan.

Wednesday, August 06, 2008

Bicara Bisnes (15)

Motor kedai.


KESELAMATAN. Itu adalah isu paling utama. Tiada kompromi !


Aku pastikan motor aku berada didalam keadaan yang paling baik. Kerana motor aku adalah umpama 'nyawa'. Kemana sahaja aku pergi, itulah kenderaan yang aku gunakan. Yang paling utama, segala barangan atau produk aku ada didalam motor.


Ada yang bertanya kehairanan. Abang Long bawa semua sekali ?


"Kenapa, tak percaya ?" Aku bertanya kembali. "Cuba lihat benggali atau Pakistan jual roti, apa jenis roti yang tidak dibawanya ?"


Ya, semuanya ada, untuk kemudahan pelanggan dan pengguna yang dihormati. Ada produk dadih, ada barangan herba, ada kerepek, ada sabun. Malah dalam raga motor ada novel untuk dijual.


Cuma, kalau ada pesanan untuk dadih atau produk lain dalam kuantiti yang banyak, barulah aku gunakan kereta kancil. Itupun adalah perkiraan terakhir. Seandainya boleh, aku tetap membawa produk menggunakan motor. Syukur alhamdulilah, setakat ini, kalau ada pesanan yang banyak dan perlu ke beberapa tempat, maka aku gunakan van kepunyaan saudara aku.


Dan pengalaman paling pahit dan kering yang tidak akan aku lupakan hingga ke padang mahsyar adalah. Bila motor aku pancit dua kali, dalam satu masa. Kali pertama, sewaktu berada dikawasan Batu 3, tidak jauh dari Stesen Komuter Batu 3. Aku menolak motor lebih kurang 2 km. Letihnya memang tidak terucap.


Bila jumpa kedai motor, usai ditukar tiub. Aku meneruskan kembali perjalanan. Tidak sampai 30 minit, sekali lagi motor aku pancit, waktu itu aku berada dikawasan Shah Alam. Aku rasa macam nak menangis. Waktu itu jam sudah menunjukkan pukul 6.30 minit petang, angin bertiup kencang, dilangit sudah menunjukkan tanda hujan akan turun. Bila aku periksa, aku dapati aku hanya membawa baju hujan. Sedangkan kotak aku tidak dapat ditutup.


Mahu atau tidak, aku terpaksa menolak motor aku perlahan - lahan. Paling tragis, aku menolak motor aku didalam hujan yang turun mencurah - curah, selebat - lebatnya. Sewaktu menolak motor dikawasan dimana air bertakung, pemandu kereta dan lori yang lalu tidak menampakkan perasaan kasihan langsung, air yang bertakung diredah. Menyebabkan air percik dan menyimbah tubuh aku.


Tiba dirumah, azan Isya' berkumandang. Ya, aku telah meninggalkan solat Maghrib. Apakan daya aku Ya Allah.


Isteri aku menyambut kepulangan aku dengan senyuman. "Muka abang basah, nampak kotor" isteriku berbasa basi. Aku hanya tersenyum.


Wahai sayang. Muka abang memang basah. Sebab, kena air hujan, air longkang dan bercampur dengan air mata yang mengalir.

Monday, August 04, 2008

Bicara Bisnes (14)

Dadih dalam Komuter.


Aku menerima tempahan dadih, dari seorang pelanggan yang menetap di Pantai Dalam. Setelah memikirkan semua faktor. Aku merasakan bahawa, penghantaran melalui komuter adalah paling berkesan.


Faktor paling utama adalah, kawasan tempat tinggal pelanggan tersebut adalah berhampiran dengan Stesen Komuter Pantai Dalam. Kalau hendak dihantar dengan motor, rasanya memang tidak sesuai. Kerana jumlah yang dipesan agak banyak. Kalau hendak dihantar dengan kereta, rasanya tidak berbaloi, kerana mesti membayar segala kos. Maka penghantaran melalui komuter adalah paling sesuai.


Setakat ini, ini adalah penghantaran yang paling jauh aku buat. Itupun disebabkan pelanggan itu bersetuju untuk membayar kesemua kos yang terbabit.


Tetapi, aku tidak tahu dimana silapnya. Sejak dari awal pagi, setelah aku mengirimkan sms, memaklumkan yang aku akan membuat penghantaran. Sms yang dikirimkan tidak berjawab langsung. Aku mula rasa curiga. Namun aku kuatkan hati, untuk membuat penghantaran. Hinggalah aku tiba di Stesen Pantai Dalam, aku masih mengirimkan sms, namun masih tidak berjawab.


Aku pun terus menggunakan telefon awam untuk membuat panggilan, kerana telefon bimbit aku mengalami masalah teknikal, dimana setiap kali aku menekan butang penerimaan, talian akan terputus.


Panggilan aku juga tidak berjawab. Si pelanggan itu telah menutup talian telefon bimbitnya. Aku merasa resah, marah dan terkilan dengan cara begini. Aku merasa ditipu.


Hingga jam 3 petang, aku terus mencuba nasib. Ini bermakna telah lebih 5 jam aku terus mencuba dan bersabar menanti. Namun tidak mendapat jawapan kembali.


Diwaktu itu, aku terasa bagaikan hendak menitis air mataku ini. Mengenangkan aku telah diperlakukan sedemikian rupa.


Aku bukannya orang senang. Inilah cara dan bisnes untuk aku menyara kehidupan keluarga, yang semakin terhimpit dan tertekan. Setelah syarikat dimana aku bekerja ditutup, ini adalah sumber utama rezeki aku sekeluarga.


Akhirnya, hampir jam 4 petang. Aku mengambil keputusan untuk pulang kerumah bersama sekotak besar berisi dadih. Sudahlah kotak itu besar dan berat. Penumpang komuter pula penuh dan sesak. Aku hanya mampu menahan segala perasaan yang bercampur baur.


Setibanya aku dirumah. Isteriku melihat dengan penuh kehairanan. Akhirnya, aku ceritakan segala apa yang telah berlaku. Dia hanya menggeleng kepala, dan aku dapat rasakan yang isteriku menahan perasaan dengan apa yang terjadi.


Aku belajar banyak perkara dengan peristiwa ini. Aku boleh bersabar dengan dugaan sebegini. Cuma aku tidak mampu melihat air mata isteri ku terus bergenang.

Saturday, August 02, 2008

Bicara Bisnes (13)

Sabarlah wahai saudaraku,
Sabare wak,
Sabo je.


Disaat perniagaan aku mula mendapat maklumbalas, disaat inilah telefon bimbit mengalami masalah teknikal.


Aku ketawa sekuat - kuatnya. Ya Allah, ini adalah ketentuan-MU. Betapa hebat ujian dari MU.


Bila setiap panggilan terputus. Aku terpaksa menghantar sms, menerangkan duduk perkara sebenarnya. Dan ini adalah ayat yang paling banyak aku terima:


"Sabarlah wahai saudaraku"
"Sabare wak"
"Sabo je".


Hendak atau tidak, mahu atau tidak. Kehidupan mesti diteruskan. Maka aku terpaksa menyediakan hampir RM50, dalam bentuk wang syiling. Aku rasa lenguh dan sengal untuk terus menaip sms. Maka aku terpaksa menggunakan telefon awam untuk menjawab balik panggilan yang terputus.


Kepada pemanggil, ini adalah pesanan setulus ikhlas dariku - HARAP BERSABAR.

Monday, July 28, 2008

Bicara Bisnes (12)

Gaya Tradisional.


Aku melekatkan sehelai kertas kenyataan bersaiz A4. Di merata tempat, dibatang pokok, dinding hentian bas, papan kenyataan surau, tiang elektrik, dinding bangunan (yang tidak bertulis 'stick no bill').


Risalah yang sama aku edarkan di masjid dan surau.


Yang pasti, aku melihat ada jemaah yang mengerutkan dahi. Tetapi aku rasa, tidak ada apa yang salah dengan ayat yang tertulis di dalam risalah itu. Dan aku juga yakin aku tidak melakukan sesuatu yang melanggar undang - undang negara.


Selain dari itu, aku juga memaklumkan tentang bisnes aku melalui emel dan juga tersiar didalam blog ini. Cuma, aku tidak dapat menyebarkan berita tentang bisnes aku didalam akhbar 'mainstream media' , mahupun akhbar yang dikatakan bertaraf 'akhbar nyamuk'. Kerana yang pasti, setiap ruang iklan memerlukan bayaran atau ongkos.


Pengusaha kecil dan halus seperti aku mana mungkin dapat menyediakan sejumlah wang untuk tujuan itu. Modal pun belum pulang lagi.


Aku teringat kepada iklan yang memaparkan adegan penjual akhbar yang melaungkan perkataan "suratkhabar lama... surat khabar lama..."


Inilah ayat yang tertera di dalam risalah aku yang berbunyi:




PERCUMA ! PERCUMA ! PERCUMA !


Penghantaran PERCUMA bagi ANDA yang menetap di kawasan Klang, Pelabuhan Klang, Sri Andalas, Bandar Bukit Tinggi, Bandar Sultan Suleiman dan Shah Alam.


Rasailah DADIH keluaran ZURAH ENTERPRISE. Pasti menyelerakan !

Menerima tempahan untuk sebarang majlis.

Anda pembaca dan peminat novel ALAF 21 ?
Anda memerlukan produk herba keluaran HPA ?
Anda memerlukan pencuci dan pembersih serta makanan tambahan jenama AMWAY ?


Ya, semuanya ada, dan memudahkan anda untuk mendapatkannya.


Tidak perlu menghabiskan wang untuk petrol.
Tidak perlu menghabiskan wang untuk TOL,
Tidak perlu menghabiskan wang untuk bayaran parkir.
Tidak perlu buang tenaga.
Tidak perlu buang waktu anda yang begitu berharga.


Perlukan produk seperti diatas ? Emelkan kepada alamat yang diberikan. Dan penghantaran adalah PERCUMA !!!


Alamat emel: safmi_80@yahoo.com


TERIMA KASIH.





Sebanyak 100 helai kertas kenyataan telah di fotostat dan ditampal dimerata tempat yang strategik.


Bermula minggu ini, aku akan edarkan pula di pejabat - pejabat.


Strategi yang aku lakukan begitu TRADISIONAL.

Saturday, July 26, 2008

Bicara Bisnes (11)

Keluar dari 'neraka'.


Namanya, Surau Tepi Sungai, Bandar DiRaja Klang. Bangunan itulah saksi utama.


Sejurus selepas menemui seorang manusia yang begitu terkenal seantero Malaya. Selesai berjabat tangan dan mengakhiri satu 'aku janji'. Tiada lagi 'talian hayat' ! Yang pasti menyesakkan dada dan fikiran.


Ya, dibangunan itulah, aku sebagai seorang muslim, meletakkan tubuh aku serapat - rapatnya ke 'tanah'. Mencium lantai yang beralaskan sejadah. Sujud syukur kerana telah 'melepasi' pintu neraka.


Kini, aku adalah manusia bebas. Baru aku 'nampak' dunia. Walaupun cermin mata aku telah kabur dan mesti ditukar dalam kadar segera. InsyaAllah, bila dapat untung nanti, aku akan tukar, pujuk diri sendiri.


Disaat genting sebegini, walaupun talian hayat 'neraka' telah 'langsai'. Tetapi, talian hayat yang 'sebenar' pula menghadapi masalah. Yang pasti, aku sekarang agak 'cacat'. Tetapi bukan OKU. Alat komunikasi, alat sebaran dan alat untuk menghubungi yang tersayang. Alah... telefon bimbit aku. Telah 'dibasuh' didalam mesin basuh. Hasil 'kreativiti' jari jemari si kecil dirumahku. Duit lagi ... nasiblah... labu... InsyaAllah, bila dapat untung, aku akan beli yang baru.


Satu persatu ujian telah ENGKAU berikan kepada aku. Aku redha.


TERIMA KASIH kepada insan yang telah membantu aku dalam KES ini.

Sunday, July 20, 2008

Bicara Bisnes (10)

Bisnes BATU atau SABUT.


Satu analisis kritikal.


Walaupun baru 5 kali aku membuka tapak gerai. Iaitu, satu di ekspo, 1 di Seksyen 7, Shah Alam, dan 3 di Sri Andalas, Klang. Namun, kesemuanya belum menampakkan hasil yang baik dan menguntungkan. Semuanya masih dalam kategori 'belum pulang modal'.


Aku merasakan kehidupan aku semakin perit, semakin azab, semakin derita. Sedih, memang sedih. Pilu, memang pilu. Sayu, memang sayu.


Semua langkah yang diambil hanya menunjukkan tanda KEGAGALAN.


Sebagai peniaga, kita mesti sentiasa 'alert'. Ya, aku memang 'alert' dengan situasi sekeliling. Malahan, setiap pergolakan di sekitar aku, yang membabitkan 'perebutan' untuk mengambil hati rakyat oleh dua parti terbesar tanah air juga aku ambil berat. Parti mana yang hendak menjalankan program, dan ada slot bisnes, maka, aku tidak teragak - agak untuk turut serta menambah pendapatan.


Perincian yang membuatkan aku gundah gulana:


Bagi satu tapak, aku perlu membayar sebanyak RM20.00 kepada pihak FAMA negeri. Dan bagi tapak di Sri Andalas, aku perlu membayar wang tambahan sebanyak RM20.00, untuk urusan kebajikan peserta tapak. Manakala bagi tapak di Sek. 7, Shah Alam, aku perlu membayar sebanyak RM30.00 bagi tujuan pemasangan kanopi dan bekalan elektrik.


Ini bermakna. RM50.00 untuk satu tapak di Shah Alam.
RM40.00 X 3 = RM120.00 untuk tapak di Klang.
RM50.00 bagi ekspo.


Duit minyak bagi 5 kali perjalanan untuk setiap tapak = RM50.00.


Jumlahnya: RM270.00


Ini tidak termasuk duit tol, makan minum dan bayaran untuk penggunaan tandas.


Wang masuk atau keuntungan untuk semua tapak adalah sebanyak RM160.00. (bab ini, aku bukan lagi rasa macam nak menangis, tapi memang aku sedang menangis !)


Ini bermakna, wang untuk pelepasan hutang kepada orang tertentu, belum dapat dilangsaikan dalam jarak waktu terdekat.


Setakat ini, aku belum mampu untuk membeli generator yang berharga sekitar RM300.00 (aku tidak pasti, ada pengunjung yang tahu harga yang lebih rendah dari itu).


Ramai teman peniaga yang menyarankan aku supaya membeli beberapa buah bakul besar. Sebagai kemudahan untuk meletakkan barangan supaya tahan lama. Ini kerana buat masa ini, aku hanya menggunakan kotak kertas sahaja. Dimana, bakul besar itu boleh dibeli dipejabat FAMA dengan harga RM25.00 (peniaga tidak pasti berapa harga sekarang, kerana itu adalah harga 2 tahun lepas). Dan meneliti kuantiti barangan yang aku bawa, mereka menyarankan supaya aku membeli 3 buah (paling minimum). Aku hanya tersenyum tawar dengan saranan itu. Yang pasti, aku sudah terasa hendak pitam.


Faktor cuaca. Ada orang kata, hujan membawa rezeki. Ya, aku percaya. Dimana, dalam 5 kali aku buka tapak gerai. 3 kali, hujan turun mencurah - curah lebatnya. Dan aku hanya menerima 'kunjungan' seramai kurang dari 10 orang. Dan hanya 4 orang membeli dadih, manakala seramai 6 orang hanya 'melihat' barang dagangan yang aku bawa.


SEBARAN AM. Dengan kemudahan teknologi yang ada. Aku gunakan semaksimum mungkin. Aku edarkan pamplet atau risalah tentang produk dadih dan barangan herba, melalui blog ini, emel, diedarkan ke seluruh masjid dan surau sekitar Klang dan Pelabuhan Klang. Malahan, aku edarkan kepada ahli UMNO, PAS, KeADILan dan DAP. Sewaktu mereka hendak bermesyuarat. Wang untuk fotostat sahaja telah mencecah RM60.00 (nasib baik ada tabung anak).


Dan setakat ini, aku hanya menerima tempahan dadih sebanyak 200 bekas untuk sebuah program DAP cawangan Pandamaran. Penghantaran adalah PERCUMA, kerana Pandamaran termasuk di dalam Parlimen Pelabuhan Klang.


Aku mendapat nasihat dan teguran dari peniaga yang bersimpati. Dimana, mereka menyatakan bahawa produk yang aku niagakan tidak bersesuaian dengan 'tema' lokasi perniagaan. "Cuba, Saudara perhati, cuma Saudara seorang sahaja yang berniaga barangan herba, dan dadih, dan yang 'bergerak' hanyalah dadih. Barangan herba ni, sesuai untuk tapak ekspo atau pameran perniagaan atau pesta, abang nasihatkan supaya kamu cuba perniagaan kering, seperti jual ikan kering dan ulam - ulam..."


Aku hanya memandang anak mata peniaga senior ini dengan pandangan yang cukup sayu. Terharu dengan nasihat yang begitu ikhlas untuk membantu saudara sebangsa dan seagama.


Bila aku perhatikan senarai tapak yang disediakan oleh FAMA, didapati hampir satu ratus tapak jualan disediakan. Tetapi, hingga kini, aku hanya dapat memilih dua lokasi sahaja, iaitu di Sri Andalas dan Shah Alam. Itupun, aku terpaksa pilih kerana lokasinya yang berdekatan dengan rumahku. Faktor utama adalah kerana, van yang aku gunakan tidak mampu untuk bergerak jauh, itupun van itu aku pinjam (dari mertua aku).


Setiap tapak perniagaan dibawah FAMA, maka kanopi dan lampu disediakan oleh pihak penganjur. Ini bermakna, jika aku berhasrat untuk membuka tapak gerai pasar malam dibawah JKKK. Maka payung sendiri mesti dibawa, setakat ini aku hanya ada sekaki payung sebesar 8 X 8 dan keadaan payung itu juga telah koyak sedikit. Ramai peniaga yang menyarankan supaya aku membeli kanopi. Kerana zaman berniaga menggunakan payung sudah tidak relevan lagi. Malahan penggunaan kanopi seluas 10 X 10 adalah paling effisien. Malah boleh bertahan seandainya angin bertiup kencang di kawasan perniagaan.


Hasil tinjauan, aku mendapati bahawa harga terendah yang boleh diperolehi adalah RM220. Itupun di pekan Banting. Dan seorang pakcik bersedia membelikan kanopi itu "kalau kamu percaya pada pakcik, pakcik boleh tolong belikan, kamu tak payah susah nak pergi kesana, pakcik ikhlas nak tolong, pakcik rasa sedih sangat dengar cerita kamu ni..."


Aku hanya mendongak, memandang ke langit terbuka.


Sebagai seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah. Aku telah melakukan sebaik mungkin apa sahaja suruhan dariNya. Apa sahaja zikir yang yang mustajab, telah aku lakukan. Segala jenis solat sunat, aku telah rasakan dan menjiwai. Do'a ma'thurat menjadi basahan bibir. Ayat seribu dinar menjadi amalan dikala matahari terbit hingga bulan menampakkan diri.


"Ya ALLAH, seandainya ini semua adalah kifarah kepada dosa ku, maka aku hanya mengharapkan pengampunan dari MU. Hanya aku bermohon kepadaMU Ya ALLAH, berikanlah kasih sayang dan simpati serta redha MU kepada anak - anakku yang masih kecil, sebagaimana limpahan kasih sayang yang dicurahkan oleh ibuku kepadaku".


Kepada pengunjung sekalian. Dengan penyiaran entri pada kali ini, aku MEMBUKA peluang dan ruang untuk sesiapa sahaja untuk - memberikan sebarang cadangan, maklumbalas, malah aku bersedia menerima TEGURAN, KRITIKAN, CERCAAN DAN HENTAMAN dari sesiapa sahaja. Supaya aku tahu dimana kekurangan aku, untuk diperbaiki. Yang penting, aku dapat menghidupkan anak - anakku. Kerana mereka adalah AMANAH buatku.


Gelanggang sudah DIBUKA dan aku tidak akan melawan.

Saturday, July 19, 2008

Bicara Bisnes (9)

BISNES MINGGU INI:



PASAR TANI:

Lokasi: Jalan Sri Sarawak 18, Taman Sri Andalas, Klang.
Tarikh: 19.07.2008 (Sabtu).
Waktu: 07.00 pagi - 12.00 tengahari.


PASAR MINGGU:

Lokasi: Jalan Sri Sarawak 18, Taman Sri Andalas, Klang.
Tarikh: 20.07.2008 (Ahad)
Waktu: 07.00 pagi - 12.00 tengahari.



Untuk bulan ini (Julai), minggu ini dan minggu hadapan, saya tidak mendapat tempat untuk tapak gerai di Shah Alam. Harap maklum.



InsyaAllah, saya dalam proses untuk mendapatkan tapak kekal untuk bisnes di Seksyen 7, Shah Alam.


Untuk penggemar dadih, yang menetap di kawasan Shah Alam. Anda boleh menempah dadih atau barangan herba yang lain. Dimana, penghantaran adalah PERCUMA. Dengan syarat, tempahan minima adalah 60 bekas.






TERIMA KASIH atas sokongan yang diberikan.

Tuesday, July 15, 2008

Bicara Bisnes (9)

Kisah 1 - Belum masuk, sudah keluar.


Selama ini, aku tidak pernah mengambil berat tentang hal tersebut. Walaupun dari sudut ekonomi, ianya membayangkan sesuatu yang tidak baik. Kerana, selama ini, sewaktu aku bekerja 'makan gaji', aku tidak pernah berbelanja melebihi pendapatan.


Tiba - tiba, pada hari Ahad yang lalu, iaitu sewaktu aku sedang bersiap untuk bertolak ke tapak pasar tani di Shah Alam. Anakku yang sulung bertanya "abah, gerai kita tak pakai lampu kah ?"


Aku bertanya kembali "untuk apa ?" Lalu anakku menyuarakan persoalan yang bermain difikirannya "bukankah kita akan berniaga sampai malam ?" "takkan tak pakai lampu ?"


"Astagfirullah hal'azim..." aku mengucap panjang. Bagaimana persoalan yang paling utama ini aku boleh terlepas pandang. Maklumlah, selama ini, aku memang tidak pernah berniaga, apatah lagi berniaga pasar malam. Sewaktu berniaga di tapak ekspo tempohari. Setiap tapak dibekalkan dengan lampu.


Hanya tinggal dua jam sebelum bertolak. Aku masih berkira - kira. Maklumlah, untuk dua kali membuka gerai, aku belum lagi mendapat untung bersih, cuma pulang modal sahaja. Sekarang, aku terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lagi. Bagi membeli lampu.


Sekarang baru aku faham, mengapa ramai orang seperti tidak percaya, yang aku mahu membuka gerai dengan modal yang sedikit. Rupanya, masih ada lagi perbelanjaan 'tersembunyi' yang tidak diketahui. Selepas ini, aku tidak tahu, apa lagi yang harus aku beli. Macam nak pitam ... hahahaha


# Aku bersyukur kepada MU, Ya Allah. Ujian dari Mu begitu hebat !




Kisah 2 - " Yang mana satu, makcik ?"


Aku sengaja 'menyerahkan' bahagian urus niaga produk dadih kepada anak ku. Kerana itulah produk yang paling mudah untuk dilakukan. Dan kelihatan anak - anakku begitu gembira menjalankan urusan dibahagian itu.


Alhamdulillah, sebanyak 56 gelas dadih berjaya dijual. Dan bakinya, sebanyak 4 bekas, aku sedekahkan kepada peniaga yang menjadi jiran gerai aku.


Sewaktu baki dadih aku berikan kepada jiran gerai. Anak ku tidak menyedari yang bekas meletakkan dadih telah kosong. Tiba - tiba, seorang makcik datang dan melihat bekas tersebut, dan dengan spontan juga anakku bertanya "yang mana satu makcik ?" Tiba - tiba anakku menjadi kaget. "Eh, mana dadih tadi...?"


# Aku kasihan melihat anak ku yang terlalu letih membantu aku. Bila sampai ke rumah, jam 11.20 malam. Tanpa membersihkan tubuh, mereka terus terlena, dan esoknya, mereka perlu bangun awal untuk ke sekolah. Aku berasa zalim kepada mereka. Aku berkira - kira untuk membuka gerai secara berseorangan selepas ini.

Saturday, July 12, 2008

Bicara Bisnes (8)

Lokasi: Seksyen 7, Shah Alam. (belakang gerai makan Medan Selera).
Tarikh: 13 hb Julai 2008 (Ahad).
Waktu: 4.00 p.m - 10.00 p.m.



Antara produk yang dijual dan mendapat sambutan ramai:


DADIH = RM 1.20
TONER MATA = RM 22.00
LOSYEN HALIA = RM 25.00
PADARA (Minyak kelapa dara dalam bentuk Gel lembut) = RM 60.00
PADARA (Minyak kelapa dara) = RM 30.00
EXAMAS = RM 25.00
KAPSUL LANGSINA = RM 25.00
TEH MISAI KUCING = RM 25.00
TEH MAS COTEK RM = RM25.00

DELSTER - (Beer tanpa alkohol. Perasa: PEACH, LEMON, WHEAT) = RM 3.00
(Minuman berkarbonat. Diimport dari Republik Islam Iran)

Madu Kauthar = RM 25.00
(Madu diimport dari Republik Islam Iran)

Madu Golchin (kandungan termasuk sarang lebah) = RM 30.00
(Madu diimport dari Republik Islam Iran)

SAFRON (Daun Za'faran) = RM 20.00
(Diimport dari Republik Islam Iran)

Minyak Asli ZAITON (Extra virgin Olive Oil) = RM 45.00
(Diimport dari Lebanon)

GOJI GUARANA (Kacang Soya, Goji, Madu, Guarana) = RM 69.00
(Diimport dari Ningxia, China)

BIO PADS (Besar) RM = 24.50
SANITARY (Kecil) = RM 11.00
Feminin = RM 10.00

IQ Minda (Kismis - kotak kecil) = RM 1.20

LI KHAMSATUN = RM 38.00
(Madu Asli + 20 herba pilihan)

FAQEH MINDA = RM 36.00

ROOIBOS TEA = RM 19.20

# Produk yang mendapat sambutan hangat.

# 1 dadih promosi akan diberikan secara PERCUMA. Bagi 10 orang pertama BLOGGER yang memperkenalkan diri .

Friday, July 11, 2008

Bicara Bisnes (7)

Selangkah, bukan setapak.


Dalam usaha membina bisnes ini, aku mendapat pelbagai idea, cadangan dan maklumbalas yang begitu memberangsangkan. Tidak cukup dengan jejak yang ditinggalkan di Blog Abang Long. Para blogger mengirimkan emel secara persendirian.


Aku benar - benar menghargai setiap idea mahupun bantuan yang dihulurkan.


Kini, aku sedang mengorak langkah untuk maju setapak lagi. Dimana, perkara paling penting dalam bisnes ialah PROMOSI. Maka, beberapa orang teman yang mempunyai sedikit kepakaran dalam IT, telah memberikan cadangan, agar aku memasarkan produk melalui jaringan sistem internet.


Mulanya aku cuma tersenyum. Maaf, aku terasa seperti sebuah jenaka, agak kelakar juga. Bilamana, ada teman yang bersungguh - sungguh mencadangkan supaya aku menjadi blogger pertama yang mempromosikan barangan produk 'ala - ala pasar malam' atau 'ala pasar tani' dan disiarkan didalam internet.


Aku cuba bayangkan, seorang peniaga yang menjual char kuey tiaw, dan disiarkan bisnes mereka didalam internet. Bagaimana pembeli akan membeli secara 'on line' ? Memang melucukan. Maaf, aku belum dapat membayangkan bisnes cara itu. Hingga kini, aku masih lagi tersenyum sendirian. Dan, yang pasti perkara ini aku belum lagi suarakan kepada isteri aku. Kerana aku pasti akan ditertawakan.


Biarlah aku lakukan yang sudah sedia ada terlebih dahulu. Buat pengunjung yang baru, atau yang terlepas membaca entri aku yang terdahulu. Disini, aku mewar - warkan sekali lagi, bahawa aku akan membuka gerai tapak pasar tani. Dimana produk utama adalah DADIH. Buatan sendiri. Anda adalah dialu - alukan untuk mengunjungi tapak gerai abang long seperti tercatat dibawah.


Lokasi: Seksyen 7, Shah Alam. (belakang gerai makan Medan Selera).
Tarikh: 13 hb Julai 2008 (Ahad).
Waktu: 4.00 p.m - 10.00 p.m.


Lokasi: Jalan Sri Sarawak 18, Taman Sri Andalas, Klang.
Tarikh: 19 hb Julai 2008 (Sabtu)
Waktu: 7.00 a.m - 12.00 a.m


Untuk makluman pengunjung sekalian. Bersempena dengan pembukaan tapak pertama di Shah Alam itu. Maka dadih akan dijual dengan harga PROMOSI. Iaitu dijual dengan harga RM1.20 satu bekas. Dimana harga pasaran semasa adalah RM1.30 satu bekas. Disaat harga minyak naik menggila. Produk dadih aku masih dijual dengan harga sebelum kenaikan harga minyak. Malahan, dikurangkan pula harganya.


Yang penting, anda merasa dahulu dadih itu. InsyaAllah, setakat ini, dadih itu telah mendapat sambutan dan maklumbalas yang baik dari orang ramai, dimana aku juga bersedia menerima tempahan untuk sebarang majlis.


TETAPI. Perlu diingat, dadih itu hanya dijual dan dihantar secara PERCUMA di kawasan sekitar Klang, Pelabuhan Klang, Bandar Sultan Suleiman, Bukit Tinggi, Kampung Jawa, Sri Andalas dan Shah Alam sahaja.

Thursday, July 10, 2008

Bicara Bisnes (6)

Aku cuba. Aku buat.


Terlalu banyak perbezaan untuk perkataan diatas. Aku bukanlah arif dalam hal ini. Tetapi, semenjak menceburi dunia bisnes ini. Aku dapat rasakan memang terdapat perbezaan yang begitu ketara.


Aku cuba - seakan tidak berapa yakin, tidak berapa pasti, tetapi mahu dilakukan dan tidak bersungguh.


Aku buat - menggambarkan keadaan yang pasti, penuh keyakinan, bersemangat dan sentiasa terdorong.


Petang semalam, sekali lagi aku menjejakkan kaki ke pejabat FAMA negeri Selangor. Untuk memohon tapak promosi. Sewaktu ditanya oleh pegawai yang bertugas, "bagaimana jualan hari itu ?" Aku dengan penuh keyakinan menjawab "Alhamdulillah" (walaupun hakikatnya, usaha aku tidak berbaloi).


Lantas pegawai itu mencadangkan beberapa perkara untuk memajukan perniagaan. Aku menjadi pendengar yang baik. Rupa - rupanya, terlalu banyak lagi yang aku tidak tahu. Dan sebenarnya peluang dalam perniagaan begitu cerah dan luas sekali.


Pegawai itu menambah "sebenarnya, kami hanya akan memberikan idea, kalau usahawan itu mahu berjaya dan tidak sombong ... Encik kelihatan yakin dan bersedia menerima teguran ... dan berkongsi idea ... pihak kami bersedia turun padang untuk membantu"


Aku hanya tersenyum dan mengangguk. Beberapa ketika kemudian, permohonan aku diluluskan. Walaupun beberapa hari sebelum itu, aku mendengar yang tapak promosi sudah penuh. Inilah yang dinamakan rezeki.


Buat semua pengunjung Blog Abang Long. Adalah dimaklumkan bahawasanya, aku akan membuka tapak gerai promosi seperti dibawah:



Lokasi: Seksyen 7, Shah Alam. (belakang gerai makan Medan Selera).
Tarikh: 13 hb Julai 2008 (Ahad).
Waktu: 4.00 p.m - 10.00 p.m.



Lokasi: Jalan Sri Sarawak 18, Taman Sri Andalas, Klang.
Tarikh: 19 hb Julai 2008 (Sabtu)
Waktu: 7.00 a.m - 12.00 a.m




Bagi sesiapa yang tinggal berdekatan dengan lokasi tersebut, atau bercadang untuk merasai produk dadih buatan kami. Dengan sukacitanya dialu - alukan.


Dan bagi sesiapa yang bercadang untuk menempah dadih. Dalam kuantiti yang banyak. Sila emelkan ke alamat - safmi_80@yahoo.com. Dadih yang ditempah, akan dibawa ke tapak promosi, dan anda boleh mendapatkannya disana.


Buat makluman semua. Dadih yang dibawa pada hari tersebut adalah terhad untuk tujuan promosi. Sekiranya berminat untuk merasai dadih tersebut. Sila tinggalkan jejak disini.


Jangan lupa, abang long juga menjual produk herba untuk kesihatan.