Friday, March 30, 2007

TERIMA KASIH




BEREHAT.




TERIMA KASIH KEPADA YANG SERING MENGUNJUNGI BLOG ABANG LONG.








Wednesday, March 28, 2007

Kisah - kisah (8)

Kisah 1 - Mesyuarat PIBG.

Aku menghadiri mesyarat PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), di sekolah anak ku. Sebuah mesyuarat yang agak panas. Kerana pada kali ini, ibubapa benar - benar telah memainkan peranan yang berkesan dan efektif, dalam pengurusan dan hal ehwal sekolah dan pelajar - pelajar.

Bukan mudah untuk menjadi Pengerusi (maaf, aku bukan Pengerusi). Selain dari bertanggungjawab untuk memastikan kelancaran sesebuah mesyuarat. Pengerusi juga MESTI ambil tahu dan berperanan sebagai manusia "kedua" selain dari Guru Besar dalam memastikan segala urusan dan hal ehwal yang berlaku didalam kawasan sekolah, dan juga berperanan sebagai penghubung antara ibu bapa dan guru.

Pada kali ini, ibu bapa kepada pelajar telah membangkitkan beberapa isu, yang mana begitu hangat diperkatakan.

Aku tidak bermaksud untuk membangkitkan isu yang dipersoalkan atau ditimbulkan, didalam mesyuarat. Tetapi aku merasa satu perkara yang begitu baik, yang telah dilakukan oleh ibu bapa dan juga guru. Dimana pada mesyuarat pada kali ini, telah menyaksikan "kebangkitan dan kesedaran" kepada para ibu bapa, untuk bercakap dalam mesyuarat, melahirkan idea dan pandangan, berani untuk memperkatakan sesuatu, dan bersikap professional dalam mendepani sesuatu perkara.

Tidak kira para bapa, atau ibu, malah apa bangsa sekalipun. Telah dapat bersuara, dan menyatakan sesuatu, dalam suasana harmoni tapi tegas.

# Alhamdulillah, beberapa perkara yang aku bangkitkan dalam mesyuarat lalu, telah diselesaikan. Inilah Peranan Ibu Bapa dan Guru dalam Persatuan.


Kisah 2 - Majalah untuk WANITA.

Telah beberapa kali, aku diperhatikan, ya, aku menyedari perkara itu. Aku diperhatikan, malah pernah beberapa kali aku ditegur @ disapa. Kerana keasyikan aku membaca dikhalayak ramai.

Bukan mereka menegurku kerana membaca, tetapi bahan bacaan yang aku baca (?). Itulah yang menimbulkan "persoalan dan kehairanan" kepada orang ramai.

Aku membaca majalah mingguan wanita, majalah Nur, Pa & Ma, Muslimah dan pelbagai lagi majalah yang dihubungkaitkan dengan wanita @ feminisme.

Dan bertambah kehairanan pada mereka yang memerhatikan diriku. Bilamana sewaktu menunggu untuk mengambil anak ku dari sekolah. Aku akan membaca novel.

# Aku minat membaca ... adakah aku bersalah dalam hal ini, dan adakah perbuatan ku pelik ?.


Kisah 3 - MAKLUMAT KECEMASAN.

Aku teringat pada satu peristiwa, beberapa tahun yang lalu. Di Singapura. Sepasang suami isteri telah kehilangan anak. Dua jam kemudian, si ayah telah menerima panggilan dari Balai Polis, menyatakan bahawa anak mereka telah berada di Balai Polis tersebut.

Bagaimana anak kepada pasangan ini boleh ditemui dengan mudah ?

Caranya ialah, si ayah telah menyimpan maklumat dan diletakkan kedalam poket si anak.

Ini memberikan aku satu idea yang baik, untuk mengelakkan peristiwa itu berulang. Samada kepada diriku dan isteri, mahupun kepada mana - mana pasangan suami isteri @ keluarga.

Caranya mudah. Buatkan satu "kertas kecemasan". Letakkan nama anak, nama ibu / bapa / penjaga, alamat lengkap dan nombor untuk dihubungi. Dan boleh juga dimasukkan sekali apa - apa biodata atau maklumat penting @ tambahan.

Nama anak:
Nama ibu / bapa / penjaga:
Alamat rumah:
Nombor h/p:
# Pemegang kad ini menghidap penyakit sawan (sebagai contoh).

Selepas dimasukkan butiran. Kertas itu dimasukkan kedalam plastik (laminate), supaya tahan lama. Sewaktu berpergian kemana - mana, masukkan sahaja "kad kecemasan" itu kedalam poket anak - anak.

# Sememangnya kita mesti menjaga dan mengawal anak - anak sewaktu berada dikawasan terbuka, apatah lagi bila berada di acara yang dihadiri lautan manusia. Tetapi "apa sahaja kemungkinan" boleh berlaku, maka tidak salah mencuba kaedah ini.


Kisah 4 - OAT, ROTI dan SUSU.

Apa perasaan atau rasa tekak anda, sekiranya setiap hari inilah sahaja hidangan atau sarapan pagi, yang anda perlu dan mesti ambil ?

Aku telah menghadapinya, setiap hari. Dan telah menjalani terapi itu selama 3 tahun.

Memang ada yang berkata "alamak, boleh muntah balik".

Tetapi, sebagai pesakit gastrik (nasib baik n3 ini bukan dalam bulan Ramadhan), akhirnya, Aku mendapat kesan yang cukup baik. Dimana, sarapan ini bukan sahaja murah, mudah, malah Tidak sukar untuk membuatnya.

Selain dari itu, perut aku juga tidak mengalami simptom yang kurang menyenangkan.

Malahan, dengan pemakanan itu, aku seperti mendapat makanan tambahan. Hinggakan, sekiranya aku tidak berkesempatan untuk makan tengahari, maka aku masih dan mampu bertahan.

# Cubalah.


Kisah 5 - TEPAT PADA WAKTUNYA.

Ramai dikalangan kita orang Malaysia, yang tidak menepati waktu dan menghargai masa. Termasuk salah seorang sahabatku. Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi dalam agama. Yang faham dengan "teguran" Allah kepada manusia Muslim berhubung dengan hal ehwal "menjaga" waktu itu sendiri.

Dan perkara ini (tidak menepati waktu), rupa - rupanya telah diketahui oleh masyarakat luar negara. Dimana satu ketika, sewaktu aku berada diluar negara. Aku telah mengadakan temujanji dengan seorang lelaki ahli perniagaan, dimana beliau bertanya, "adakah itu waktu Malaysia ?". Sangkaanku, beliau merujuk kepada waktu antarabangsa. Rupa - rupanya beliau menyatakan bahawa, "bukankah orang Malaysia, selalu berjanji untuk datang pada jam 10 pagi, tetapi mereka akan datang 1/2 jam lewat dari masa yang ditentukan ?".

Aku lalu menjawab dengan tegas "tidak bagiku, kita akan bertemu tepat jam 10.00 pagi esok !".

Dan aku mengotakan janjiku, dimana pada pukul 9.50 pagi. Aku telah tiba ditempat yang dijanjikan.Tetapi memang mengejutkan diriku, kerana ahli perniagaan dari Korea itu, telahpun berada disitu, sambil membaca akhbar !.

Berbalik kepada sahabatku itu. Akhirnya satu peristiwa telah berlaku. Dimana, kami sepatutnya berjumpa di KLIA. Untuk menaiki kapalterbang ke Brunei. Walaupun jam telah menunjukkan pukul 11.00 pagi. Namun kelibatnya tidak kelihatan. Sedangkan aku telah pun "check in".

Hinggalah aku "terbang" berseorangan, dan dalam pesawat, aku menerima sms dari beliau - "bang, ada dimana sekarang ?". Aku menjawab "dalam kapalterbang".

Aku menerima sekali lagi sms dari beliau "aduh, aku terlepas flight !". Aku membalas sms tersebut "kamu ada dimana ?". Beliau menjawab "ada di Rawang, kereta aku rosak !". Dan balasan sms terakhir yang aku terima darinya berbunyi "pukul berapa kapal terbang berlepas ?".

Aku menjawab sms dengan huruf besar "TEPAT PADA WAKTUNYA".

# Terpulang kepada anda untuk menilainya.


Kisah 6 - HORMAT.

Aku sering ditanya oleh rakan - rakan ku. Bagaimana untuk menghadapi karenah staf yang tidak tahu bagaimana untuk menunjukkan rasa hormat kepada ketua.

Ada yang berkata "bila aku bercakap dengan si polan tu, dia macam tak kisah, asyik menghadap pc je, macam tak layan dan buat tak dengar".

Ada juga yang berkata "aku hairan dengan budak sekarang, ada ke bila aku suruh si polan tu buat sesuatu, dia boleh kata "nantilah dulu".

Bagi diriku sendiri. Sewaktu aku berada ditahap rendah. Aku telah menunjukkan sikap menghargai ketua. Sering meminta pendapat ketua. Sering berbincang dengan ketua.

Jadi jawapan yang terbaik, aku berikan kepada rakanku yang menghadapi permasalahan itu ialah:

"engkau bawa dia keluar makan tengahari, pastikan engkau keluar berdua sahaja, lepas makan baru engkau tanya, adakah anak buah engkau tu ada masalah dengan engkau, tapi ingat sewaktu bercakap, jangan bersikap emosional".

# Kadangkala aku tertanya - tanya, adakah ini disebabkan, staf berkelulusan lebih tinggi dari Bos ?. Almaklum, staff berkelulusan Universiti, sedangkan Bos, lulus SPM sahaja.


Kisah 7 - REAKSI SMS.

Seringkali ada diantara kita yang tidak dapat hadir kepejabat atas pelbagai perkara, maka dizaman serba maju ini, pelbagai cara boleh digunakan untuk menghantar mesej, kepada Ketua Pejabat, Ketua Jabatan atau Penyelia. Untuk memaklumkan tentang "ketidakhadiran" kita ke pejabat. Maka salah satu dari caranya ialah dengan kaedah sms.

Maka kelihatan begitu banyak ayat yang kudengari, dari teman - temanku sendiri:

1)
Pengirim: "Encik, mohon maaf, hari ini saya tidak dapat hadir, kerana kurang sihat".
Bos: "Sakit apa ?".
Pengirim: "Cirit birit, dari semalam, tak pasti saya makan apa, tapi hari ini saya rasa sakit, dan tubuh rasa lesu".
Bos: "Berapa hari awak mc ?".
Pengirim: "InsyaAllah satu hari, hari ini sahaja".
Bos: "ada kerja yang masih out standing ?".
Pengirim: "rasanya dah tak ada, kalau ada minta odin (nama samaran), tolong call saya, kalau dia tak faham".
Bos: "ok, awak berehatlah".
Pengirim: "Terima kasih".

2)
Pengirim: "MC".
Bos: "?"
Pengirim: "I am medical leave, today".
Bos: "oic, ok".

3)
Pengirim: "Sorry, I mc".
Bos: "call me back, now !".

4)
Pengirim: "Bos, sorry I mc 4 2day".
Bos: "Ok, but for 1 or 2 days ?".
Pengirim: "1 day only".
Bos: "ok".

5)
Pengirim: "Bos, sy MC".
Bos: "K".

6)
Pengirim: "Bos, maaf, saya mc hari ini".
Bos: "siapa ni ?".

# Macam - macam.

Thursday, March 22, 2007

SELAMAT DILANCARKAN KE ANGKASA ........

Aku sedang asyik membaca, sedang khusyuk dan fikiran sedang menerawang ke zaman akan datang.


Benar - benar teruja !


2007 - 2124.
YA. 100% BUATAN MALAYSIA.

Wednesday, March 21, 2007

AMALAN KECEMASAN

Sangkaan ramai pekerja didalam pejabatku. Pasukan St. John Ambulan akan tiba lebih kurang jam 10 – 12 tengahari. Rupa – rupanya, sedang perkerja baru hendak memulakan tugas, pada jam 8. 30 pagi, tiba – tiba sahaja pada jam 8.50 minit pagi, loceng amaran berbunyi dengan begitu kuat dan nyaring, bergema dan bersiponggang keseluruh pelusuk bangunan.

Pelbagai reaksi, yang dapat diperhatikan. Ada yang baru nak masuk ke tandas, ada yang sedang membancuh air, ada yang baru bersolek, dan pelbagai ragam manusia yang dapat dilihat.

Yang pasti semuanya terkejut dan tergamam.

Suasana menjadi riuh rendah, sama kuat keriuhannya dengan loceng amaran.

10 minit kemudian. Terdengar siren Bomba dari kejauhan. Sekali lagi ramai yang terkejut. Kerana “tidak dimaklumkan”, oeh majikan masing – masing, kerana dalam taklimat terdahulu, hanya disebut “Pasukan dari St. John” sahaja yang akan tiba.

Pelbagai telatah dan keletah pekerja yang dapat diperhatikan. Majoritinya ketawa dan puas hati, dengan “latihan praktikal” yang diadakan.

Rumusan yang dapat kuberikan disini adalah:

1 – Latihan menyelamat wajar dilakukan @ diadakan oleh setiap majikan.
2 – Semua orang mesti tahu tentang CPR.
3 – Kita perlu menyimpan nombor pasukan keselamatan (Polis, Bomba, Ambulan dan sebagainya).
4 – Perlu kerap bersenam (kerana ada dikalangan pekerja yang “basah baju” dan semput, akibat dari terpaksa turun tangga dari tingkat 7, dengan hanya menggunakan laluan tangga.
5 – Andainya boleh – “jangan benarkan pekerja wanita memakai kebaya ketat”, khususnya yang bertugas ditingkat yang tinggi, kerana pelbagai kemungkinan akan berlaku.

Pelbagai pengalaman, pengajaran dan maklumat yang diperolehi hari ini, berserta dengan “teguran” dari Pihak Bomba.

Namun yang pasti, usaha yang dijalankan berjaya mencapai matlamat.

Tuesday, March 20, 2007

SEKARANG adalah MASA nya

SEKARANG ADALAH MASA YANG SESUAI.

Sepanjang hidupku berkerja dipelbagai daerah. Terlibat dengan pelbagai oraganisasi. Aktif dalam kegiatan kemasyarakatan. Bergiat dalam arus politik perdana. Menghadiri kem – kem motivasi. Ada satu ayat yang sering disebut dan diperkatakan, samada sewaktu bercakap dengan seseorang, berkumpulan mahupun didalam mesyuarat – “MASA YANG SESUAI”.

Sebenarnya TIADA MASA YANG TIDAK SESUAI.

Namun perkara ini masih boleh diubah, bilamana kita harus menyatakan sesuatu, supaya yang empunya diri tidak terguris hati, dengan menunggu masa yang sesuai. Ataupun bertanya sesuatu tepat dan betul kepada sasarannya.

Yang dimaksudkan disini ialah. Bilamana mahu menganjurkan sebarang program, atau menjalankan urusniaga, atau mengadakan mesyuarat, atau menganjurkan sebarang aktiviti.

Yang betul, dan perlu diperbetulkan dan mesti diubah, bukannya masa, atau tarikh atau tempat untuk menganjurkan apa sahaja aktiviti.

Yang MESTI diubah ialah - S I K A P dan K O M I T M E N.

Saya sendiri, secara peribadi pernah menganjurkan pelbagai program, samada pada hari berkerja (Isnin – Juma’at), pernah juga menjalankan aktiviti pada hari Sabtu mahupun Ahad, dan pernah berpengalaman menjalankan atau menganjurkan program pada hari Cuti Umum dan Cuti sekolah.

Bila kita menyatakan yang program akan diadakan pada hari berkerja, jawapan yang saya sering terima adalah:

1 – “alah …. Saya tak boleh datang, kan tu hari bekerja ?”.

Bila dinyatakan yang program akan diadakan pada hari Sabtu, jawapan yang saya terima adalah:

1 – “alamak … eh, kan kerja separuh hari tu … nanti jalan jem lahhhh !!!”.

Bila disebut yang program akan diadakan pada hari Ahad, jawapan yang diterima adalah:

1 – “Maaf banyak – banyak … hari Ahad ni saya kena pergi kenduri kahwin, adalah 20 buah rumah kena pergi … kad dah dapat lama dah “.

Bila dmaklumkan yang program akan diadakan pada CUTI UMUM dan CUTI SEKOLAH, jawapan yang saya terima adalah paling menarik:

1 – “maaflah, saya kena balik kampong, moyang saya sakit”.
2 – “ tak ada orang nak jaga anak yang berumur 80 tahun tu”.
3 – “selalunya bila cuti sekolah je, kereta saya pasti meragam”.
4 – “saya nak kena pergi luar Negara, dah plan 10 tahun dulu”.
5 – “encik, kenapa buat masa cuti sekolah, kan waktu tu untuk keluarga ?”.

Jadi, persoalan POKOK ialah – “BILAKAH MASA YANG SESUAI ?”.

Monday, March 19, 2007

Maklumat dalam Wikipedia

Carian dalam Internet.

Aku mencari idea untuk pelbagai kegunaanku seharian, samada dalam tugasan harian, mahupun untuk disiarkan didalam Blog Abang Long.

Internet dibina untuk memudahkan sebarang pencarian maklumat, dan sewajarnya digunakan untuk perkara kebaikan. Namun ada juga yang menggunakannya untuk pelbagai tujuan.

Salah satu dari carian atau capaian yang aku gunakan seharian adalah menggunakan WIKIPEDIA.

Maka disini, pada entri kali ini, aku ingin mendedahkan kepada pengunjung sekalian, dari mana asal usulku, kemana selepas itu, dan sekarang menetap dimana.

Ya, Abang Long dilahirkan di Pulau Singapura. Kemudian dibawa berpindah atau berhijrah ke Taiping, Perak. Bersekolah di Taiping. Dan sekarang menetap di Klang.

Entri pada kali ini dan sebelum ini, dan InsyaAllah selepas ini adalah untuk dikongsi bersama semua pengunjung Blog Abang Long yang dihormati.

# Abang Long percaya, pengunjung Blog ini, dan pengguna internet lebih arif dari yang dijangkakan. Dan kalau ada yang lebih baik, harap dapat dikongsi bersama. Terima Kasih.

Sunday, March 18, 2007

C P R



Hujan tidak, rebut pun tidak. Tiba – tiba sahaja dalam mesyuarat mingguan yang diadakan dipejabat ku. Big Boss lalu bertanya “ada sesiapa yang tahu tentang CPR ?”

Masing – masing terkelu lidah, malah ada yang berkerut dahi, dan bertanya kembali “apa dia ?”.

Lalu Big Bos bertanya sekali lagi “adakah sesiapa diantara kamu yang tahu apa itu CPR, atau tahu tentang CPR ?”.

Masing – masing terdiam, dan ada yang menggeleng kepala.

Lalu aku menjawab “saya tahu”.

“Apa yang awak tahu tentang CPR ?”. Soal Big Bos lagi.

“CPR adalah singkatan nama kepada cardiopulmonary resuscitation, dalam bahasa melayunya … maaf saya tak tahu, tapi ianya bertujuan untuk memberi bantuan kecemasan atau bantuan pernafasan yang pertama kepada mangsa, er … dengan cara menghembuskan nafas dari mulut ke mulut, dan menekan dada si mangsa”. Aku menjawab dan memberikan penerangan serba sedikit tentang apa itu CPR.

Big Bos lalu berkata lagi “bagus”. Dan menambah “minggu depan, hari Rabu, Pegawai dari St. John Ambulan’s akan datang, dan memberikan penerangan tentang bantuan kecemasan, semua diwajibkan hadir sessi itu”.

Big Bos “Ok, itu sahaja, terima kasih, semua ketua jabatan tunggu dulu !”.

Setelah seluruh kakitangan keluar dari bilik mesyuarat, Big Bos lalu berkata “ok, sila ambil perhatian, minggu depan, seluruh pekerja didalam bangunan ini akan menjalani latihan kecemasan, dan saya telah pilih Ahmad (nama samaran), sebagai “mangsa” dalam lakonan olok – olok untuk sessi tersebut”. “Ada apa – apa soalan lagi ?” Soal Big Bos.

Hashim (nama samaran) bertanya “selain dari pasukan St. John, ada mana – mana pasukan lain yang akan turut serta ?”.

Big Bos menjawab “Pihak Bomba juga akan turut serta”.

Mesyuarat berakhir dan semua bersurai.

# Andainya aku dipilih untuk menunjukkan kaedah CPR, mau pitam dibuatnya, memang aku tahu serba sedikit sebab belajar 10 tahun yang lalu, sekarang aku ingat – ingat lupa. Aduhhh … saliha …(moral of the story – lain kali berfikir sebelum bercakap).

Nota tambahan.


CPR wajib dipelajari oleh kita semua. Adakah anda menyimpan "first aid kit" dirumah atau didalam kenderaan anda ?.




Saturday, March 17, 2007

FEAR...

I feared being alone
Until I learned to like Myself.

I feared failure
Until I realized that I only Fail when I don't try.

I feared success
Until I realized that I had to try in order to be happy with myself.

I feared people's opinions
Until I learned that people would have opinions about me anyway.

I feared rejection
Until I learned to have faith in myself.

I feared pain
Until I learned that it's necessary for growth.

I feared the truth
Until I saw the ugliness in lies.

I feared life
Until I experienced its beauty .

I feared death
Until I realized that it's not an end, but a beginning.

I feared my destiny,
Until I realized that I had the power to change my life.

I feared hate
Until I saw that it was nothing more than ignorance.

I feared love
Until it touched my heart, making the darkness fade into endless sunny days.

I feared ridicule
Until I learned how to laugh at myself.

I feared growing old
Until I realized that I gained wisdom every day.

I feared the future
Until I realized that Life just kept getting better.

I feared the past
Until I realized that It could no longer hurt me.

I feared the dark
Until I saw the beauty of the starlight.

I feared the light
Until I learned that the Truth would give me Strength.

I feared change,
Until I saw that even the most beautiful butterfly had to undergo a Metamorphosis before it could fly.

Friday, March 16, 2007

CUTI - CUTI MALAYSIA - Pengalaman naik BAS (henti - henti)



Kisah 1 - Pondok bas.

Tidak ku ingat, sudah berapa lama aku tidak menggunakan perkhidmatan bas. Bukan Bas Ekspres, tapi bas dalam daerah, atau bas henti – henti. Tiba – tiba sahaja, anakku yang pertama berkata kepada ku memberi cadangan:

Anak: “abah … abang nak rasa naik bas … yang depan rumah tu, yang berhenti – henti, sahaja je nak rasa … boleh tak ?”.

Dan selama seminggu, aku bertanya kepada beberapa orang jiran. Malangnya seorangpun tidak tahu apa – apa tentang perkhidmatan bas itu. Tiada siapa yang tahu jadual, tambang, dimana berhenti dan sebagainya. Kalau ada yang menjawab pun, masih kedengaran rasa ragu – ragu.

Seingatku ditahun 90’an, perkhidmatan bas henti – henti, masih terkenal dan digunakan, oleh orang ramai.

# Baru aku terperasan sesuatu, berzaman lamanya, aku sudah tidak pernah ambil tahu akan perhentian bas, atau bus stop. Kalau ada di tepi jalan sekalipun, tiada siapa yang ambil kisah. Dan bila aku menunggu di hentian bas bersama anak – anakku, kelihatan begitu dhaif keadaan bangunannya, yang seperti tidak dihiraukan lagi. Bumbungnya yang bocor, dan ada yang berkarat, tiada alas tempat duduk, berhabuk dan berdebu. Sekali lagi fikiran ku menerawang, adakah kerana bas hanya digunakan oleh rakyat marhaen ?.



Kisah 2 - Konduktor.

Aku sendiri tidak tahu atau tidak ingat, bilakah Bas henti – henti, tidak lagi menggunakan perkhidmatan konduktor. Yang satu ketika dahulu bukan sahaja bertugas, menjual tiket kepada penumpang, tetapi juga bertanggungjawab menjaga keselamatan penumpang.

# Masih teringat laungan pakcik konduktor, setelah memastikan penumpang selamat turun dari bas. Dengan mengetuk “pengacip tiket” kepada tiang besi galang, pakcik konduktor akan memekik “jalannnnnn ….”.


Kisah 3 - Tiket.

Arus pemodenan juga telah menyebabkan khidmat konduktor tidak diperlukan. Maka sistem tiket bermesin dilaksanakan. Memang itu satu perkhidmatan yang baik. Namun ada juga kekurangannya.

Sekiranya tambangnya ialah 90 sen, dan anda tiada pecahan wang kecil. Bermakna baki 10 sen akan menjadi “sedekah” kepada syarikat bas. Tiada pemulangan wang diberikan.

# Bersiap sedia dengan kantung wang syiling, bila mahu naik bas.


Kisah 4 - “saja nak pusing”

Sewaktu melangkah naik keatas bas, terjadilah dialog yang mungkin tidak pernah diperkatakan orang lain atau pengguna bas lain.

Aku: “Encik (bertanya kepada pemandu bas), berapa tambang untuk 3 dewasa dan 5 kanak – kanak ?”.
Pemandu: “Besar seringgit lima puluh sen, kecik 90 sen”.
Aku “Maaf ye, itu tambang sampai kemana ?”.
Pemandu: “Sampai ke Perhentian Bas”.
Aku: “Err.. saya nak bayar untuk sekali pusing, maksud saya, kami nak naik, dan patah balik kesini semula…”.
Pemandu: (dengan suara seperti orang nak makan orang, dan langsung tidak menampakkan sikap untuk membantu apatah lagi mesra pengguna). “Tak de, tak de … awak bayar dulu disini, sampai sana bayar lain !”. Dan dengan nada suara seperti orang yang sedang marah, pemandu itu berkata “naik cepat, saya dah lambat ni !”.

# Teringat kepada iklan pemanduan berhemah – “Senyumlah sikit”.


Kisah 5 - Jadual.

Sampai sahaja ke Perhentian Besar, aku dan keluarga serta anak saudara yang ikut dalam “program cuti – cuti Malaysia itu”, “TERPAKSA” turun dari bas. Lalu aku mencadangkan supaya bersiar – siar didalam kawasan Perhentian Bas, dan sambil minum di gerai yang ada di sekitar Perhentian Bas itu.

Lalu isteriku menegurku “abang tengah cari apa ?”. … dari tadi asyik tercangak – cangak pandang keliling ?”.

“Abang tengah cari Papan Kenyataan atau Jadual Perjalanan Bas”. Aku menjawab sambil terus memandang sekeliling. Sambil menyambung “takkan tak ada jadual perjalanan ?”.

Isteriku lalu mencadangkan supaya bertanya ke bahagian Kaunter.

Aku: “Cik, tumpang tanya”.
Pegawai Kaunter: “ya, ada apa yang boleh saya bantu ?”.
Aku: “pukul berapa bas ke … ?”.
Pegawai kaunter: “setiap 15 minit ye”.
Aku: “terima kasih”.

# Selama hampir satu jam aku menjamu selera di gerai makan, di dalam Perhentian Bas itu. Aku dapati, bas yang tiba adalah dalam jarak waktu 40 minit – sebuah. Jadi SAH, tekaanku, bas henti – henti memang tidak ikut jadual !.

Sunday, March 11, 2007

Setia, Jujur dan Ikhlas.

Bermula dari bulan August 2006, sewaktu aku membuka kembali Blog, setelah beberapa lama menyepikan diri dari alam siber. Maka aku telah menyatakan tujuan dan matlamat aku kepada Saudara Roslan @ Pokcik Mersik (beliau adalan insan yang bertanggungjawab membina Blog Abang Long). Dimana aku mahu dunia Blog dan alam siber menjadi satu medan untuk bertinteraksi dan berkomunikasi.

Aku mahu supaya setiap manusia itu bersikap setia kepada pasangan hidup, setia kepada keluarga, dan setia kepada Raja dan Negara. Dimana kesetiaan itu adalah salah satu asas kepada kehidupan yang harmoni.

Sewaktu kita berinteraksi di alam siber, satu sikap yang aku pelajari dan cuba untuk diamalkan adalah kejujuran. Biar siapa pun kita. Yang penting biarlah jujur. Kerana sejauh manapun kita cuba untuk berbohong dan membohongi manusia. Satu ketika kelak orang ramai akan tahu juga siapa kita yang sebenarnya. Begitu juga status diriku, yang telah berkeluarga, dan mempunyai anak. Aku paparkan didalam Blog ini. Tiada Rahsia – kerana aku percaya, andai kita berterus terang dan jujur, insan lain akan menghormati kita.

Sepertimana yang semua maklum, apabila kita ikhlas dalam melakukan sesuatu, maka dihujungnya, kita akan merasai keseronokan, kepuasan dan kenikmatan yang sukar untuk diperolehi, dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, atau apa sahaja nilai matawang didunia. Walau tidak dipinta, namun dengan usaha kita yang ikhlas itulah, maka usaha kita akan diperkatakan dan dikenang oleh manusia. Namun biarlah kita ikhlas, berlandaskan kepada ajaran agama Islam, kerana itulah amalan yang akan kita bawa, dan kita persembahkan kepada Allah bilamana kita bertemu denganNya kelak di Alam Mahsyar.

Namun, aku juga boleh menerima dan bersetuju andainya, seseorang itu menjadikan dunia Blog sekadar tempat untuk berkongsi pengalaman, menceriakan alam siber, memberikan panduan dan tunjuk ajar yang berguna, menyampaikan maklumat dan hujjah untuk kebaikan semua, disamping mengukuhkan tali persaudaraan, tetapi dalam waktu yang sama, tidak mendedahkan identiti yang sebenar atas sebarang sebab dan alasan.

Negara kita MALAYSIA, yang aman, sentosa dan harmoni ini, memerlukan rakyat yang berbilang kaum dan agama untuk turut sama prihatin dalam membangunkan Negara, berlandaskan kepada panduan Rukun Negara, yang telah dipersetujui dan disepakati bersama.

Perbezaan pendapat merupakan satu yang lumrah, dan perlu diterima oleh semua orang. Sikap hormat menghormati antara satu sama lain perlu diamalkan berterusan. Jadikan perbezaan pendapat itu sebagai usaha untuk menjana fikiran dan pemikiran supaya lebih kritis. Kasih sayang dan kemesraan sesama insan perlu dijana, supaya dunia ini aman dari sebarang punca bencana dan pancaroba.

Maka kita - PARA BLOGGERS, mempunyai TUGAS, TANGGUNGJAWAB, dan AMANAH, yang perlu dipikul dan dilaksanakan bersama.

Setia, Jujur dan ikhlas hanyalah perkataan, Yang terbaik adalah buktikan dengan perbuatan ……. itulah slogan dan mesej peribadi Blog Abang Long.

SALAM UKHUWWAH BUAT SEMUA PENGUNJUNG.

Thursday, March 08, 2007

WANITA HARI INI

Sempena Hari Wanita yang telah disambut pada 8hb Mac. Maka aku terkenang kepada beberapa peristiwa yang mengembalikan memoriku terhadap insan yang bernama – Perempuan, wanita, ibu, suri rumahtangga.

Beberapa hari yang lalu, aku telah menunaikan hajat seorang teman yang mengadakan kenduri perkahwinan untuk anak perempuannya.

Dimana sehari sebelum itu, aku telahpun berada dirumah sahabatku itu, untuk ‘rewang”. Dan sambil itu seperti kebiasaan, kaum lelaki, selalunya berada dibawah khemah, berborak sambil ngeteh, memang berborak sakan, sambil tuan rumah sentiasa menyediakan air kopi panas, biskut dan beberapa kotak rokok, buat tetamu yang datang untuk membantu apa yang patut.

Pelbagai perkara dan topik yang dibualkan dan diperkatakan, dari bab bola, politik hinggalah kepada urusan dalam kelambu. Ada yang berfakta, tetapi selebihnya bual kosong.

Namun, satu topik yang begitu menarik perhatianku. Dimana, seorang yang berpangkat pakcik. Telah berkata “anak perempuan tak payah belajar tinggi – tinggi, nanti ke dapur juga akhirnya”.

Bila aku mendengar perkataan atau ayat yang diucapkan oleh pakcik ini. Secara tiba – tiba dan spontan aku bertanya “pakcik ada anak perempuan ?”. Lalu dia menjawab “tak ada”. Aku terus bertanya “anak pakcik berapa orang ?”. “Enam” jawab pakcik ini acuh tak acuh.

Lalu aku bertanya lagi “berapa yang dah kahwin ?”. “Semua” balas pakcik ini. “Menantu pakcik (sudah pasti menantunya semua perempuan) kerja ke ?” Soalku lagi. “Tak … buat apa kerja, anak pakcik (lelaki) semuanya kerja bagus – bagus, boleh sara anak bini diaorang”. Sambung si pakcik ini “lagipun tanggungjawab nak bagi makan anak bini kan kerja orang lelaki …. lagipun kalau hak betina pun nak kerja juga … tu yang jadi huru – hara dunia hari ini … anak tak terjaga … laki balik rumah, tak ada bini yang nak buat air …. yang betina pulak bila dok kat pejabat … dok nak xxx dengan jantan lain ….”.

Aku hanya tersenyum dan terdiam, sambil beristighfar. Aku malas nak sambung perbualan, dan berhujjah. Kerana sebagai menghormati majlis. Namun dihatiku berkata – “ada juga manusia di ERA MODEN ini yang berfikiran kuno atau tahun 50’an !”.

Fikiran cetek ku berputar – “agaknya pakcik ni tak pernah bersekolah dan kalau bersekolah pun semua gurunya adalah lelaki”, atau “pakcik ni tak pernah sakit, atau kalau sakitpun dia tidak pernah dijaga atau dirawat oleh jururawat atau doktor perempuan”, dan fikiranku bertambah cetek bila aku terbayang lagi “mungkin pakcik ni, tak ada duit, dan tidak pernah pegang duit, sebab yang jaga Bank adalah Gabenor Bank Negara – seorang wanita”.

Seingatku, didalam ajaran Islam, KEWAJIPAN untuk menuntut ILMU diwajibkan kepada lelaki dan perempuan. Malahan didalam beberapa kitab Sirah Nabawiyah dan juga kitab karangan dari ulamak muktabar sendiri, memberi gesaan supaya diperingkatkan ilmu pengetahuan oleh semua orang tanpa mengira jantina.

Malah jika diimbas kembali, anakanda Baginda Nabi Muhammad S.A.W, iaitu Sayyidatina Fatimah Az Zahra sendiri adalah pakar hadith dan pakar rujuk kepada para sahabat.

Fikiranku yang cetek sudah hampir berhenti dari berputar, dimana aku terkenangkan pula satu perkara yang tidak disebut oleh cendekiawan, andainya sejarah merakamkan bahawasanya Sayyidatina Fatimah Az Zahra (Penghulu Kaum Wanita di Syurga), sebagai Pakar Hadith dan Pakar Rujuk, dan kita bawa “status” itu ke era atau zaman sekarang, bermakna, Sayyidatina Fatimah Az Zahra adalah seorang yang bertaraf Doktor Falsafah atau Professor.

Ya, fikir – fikirkanlah.

# Isteriku bekerja sebagai Guru Agama dan aku ada anak perempuan.

Wednesday, March 07, 2007

WANITA

TIDAK TERNILAI.

Aku tidak berhajat untuk berkata lagi.
Aku tidak berhajat untuk menulis lagi.
DAN
Aku juga tidak berhajat untuk menilai lagi.

Kerana yang pasti JASA DAN PENGORBANAN anda semua sememangnya TIDAK TERNILAI.

Malah seluruh AGAMA didunia MENGIKTIRAF dan mengakui perkara yang sama, cuma Agama Islam sahaja yang benar – benar MENGANGKAT MARUAH DAN MARTABAT ANDA ketempat yang tertinggi.

SELAMAT HARI WANITA.

Tuesday, March 06, 2007

Sambungan 6 perkara PELIK

Sewaktu kali pertama aku dikenakan “tag” oleh Nur Raina Afsana, aku tergamam, namun aku merasakan bahawa itu merupakan satu “penghormatan” sebenarnya. Bila seseorang menulis nama kita dihalaman Blog peribadi seseorang, itu bermaksud yang kita adalah seorang yang “dekat di hati” pengendali Blog itu.

Dan aku menyahut seruan itu, namun dihatiku berkata – kata, “takkan semua orang ada enam perkara sahaja yang pelik ?”. Namun disebabkan peraturan tidak rasmi hanya menghendaki enam perkara sahaja, maka aku turutkan juga.

Selepas beberapa ketika, maka aku merayau sekali lagi ke Blog insan yang kupilih secara rawak, maka keenam – enam Bloggers yang ku pilih telah memberikan maklumbalas yang begitu baik, dan mampu membuatkan pengunjung dan pembaca tersenyum, kerana ada lima perkara paling penting yang aku perolehi:-

1 – Jalinan persahabatan yang semakin erat.
2 – Mampu menceriakan alam Blog itu sendiri.
3 – Kemungkinan besar ada persamaan sikap pelik itu antara satu sama lain.
4 – Ada yang kurang dalam perkara teknikal.
5 – Didalam dun-ya ini “bukan aku seorang sahaja yang ada sikap pelik”.

Keenam – enam insan yang kupilih adalah seperti dibawah dimana aku berikan secara ringkas:

1 – Qaseh – Membawakan tajuk: “Smart Tag”.
Tajuk kecilnya: (berangan / menangis / kuat makan / cepat terasa hati / suka berjalan bila … / garu kepala).

2 – Noushy – Membawakan tajuk: “6 weird habits…”
Tajuk kecilnya: passion / can’t sleep well without / No / “bitting and eat” / hate / slurppss).

3 – PU3salju – Membawakan tajuk: “meriahkan duniamu dan dunia semua”.
Tajuk kecilnya: (ekspressi / lupa dunia / cartoon / dua alam / princess / sahabat).

4 – Retna – Membawakan tajuk: “Taggie game in 2007”.
Tajuk kecilnya: (bunyi hon / kaler merah / tangan lelaki / suka berangan / muka comei / ulam etc).

5 – Kak Long – Membawakan tajuk: “Pelik tapi benar”.
Tajuk kecilnya: (touch N go / mengunyah waktu tidur / takut sesat / coklat / pantai / bunga).

6 – Nieys – Membawakan tajuk: “Enam”.
Tajuk kecilnya: (mudah berbual @ bisu / suka menghadap pc / tak suka memandu / berani tapi penakut / mudah ingat / tempat mengadu).

Dikesempatan ini, aku mengucapkan TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada mereka yang terplilih secara rawak, atas kesudian mereka untuk bersama – sama berkongsi sesuatu yang menyeronokkan dalam usaha untuk menjalinkan persahabatan yang lebih erat.

Setelah tamat usaha ini, aku menyangka, dunia “tag” ini telah tamat untuk musimnya, namun sangkaan ku jauh meleset. Kerana apabila aku “merayau” kembali kedun-ya Blog, aku tergamam sekali lagi. Kerana masih ada lagi insan yang sudi untuk meletakkan namaku dalam senarai “tag” mereka. Tapi kali ini bukan seorang, tetapi 4 orang. Mereka adalah – Farah, Ija, Umi Azrini dan Zara Juita (Umi dan Zara adalah novelis baru).

Seperti ayatku diatas, aku pasti setiap orang pasti ada lebih dari 6 perkara pelik yang ada pada mereka. Maka kali ini aku tambahkan lagi, 6 perkara pelik yang ada pada diriku.

Dan semoga 12 perkara pelik yang aku paparkan disini, akan menjadi penamat kepada dunia TAG, buat musim ini.

6 perkara pelik tentang diriku:

1 – (tanggal kasut). Sewaktu sedang duduk didalam pejabat (waktu menghadap pc), aku akan menanggalkan kasut dan meletakkan kedua – dua belah kakiku diatas cpu.

2 – (mata). Paling aku tak gemar bila aku sedang bercakap dengan seseorang, tapi matanya, memandang kearah lain, maka aku akan membalas kembali dengan cara, aku akan membaca suratkhabar atau apa sahaja bahan bacaan yang kubawa bersama, biar orang itu terasa. Lain kali bila aku bercakap tolong berikan tumpuan atau perhatian, kerana sikap aku, bila seseorang sedang bercakap aku akan memberikan tumpuan.

3 – (makan waktu berbual melalui telefon). Aku paling benci bila sewaktu seseorang itu bercakap melalui telefon dalam keadaan mulutnya sedang mengunyah makanan. Aku akan terus berkata “maaf ya, awak makan sampai habis dulu, kemudian call saya balik”.

4 – (miss call). Jangan harap aku akan menjawab atau menghubungi kembali pemanggil, sebab aku juga membayar bil telefon (kecuali panggilan dari ibu bapa / isteri atau Bos).

5 – (nombor rahsia). Aku selalu terlupa nombor rahsia laluan untuk membuka pintu pejabat, sedangkan cuma ada 4 digit sahaja.

6 – (sayur). Sewaktu makan, biar tiada lauk pauk, asalkan ada sayur – sayuran, aku boleh makan dengan selera, dan kalau ada ulam, maka aku boleh makan bertambah.


Maka itulah sahaja 6 perkara pelik tentang diriku, yang boleh dikongsi bersama.

Tamat PERMAINAN.

Semangat masih ada...

Dua minggu yang berlalu, benar – benar meletihkan, dan aku hampir hilang stamina. Pelbagai urusan yang perlu diselesaikan, dari yang wajib, harus, sunat. Semuanya memerlukan komitmen yang tinggi dan jitu. Dan minda terpaksa dikerahkan semaksimum mungkin.

Dari urusan pengendalian Kelab Peminat Novel ALAF 21 – ALAF21 FC, yang telahpun mengadakan majlis sambutan ulangtahun yang pertama, yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Mesyuarat JKKK kampong, yang telah mengadakan projek gotong royong dan pelbagai program kemasyarakatan, dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan. Mengadakan perlawanan futsal dan badminton, antara daerah Klang. Merancang program 50 tahun Masjid dikampongku, dengan pelbagai aktiviti. Akhirnya aku tersandar keletihan.

Ini belum “masuk senarai” penglibatan dan aktiviti dalam arena politik.

Hampir setiap minggu, aku berulang alik ke Taiping, untuk menziarahi dan memantau keadaan ayahandaku yang sedang uzur.

Tugasan dipejabat yang semakin bertambah, dan tidak menampakkan tanda akan berkurangan. Dan banyak waktu, dimana aku berada diluar kawasan. Inilah punca sebenar dimana aku tidak dapat mengemaskinikan Blog Abang Long.

Semuanya memerlukan sumber tenaga dan kekuatan minda yang tidak sedikit, malahan sering mencabar kesabaranku.

Ini tidak termasuk perkara – perkara yang kelihatan remeh, tetapi masih memerlukan kesungguhan dan kekuatan minda untuk mengatasinya.

Penglibatan aktif dalam urusan kemasyarakatan, ada ketikanya mengundang keresahan dijiwa isteriku. Aku yakin, isteriku juga kepenatan dan keletihan yang tidak terperi, selain dari bekerja, pulang sahaja kerumah, terpaksa menghantar dan mengambil anak – anak dari sekolah, dan mengatur seribu satu urusan rumahtangga, dan akan terus menjalankan tugas sebagai ibu dan isteri, hingga lewat malam.

Begitu juga waktu yang perlu aku peruntukkan untuk keluarga, untuk anak – anak yang mesti diberikan perhatian, begitu juga aku tidak boleh berlepas tangan dalam urusan rumahtangga, kerana aku yakin semua orang mafhum tentang tugas dan tanggungjawab seorang yang bernama – LELAKI, SUAMI, AYAH.

Bila ku kenang dan bila ku fikir – fikirkan, andainya situasi sebegini berterusan dan berlarutan, maka aku terpaksa membuat satu tindakan drastik. Aku perlu membuat keputusan untuk mengurangkan aktiviti luaran, samada tidak turut serta dalam program ataupun mengundurkan diri dari memegang apa – apa jawatan dalam mana – mana organisasi.

Ya, aku masih berkira – kira pada masa ini.