Tuesday, October 28, 2008

MERAWAT

SABAR. SETAN.


Terlalu mahal harga sebuah kesabaran. Pelbagai dugaan, pelbagai cabaran. Pelbagai rintangan. Pelbagai musibah datang bertali arus. Andainya tsunai hanya datang melanda sekali. Tetapi ujian ini datang berkali - kali.


Debaran didada umpama menantikan sepakan penalti. Gementar tubuh bagaikan kali pertama bersalam dengan Tok Kadhi.


Mudahnya mengucapkan perkataan sabar. Setelah bertahan selama 9 bulan. Aku tahu, kesabaranku sudah senipis kulit bawang. Iman oh Iman, dimanakah dikau ?


Jika aku terseksa selama ini. Aku tidak peduli. Andai aku terlontar kelembah kehinaan. Aku juga tidak kisah. Andai tidak ada seurat benang ditubuhku juga, Aku tidak ambil pusing.


Tetapi apabila anak isteriku turut merasai sama bahananya. Memang aku terasa darah Jebat sudah mula menyelinap kedalam tubuhku.


Butiran tasbih sudah kusam dek daki kulitku. Sejadah sudah bertukar alas kepada singlet koyak. As Syahid Hassan Al Banna sudah sebati dengan jiwaku.


Sebuah ayat yang diungkap oleh Dr. H.M. Tuah Iskandar Al Haj sewaktu menjamu selera tempohari masih terngiang dikelopak telingaku - "Abang Long kena bersabar, sekarang abang long sedang berperang bukan dengan prebet tapi sudah bertembung dengan Jenderal"


SABAR !
SETAN !!!.

Saturday, October 25, 2008

Rumah Terbuka ALAF 21

Jemputan Rumah Terbuka ALAF 21.


Baru - baru ini, aku menghadiri jemputan 'rumah terbuka' yang dianjurkan oleh ALAF 21 Sendirian Berhad. Di Shah Alam.


Benar - benar menggembirakan. Setelah berbulan - bulan lamanya tidak bertemu dengan novelis. Inilah majlis yang berupaya untuk mengumpulkan sebanyak mungkin novelis yang bernaung dibawah bumbung ALAF 21. Dari novelis yang telah menghasilkan karya lebih dari 10 buah novel, hinggalah novelis yang baru menghasilkan sebuah novel. Semuanya berkumpul untuk berhari raya, bermesra dan bermaaf - maafan.


Antara yang hadir ialah Ramlee Awang Murshid, Sri Diah, Anis Ayuni, Aisya Sofea, Dr. H.M. Tuah Iskandar Al Haj, Damya Hanna dan adiknya, Eka Fahara, Eyman Hykal, Lily Haslina Nasir, Lily Suriani, Meen Zulaikha, Durrah Fatiha, Murni Aqila, Bikash Nur Idris, Aleeya Aneesa, Aida Adirani, Rose Harissa, Hezzy Azra, Hani Fazuha, dan ramai lagi.


Namun, aku terlepas peluang untuk bertemu dengan seorang novelis tersohor iaitu Norzailina Nordin. Beliau merupakan seorang novelis dan selebriti chef yang terkenal. Dimana antara novel beliau yang 'ngetop' ialah - Impian Terindah, Menanti Kasih, Getaran Rindu dan banyak lagi. Selain dari itu, bagi penggemar masak - memasak atau yang gemar menyimpan atau memiliki koleksi buku masakan, maka boleh dapatkan hasil karya beliau di ALAF 21.


Yan paling mengujakan pada kali ini ialah, pihak ALAF 21 telah membawa lori cendol ke dalam kawasan premis. Sesuatu yang berjaya menarik perhatian para jemputan.


Alhamdulillah, walaupun aku tidak dapat menjamah makanan yang terhidang disebabkan masih berada dalam tempoh rawatan. Namun aku bersyukur kerana dapat menghadiri majlis tersebut. Dan paling menggembirakan, bilamana inilah kali pertama aku membawa kamera bersamaku. Untuk merakamkan detik - dteik indah 'bersamamu'. Terima kasih kepada adik iparku yang sudi meminjamkan kamera itu.


# Aku terlihat pemidang di simpang jalan utama ke rumahku, Jemputan Aidilfiitri pada - 10 hb November. Aku hanya tersenyum dan menggeleng kepala.

Sunday, October 19, 2008

Rencah RAYA

Kisah 1 - Bloggers tidak dikenali.


Sewaktu berkunjung dari rumah kerumah. Selain dari untuk menjalinkan silaturrahim, sambil menjamu selera. Sudah tentu pelbagai perkara dibualkan.

Antara yang aku tidak dapat lupakan ialah, bilamana seorang gadis yang bercerita tentang dunia blog. Beliau tidak mempunyai blog sendiri, tetapi sering mengunjungi blog - blog persendirian.

Yang menariknya, antara blog yang sering dikunjungi oleh si gadis ini ialah Blog Abang Long. Jadi sebagai pemilik blog ini, sudah tentu aku cuba 'mengorek' apa yang patut dan perlu. Untuk mengetahui sejauh mana pandangan orang yang tidak dikenali tentang tulisan di blog ini.

Aku hanya tersenyum, bila si gadis ini memberikan pendapat dan pandangan tentang tulisan di blog ini. Beriya benar si gadis menceritakan tentang blog ini. Apa - apapun, Alhamdulillah, aku bersyukur kerana si gadis ini memberikan pendapat yang jujur.

Kepada si gadis itu (maaf, aku tidak pula bertanya siapa namanya waktu itu). Masih ingat pertemuan di majlis jamuan hari raya, di rumah Wan Farid, Taman Sri Andalas, Klang ?

Andainya cik adik membaca tulisan ini, maka dimaklumkan bahawa, seorang lelaki yang membawa anak seramai 5 orang, itulah - Abang Long.



Kisah 2 - SMS Amaran.


Tiba - tiba sahaja, seorang sahabat mengirimkan sms. "Kenapa sudah lama tidak kemaskini blog, abang long sihatkah ?"

Bila ku buka, baru aku sedar, sudah lama aku tidak kemaskini blog, terlalu banyak yang hendak diceritakan. Terlalu banyak yang hendak dikongsi bersama.



Kisah 3 - BLOGGERS BERKUMPUL BERAYA.


Sudah ramai yang bertanya, kenapa tidak diadakan pertemuan hari raya diantara semua bloggers.

Aku sendiri tidak pasti siapa yang akan memulakannya. Yang pasti, pertemuan kecil - kecilan antara bloggers memang sudah berlangsung dimerata tempat.

Rasa teringin untuk melihat dan mengenali dengan lebih dekat, bloggers dan pemilik blog yang selama ini 'berselindung' disebalik pelbagai nama samaran.

Persoalannya ialah, siapa yang hendak mula ?

Wednesday, October 08, 2008

DUA MAJLIS SERENTAK.


Kahwin & Raya.


Hari ke 3 Syawal. Seluruh ahli keluarga, sebelah mertuaku. Telah berkunjung ke Kampong Paya Rumput, Melaka Bandaraya Bersejarah. Bagi menyempurnakan majlis pernikahan adik ipar.


Kami dari pihak pengantin lelaki, bersama rombongan telah bertolak dari Pelabuhan Klang, pukul 8.15 pagi, dan tiba di Melaka jam 10.00. Alhamdulillah, kami tiba tepat pada masa yang telah dijanjikan. Dan rupa - rupanya, pihak kami yang telah tiba terlebih dahulu. Namun, Syukur Alhamdulillah, perjalanan pergi begitu lancar.


Cuma, berdekatan dengan masjid dimana berlangsungnya upcara akad nikah itu, telah diadakan majlis rumah terbuka oleh Timbalan Menteri Pertahanan. Dan kebetulan, jalan disitu agak sempit. Jadi, kesesakan trafik sememangnya tidak dapat dielakkan.


Seperkara yang aku agak gembira, begitu juga dengan rombongan pengantin lelaki ialah, jurunikah yang ditugaskan, begitu 'mesra pelanggan'. Tok Kadhi benar - benar memahami konsep urusan nikah, dimana jurunikah telah memudahkan urusan pernikahan. Tidak ada khutbah panjang berjela - jela, tidak ada soalan bertubi - tubi, tidak ada perkara remeh temeh yang dibangkitkan.


Dan jurunikah juga kelihatan tenang dan bersahaja. Sempat bergurau dengan pengantin. Ini sebenarnya boleh menghilangkan perasaan gemuruh kepada pengantin yang akan melangsungkan upaca akad nikah.


Usai upacara akad nikah. Rombongan terus ke rumah pengantin perempuan. Untuk menyerahkan menyerahkan barang hantaran. Rumah yang terletak tidak jauh dari masjid juga memudahkan urusan perjalanan kami.


Majlis kenduri berlangsung keesokan harinya, iaitu pada hari Sabtu. Maka ruang masa yang begitu banyak, telah kami gunakan untuk 'menjelajah' kawasan sekitar Masjid Tanah, Alor Gajah dan menziarahi dua buah rumah saudara yang menetap di kampong Durian Daun.


Syukur Alhamdulillah. Majlis berlangsung dengan lancar dan meriah. Perjalanan pergi dan balik juga lancar.

# TAHNIAH buat pasangan pengantin - Kapt. Mus dan Kapt. Alin.

Monday, October 06, 2008

TANDA ARAS.

Semakin tua, semakin pantas.


Samada kita sedar ataupun tidak. Waktu atau saat yang kita lalui sekarang, terasa semakin pantas dan cepat berlalu. Sewaktu entri ini ditulis, kita telahpun memasuki hari ke 6 dalam bulan Syawal.


Terbayang sewaktu aku masih kecil, 20 atau 30 tahun yang lalu. Hendak menghabiskan satu hari dalam bulan puasa, terasa begitu lama. Malahan, kita dapat 'merasakan' saat dan detik yang dilalui begitu lama dan lambat.


Sekarang, aku perhatikan, sesuatu yang seperti 'tidak kena' telah berlaku. Dimana, anak - anakku berpuasa seperti didalam keadaan santai. Tidak kelihatan wajah sayu dan tubuh lembik, sewaktu menjalani ibadah puasa. Pejam, celik, berbuka dan bersahur. Habis bulan Ramadan.


Cuba kita renungkan sebentar. Aku 'tersedar' sesuatu. Bila anak - anakku berkata "abah, kenapa cepat sangat, baru tadi kita solat Zohor, sekarang sudah masuk waktu Asar?"


Tidakkah ini bertepatan dengan hadith Rasulullah, dimana Baginda pernah menyatakan bahawa, diakhir zaman kelak, masa dan waktu yang bergerak begitu pantas. Hingga kita tidak sedar waktu yang berlalu begitu sahaja.


DUNIA sudah terlalu tua. Semakin UZUR. Ini menandakan bahawa KIAMAT seperti yang kita semua maklum, sudah semakin hampir, malah terlalu hampir !


Walau apa pun yang berlaku. Walaupun mungkin ada yang kurang senang. Dikesempatan ini, aku sebagai seorang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, yang mempunyai tugas sebagai seorang MUSLIM. Dengan tenang, menyeru kepada pengunjung blog ini supaya, laksanakan tugas, tanggungjawab dan amanah sebagai KHALIFAH diatas muka bumi ini dengan sebaiknya.


BERSOLAT - JANGAN TINGGALKAN SOLAT. Ini adalah soalan PERTAMA akan ditanya di Padang Mahsyar kelak.

ADIL - Jangan kita bersikap ZALIM terhadap makhluk diatas muka bumi ini.

AURAT - Kepada sesiapa sahaja yang masih belum menutup aurat dengan sempurna. SEGERALAH menutup aurat anda. TAKUTLAH kepada Allah. Baca dan renunglah akan AMARAN dari Baginda, tentang azab kepada mereka yang tidak menutup aurat.


Yang penting, lakukan sebanyak mungkin amalan yang disuruh dalam agama dengan hati yang ikhlas - KERANA ALLAH.


# Kita kata, kita 'hendak' syurga Allah ...