Saturday, May 30, 2009

WALIMATUL URUS


Walimah.


Nikah dan walimah adalah wajib. Itulah pesanan para ulamak. Maka, insyaAllah, tidak berapa lama lagi, mertua aku sekali lagi akan mengadakan majlis itu. Tetapi kali ini adalah untuk anak yang terakhir, paling bongsu. Putera paling bongsu. Ini bermakna, sudah tidak ada lagi anaknya yang akan berkahwin. "Sudah habis" kata ibu ibu mertua aku dengan senyuman.


Tetapi tidak bermakna kenduri ini paling meriah. Malahan kenduri inilah yang paling kecil dan paling sederhana. Jemputannya juga adalah paling sedikit, jika tidak salah ingatan aku, kad kawin cuma dibuat dalam jumlah 250 orang jemputan sahaja.


Jimat kos. Itulah yang diperkatakan oleh seluruh ahli keluarga. Memang menjimatkan dari segala segi. Khemah hanya dua buah. Dibuat pada waktu malam. Dan tetamu jemputan hanya terdiri dari ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat sahaja.


Namun bagi aku. InsyaAllah, ianya tetap akan meriah. Kerana yang penting adalah mencari keberkatan dalam majlis yang diadakan.


Aku terfikir, selepas majlis kendiru ini, sudah tidak ada lagi majlis kenduri kahwin yang akan diadakan. Hanya menunggu 'pangkat' anak - anak dan anak saudara sahaja yang akan melangsungkan perkahwinan. Cuma, aku tidak dapat mengagak, anak 'siapakah' yang akan memecahkan 'rekod' terlebih dahulu.


Namun dalam perkiraan aku, hanya ada dua 'calon' yang paling hampir untuk menuju 'kearah' itu. Pertamanya, anak saudara perempuan aku yang berusia 14 tahun. Yang kedua, anak lelaki aku yang pertama, berusia 16 tahun, yang sekarang sedang menuntut disebuah tahfiz di Shah Alam.


Aku dan isteri aku hanya tertawa bila aku memperkatakan tentang perkara ini. Namun, satu hakikat yang tidak boleh dielakkan ialah. Bila seseorang itu 'mula menerima menantu' maka diwaktu itu, usia juga telah meningkat.


"Alamak bang ... waktu itu kita sudah tua ya?" Isteri aku bersenda.


Aku hanya menggeleng kepala tanda tidak bersetuju. "Siapa yang tua ... waktu itu ... abang masih belum tua lagi tau ... orang lelaki selepas umur 70 baru dikira tua."


Isteri aku mencebikkan bibirnya.


Hahahahaha ....

Friday, May 29, 2009

Dakwa atau Dakwah ?


Tabligh atau Terbalik ?


Sudah lama aku perhatikan tentang Jamaah Tabligh dan pengikut - pengikut Tabligh. Satu ketika dahulu, aku pernah mengikut perkumpulan ini, sewaktu di awal tahun 80'an. Di waktu itu terasa begitu indah hubungan ukhuwah sesama saudara seagama.


Kami menjalankan kerja - kerja dakwah. Itulah yang sering dilafazkan oleh anggota jemaah ini. Namun, seiring dengan perubahan zaman. Akhirnya aku dapati bahawa, jemaah tabligh ini juga tidak menepati seruan dakwah yang sebenar.


Jika ada pengunjung blog ini yang menjadi anggota jemaah tabligh. Aku berharap, agar apa yang aku perkatakan disini diambil perhatian dan silalah memberikan komen. Aku tidak bermaksud untuk berdebat. Tetapi cukuplah sekadar menasihati.


Telah berlaku beberapa kali, jemaah tabligh datang kerumah aku, dan mengajak aku ke masjid untuk menunaikan solat. Bukan hendak membanggakan diri. Tetapi, sudah menjadi kewajipan dan aku sedar tuntutan untuk menunaikan solat di masjid. Seandainya aku tidak di ajak oleh jemaah ini pun, InsyaAllah, aku akan pergi ke masjid. Namun, pada ketika itu, aku tidak mahu berhujah. Aku lantas mengikut mereka, dengan berjalan beramai - ramai.


Sewaktu tiba di hadapan sebuah restoran. Waktu itu pukul 7.15 petang, dan beberapa ketika lagi akan masuk waktu Maghrib. Aku melihat begitu ramai orang di dalamnya. Aku pasti kesemua pelanggan terdiri dari orang Melayu yang beragama Islam.


Lantas apa yang aku rancangkan, kini telah berada dihadapan mata. Aku berhenti berjalan. Dan aku menegur jemaah tabligh yang seramai 6 orang itu. Lalu aku berkata "Saudara sekalian sering menyatakan bahawa jemaah tabligh berusaha untuk menyampaikan seruan dakwah, amar makruf, sekarang saya mahu saudara sekalian untuk masuk ke dalam restoran itu dan mengajak pelanggan didalamnya untuk segera mengikut kita untuk turut sama berjemaah solat Maghrib di masjid."


Hendak tahu apa yang berlaku ?


Kesemua ahli jemaah itu berpandangan antara satu sama lain. Tidak ada seorang pun yang berani menyahut cabaran aku !


Lalu, seorang dari ahli jemaah itu menasihati aku untuk meneruskan perjalanan ke masjid, kerana katanya, ada 'puak - puak dalam Islam' yang memang sukar untuk didakwahkan ! Jadi, lebih baik kita mengambil sikap 'berlembut' dengan mereka dan mendoakan supaya terbuka pintu keinsafan.


Dengan tegas aku berkata "Maknanya, sekarang sudah jelas, saudara sekalian tidak menunaikan prinsip dakwah yang sebenar .... dimanakah AMAR MAKRUF & NAHI MUNGKAR?"


Aku terus menyambung "Saudara sekalian, hanya mempelawa orang yang sudah biasa ke masjid, tetapi saudara takut dan pengecut untuk mempelawa orang yang tidak pernah menjejakkan kaki ke masjid ... selama ini ... begitu ramai orang yang bersembang di tepi jalan ... bila masuk waktu solat ... tidak kelihatan jemaah saudara menegur orang terbabit."


Dan aku terus berjalan seorang diri, meninggalkan jemaah tabligh yang seakan - akan terkelu lidah dengan sikap aku yang tegas.


Bersambung ...

Tuesday, May 26, 2009

KISAH SEKS (3) TEGANG dikendurkan.


SPERMA.


Kalau aku tidak bercakap atau menulis sekalipun, hampir semua orang tahu dan mengambil tahu dan mahu tahu. Dan ianya membababitkan setiap manusia.


Sperma. Itulah asal kejadian manusia sesudah pembentukan Nabi Adam dan Hawa.


Kenapa, tiba - tiba sahaja aku menulis tentang benda itu ?


Bila sebut tentang sperma. Hampir pasti ianya melibatkan persoalan tentang seks. Baru - baru ini, aku mendapat limpahan maklumat tentang sperma.


Tetapi yang paling menarik sekali ialah tentang keadaan sperma yang telah matang. Dimana, ianya akan menyebabkan tindakbalas yang agresif dari seorang lelaki.


Baiklah, aku tidak mahu menulis secara panjang lebar atau secara ilmiah. Pengunjung boleh memperolehi maklumat tentang sperma dan persoalan seks dari pelbagai sumber.


Yang ingin aku utarakan disini ialah dari satu sudut pandangan sisi, yang jarang diambil kisah khususnya oleh kaum wanita atau lebih tepat lagi kurang diambil perhatian yang serius oleh seorang yang bertaraf isteri.


Dari pengalaman aku bergaul dengan pelbagai lapisan umur masyarakat. Aku dapati, ramai lelaki yang seperti tidak merasa puas dengan layanan isteri.


HARAP AMBIL PERHATIAN. Entri ini adalah sebagai panduan dan hasil pemerhatian sahaja. Bagi para isteri, entri ini adalah sebagai nasihat sahaja. Bukan untuk mencari salah silap sesiapapun.


Ada ketikanya si suami marah - marah, ada ketikanya si suami seperti tidak mahu mendengar kata isteri, ada ketika si suami seperti seorang yang terlalu bengis, ada ketikanya si suami seperti kurang memberikan perhatian kepada tugasnya dirumah.


Semua itu adalah (antara) petunjuk, dimana sperma atau air mani suami sudah mencapai tahap dimana, sperma didalam dirinya sudah mencapai tahap matang. Dalam erti kata mudah dan paling senang untuk aku kata ialah. Sperma atau air mani itu perlu dikeluarkan. Maaf, aku harap aku tidak menggunakan perkataan yang lucah.


Bayangkan, jika mengikut kaedah biologi. Sperma atau air mani akan matang dalam tempoh 4 hari sahaja. Dan cuba bayangkan, seandainya seorang lelaki atau suami itu tidak mendapat kesempatan untuk melunaskan tuntutan biologinya ? Apa yang akan berlaku ?


Zaman ini, dengan pergaulan bebas, dengan cara pemakaian gadis, perempuan dan wanita yang sememangnya boleh membangkitkan perasaan berahi kepada orang lelaki. Apabila tiba waktunya, maka seorang lelaki itu akan menggunakan pelbagai kaedah untuk 'melegakan' perasaannya.


Dan amat rugi, seandainya perkara seperti ini terlepas pandang oleh para isteri. Bagi pihak lelaki, aku memohon supaya kaum wanita tidak memandang sepi akan perkara seperti ini. Seandainya para isteri boleh memahami dan mengetahui akan perubahan suami, maka seeloknya, lakukan sesuatu supaya suami merasa 'lega' dan kurang tekanan biologinya.


Ada yang bertanya, bagaimana seandainya si isteri dalam keadaan haid ? Dalam perkara ini, aku yakin dan pasti, seorang wanita atau isteri itu lebih mengetahui dan memahami, ada pelbagai cara untuk mengatasinya.


Biar aku bercakap tanpa tapisan. Seorang suami yang sudah tidak tertahan dengan tuntutan nafsunya, maka suami boleh melakukan melalui 2 cara. Pertama, suami boleh sahaja berpuasa. Kedua, mengeluarkan air mani dengan cara tersendiri. Tetapi perlu diingat. Perbuatan melancap, hukumnya adalah HARAM !


Tetapi seandainya air mani suami keluar dengan daya usaha dari isteri sendiri. Maka isteri mendapat PAHALA.


Perlu diingat. Urusan ini adalah berkait rapat dengan urusan agama. Pernah berlaku dimana Rasulullah telah terpandang wanita, dan Baginda merasa tidak tenteram. Setibanya di rumah, isterinya, iaitu Ruqayah sedang mengangkat bekalan diluar rumah. Lalu diajak oleh Baginda ke dalam rumah. Maka, Baginda telah menyempurnakan salah satu hukum tabie yang mendesak. Setelah selesai 'urusan itu' lalu baginda keluar dan menyatakan kepada para sahabat.


"Bahawasanya isterimu adalah seperti wanita diluar sana, seandainya kamu merasa suatu keperluan, maka 'datangilah' isterimu." Begitu indah urusan dan tuntutan agama diselesaikan.


Jadi, kepada para isteri yang membaca entri ini. ANDA lebih BIJAK untuk mengendalikan urusan sebegini. Jangan biarkan sehingga suami meronta - ronta dan berkata "Ah... air sudah naik kepala!"

Monday, May 25, 2009

SALURAN TV FANATIK


TV Berpecah.


1 TV. 5 saluran SAHAJA. 14 mata.


Bila anak - anak semakin membesar. Aku sudah dapat mengagak. Siaran televisyen pasti akan menjadi rebutan. Ada yang fanatik kepada siaran bola. Ada yang minat menonton filem inggeris dan yang pasti si ibu mahu menonton filem Melayu.


Sebagai ayah, selalunya aku mengalah. Laipun aku lebih suka menghadap buku atau bahan bacaan. Entah kenapa, sudah beberapa tahun kebelakangan ini aku agak malas untuk menonton tv.


Aku merasakan bahawa aku tidak mendapat faedah langsung dari menonton tv. Hatta, siaran berita pun aku hanya akan buka mengikut mood. Rasanya kalau aku tidak menonton langsung pun, aku tidak akan rugi apa - apa.


Berbalik kepada kisah anak - anak. Maklumlah, aku mempunyai ramai anak lelaki. Jadi, kesukaan kepada perlawanan bolasepak sudah menjadi lumrah. Inilah punca terjadinya 'pergaduhan' antara anak - anak dan si emak (aku hanya menjadi pemerhati dan tersenyum).


Bila bertembung antara perlawanan siaran langsung dan rancangan lain. Maka ada ketikanya anak - anak akan masuk bilik dan merajuk @ marah. Sebab, ada ketikanya si ibu menggunakan kuasa 'veto.'


Satu hari, tiba - tiba sahaja hati aku menjadi sayu dan kasihan. Bila isteri aku memujuk rayu, menggoda dan membelai aku. "Abang, bila Abang sudah mendapat kerja nanti, Abang belikan sayang sebuah tv ya ... yang kecil pun kira ok ... letak dalam bilik tidur... " Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Tidak mampu lagi untuk berbicara bila berhadapan dengan godaan sebegitu.

Wednesday, May 20, 2009

MENYESAL DIDUNIA


Menangis dalam majlis ILMU.


Semalam, aku berkesempatan menghadiri sebuah majlis ilmu di sebuah pusat pengajian ilmu - ilmu asas dalam Islam. Mengikut kaedah syarak.


Dalam keuzuran dan rasa resah yang teramat sangat. Aku terpaksa menaiki tangga ke tingkat satu.


Begitu ramai umat Islam kini yang cintakan dan dahagakan ilmu yang sebenar mengikut ajaran Rasulullah hi sallallahu 'alaihiwassalam.


Syarahan yang disampaikan benar - benar menginsafkan. Terasa benar aku masih tidak cukup bekalan untuk dibawa ke alam akhirat.


Rasa gerun bila mengingati tentang pahala dan dosa.


Penceramah mengingatkan tentang kisah bagaimana seorang pelajar telah bertanya kepada seorang ulamak hebat iaitu Almarhum Ayatullah Muhammad Taqi Behjad. Dimana soalan itu berbunyi "tolong berikan aku amalan yang terbaik untuk aku amalkan didunia ini."


Dan soalan itu telah ditanya sebanyak 3 kali. Dengan wajah suci seorang ulamak besar. Ayatullah Muhammad Taqi Behjad menjawab dengan tegas - "JAGALAH SOLAT."


Hari ini, kedapatan begitu ramai umat Islam yang meremehkan urusan solat. Sedangkan Nabi Muhammad disaat - saat akhir sebelum menghembuskan nafasnya yang akhir juga menyebut dan menekankan tentang SOLAT.


Soalan pertama yang akan ditanya di alam akhirat kelak ialah SOLAT. Selepas itu barulah masuk bab - bab lain. Seandainya bab SOLAT kita tidak lepas, bagaimanakah agaknya kedudukan kita di alam akhirat.


Kelihatan begitu ramai yang tidak dapat menahan air mata dari mengalir. Bila penceramah mengingatkan tentang amalan kita sekarang. Kita sering meminta dari Allah. "Ya Allah, masukkanlah aku kedalam golongan orang yang akan dimasukkan kedalam syurgaMU."


Tetapi persoalan paling utama ialah. Adakah amalan kita menjurus kearah itu ? Sedangkan amalan paling utama dan paling asas iaitu SOLAT kita sanggup remehkan.


Ada 24 jam, dalam satu hari satu malam. Persoalan paling baik untuk kita tanya pada diri kita ialah.


Berapa jamkah, atau berapa minitkah, atau berapa SAAT kah kita rapatkan dan kita letakkan dahi kita mencecah bumi untuk sujud kepada Allah ?


Diandaikan kita sujud sebanyak 17 kali. (Mengikut kiraan rakaat solat yang wajib). Dan setiap sujud kita ambil masa selama 1 minit. Bermakna dalam tempoh 24 jam, kita hanya sujud kepada Allah selama 17 MINIT SAHAJA.


Aku hanya mampu menahan sebak.

Monday, May 18, 2009

Majlis Bersama LIZA ZAHIRA


Bersama Novelis Liza Zahira dan blogawan.


Dengan menunggang motor kapcai buruk. Aku menghala ke arah Shah Alam. Destinasi tujuan ialah ke SACC Mall, bersebelahan dengan Kompleks PKNS.


Aturcara majlis bermula pada jam 11.00 pagi. Alhamdulillah, aku sudah tiba pada pukul 10.39 pagi. Maklumlah, rasa teruja sangat hendak menghadiri majlis penyampaian hadiah dan bertemu dengan para blogawan.


Tetapi, aku bukanlah salah seorang pemenang.


Majlis berlangsung di sebuah restoran terkemuka di Shah Alam, iaitu Restoran Asiari.


Di majlis itu. Aku telah bertemu buat kali kedua dengan - Akimsensei. Mental mesti kuat. Itu adalah kata keramat dari beliau. Berkulit hitam manis dan berkaca mata.


Sudah lama bertegur sapa, akhirnya aku dapat juga bertemu dengan - IronLady (ops, MAAF), bukan IronLady tetapi KakLady. Bila aku lihat nama sebenar dan umur beliau. Memang benar seperti kata beberapa orang blogawan didalam blog masing - masing sebelum ini. KakLady atau aNIe kelihatan jauh lebih muda dari usianya yang sebenar. Seorang yang ceria. Dan aNIE juga membawa anak kecilnya sekali.


Puan Zarina, ini adalah antara penulis blog yang aku sayang. Bukan cinta, tapi sayang sebagai seorang sahabat. Beliau membawa bersama suami dan anak - anaknya. Aku rasa geram melihat anaknya yang paling kecil - Alisha. Aku geram dengan lasak dan keletahnya. Rasa hendak mendukung si kecil itu, tetapi keadaan kesihatan aku tidak mengizinkan. Jadi aku hanya dapat memandang Alisha dengan perasaan sayang.


Terima kasih Ina, kerana membawa kek. Dan paling ISTIMEWA sebab, Ina memberikan coklat khas untuk aku. Buat pengetahuan Ina. Abang long memang HANTU COKLAT !!!!! Setakat ini, coklat paling sedap yang Abang long tahu ialah keluaran Patchi, keluaran negara Lebanon.


Komen jujur dari Abang long. Abang long yakin, Ina mampu dan boleh membuat kek dengan lebih sedap. Walaupun kek yang dibawa semalam kelihatan cair. Tetapi dari segi ramuan dan bahannya, rasa sudah sebati. Campuran kek dan coklat terasa kena. Wahai Ina. Abang long cadangkan supaya berguru dengan Chef Norzailina Nordin.


Aku juga bertemu dengan satu - satunya penulis blog yang bergelar Pokcik Mersik. Memang betul, dari apa yang aku tahu, tiada seorang pun penulis blog di dunia ini yang bertaraf Pokcik, melainkan Pocik Mersik.


Rasanya. Penulis blog perlu mengadakan pertemuan atau perjumpaan sekerap mungkin, supaya rasa sayang dan ukhuwah sesama saudara Islam terjalin mesra.


TERIMA KASIH. KHAS buat Novelis Liza Zahira, kerana sudi menjemput Abang long dan Kelab Peminat Novel ALAF 21. Dan TERIMA KASIH kepada semua, kerana sudi menghadiri majlis ini.

Thursday, May 14, 2009

DUA JENIS PEMBACA


Merangsang MINDA. Merangsang Syahwat.


Sudah lama aku perhatikan lambakan buku - buku, novel dan majalah yang ada di negara kita. Aku dapati ada dua kategori. Sebenarnya boleh dibahagikan kepada berpuluh kategori. Tetapi, aku sengaja membahagikan kepada hanya dua kategori.


Pertama, bahan bacaan yang boleh meranngsang MINDA. Dan kedua, bahan bacaan yang boleh meransang Syahwat.


Cuba perhatikan telatah atau perlakuan bakal pembeli kedua - dua jenis bacaan ini. Andainya si pembeli hendak membeli bahan bacaan yang meransang MINDA. Maka cuba perhatikan gaya, bahasa badan, lenggok kepala sewaktu membaca dan sebagainya. Dan dengan gaya seperti seorang yang 'terpelajar' maka si pembeli ini dengan bersopan meletakkan bahan bacaan yang hendak dibeli di atas meja kaunter dan seterusnya menghulurkan wang.


Dan ... cuba perhatikan pula kelibat dan keletah bakal pembeli bahan bacaan yang merangsang Nafsu dan Syahwat. Mereka akan memerhatikan keadaan sekeliling terlebih dahulu. Aku kerap memerhatikan kelakuan beberapa orang pelajar lelaki (berpakaian sekolah menengah tetapi hendak membeli novel picisan yang bertajuk 'Aku dahagakan sentuhan seorang lelaki,' mereka ini seperti 'kelemasan' dan kerimasan' ) sewaktu hendak membeli.


Pernah aku dengan bersahaja mempelawa dua orang pelajar lelaki untuk minum ABC di sebuah restoran. Setelah aku nyatakan hasrat beserta pujukan untuk mengenali lebih rapat dengan mereka.


Antara rumusan yang aku perolehi, kenapa mereka suka membeli bahan sedemikian ialah:


1 - Cerita yang merangsang nafsu.
2 - Terdapat gambar erotik. (Gambar wanita yang hanya menutup bahagian tertentu sahaja).
3 - Terdapat lakaran secara terperinci bahagian alat sulit.


Keputusan akhir. Bila aku tanya. Dan mereka menjawab secara jujur dan berani. "Kesudahannya, apa yang kamu akan buat, bila nafsu sudah menjalar kedalam tubuh kamu?"


Kedua - dua orang pelajar ini dengan tersenyum, menjawab "Nak buat apa lagi .... kami melancaplah ! Baru rasa lega !"


Aku hanya memandang mereka dengan terkebil - kebil. Maaf, fikiran aku sudah buntu untuk menyelesaikan persoalan ini. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa. Aku hanya mampu memberikan nasihat. Aku bukannya seorang Pakar Motivasi apatah lagi Pakar Biologi.


Yang penting ialah, kita sebagai ibu bapa mesti mengambil satu sikap yang jelas. Iaitu, kita wajib mendidik anak - anak supaya menyayangi dan mencintai bahan bacaan yang MERANGSANG MINDA.


Cukuplah. Cukuplah. Cukuplah dengan segala gejala soSIAL yang melanda negara ini !

Tuesday, May 12, 2009

AURA MINDA


AURA.


Diantara tempat yang aku rasa cukup selesa, tenang dan santai ialah bila berada didalam perpustakaan. Eh, sudah lama tidak kedengaran orang ramai menggunakan perkataan KUTUB KHANAH. Aku pun tidak tahu, sejak bila aku mula menggunakan perkataan perpustakaan bagi menggantikan perkataan kutub khanah.


Bila berada didalam perpustakaan ataupun bilik yang dipenuhi buku ataupun kawasan yang lapang dan dikelilingi buku. Aku merasakan bahawa, aku seperti seorang yang mempunyai darjat yang tinggi dan berilmu.


Bukan hendak membanggakan diri. Tetapi itulah hakikatnya. Aku merasakan terdapat satu perasaan halus, dimana aku seolah - olah seorang yang mempunyai banyak ilmu. Dimana, dengan membaca buku, aku dapat mengasingkan diri dari dunia luar yang hiruk pikuk. Dapat membuat keputusan dan dapat membuat perancangan dengan lebih baik.


Dan terdapat satu perasaan puas, bangga, seronok, tenang dan pelbagai perasaan yang positif bila aku berada dikawasan yang dilimpahi dengan buku. Walaupun hakikatnya, tidak semua buku yang ada didalam perpustakaan telah dibaca.


Baru - baru ini. Aku telah berkesempatan untuk pergi ke Pejabat ALAF 21 Sendirian Berhad. Pengeluar dan penerbit novel bermutu. Dimana aku mempunyai beberapa urusan penting yang perlu diselesaikan. Aku memandang pada rak buku. Sekali lagi aku dapat merasakan ketenangan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata - kata. Walaupun hampir kesemua bahan bacaan yang terdapat di kedai itu telah kubaca. Namun, bila melihat susunan buku, novel dan lain - lain bahan bacaan. Hati aku merasa tenang, lega dan santai sekali.


Aku tidak pasti, adakah ini yang dinamakan sebgai AURA ?


Dan seandainya AURA ini suatu yang positif didalam minda dan tubuh seorang manusia. Maka, bagi aku, memang wajar dan merupakan satu keperluan bagi setiap kita untuk mengadakan sebuah perpustakaan tidak kira kecil atau besar didalam rumah.


Fikir - fikirkanlah.

Tuesday, May 05, 2009

PICIT LOCENG !

Picit loceng.


Aku sedang duduk bersantai dihadapan rumah saudara aku di Subang. Tiba - tiba lalu sebuah bas mini. Dan bas mini itu berhenti betul - betul dihadapan rumah saudara aku. Turunlah seorang pakcik tua dengan bertongkat.


Lantas aku bertanya kepada saudara aku yang sedang bersantai bersama aku. "Eh, Izan, bas mini lalu sini kah?" dan Izan mengagguk sambil menghirup kopi panas.


Sejurus kemudian, anak - anak aku yang teruja melihat bas mini itu. Terus datang menceritakan tentang bas mini itu. Maklumlah, aku rasa selama ini, anak - anak aku tidak pernah menaiki bas mini. Mereka hanya tahu menaiki kereta, bas ekspress dan keretapi.


Lalu anak - anak aku memujuk aku untuk merasa pengalaman menaiki bas. Tapi sememangnya aku malas. Anak - anak aku terus memujuk, tiba - tiba saudara aku memberikan persetujuan untuk membawa anak - anak aku 'meronda' dengan menaiki bas mini. Apalagi, riuh rendah suasana riang ria kerana ada orang hendak belanja naik bas mini.


Tidak sampai beberapa minit sahaja. Semuanya sudah bersiap sedia untuk menaiki bas mini. Dan lebih kurang 10 minit menunggu, akhirnya tibalah bas mini itu dihadapan rumah. Aku dengar riuh rendah dalam bas mini itu. Maklumlah, semuanya ada seramai 11 orang kanak - kanak didalamnya.


Aku menjerit kepada saudara aku "jaga mereka baik - baik, jangan ada yang lari keluar dari bas!"


Aku hanya tersenyum memandang bas mini yang berlalu pergi. Biarlah anak - anak mendapat pengalaman baru dalam hidup mereka. Aku sudah puas dan sudah 'serik' menaiki bas mini.

Saturday, May 02, 2009

Corat - coret Pesta Buku (5)


Beli sekali, Baca berkali - kali.


Sila pergi ke Pesta Buku. Dan kita akan mengetahui, hebatnya rakyat Malaysia. Dari luar bangunan PWTC sudah memberikan isyarat. Kenderaan bersesak - sesak. Lalulintas sememangnya terganggu. Begitu ramai manusia yang menuju ke PWTC.


Bila masuk sahaja kedalam bangunan PWTC. Tidak kira dari pintu mana sekalipun. Kita terpaksa menyertai 'lautan manusia.' Pergerakan manusia begitu perlahan. Tidak ada ruang yang kosong.


Seketika aku terfikir. Tidakkah kerajaan terfikir untuk melakukan sesuatu untuk kepentingan dan keselesaan rakyat ?


Kenapa tidak dibina sebuah bangunan yang besar. Dimana segala macam projek ataupun pameran mahupun program besar seperti pesta buku ini dilakukan didalamnya. Biar rakyat merasa selesa untuk membeli dan melakukan pelbagai aktiviti.


Aku merasa kasihan dengan orang ramai yang terpaksa berhimpit - himpit dan bersesak - sesak sewaktu hendak membeli buku sewaktu pesta buku tempohari. Tidak ada langsung keselesaan kepada rakyat.


Orang ramai seperti tidak mahu melepaskan peluang yang datang sekali dalam setahun. Untuk mendapatkan buku, novel dan segala macam bahan bacaan yang dijual dengan harga diskaun yang begitu menarik.


Beberapa orang sahabat yang aku temui, dengan bangganya menyatakan bahawa mereka telah menghabiskan diantara RM50.00 hingga RM2,000. Semata - mata untuk membeli buku. Ini satu perkara yang baik.


Bila aku tanya "banyak betul memborong buku, bila hendak habis membaca?"


Dengan bersahaja sahabat aku menjawab "mungkin sampai tahun hadapan."


Kiraan mudahnya, kalau dia membaca satu buku sebulan, bermakna dia akan membaca 12 buku untuk setahun. Tetapi bagaimana kalau dia membeli 20 atau 30 atau 40 buah buku ?


Lalu aku terkenangkan sesuatu. Ya, ayahku pernah membelikan aku sebuah buku sewaktu aku masih kecil. Buku itu bertajuk - Tenggelamnya kapal Van der wijck, karangan HAMKA. Hingga kini, aku tidak tahu entah sudah berapa puluh kali aku membacanya. Hingga buku itu lusuh dan terkoyak lalu tertanggal dari kulitnya.


Sekarang, aku belum lagi mendapati sebuah buku atau hasil karya dari mana - mana novelis yang boleh menandingi HAMKA.


Sejujurnya, aku tidak pernah membaca sebuah novel lebih dari sekali, kecuali 2 buah novel. Iaitu - Tenggelamnya kapal Van der wijck dan Hikayat Merong Mahawangsa.


Tidakkah novelis yang ada pada hari ini merasa perlu melakukan sesuatu supaya hasil karya mereka sentiasa - EVERGREEN ?

Thursday, April 30, 2009

Corat - coret Pesta Buku (4)


"Kami pun penat beratur !"


Sewaktu pesta buku tempohari. Ada satu kejadian yang agak mengaibkan telah berlaku dihadapan mata aku sendiri.


# Foto disebelah ialah pertunjukan oleh kanak - kanak sewaktu PBAKL 2009.


Dimana, sewaktu aku berbaris untuk membayar di salah sebuah kaunter pembayaran. Lalu seorang wanita mengandung sambil memegang buku - buku yang hendak dibeli. Pada mulanya, si wanita ini seperti tidak keruan, maklumlah semua kaunter penuh sesak dengan orang ramai yang beratur panjang.


Tiba - tiba, salah seorang kerani kaunter menggamit tangan ke arah wanita ini. Mungkin keranai kaunter itu memahami perasaan wanita itu untuk membayar dan beratur panjang dan dalam keadaan kepayahan.


Tiba - tiba seorang gadis dengan bersahaja telah berkata "Hoi ... kami pun letih juga beratur!"


Si wanita itu agak tergamam, lalu berhenti dari bergerak. Mungkin disebabkan perasaan bersalah. Namun, Alhamdulillah, sikap spontan orang ramai yang turut beratur telah berkata "Tak apa, biarkan dia .... awak pergi bayar dulu."


Usai membayar, si wanita itu dengan senyuman dibibir mengucapkan terima kasih.


Aku perhatikan, ramai yang memerhatikan gelagat si gadis yang mengucapkan kata - kata kurang sopan itu. Namun, tidak lama kemudian, mungkin terasa malu yang amat sangat dengan perbuatannya itu. Si gadis itu terus sahaja keluar dari barisan dan berlalu pergi dari situ.


Bagi aku, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku. Kita perlu memahami perasaan dan tanggungjawab dalam masyarakat. Berilah keutamaan kepada anak kecil, wanita mengandung, OKU dan mereka yang terdesak dan sakit.

Wednesday, April 29, 2009

Corat - coret Pesta Buku (3)


Kak Sharah. Buku Prima.


Setiap kali bertemu. Pasti ada sahaja yang kami akan bualkan. Kami akan bercerita mengenai novel, tanpa sebarang tapisan. Kami akan bincangkan mengenai pelbagai topik. Tetapi yang paling aku suka dengan insan yang seorang ini adalah, sikapnya yang begitu terbuka. Sedia menerima kritikan. Malah tidak keterlaluan, aku merasakan bahawa aku dan Kak Sharah adalah umpama - adik dan kakak.


Beliau adalah pembaca novel, peminat novel, penerbit novel dan pengurus besar BUKU PRIMA. Walaupun baru dua tahun berada di persada perbukuan. Namun, beliau adalah wanita yang cekal mengharungi badai. Mampu membawa novel terbitan Buku Prima setanding dengan ALAF 21, Creative Ent, KarnaDya dan lain - lain penerbit.


Antara yang membanggakan ialah Kak Sharah mampu bercerita tentang setiap novel yang dicetak dan diterbitkan oleh Buku Prima.


Setiap pengunjung pasti akan teruja dengan sikap ramah mesra Kak Sharah. Beliau bukan sekadar mempromosikan buku atau novel terbitan Buku Prima, malah mampu bercerita tentang kelebihan setiap novel.


Wajahnya kelihatan penuh ceria dan penuh keyakinan untuk memajukan syarikat Buku Prima, yang merupakan salah satu daripada anak syarikat Karangkraf Sendirian Berhad.


Apa yang pasti. Aku yakin Kak Sharah mampu membawa Buku PRIMA melangkah lebih jauh ke arah kecemerlangan.

Tuesday, April 28, 2009

Corat - coret Pesta Buku (2)


PENGHORMATAN.


Dikesempatan ini. Aku ingin mengucapkan TERIMA KASIH yang tidak terhingga buat - Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid. Atas anugerah sebagai rakan sekutu didalam kelab.


Aku agak tergamam, apabila diberikan kad tanda nama dan sekeping lencana pengenalan kelab tersebut.


Ini merupakan penghormatan buat diriku selaku Presiden Kelab Peminat Novel ALAF 21.


Dikesempatan ini aku mengucapkan ribuan terima kasih atas sambuatan yang diberikan oleh RAM FAN CLUB. Dan pada pesta buku kali ini juga, telah mempertemukan aku dengan Presiden Kelab RAM iaitu Saudara Suhaimi, yang lebih dikenali sebagai - Mielong. Aku memohon maaf kepada Saudara Mielong, kerana tidak dapat meluangkan masa untuk berinteraksi pada Pesta Buku ini.


Juga setelah hampir setahun tidak bersua dengan seorang insan yang banyak membantu ALAF 21 FC, dimana beliau adalah penggerak utama program PasiNo. Seorang insan yang banyak memberikan motivasi kepada aku, walaupun usianya jauh lebih muda dari aku, beliau ialah Saudara Zaifulizan atau lebih dikenali sebagai AttoKz dikalangan - Geng Jurnal.


Aku pasti tersenyum setiap kali bertemu dengan gadis berhati waja didalam Kelab RAM ini. Kerana bagi diri aku, beliau adalah diantara pencetus kepada tertubuhnya Kelab RAM. Dan jangan terkejut andainya aku begitu mesra dengan si gadis ini. Beliau lebih dikenali sebagai - Elle 'Darling.' Dan jangan ada sesiapa yang mahu membuat gossip. Kerana aku lebih selesa memanggil beliau dengan panggilan - Darling.


Sekali lagi aku terkedu dengan pelawaan Darling. Dimana beliau dan geng Kelab RAM telah mempelawa aku untuk minum dan bersantai di sebuah restoran terkenal. Namun, seperti yang telah aku maklumkan kepada mereka, aku tidak mempunyai banyak pilihan untuk menjamu selera. Atas faktor kesihatan.


Aku sempat beramah mesra dengan mereka. Dan bayangkan aku dikelilingi oleh jelitawan Kelab RAM. Hanya aku dan anak bujang Ramlee Awang Murshid sahaja lelaki.


Namun, dikesempatan ini, aku memohon maaf. Kerana aku tidak dapat mengingati nama - nama jelitawan - jelitawan itu. Apa pun, aku ucapkan terima kasih kerana sudi berbual mesra dan berkongsi pandangan dalam pelbagai perkara.


Akhir kalam. Aku merakamkan ucapan TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada Saudara Ramlee Awang Murshid yang sentiasa bertanya khabar keadaan diri aku. Juga kepada Kelab RAM yang sentiasa terbuka untuk menjalinkan hubungan ukhuwah dengan Kelab Peminat Novel ALAF 21 - ALAF 21 FC.

Monday, April 27, 2009

Corat - coret Pesta Buku (1)

HATRIK !!!



# Foto disebelah: Antara ahli - Kelab Peminat Novel ALAF 21.


InsyaAllah, atas permintaan dari rakan blogawan yang aku temui di pesta buku. Aku akan melakukan 'hatrik' dengan menulis sebanyak mungkin cerita dan gambaran apa yang berlaku sepanjang pesta buku berlangsung.


Aku dapati, ada dua soalan yang paling utama yang diberikan oleh rakan, sahabat dan blogawan yang aku temui. Soalan pertama berbunyi "Abang long sudah sihat?" dan soalan kedua berbunyi "Kenapa Abang long tidak menulis novel?"


Soalan pertama, aku boleh jawab "Alhamdulillah, Abang long sudah beransur pulih."


Tetapi untuk jawapan kedua, yang pasti aku lebih banyak tersenyum.


Kenapa 'hatrik?'


Sebab, dalam sejarah aku menulis didalam blog, aku tidak pernah menulis entri setiap hari. Tetapi, kali ini aku akan lakukannya. Dan membawa tajuk yang sama iaitu - 'Corat - coret Pesta Buku.'


Selamat membaca.

Tuesday, April 21, 2009

MARILAH BERPESTA !!!

PESTA ILMU - SATU TAHUN SATU KALI SAHAJA.




Kepada anda semua. Sambutlah HARI RAYA ILMU. Yang diadakan satu kali dalam satu tahun. Jangan lepaskan peluang ini.


Bukan mudah untuk mendapatkan bahan bacaan yang pelbagai dalam satu bangunan, didalam satu kawasan, dan seluruh penerbit yang menyertai pesta ini, bermurah hati memberikan pelbagai diskaun dan harga menarik untuk setiap produk buku yang dijual.


Kini, anda bukan sahaja berpeluang membeli buku dengan harga menarik, malahan ada penerbit yang memberikan 'harga runtuh' bagi hasil terbitan mereka.


Bukan setakat membeli buku. Pesta ini juga menjadi satu acara terbesar untuk para blogawan untuk bertemu buat pertama kali, kedua kali dan berkali - kali.


Disebelah kiri blog ini (left side bar). Abang long sengaja meletakkan beberapa buah buku yang harus dimiliki oleh peminat buku @ pencinta ilmu. Buku - buku tersebut mendapat reaksi dan maklumbalas yang baik dan hangat dari peminat buku.


"Menuntut ilmu adalah wajib bagi lelaki dan perempuan."

Sunday, April 19, 2009

Kasih yang berkekalan.


Seredup wajah kasih.


Dalam beberapa minggu ini. Aku kerap berulang - alik ke kampong halaman aku di Taiping. Penat memang penat. Letih tidak tertanggung.


Ayah ku semakin uzur dan kesihatannya semakin merosot. Namun setiap kali pulang ke kampong, tidak banyak yang aku dapat bantu. Selain dari berbual dan memberikan sentuhan kasih sayang dari seorang anak kepada seorang ayah.


Bila aku pegang tangannya dan kupimpin untuk ke dapur atau ke bilik air. Air mata aku memang tidak dapat ditahan dari mengalir.


Tangan itulah yang menyentuh dan membelai aku diwaktu kecil. Tangan itulah yang memegang aku sewaktu bertatih. Tangan itulah yang banyak mendidik aku. Dan kini tangan ayah sudah semakin tidak bermaya. Hanya tinggal kulit dan tulang seorang tua.


Ingatan ayah juga semakin merosot. Ayah menjadi seorang yang pelupa. Hinggakan ayah terlupa beberapa perkara penting dalam hidupnya.


Ibu bercerita tentang perihal ayah yang menunggu kakak dan abangnya di muka pintu di tengah malam. Sedangkan kakak dan abangnya telah lama meninggal dunia.


Ibu aku juga uzur. Jika ayah menghidap penyakit paru - paru kronik. Ibu pula berhadapan dengan masalah penyakit Gout, dan kandungan asid dalam darahnya agak membimbangkan. Akibat penyakitnya itu, ibu menghadapi masalah untuk berjalan atau bergerak kemana - mana.


Hati siapa yang tidak bimbang ?


Sudahlah keadaan aku yang ... (Maaf, aku tidak mahu lagi menceritakan tentang nasib diri aku).


Setiap kali pulang ke rumah orang tua aku. Aku hanya mampu berdoa dan berdoa dan terus berdoa. Ada ketikanya aku merasakan bahawa aku sudah tiada iman lagi.


Beberapa hari lepas, sewaktu pulang ke kampong. Adik aku mengajak aku untuk mandi di air terjun Taiping. Aku tidak melepaskan peluang itu.


Tiba sahaja di air terjun. Aku terus sahaja masuk kedalam air dan berendam. Fikiran aku menjadi tenang sedikit.


Inilah enti bersejarah. Kerana inilah entri yang aku masukkan diwaktu petang dalam keadaan terlalu letih. Inilah entri buat kali pertama aku memasukkan wajah aku yang sebenar walaupun dalam sudut yang berbeza. Inilah entri yang buat kali pertama aku masukkan keadaan ayah ku yang uzur.

Thursday, April 09, 2009

KISAH SEKS (3)

Bukit Gantang - Bukit Selambau - Batang Ai.


Maaf. Entri kali ini tidak ada kaitan dengan nama tempat diatas. Tapi nama yang tertera itu memang ada kaitan. Baca dengan maksud berlapis - lapis. Ini bukan entri lucah. Tapi sejujurnya, setiap individu dari jenis LELAKI pasti akan merasa ghairah dan boleh menaikkan nafsu syahwat. Kalau ada lelaki yang berkata "aku tidak merasa apa - apa". Bererti, lelaki itu memang - A.B.N.O.R.M.A.L !




Itulah wajah - wajah dan batang tubuh gadis yang menyertai program realiti TV - "Malaysian Dream Girl".




Dan ini pula adalah wajah gadis - gadis MELAYU. Yang turut sama menyertai program tersebut. Diantara sessi yang akan dijalankan oleh program ini ialah, sessi memakai - baju dalam dan seluar dalam SAHAJA.


Aku tidak pasti corak program ini. Adakah ianya akan menggunakan sistem pesanan ringkas SMS. Bak kata seorang sahabat yang berkata dengan jujur dan lurus "Dua Bukit sudah menyebabkan gangguan pada Batang Ai."


Aku bukan hendak mempromosi rancangan ini. Tetapi kalau ada yang hendak menyiasat lebih lanjut, sila klik disini.


Tapi aku rasa. Ada juga orang Melayu yang akan bersetuju dengan program ini.


Bak kata seorang pakcik "nak buat macam mana, ini kan akhir zaman, sudah moden ....hehehehe" Pak cik itu menjawab dengan galak sekali.


Lalu aku menjawab dengan bersahaja "Katakan pakcik sedang menonton rancangan itu dengan khusyuk sekali, tiba - tiba malaikat MAUT datang dan mencabut nyawa pakcik."


Si tua pakcik keparat itu terus terdiam.

Friday, April 03, 2009

MEMORI INDAH di TAIPING (12)


Cendol Taiping.

1 - "Pulut taruk kasi lebih."
2 - "Taruk kacang sikit lebih."
3 - "Gula merah lebih sikit."


Itulah ungkapan yang sudah sinonim buat mamak cendol di Taiping. Dan yang menariknya si mamak tidak pernah membantah, malah dengan gelengan kepala dan sedikit senyuman, si mamak hanya menjawab "bole, bole..."


Jangan takut. Harganya tetap sama.


Lokasi mamamk penjual cendol ialah seperti dibawah:


1 - Sebelah Restoran Bismillah (bertentangan dengan Jam Besar, Pasar Besar Taiping).
# Jam Besar Taiping, akan membunyikan siren bila tiba waktu berbuka dibulan Ramadhan. Dan bunyi siren itu akan kedengaran sejauh 5 km.
# Aku telah mula makan cendol disini sejak tahun 1978.


2 - Berhampiran Sekolah Menengah St. George Taiping.
# Jangan bimbang kerana kawasan parkir begitu banyak dan luas. Dan menariknya, anda boleh menikmati cendol dengan laksa. Dijual oleh seorang kakak. Dimana dia menjual dari atas motornya.


3 - Selang beberapa gerai ada sebuah lagi gerai mamak memjual cendol. Di gerai ini, anda boleh menikmati cendol dengan pasembor.
# Jadi kepada 'penggila' cendol. Jangan bimbang banyak gerai mamak cendol di Taiping. Tidak perlu berebut - rebut.


4 - Dihadapan Stesen Keretapi Taiping.
# Anda boleh menikmati cendol dan dalam masa yang sama menikmati kecantikan senibina Stesen Keretapi yang tertua di Malaysia.


5 - Sebelah bangunan MARA.


6 - Dibawah bangunan Supermarket Larut Matang.


7 - Berhampiran bangunan Pawagam Cathay. Jalan Tupai.


Tetapi yang paling sedap ialah disebelah Restoran Bismillah.


Ini adalah tips buat anda yang mahu membawa pulang cendol kerumah. Kalau rumah anda dekat dengan bandar Taiping. Contohnya: Beli sebungkus besar cendol. Dan pesan kepada mamak itu "jangan taruk ais, gula kasi lebih."


Dalam perjalanan pulang kerumah. Belilah ais (air batu) dimana - mana gerai. Dan campurkan ais dengan cendol yang telah dibeli. Maka hasilnya, cendol anda akan menjadi banyak. Tetapi harganya tetap sama. Seperkara lagi, bila anda membeli cendol tanpa ais, maka dalam perjalanan pulang kerumah, tiada ais yang akan cair. Maka rasanya tetap sedap.


Kepada penyokong Barisan Nasional dan PAKATAN RAKYAT yang sedang berkempen di Parlimen Bukit Gantang. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Cuba bayangkan, sewaktu anda sedang penat yang keterlaluan, hampir hilang tenaga, terlalu lapar dan terlalu dahaga. Tiba - tiba dihadapan anda:


Terhindang - Semangkuk CENDOL. Sepinggan LAKSA. Sepiring PASEMBOR.


Boleh MELELEH AYAQ LIOQ !

Wednesday, April 01, 2009

MEMORI INDAH di TAIPING (12)


Tak tahan dengan kuahnya !!!


MEE REBUS TAIPING. Pertama kali aku makan mee rebus ialah pada awal tahun 80'an. Dimana harga pada waktu itu ialah RM1.00 SAHAJA.


Waktu itu ialah hari Keputeraan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Tetapi aku tidak ingat Agung yang mana satu. Waktu itu, pelajar sekolah diberikan tiket percuma untuk menonton wayang.


Jadi, aku diberikan wang sebanyak RM2.00. Dan aku pergi ke sekolah dengan menunggang basikal. Dari sekolah, kami berarak beramai - ramai ke Panggung Cathay.


Tentang cerita ke panggung, aku akan kisahkan dilain episod.


Usai menonton wayang. Kami beramai - ramai menghala ke gerai makan dibawah Supermarket Larut & Matang. Kami menjamu selera. Itulah kali pertama aku makan bersama rakan - rakan diluar. Terasa seronok sangat. Dan pada hari itu, semua gerai di bawah Supermarket itu dipenuhi dengan pelajar sekolah.


Dan disitulah, buat kali pertama aku terlihat wajah seorang gadis yang sungguh ayu. Si gadis itu juga memakai baju sekolah. Jadi, sudah tentu aku tahu beliau dari sekolah mana. Bila aku pandang kali kedua, tiba - tiba sahaja mata kami bertentang antara satu sama lain. Tidak berkelip. Maaf, kisah ini juga akan disiarkan dilain episod. Si gadis tiba - tiba sahaja menjadi tidak keruan...


Kepada sesiapa sahaja yang akan pergi ke Taiping. Khususnya yang akan pergi berkempen. Maka silalah pergi ke mana - mana gerai yang menjual mee rebus. Dijamin sedap, murah, berpatutan. Tapi ingat, jangan bungkus untuk dibawa pulang. Kerana dijamin, mee rebus itu akan rosak.


Yang paling sedap mee rebus di Taiping ialah pada KUAHnya. Aku kalau menghadap mee rebus, dijamin aku akan terlupa untuk menjaga anak - anak. Dan untuk 'matching' dengan mee rebus ialah dengan mengambil minuman air kelapa. Memang kena 'gu'.


Seingat aku. Paling hebat aku pernah makan mee rebus ialah sebanyak dua pinggan. Dan aku bawa pulang sebungkus. Sampai dirumah, aku makan mee rebus itu sekali lagi. Weiii ... malulah nak pesan sampai tiga pinggan, nanti orang kata nak makan ke nak mentedarah !?


OK. Jangan lupa untuk 'pekena' mee rebus Taiping. Kalau ada yang kata tak sedap, boleh tuntut balik wang itu dari penjual mee rebus. Katakan Abang long yang 'rekomen'.

Tuesday, March 31, 2009

SOLAT & PILIHANRAYA


Aneh tapi Benar.


Adik aku melaporkan sesuatu yang aneh tapi benar. Kejadian berlaku dikampong aku di Taiping.


1 - Solat Subuh di Masjid Taiping melimpah ruah. Hingga terpaksa diadakan sebanyak tiga kali.


2 - Penyokong PAKATAN RAKYAT menguasai Bandar Taiping. Dimana - mana dan disetiap jalan, lorong dan ceruk. Kelihatan penyokong dan bendera PAS, DAP dan KeADILan.


3 - AIR TIADA ! Ini suatu perkara yang ganjil dan aneh. Sepanjang hidup aku di Taiping. Bandar itu tidak pernah terputus bekalan air. Malahan, paling teruk pun, air akan mengalir perlahan.


4 - Laungan TAKBIR bergema dan bersiponggang disegenap Bandar Taiping !


5 - Orang Melayu memegang bendera ROKET. Perempuan China tua mengibarkan bendera PAS. Hakikatnya, politik perkauman sudah tiba dipenghujungnya.


6 - Taukeh kedai memberikan air mineral secara percuma, untuk orang Islam berwuduk. Kerana masjid terputus bekalan air.


7 - Penyokong BARISAN NASIONAL menguasai seluruh hotel di Bandar Taiping. Hingga tidak ada satupun bilik yang berbaki.


8 - Pelbagai gelagat yang menyakitkan hati dilakukan oleh penyokong parti politk yang terlibat.


9 - Ibu saudara aku yang tinggal di kampong terpencil di daerah Matang, berkata dengan ceria "depan rumah aku dah ada jalan tar."


10- Kepada seluruh pengundi di Parlimen Bukit Gantang. Undilah dengan bijak sana, pilihlah - PEMIMPIN YANG BOLEH MENJADI IMAM dalam solat. InsyaAllah, selamat dunia dan akhirat.