Wednesday, April 16, 2008

KELUHAN Seorang PENGANGGUR.

Sudah 55 hari, atau hampir 2 bulan aku memegang gelaran sebagai PENGANGGUR. Satu hakikat yang paling sukar dan pahit untuk ditelan adalah, aku terpaksa mengharapkan wang EHSAN dari isteriku. Isteriku yang bertugas sebagai guru KAFA, bukannya bergaji besar, hanya mendapat elaun bulanan.



Perit memang perit, sakit memang sakit, susah memang susah, azab memang azab, derita memang derita. Tapi mahu atau tidak, aku terpaksa menerimanya. Malaysia bukannya 'Welfare State'. Dimana aku boleh mendapatkan bantuan dari segi kewangan. Hendak diharapkan bantuan dari pihak kerajaan, rasanya, boleh menyebabkan ramai orang akan mentertawakan aku.



Aku benar - benar terasa jauh hati. Sewaktu pilihanraya, ramai yang berjanji bermacam - macam, tapi bila sudah selesai pilihanraya, hendak berjumpa pun susah. Aku mahu berjumpa, bukannya untuk MEMINTA SEDEKAH, atau meminta wang EHSAN, tetapi aku mahu berjumpa dengan wakil kepada wakil rakyat, untuk bertanya, sekiranya dapat membantu aku untuk mendapatkan KERJA, itu sahaja !




Biarlah aku katakan berikut, supaya tiada lagi yang bertanya soalan yang sama tentang biodata diri aku.




Aku berkelulusan SPM.
Berpengalaman berkhidmat didalam industri perkapalan selama 15 tahun.
Pernah bertugas didalam perkhidmatan Keretapi.
Mempunyai anak seramai 5 orang.




Seandainya selepas 3 bulan, aku tidak mendapat kerja, adakah harus aku MEROMPAK ?



Ya, aku benar - benar tertekan dengan keadaan aku sekarang. Aku bukannya mengharapkan kata - kaa simpati atau kata - kata manis dan muluk seperti dalam pilihanraya yang lalu. Aku hanya mengharapkan supaya aku mendapat KERJA di bumi MALAYSIA ini.



Kalau seorang MAT BANGLA boleh mendapat kerja distesen minyak. Aku juga sanggup dan bersedia untuk berkerja distesen minyak. Kalau seorang MAT INDON boleh berkerja sebagai pencuci pinggan mangkuk diwarung, aku juga bersedia untuk berkerja diwarung. Malangnya, bila kebanyakan pengusaha stesen minyak dan warung, tidak bersedia untuk memberikan kerja dan pekerjaan kepada aku, kerana mereka takut aku akan 'demand' dari segi gaji.




Adakah rintihan aku ini dibaca oleh ORANG BESAR NEGARA. Rasanya TIDAK. Sebab, mereka mempunyai tugas dan kerja yang berat. Dan tidak akan berkesempatan untuk membaca entri KELUHAN SEORANG PENGANGGUR seperti aku. Yang begitu mengharapkan REZEKI dari BUMI MALAYSIA ini.





Tetapi aku PASTI tentang satu perkara. ALLAH PASTI MENDENGAR DAN MELIHAT HAMBANYA.

# TERIMA KASIH kepada Saudara Abu Kassim, kerana sudi untuk menaja entri pada kali ini.

AKU SEORANG PENGANGGUR DI BUMI MALAYSIA

Setelah lebih dari satu bulan, aku tidak mengemaskini blog ini. Akhirnya aku terpaksa akur dengan situasi semasa. Bermula dari Pilihanraya ke 12 yang telah lalu, hingga membawa ke Pesta Buku Antarabangsa 2008. Aku dihujani dengan desakan agar memberikan pendapat atau pandangan tentang isu semasa, untuk disiarkan didalam blog ini.



Namun, seperti yang telah diketahui ramai. Aku memang telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari dunia blog. Akhirnya, Pesta Buku telah merobah niat asal aku.



Begitu ramai yang mengirimkan emel secara peribadi, dan tidak kurang juga yang menghantar sms, bertanyakan tentang perkembangan terkini diri aku. Akhirnya aku tersenyum sendirian, dek kerana tidak mampu untuk menjawab satu persatu setiap soalan yang diberikan.



Dimana sahaja aku berada, terdapat 3 soalan yang paling kerap ditanya, dan dikesempatan ini, aku telah bersedia untuk menjawabnya:


Soalan 1 - Abang Long masih sakit ?
Jawapan: Alhamdulillah, semakin sihat, namun belum pulih sepenuhnya.



Soalan 2 - Abang Long masih mencari kerja ?
Jawapan: Ya, Abang Long masih mencari kerja, sekarang masih berstatus - PENGANGGUR.



Soalan 3 - Kenapa lama tidak mengemaskini blog ?
Jawapan: Sebab yang pertama, kerana sakit. Sebab kedua kerana tiada kerja @ menganggur @ tiada wang, jadi logiknya, kalau sudah tiada wang kerana menganggur, bagaimana hendak masuk kedalam Siber Cafe ?



Adakah aku membuka pekung didada ? Tidak ! Kerana itu adalah HAKIKAT yang sebenar - benarnya.

Buat masa ini, fikiran aku masih belum tenteram, masih bercelaru, masih berkecamuk, masih resah, masih gelisah, masih tidak keruan. Semuanya disebabkan, aku masih tidak ada kerja ! Adakah aku memilih kerja ? Jawapannya - TIDAK ! Kerana aku telah pergi ke hampir 10 syarikat perkapalan. 20 buah restoran. 5 buah pasar malam. 6 buah syarikat agen jualan kereta. 4 buah syarikat kawalan keselamatan. 3 buah hipermarket. 2 buah perbadanan kerajaan tempatan. 2 buah syarikat pengangkutan.



Dan, aku telah menghabiskan sebanyak 30 keping gambar berukuran pasport, untuk diserahkan kepada syarikat dimana aku temui untuk memohon kerja.



Sekarang, aku hanya berdo'a dan bertawakal. Aku lebih banyak mendiamkan diri. Rasa seperti tidak mahu lagi bercakap dengan manusia. Kerana aku sudah terlalu letih melayan pelbagai soalan, samada soalan biasa mahupun soalan yang berhubung dengan pengalaman kerja. Sedangkan jawapannya belum pasti.



Setiap malam, aku melihat anak - anakku yang sedang tidur lena. Aku memandang mereka dengan pandangan yang begitu sayu, air mata saban malam keluar mencurah tanpa dapat disekat. Dan aku tidak mahu untuk menghentikan air mata dari jatuh ke bumi. Aku biarkan air mataku mengalir keluar.



Dalam kegalauan aku, masih ada beberapa insan yang telah sudi membantu. Atas prinsip dan dasar persaudaraan serta kemanusiaan.




1 - Seorang insan berhati mulia, yang telah memberikan aku sebuah novel. Mungkin beliau merasakan yang aku tidak mampu untuk membeli novel. Ya, aku memang tidak mampu untuk membelinya dimasa ini, kerana aku tidak mempunyai wang.





2 - Seorang insan berhati mulia, yang telah menghulurkan sejumlah wang. Bagi diriku, jumlah itu amat besar, disaat aku tidak mempunyai wang untuk duit belanja sekolah anak - anakku.





3 - Seorang insan yang berhati mulia, yang telah memberikan aku sebuah komputer ! Memang aku tidak menyangka langsung akan mendapat pemberian itu. Nasihat dari beliau, agar aku dapat menggunakan kemudahan yang ada untuk kemajuan diriku.




Bagi aku, yang pasti aku tidak akan memberitahu sesiapapun tentang nama 3 orang insan berhati mulia ini. Biarlah aku, insan itu dan Allah sahaja yang mengetahuinya.


Dan, setiap malam, sewaktu sedang sujud menyembahNya, aku berdo'a:



"Ya Allah, aku memohon dari Mu, agar ENGKAU panjang usia insan ini, murahkan rezekinya, tambahkan iman mereka, jauhkan meraka dari bala bencana didunia mahupun diakhirat, selesakanlah kehidupan mereka, rahmatilah kehidupan mereka, berilah kejayaan yang berlipat ganda buat mereka, selamatkanlah mereka didunia mahupun diakhirat .... AMIN, AMIN, AMIN YA RABBAL 'ALAMIN".

# TERIMA KASIH aku ucapkan buat Saudara Abu Kassim, kerana sudi untuk menaja entri pada kali ini.

Friday, February 22, 2008

ENTRI TERAKHIR

Seperti entri lalu yang bertajuk PASRAH. Hari ini secara rasmi, merupakan hari terakhir aku berkhidmat di syarikat tempat aku mencari rezeki selama ini. Walaupun majlis perpisahan akan diadakan pada hujung minggu hadapan. Namun, suasana didalam pejabat telahpun bertukar. Tiada lagi wajah ceria dan gembira.



Masing - masing hanya menahan rasa sedih, sebak dan lebih ramai yang mendiamkan diri. Sebahagian besar dari kakitangan, telahpun tiada ditempat masing - masing, kerana mendapat pelepasan untuk mencari kerja ditempat baru.



Nasib diri aku juga masih terumbang - ambing, tiada haluan. Sudah hampir 10 tempat, aku menghadiri temuduga, namun tiada satu pun yang memberikan maklumbalas yang boleh menggembirakan. Ini bererti, selepas 29hb Februari ini, aku secara rasmi bergelar PENGANGGUR.



Sememangnya aku merasa teramat dukacita, dengan situasi yang melanda diriku sekarang. Kerana, dari satu segi, aku sudah tiada kerja, tetapi dari segi lain, ini bermakna, aku dan seluruh ahli keluarga aku, anak - anak dan isteri telah kehilangan tempat untuk bergantung harap. Hilang punca rezeki.



Hampir setiap hari, dengan menunggang motorsikal buruk, aku menyandang beg yang berisi resume. Dimana - mana sahaja aku akan parkir motorsikal dan bertanya, andainya ada jawatan kosong. Namun jawapannya memang menghampakan. Aku benar - benar bimbang dengan apa yang akan aku berikan kepada anak dan isteri aku.



Aku memang tidak memilih kerja, asalkan halal. Tetapi, memang benar kata - kata yang diucapkan oleh beberapa orang saudara aku. Takkan pengalaman selama 15 tahun dalam industri perkapalan, akhirnya aku menjadi pencuci pinggan di warung ? Namun, bagiku, itu juga tugas yang mulia, dan rezekinya hahal ?



Dan buat pengunjung setia blog ini, mahupun yang baru meninggalkan jejak disini. Andainya, saudara ingin turut membantu, dengan tangan terbuka aku menerimanya dan aku dahului dengan ucapan TERIMA KASIH.



Dengan tersiarnya entri ini, bermakna, ini adalah entri yang terakhir dari diriku di alam siber. Sehingga aku mendapat kerja baru, dan andainya waktu mengizinkan dengan kehendakNya. Aku akan mengunjungi kalian lagi dimasa akan datang yang belum pasti.



# Aku hanya berusaha. Allah yang menentukan segalanya.



# Seandainya ada yang berhajat untuk membantu, sila hantarkan emel ke - safmi_80@yahoo.com


WASSALAM.

Thursday, February 14, 2008

JOM IKUT KAMI !



Program anjuran: Kelab Peminat Novel ALAF21 - ALAF 21 FC.

Tempat: Kumpulan Karangkraf Sendirian Berhad & ALAF 21.

Tarikh: 12 hb March. (Rabu)

Masa: 8.30 pagi - 2.00 petang

# CUTI SEKOLAH.

Berita penuh klik disini - ALAF21 FC

InsyaAllah, Abang Long akan berada disana.

<<<<<>>>>>

Tuesday, February 12, 2008

IKLAN PERCUMA



KELAB PEMINAT NOVEL ALAF 21 - ALAF 21 FC.


Dengan sukacitanya mengajak anda semua untuk bersama - sama melawat ke Syarikat Penerbitan Nombor 1 di Malaysia dan juga penerbit novel yang tersohor iaitu:



KUMPULAN KARANGKRAF SENDIRIAN BERHAD &
ALAF 21 SENDIRIAN BERHAD.


Tarikh: 12 hb. March 2008 (RABU) * CUTI SEKOLAH.
Masa: 8.30 pagi - 2.00 petang.




Syarat penyertaan:

1 - Lawatan ini terbuka kepada semua yang berminat.
2 - Peserta hendaklah yang berusia 13 tahun ke atas.


Sesiapa yang ingin bersama-sama kami melawat ke premis-premis tersebut bolehlah menulis ke alamat email alaf21fc@yahoo.com dengan tajuk “LAWATAN”.


Jangan lupa sertakan sekali NAMA PENUH, NO KAD PENGENALAN, NO TELEFON SERTA ALAMAT RUMAH.



Kami juga akan memberikan maklumat mengenai lawatan dari masa ke semasa.

Jangan lepaskan peluang anda!

Tuesday, February 05, 2008

PASRAH

Bila datang ujian dari Allah, ada ketikanya kita terkejut, tergamam dan pelbagai reaksi yang ada ketikanya tidak terduga langsung.




Permulaan tahun 2008, boleh dikira sebagai permulaan ujian dari Allah, yang datang tanpa henti. Aku hanya berserah kepada Nya. Aku hanya dapat melakukan mengikut kemampuan aku sebagai hambaNya yang lemah.



Aku pasrah !




Penyakit yang aku alami sekarang pun, belum pulih sepenuhnya.




Selepas aku keluar masuk hospital akibat penyakit yang aku alami, yang begitu meresahkan dan merimaskan. Anakku pula terpaksa dibawa berulang alik ke hospital akibat kesakitan didalam perut, hinggakan anak ku seperti fobia apabila mendengar cerita tentang jarum suntikan.




Yang terkini, anakku yang sulung pula terpaksa dimasukkan kedalam wad. Akibat bengkak di bahagian kaki. Puncanya, kerana terpijak tebuan yang berada didalam rumah. Nasib baik, tidak begitu serius, selepas ujian darah, keesokan harinya dibenarkan pulang.




Tidak habis disitu, kini aku pula terpaksa berhempas pulas mencari kerja lain. Ini adalah kerana, syarikat dimana selama ini aku mencari rezeki, terpaksa membuang pekerjanya, kerana diambil alih oleh sebuah syarikat lain. Hanya 3 orang pekerja sahaja yang dikekalkan. Itupun pekerja yang terpilih itu berkemungkinan sedang memikirkan untuk menolak tawaran itu. Disebabkan syarikat baru ini akan beroperasi di kawasan Damansara, sedangkan pejabat sekarang terletak dikawasan Pelabuhan Barat.




Ya, aku PASRAH !




Dengan sebulan notis, dan sebulan ex-gratia, apa lagi yang aku mampu lakukan ?




YA, memang aku PASRAH.




Kepada pengunjung blog ini, yang ingin membantu dari sudut apa sekalipun, aku terlebih dahulu ucapkan TERIMA KASIH. Dan hanya Allah sahaja yang layak dan mampu membalas jasa kalian.




# Jika pengunjung blog ini mempunyai sebarang kemusykilan, sila hantarkan ke alamat - safmi_80@yahoo.com
-
-
# Anakku bertanya "nanti abah nak kerja apa?"
Lalu aku menjawab "nak kerja cuci pinggan di warung"

Thursday, January 31, 2008

IKLAN



PESTA BUKU ALAF 21


BERMULA HARI INI !!!







MASKARA - KEMBALI !!!


MALAM BACA NASKHAH SINDIKET SOL ~ JAH


Tempat - RUMAH PENA

Masa - 8.30 malam

Tarikh - 2 HB FEBRUARI

Wednesday, January 30, 2008

Novelis Thriller



RAMLEE AWANG MURSHID

Novelis Thriller Nombor 1 Malaysia.

Setiap hasil karyanya, tidak pernah mengecewakan aku.

- ADAM,

- Bagaikan Puteri,

- Cinta Sang Ratu,

- Hatiku Di Harajuku,

- Mandatori,

- Rahsia Perindu,

- Ranggau,

- Satu Janji,

- Semangat Hutan,

- Tombiruo,

- Tombiruo Terakhir,

- Ungu Karmila.

# Sedang menunggu ~ UNGU KARMILA !

Tuesday, January 29, 2008

Mencuit perasaan




Telah agak lama aku tidak memasukkan entri baru. Begitu juga telah agak lama aku tidak menjengah surau yang berhampiran dengan rumahku, samada untuk bersolat berjemaah mahupun untuk mendengar kuliah ataupun ceramah.



Alhamdulillah, kini keadaan kesihatan aku sudah semakin pulih. Aku juga telah beberapa hari tidak lagi mengambil ubat penenang, mahupun ubat tidur.



Apabila menyedari keadaan aku yang hampir kembali seperti sediakala. Anakku lalu mengajak aku untuk ke surau dan mendengar kuliah agama.



Kuliah agama yang disampaikan, begitu menyentuh hati nurani seorang manusia. Dimana ustaz itu turut menyentuh kes Nurin dan Jasmine.




Kisah - kisah rumahtangga begitu banyak dikupas dan dihidangkan dengan bersahaja berserta dengan nas dari sunnah dan Al- Qur'an. Bila ustaz ini menceritakan tentang kisah penjagaan anak dan hak seorang isteri, lalu fikiran aku melayang sebentar. Aku teringat kepada beberapa foto yang aku terima, dimana aku rasakan tidak perlu mengulas tentang gambar foto tersebut.




Cukuplah kepada pengunjung sekalian untuk membuat tafsiran sendiri. Kerana, bukankah sekeping gambar itu menceritakan tentang pelbagai cerita.



# Aku terbayangkan diri aku sedang berada di dalam jet peribadi Sultan Brunei.

Wednesday, January 23, 2008

Macam - macam kisah (35)

Kisah 1 - SABAR.


Usai sahaja keluar dari hospital tempohari. Aku dan isteriku telah pergi kerumah seorang ustaz yang dikenali ramai di daerah Meru, Klang. Beliau berkebolehan mengubat penyakit, mengurut dan pelbagai lagi kebolehan yang telah diperakui ramai orang.


Sebagai jalan alternatif, untuk mengubat penyakit yang aku alami kini. Maka aku tetap berusaha sedaya upaya dan semampu mungkin.


Seperti biasa, inilah pertama kali aku pergi kerumah ustaz tersebut. Aku tersesat ditengah jalan. Hampir 1 jam, masih tercari - cari diwaktu malam. Hingga akhirnya bertemu dengan seorang jemaah yang baru pulang dari solat Isyak. Dan hamba Allah ini terus sahaja memberikan tunjuk arah yang betul. Syukur Alhamdulillah, akhirnya aku sampai juga ke rumah ustaz. Jam sudah menunjukkan pukul 9.15 malam.


Bila aku sampai sahaja kerumah ustaz ini, perkarangan rumahnya telahpun penuh dengan kereta dan motor. Dalam hati aku berkata "Ya Allah, punyalah ramai"


Aku berpaling dan menghadap wajah isteriku, sambil bertanya "nak tunggu ke ?".... orang mesti ramai didalam"


Isteriku menjawab "masuk je lah, alang - alang dah sampai ... kita tunggu je ... dah nak berubat, bersabarlah"


# Kalau aku tidak menunggu disitu, mungkin esok lebih ramai lagi yang datang.




Kisah 2 - GILIRAN.



Ini adalah satu bab atau perkara yang dari dahulu lagi aku perhatikan, tiada jalan penyelesaian. Bila aku masuk sahaja kedalam rumah ustaz itu. Aku memerhatikan, terdapat seramai 20 orang didalamnya yang sedang menunggu. Dan tidak diketahui siapa yang datang paling awal. Jadi dengan bersahaja aku bertanya kepada tetamu yang ada.


"Maaf ya, siapa yang datang dulu?"


Dengan membawa maksud supaya semua orang tahu giliran masing - masing. Dan soalan aku mendapat maklumbalas yang begitu baik. Dimana, seorang demi seorang menjawab "saya datang selepas pakcik ini, dan abang tu datang selepas saya"


Tiba - tiba, masing - masing tersenyum. Kerana seolah - olah sudah tahu, bilakah giliran mereka akan tiba. Dan yang pasti, aku adalah orang terakhir.


# Aku sengaja berbuat demikian. Kerana aku tahu, terdapat segelintir manusia yang suka 'potong q'.




Kisah 3 - URUT sampai naik !



Sewaktu aku dan isteri masuk kedalam kamar perubatan. Terdapat sebuah meja, kerusi dan katil untuk pesakit. Selepas bertanya khabar dan bercakap sedikit dengan ustaz ini (ustaz ini begitu mesra dan gemar bergurau), aku terus dipersilakan untuk naik keatas katil. Aku diarahkan untuk berada didalam keadaan meniarap. Sambil mengurut ustaz ini berkata "saya akan urut saudara, dan bila dah naik baru saya perlahankan"


Secara jujur, memang aku tidak faham dengan kata - kata ustaz ini. Aku hanya membiarkan ustaz mengurut bukan sahaja di bahagian telapak kaki, tetapi keseluruh tubuh badan. Setiap tempat yang diurut memang terasa begitu sakit. Tetapi aku tetap bertahan, dan hanya mampu untuk mengucap dan berzikir.


Selesai dalam posisi meniarap. Aku diarahkan pula untuk terlentang. Dan ustaz itu terus mengurut sambil berjenaka. Tiba - tiba apabila jari - jemari ustaz ini mengurut jari kaki. Aku terus sahaja menjerit dek kesakitan yang teramat sangat, hingga aku terus terduduk. Kemudian sambil tertawa kecil, ustaz ini berkata "ok, rehatlah sekarang, nampaknya awak dah tak tahan."


# Barulah aku faham kata - kata ustaz itu "urut sampai naik."

Friday, January 18, 2008

Macam - macam kisah (34)



Kisah 1 - TERHARU.

TERHARU. Itulah kata - kata yang mampu aku ucapkan diwaktu ini. Setelah mengetahui aku dimasukkan kedalam hospital tempohari. Begitu banyak panggilan telefon dan sms yang aku terima, juga mereka yang meninggalkan jejak di blog ini. Semuanya mendo'akan kesihatan dan kesejahteraan buat diri ini. Aku pasti, tidak akan mampu untuk membalas jasa kalian. Hanya satu perkataan yang boleh menggambarkan perasaan hati ini, iaitu ucapan TERIMA KASIH yang tidak terhingga.

# Semoga Allah membalas kebaikan kalian semua.

Kisah 2 - PENING.

Aku bukannya pening kepala atau migrain. Tetapi aku pening memikirkan, apakah penyakit sebenar yang aku hadapi sekarang. Keputusan dari makmal telah menunjukkan yang aku hanya ada sedikit masalah pada bahagian buah pinggang, namun penyakit itu baru dikesan, dan tidak perlu dibimbangi, malah boleh diatasi dengan hanya mengambil ubat. Masalahnya, apa pula kaitan antara buah pinggang dengan sistem pernafasan ?

Aku dimasukkan ke hospital akibat rasa kurang selesa untuk bernafas, atau dalam erti kata lain, sakit dibahagian dada. Jadi, kerana keputusan itu, hanya ubat penenang diberikan oleh doktor. Ubat penenang diberikan dengan alasan, mungkin aku menghadapi tekanan atau stress, hingga jantung aku berdebar. Tetapi doktor mengesahkan bahawasanya jantung aku sihat dan tiada masalah. Malah dalam bergurau, sewaktu menunjukkan keputusan makmal itu, menyatakan bahawa aku juga tidak menghidap penyakit AIDS, atau HIV positif.

# Terfikir untuk mendapatkan rawatan alternatif.

Kisah 3 - PENGORBANAN ISTERI.

Sepanjang aku berada di hospital dan 'ditidurkan' oleh pil penenang. Isteriku terpaksa mengambil alih kesemua urusan rumahtangga. Aku dapat melihat wajah isteri aku yang penat, letih, lesu dan kurang bermaya. Walaupun begitu, setiap kali datang menjenguk aku, dia tetap tersenyum.

Keluarga aku berasa gembira, bila aku dibenarkan keluar dari hospital. Aku cuma terfikir sesuatu, namun tidak ku ucapkan.

Secara tiba - tiba, sewaktu berada didalam kereta, dalam perjalanan pulang ke rumah, anakku yang sulung bertanya "abah tinggal di hospital, ummi jaga, kalau ummi masuk hospital macam mana ye?"

Aku hanya memandang wajah isteriku tanpa berkata apa - apa. Dan selepas itu baru aku bercakap "abah akan berdo'a supaya ummi tidak akan masuk hospital, kalau tidak... abah boleh pengsan"

# Wahai isteriku - PADA SYURGA DI WAJAHMU.

PENGUMUMAN

BERITA TERKINI, klik disini

Wednesday, January 09, 2008

MUHARRAM



SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH - MAAL HIJRAH.

"JIKA BENAR CINTA" kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu 'alaihi waalihi wassallam. Maka hendaklah kita BERHIJRAH dengan memahami, menyintai, mengikuti dan mengamalkan apa sahaja suruhan dan amalan Nabi Muhammad dan Ahlul Baitnya.

Peristiwa terpenting yang berlaku dibulan ini, adalah satu peristiwa bersejarah yang mesti diingati oleh seluruh umat Islam. Iaitu peristiwa pembunuhan Imam Hussein R.A, seorang daripada Ahlul Bait yang juga CUCU kepada Nabi Muhammad Salallahu 'alaihi waalihi wassalam.

Imam Hussein dikerjakan, diperlakukan, dan dibantai semahu - mahunya oleh pengikut dan atas arahan dari Yazid Bin Muawiyyah, seorang diktator dari Rejim Dinasti Muawiyyah. Akhirnya Imam Hussein dibunuh dengan kejam dihadapan ahli keluarga dan pengikutnya. Yang paling TRAGIS adalah dimana KEPALA IMAM HUSSEIN telah DIPENGGAL.

# Yang paling tragis pada hari ini adalah, umat Melayu yang beragama Islam di Malaysia khususnya, HANYA mengingati tentang satu perkara sahaja dibulan ini iaitu - BUBUR ASYURA.

Friday, January 04, 2008

DOL LEMAN



Dari penghujung tahun 2007, hinggalah memasuki tahun 2008. Si kecil ini, gambarnya seperti diatas, sentiasa sahaja ada.


Pada mulanya, wajah dan gayanya memang agak menakutkan. Tidak banyak bercakap, hanya memerhatikan Abang long sekeluarga sahaja.


Kemana kami pergi, si kecil ini pasti ada.


Ke MPH, dia ada,

Ke POPULAR, dia ada,

Ke PERPUSTAKAAN, dia ada,


Malah, kemana sahaja tempat tumpuan orang ramai, si kecil ini pasti ada, dan seolah - olah mengekori kemana sahaja kami pergi. Si kecil ini akan tersenyum jika kami pergi ke kedai atau kawasan atau tempat menjual buku.


Yang anehnya, anak - anak abang long tidak merasa takut, malah seperti hendak pergi kearah si kecil ini dan bermain - main dengannya. Namun Abang Long menegah.


Akhirnya, dengan perasaan bersalah dan dengan sifat sepenuh kasih sayang seorang bapa. Maka Abang Long terus sahaja mendapatkan si kecil ini, semata - mata untuk menggembirakan anak - anak Abang Long.


Apabila Abang Long bertanya kepada si kecil ini "siapa kamu?" Dengan lancar dan petah si kecil ini menjawab "Orang panggil saya, Dol Leman."


Bagi semua pengunjung yang dihormati, jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang kisah si kecil yang bernama Dol Leman ini. Sila dapatkan di gerai buku seperti yang diletakkan diatas.


Sebuah kisah penyiasat cilik yang begitu menarik, ceria, terdapat unsur - unsur suspen dan mendebarkan. Begitu sesuai bagi pembaca yang sukakan sesuatu yang adventure.


Bukan sahaja anak - anak pasti menyukainya, malahan Abang Long yang sering tertekan dengan tugasan harian juga berasa teruja bila membacanya. Terasa santai, menggelikan hati dengan adegan - adegan yang dipaparkan. Sebuah kisah yang begitu sesuai dengan semua peringkat usia.


# Bayangkan bagaimana seorang kanak - kanak menjadi 'penyiasat' dan menyelesaikan sebuah 'MISTERI' !


# Tidak rugi memilikinya !



# Harganya memang MURAH, cuma RM10.90. Abang Long sudah beli sebanyak 5 buah. Dan diberikan kepada anak - anak yatim, perpustakaan sekolah dan anak saudara. Bukankah tugas kita untuk memandaikan bangsa dengan program pembacaan.

Monday, December 31, 2007

TUKAR TAHUN


Kisah 1 - ANGKA.
-
-
Sewaktu aku berjalan - jalan dan merayau diblog - blog peribadi. Begitu banyak yang menggunakan tema atau tajuk tentang tahun baharu. Selamat datang 2008, Selamat tinggal 2007, dan tajuk yang hampir sama waktu dengannya. Dan itulah tajuk yang aku rasakan paling sesuai disaat dan diketika ini.
-
Cuma, sebelum aku memasukkan entri ini, sebagai entri terakhir sebelum tirai 2007 melabuhkan sinarnya. Anakku sempat bertanya secara spontan "abah, apa bezanya antara 2007 dan 2008?" Aku hanya menjawab dengan bersahaja "angka!"
-
Namun aku tetap menyambung persoalan itu dengan tegas "tetapi, kalau kita boleh ubah sikap kita, dari baik menjadi lebih baik, maka itu adalah perbezaan yang paling besar!"
-
Anakku bertanya lagi "contohnya?"
-
Aku menjawab "Kalau tahun 2007, kamu menonton tv selama 1 jam sehari, ini bermakna kamu menonton selama 7 jam untuk seminggu. Jadi kalau tahun ini, kamu hanya menonton cuma pada hari Sabtu ataupun hari Ahad selama 1 jam sahaja. Ini bermakna kita berjaya menjimatkan bil elektrik yang agak banyak. Dan banyak perkara lain kita boleh buat, sebagai contoh, kita boleh pergi melancong."
-
-
# Anak - anakku hanya diam mengangguk.
-
-
-
Kisah 2 - HAYAT BLOG
-
-
Aku tidak terkejut, aku tidak tergamam, aku tidak hairan, malah aku sudah menyangka sejak dari awal lagi yang perkara ini akan berlaku.
-
Dari 120 blog yang aku lawati, 30 buah blog persendirian telah tidak dapat dibuka. 20 buah blog sudah tidak aktif, malahan ada blog yang masih mempunyai entri yang bertarikh 1 August 2007.
-
Ada blogger @ pemilik blog yang dahulunya paling aktif, hinggakan mampu untuk memasukkan entri setiap hari, dan entrinya begitu panjang berjela, tetapi kini hanya tinggal sejarah.
-
Dan ada pula blogger yang dahulunya, hanya memasukkan entri yang begitu pendek, ada ketikanya hanya satu ayat, dan ada ketikanya hanya memasukkan sekeping gambar didalam entri. Tetapi sejak dua, tiga bulan ini, begitu aktif, hinggakan aku terasa, yang pemiliknya begitu hebat. Bilakah waktunya beliau makan, minum dan berehat serta berkerja ?
-
Tetapi, aku bersyukur, kerana ada beberapa blogger @ pemilik blog, yang sangka aku telah menamatkan 'perkhidmatannya' rupanya masih ada, malah masih sihat sejahtera.
-
Walaupun blogger @ pemilik blog @ penulis ini tidak memasukkan sebarang entri baru didalam blog peribadinya, namun aku tetap masuk kedalam blognya setiap hari. Dek kerana kebimbangan andainya sesuatu terjadi kepada blogger ini, maka aku menghubungi beliau untuk bertanya khabar. Syukur Alhamdulillah, beliau masih sihat, namun tidak berupaya untuk mengemaskini blognya. Puncanya mudah. Beliau kini sedang mengandung. (Maaf, aku tidak dapat mendedahkan identiti blogger ini).
-
-
# Aku terfikir, selama ini adakah mana - mana wanita yang baru lepas bersalin, terus sahaja mengemaskini blognya. Supaya pengunjung dapat mengikuti perkembangan tentang diri si ibu dan anak.
-
-
***** Bagi diriku, Kaum WANITA tetap HEBAT *****
-
-
-
Kisah 3 - BLOG ORANG TUA.
-
-
Aku memang terasa hati, apabila seorang pengunjung blog ini menyindir diriku. Ayatnya mudah "eh, abang long, tukarlah rupa blog ni, bubuh cat baru, ini tak, sebiji macam blog orang tue."
-
Sudah 4 kali orang ini mengucapkan ayat yang serupa. Dan kalau diikutkan hati tua ini. Aku nak tutup sahaja blog ini. Baru puas hati. Dan aku tidak perlu lagi berkongsi pengalaman hidup dengn sesiapa pun.
-
# Sekarang ini pun aku sudah terasa menggigil jari sewaktu nak menaip.
-
-
-
SELAMAT TINGGAL 2007.
SELAMAT DATANG 2008.
-
-
-
# Maaf, gambar foto diatas pohon tongkat ali dan pasak bumi. Memang ada kaitan dengan entri pada kali ini.

Sunday, December 30, 2007

KISAH RAJA

Sebelum mengakhiri entri bagi tahun 2007 ini. Aku sengaja memilih sebuah kisah yang boleh dijadikan tauladan buat semua. Itupun setelah aku berjalan - jalan dan merayau dihampir 100 buah blog, sambil membaca entri yang dipaparkan (memang meletihkan, sambil merayau sambil membaca entri yang disiarkan oleh pemilik blog persendirian).



Andainya pemilik blog itu seorang lelaki, maka mereka akan 'membelasah' kaum wanita yang tidak tahu menjaga diri dan suami. Seandainya pemilik blog itu seorang wanita, maka mereka akan menceritakan dan mendedahkan segala - galanya dan 'menghukum' akan karenah suami dan kealpaan suami dalam melayari bahtera didalam sesebuah rumahtangga.



Maka, aku ingin mengambil kesempatan ini, untuk menceritakan sesuatu yang benar - benar berlaku. Bukan berlaku keatas diriku, tetapi berlaku keatas seorang sahabat aku. Buat pengetahuan anda, pengunjung yang dihormati sekalian. Sahabat aku ini bertaraf seorang ulamak (ustaz lulusan dari Universiti di Jordan).




Kata sahabatku ini:


Lelaki adalah RAJA didalam rumahtangga.
Lelaki adalah PEMIMPIN didalam rumahtangga,
Lelaki adalah KETUA didalam rumahtangga,
Lelaki adalah JAGUH didalam rumahtangga,
Lelaki adalah SEGALA - GALANYA didalam rumahtangga.



Pendek kata, KATA PEMUTUS didalam rumahtangga adalah ditangan lelaki. YA ! Aku secara peribadi terlalu amat bersetuju dengan kenyataan itu. Kerana aku adalah lelaki !!!



Sekarang mari kita ikuti kisah seorang RAJA, PEMIMPIN, KETUA, JAGUH dan segala - gala yang HEBAT.



Sebagai seorang RAJA, kita mestilah sentiasa memenuhi segala keperluan rakyat jelata. Adakah cukup makan minum mereka, adakah segala keperluan mereka dipenuhi. Yang paling penting, adakah rakyat kita menyempurnakan tuntutan dalam beragama, ini bermakna, jika rakyat tidak bersolat, maka RAJA akan dipersoalkan terlebih dahulu.


Sebagai PEMIMPIN, adakah kita seorang yang mempunyai ilmu yang mencukupi untuk memimpin rakyat yang terdiri dari pelbagai golongan ? Adakah kita merujuk kepada memanda menteri bilamana terdapat sebarang kesulitan atau permasalahan yang tidak dapat diselesaikan ?


Sebagai KETUA, adakah kita bersikap ADIL dalam melaksanakan atau menjatuhkan sebarang hukuman ? Atau sudahkah kita melaksanakan KEADILAN itu sendiri sebelum kita bertanya kepada orang lain ?


Sebagai seorang JAGUH, adakah kita telah berjaya membuktikan bahawa sememangnya kita hebat walau dimana kita berada ?


Maka bermulalah kisah sahabat aku ini.


Pada jam 5.30 pagi, beliau telah pun bangun dari tidur, terus sahaja menuju ke dapur dan mengeluarkan kain baju yang telah dibasuh oleh 'mesin basuh'. Dan tanpa membuang masa, terus sahaja menadah air kedalam cerek untuk dimasak. Setelah air penuh, terus dimasak, kerana menggunakan 'cerek elektrik'.


Tuala dicapai, terus sahaja masuk kedalam bilik air untuk mandi dan berwuduk. Keluar sahaja dari bilik air, terus menggerakkan anak - anak dan isteri. Waktu itu jam telahpun menunjukkan pukul 6.15.


Anak - anak terpaksa dibangunkan berkali - kali, kerana itukan perangai anak - anak. Isteri telahpun berada didalam bilik air. Seorang demi seorang anak - anak digerakkan dengan sepenuh perasaan kasih sayang, walaupun ada ketikanya mereka agak liat untuk bangun.


Usai menggerakkan anak - anak, dan sambil menunggu seorang demi seorang keluar dari bilik mandi, sejadah dihamparkan. Dan sambil itu, pakaian sekolah anak - anak diatur supaya anak - anak tidak lagi tercari - cari dimana pakaian sekolah mereka.


Setelah semuanya bersedia, maka si RAJA, PEMIMPIN, KETUA dan JAGUH ini, terus sahaja melaungkan iqamah. Selesai berdo'a, terus sahaja mengangkat takbir dan bersolat beramai - ramai.


Usai solat, si RAJA, PEMIMPN, KETUA dan JAGUH ini, terus sahaja membancuh air kopi, milo, ovaltin dan menyediakan sarapan pagi. Sementara itu, si isteri terus sahaja bersiap dan bersolek dengan seadanya sahaja (maklumlah jaman sekarang, ISTERI PUN BEKERJA).


Dalam keadaan semuanya sedang menikmati sarapan ala kadar, maka si RAJA, PEMIMPIN, KETUA dan JAGUH ini, terus sahaja mengangkat anaknya yang masih kecil, didukung dan dibawa kerumah ibunya yang terletak bersebelahan dengan rumahnya).


Setelah itu, sahabatku ini, terus sahaja menghidupkan enjin motorsikal, lalu menghantar anak - anaknya seramai dua orang kesekolah yang berhampiran dengan rumah mereka. Selesai, tugasan itu disambung lagi, kerana perlu menghantar seorang lagi anak kesekolah agama yang juga terletak tidak jauh dari rumah mereka.


Kembali dari menghantar anak. Sahabaku ini terus sahaja memandu kereta dan menghantar isterinya yang bertugas sebagai guru agama.


Disebelah petang, sahabatku ini mengambil isterinya pulang dari tempat kerja. Sampai sahaja dirumah, sahabatku ini terus sahaja mengutip pakaian dari jemuran, dan mengutip pakaian kotor dimasukkan kedalam bakul pakaian. Sambil itu, sayur - sayuran dan lauk pauk atau ikan yang masih belum dimasak dikeluarkan dari peti sejuk.


Tanpa rehat, terus sahaja masuk kedalam bilik air, untuk membersihkan tubuh dan terus berwuduk, sambil mengarahkan anak - anaknya supaya bersegera untuk mandi. Kerana anak - anak akan dibawa ke surau untuk bersolat. Pulang sahaja dari solat, anak - anak semuanya menghadap si bapa untuk mengaji Al - Qur'an. Bukan lama, hanya mengambil masa selama 1/2 jam sahaja. Sambil mengajar, sahabatku ini terus sahaja mencapai pakaian dan melipatnya. Dan mengasingkan yang mana pakaian yang perlu digosok.


Usai mengaji, sahabatku ini terus sahaja mengambil pinggan mangkuk dan segala yang perlu untuk menyediakan juadah untuk makan malam. Sambil si isteri membaca akhbar dan melayari internet sebentar, kerana masakan yang disediakan adalah yang mudah dan ringkas.


Selesai makan, masing - masing berbual sebentar. Terus sahaja sahabtku ini mencuci pinggan mangkuk dan cawan yang kotor. Sambil isterinya membelek buku untuk tugasan keesokan harinya.


Si anak terus sahaja belajar sambil dipantau oleh isterinya.


Sahabatku membelek buku - buku latihan anak - anaknya, sambil tangannya terus sahaja menggosok pakaian untuk dipakai esok hari.


Pukul 10.oo malam, si isteri masuk kedalam bilik anak-anak untuk menidurkan mereka sambil berbual dan melayan karenah anak - anak.


Manakala sahabatku ini, memasukkan pakaian kedalam mesin basuh. Sambil itu melihat dan memeriksa pintu dan tingkap supaya tidak ada yang terbiar atau terbuka atau tidak berkunci.


Manakala si isteri telah berada didalam kamar, sambil bersolek dan bersiap sedia menanti kehadiran suami tercinta.


Tepat jam 11.30 malam, sahabatku ini memberikan salam untuk masuk kedalam kamar, sambil tersenyum memandang isterinya yang kelihatan mengghairahkan. Lalu sahabatku ini merebahkan tubuhnya, dan jari - jemari isterinya terus sahaja mengurai rambut suami tercinta. Tiba - tiba kedengaran suara ...... "krozzzzzzz" .... Astagfirullahhalazim. Si suami terus sahaja TIDUR MATI. Tanpa sempat membuktikan ke JAGUHannya.


Maaf, Maaf kepada pengunjung sekalian. Ini bukan kisah SEKS RUMAHTANGGA. Tapi, inilah HAKIKAT dan KENYATAAN yang MESTI diterima oleh semua.


Kaum lelaki sering menyangka yang urusan rumahtangga adalah tugas mudah. Dan sering mempersoalkan kenapa isteri TIDAK ADA MASA untuk diri sendiri. Tidak tahu untuk menggunakan 'killer dress', tidak tahu untuk mencantikkan diri dihadapan suami. Dan kerana itu, si suami "MEMANDANG" wanita lain diluar rumah.


Ini sebenarnya adakah kisah SEBENAR yang berlaku kepada sahabatku, dan inilah juga kisah hidupku yang sebenar !!!!!! Kerana bagi kami, selagi kami tidak menjalankan tugas sebagai RAJA, PEMIMPIN, KETUA dan JAGUH. Maka selagi itulah tugas SEBENAR sebagai seorang KHALIFAH tidak akan terlaksana.


Yang penting adalah faham memahami dan kerjasama serta bertimbang rasa dalam kehidupan suami isteri.

# HAKIKATNYA - tugas rumahtangga adalah yang paling berat dan mencabar !

Friday, December 28, 2007

Macam - macam kisah (33)



Kisah 1 - Pesakit yang bertambah sakit.



Sewaktu berada didalam wad tempohari, ada ketikanya aku berjalan - jalan diluar bilik. Selain dari untuk 'menggerakkan' anggota tubuh yang terasa kaku, akibat terlalu lama tidur dan terbaring. Aku bertemu dengan seorang pakcik (dalam lingkungan umur 70 tahun). Aku yang mula menyapanya, sewaktu beliau sedang duduk dikerusi diluar bilik dihadapan kaunter.



Perbualan kami yang bermula diluar, akhirnya bersambung kedalam bilik pakcik ini. "Wah, hebat betul pakcik ini" aku berkata didalam hati. Manakan tidak, biliknya adalah didalam kategori wad kelas satu.



Lalu tanpa sengaja, terpacul soalan yang bagiku bukannya luar biasa, tetapi membuatkan pakcik ini menitiskan airmatanya. "Ahli keluarga pakcik tak datang ke?"



Pakcik ini hanya memandang keluar bangunan, "sebenarnya, susah nak cakap dan panjang ceritanya."



Aku yang melihat situasi pakcik ini, cuba untuk menukar situasi dengan berkata "tak mengapa pakcik, bagi je cerita tu jadi pendek", aku cuba bergurau.



"Sebenarnya, pakcik masuk kesini atas nama syarikat pakcik ..." ceritanya tersekat.



"Sebenarnya ... pakcik ada 11 orang anak dari tiga isteri, malangnya, semua isteri pakcik tak boleh bertemu antara satu sama lain, begitu juga dengan anak - anak pakcik, semuanya akan bergaduh kalau mereka berjumpa, ada sahaja yang tak kena. Itulah sebabnya pakcik kata, kalau datang untuk bergaduh depan pakcik, lebih baik jangan datang!"



# Aku terkedu, aku terkelu, aku terdiam.





Kisah 2 - Isteriku menjadi jurucakap.


Jangan ingat bila kita masuk hospital, dan tinggal di wad, kita akan dapat berehat sepenuhnya.



Dari segi fizikal, memang kita kelihatan berehat. Tetapi dari segi hakikatnya, MULUT kita terpaksa dan dipaksa untuk bercakap.



Bayangkan, selama 4 hari aku berada didalam hospital. Kaum keluarga, rakan dan sahabat begitu ramai yang menziarahi. Semuanya bertanya pelbagai soalan dan pelbagai perkara tentang penyakit dan apa yang terjadi kepada aku.



Dan sudah pasti aku terpaksa 'mengulang dan mengulang' jawapan yang sama. Akhirnya, isteriku 'melantik' dirinya sendiri sebagai jurucakap tak rasmi untuk menjawab segala pertanyaan dari sesiapa sahaja.



# Anakku yang sulung bertugas untuk menjawab panggilan telefon dan sms.





Kisah 3 - Waktu berpisah baru sedar.



Selama 4 hari aku berada didalam hospital, khususnya diwaktu tiada tetamu. Aku lebih suka menghabiskan waktu dengan membaca novel. Kerana membaca novel adalah umpama 'terapi minda'. Ada beberapa orang jururawat yang bertanya "Encik suka baca novel?" aku hanya tersenyum sambil mengangguk. "Saya pun suka baca, terutama novel terbitan ALAF 21" komen salah seorang jururawat yang bertugas.



Setakat itu sahaja perbualan kami yang ringkas.



Sewaktu hendak pulang, aku sempat memberikan alamat emel dan alamat blog kelab kepada jururawat yang berkenaan. Supaya kalau beliau berkesempatan, maka beliau boleh sahaja menghantarkan ulasan novel yang telah dibaca.



Sewaktu menerima kertas yang beralamat emel itu, tiba - tiba sahaja wajah jururawat yang bertugas itu seperti kehairanan. "Er, ini alamat encik ke?" Aku mengangguk, lantas bertanya kembali "kenapa?"



"Jadi ..... Encik ni presiden kelab peminat novel alaf 21 ?" seperti tidak percaya jururawat itu terus bertanya lagi kepadaku. "Ya" jawab aku spontan. "Ya Allah ... kalau saya tahu dari awal..." jururawat itu seperti tidak percaya. Aku lantas berkata "InsyaAllah, kita masih boleh berhubung, dan Cik boleh join kami, kalau ada kelapangan. Apapun, saya ucapkan terima kasih atas layanan Cik dan rakan - rakan yang lain, yang telah berusaha menjaga saya."



# Agaknya, apa yang akan berlaku, kalau jururawat itu tahu kedudukan aku dari awal ?

Friday, December 21, 2007

Berehat setelah sakit.


Pulang sahaja dari kampong, tempohari. Aku memang sudah terasa kepenatan yang teramat sangat. Aku terpaksa mengambil cuti yang sememangnya berbaki 1 hari sahaja lagi.



Kembali ke pejabat, tugasan yang terpaksa aku lakukan sudah bertimbun. Selain dari itu, mesyuarat demi mesyuarat terpaksa aku hadiri. Maklumlah, dipenghujung tahun begini, sudah pasti ramai yang akan mengambil cuti untuk dihabiskan.



Itu belum termasuk jemputan untuk menghadiri kenduri kahwin dan pelbagai lagi aktiviti luaran yang telah tertangguh.



Akhirnya dengan kuasa Allah. Sebagai seorang insan yang semakin berusia, kudrat dan tenaga aku benar - benar kehabisan. Sewaktu hendak keluar dari pejabat, tiba - tiba sahaja tubuhku terasa terlalu lemah dan akhirnya aku tumbang. Dadaku terasa sesak, aku terasa sukar untuk bernafas. Syukur alhamdulillah, masih ada seorang staff yang belum pulang. Beliau terus sahaja meluru kearahku, sambil bertanya "Kenapa Encik ? ... errr .... Encik duduk disini, saya .... saya panggil ambulan".



Namun, aku hanya menggelengkan kepala, sambil berkata, "tolong hantarkan saya ke klinik panel".


Staff aku terus sahaja meluru kearah keretanya, beberapa orang yang sedang lalu lalang dihadapan pejabat memberikan bantuan dengan mengangkat tubuhku masuk kedalam kenderaan.



Tiba sahaja diklinik panel, bantuan pernafasan terus diberikan. Tetapi memandangkan situasi aku yang tidak menampakkan sebarang perubahan, maka mereka menasihatkan supaya aku dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.



Dalam tempoh tidak sampai 15 minit (selalunya jarak antara klinik dan hospital memakan masa lebih kurang 40 minit, jadi aku tidak tahu, berapa had kelajuan yang dibawa oleh staff aku). Tiba sahaja dihospital, pihak hospital telahpun bersedia, kerana mereka telah dimaklumkan dari awal oleh klinik panel.



Yang aku sedar, aku dikelilingi oleh para jururawat dan doktor. Bantuan pernafasan diberikan, dan aku terasa seluruh tubuhku berselirat dengan wayar.



Aku hanya sedar keesokan harinya. Bila aku membuka mata, aku melihat isteri dan anak - anakku berada disekeliling katil. Bila aku bersuara sahaja, anak - anakku terus sahaja menerpa kearahku, isteriku terus sahaja mengucup dahiku, mencium pipiku bertalu - talu. Begitu juga setiap seorang anakku mencium dan memelukku seerat - eratnya.



Dari laporan doktor pakar, aku sebenarnya berada didalam keadaan 'mild stress'.



Baru hari ini, aku memulakan tugas kembali, dan inilah entri yang terbaru, tentang apa yang berlaku hingga aku tidak dapat mengemaskini blog ini.



Kepada seluruh ahli keluargaku, rakan dan sahabat yang menghubungi dan menghantar sms, mendo'akan kesihatanku. Aku ucapkan - JAZAKUMULLAH HUKHAIRAN KHATHIRA.

Friday, December 14, 2007

JUST A JOKE (3)

Upgrade System.
From Boyfriend to Husband.



Dear IT Support,



Last year I upgraded from Boyfriend 5.0 to Husband 1.0 and noticed a slow down in the overall performance, particularly in the flower, gifts and jewelry applications that had operated flawlessly under Boyfriend 5.0.



In addition, Husband 1.0 uninstalled many other valuable programs, such as Romance 9.5 and Personal Attention 6.5, but installed undesirable programs such as Formula One 5.0, Golf 3.0 and World Cup 2.0 .


And now Conversation 8.0 no longer runs and House Cleaning 2.6 simply crashes the system.


I've tried running Nagging 5.3 to fix these problems, but to no avail.


What can I do?


Signed,
Desperate Housewife






Dear Desperate Housewife,


First keep in mind:


Boyfriend 5.0 is an entertainment package, while Husband 1.0 is an operating system. Try entering the command C:\ I THOUGHT YOU LOVED ME and download Tears 6.2 to install Guilt 3.0. If all works as designed, Husband 1.0 should then automatically run the applications Jewellery 2.0 and Flowers 3.5. But remember, overuse can cause Husband 1.0 to default to Grumpy Silence 2.5, Happy Hour 7.0 or Late Night 6.1. Late Night 6.1 is a very bad program that will create SnoringLoudly.wav files .




Whatever you do, DO NOT install Mother-in-Law 1.0 or reinstall another Boyfriend program. These are not supported applications and will crash Husband 1.0. In summary, Husband 1.0 is a great program, but it does have a limited memory and cannot learn new applications quickly.




You might consider additional software to improve memory and performance. I personally recommend Hot Tasty Food 3.0 and Viagra 6.9.



Good Luck,
IT Support.

Thursday, December 13, 2007

Balik Kampong

Pada 7hb Disember yang baru lalu, sekali lagi aku pulang ke kampong halamanku di Taiping. Tetapi kali ini aku membawa bersama keluargaku.


Seminggu sebelum pulang, saban hari anak - anakku bercerita bersama saudara sepupu mereka tentang rancangan ini, begitulah telatah anak - anak, riang ria untuk pulang ke kampong untuk berjumpa dengan atuk mereka.


Aku sengaja membawa mereka pulang, kerana aku agak gusar dengan keadaan kesihatan ayahandaku yang kelihatan semakin uzur. Bak pesanan dari orang tua - tua "jangan menyesal tak sudah".


Yang paling aku kasihan sudah tentulah isteriku. Beliau bertungkus - lumus menyiapkan segala barangan keperluan dan pakaian untuk dibawa, persiapan yang mengambil masa dua hari. Maklumlah bukannya pakaian untuk seorang dua, tetapi untuk 7 orang. Termasuklah makanan dan minuman ringan sebagai bekalan diatas tren.


Maaf cakap, bagi anda yang mahu melakukan perjalanan jauh dengan menggunakan perkhidmatan tren. Lebih baik dan jauh menguntungkan, sekiranya anda membawa makanan dan minuman dari rumah. Ini adalah kerana harga makanan dan minuman yang dijual diatas tren, kebanyakannya terlalu mahal, dan ada ketikanya seperti 'tidak masuk akal.'


Tiga hari dikampong, anak - anakku seperti 'melepaskan geram'. Ada sahaja program dan projek yang dilakukan mereka. Walaupun riuh rendah dan gamat, tetapi aku perhatikan kedua orang tuaku seperti tidak jemu ataupun letih melayan karenah cucu mereka. Yang paling 'ajaib', bilamana ayahku boleh berjalan dan bermain dengan cucunya, dan tidak kelihatan seperti orang yang sedang sakit !


Hatta, ayahku boleh makan apa sahaja yang dihidangkan, sedangkan, menurut ibuku, ayah tidak boleh menjamah makanan ini, tidak boleh memakan makanan itu dan lain - lain pantang larang lagi.


Ayah dan ibu nyata gembira dikelilingi cucu - cucunya. Hinggakan, satu ketika, aku agak terperanjat bila anak - anakku dan anak saudaraku sedang makan buah rambutan. Aku lalu bertanya "siapa yang kaitkan buah ini?"


"Atuk" jawab mereka serentak !


Aku lantas menegur ibuku kerana mengaitkan buah rambutan, "kan mak tak sihat?" Ibuku hanya berbasa - basi "alah ... dah depa nak makan." Aku hanya menggelengkan kepala.


Sewaktu hendak pulang, pada malam itu, ibuku menyediakan pelbagai juadah untuk dimakan diatas tren. Dan saat paling memilukan bila seorang demi seorang anak - anakku bersalam dan memeluk atuk mereka. Ayah dan ibuku memeluk cucu - cucu mereka dengan begitu mendalam dan dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Cium tangan, cium dahi, cium pipi dan berpelukan sambil ketawa riang .... dan ayahku bertanya lagi "bila nak mai lagi?"