Pada 7hb Disember yang baru lalu, sekali lagi aku pulang ke kampong halamanku di Taiping. Tetapi kali ini aku membawa bersama keluargaku.
Seminggu sebelum pulang, saban hari anak - anakku bercerita bersama saudara sepupu mereka tentang rancangan ini, begitulah telatah anak - anak, riang ria untuk pulang ke kampong untuk berjumpa dengan atuk mereka.
Aku sengaja membawa mereka pulang, kerana aku agak gusar dengan keadaan kesihatan ayahandaku yang kelihatan semakin uzur. Bak pesanan dari orang tua - tua "jangan menyesal tak sudah".
Yang paling aku kasihan sudah tentulah isteriku. Beliau bertungkus - lumus menyiapkan segala barangan keperluan dan pakaian untuk dibawa, persiapan yang mengambil masa dua hari. Maklumlah bukannya pakaian untuk seorang dua, tetapi untuk 7 orang. Termasuklah makanan dan minuman ringan sebagai bekalan diatas tren.
Maaf cakap, bagi anda yang mahu melakukan perjalanan jauh dengan menggunakan perkhidmatan tren. Lebih baik dan jauh menguntungkan, sekiranya anda membawa makanan dan minuman dari rumah. Ini adalah kerana harga makanan dan minuman yang dijual diatas tren, kebanyakannya terlalu mahal, dan ada ketikanya seperti 'tidak masuk akal.'
Tiga hari dikampong, anak - anakku seperti 'melepaskan geram'. Ada sahaja program dan projek yang dilakukan mereka. Walaupun riuh rendah dan gamat, tetapi aku perhatikan kedua orang tuaku seperti tidak jemu ataupun letih melayan karenah cucu mereka. Yang paling 'ajaib', bilamana ayahku boleh berjalan dan bermain dengan cucunya, dan tidak kelihatan seperti orang yang sedang sakit !
Hatta, ayahku boleh makan apa sahaja yang dihidangkan, sedangkan, menurut ibuku, ayah tidak boleh menjamah makanan ini, tidak boleh memakan makanan itu dan lain - lain pantang larang lagi.
Ayah dan ibu nyata gembira dikelilingi cucu - cucunya. Hinggakan, satu ketika, aku agak terperanjat bila anak - anakku dan anak saudaraku sedang makan buah rambutan. Aku lalu bertanya "siapa yang kaitkan buah ini?"
"Atuk" jawab mereka serentak !
Aku lantas menegur ibuku kerana mengaitkan buah rambutan, "kan mak tak sihat?" Ibuku hanya berbasa - basi "alah ... dah depa nak makan." Aku hanya menggelengkan kepala.
Sewaktu hendak pulang, pada malam itu, ibuku menyediakan pelbagai juadah untuk dimakan diatas tren. Dan saat paling memilukan bila seorang demi seorang anak - anakku bersalam dan memeluk atuk mereka. Ayah dan ibuku memeluk cucu - cucu mereka dengan begitu mendalam dan dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Cium tangan, cium dahi, cium pipi dan berpelukan sambil ketawa riang .... dan ayahku bertanya lagi "bila nak mai lagi?"