Sunday, June 08, 2008

Sketsa - Ubah cara hidup.

Sketsa 1 - Timbang dan Bilang.


Aku: "Berapa semua apek?"
Apek: "Sulat kaba 2 kilo, botol kaca anam, botol plastik besar 4, botol plastik kecik tak kira".
Aku memandang apek dengan terkulat - kulat.
Aku: "Berapa semua apek?" aku bertanya sekali lagi.
Apek: "semua anam linggit anam puluh sen".
Aku: "Kenapa botol kecik tak kira pakai timbang?"
Apek: "Siapa pun tak mau beli maa"
Aku: "Kalau macam tu, aku ambil balik".
Apek: "Lu mau buat apa dengan itu botol kecik?" Apek bertanya kehairanan.
Aku: "Habis tu, Apek mau ka ?" "lu kata tak ada orang mau beli". Aku sengaja menduga.
Apek itu menggaru kepala.


# Alhamdulillah - rezeki ada dimana - mana.




Sketsa 2 - Mandi kah atau peluh kah ?


Sampai sahaja dipintu surau, yang terletak hampir satu kilometer dari rumahku. Aku ditegur oleh Pak Siak yang bertugas.


Pak Siak: "Assalamu'alaikum"
Aku: "Alaikumsalam warahmatullah hiwabarokatuh"
Pak Siak memandang aku sambil matanya terkebil - kebil.
Pak Siak: "Apa kena dengan kamu ni?" "Basah kuyup baju kamu?"
Aku: "Berpeluh pak cik... berjalan dari rumah ke sini"
Pak Siak: "Eh, kemana perginya motorsikal kamu?"
Aku: "Sengaja tinggalkan dirumah... ikut saranan kerajaan... ubah cara hidup...jimat minyak".
Pak Siak: "Ya tak ya juga, daripada membazir minyak naik motor...lebih baik jalan kaki".
Aku: "Masalahnya kaki saya dah sengal sebab jalan jauh, balik nanti kena urut ... kena pakai minyak juga".
Pak siak memandang aku tanpa berkata apa - apa.


# Minyak naik dengan naik minyak sama sahaja bahananya !




Sketsa 3 - Ubah cara hidup, makan di Masjid atau Surau.


Sewaktu melangkah keluar dari rumahku untuk ke surau. Isteri ku bertanya:

Isteri: "Malam ini, abang balik makan dirumah ke?"
Aku: "Tak, abang makan di surau".
Isteri: "Ada ceramah ke?"
Aku: "Ha'ah, lepas ceramah ada makan, pihak surau masak nasi hari ni"
Isteri: "Jimat belanja hari ini".
Aku: "Alhamdulillah, mintak mintaklah surau masak nasi tiap tiap hari, jadi jimat beras dirumah".


# Aktifkan jawatankuasa dan program di surau di kawasan anda ! Banyak faedahnya !

Friday, June 06, 2008

REZEKI datang lagi ...

Sepanjang cuti sekolah. Seperti kebiasaanya, rumahku sering sahaja dikunjungi sanak saudara dan rakan taulan. Ada ketikanya tidak putus kunjungan. Malahan, tidak kurang juga saudara dekat dan jauh yang tidur semalam dua dirumah.



Tetamu datang membawa 'rezeki'. Ya, memang benar sekali kata - kata itu. Setiap tetamu yang datang, ada sahaja buah tangan yang dibawa. Dan ada ketikanya, ruang meja 'melimpah' dengan makanan yang dibawa oleh tetamu.



Entah kenapa, sikap atau perangai aku dari dahulu, seandainya ada tetamu yang menyatakan hasrat untuk datang ke rumah. Aku (dengan sengaja atau bersahaja) akan berkata "makan dirumah tau!" Dari situ, ruang perbincangan telah dibuka. Ada tetamu yang akan berkata "Eh, tak payah bang, tak payah susah - susah, kami sebenarnya kena makan diluar...", dengan itu sebenarnya menyenangkan isteriku sendiri, kerana beliau tidak perlu untuk masak lebih.



Dan ada juga yang menyatakan "Ok, kami tak kisah..." maka isteriku sudah tentu merasa mudah untuk menyediakan berapa banyak hidangan yang perlu disediakan.



Berbalik kepada 'tetamu membawa rezeki'. Apatah lagi, disaat ini, apabila ramai yang mengetahui 'status' dan 'kedudukan' aku. Makin murah pula rezeki yang datang. Ada adik beradik yang datang berdua, suami isteri sahaja, tetapi makanan yang dibawa, begitu banyak, melimpah ruah, hingga boleh dimakan hingga sehari dua.



Hari ini, datang lagi rezeki. Saudaraku (sepupu aku), dan familinya (warga Singapura), datang kerumah, setelah 15 tahun tidak berjumpa. Punyalah sakan berborak, akhirnya beliau menyedari sesuatu "eh, abang tak kerja ke hari ini ?" Apabila beliau melihat aku berada dirumah pada waktu bekerja. Barulah aku berterus - terang menyatakan apa yang terjadi kepada aku. Beliau dan keluarga menyatakan simpati yang teramat sangat.



Maka, selama dua hari menetap dirumahku. Segala makan minum 'ditanggung sepenuhnya' oleh sepupu ku itu. Malah, malam tadi, kami keluar untuk makan malam disebuah restoran makanan laut ditepi pantai Pelabuhan Klang sambil menikmati panorama malam.



Sewaktu menikmati makan malam itu, kami berborak tentang pelbagai perkara. Sewaktu aku memperkatakan tentang harga minyak yang naik melampau dan keterlaluan. Sepupu ku ini memberikan komen spontan "I really respect, masa Dr Mahathir jadi PM, dia begitu hebat handle economy, walaupun ada yang kata dia keras, tapi from other side .... dia berjaya memacu ekonomi ... tapi sayang .... Pak Lah terlampau lemah ..."



Aku sengaja memprovok "apa pendapat you tentang Anwar?"



Lalu dijawab oleh sepupu aku dengan bersahaja "ok, begini, kalau bercakap tentang politik, rasanya boleh buat orang bergaduh, tapi ingat, I'm Singporean, I tak boleh mengundi sesiapapun disini ... that's for sure ... I pun tak memihak kepada mana - mana parti ... either UMNO, or PAS ... as an extrimist party... or KeADILan, lead by Anwar ... but for me ... kenapa kita takut sangat nak buat decision ... for our future ? Kalau dia (Anwar) boleh melakukan yang terbaik .... sebagai contoh ... dia kata dia boleh turunkan harga minyak ... maka ... eh, dia kan bekas PM dan bekas Menteri Kewangan ! So what ?!



Aku hanya tersenyum mendengar pendapat dari seorang rakyat luar negara. Yang sudah pasti tidak menjadi ahli mana - mana parti politik di Malaysia.



Syukur Alhamdulillah, aku mendapat 'dua rezeki serentak'. Makan percuma, maklumat percuma.

Thursday, June 05, 2008

Harga BARANG NAIK lagi.

HARI INI, YA HARI INI.



PM kata ini adalah situasi "menang - menang". Aku memang tidak faham langsung. YA, bukan sekadar kurang faham, tetapi memang tidak faham langsung !



"Apek, lu faham ka?"

"Wa pun tak faham, sebab wa kayuh basikal maa ... "



Sunday, June 01, 2008

Sempena 50 TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA.


Bersempena dengan sambutan 50 tahun TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA. Jubli emas. Maka pada awal pagi tadi, aku dibawa oleh adik iparku, seorang Kapten (U), ke Subang.



Sebenarnya, beberapa hari sebelum ini, aku sememangnya keberatan untuk pergi kesana. Apatah lagi dengan kedudukan aku yang masih terumbang - ambing. Kataku kepada isteriku "kalau keluar sahaja dari rumah, tentu nak guna banyak duit, duit minyak, tol, makan minum diluar..."



Isteriku hanya mendiamkan dirinya sahaja. Dia memang faham dengan situasi kami yang begitu kritikal diwaktu ini. Walaupun begitu, hatiku sering terdetik, bila mengenangkan rintihan anak - anakku yang begitu kepingin untuk melihat pertunjukan udara di Subang.



Lagipun, ini bukannya pertunjukan biasa, malah ini adalah sejarah, dimana TUDM mengadakan pertunjukan sempena 50 tahun penubuhannya. Dan yang paling menariknya, pertunjukan iu diadakan begitu dekat dengan kawasan aku di Pelabuhan Klang, dimana jarak perjalanannya tidak sampai 30 minit.



Namun akhirnya, dengan ketentuan Illahi. Tiba - tiba sahaja adik iparku mendapat pelepasan selama dua hari. Beliau yang bertugas di TUDM Kuantan, menalifon isteriku (kakaknya), memaklumkan tentang hasratnya untuk membawa aku sekeluarga ke TUDM Subang. Apa lagi, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, apabila aku menyatakan persetujuan untuk pergi, maka riuh rendah rumahku dengan sorakan kegembiraan anak - anakku (termasuk isteriku).



Inilah dinamakan rezeki. Bukan sekadar dibawa keluar untuk menyaksikan pertunjukan itu, malahan segala kos ditanggung sepenuhnya oleh adik iparku itu. Sementelahan pula beliau masih bujang.



Yang menariknya, kenderaan yang aku bawa itu, telah melepasi semua halangan dikawasan TUDM. Yang sememangnya dikawal ketat. Manakan tidak, adik iparku memakai pakaian (overall) anggota TUDM, berpangkat Kapten. Setiap selekoh atau persimpangan jalan, kami sentiasa menerima tabik hormat. Hingga aku sendiri terasa 'semacam' sahaja.



Lalu aku dengan bersemangat, menyatakan kepada anak - anakku "ingat, kalau nak orang tabik hormat kat kita, kena belajar rajin - rajin, masuk askar" Lalu, dengan spontan anak - anakku menjawab dengan jeritan penuh semangat "baik Tuan!"



Pertunjukan yang diadakan bukanlah setaraf dengan pertunjukan LIMA di Langkawi, tetapi syukur Alhamdulillah, sekurang - kurangnya, anak - anak ku didedahkan dengan jet - jet pejuang tempur dan pertunjukan kecanggihan jet - jet pejuang, khususnya MiG-29N. Yang menunjukkan kehebatannya diudara. Jet MiG-29N adalah diantara jet pejuang yang tercanggih didunia setakat ini.


Dan begitu juga dengan pertunjukan jet SUKHOI, yang ternyata hebat ! Dan memukau hadirin.



Usai pertunjukan, aku dan keluarga telah menikmati makan didaerah TTDI. Maklumlah, 'orang pokai', sewaktu hendak memesan makanan, aku hanya mendiamkan diri sahaja, tetapi syukur alhamdulillah, adik iparku dengan bersahaja telah memesan nasi beriani. Apa lagi, 'bersantaplah' kami sekeluarga dengan penuh nikmatnya.



Anak - anakku begitu gembira dengan pemberian cap - MiG-29N. Dan inilah kenangan yang tidak akan dapat dilupakan.



Syukur Alhamdulillah dengan setiap pemberian dari MU - YA ALLAH.


TERIMA KASIH aku ucapkan buat adik iparku - KAPTEN (U). Jasamu tidak terbalas !

Saturday, May 31, 2008

Sistem Pesanan Ringkas.

Saya memohon ampun dan maaf kepada sesiapa sahaja yang menghantar sms. Kerana atas sebab - sebab tertentu. Saya tidak dapat membalasnya.


Harap maklum.

Ulasan Novel

Ulasan novel


Klik disini

Wednesday, May 28, 2008

Friday, May 23, 2008

Catatan Seorang PENGANGGUR (2)

DUKA LARA.



Tiada apa yang mampu aku lakukan lagi. Aku tidak tahu apakah ini adalah undang - undang atau peraturan. Selama seminggu ini, aku berulang - alik, antara hospital, klinik dan balai polis trafik.



Tubuh aku masih sakit, masih sengal dan masih terasa bisa dibahagian sendi. Sakitnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Lukanya dari siku hingga ke pergelangan tangan, calar yang begitu teruk akibat dari kulit yang tersiat sewaktu jatuh dari motorsikal. Manakala dibahagian lutut, lukanya sudah kelihatan semakin surut, tetapi aku tetap menahan sakit, sewaktu hendak sujud.



Anakku hingga hari Rabu, masih berjalan terhinjut - hinjut, akibat kecederaan dibahagian lutut, namun tetap pergi ke sekolah, kerana ujian belum selesai. Kakinya sentiasa berbalut.



Malang sejuta kali malang nasib aku kini. Hari Khamis, sekali lagi aku pergi ke balai polis cawangan trafik. Bertemu dengan seorang peguam, dimana beliau menyatakan bahawa, aku tidak akan mendapat sebarang pampasan. Kalau ada sekalipun, aku hanya akan mendapat bayaran pampasan kurang dari RM1000. Dan tidak ada mana - mana peguam yang akan mengambil kes aku, kerana bayaran guaman pun tidak lepas. Ini bermakna, aku perlu berusaha sendiri, dan tempoh masanya mungkin akan mengambil masa antara 1 hingga 5 tahun ! Dan kalau aku perlu ke mahkamah, maka semua kos aku perlu tanggung sendiri.



Aku mencuba untuk mendapatkan nombor telefon pemilik kenderaan yang terlibat. Namun pihak polis menyatakan bahawa, aku tidak boleh dan tidak dibenarkan untuk mendapatkan rahsia peribadi pemilik kenderaan itu. Jadi, sekarang bagaimana aku hendak menyelesaikan kes aku ?



Seperkara lagi, selepas berbincang dengan pegawai atasan polis trafik dan peguam itu. SAH, mereka menyatakan bahawa aku tidak boleh atau tidak berpeluang untuk mendapat pampasan, kerana aku tidak bekerja. Atau dengan erti kata lain, aku tidak boleh membuat tuntutan PERKESO atau SOCSO kerana aku seorang - PENGANGGUR !



Dalam erti kata lain, walaupun aku telah bekerja selama 20 tahun, tetapi bila aku menganggur dan terjadi sesuatu, maka aku tidak dapat berbuat apa - apa.


Ya ALLAH ! Beginikah undang - undang ?

Dimana aku hendak membuat tuntutan atas rawatan kecederaan ku ?
Dimana aku hendak membuat tuntutan keatas rawatan kecederaan anak ku ?
Gigi kekal anakku pecah.
Seluarnya koyak.
Seluar aku juga koyak.
Motorsikal rosak, cermin pecah, clutch bengkok.


Semuanya KOS yang aku perlu tanggung SENDIRI sebagai seorang PENGANGGUR !

Thursday, May 15, 2008

Diari Seorang PENGANGGUR (1)

Aku Redha, Aku Pasrah. Itulah ketentuanNya !



Seperti biasa, seawal jam 7.00 pagi, aku akan bergegas menunggang motosikal untuk menghantar anak ku yang kedua, yang berada didalam darjah 5 ke sekolah Anglo Chinese School (ACS) Klang, yang terletak 3 km dari rumahku.



Dan, seperti kebiasaan juga, laluan ke sepanjang perjalanan ke arah Bandar Klang sememangnya sibuk dan sesak. Kesesakan jalanraya sememangnya perkara lumrah.



Begitu juga laluan untuk ke sekolah ACS. Namun, kesesakan yang berlaku pada pagi tadi agak teruk. Namun, bagi penunggang motosikal seperti aku, ianya adalah agak mudah untuk diatasi.



Seperti kebiasaan juga, aku tergolong didalam golongan penunggang @ pemandu yang tidak gemar membawa kenderaan dengan laju.



Namun, bak kata pepatah, kalau sudah takdir. Dan malang memang tidak berbau. Sewaktu aku memotong kenderaan lain yang bergerak perlahan. Maka, secara tiba - tiba, sewaktu aku berada ditepi sebuah kereta jenis Toyota lama. Tiba - tiba sahaja pemandunya memberikan lampu isyarat untuk memotong, dan dalam sekelip mata sahaja, kenderaan itu keluar dari laluannya.



Maka berlakulah tragedi yang tidak ku duga. Dimana, motosikal yang aku tunggang, sudah tidak dapat dikawal, dan terus bergesel dengan kereta itu. Dan aku serta anak aku terus terjatuh diatas diatas jalanraya, terbalik bersama - sama dengan motorsikal yang aku tunggangi.



Kaki kiri aku dan kaki kiri anak aku tersepit dibawah motorsikal yang jatuh. Bila melihat kejadian itu, beberapa orang penunggang motorsikal yang berada berhampiran dengan aku terus sahaja memberikan bantuan segera.



Hati aku memang benar - benar terasa panas diwaktu itu, kerana pemandu kereta itu tidak langsung mahu mengaku kesilapannya yang cuai dan tidak berhati - hati serta berhemah dijalanraya. Beberapa orang penunggang yang ada disitu juga meluahkan perasaan marah mereka, dimana ada yang berkata dengan nada seperti orang yang hendak bergaduh.




"Heiii .... aku nampak tadi ... very clear ... engkau baru bagi signal dan terus masuk tengah jalan sebab nak potong..."



Aku yang masih lagi kebingungan, terus sahaja memapah anak ku yang terbaring diatas jalanraya, aku angkat dan letak ke tepi jalan. Anak aku terus sahaja menangis kesakitan yang teramat sangat. Aku hanya mampu berkata "Uzair, jangan menangis ya sayang..."



Aku melihat mulutnya berdarah, membasahi wajah dan baju sekolahnya. Manakala kakinya tidak dapat digerakkan. Seluarnya terkoyak. Kelihatan darah pada bahagian lututnya.



Beberapa orang kelihatan cuba menghubungi ambulan. Dan aku sendiri diwaktu itu, seperti orang yang dalam keadaan cemas dan mabuk. Nasib baik beberapa orang pemuda, memberikan kata perangsang kepada aku untuk bersabar, dan mereka cuba menghubungi isteri aku.



Setelah, aku dapat menghubungi isteri aku. Aku terus sahaja meminta agar beliau mencatatkan maklumat yang aku berikan. Seperti nama pemandu kenderaan, nombor pendaftaran, jenis kenderaan, waktu berlaku. Aku juga sempat menasihati isteri aku supaya bertenang. Walaupun pada hakikatnya, aku sendiri berada didalam keadaan cemas yang teramat sangat.



Seorang wanita, memberikan nasihat agar aku tidak menunggu ambulan. Dan wanita ini terus sahaja menawarkan diri untuk menghantar aku dan anak ku ke hospital. Tanpa banyak bertanya, seorang pemuda terus sahaja mengangkat anak ku masuk kedalam kenderaan MPV milik wanita itu. Manakala seorang pemuda yang lain terus sahaja meletakkan motorsikal aku ditempat yang agak selamat, dan terus sahaja menyerahkan kuncinya kepada aku. Hanya ucapan terima kasih sahaja yang mampu aku ucapkan kepada pemuda itu.




Sebaik tiba dihospital, dibahagian kecemasan. Beberapa orang staff hospital terus sahaja memberikan bantuan kecemasan kepada anak ku. Manakala aku terus berada dikaunter pendaftaran. Diwaktu itu, barulah aku sedar, rupanya aku juga mengalami kecederaan serius. Tangan ku disebelah kiri telah cedera akibat bergesel dijalanraya, begitu juga lutut aku telah mula membengkak. Dan, seluar aku juga terkoyak. Mungkin, demi memikirkan keadaan anak ku, hingga menyebabkan aku tidak sedar, aku juga senasib dengannya.



Selepas mendaftar, hati aku terus gelisah, memikirkan keadaan anak ku yang berada didalam wad kecemasan. Lantas, aku terus sahaja mengirimkan sms kepada beberapa orang rakan dan teman seperjuangan.



Sms yang berbunnyi ~ "Do'akan anak saya selamat, kami terlibat dengan kemalangan". Dalam beberapa ketika sahaja beberapa orang telah menghubungi aku. Termasuk Pengurus Besar ALAF 21, Encik Norden dan novelis Norzailina Nordin.



Setengah jam kemudian, barulah aku melihat staf hospital menolak troli anak ku keluar dari bilik X-Ray. Bila dianalisis, Dr. memaklumkan yang anak ku tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Tulangnya berada didalam keadaan yang baik. Cuma luka dibahagian luar sahaja, dan mengalami bengkak.



Dan Dr. terus memaklumkan yang aku dan anak ku boleh pulang. Syukur Alhamdulillah. Selesai menghantar anak ku pulang, aku dan isteri ku bergegas ke Balai Polis Trafik, untuk membuat laporan.



Usai membuat laporan, sewaktu keluar dari pejabat polis trafik, tiba - tiba aku dikejutkan dengan kehadiran orang kuat ALAF 21 yang juga Pengurus Besar ALAF 21, iaitu Encik Norden disertai oleh Kak Wan, Ruby, Molee dan Diddy.



Rupa - rupanya, setelah mendapat sms dari ku, mereka terus sahaja bergegas ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah. Namun, sewaktu mereka tiba, aku dan keluarga sudahpun meninggalkan hospital.



Aku merasa begitu terharu dengan kedatangan mereka, yang begitu mengambil berat tentang diri ku. Encik Norden turut menghulurkan sedikit sumbangan dari kakitangan ALAF 21. Ini membuatkan aku terasa sebak dan terharu. Kerana, sepertimana yang ramai ketahui, sehingga kini, aku masih tidak mempunyai sebarang pekerjaan.



Dikesempatan ini aku ingin mengucapkan TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada semua, yang mengirimkan sms, yang menghubungi aku, dan memberikan pelbagai pandangan untuk membantu aku.



Kepada Encik Norden, kakitangan ALAF 21, rakan - rakan dan novelis semua. Aku ucapkan TERIMA KASIH. Semoga ALLAH sahaja yang berkuasa membalas kebaikan kalian semua.



Klik disini untuk melihat gambar. Aku petik khusus dari Laman Web ALAF 21.



Sewaktu entri ini ditulis. Aku berada didalam keadaan yang kurang sihat. Terasa sakit dan sengal diseluruh tubuh aku.



Tapi, yang pasti. Aku PASRAH, AKU AKUR, dan AKU REDHA dengan TAKDIRNYA. Airmata ku terus mengalir...

Friday, May 09, 2008

Catatan Seorang PENGANGGUR

Munajat seorang PENGANGGUR.


Hari ini telah genap 70 hari, aku tidak bekerja. Menjadi PENGANGGUR. Perasaan ? RESAH, GELISAH, TAKUT, RISAU, RIMAS, HINA, FIKIRAN BUNTU.



Ramai yang memberikan nasihat agar BERSABAR. Ya, sudah 70 hari aku bersabar. Dan InsyaAllah, aku akan terus bersabar.



Sudah berusaha ?



Inilah FAKTA dan HAKIKAT:-



17 Syarikat Perkapalan.
9 Syarikat Jual Beli kereta terpakai.
23 buah restoran.
5 buah pasar malam.
4 buah syarikat kawalan keselamatan.
3 buah hipermarkat.
2 buah perbadanan kemajuan kerajaan tempatan.
2 buah syarikat pengangkutan.



Itulah senarai pendek, tempat dimana aku berusaha dan bertanya andainya ada jawatan kosong. Dari tepi pantai Pelabuhan Klang, hingga ke pusat bandar Kuala Lumpur. Dari tepi longkang distesen komuter (manalah tahu kalau ada kerja sebagai pemotong rumput), hinggalah ke pejabat yang berpermaidani setebal 1 kaki. Dari penemuduga yang berwajah bengis hinggalah kewajah pan-asian, dari lelaki, wanita hinggalah yang tiada identiti jelas. Semuanya telah kutempuhi.




Cuma, aku belum buat kerja dengan memegang tin kosong dan duduk diatas jambatan. Tetapi seandainya, anak aku lapar dan aku tidak mampu lagi untuk menyekolahkan anak, maka aku tidak akan malu untuk berbuat demikian. Bukan bergurau, tetapi DEMI ALLAH aku akan lakukan !



Buat masa ini, aku sudah TIDAK BERDAYA lagi, aku sudah terlalu letih untuk ditemuduga. Dan yang pasti, wang untuk gambar foto (resume) pun adalah dari wang simpanan isteriku, yang berjumlah tidak sampai RM500.00.



Kini, aku memang tidak berbuat apa - apa lagi, aku hanya tinggal didalam masjid dikampung aku. Aku hanya bermunajat dihadapan Allah. Aku MENYERAH diri kepadaNya. Aku sudah tidak berdaya lagi. Aku sudah tidak mampu berhadapan dengan ujian dan dugaan ini.

Wednesday, May 07, 2008

Sebutir Permata Anak Bangsa

MENJEJAK WARIS LEFTENAN ADNAN.




Kepada pengunjung Blog Abang Long yang dihormati. Entri pada kali ini, lebih kepada usaha mencari WARIS kepada Pejuang Bangsa yang hampir dilupakan iaitu LEFTENAN ADNAN.



Abang Long merasakan satu keperluan kepada rakyat negara ini, untuk mencari kembali warisan sejarah atau orang perseorangan yang telah banyak menabur jasa dan berkorban untuk negara tercinta.



Diharap, kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sebarang maklumat tentang diri LEFTENAN ADNAN mahupun yang mengetahui dimana waris beliau berada, agar dapat memberikan maklumat itu disini. Atau boleh sahaja tinggalkan jejak anda di Blog ini.


Segala maklumat dan kerjasama yang diberikan amatlah dihargai.

Thursday, May 01, 2008

NOVEL yang memberikan KEPUASAN !



Syukur Alhamdulillah. Aku telah selesai membaca novel - novel diatas. Bukan sekali, tetapi dua kali !



Dua patah perkataan yang boleh aku berikan setelah selesai membaca novel diatas. KEFAHAMAN & KEPUASAN !



Bayangkan selama bertahun lamanya. Aku menghadap para ustaz, para ulamak, para kiai, hatta berhadapan dengan mereka yang bertaraf Proffesor dalam pengajian Islam. Untuk mendapatkan ilmu dan menadah kitab, khususnya yang berhubung dengan SEJARAH ISLAM. Namun, "bayangan" atau "gambaran" tentang sejarah kepahlawanan Islam itu sendiri agak kabur !



Sememangnya kisah tentang Nabi Muhammad dan para sahabat, khususnya kisah dan perjalanan hidup para Khalifah Amirul Mukminin, begitu banyak diperkatakan. Namun, kisah para sahabat yang lain, yang sama - sama berjuang disisi Rasulullah, begitu kurang diperkatakan, sedangkan, perjuangan dan pengorbanan mereka juga begitu hebat dan menjadi bahan sejarah.



Seperkara lagi yang boleh dibanggakan dengan novel diatas. Selain dari ianya mempunyai konsep seperti bercerita, ianya juga mengandungi dialog, yang mana ini sudah pasti tidak membosankan !



Ya, satu perkara yang tidak dapat dielakkan, malahan menjadi satu perkara yang normal, bila sahaja kita 'menghadap' buku sejarah, akan ada pembaca yang akan tertidur. Banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu 'tidur' ketika membaca buku sejarah.



Kepujian harus diberikan kepada penulis novel ini, kerana daya usahanya untuk menghasilkan sebuah kisah sejarah dalam bentuk sebuah novel.



Bilamana kisah sejarah para pahlawan dibuat dalam bentuk novel, satu perkara yang menjadi konsep yang diperlukan ialah "klimaks". Maka, disinilah akan lebih 'terserlah' kehebatan pahlawan atau pejuang Islam yang diperkatakan itu.



Para pembaca akan dapat menghayati dengan sepenuhnya pergerakan atau plot kisah yang dipaparkan dengan lebih jelas. Dan akan dapat merasakan debaran sewaktu berlakunya pertentangan diantara yang hak dan yang batil, diantara tentera Islam dan tentera musyrikin.



Masih ku ingat, sewaktu Pesta Buku Antarabangsa tempohari. Novel ini menjadi bualan para penggemar dan peminat novel, kerana 'kelainan' yang dipaparkan.



Ada yang minat kisah sekarah tetapi tidak suka membaca novel, dan ada yang menggemari novel tetapi tidak suka membaca buku sejarah. Maka novel diatas adalah pilihan yang paling tepat, kerana ianya "menggabungkan" kisah sejarah yang mempunyai fakta dan boleh dibaca dengan santai umpama membaca sebuah novel.



Keseluruhan isi kandungan novel diatas sememangnya boleh memberikan kefahaman yang lebih baik tentang kisah sejarah. Dan paling diperlukan ialah kepuasan dengan ilmu yang diperolehi.

BERSYUKURLAH sempena HARI PEKERJA 2008

SELAMAT HARI PEKERJA.


BERSYUKURLAH, kerana anda masih mempunyai pekerjaan.
BERSYUKURLAH, kerana anda masih bekerja dan boleh menyara kehidupan keluarga.
BERSYUKURLAH, kerana anda masih boleh berbelanja kerana mempunyai wang didalam poket.
BERSYUKURLAH, kerana anda masih boleh makan dan minum diluar.
BERSYUKURLAH, kerana anda masih mempunyai rakan sejawat didalam pejabat untuk berbual.


BERSYUKURLAH atas nikmat pemberianNya.


Kepada semua pengunjung Blog Abang Long, BERSYUKURLAH dengan apa yang ada, TAHNIAH atas sambutan HARI PEKERJA.


Mesej ini disampaikan oleh Seorang PENGANGGUR.

Wednesday, April 16, 2008

KELUHAN Seorang PENGANGGUR.

Sudah 55 hari, atau hampir 2 bulan aku memegang gelaran sebagai PENGANGGUR. Satu hakikat yang paling sukar dan pahit untuk ditelan adalah, aku terpaksa mengharapkan wang EHSAN dari isteriku. Isteriku yang bertugas sebagai guru KAFA, bukannya bergaji besar, hanya mendapat elaun bulanan.



Perit memang perit, sakit memang sakit, susah memang susah, azab memang azab, derita memang derita. Tapi mahu atau tidak, aku terpaksa menerimanya. Malaysia bukannya 'Welfare State'. Dimana aku boleh mendapatkan bantuan dari segi kewangan. Hendak diharapkan bantuan dari pihak kerajaan, rasanya, boleh menyebabkan ramai orang akan mentertawakan aku.



Aku benar - benar terasa jauh hati. Sewaktu pilihanraya, ramai yang berjanji bermacam - macam, tapi bila sudah selesai pilihanraya, hendak berjumpa pun susah. Aku mahu berjumpa, bukannya untuk MEMINTA SEDEKAH, atau meminta wang EHSAN, tetapi aku mahu berjumpa dengan wakil kepada wakil rakyat, untuk bertanya, sekiranya dapat membantu aku untuk mendapatkan KERJA, itu sahaja !




Biarlah aku katakan berikut, supaya tiada lagi yang bertanya soalan yang sama tentang biodata diri aku.




Aku berkelulusan SPM.
Berpengalaman berkhidmat didalam industri perkapalan selama 15 tahun.
Pernah bertugas didalam perkhidmatan Keretapi.
Mempunyai anak seramai 5 orang.




Seandainya selepas 3 bulan, aku tidak mendapat kerja, adakah harus aku MEROMPAK ?



Ya, aku benar - benar tertekan dengan keadaan aku sekarang. Aku bukannya mengharapkan kata - kaa simpati atau kata - kata manis dan muluk seperti dalam pilihanraya yang lalu. Aku hanya mengharapkan supaya aku mendapat KERJA di bumi MALAYSIA ini.



Kalau seorang MAT BANGLA boleh mendapat kerja distesen minyak. Aku juga sanggup dan bersedia untuk berkerja distesen minyak. Kalau seorang MAT INDON boleh berkerja sebagai pencuci pinggan mangkuk diwarung, aku juga bersedia untuk berkerja diwarung. Malangnya, bila kebanyakan pengusaha stesen minyak dan warung, tidak bersedia untuk memberikan kerja dan pekerjaan kepada aku, kerana mereka takut aku akan 'demand' dari segi gaji.




Adakah rintihan aku ini dibaca oleh ORANG BESAR NEGARA. Rasanya TIDAK. Sebab, mereka mempunyai tugas dan kerja yang berat. Dan tidak akan berkesempatan untuk membaca entri KELUHAN SEORANG PENGANGGUR seperti aku. Yang begitu mengharapkan REZEKI dari BUMI MALAYSIA ini.





Tetapi aku PASTI tentang satu perkara. ALLAH PASTI MENDENGAR DAN MELIHAT HAMBANYA.

# TERIMA KASIH kepada Saudara Abu Kassim, kerana sudi untuk menaja entri pada kali ini.

AKU SEORANG PENGANGGUR DI BUMI MALAYSIA

Setelah lebih dari satu bulan, aku tidak mengemaskini blog ini. Akhirnya aku terpaksa akur dengan situasi semasa. Bermula dari Pilihanraya ke 12 yang telah lalu, hingga membawa ke Pesta Buku Antarabangsa 2008. Aku dihujani dengan desakan agar memberikan pendapat atau pandangan tentang isu semasa, untuk disiarkan didalam blog ini.



Namun, seperti yang telah diketahui ramai. Aku memang telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari dunia blog. Akhirnya, Pesta Buku telah merobah niat asal aku.



Begitu ramai yang mengirimkan emel secara peribadi, dan tidak kurang juga yang menghantar sms, bertanyakan tentang perkembangan terkini diri aku. Akhirnya aku tersenyum sendirian, dek kerana tidak mampu untuk menjawab satu persatu setiap soalan yang diberikan.



Dimana sahaja aku berada, terdapat 3 soalan yang paling kerap ditanya, dan dikesempatan ini, aku telah bersedia untuk menjawabnya:


Soalan 1 - Abang Long masih sakit ?
Jawapan: Alhamdulillah, semakin sihat, namun belum pulih sepenuhnya.



Soalan 2 - Abang Long masih mencari kerja ?
Jawapan: Ya, Abang Long masih mencari kerja, sekarang masih berstatus - PENGANGGUR.



Soalan 3 - Kenapa lama tidak mengemaskini blog ?
Jawapan: Sebab yang pertama, kerana sakit. Sebab kedua kerana tiada kerja @ menganggur @ tiada wang, jadi logiknya, kalau sudah tiada wang kerana menganggur, bagaimana hendak masuk kedalam Siber Cafe ?



Adakah aku membuka pekung didada ? Tidak ! Kerana itu adalah HAKIKAT yang sebenar - benarnya.

Buat masa ini, fikiran aku masih belum tenteram, masih bercelaru, masih berkecamuk, masih resah, masih gelisah, masih tidak keruan. Semuanya disebabkan, aku masih tidak ada kerja ! Adakah aku memilih kerja ? Jawapannya - TIDAK ! Kerana aku telah pergi ke hampir 10 syarikat perkapalan. 20 buah restoran. 5 buah pasar malam. 6 buah syarikat agen jualan kereta. 4 buah syarikat kawalan keselamatan. 3 buah hipermarket. 2 buah perbadanan kerajaan tempatan. 2 buah syarikat pengangkutan.



Dan, aku telah menghabiskan sebanyak 30 keping gambar berukuran pasport, untuk diserahkan kepada syarikat dimana aku temui untuk memohon kerja.



Sekarang, aku hanya berdo'a dan bertawakal. Aku lebih banyak mendiamkan diri. Rasa seperti tidak mahu lagi bercakap dengan manusia. Kerana aku sudah terlalu letih melayan pelbagai soalan, samada soalan biasa mahupun soalan yang berhubung dengan pengalaman kerja. Sedangkan jawapannya belum pasti.



Setiap malam, aku melihat anak - anakku yang sedang tidur lena. Aku memandang mereka dengan pandangan yang begitu sayu, air mata saban malam keluar mencurah tanpa dapat disekat. Dan aku tidak mahu untuk menghentikan air mata dari jatuh ke bumi. Aku biarkan air mataku mengalir keluar.



Dalam kegalauan aku, masih ada beberapa insan yang telah sudi membantu. Atas prinsip dan dasar persaudaraan serta kemanusiaan.




1 - Seorang insan berhati mulia, yang telah memberikan aku sebuah novel. Mungkin beliau merasakan yang aku tidak mampu untuk membeli novel. Ya, aku memang tidak mampu untuk membelinya dimasa ini, kerana aku tidak mempunyai wang.





2 - Seorang insan berhati mulia, yang telah menghulurkan sejumlah wang. Bagi diriku, jumlah itu amat besar, disaat aku tidak mempunyai wang untuk duit belanja sekolah anak - anakku.





3 - Seorang insan yang berhati mulia, yang telah memberikan aku sebuah komputer ! Memang aku tidak menyangka langsung akan mendapat pemberian itu. Nasihat dari beliau, agar aku dapat menggunakan kemudahan yang ada untuk kemajuan diriku.




Bagi aku, yang pasti aku tidak akan memberitahu sesiapapun tentang nama 3 orang insan berhati mulia ini. Biarlah aku, insan itu dan Allah sahaja yang mengetahuinya.


Dan, setiap malam, sewaktu sedang sujud menyembahNya, aku berdo'a:



"Ya Allah, aku memohon dari Mu, agar ENGKAU panjang usia insan ini, murahkan rezekinya, tambahkan iman mereka, jauhkan meraka dari bala bencana didunia mahupun diakhirat, selesakanlah kehidupan mereka, rahmatilah kehidupan mereka, berilah kejayaan yang berlipat ganda buat mereka, selamatkanlah mereka didunia mahupun diakhirat .... AMIN, AMIN, AMIN YA RABBAL 'ALAMIN".

# TERIMA KASIH aku ucapkan buat Saudara Abu Kassim, kerana sudi untuk menaja entri pada kali ini.

Friday, February 22, 2008

ENTRI TERAKHIR

Seperti entri lalu yang bertajuk PASRAH. Hari ini secara rasmi, merupakan hari terakhir aku berkhidmat di syarikat tempat aku mencari rezeki selama ini. Walaupun majlis perpisahan akan diadakan pada hujung minggu hadapan. Namun, suasana didalam pejabat telahpun bertukar. Tiada lagi wajah ceria dan gembira.



Masing - masing hanya menahan rasa sedih, sebak dan lebih ramai yang mendiamkan diri. Sebahagian besar dari kakitangan, telahpun tiada ditempat masing - masing, kerana mendapat pelepasan untuk mencari kerja ditempat baru.



Nasib diri aku juga masih terumbang - ambing, tiada haluan. Sudah hampir 10 tempat, aku menghadiri temuduga, namun tiada satu pun yang memberikan maklumbalas yang boleh menggembirakan. Ini bererti, selepas 29hb Februari ini, aku secara rasmi bergelar PENGANGGUR.



Sememangnya aku merasa teramat dukacita, dengan situasi yang melanda diriku sekarang. Kerana, dari satu segi, aku sudah tiada kerja, tetapi dari segi lain, ini bermakna, aku dan seluruh ahli keluarga aku, anak - anak dan isteri telah kehilangan tempat untuk bergantung harap. Hilang punca rezeki.



Hampir setiap hari, dengan menunggang motorsikal buruk, aku menyandang beg yang berisi resume. Dimana - mana sahaja aku akan parkir motorsikal dan bertanya, andainya ada jawatan kosong. Namun jawapannya memang menghampakan. Aku benar - benar bimbang dengan apa yang akan aku berikan kepada anak dan isteri aku.



Aku memang tidak memilih kerja, asalkan halal. Tetapi, memang benar kata - kata yang diucapkan oleh beberapa orang saudara aku. Takkan pengalaman selama 15 tahun dalam industri perkapalan, akhirnya aku menjadi pencuci pinggan di warung ? Namun, bagiku, itu juga tugas yang mulia, dan rezekinya hahal ?



Dan buat pengunjung setia blog ini, mahupun yang baru meninggalkan jejak disini. Andainya, saudara ingin turut membantu, dengan tangan terbuka aku menerimanya dan aku dahului dengan ucapan TERIMA KASIH.



Dengan tersiarnya entri ini, bermakna, ini adalah entri yang terakhir dari diriku di alam siber. Sehingga aku mendapat kerja baru, dan andainya waktu mengizinkan dengan kehendakNya. Aku akan mengunjungi kalian lagi dimasa akan datang yang belum pasti.



# Aku hanya berusaha. Allah yang menentukan segalanya.



# Seandainya ada yang berhajat untuk membantu, sila hantarkan emel ke - safmi_80@yahoo.com


WASSALAM.

Thursday, February 14, 2008

JOM IKUT KAMI !



Program anjuran: Kelab Peminat Novel ALAF21 - ALAF 21 FC.

Tempat: Kumpulan Karangkraf Sendirian Berhad & ALAF 21.

Tarikh: 12 hb March. (Rabu)

Masa: 8.30 pagi - 2.00 petang

# CUTI SEKOLAH.

Berita penuh klik disini - ALAF21 FC

InsyaAllah, Abang Long akan berada disana.

<<<<<>>>>>

Tuesday, February 12, 2008

IKLAN PERCUMA



KELAB PEMINAT NOVEL ALAF 21 - ALAF 21 FC.


Dengan sukacitanya mengajak anda semua untuk bersama - sama melawat ke Syarikat Penerbitan Nombor 1 di Malaysia dan juga penerbit novel yang tersohor iaitu:



KUMPULAN KARANGKRAF SENDIRIAN BERHAD &
ALAF 21 SENDIRIAN BERHAD.


Tarikh: 12 hb. March 2008 (RABU) * CUTI SEKOLAH.
Masa: 8.30 pagi - 2.00 petang.




Syarat penyertaan:

1 - Lawatan ini terbuka kepada semua yang berminat.
2 - Peserta hendaklah yang berusia 13 tahun ke atas.


Sesiapa yang ingin bersama-sama kami melawat ke premis-premis tersebut bolehlah menulis ke alamat email alaf21fc@yahoo.com dengan tajuk “LAWATAN”.


Jangan lupa sertakan sekali NAMA PENUH, NO KAD PENGENALAN, NO TELEFON SERTA ALAMAT RUMAH.



Kami juga akan memberikan maklumat mengenai lawatan dari masa ke semasa.

Jangan lepaskan peluang anda!

Tuesday, February 05, 2008

PASRAH

Bila datang ujian dari Allah, ada ketikanya kita terkejut, tergamam dan pelbagai reaksi yang ada ketikanya tidak terduga langsung.




Permulaan tahun 2008, boleh dikira sebagai permulaan ujian dari Allah, yang datang tanpa henti. Aku hanya berserah kepada Nya. Aku hanya dapat melakukan mengikut kemampuan aku sebagai hambaNya yang lemah.



Aku pasrah !




Penyakit yang aku alami sekarang pun, belum pulih sepenuhnya.




Selepas aku keluar masuk hospital akibat penyakit yang aku alami, yang begitu meresahkan dan merimaskan. Anakku pula terpaksa dibawa berulang alik ke hospital akibat kesakitan didalam perut, hinggakan anak ku seperti fobia apabila mendengar cerita tentang jarum suntikan.




Yang terkini, anakku yang sulung pula terpaksa dimasukkan kedalam wad. Akibat bengkak di bahagian kaki. Puncanya, kerana terpijak tebuan yang berada didalam rumah. Nasib baik, tidak begitu serius, selepas ujian darah, keesokan harinya dibenarkan pulang.




Tidak habis disitu, kini aku pula terpaksa berhempas pulas mencari kerja lain. Ini adalah kerana, syarikat dimana selama ini aku mencari rezeki, terpaksa membuang pekerjanya, kerana diambil alih oleh sebuah syarikat lain. Hanya 3 orang pekerja sahaja yang dikekalkan. Itupun pekerja yang terpilih itu berkemungkinan sedang memikirkan untuk menolak tawaran itu. Disebabkan syarikat baru ini akan beroperasi di kawasan Damansara, sedangkan pejabat sekarang terletak dikawasan Pelabuhan Barat.




Ya, aku PASRAH !




Dengan sebulan notis, dan sebulan ex-gratia, apa lagi yang aku mampu lakukan ?




YA, memang aku PASRAH.




Kepada pengunjung blog ini, yang ingin membantu dari sudut apa sekalipun, aku terlebih dahulu ucapkan TERIMA KASIH. Dan hanya Allah sahaja yang layak dan mampu membalas jasa kalian.




# Jika pengunjung blog ini mempunyai sebarang kemusykilan, sila hantarkan ke alamat - safmi_80@yahoo.com
-
-
# Anakku bertanya "nanti abah nak kerja apa?"
Lalu aku menjawab "nak kerja cuci pinggan di warung"