Wednesday, October 03, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (19)


Seorang doktor berkata kepada pesakitnya "maaf, kamu hanya ada 9 bulan sahaja lagi untuk hidup"



Seorang ibu berkata kepada anak gadisnya, yang akan melangsungkan perkawinannya tidak lama lagi "jaga diri kamu baik - baik, kamu hanya ada 9 hari lagi untuk majlis perkahwinan"


Kedua - dua kenyataan diatas sememangnya 'mendebarkan' menurut pandangan masing - masing.


Bagaimana dengan kita, yang hanya 'berbaki' 9 hari sahaja lagi, untuk menjalani ibadah puasa.


# 10 hari terakhir. Rasulullah S.A.W lebih banyak menghabiskan masa dan beriktikaf dimasjid.

Tuesday, October 02, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (18)



PROMOSI tinggal 10 hari sahaja lagi !!!


# Maaf, gambar disebelah, tiada kena mengena langsung dengan entri pada kali ini.


Tiba - tiba sahaja anak aku berkata, "abah, promosi puasa tinggal 10 hari sahaja lagi tau!"

Maaf, aku memang langsung tidak memahami apa yang diucapkan oleh anak aku.

Untuk mendapatkan kepastian kepada perkara itu, aku langsung bertanya kembali, tentang perkara itu kepada anak aku. "Angah kata apa tadi, abah kurang faham?"

Lalu anak aku berkata "macam ni, tadi kat sekolah, ustazah kata, kita kena rebut peluang buat baik dibulan puasa, sebab promosi tuhan tinggal 10 hari je lagi"

Spontan aku mengangguk dan menjawab "ya, betul tu, memang promosi tinggal 10 hari sahaja lagi"

Aku tidak pernah mendengar kaedah sebegini mudah untuk 'memahamkan' anak dibawah umur, supaya faham tentang agama. Maaf, ada ketikanya, para pendakwah kita menggunakan ayat yang berbelit - belit tentang agama.


# Aku pernah membaca jawapan seorang berpendidikan TINGGI dalam bidang agama (Pegawai Kerajaan). Soalannya mudah. Apakah HUKUMNYA berpakaian bertudung dan menutup aurat. Jawapannya hampir satu muka penuh, berbelit - belit. Namun tiada jawapan yang tepat dan rumusan yang betul. Kenapa TAKUT SANGAT hendak menjawab - "hukum bertudung dan menutup aurat adalah wajib!"

Monday, October 01, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (17)


DUA UJIAN SERENTAK !

Hari ini, anak - anak kita yang sedang belajar ditingkatan 3 akan berhadapan dengan Peperikasaan Menengah Rendah - PMR. Begitu juga kebanyakan pelajar disekolah menengah akan berhadapan peperiksaan akhir.

Sebagai ibubapa, marilah kita bersama - sama berdo'akan. Semoga anak - anak kita bersedia dan berjaya mengharungi peperiksaan, dan dalam waktu yang sama, menjalani ibadah puasa.

Anak - anak kita berhadapan dengan DUA UJIAN ~ SERENTAK, pada kali ini.

Friday, September 28, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (16)


LAILATUL QADAR. Oh, Lailatul Qadar.

Seluruh umat Islam, sedang menantikan "saat" itu.

Adakah kita 'termasuk' kedalam golongan orang yang beruntung, kerana sewaktu menadah tangan, sewaktu kita sedang berdo'a, sewaktu kita sedang merayu, sewaktu dahi kita sedang sujud, sewaktu kita sedang merintih, sewaktu kita sedang menitiskan air mata, sewaktu kita sedang meminta, sewaktu kita sedang memohon belas kasih dari Allah, diwaktu itu dan disaat itu. Tibanya - LAILATUL QADAR.

Nasihat dari seorang sahabat aku, seorang ustaz - "jangan tunggu, teruskan berdo'a!"

Tazkirah Universiti Ramadhan (15)


PERKONGSIAN PINTAR !



BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU.




klik disini

Tazkirah Universiti Ramadhan (14)

Sudah 15 hari berlalu. Umat Islam telah selesai mengerjakan ibadah puasa selama 15 hari. Tinggal, atau baki atau masih ada 15 hari sahaja lagi, yang tinggal untuk kita. Merebut segala peluang dan segala kesempatan yang masih ada untuk mengerjakan segala amalan yang baik dibulan ramadhan ini.


Ada yang bersedih, ada yang takut, ada yang gembira dan ada yang tidak sabar - sabar. Apabila melihat angka yang tertera.


Beberapa lama berikutnya:~


Ketika berjumpa disuatu masa tanyamu padaku ~
"kau kerja apa sekarang?"


Beberapa lama berikutnya, berjumpa lagi kita, lalu tanyamu padaku ~
"kau sudah kahwin atau belum?"


Beberapa lama berikutnya, berjumpa lagi kita lalu tanyamu padaku ~
"anakmu sudah berapa?"


Beberapa lama berikutnya, berjumpa lagi kita, lalu tanyamu padaku ~
"cucumu sudah berapa?"


Beberapa lama berikutnya, berjumpa lagi kita, lalu tanyamu padaku ~
"kau pencen bila?"


Beberapa lama berikutnya, tak berjumpa lagi kita, lalu aku tertanya - tanya ~
"sudah meninggalkah dia?"


Petikan dari Utusan Pengguna. Karya: Mohd. Aidid. Dengan izin.

Thursday, September 27, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (13)

Aku rasa benar - benar 'terpukul !'


Wednesday, September 26, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (12)

Nak dimasukkan lagu berirama asli, kurang peminatnya.
Nak dimasukkan lagu 'rock', bukan citarasa aku.
Nak dimasukkan lagu 'blues', rasanya sudah ketinggalan zaman,
Nak dismasukkan lagu dangdut, nanti pengunjung blog ini sangka yang bukan - bukan.
Akhirnya, disebabkan 'permintaan tinggi' dan bertalu - talu dari anak buah aku. Maka setelah diusahakan, mencari dan terus mencari, akhirnya kutemui lagu yang benar - benar sesuai dengan semua golongan.


Sebuah lagu irama tradisional, daerah Minangkabau, yang bertajuk - AYAM DEN LAPEH.



Lagu asal dinyanyikan oleh A. HADI. Dan dipopularkan oleh Biduanita Anita Sarawak.


Maka, terimalah lagu - AYAM DEN LAPEH.



Ayam Den Lapeh (A Hadi)
Ayam saya terlepas / terbang.

Luruihlah jalan payakumbuah
Marilah jalan ke paya kumbuh (nama tempat di minangkabau)

Babelok jalan kayu jati
Dikiri kanan jalan ada kayu jati

Dima ati indak karusuah
Di sana hati tidak akan risau

Ayam den lapeh ai ai
Ayam saya terlepas

Ayam den lapeh
Ayam saya terlepas

Mendaki jalan padangsikek
Mendaki jalan padang sikek (nama tempat)

Basimpang jalan ka biaro
Melalui simpang jalan ke biaro (nama tempat)

Di ma ati indak kamaupek
"yang ni tak tahu heheh"

Awak takicuah ai ai
"yang ni pun tak tau"

Ayam den lapeh
Ayam saya terlepas

Sikucapang sikucapeh
Seekor besar seekor kecil

Saikua tabang saikua lapeh
Seekor terbang seekor terlepas

Tabanglah juo nan karimbo
Terbang jauh masuk ke hutan

Oilah malang juo
Apalah malangnya

Pagaruyuang batusangka
"Pagaruyung" nama tempat di minangkabau

Tampek bajalan urang baso
Tempat tinggal orang kenamaan/ raja-raja

Duduak tamanuang tiok sabanta
Duduk termenung atas bantal

Oi takana juo ai ai
Oh terkenang juga
Ayam den lapeh
Ayam saya terlepas.



# TERIMA KASIH diucapkan kepada Kekanda Abdul Latip yang sudi untuk menterjemahkan lagu ini.

Tazkirah Universiti Ramadhan (11)


MEROKOK menyebabkan 'angin satu badan !'


Kejadian berlaku disatu simpang. Aku memberhentikan kereta. Sambil menunggu lampu isyarat bertukar hijau. Aku menoleh ke kanan. Aku terpandang seorang remaja lelaki (dibahagian dalam van, dibahagian penumpang). Sedang merokok. Wajah dan rupa parasnya, memang seorang melayu. Tiba - tiba sahaja, dia memandang aku seperti orang sedang marah. Tiba - tiba sahaja dia berkata "apa pandang - pandang, suka hati akulah, nak puasa ke tidak !".


Hatiku lantas berkata "eh, mamat seekor ni, aku tak cakap apa pun, tiba - tiba dia naik angin, gila apa ?"


Bila lampu isyarat bertukar hijau, tiba - tiba sahaja dia memecut. Dan aku terus membawa kereta. Tiba - tiba sahaja si mamat ini, memberhentikan van yang dipandu oleh rakannya. Dia menahan kereta aku. Aku lantas memberhentikan kereta. Dan si mamat ini menerkam kearah aku, dan terus menyumpah seranah "hoi babi, apa, engkau ingat engkau tu alim sangat ke ?"


Aku terus bertanya "adik, apa masalahnya ni ?"


Si mamat gila ini, bagai orang yang sudah hilang pedoman terus sahaja memaki aku "eh, sial, kalau engkau nak puasa, jangan berlagak lah !"


Tiba - tiba sahaja si mamat gila ini berhenti bercakap. Aku kehairanan. Rupa - rupanya baru si mamat gila ini menyedari, aku bukan keseorangan. Dimana saudara - mara aku telah berada disekeliling kereta aku. Kami sebenarnya sedang berkonvoi dari Serdang untuk pulang ke Pelabuhan Klang. Mungkin kerana menyedari, yang beliau tidak akan mampu untuk berhadapan dengan kumpulan aku yang seramai 20 orang (semuanya lelaki).


Tiba - tiba sahaja si mamat gila ini berlalu pergi, kearah van yang dinaikinya. Dan van itu terus memecut pergi.


Adik aku terus bertanya, "kenapa bang ?"


"Entah, abang pun tak tahu kenapa, tiba - tiba si mamat gila tu naik angin, mungkin sebab dia perasan yang abang asyik merenung dia sedang merokok dalam van".


Saudara - mara aku terus ketawa. Aku hanya menggelengkan kepala. Hai, sudah nasib badan, bulan puasa ni - aku kena maki !.

Monday, September 24, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (10)


"Jom berbuka dirumah anak yatim".

Itu adalah sms yang aku terima, sejurus selepas entri dibawah disiarkan. Lalu, berlakulah berbalas - balas sms.


Ya, kenapa tidak !.


Aku bersetuju dengan 'jemputan' dari sahabatku itu. Bukan sekadar kita sahaja yang pergi, malah bawa bersama anak - anak dan isteri - isteri masing - masing. Biarlah kita 'merasa' kehidupan mereka. Sebabnya mudah, kalau kita menganjurkan majlis itu dimana - mana, maka kosnya agak tinggi. Jadi cara yang paling mudah ialah, kita pergi kerumah anak - anak yatim, dan kita anjurkan majlis iu disana, dengan 'apa yang ada' sahaja.


# Gambar foto diatas tiada kaitan dengan entri ini.

Tazkirah Universiti Ramadhan (9)


Satu daripada perkara yang semakin lama, semakin menjadi budaya dinegara kita adalah berbuka dihotel. Ada yang berbuka dengan suami isteri, kawan, teman dan ada yang secara berkumpulan.


Terus - terang, walau hebat bagaimana sekalipun promosi berbuka dihotel. Aku tetap tidak akan kesana. Perkiraan aku mudah sahaja. Harga promosi paling murah (yang sempat aku pantau ialah RM45++). Bayangkan, dengan nilai sebegitu, aku mampu menyediakan bahan mentah untuk berbuka bagi aku sekeluarga selama 2 minggu.


Tetapi (ada juga tetapi). Seandainya ada yang berhasrat untuk belanja. Yang pasti aku 'tidak menolak rezeki'. Maka itulah yang berlaku dan akan berlaku didalam bulan ramadhan ini - InsyaAllah. Sepanjang bulan ramadhan ini, aku telah mendapat 3 undangan untuk majlis berbuka puasa dihotel. Yang pertama telahpun selesai, dimana syarikat tempat aku berkerja telah mengadakan majlis berbuka puasa dan penyampaian wang hari raya untuk anak - anak yatim dan ibu tunggal. Alhamdulillah.


Tetapi, seandainya aku diberikan limpahan rezeki yang lebih, InsyaAllah. Aku juga berhasrat untuk mengadakan majlis berbuka puasa. Bukan dihotel yang serba mewah, tetapi dirumah aku sendiri. Terlalu banyak yang boleh dibuat, sementelahan kita dapat menjimatkan wang sewa dewan makan. Yang penting semua tetamu dapat menikmati makanan yang banyak dan pelbagai program yang lain dapat dilaksanakan. Yang penting, usaha kita diredhai-Nya.


Selepas berbuka, bolehlah beramai - ramai mengerjakan solat secara berjemaah.

Thursday, September 20, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (8)

Marilah kita memohon, marilah kita merayu, marilah kita berdo'a dan terus berdo'a dan terus berdo'a. Supaya ibadah kita diterima-Nya.




Alhamdulillah, sudah 7 (TUJUH) hari kita bersama seluruh umat Islam seluruh dunia, menjalani ibadah puasa dibulan Ramadhan ini. Bukan tujuanku untuk memaklumkan yang kita berbangga kerana sudah 7 hari kita berpuasa. Tetapi, apa yang aku maksudkan adalah, kita hanya berbaki (BERBAKI), kurang lebih 23 (DUA PULUH TIGA HARI SAHAJA) lagi untuk kita menikmati, mengecapi dan merasai kemanisan dalam melaksanakan ibadah yang khusus ini.

Samada kita akan dapat menemui ramadhan yang akan datang, pada tahun hadapan - WALLAH HU'AKLAM BISSAWAB.


Marilah kita bersungguh - sungguh melaksanakan ibadah ini dengan penuh kesungguhan, dengan penuh keikhlasan dan dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah Rabbul Jalil.


Diruangan ini, pada kali ini, aku sengaja memberikan laluan untuk kita, bersama - sama berfikir dan berdo'a untuk kesejahteraan kepada anakanda - Nurin Jazlin Jazimin (8 tahun). Yang mana tragedi yang menimpanya, benar - benar meruntun hati setiap insan. Yang terbaik adalah sama - sama kita sedekahkan AL - FATIHAH. Semoga ibu bapa dan ahli keluarganya tabah dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.

Dan pada hari ini juga, genap usia perkahwinan aku dan isteri yang ke 17. Syukur Alhamdulillah. Kami telah dikurniakan dengan 5 orang cahaya mata.

Marilah kita berdo'a, semoga ahli keluarga kita, negara kita, berada didalam keadaan aman, sentosa dan harmoni. Ingatlah, bahawasanya - "tiada hijab bagi do'a mereka yang dizalimi !"

Wednesday, September 19, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (7)


Terpaksa aku menghilangkan rasa malu. Tapi, nak buat macam mana ?.


Seorang jiran datang kerumah, lalu menjemput aku untuk pergi berbuka dirumahnya. Aku memang serba salah diwaktu itu. Maklumlah, bukan semua makanan boleh aku makan. Aku bimbang jika tersalah makan, bahananya, aku juga yang dapat. Akhirnya, disebabkan aku tunjuk 'muka 10 sen' dan sambil menggaru - garu kepala yang tidak gatal. Jiran aku lantas bertanya kepadaku "adik kerja ke petang ni ?" dan tidak dapat berfikir panjang lagi, dan demi menjaga sebuah persahabatan, aku terus bertannya "maaf, bang, saya ni bukan tak nak pergi, tapi masalahnya saya ada gastrik, dan kalau abang ada masak bubur nasi kosong, InsyaAllah, saya tiada masalah".


Spontan jiran aku terus sahaja tertawa, kalau itulah masalahnya, "abang pun ada gastrik, dan abang pun kena berbuka dengan bubur nasi kosong". "Ya, Allah, selesai masalahku".



Rupanya, jiran aku hanya menjemput tak sampai 10 orang sahaja jiran terdekat untuk majlis berbuka. Dan bila waktu berbuka, juadah yang disediakan adalah, bubur kosong, bubur pulut hitam, nasi, ikan goreng dan sayur campur serta kurma.



Namun, aku telah dapat melihat sekilas, wajah jiran - jiranku yang seperti tidak senang duduk. Akhirnya, setelah berbuka, kami bersolat maghrib secara berjemaah. Yang kurang manisnya, 2 orang jiran, telah terpaksa meninggalkan majlis dengan tergesa - gesa.


Keesokan harinya, sewaktu membeli barang basah, aku sempat bertegur sapa dengan jiranku itu. Tiba - tiba sahaja jiranku itu mengadu, "eh, engkau tau tak, kenapa si anu dan si anu tu lepas berbuka je terus balik, tanpa sempat bersolat jemaah ?"



Aku hanya menggeleng kepala, lalu jiran aku terus berkata tanpa ditanya "yang sebetulnya, mereka rasa seperti dihina, maklumlah orang kaya, dijemput oleh si miskin, jadi diorang ingat, mestilah makanan yang disediakan tu banyak, lazat dan sedap ... ini tidak bubur, ikan goreng dan sayur".



Astagfirullah halazim ... aku terus beristighfar sambil mengurut dada.

Monday, September 17, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (6)


IMAM BIJAKSANA !


Itulah komen aku, usai bersolat Juma'at tempohari. Imam itu telah mengumumkan, bahawa ramai yang akan menyertai tadarus tahun ini. Dimana imam tersebut telah berusaha selama sebulan sebelum menjelangnya ramadhan. Dengan mendampingi ramai orang. Tidak kira tua mahupun yang muda.


Imam itu telah mengambil pendekatan yang paling bijaksana dan harmoni. Dimana setiap orang dipujuk (manusia lebih malu dan tewas dengan pujukan, berbanding dengan cara paksaan), untuk turut sama menyertai kumpulan taddarus.


"Saya mohon, tuan - tuan agar dapat memperbetulkan bacaan saya, tuan - tuan perlu ingat, saya juga manusia dan punyai pelbagai kesilapan" sambil menyambung, "saya sebagai pentadbir merasa bangga dan memuji tuan - tuan yang berani untuk berhadapan dan bertadarus, bersama - sama ahli jemaah", "jangan malu kalau tidak dapat membaca dengan baik, kita perlu lebih rasa malu, andainya kita tidak membaca al-qur'an".



Alhamdulillah, masjid itu telah memecahkan rekod selama ini (saya tidak pasti untuk negeri Selangor). Dimana setiap malam, tidak kurang dari 200 orang jemaah, menyertai program tadarus.



Paling menarik sekali, bila mana imam itu menegur dengan cara paling manis dan berhikmah, dengan senyuman sentiasa menguntum dibibirnya. Bilamana ahli tadarus tersilap atau masih 'merangkak' dalam pembacaan. Dan ada ketikanya dengan spontan dan secara berjenaka beliau menegur seorang pemuda dalam pembacaannya "ini kira jauh lebih baik, dulu, saya lebih teruk lagi, nak sebut pelat macam orang jawa".


Jadi, tiada siapa yang malu atau 'terasa hati" bila ditegur. Malah kelihatan ramai jemaah, begitu bersungguh - sungguh untuk meneruskan program taddarus.

Tazkirah Universiti Ramadhan (5)


Alhamdulillah. Akhirnya misi aku berjaya juga. Hari ke 4 puasa, sebelum solat tarawih bermula. Aku telah berbisik kepada sahabat aku yang juga merupakan seorang Imam (hafiz). Dimana, dipertengahan waktu untuk bertarawih itu. Beliau akan memberikan sedikit tazkirah.


Dan tazkirah beliau, benar - benar dimanfaatkan, walaupun masa yang diberikan hanya 10 minit sahaja. Beliau telah mendedahkan tentang kewajipan menutup aurat, khususnya dibulan puasa.


Antara yang diucapkan oleh beliau - "saya nak habaq mai, kat puan - puan semua. Bila kita berpuasa, antara yang mesti dijaga adalah aurat. Cuba tengok, kat bazar ramadhan, masih ada perempuan yang pakai seluaq pendek, pakai baju t, dah lah tu ketat pulak. Maaf cakaplah, terbonjol atas, terbonjol hat yang dibawah, yang betoinya sengaja nak tunjuk ka, dia punya buah yang hebat ?"


Sambung ustaz tersebut - "kalau tak tau sangat pasal aurat dalam Islam, saya nak habaq dari segi psikologi, supaya semua paham. Orang lelaki ni, kalau dah nampak orang perempuan pakai seksi, depa memang rasa ghairah, tiba - tiba saja "awang" hat dalam seluaq tu boleh jadi keraih (keras), (hadirin sudah tidak tertahan, lalu ketawa berderai). Jadi mintak tolonglah pada semua perempuan yang masih tak mau dok ikut tata etika berpakaian dalam Islam. Kalau satu hari nanti hangpa (perempuan) yang pakai seksi kena raba .... masa tu jangan dok marah kat orang lelaki ... ini saya bagi amaran dari awai (awal).


# Wahai kaum wanita yang mengunjungi Blog ini. Aku berseru kepada kalian. Berusahalah berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Sudah terlalu banyak fesyen pakaian yang up-to-date, yang menepati syariat.

Saturday, September 15, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (4)


Sesekali, aku melayan juga permintaan anak - anakku. Dimana, mereka teringin untuk membeli juadah berbuka puasa.



Tetapi, cara aku mudah tetapi tegas. Aku hanya memberikan seorang RM1.00 sahaja. Lalu aku membawa keempat - empat orang anak ke bazar ramadhan, yang terletak berhampiran dengan rumahku.



Apa yang hendak dibeli oleh mereka, aku tidak kisah, tetapi seandainya makanan itu aku rasakan tidak sesuai, maka aku akan memberikan nasihat. Contohnya, kalau makanan itu kurang sesuai dengan peringkat umur mereka, seperti kerabu. Tetapi kalau makanan itu mudah untuk dibuat dirumah, maka aku akan berkata "nanti ummi akan masak kuih itu banyak - banyak dirumah". Maknanya aku tetap memberikan nasihat dan pemantauan.




Maklumlah, jangankan si anak kecil. Kita yang dewasa inipun ada ketikanya 'rambang mata' dengan kuih - muih dan lauk pauk yang dijual.



Jadi, dengan 'bekalan' wang sebanyak RM1.00. Maka anak - anakku, terpaksa berhati - hati untuk membeli makanan yang mereka inginkan.




Sebabnya mudah, aku sudah mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam hal 'menghadap' makanan sewaktu berbuka. Waktu sedang berpuasa disiang hari, memang semua makanan, kalau boleh hendak dimakan, tetapi, bila waktu berbuka, cuma makan sebiji atau dua biji kuih sahaja. Dan ini bermakna, kita akan membazirkan makanan yang tidak dimakan.




Seperkara lagi, memang sudah menjadi kebiasaan sewaktu berbuka. Aku akan pastikan, hanya minuman panas, seperti milo atau ovaltine atau susu sahaja yang dihidangkan. Kerana, bila sahaja waktu berbuka, maka anak - anakku hanya minum sedikit sahaja, kemudian mereka akan terus makan. Kalau dihidangkan minuman sejuk, maka mereka akan minum 'sepuas - puasnya'. Dan langkah ini akan 'mematikan' selera mereka untuk makan.




# Aku tidak perlu membeli apa - apa juadah. Kerana aku hanya boleh berbuka dengan bubur nasi kosong sahaja. Itupun yang dimasak oleh isteri.

Tazkirah Universiti Ramadhan (3)


"Entah, apa yang dikejar pun aku tak tau !".



Kalau ada yang berkata, aku mengumpat, terpulang. Tapi yang pasti, ramai jemaah yang kurang berpuas hati dengan imam solat tarawih disalah sebuah masjid dikampung aku.



Manakan tidak, dalam masa tak sampai 30 minit. Selesai solat tarawih untuk 20 rakaat. Kalau aku yang masih muda tapi tua inipun, sudah berasa tercungap - cungap dan berpeluh. Apatah lagi jemaah yang sudah berusia atau tua.



Sebaik sahaja sampai ketempat parkir motor, anak ku yang kedua terus bertanya "abah, sah tak sembahyang kalau tak sempat baca fatihah sampai habis ?".



Aku lalu bertanya "kenapa tak sempat ?"



Anakku lalu berkata "imam tu baca laju sangat, saya tak sempat baca fatihah sampai habis, dia dah rukuk dan lepas tu terus sujud".





Dan anak aku yang pertama terus berkata "abah, esok, kita ke masjid yang semalam kita sembahyang, masjid ni tak best, imam dia macam bawa F1 !".





# Sepatutnya, kita bersolat secara berjemaah dalam keadaan tenang dan khusyuk. Sambil mendengar bacaan ayat - ayat suci. Kita cuba memahami dan menjiwai apa yang terkandung didalam Al-Qur'an.

Friday, September 14, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (2)


Berbuka dengan juadah yang murah, mudah tetapi berkhasiat.



Ini adalah waktu yang paling sesuai untuk pesakit gastrik, untuk berpuasa. Dan berbuka dengan juadah yang paling sesuai untuk usus. Tidak memulakan dengan makanan yang keras, berminyak dan berlemak.



Aku hanya berbuka dengan bubur nasi kosong (bukan bubur lambok atau pelbagai jenis bubur lain). Hanya bubur nasi kosong dan ditabur dengan ikan bilis goreng yang telah ditumbuk halus. Minuman untuk aku berbuka hanyalah segelas susu (susu tepung), ataupun soya.



Dan insyaAllah, inilah juadah yang paling sesuai untuk aku sepanjang bulan Ramadhan. Seorang pesakit gastrik.

Wednesday, September 12, 2007

Tazkirah Universiti Ramadhan (1)

Syukur Alhamdulillah. Umat Islam diseluruh dunia, telahpun memasuki hilal al Ramadhan. Apabila terbenamnya fajar, dan berkumandangnya azan maghrib.


Disusuli kemudiannya, pada jam 8.30 minit malam. Maka azan Isyak pula dikumandangkan. Suasana benar - benar bertukar, dengan angin berhembus sepoi - sepoi bahasa. Aku bersama - sama anak - anak lelaki aku, telah turut serta dengan ratusan kaum muslimin dan muslimat. Bagi menunaikan solat Isyak dan diteruskan dengan solat tarawih, secara berjamaah.


Aku menyangka, aku akan mendapat tempat 'dikelas pertama'. Namun ramalan aku meleset. Aku dan anak - anak terpaksa berada 'dikelas kesepuluh'. Maksud aku, aku tidak mendapat tempat disaf hadapan atau saf pertama, tetapi terpaksa bersolat dikawasan tempat letak kereta yang dikosongkan. Inilah akibat dari lautan manusia, yang memenuhi masjid.


Bukankan lebih afdal bagi seorang muslimin untuk berusaha mendapat tempat pertama dalam apa jua bidang ?.


Terasa benar - benar terharu dan bersyukur, kerana walaupun terpaksa bersolat dikawasan letak kereta. Namun suasana sekitar masjid, seumpama "kebangkitan Islam" layaknya.


Harapanku, semoga LAUTAN manusia yang melimpah ruah hingga MEMBANJIRI kawasan masjid akan terus berkekalan hingga malam akhir Ramadhan.


# Bulu roma aku meremang, bila jemaah mengucapkan kalimah "AMIN". Samada setiap kali selesai bacaan AL- Fatihah, mahupun sewaktu berdo'a. Inilah KEAGUNGAN MU - YA ALLAH.

RAMADHAN tiba lagi ...

ALHAMDULILLAH, SYUKUR.


MARHABAN YA RAMADHAN AL MUBARAK.


Kepada semua pengunjung Blog Abang Long. Diucapkan selamat menjalani ibadah puasa dibulan yang penuh barakah ini.


Laksanakan ibadah ini dengan penuh keikhlasan dan sepenuh perasaan ketakwaan kepada Allah Subhanahu wata'ala.


Rebutlah segala peluang keemasan yang diberikan secara 'percuma' oleh Allah Subhanahu wata'ala.


Bayangkan, setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala wajib.




Bermula dari hari ini, maka senyumlah. Kerana ianya murah dan mudah dilaksanakan. Malah ianya akan mendapat 'pahala percuma'.

Friday, September 07, 2007

Macam - macam kisah (25)


Kisah 1 - Puasa malam.


Satu yang lumrah, bila mana ada temujanji dengan doktor, khususnya untuk pemeiksaan darah. Maka kita dikehendaki untuk berpuasa (selama 12 jam). Sebelum darah diambil. Maka disebabkan temujanji untuk ambil darah ialah pada jam 8.30 keesokan harinya. Maka aku mengambil makan malam sebelum maghrib.


Dan 'puasa' aku pun bermula. Kebetulan pula aku berasa kurang sihat, jadi aku pun berbaring didalam bilik. Dan kalau tidur pun tidak menjadi masalah. Tiba - tiba saudaraku datang berkunjung kerumah, diwaktu jam menunjukkan pukul 10 malam. Dan yang paling tidak dapat dielakkan, saudaraku membawa makanan yang begitu banyak.


Tanpa sesiapa pun yang mengetahui tentang 'puasa' aku, melainkan isteri aku. Aku terpaksa 'berbuka sementara'. Dan 'perbuatan' aku mendapat pandangan sinis lagi tajam dari isteri aku.


Sudahlah begitu, kalau makan sedikit, ada juga 'pengampunannya'. Ini tidak, hingga boleh habis makanan diatas meja.


# Agaknya, kalau doktor tahu, dia marah tak ?





Kisah 2 - Menggigil naik motor.


Rupanya tubuh aku yang tidak berapa selesa sebelumnya, membawa tanda yang aku memang demam. Tapi, disebabkan temujanji itu telah lama ditetapkan. Aku terpaksa juga pergi ke hospital.


Dengan memakai jaket tebal, umpama seorang penunggang motor berkuasa besar. Maka aku pergi ke hospital dengan menunggang motor kapcai (itu sahaja harta yang aku ada).


Aku menunggang dengan penuh hemah. Bukannya sebab aku penunggang contoh, tapi sebab aku tidak boleh memecut lebih dari 50kmj. Angin yang berhembus, menyebabkan tubuh aku kesejukan yang tidak terkawal. Nasib baik jarak dari rumah aku dengan hospital, tidak sampai 10 minit perjalanan.

# Nasib baik datang dengan motor, sebab tempat letak kereta penuh. Itulah kuasa tuhan.




Kisah 3 - Kerusi roda.


Aku memang terkejut dan tergamam sebenarnya. Sewaktu aku tiba dikaunter, untuk menyerahkan kad temujanji. Tiba - tiba kerani kaunter yang bertugas terus mengarahkan jururawat yang berada berdekatan dengan kaunter untuk mengambil kerusi roda.


Aku yang tidak mengetahui apa - apa terus sahaja diminta untuk duduk dikerusi roda. Aku tanya untuk apa ?. Kerani yang bertugas menyatakan bahawa aku kelihatan pucat dan tidak sihat. Lagipun, memang aku masih menggigil lagi diwaktu itu, maklumlah penghawa dingin begitu kuat diruangan kaunter.


Aku yang masih dalam keadaan terpinga - pinga, terus sahaja mengikut 'arahan'. Selesai urusan. Seorang petugas hospital, terus sahaja menolak kerusi roda yang aku duduki, ketingkat atas. Aduhai, aku bukannya tidak boleh berjalan atau bergerak.


# Bila berada dirumah, dan aku ceritakan tentang layanan pihak hospital swasta itu. Isteri aku terus ketawa. Lalu dia berkata "bang, itulah bezanya hospital kerajaan dengan hospital swasta".




Kisah 4 - Surat Jaminan (GL).


Kalau tidak kerana pihak syarikat tempat aku berkerja, menyediakan kemudahan rawatan perubatan sebegitu rupa. Aku memang akan menghala terus ke hospital kerajaan. Kerana kesihatan wajib dijaga dan dipelihara. Tetapi, kalau sudah sakit, kita terima sahaja ketentuan tuhan.


Sewaktu aku berada dihospital swasta itu. Aku terus sahaja mematikan talian telefon bimbit aku. Namun selesai sahaja aku menerima rawatan. Dan sewaktu berjalan ke tempat letak motor. Aku menghidupkan kembali talian telefon bimbit. Begitu banyak miss call dan sms telah tersimpan untuk dibaca.


Sms pertama adalah dari penyelia bahagian operasi yang berbunyi "Encik sudah terima GL dari HR ke ?

# Sambil tersenyum, aku cuma berkata didalam hati "aku rasa dia ni demam kot ... kalau aku tak ada GL, bagaimana aku nak pergi hospital swasta ".



Kisah 5 - Semuanya wanita.


Aku sudah lama sedar tentang hal ini. Dari kerani kaunter, jururawat, doktor peribadi, doktor pakar, doktor senaman. Dan dari kerani bahagian farmasi, pelayan kantin, pencuci lantai dan pencuci tandas - semuanya wanita.

Majoriti pesakit, adalah lelaki.


Jadi, sewaktu nak menjalani terapi, aku diarahkan membuka baju (baju sahaja). Dalam bilik terapi, ada lima orang wanita (dua doktor pakar, 3 jururawat) dan aku seorang sahaja lelaki. Kalau badan aku sasa, boleh tahan juga. Ini badan aku macam ...


Memang terasa seram campur sejuk. Tapi bukannya sebab ramai wanita dalam bilik, tetapi maklumlah, berada didalam bilik yang berhawa dingin tanpa berbaju.


# Aku terfikir sesuatu. Bagaimana agaknya kalau seorang lelaki itu mengalami masalah 'sakit tuan ?"

SINAR HARIAN ~ suara cakna komuniti anda.

SELAMAT DATANG.
Surat khabar untuk orang Selangor dan KL.


SIFAT LOKAL

PRINSIP NEUTRAL

SEMANGAT NASIONAL

FIKIRAN GLOBAL





Aku menghantar sms TAHNIAH kepada pemberita Sinar Harian. Tersiar dimuka 36.

*menarik daripada pembaca. Berita Sinar dekat di hati.

"Berita Sinar Harian terasa sangat dekat di hati. Semoga akhbar baru ini terus cemerlang dan berkembang".

- ABANG LONG, PELABUHAN KLANG.


Berita Sinar Harian. Untuk hari kedua.



Berita muka hadapan Sinar Harian. Pada hari ketiga.


Maklumbalas spontan yang diberikan oleh rakan sepejabat: "berita yang dekat dengan tempat kita !".


Harganya cuma RM1.00 SAHAJA.


Tuesday, September 04, 2007

nostalgia ...



KUBOTA @ traktor. Ianya benar - benar 'mengembalikan nostalgia' buat diri aku. Klik disini.

MALAM KEMERDEKAAN

Kisah 1 - Ucapan ringkas.



Aku adalah diantara manusia, yang benci kepada ucapan yang panjang berjela. Khususnya diwaktu ini, ramai yang mengambil kesempatan atas apa upacara sekalipun, akan turut berucap sambil berkempen.



Tapi, pada malam kemerdekaan yang baru lalu, yang diadakan dipadang Majlis Bandaraya Shah Alam. Hanya 2 orang sahaja yang bercakap, iaitu Emcee Majlis dan seorang tokoh sejarah negeri Selangor. Itupun mengambil masa tidak lebih 10 minit.



# Semakin hari, semakin rajin wakil rakyat 'turun padang'. Hinggakan majlis kenduri kahwin pun hendak berucap.



Kisah 2 - Lagu Patriotik.


Terasa kelainan dimalam ambang kemerdekaan anjuran Kerajaan Negeri Selangor. Hanya lagu berunsur patriotik yang dikumandangkan. Tiada lagu yang boleh 'menjemput' muda - mudi untuk terkinja - kinja dan hilang rasa malu untuk menari dihadapan pentas.



Yang paling menarik, setiap orang, tanpa rasa penat, terus sahaja mengibarkan bendera JALUR GEMILANG. Samada bendera yang mereka pegang itu bersaiz kecil ataupun besar. Yang pasti setiap orang teruja untuk mengibarkan bendera Malaysia.



Dan aku, tanpa disedari telah turut serta dengan ribuan rakyat didataran Bandaraya Shah Alam, menyanyikan setiap lagu yang dikumandangkan.



# Ramai yang boleh menyanyikan lagu patriotik, kerana lirik lagu disediakan dan dipaparkan diskrin besar ditengah padang.



Kisah 3 - Coklat & Gelang cahaya.


Sambil menikmati persembahan pentas, aku dapati, majoriti yang hadir membawa keluarga. Jadi, sudah tentulah ramai yang membawa anak - anak bersama. Dan seolah - olah satu pesta atau acara keluarga.

Yang aku tidak tahan nak ketawa. Bila mana ada ibubapa yang 'tersilap' pegang anak orang lain. Maklumlah, suasana sekitar tempat berhimpun agak gelap dan samar - samar.


Ya, malam itu, sambil berehat santai menunggu ambang kemerdekaan yang ke 50. Aku dan seluruh ahli keluarga. Menikmati keenakan coklat yang 'diterbangkan' khas dari Lubnan. Sambil anak - anak bermain gelang cahaya.



Kisah 4 - Bunga Api.


Seperti 'tidak sah', sesuatu sambutan dinegara ini. Kalau tidak ada 'percikan bunga api'. Tetapi, bagi diriku, itulah sesuatu daya tarikan yang paling menarik.

Ramai yang menyangka, malam tersebut tiada bunga api. Kerana sebaik sahaja 'count down'. Lagu Negaraku dimainkan. Dan seluruh hadirin bangun dan menyanyikan lagu kebangsaan dengan penuh semangat dan begitu patriotik. Jelas bergema "suara rakyat" sewaktu menyanyikan lagu tersebut.

Selepas itu lagu Malaysiaku Gemlang didendangkan. Aku dan seluruh ahli keluarga telah mula bergerak untuk pulang. Tiba - tiba sahaja bunyi bising kedengaran, dan langit tiba - tiba bertukar warna. Rupa - rupanya memang ada pertunjukan bunga api.

Suasana bertukar ceria, yang paling gembira dan teruja adalah anak - anakku dan anak - anak saudara yang masih kecil. Selalunya kami hanya melihat percikan bunga api dari kejauhan. Tapi kali ini, percikan bunga api berlaku betul - betul diatas kepala.


Kisah 5 - "Abang bangga".


Usai pertunjukan, sewaktu berjalan menuju ketempat letak kereta. Tiba - tiba sahaja anak sulung aku berkata "Abang bangga jadi rakyat Malaysia".

Seluruh ahli keluarga terdiam. Tiada yang menyahut. Tapi dari reaksi diwajah mereka aku pasti - "KITA SEMUA BANGGA MENJADI RAKYAT MALAYSIA".

Wednesday, August 29, 2007

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !

Selamat menyambut ~

HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE - 50





Bersama - sama seluruh RAKYAT MALAYSIA. Menyambut HARI KEBANGSAAN.


Malam esok sudah merancang, hendak membawa keluarga dan saudara mara ke Taman Tasek Shah Alam. Sambil berehat santai. Dan tahun ini juga hari kemerdekaan begitu bermakna. Kerana tarikhnya jatuh pada hari Juma'at. Cuma diharap (dan berdo'a), supaya tidak menjadi seperti tahun sebelumnya (malam kemerdekaan dicemari oleh gelagat muda - mudi, dimana botol dan tin arak dijumpai bersepah. Dan yang paling MEMUALKAN ialah bila ada yang menjumpai kondom dibeberapa tempat).



Malam hari kemerdekaan ini juga. Aku dan keluarga akan bersama - sama menikmati keenakan coklat, yang diberikan oleh saudaraku yang baru pulang dari Dubai.



Bak kata seorang teman - "Bawalah seluruh ahli keluarga ke tempat awam, kerana kita menyambut hari kemerdekaan ke 50, hanya sekali sahaja. Belum tentu kita akan hidup sewaktu 100 tahun kemerdekaan, ya, anak kita mungkin".




Monday, August 27, 2007

SETAHUN USIA BLOG

Bersempena dengan ulangtahun pertama "kelahiran" Blog Abang Long ini. Aku hanya menyiarkan tentang fakta dan angka sahaja. Buat tatapan pengunjung Blog Abang Long.


Insan yang sewajarnya mendapat penghargaan dan ucapan TERIMA KASIH, sudah pasti adalah insan yang telah "membangunkan" blog ini, hingga "kelahirannya" telah bersama - sama memeriahkan dunia BLOG iaitu - Mersik @ Pokcik Mersik.


Insan yang diberikan penghargaan untuk "merasmikan" pembukaan Blog Abang Long adalah -Novelis - Norzailina Nordin.


Insan PERTAMA yang telah meninggalkan "jejak" di Blog Abang Long - Nor Ash Burn.


Insan atau sahabat yang paling banyak meninggalkan "jejak" - Novelis - Puan Sifu Zalisa Maz.


Entri yang paling banyak ditingglkan "jejak" atau yang paling banyak menerima komen, bertajuk:

(11 komen) -Macam - Macam Kisah (13). 21hb May 2007,
(10 komen) - Macam - Macam Kisah (2). 12hb Januari 2007,
(10 komen) - Macm - Macam Kisah (4). 29hb Januari 2007.


Lirik lagu - 4 entri:
Nazam Berkasih - 8hb September.
Suara Takbir - 23hb oktober.
MAGNI NOMINIS UMBRA - 4hb Oktober.
Nadi Cinta - 29hb Disember.


Entri didalam Bahasa Inggeris - 5 entri:
Petikan dari The Star - 5hb September,
Just A Joke - 21hb Disember,
National Excuse - 22hb Februari,
Q & A - Boy & Girl - 5hb Februari,
Fear - 17hb March.


Tajuk entri yang membawakan TAJUK yang sama dengan nombor:

MACAM - MACAM KISAH (1 - 22).


Entri PANTUN - 1.
Tajuknya - Penghilang Bosan & Stress - 2hb Oktober.


Entri bagi setiap bulan:

August 2006 - 4
September 2006 - 18
Oktober 2006 - 25
November 2006 - 12
Disember 2006 - 17
Januari 2007 - 13
Februari 2007 - 13
March 2007 - 14
April 2007 - 5
May 2007 - 17
Jun 2007 - 20
Julai 2007 - 10
August 2007 - 7


Berpandukan kepada bulan, rangkuman entri yang paling banyak mendapat komen dan maklumbalas (mengikut turutan yang terbanyak):


1) MAY 2007 - 68 komen.
2) Januari 2007 - 49 komen.
3) Mac 2007 - 48 komen.
4) Jun 2007 - 46 komen.
5) Februari 2007 - 42 komen.
6) November 2006 - 35 komen.
7) Julai 2007 - 35 komen.
8) Disember 2006 - 32 komen.
9) Oktober 2006 - 22 komen.
10) April 2007 - 16 komen.
11) August 2006 - 12 komen.
12)September 2006 - 0 komen.
--------<--@ ------<--@ ----------<--@
Kepada semua pengunjung Blog Abang Long, samada anda membaca setiap entri dan meninggalkan jejak ataupun tidak. Abang Long mengucapkan JUTAAN TERIMA KASIH.

Friday, August 24, 2007

Budaya MEMBACA


Sudah lama aku memerhatikan. Sudah lama aku merenung. Sudah lama aku mengkaji dan sudah lama aku tahu tentang hal ini. Malahan, semakin lama aku memikirkan perkara ini, semakin aku tidak faham.


Isunya mudah sahaja. Di pusat pengajian tinggi atau dimana - mana sahaja. Perempuan lebih banyak membaca dari lelaki. Itu salah satu sebab mengapa kaum hawa atau orang perempuan adalah majoriti di IPT.


Ya, dengan nisbah - 40:60.


Ini menyebabkan perempuan kelihatan MENGUASAI pusat - pusat menimba ilmu. Kalau ada sesiapa yang mahu menyanggah pendapat aku - dipersilakan.


Lihatlah dimana - manapun, antara lelaki dan perempuan, golongan manakah yang paling banyak kelihatan membaca. Etc. tidak kira samada membaca buku, novel majalah dan sebagainya.


Tapi kali ini, aku hanya fokus pada pekerja dipejabat aku sahaja. Jadi kalau ada kakitangan atau staf yang membaca entri ini, tolong jangan marah. Buka fikiran, lapangkan dada dan bersedia menerima teguran ini.


Setiap hari, apa yang aku dengar dan lihat adalah. SEMUA pekerja lelaki, hanya bercakap, bercerita dan berdiskusi tentang:


1 - Bola,
2 - Kereta,
3 - Filem,
4 - Motor,
5 - Politik
6 - Gadis,
7 - Siri televisyen,
8 - Melancong
9 - Komputer,
10-SEKS !. Ini paling hebat dibicarakan (konon !).


Tidak ada seorang pun yang bercerita, berbincang atau berdiskusi tentang buku, novel atau bahan - bahan ilmiah - TIADA LANGSUNG !


Cuma, sekarang telah ada 2,3 orang sahaja yang telah menunjukkan minat membaca novel. Itupun sebab aku membawa BUDAYA ini kedalam pejabat. Sebelum ini, langsung tiada.


Aku pernah beberapa kali menunjukkan beberapa buah buku ilmiah, kepada beberapa orang kakitangan. Dan sekiranya mereka mahu, memang aku telah berniat untuk meminjamkan buku itu terlebih dahulu. Namun jawapan yang aku terima memang mengejutkan dan mengecewakan - "ish, saya tak ada masa nak baca ni Encik, balik ke rumah nak jaga anak pun tak sempat". Tetapi aku berkata dalam hati, "main futsal seminggu dua kali sempat pula !".


Dan ada ketikanya aku merasa sedih, kalau buku ilmiah atau separa ilmiah langsung tidak disentuh, masih boleh diterima. Pernah aku menghulurkan sebuah buku agama, bertajuk - "Rahsia khusyuk dalam solat". Jawapan yang aku terima - "Terima kasihlah Encik, tapi maaflah, saya tak tahu bila boleh habis baca satu buku ni". Lalu aku menjawab "saya tak kisah, kamu baca sahaja, bila - bila nak beri balik pun saya tak kisah". Dalam hati aku berkata "hai, buku yang tak sampai 150 halaman ini pun tak sempat baca juga ?".


Jadi dalam hal ini, secara peribadi. Aku tidak mahu, dan kaum lelaki juga jangan marah atau berasa hati kalau aku katakan - itu sebabnya orang perempuan zaman ini lebih pandai, lebih cerdik dan lebih bijak dari kaum lelaki !.


Itu belum masuk lagi bab membaca AL-Qur'an. Contohnya, dalam radio. Apa - apa siaran sekalipun, yang ada slot belajar membaca Al-Qur'an. Yang pasti, lebih ramai pendengar @ pemanggil wanita, yang mahu mencuba membaca dan memperbaiki bacaan Al-Qur'an.

Thursday, August 23, 2007

Seluar dalam terjelir ...


Entah kenapa, tiba - tiba hari ini, suasana pejabatku agak bising dan gamat. Pelbagai kisah lucu diceritakan seorang demi seorang.


Seperkara lagi, almaklumlah tanpa diduga. Semua pekerja wanita tidak hadir dengan pelbagai sebab. Jadi yang tinggal hanyalah pekerja lelaki. Jadi perbualan begitu "terbuka". Dan tidak ada penapisan langsung !.


Aku juga tumpang 'semangkuk'. Aku bukanlah seorang yang terlalu baik dan alim. Ada ketikanya 'terserlah' juga kejantanan aku dalam berbicara.


Tiba - tiba seorang pekerja berkata "eh, korang tau tak sekarang ada pakaian fesyen baru ?"


Masing - masing termenung seketika, memikirkan apa "fesyen baru" itu.


Lalu aku, dengan perasaan tidak sabar, terus bertanya "apa fesyen baru tu ?" sebab walaupun aku bukan pengikut trend fesyen terkini, tetapi aku ambil tahu juga.


Lalu dengan selamba si mamat ni menjawab "fesyen seluar dalam terjelir".


Aku dan kakitangan lain masing - masing masih terpinga - pinga, bertambah tidak faham.


Lalu si mamat seorang ini dengan bersahaja terus menerangkan apa itu fesyen terbaru "perasan tak, ada perempuan sekarang, bila pakai seluar jeans, bila duduk, bahagian belakang .... bahagian punggung ... mesti nampak seluar dalam diorang terkeluar sikit .... ha kan tu fesyen seluar dalam terjelir".


Barulah semua faham, dan sekali lagi masing - masing ketawa terbahak - bahak.


# Ada juga yang memakai tudung, tapi berbaju ketat menampakkan "bahagian depan" yang "berisi". Dan ada juga yang memakai tudung, tapi memakai seluar yang ketat.

Tuesday, August 21, 2007

Ustaz cakap kotor ?


Trend ceramah masa kini ?


Terus terang aku katakan, bahawa aku tidak faham. Malahan ada ketikanya, aku merasa malu untuk membawa anak - anakku ke surau atau masjid yang berdekatan dengan rumahku. Ini kerana, cara penyampaian ustaz ini agak keterlaluan. Maksud aku mudah sahaja. Para ustaz ini (perhatian: bukan semua), berceramah menggunakan bahasa yang 'double meaning' atau dengan kata mudahnya - LUCAH !.


Kalau diselitkan sedikit sahaja dalam proses penyampaian mereka, bagi aku sudah memadai, tapi yang terkilannya, ada yang berceramah hampir keseluruhan menggunakan perkataan atau bahasa yang hanya sesuai untuk disebut dihadapan jemaah yang berusia ataupun yang telah matang.


Bayangkan ada satu ketika, anakku dengan bersahaja bertanya "abah, apa benda lurah dendam tu ?" dia bertanya, selepas para jemaah ketawa terbahak - bahak selepas seorang ustaz itu menceritakan tentang kisah seorang gadis berpakaian seksi.


Walaupun kisah itu benar - benar berlaku, namun cara olahan dan penggunaan ayat itu agak keterlaluan. Aku tidak pasti penerimaan kaum wanita / muslimat dalam hal ini (kerana kedudukan kaum muslimin dan muslimat dipisahkan oleh tirai).


Tidak bolehkah para ustaz ini, menyampaikan ceramah atau kuliah dalam bahasa yang mudah, berhikmah, menggunakan perkataan yang bersesuian dengan semua peringkat umur, bersopan dalam penggunaan bahasa atau ayat ?


Aku yakin dan aku pasti. Jika para ustaz ini memahami akan uslub dakwah para nabi, khususnya cara dan corak penyampaian oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Mereka pasti akan berasa malu. Kerana Nabi Muhammad tidak pernah sekalipun menggunakan bahasa separa lucah mahupun lucah sepenuhnya.


Hatta sewaktu menerangkan tentang kisah hubungan suami isteri sekalipun, Nabi Muhammad menggunakan perkataan yang begitu harmoni. Aku masih ingat tentang hadith ini - "hendaklah seorang isteri itu menyempurnakan hajat seorang suami, walaupun berada diatas pundak seekor unta". Cukup. Kesemua sahabat memahaminya.


Sudahlah masyarakat kita dihadapkan dan dibebani dengan terlalu banyak gejala soSIAL. Aku bimbang, jika trend para ustaz ini berceramah, maka gejala ini bukan sahaja tidak akan terhapus. Malah akan bertambah parah !!!.

Monday, August 20, 2007

Berhemat dijalanraya.



Marah, geram, takut, kesian bercampur baur.

Aku dalam perjalanan ke pejabat. Sewaktu kejadian itu berlaku.

# Gambar foto ini tiada kaitan dengan entri ini.

Seperti biasa, aku ke pejabat dengan menunggang motorsikal 'kapcai' milikku, yang telah berusia hampir 10 tahun. Motorsikal yang telah begitu banyak berjasa kepada tuannya.


Jalanraya menuju ke pejabat aku, terkenal dengan kekerapan berlaku kemalangan. Sepertimana jalanraya Shapadu (yang sering berlaku kemalangan dan membabitkan ratusan nyawa melayang).


Dalam keadaan hujan gerimis, aku lebih selesa memandu dalam keadaan yang perlahan (biar lambat sampai, asalkan jangan tak sampai langsung). Dan sememangnya, aku tergolong dalam golongan pemandu @ penunggang yang memandu dalam kelajuan sederhana. Jarang sekali aku memandu atau menunggang melebihi 100 kmj.

Tiba - tiba sahaja, ada sebuah lori 3 tan, membunyikan hon dengan kuat dibelakang aku. Hati aku berdetik, aku sudah berada betul - betul ditepi jalan. Malahan motor aku berada dibahagian luar garisan putih.

Lori itu dipandu begitu rapat denganku. Aku terpaksa memperlahankan motorsikal. Dan pemandu lori itu terus memecut dengan kasar. Aku yang berada didalam keadaan begitu tertekan dengan sikap pemandu lori itu, terus menyumpah seranah. Tiba - tiba sahaja aku berdoa'a - "Ya Allah, Dikau berilah petunjuk kepada pemandu kurang ajar itu !"

Lori itu terus memecut dan terus hilang dari pandanganku.

Sewaktu aku membelok di satu selekoh. Tiba - tiba sahaja aku terlihat beberapa kenderaan telah berhenti disebalik jalan. Rupa - rupanya, kemalangan baru sahaja berlaku. Aku memperlahankan motorsikal. Aku melihat didalam kawasan yang agak berpaya dibahagian kiri bahu jalan, sebuah lori telah terbabas dan bahagian kepala lori telah terbenam sebahagiannya kedalam paya bakau.

Apabila aku amati keadaan lori itu. Aku pasti, itulah lori yang sebentar tadi dipandu dengan cara yang kurang berhemat atau dengan kata lainnya - KURANG AJAR !.


Namun yang pastinya, walaupun aku merasa kasihan dengan apa yang berlaku. Tapi aku tidak mampu untuk melakukan apa - apa. Sebabnya, aku sendiri sudah tidak bermaya. Akibat terkena hujan, menyebabkan aku terasa migrain. Dan seperkara lagi, aku masih berasa geram dan marah dengan cara memandu, pemandu lori itu.

Friday, August 17, 2007

CUTI - sekolah, puasa, raya, periksa dan pilihanraya.


Cuti sekolah sudah bermula. Dari 18hb Ogos hingga 26hb Ogos. Tapi cuti sekolah pada kali ini, aku tidak akan balik kampung, membawa anak - anak. Kerana, musim peperiksaan akhir sudah semakin hampir.


Untuk cuti sekolah yang berlangsung selama seminggu ini pun, aku telah mendapat 4 kad undangan perkahwinan. Nasib baik semuanya berdekatan.


Lagipun bila dikira - kira. Kurang dari sebulan sahaja lagi, ummat Islam akan menyambut puasa dibulan Ramadhan. Selepas itu sudah berhari raya, tidak lama kemudian, musim peperiksaan.


Bila difikir - fikirkan, bila dikira - kira, bila dicongak - congak. TERLALU PANTAS waktu bergerak.


4 bulan sahaja lagi kita akan masuk ke tahun baru 2008.


# Nota tambahan: Dapat panggilan dari Datuk, Ahli Dewan Undangan Negeri. Bertanya khabar. "Assalamu'alaikum, apakhabar ? eh ... kenapa lama tak datang rumah saya ?"


Sepatah kata Tok Guru Nik Aziz "pilihanraya ... around the corner".

Thursday, August 16, 2007

Harga baru ?


Aku terkejut, aku tergamam dan aku keliru ...


Bila pula pihak Kerajaan (bayaran perkhidmatan hospital), menaikkan harga resit pendaftaran ? dari RM1.00 kepada RM5.00 ?.


Aku membawa anak sulungku ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang. Untuk mendapatkan rawatan susulan. Seperti biasa, aku meletakkan kad temujanji didalam kotak yang disediakan.


Selepas hampir satu jam menunggu, akhirnya nama anakku dipanggil. Aku terus ke kaunter. Sangka aku, aku hanya akan mengambil nombor giliran. Tiba - tiba, kerani kaunter berkata "lima ringgit ye".


Aku terkejut, aku tergamam dan aku keliru ...


"Tapi Cik, ini adalah temujanji susulan ... kali keempat, sebelum ini, saya tidak pernah dikenakan sebarang bayaran" aku cuba mendapatkan kepastian.


"Anak Encik masih bersekolah kan ? ok, begini, lain kali tolong bawa surat pengesahan dari pihak sekolah, supaya Encik tidak perlu bayar apa - apa, tapi kali ini Encik perlu bayar RM5.00" kerani itu memaklumkan kepada aku.


"Maaf ya, saya nakkan kepastian, sewaktu mula - mula saya bawa anak saya untuk rawatan, memang saya ada bawa surat pengesahan dari pihak sekolah, tetapi selepas itu, sewaktu saya datang kali kedua dan ketiga, saya tidak membawa apa - apa surat ... seperkara lagi, bila pula harga resit dinaikkan dari RM1.00 ke RM5.00 ? aku terus bertanya untuk mendapatkan kepastian.


Kerani dibahagian kaunter itu menjawab bersahaja "eh, dah lama dah".


Aku terkejut, aku tergamam dan aku keliru ...


"Baiklah" aku tidak mahu bersoal jawab lagi, sambil menghulurkan nota RM5.00.

Tuesday, August 14, 2007

Oh ... Si Bongkok

Sembang santai dengan Kekanda Abdul Latip Talib, tentang buku terbarunya - Si Bongkok Tanjung Puteri.

Timbul idea untuk melawat sekali lagi ke pusara Si Bongkok.

Tapi kali ini bukan keseorangan, atau berdua - duaan. Kita akan mengadakan rombongan. Melawat tempat bersejarah, yang sudah hampir dilupakan oleh generasi kini.

Melawat atau menziarahi pusara seorang pejuang tanahair. Kalau tidak kita (sebagai anak Melayu) yang melakukannya sebagai tanda penghormatan, terhadap seorang yang telah berjasa dan menyerahkan nyawa demi untuk agama, bangsa dan negara ... siapa lagi ?

InsyaAllah, perkara ini akan diwar - warkan bila sampai masanya. Semoga Allah memberkati usaha kita.

Monday, August 13, 2007

UJIAN JANTUNG


Seperti yang telah ditetapkan oleh Doktor panel. Maka aku pun melangkah pergi ke Seri Kota Medical Centre, keseorangan dan dengan penuh debaran.


Berbekalkan surat jaminan dari syarikat, memudahkan urusan untuk bertemu dengan doktor pakar.




Satu persatu diuji, dari pengambilan contoh darah, tekanan darah. Dan seterusnya berpindah kebilik yang lebih canggih. Seluruh tubuhku ditampal dengan alat pengesan jantung, penuh berselirat dan keliling pinggang.

Setelah alat itu dipasang, aku diberikan beberapa tips, bagaimana aku perlu lakukan, diatas lantai (maaf aku terlupa nama mesin tersebut). Dimana sewaktu mesin bergerak dalam kelajuan yang perlahan, dan mesin tersebut akan bergerak lebih laju dan akan mencapai kelajuan maksimum.

Diwaktu itu, aku teringat satu siri popular di awal tahun 70'an dahulu, iaitu siri - Six Million Dollar Man. Bagaimana mesin tersebut akan bergerak perlahan dan akhirnya akan bergerak pantas, untuk menguji kepantasan dan seterusnya untuk menguji denyutan jantung.

Setiap 3 minit, kepantasan pergerakan mesin akan ditambah, ini menyebabkan aku hampir - hampir terjatuh. Tapi tanganku masih berpegang kuat pada alat atau kayu pengadang. Hingga ke satu masa, aku sudah tidak mampu bertahan, dadaku berombak laju, denyut jantungku terasa hampir pecah, pandanganku kabur.

Melihat keadaanku yang sudah tidak stabil itu, dua orang jururawat yang sentiasa berdiri disisiku, terus memaut dan memapah tubuhku. Lalu diangkat dan diletakkan diatas katil. Seorang Doktor terus memeriksa keadaan jantungku selama beberapa minit.

Waktu itu, pandanganku kelam, aku terasa seluruh tubuhku menggigil, dan terasa sesak nafas. Monitor mesin berbunyi dengan agak kuat.

Hampir 1/2 jam kemudian, barulah keadaan ku kembali normal. Namun jari - jemariku masih menggeletar, mungkin kerana suhu bilik yang agak sejuk.

Setelah itu, aku kembali ke bilik yang pertama, namun jalanku masih belum stabil sepenuhnya.

Setelah Doktor pakar itu habis meneliti setiap laporan, maka aku diberikan ceramah pendek. Baaimana untuk menangani stress, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, apa yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan dan sebagainya.

Yang penting adalah soalah terakhir yang aku berikan kepada Doktor tersebut.

"Doktor, adakah saya mengidap sakit jantung ?"

Dengan tersenyum dan penuh diplomasi Doktor menyatakan "TIDAK".

Saturday, August 11, 2007

Macam - macam kisah (21)

Kisah 1 - Siap tapi tak jadi.



Aku telah bersiap ala kadar, untuk pergi ke Singapura. Selain dari untuk menyambut Hari Kebangsaan negara itu yang ke 43. Dalam masa yang sama, aku juga berhajat untuk menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai yang menetap disana.


Tapi apakan daya, disaat - saat akhir, atas sebab kesihatan yang agak meruncing, maka atas nasihat dari Doktor. Maka rancangan itu terpaksa dibatalkan.


Sejak dari awal pagi, aku tiba - tiba merasa kurang sihat. Sakit dibahagian dada telah datang berulang. Tapi kini kesakitan itu datang lebih kerap. Hingga aku berasa kurang selesa untuk berkerja. Akhirnya, aku terus mencapai motor kapcai buruk aku, dan terus menunggang, menghala ke klinik panel. Usai mendapat rawatan kecemasan. Doktor memaklumkan yang aku perlu dihantar ke Pusat Rawatan untuk mendapat rawatan lanjut.

# Apakan daya, kita hanya merancang.



Kisah 2 - Kasih seorang isteri.



Tiba sahaja dirumah, aku terus berbaring. Tanpa berkata apa pun. Isteriku menegur "sakit abang datang balik ke ?" Aku hanya mengangguk. Lalu dia menanggalkan stoking yang aku pakai, kerana aku merasa seolah hilang daya.

Diambilnya air segelas, lalu aku mencapainya dan menelan beberapa biji pil, penahan sakit.


"Sayang, sayang boleh ambil anak dari sekolah tak?" aku bertanya, kerana kasihan melihat isteriku yang terpaksa berulang alik, mengambil dan menghantar anak kesekolah.


"Abang, jangan fikir benda tu semua, saya akan ambil anak - anak, yang penting sekarang, abang rehat, abang tidur dulu" sambil mengusap lembut rambut aku.


Tiba - tiba sahaja, aku terus "hilang" ... aku tertidur, dek kerana ubat penenang yang diberikan oleh Doktor.


# Kash sayang yang ikhlas dari seorang isteri - hanya Syurga tempat balasannya.



Kisah 3 - Anak jadi pendiam.



Sewaktu aku terjaga dari tidur (yang agak lama), aku tersedar, waktu itu telah masuk waktu maghrib. Dengan segala kepayahan aku bangun. Aku lihat anak - anak sedang menghadap pelajaran mereka (sekarang musim peperiksaan).


Melihat sahaja aku keluar dari bilik, anak - anak ku terus menerpa kearahku. Semuanya memeluk dengan perasaan kasih sayang, seolah - olah telah lama berpisah layaknya. Anak ku yang sulung terus memapah tubuhku, kerana aku berjalan dalam keadaan terhoyong - hayang (mungkin akibat pil penenang masih berfungsi).


Mereka terus membawa aku ke bilik air, kerana aku belum bersolat lagi. Usai bersolat (dalam keadaan duduk), kerana aku tidak mampu untuk berdiri. Terus sahaja mereka bertanya soalan yang pelbagai, hingga aku ketawa.

# Syukur Alhamdulillah, aku mendapat keluarga yang semakin memahami tugas masing - masing.

Wednesday, August 08, 2007

Happy Birthday Singapore


SELAMAT HARI KEBANGSAAN SINGAPURA - yang ke 42 tahun.

9 hb Ogos 2007.

40 tahun yang lalu. Di Pulau Republik Singapura. Aku dilahirkan. Disitulah tanah tumpah darahku.


Kini aku telah menjadi rakyat dan warga negara Malaysia. Taat dan setia, tetap pada negara ini. Namun kedua - dua negara tetap menjadi sebahagian dari rakaman sejarah hidupku.

Perayaan Hari Kebangsaan Singapura akan diadakan di Marina Bay. Mendapat makluman dari saudara aku yang berada disana, sambutan pada tahun ini adalah yang paling "Grand". Seluruh Pulau Singapura "disaluti" oleh bendera negara tersebut, yang berwarna merah dan putih. Suasana malam bergemerlapan. Yang menjadi lebih hebat kerana perbarisan hari kebangsaan akan diadakan diatas satu kawasan yang dahulunya adalah laut, dan kini terkenal dengan nama - Marina Bay.




Kepada saudara - mara dan sahabat handai yang menetap dan menjadi warga negara Singapura. Aku ucapkan TAHNIAH dan Selamat Maju Jaya - MAJULAH SINGAPURA.

Dibawah adalah lagu kebangsaan negara Singapura - MAJULAH SINGAPURA.


Mari kita rakyat Singapura
Sama-sama menuju bahagia
Cita-cita kita yang mulia
Berjaya Singapura
Marilah kita bersatu
Dengan semangat yang baru
Semua kita berseru
Majulah Singapura
Majulah Singapura






Tuesday, August 07, 2007

Macam - macam kisah (20)


Kisah 1 - Romantik.

Satu hari, di awal pagi. Seorang kakitangan masuk kedalam bilik aku. Sambil menyerahkan fail dokumen, tiba - tiba sahaja dia bertanya:

Khairul (bukan nama sebenar): "Semalam saya nampak Encik dan isteri di Taman Tasek Shah Alam".
Aku: "Ya, sahaja ambil angin diluar, awak nampak saya dimana ?".
Khairul: "Saya di restoran, dekat situ ... wah, romantik betul ya, berjalan sambil pegang tangan, peluk pinggang lagi..."
Aku: "Ermmmm .... awak disitu dengan isteri ?"
Khairul: "Taklah, saya dengan member ... malaslah nak bawa isteri ... lagipun, kalau saya bawa isteri, siapa yang nak jaga budak - budak dirumah ?"

# Maaf, aku tidak tahu macam mana nak beri ulasan tentang hal ini. Bagi aku, lagi lama usia perkahwinan kita, semakin erat dan semakin intim perhubungan kita.



Kisah 2 - BURGER ... satu !

Malam itu, sewaktu berjalan - jalan ditepian tasek, aku dan isteri singgah disebuah gerai menjual burger. Tiba digerai itu, aku lalu memesan sebiji burger.

Aku: "Dik, bagi burger ayam satu".
Penjual Burger: "Satu je bang ?" ... akak tak nak ?" sambil memandang kearah isteriku.
Aku: "tak pe, kami kongsi je" aku menjawab sambil tersenyum.

Beberapa orang pelanggan, yang sedang menunggu tersenyum memandang kearah kami.

# Bukankah berkongsi makanan itu barakah.



Kisah 3 - KETAWA.

Pelbagai perkara dan topik yang kami bualkan sewaktu berdua - duan ditepian tasek itu. Dari sekecil - kecil perkara, hingga ke isu politik, dari hal anak - anak hingga ke isu XXX. Dan hampir kesemua perkara yang diperkatakan mengundang ketawa. Hingga aku sendiri terbahak - bahak, tidak dapat menahan perasaan geli hati.

Tapi malangnya, aku yang sering menjadi "mangsa" akibat cubit - cubitan sayang dari isteri ku.

# Cubit - cubitan ahai, senggol - senggolan. Ada ketikanya, aku sendiri merasa hairan, apabila melihat ramai suami yang terlalu serius bila bercakap dengan isteri.

Nota tambahan: Nabi Muhammad adalah seorang lelaki dan seorang suami yang paling banyak berbincang dan paling banyak bergurau dengan isteri.

Monday, August 06, 2007

Kasih SAYANG


Cerita dibawah, adalah sebuah mesej yang aku terima melalui emel dari Puan Zarina, seorang sahabat yang aku hormati.

Kisah yang begitu "menyentuh" perasaan aku sendiri sebagai seorang suami kepada seorang isteri.



Seorang wanita dan kekasihnya bernikah dan acara pernikahannya sungguh meriah. Semua kawan-kawan dan keluarga mereka hadir menyaksikan dan menikmati hari yang berbahagia tersebut.

Suatu acara yang luar biasa dan sungguh mengesankan. kedua mempelai begitu anggun dan gagah dalam persalinan yang indah. Setiap pasang mata yang memandang setuju mengatakan bahawa mereka sungguh-sungguh saling menyintai dan sepadan.

Beberapa bulan kemudian, si suami berkata kepada isterinya:

“Sayang, abang baru membaca sebuah artikel dalam majalah tentang bagaimana memperkuatkan hubungan dan tali pernikahan kita", katanya sambil menunjukkan majalah tersebut. "Masing-masing kita akan mencatatkan hal-hal yang kurang kita sukai dari pasangan kita”.

"Kemudian, kita akan membahas bagaimana kita mengubah hal-hal tersebut dan membuatkan perkahwinan kita bersama lebih bahagia ...".

Isterinya setuju dan mereka mula memikirkan hal-hal dari pasangannya yang tidak mereka sukai dan berjanji tidak akan tersinggung ketika pasangannya mencatat hal-hal yang kurang baik kerana ia adalah untuk kebaikan mereka bersama.Malam itu mereka sepakat untuk berpisah tidur dan mencatat apa yang terlintas dalam benak mereka masing-masing.

Esok pagi ketika sarapan, mereka sedia membincangkannya. "Abang akan mulai dulu ya", kata suami. Ia lalu mengeluarkan senarainya. Banyak sekali yang ditulisnya, sekitar 2 mukasurat ....

Ketika ia mulai membacakan satu persatu hal yang tidak dia sukai mengenai diri isterinya, ia memperhatikan bahawa airmata isterinya mulai mengalir ...

"Maaf, apakah abang harus berhenti ?" tanyanya."Oh tidak, teruskan ..." jawab isterinya.

Lalu si suami melanjutkan membacakan semua yang tersenarai, lalu kembali melipat kertasnya dengan manis di atas meja dan berkata dengan bahagia, "Sekarang giliran sayang pula membacakan senaraimu".

Dengan suara perlahan isterinya berkata, "Saya tidak mencatat sesuatupun di atas kertas saya”. “Bagi saya abang sudah sempurna, dan saya tidak ingin dan tidak akan mengubah dirimu Abang... Abang adalah tersendiri. Abang adalah pelengkap segala kekurangan saya..Dan jika adapun kekurangan Abang, kekurangan itulah yang mendekatkan hati saya dengan Abang ..."

Si suami tersentak dan tersentuh hatinya oleh pernyataan dan ungkapan cinta serta isi hati isterinya ..... bahawa isterinya menerima dirinya seadanya.

Dia kemudian tertunduk dan menangis ...


P/s: Sebelum kita mencari kekurangan orang lain, carilah kekurangan diri sendiri. Adakah kita cukup SEMPURNA untuk dibandingkan dengan orang lain?...

Kalau jawapan nya YA, maka kita berbohong atau kita PERASAN. Kerana tiada manusia yang SEMPURNA dalam dunia ini dan sentiasa ada yang perlu diperbaiki...

Wallahualam

"Hakikatnya orang-orang yang menyayangi diri kita kerana kelebihan kita dan menerima segala kelemahan kita, sudah pastilah orang ini adalah sangat ikhlas menyayangi diri kita... INSYAALLAH."


# Syukur Alhamdulillah. Setelah usia perkahwinan aku hampir mencecah 20 tahun. Aku masih berupaya dan selesa untuk memanggil isteriku dengan panggilan SAYANG.

Wednesday, August 01, 2007

Gambar foto PERCUMA

Assalamu'alaikum dan salam hormat kepada semua pengunjung Blog Abang Long.

Buat pengetahuan semua. Ramai yang bertanyakan gambar - gambar sekitar PAsiNo. Dimana ramai yang ingin menatapnya. Namun dukacita, usaha pihak Kelab Peminat Novel ALAF 21, untuk memuat turun gambar itu tidak berjaya. Disebabkan keupayaan Blog adalah terlalu terhad.


Akhirnya Pihak Kelab Peminat Novel ALAF 21, telah mengambil keputusan berikut. Dimana pada bulan Ogos ini akan diadakan pertemuan dengan AHLI, pembaca dan peminat novel ALAF 21. Diwaktu itu sekeping CD, yang mengandungi kesemua gambar (yang dirakam dari 3 buah kamera, digabungkan sekali), akan diberikan secara PERCUMA kepada mereka yang hadir pada PAsiNo.


Sekian TERIMA KASIH

Apa kata mereka tentang PAsiNo ?

Lagi tentang PAsiNo ...

Apa kata mereka ?


Saudara Hizam, adalah seorang pembaca, peminat dan pengulas novel. Beliau juga mengusahakan katering. PAsiNo pada kali ini menjemput Lusiana Katering untuk menyajikan makanan kepada tetamu yang hadir. Alhamdulillah sajian yang begitu menyelerakan dan mendapat pujian dari tetamu yang hadir. Saudara Hizam lebih dikenali sebagai Web Sutera. Kita lihat apa yang beliau kata tentang PAsiNo. Klik di sini.

Kali pertama alunan serunai diperdengarkan kepada khalayak pembaca novel, dalam PAsiNo. Ramai yang kagum, teruja dan memuji akan persembahan dan lagu yang didendangkan oleh Kumpulan Gendang Gemalai Kasturi dibawah pimpinan Saudara Serunai Faqir. Sesuatu yang baru, dimana selain dari lagu irama tradsional, kumpulan ini juga membawakan lagu yang berentak moden, selain dari dangdut dan juga irama Bollywood. Apa kata Serunai Faqir ? Klik disini.

Ulasan lanjut tentang PAsiNo, sila klik disini.