Wednesday, August 01, 2012

AIR SUNGAI KLANG mengalir lesu dan keruh...


Umat Islam telah memasuki fasa kedua bulan puasa Ramadhan Al Mubarak. Alhamdulillah.


Ini adalah entri yang amat genting.  Setelah 5 tahun Abang Long bersabar.  Ramai yang berkata jangan mengeluh dan merintih kepada manusia,  mengadulah terus kepada Allah Yang Maha Mencipta – YA, Abang Long amat bersetuju.  Dan itulah yang dilakukan selama ini.


Sejak 5 tahun hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan. Ya,  kami sekeluarga memang bersabar dengan penuh kepayahan. Walaupun getir kehidupan ini,  namun kami terus bertahan.


Sejak 5 tahun menghadapi kesakitan yang tidak dikenalpasti oleh pakar perubatan moden.  Ya,  kami terus bersabar menahan derita.  Walaupun sukar namun diharungi juga,  dan kami terus bertahan.


Sejak 5 tahun ini,  anak Abang Long yang paling kecil tidak pernah melihat ayahnya pergi kerja tetap.  Sering berada dirumah. 


Sejak 5 tahun menganggur.  Setiap kali anak – anak memerlukan sesuatu,  ayat yang paling popular ialah  “Kalau abah ada duit,  tolong belikan roti,  tiap malam abang lapar …”  itulah ayat yang sering diluahkan oleh anak sulung yang sedang belajar di madrasah tahfiz.


Dan sejak 5 tahun inilah.  Abang Long tidak pernah terlepas dari bangun malam untuk merayu, mengadu,  merintih dan memohon, meminta dan penuh mengharap kepada Allah Yang Maha Esa.


Abang Long berusaha. Berdoa. Bertawakal. Berikhtiar. Berselawat. Dan aku lakukan apa sahaja amalan ‘pembuka pintu rezeki’  dan ‘doa elak bala’.


Tetapi … yang paling Abang long tidak mampu menghadapi ialah.  Setiap kali pergi berubat.  Dari puluhan insan yang berupaya merawat.  Jawapan yang diperolehi adalah sama.  “Ada HALANGAN pada diri saudara … perbanyakkan amalan dan bersabarlah.”


Buat para sahabat yang mengenali diri Abang Long. Sesungguhnya inilah kali pertama dalam sejarah,  Abang long terpaksa membuka pekung diri sendiri.  Ya,  Abang long mencatatkan kisah dengan linangan air mata yang mengalir tanpa henti. Ya,  sengaja Abang Long biarkan air mata itu mengalir deras.  Biarkan ….


Setelah 5 tahun memikirkan semasak – masaknya. Kini, Abang Long nekad bercerita.  Sudah hilang rasa malu.  Jika Abang Long tidak bercerita dan merayu.  Maka,  orang tidak akan tahu kisah sebenar.  Sedangkan Abang Long sudah tidak mampu menghadapinya lagi.


Bagaimana sahabat yang budiman hendak membantu,  jika mereka tidak tahu kisah sebenar ?


Ramadhan kali ini.  Sama seperti Ramadhan 5 tahun ini.  Abang Long berusaha lebih gigih.  Mempromosikan produk sendiri – DADIH AR RAZI. 

Sehingga hari ke 12.  Hanya ada 2 tempahan yang tiba. 

Begitu juga dengan lain lain produk.  Langsung tiada permintaan.

Abang Long mendapat tempat untuk berniaga ehsan seorang sahabat.  Hanya 10 bekas dadih yang terjual.


Dari sudut bisnes.  Langsung tiada keuntungan.  Malahan rugi.  Ya,  HALANGAN itu terlalu kuat !

Kini,  Abang Long sedang terkial – kial untuk mencari sedikit wang bagi membayar zakat fitrah untuk seramai 7 orang tanggungan. 

Ya Allah,  berikanlah aku kekuatan untuk menghabiskan ayat ini,  sedangkan air mata lelaki terus mengalir ….


Temuduga ?  Usah dikira dan usah ditanya.  Memang Abang Long tidak akan menghadiri sebarang temuduga lagi.  Sudah beratus tempat ditemuduga.  Yang pasti,  Abang Long sudah tidak mampu untuk membayar duit gambar foto. Dan setiap kali,  jawapannya hanyalah satu – GAGAL !


Kini,  terpulang kepada para sahabat.  Tidak perlu melihat jauh penderitaan ke Palestin. Somalia. Afghanistan. Abang Long hanya tinggal di -  Klang, Selangor, Malaysia.


Disaat umat Islam sedang hebat beramal.  Dan insyaAllah,  sedang menghitung hari untuk menyambut HARI LEBARAN.  Yang pasti,  Abang Long sekeluarga hanya mampu berdoa semoga wang kami cukup untuk menghadapi -  Hari Pertama Persekolahan 2013 anak – anak.


# Ada kawan yang berkata sinis – “Eh,  bini abang long kan kerja guru KAFA … takkan dia tak boleh bantu?”




 abang long

3 comments:

Irfa said...

tak tahu nak kata apa
semoga ketemu jalannya

mybabysbucket said...

Assalamualaikum Abang Long,
Semoga abang long sekeluarga terus tabaha.. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.. Apakah bentuk bantuan yang mungkin abang long perlukan buat masa sekarang. Mungkin ramai yang sudi membantu.

Mudah mudahan Allah membalas kesusahpayahan abang long dengan rezeki yang melimpah ruah selepas ini..

Shai Kamarudin said...

Kuatkan semangat, Abang Long. Memang adakalanya orang nampak kita macam tak ada masalah dan pandang enteng kesusahan orang lain. Cuma kita saja yang tahu kesusahan kita.
Insya-Allah, rezeki dan kurnia Allah tu besar dan Dia tak akan berikan dugaan tu kalau hamba-Nya tu tak kuat menerimanya. Saya pun baru selesai menghadapi kesulitan lepas tiga tahun hidup tak berduit, berhutang dan perlu ke mahkamah akibat ditipu dalam perniagaan. Senyum dan berlawak dengan semua orang, dalam hati Allah saja yang tahu.
Kalau ada apa-apa yang saya boleh bantu, Abang Long cakap je.
Oh, lagi satu. Saya rasa Abang Long pun patut start menulis. Abang Long boleh menulis dengan sangat baik. Kenapa tak jadikan penulisan ni satu manuskrip? Saya pun penulis yang sangat2 slow, tapi tak kira macam mana slow pun, kalau diteruskan pasti jadi satu manuskrip.
Aja aja fighting! ^^

Nurul Syahida