Bukan mudah sebenarnya untuk mengajak tetamu untuk bersolat berjemaah. Ada sahaja alasan yang diberikan. Dan ada juga tuan rumah yang menggigil kepala lutut untuk mengajak saudara mara mahupun sahabat dan kenalan yang bermalam dirumah untuk bersolat bersama - sama.
Malahan, ada diantara tuan rumah yang tidak ambil kisah, seandainya tetamu yang berkunjung kerumah tidak bersolat.
Pagi tadi, sebaik sahaja bangun dari tidur. Aku merasa kurang sihat, lantas mengambil keputusan untuk bersolat subuh dirumah. Maka, aku menggerakkan beberapa orang saudara aku yang lelaki untuk bersolat secara berjemaah.
Usai solat subuh, aku seperti terlupa (atau memang ditakdirkan Allah), yang ada jemaah dibelakang aku. Selalunya, jika ada jemaah yang mengikut, maka aku akan ringkaskan bacaan solat dan berdoa. Tetapi pagi tadi, usai sahaja solat, aku terus mengalunkan zikir munajat.
Entah kenapa, sewaktu rancak mengalunkan kalimah mengagungkan Allah, tiba - tiba aku terdengar suara esakan seseorang.
Rupa - rupanya, seorang saudaraku sedang menangis. Namun, aku teruskan mengingati kalimah Allah hingga selesai.
Usai berdoa, tiba - tiba saudaraku ini terus bersalam dan memelukku dengan begitu erat. Lalu aku tanya "kenapa?"
Dengan jujur, saudaraku berkata, beliau sudah 10 tahun tidak menunaikan solat. Dan terasa gementar serta takut mengenangkan azab meninggalkan solat. Dan lebih hiba, apabila terasa benar - benar syahdu mendengar kalimah nama Allah yang MAHA AGUNG dialunkan.
Aku hanya mengucapkan SYUKUR.