Wednesday, April 16, 2008

AKU SEORANG PENGANGGUR DI BUMI MALAYSIA

Setelah lebih dari satu bulan, aku tidak mengemaskini blog ini. Akhirnya aku terpaksa akur dengan situasi semasa. Bermula dari Pilihanraya ke 12 yang telah lalu, hingga membawa ke Pesta Buku Antarabangsa 2008. Aku dihujani dengan desakan agar memberikan pendapat atau pandangan tentang isu semasa, untuk disiarkan didalam blog ini.



Namun, seperti yang telah diketahui ramai. Aku memang telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari dunia blog. Akhirnya, Pesta Buku telah merobah niat asal aku.



Begitu ramai yang mengirimkan emel secara peribadi, dan tidak kurang juga yang menghantar sms, bertanyakan tentang perkembangan terkini diri aku. Akhirnya aku tersenyum sendirian, dek kerana tidak mampu untuk menjawab satu persatu setiap soalan yang diberikan.



Dimana sahaja aku berada, terdapat 3 soalan yang paling kerap ditanya, dan dikesempatan ini, aku telah bersedia untuk menjawabnya:


Soalan 1 - Abang Long masih sakit ?
Jawapan: Alhamdulillah, semakin sihat, namun belum pulih sepenuhnya.



Soalan 2 - Abang Long masih mencari kerja ?
Jawapan: Ya, Abang Long masih mencari kerja, sekarang masih berstatus - PENGANGGUR.



Soalan 3 - Kenapa lama tidak mengemaskini blog ?
Jawapan: Sebab yang pertama, kerana sakit. Sebab kedua kerana tiada kerja @ menganggur @ tiada wang, jadi logiknya, kalau sudah tiada wang kerana menganggur, bagaimana hendak masuk kedalam Siber Cafe ?



Adakah aku membuka pekung didada ? Tidak ! Kerana itu adalah HAKIKAT yang sebenar - benarnya.

Buat masa ini, fikiran aku masih belum tenteram, masih bercelaru, masih berkecamuk, masih resah, masih gelisah, masih tidak keruan. Semuanya disebabkan, aku masih tidak ada kerja ! Adakah aku memilih kerja ? Jawapannya - TIDAK ! Kerana aku telah pergi ke hampir 10 syarikat perkapalan. 20 buah restoran. 5 buah pasar malam. 6 buah syarikat agen jualan kereta. 4 buah syarikat kawalan keselamatan. 3 buah hipermarket. 2 buah perbadanan kerajaan tempatan. 2 buah syarikat pengangkutan.



Dan, aku telah menghabiskan sebanyak 30 keping gambar berukuran pasport, untuk diserahkan kepada syarikat dimana aku temui untuk memohon kerja.



Sekarang, aku hanya berdo'a dan bertawakal. Aku lebih banyak mendiamkan diri. Rasa seperti tidak mahu lagi bercakap dengan manusia. Kerana aku sudah terlalu letih melayan pelbagai soalan, samada soalan biasa mahupun soalan yang berhubung dengan pengalaman kerja. Sedangkan jawapannya belum pasti.



Setiap malam, aku melihat anak - anakku yang sedang tidur lena. Aku memandang mereka dengan pandangan yang begitu sayu, air mata saban malam keluar mencurah tanpa dapat disekat. Dan aku tidak mahu untuk menghentikan air mata dari jatuh ke bumi. Aku biarkan air mataku mengalir keluar.



Dalam kegalauan aku, masih ada beberapa insan yang telah sudi membantu. Atas prinsip dan dasar persaudaraan serta kemanusiaan.




1 - Seorang insan berhati mulia, yang telah memberikan aku sebuah novel. Mungkin beliau merasakan yang aku tidak mampu untuk membeli novel. Ya, aku memang tidak mampu untuk membelinya dimasa ini, kerana aku tidak mempunyai wang.





2 - Seorang insan berhati mulia, yang telah menghulurkan sejumlah wang. Bagi diriku, jumlah itu amat besar, disaat aku tidak mempunyai wang untuk duit belanja sekolah anak - anakku.





3 - Seorang insan yang berhati mulia, yang telah memberikan aku sebuah komputer ! Memang aku tidak menyangka langsung akan mendapat pemberian itu. Nasihat dari beliau, agar aku dapat menggunakan kemudahan yang ada untuk kemajuan diriku.




Bagi aku, yang pasti aku tidak akan memberitahu sesiapapun tentang nama 3 orang insan berhati mulia ini. Biarlah aku, insan itu dan Allah sahaja yang mengetahuinya.


Dan, setiap malam, sewaktu sedang sujud menyembahNya, aku berdo'a:



"Ya Allah, aku memohon dari Mu, agar ENGKAU panjang usia insan ini, murahkan rezekinya, tambahkan iman mereka, jauhkan meraka dari bala bencana didunia mahupun diakhirat, selesakanlah kehidupan mereka, rahmatilah kehidupan mereka, berilah kejayaan yang berlipat ganda buat mereka, selamatkanlah mereka didunia mahupun diakhirat .... AMIN, AMIN, AMIN YA RABBAL 'ALAMIN".

# TERIMA KASIH aku ucapkan buat Saudara Abu Kassim, kerana sudi untuk menaja entri pada kali ini.

3 comments:

* azieazah * said...

Sabar la..

Tiap anak ada rezeki buat mereka..

Sekiranya bersabar, berusaha dan yakin, insyaAllah pasti ada hikmah..

Saya faham perasaan saudara, malah lebih faham lagi perasaan si isteri saudara...

Anonymous said...

salam...

kepada abang long...bagaimana utk menghubungi anda...

harap dapat email kpd saya..

kumbangsetaman@yahoo.com.my

-bekas penganggur-

PuteriSatu said...

alahai...sedihnya saya baca entry abang long ni...rindu betul nak lawat blog abang long...

saya doakan untuk abang long semoga cepat dapat kerja...

segalanya ada hikmah yang tersembungi..harap abang long lebih kuat ye...