Showing posts with label KELUARGA. Show all posts
Showing posts with label KELUARGA. Show all posts

Sunday, June 28, 2009

Mickey Mouse di Tanjung Harapan


Santai di Tanjung.


Sudah lama aku tidak membawa keluarga duduk berehat dan bersantai menenangkan fikiran ditepi benteng Tanjung Harapan atau lebih dikenali sebagai Bagan, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.


Walaupun tempat itu bukannya jauh sangat dari rumah, hanya mengambil jarak masa selama 15 minit sahaja dari rumah. Tetapi disebabkan oleh pelbagai faktor, maka kami tidak berkesempatan untuk pergi ke Bagan.


Maka malam tadi, usai bersolat Maghrib, maka kami pun berangkat menuju ke Bagan dengan empat orang anak. Yang paling jelas kelihatan seronok ialah si kecil, Adam Muhammad Behjad. Dengan memakai lampu berkelip dikepala ala - ala Mickey Mouse. Adam kelihatan begitu riang. Dan yang pasti, mulutnya begitu becok dan menghiburkan kami sekeluarga.


Air laut sedang pasang dan berombak di tepi benteng, dan bayu laut agak kuat. Ada ketikanya aku seperti terasa seram dengan keadaan itu. Masih teringat bagaimana teruknya tsunami yang melanda dan begitu banyak nyawa yang telah terkorban.


Sampai sahaja di Bagan. Kami terus membuka bungkusan nasi lemak yang dibeli di tepi jalan, berdepan dengan Flat Seri Perantau. Sebungkus nasi lemak yang dimakan berkongsi beramai - ramai begitu terasa kebahagiaan diantara keluarga. Aku hanya memerhatikan sahaja, maklumlah, aku tidak makan makanan berlemak. Aku hanya hanya makan roti buku sahaja.


Suasana sekitar amat mendamaikan. Walaupun kehadiran manusia agak ramai, kerana malam minggu. Namun tidaklah hingga penuh sesak dan merimaskan. Yang nyata, begitu ramai muda mudi yang berjalan santai sambil berpegang tangan, dan ada yang berjalan sambil memeluk pinggang si gadis.


Aku hanya tersenyum memandang gelagat manusia yang berjalan mundar - mandir disitu. Hampir semua pasangan yang berada disitu kelihatan begitu romantik. Malah, ada yang berbicara dengan begitu asyik memandang wajah pasangan masing - masing, hingga kelihatan begitu dekat wajah masing - masing kelihatan seperti hendak berkucup.


Suasana malam yang agak dingin, dihembus sang bayu, dan hanya kedengaran desiran ombak, seolah - olah membisikkan kata - kata sakti supaya setiap insan itu memahami bahasa badan pasangan masing - masing untuk melangkah lebih jauh dalam meneroka kehendak sanubari.


Isteri aku melentokkan kepalanya ke bahuku .... sambil anak - anak bermain dihadapan kami ...


Kami melepaskan lelah masing - masing ...

Monday, December 29, 2008

KISAH UMAT SEWAKTU 1430 Hijrah

KINI SUDAH 1430 TAHUN HIJRAH.


Catatan pendek 1
1 MUHARRAM 1430 Hijriah. Sudah begitu lama waktu berlalu. Apa kisah umat Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu 'Alaihi wasallam ?



Catatan pendek 2
Tajuk akhbar utama, menyiarkan berita tentang umat Islam di Palestin yang telah dibom oleh Israel Zionis LAKNATULLAH.


Kulihat orang Melayu yang membaca tajuk akhbar, hanya membaca tajuk sahaja. Tidak pasti apa perasaan mereka.



Catatan 3


Petang semalam, usai solat Asar, aku memberikan sedikit tazkirah kepada ahli keluarga. Hanya 2 perkara yang aku fokus, menceritakan tentang jihad dan redha.


Usai tazkirah. Aku tersenyum memandang wajah anak sulong aku yang balik sementara dari pusat tahfiz. Lalu memberi arahan "Abang ambil alih tugas"


Si anak lalu terus membaca do'a akhir tahun dan terus disambung dengan membaca Al Ma'thurat, dan tugasnya selesai selepas do'a awal tahun. Isteriku tersenyum dan terharu dengan kemampuan si anak.


Syukur Alhamdulillah.



Catatan pendek 4

SMS yang aku terima dari sahabat:

1 - Ya Allah, seketika di akhir tahun ini, InsyaAllah muncul tahun baru yang ceria. Engkau muliakan & sayangi penerima ucapan ini, berkati keluarganya, sihatkan tubuh badannya , limpahkan rezekinya, jauhkan daripada fitnah, penganiayaan & penghinaan, suburkan benih keimanan dengan penuh rasa kasih sayang serta takwa tanpa alasan. Makbulkan cita-citanya yang murni. Amin Ya Rabbal 'Alamin. Selamat Menyambut Maal Hijrah. 1430 Hijrah.



Catatan pendek 5

Terasa benar sambutan yang berbeza. Bayangkan sambutan Tahun Baru Masehi. Sambutan Tahun Baru China.

Sambutan Tahun Baru Islam terasa muram.Yang Dipertuan Besar Negri Sembilan mangkat. Umat Islam Palestin DIBOM !

Saturday, December 27, 2008

TAIPING BANDAR WARISAN

SELAMAT DATANG KE BANDAR TAIPING. 'From Taiping With LOVE'


Sewaktu pulang ke Taiping. Baru aku tersedar, rupa - rupanya pintu gerbang dijalan utama masuk ke bandar Taiping, ditulis perkataan - Selamat Datang Ke Bandar Taiping - BANDAR WARISAN.


Sebenarnya terdapat 100 sebab kenapa Taiping diberikan gelaran BANDAR WARISAN. InsyaAllah, pada entri akan datang aku akan berikan senarai itu didalam blog ini.


Cuma, yang paling utama ialah, taburan hujan di Bandar Taiping adalah yang tertinggi dan terbanyak di Malaysia. Sudah menjadi satu perkara yang biasa, jika kita melihat orang ramai berjalan atau beriadah didalam keadaan hujan gerimis. Hatta, sewaktu Hari Raya, atau cuti kelepasan umum, masyarakat disana akan tetap keluar dari rumah, walaupun hujan sedang turun. Kerana, bak kata orang Taiping "kalau nak tunggu hujan berhenti, kita langsung tak boleh keluaq rumah ... bila masa hujan nak berhenti?"


Jadi, kalau anda berkunjung ke Taiping, maka jangan takut, malu atau segan pakaian anda basah. Kerana kalau anda takut badan anda basah. Anda tidak akan keluar ke mana - mana.


Sedikit coretan untuk anda. Bandar Taiping adalah yang paling unik diantara semua bandar dalam Negara Malaysia. Dalam daerah Taiping, semua lokasi berada berhampiran dan terlalu dekat antara satu sama lain. Air terjun, Muzium, Penjara, Taman Tasek, Zoo, Hotel, Pusat membeli belah, semuanya ada dalam satu kawasan.


Sewaktu pulang untuk menziarahi kedua orang tua yang sedang uzur. Aku mengambil kesempatan untuk membawa anak - anak keliling bandar. Lalu aku tunjukkan semua tempat pelancongan. Barulah anak - anak aku tersedar lalu berkata "abah, semuanya dekat, Zoo dalam Taman Tasek, sebelah Taman Tasek ada Muzium."


Aku hanya memandu dalam keadaan perlahan dan bersantai. Tidak seperti bandar - bandar lain dalam negara kita. Taiping adalah kawasan yang 'FREE JAMMED'. Tidak ada kesesakan jalanraya.


Aku membawa seluruh ahli keluarga ke kawasan air terjun yang berdekatan. Dengan dua buah kereta yang sendat dan padat dengan penumpang, khususnya anak - anak dan anak saudara, kami berkelah dikawasan air terjun.


Ohhh .... terapi minda yang menyenangkan, bila mendengar deruan air yang mengalir ... aku terlelap ...


# Kelihatan anakku sedang memancing. Aku bertanya, "dapat tangkap ikan apa?" Aku bertanya dengan sinis.

Dia menjawab dengan bersahaja "Dugong"

Wednesday, December 24, 2008

SEMANIS KURMA DAN KUIZ

ISTERI PEMALAS. BERSABARLAH wahai para SUAMI.


Semalam, seperti minggu – minggu sebelumnya. Aku dan seluruh ahli keluarga menonton rancangan kegemaran kami. SEMANIS KURMA di TV9.

Tajuk yang dibawa kali ini ialah - ISTERI PEMALAS.


Memang menarik isi dan isunya. Dengan perantara yang tidak asing lagi iaitu – Dato’ Ustazah Siti Norbahiyah dan suami tersayang iaitu Ustaz Wan Akashah. Dengan dua orang tetamu jemputan iaitu Puan Salwa Abd Rahman (penyanyi) dan Puan Safura.

Rancangan dakwah yang berkonsepkan santai dan romantik ini. Pelbagai isu diutarakan. Namun, semalam, tiba – tiba sahaja kami tidak dapat menahan ketawa yang teramat sangat. Hingga isteriku mengesat air mata dek kerana ketawa yang keterlaluan.


Manakan tidak, terdapat beberapa orang pemanggil lelaki yang memberikan komen dan sekaligus menceritakan sikap kurang senang terhadap isteri masing – masing.


Pemangil pertama menceritakan tentang sikap isterinya yang takut - MANDI PAGI.
Aku kata pada ahli keluarga aku, "kalau sudah takut mandi waktu pagi, ini memang masalah besar".


Pemanggil kedua menceritakan tentang bau pada tubuh isterinya - BAU KETIAK.


Bila Ustaz Wan Akashah bertanya berapa lama usia perkahwinan saudara, si pemanggil kedua menjawab “sudah 20 tahun.” Lalu si pemanggil kedua berkata lagi “memang keturunan isteri saya, badan berbau.”

Kelihatan tetamu undangan juga seakan terpaksa menahan ketawa.


Apapun, yang terbaik ialah, masing – masing perlu bijak untuk menangani masalah ini. Tips dan panduan telahpun diberikan oleh kedua - dua perantara yang terkenal itu.