Friday, December 01, 2006

CHEF BERADU MEMASAK

Gelagat chef beradu memasak
Oleh Ellyna Ali

MAHU melihat pertaruhan antara chef dengan peserta biasa dalam program berasaskan pertandingan memasak?

Sedia Mula Masak terbitan Ambang Entertainment Sdn Bhd bersama Ciku Media Sdn Bhd yang dihoskan pengacara, pelawak dan pelakon terkenal Louisa Chong memberi anda peluang untuk melihat aksi serta pertaruhan yang cukup menarik ini.

Malaysia pula menjadi negara pertama di Asia yang mengambil konsep program berkenaan selepas ia berkembang luas ke Eropah, Australia, Itali, Kanada serta beberapa negara lain sejak diperkenalkan sekitar 1994.

Jurucakap Ciku Media Sdn Bhd, Anne Mukhtar berkata, menariknya mengenai program Sedia Mula Masak ini, ia bukan saja menguji daya ketahanan mental peserta tetapi juga selebriti chef itu sendiri.

“Selalunya dalam program masakan yang sudah sedia ada, kebanyakan chef sudah mengetahui dari awal mengenai resepi masakan yang bakal disediakan.

Malah, tidak perlu risau dengan bahan yang bakal digunakan dalam resipi masakan itu kerana semuanya turut disediakan dalam program terbabit.

“Namun, dalam program ini, situasi yang dilalui chef agak berbeza. Chef sama sekali tidak tahu apakah resipi yang perlu disediakannya.

“Chef hanya akan mengetahuinya selepas wakil peserta daripada kumpulan yang bertanding membeli-belah keperluan barangan di pasar raya Tesco yang terkenal pada harga berpatutan dan berkualiti.

“Selepas itu, chef akan dikehendaki menggunakan daya kreativiti mereka untuk menyediakan apa masakan yang bersesuaian berdasarkan keperluan barangan yang disediakan itu dalam tempoh masa 20 minit,” katanya.

Menurut Anne Mukhtar lagi, banyak aksi mencuit hati peserta dan chef yang dapat ditonton dan dilihat di dalam program ini.

Antaranya ialah persaingan setiap peserta yang mewakili dua kumpulan iaitu cili merah dan tomato hijau.

“Setiap wakilnya pula hanya dibenarkan membeli bahan masakan tidak melebihi RM20.

“Selain itu, penonton juga dapat melihat aksi serta gelagat chef terkenal tanah air yang bertungkus-lumus menyediakan menu yang menyelerakan.

“Sambil bertungkus-lumus memasak, mereka juga akan memperturunkan rahsia resipi masakan kepada penonton di rumah.

“Antara chef yang diundang menjayakan program ini ialah Chef Ismail, Sobri Mat Noor, Azrah Kamala Sashi, Florence Tan, Mavin Ong dan Norzailina Nordin,” katanya.

Seperkara unik mengenai program ini, pemenang akan ditentukan oleh penonton yang berada di studio.

Bererti penonton sendiri yang akan menjadi pengadil untuk menentukan kumpulan mana yang layak memenangi pertandingan.

Seterusnya memberi peluang kepada mereka ini memenangi baucar Tesco Store Malaysia Sdn Bhd bernilai RM 100.


Bahan berita dipetik dari Akhbar Harian Metro.


# Teringat pada siri IRON CHEF di TV8.

No comments: