Road Block.
3 tahun berlalu. Sejak anak ke 5 berusia 3 tahun hinggalah hari ini mencecah usia 5 tahun. Dia tidak pernah tahu yang aku ada kerja. Hinggalah dia sudah mula pandai bercakap, bila ditanya oleh orang ramai "ayah ada dirumah tak?" maka dengan spontan dia akan menjawab "ayah ada dirumah, dia tak ada kerja."
Dan paling mengesankan bilamana dalam tempoh 3 tahun aku tidak bekerja ini. Aku tidak pernah membelikan si kecil comel aku itu baju raya, kasut raya, songkok raya. Kalau ada pun, semuanya adalah sumbangan dari adik beradik aku.
Begitu juga dalam tempoh 3 tahun aku tidak ada kerja ini. Anak - anak aku mempunyai soalan yang paling mengharukan aku sebagai seorang ayah. "Abah ada duit tak?" bila aku tanya kenapa, mereka akan menjawab "kalau abah ada duit, nak suruh belikan kicap manis sebotol, kicap dah nak habis." Anak - anak aku yang belajar di madrasah akan makan bersama kicap sebagai pembuka selera.
Bagaimana pula dengan isteri aku ? Dia pernah berkata beberapa kali "tak ada berita yang paling gembira selain dari mendengar abang dah dapat kerja."
Hari ini, umat Islam telahpun memasuki fasa ke 2 puasa. Hari ke 15. Dan pada hari ini, aku masih lagi terkial - kial mencari kerja.
Beberapa kali aku terasa hati dengan sikap umat Islam. Bilamana rayuan aku seolah olah dipandang sepi. Aku bukannya hendak menjadi peminta sedekah. Aku hanya perlukan kasih sayang dan perhatian dari saudara muslim untuk memberikan aku peluang kerja. Itu sahaja.
Bila aku membaca dalam blog dan FB, tentang persiapan umat Islam untuk menyambut hari raya. Aku sebenarnya tidak ada langsung perasaan untuk menyambut raya. Bagaimana hendak menyambut hari raya, sedangkan aku sendiri tidak pasti bagaimana hendak menyambut sesuatu yang diluar kemampuan.
Hari ini, semua orang riuh rendah dengan isu - JAIS - Gereja. Aku tergelak, ya memang aku tergelak. Aku bukan hanya tersenyum, tetapi aku tergelak sungguh dengan sikap begitu prihatin umat Islam yang mempertikai tindakan JAIS. Ada pula yang mempertikai tindakan Gereja.
Aku tidak ada statistik rasmi. Tetapi dari perkiraan orang bodoh seperti aku. Jika setiap umat Islam menyumbangkan RM50 sahaja. Cuba bayangkan dalam negeri Selangor sahaja. Dianggarkan kutipan hasil zakat akan mencecah ratusan juta RM.
Keduanya, aku tergelak sungguh. Bila ada pusat zakat sebuah negeri yang membuat pengisytiharan - LEBIHAN ZAKAT. Lebihan zakat ? Adakah semua orang Islam dalam negeri itu sudah kaya raya hingga menolak zakat ?
Ops... maaf, aku sudah lari tajuk.
Berbalik kepada kisah aku. Aku sakit dan aku mengalami pelbagai perkara. Jadi hanya aku yang dapat merasainya sendiri. Ya, aku dapat merasakan sesuatu yang memang tidak kena dalam tempoh 3 tahun ini.
Cuba bayangkan dalam ratusan temuduga yang aku hadiri. Secara logiknya, takkan satu pun tidak mendapat jawapan positif ? Pelik tapi benar.
Aku pergi berubat. Aku bukannya pergi 'menelek nasib'. Itukan perbuatan syirik. Cuma, pandangan dari mereka yang sudah berpengalaman. Aku dapati semuanya memberikan pandangan yang hampir sama.
Aku 'dihalang'.
Dan memang pun aku terasa seperti itu.
Hasil kajian:
1 - Ada banyak tempat aku hadiri temu-duga. Peluang 90%. Tetapi bila disaat akhir, aku dihubungi menyatakan "maaf, kami memilih calon lain."
2 - Beberapa tempat, aku telah dipanggil untuk 'masuk kerja', tetapi bila aku datang, pekerja disitu terpinga - pinga. "Maaf ya encik, sebenarnya saya terlewat memaklumkan bahawa kami telahpun memanggil pekerja lain untuk bekerja disini."
3 - Aku telah mendapat beberapa peluang untuk berniaga dibeberapa lokasi. Hasil ehsan dari pelbagai pertubuhan. Namun, bila aku 'buka meja' untuk jualan. Aku langsung tidak mendapat sebarang keuntungan. Malahan, aku rugi pula disebabkan terpaksa membayar duit minyak dan tol serta makan diluar.
4 - Aku redah jua. Aku membuat bisnes secara 'on line'. Namun, dari hampir 2,00 emel yang aku kirim. Hanya tidak sampai 5 orang yang memberikan maklumbalas.
5 - Tubuh aku terkena dengan pelbagai jenis penyakit. Namun, bila diperiksa oleh doktor pakar, aku dimaklumkan bahawa aku seorang yang sihat.
Akhirnya aku berserah diri kepada Allah. DIA yang mencipta aku, DIA yang menjadikan aku, DIA yang menghidupkan aku dan DIA yang akan mematikan aku.
Jika DIA tidak mengizinkan 'halangan' itu berlaku keatas diriku. Maka 'halangan' itu tidak akan berlaku.
Aku sakit, dan DIA lah yang menyembuhkan aku.
Saat dan detik ini. Aku tidak memikirkan tentang raya dan segala persiapan. Yang aku tahu ialah, aku hendak terus sujud kepada Allah. Memperbanyakkan zikir 'benteng' diri dan keluarga.
Ini adalah tahun pertama ibu aku beraya tanpa ayah. Jadi memang sedih jika aku tidak pulang ke kampong. Tetapi bagaimana hendak pulang ke kampong ? Maka keputusannya ialah, aku akan pulang seorang diri untuk menemankan ibu di kampong supaya dukanya terubat sedikit. Kalau aku pulang ke kampong bersendirian, mudah sahaja. Harga tiket KTM baru RM14 X 2. Tetapi kalau aku bawa seluruh ahli keluarga. Memang boleh menyesakkan nafas ini.
Lagipun, anak sulung aku pernah meluahkan pandangannya "tahun ini kalau abah tak dapat kerja, kita tak payah beraya, tapi kalau abah dapat kerja, barulah kita beraya."
Anak kedua pula bergurau "macam mana kalau tahun ini, pagi raya kita semua pakai jubah madrasah."
Untuk makluman pengunjung dan pembaca blog ini. InsyaAllah, hasil temuduga dibeberapa tempat akan diketahui atau dimaklumkan selepas hari raya ini. Jadi kepada insan yang kasihkankan kami, tolonglah doakan kejayaan aku. Itu sahaja. Ya, itu sahaja. Bolehkan ?