Wednesday, November 18, 2009

AMUK. Siri (1)


Kerja Bertemu Duga.


Yang pasti aku sudah malas mengira. Memang menyakitkan ! Tapi sebagai rujukan sahaja. Inilah temuduga yang ke 161. Dalam tempoh 20 bulan. Hari ini aku pergi untuk temuduga di sebuah pasaraya terbesar di Shah Alam.


Bila ditanya oleh penemuduga, jawatan yang aku ingin pohon. Aku menjawab dengan serius. "Penjaga stor." Cik adik manis yang menemuduga aku agak tergamam seketika. "Tapi, berdasarkan resume yang ditulis disini, encik menyatakan bahawa encik mempunyai pengalaman selama hampir 20 tahun dalam bidang perkapalan ... tidakkah rugi andainya encik bertugas dibahagian stor ... sedangkan encik boleh mengaplikasikan pengalaman encik ditempat atau syarikat yang menawarkan bidang yang sama?" Berkerut dahi Cik adik itu.


"Baginilah Cik, yang penting saya mendapat kerja disini, saya tidak kisah, yang penting saya mendapat kerja bagi menyara keluarga saya, saya mohon SIMPATI dari Cik." Aku terus merayu.


Cik adik terus membalas "Tapi gaji sebagai penjaga stor tidak banyak ... tidak sampai RM900 ..."


Aku terus memintas "Itu tidak penting ... saya PERLUKAN kerja ... bila saya boleh memulakan tugas saya?"


Cik adik membalas "InsyaAllah, pihak kami akan berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu ... dan saya akan maklumkan hasilnya".


Aku sekadar mengangguk lesu ...

Monday, November 09, 2009

Gadis China Kurang Ajar !


Gadis China. Perempuan China. Wanita China.


Aku tidak tahu. Hari ini, entah kali ke berapa, darah aku memang menyirap. Sudah bertahun, sudah berpuluh - puluh kali. Aku dapati tentang satu perkara.


Gadis China. Perempuan China. Wanita China. Kalau memandu dijalanraya. Memang KURANG AJAR !


Aku sangka, aku seorang sahaja yang berhadapan dengan situasi begini. Rupa - rupanya, ramai lagi kawan, sahabat, saudara - mara, malahan sahabat aku yang bertugas sebagai pegawai trafik juga mengesahkan perkara yang sama.


Gadis China. Perempuan China. Wanita China. Kalau memandu dijalanraya. Memang KURANG AJAR !


Diberikan isyarat hendak ke kiri, kenderaan dibelok kekanan. Hendak masuk ke kiri, diberikan isyarat masuk ke kanan. Masuk ke jalan besar dengan bersahaja tanpa sebarang isyarat. Dan pelbagai lagi kesalahan. Dan yang paling menjengkelkan ialah. Apabila mereka mendengar hon dari pemandu lain yang berang. Mereka tidak ambil peduli. Jangan harap mereka hendak menunjukkan isyarat MAAF !


Tetapi hari ini. Telah berlaku sedikit kesesakan dijalanraya. Akibat dari perbuatan seorang gadis China, yang bersikap kurang ajar ini. Aku memberhentikan motor aku ditengah jalan, untuk menyekat kereta yang dipandu oleh gadis China ini. Aku terus ke arah gadis China ini dan terus menyergah dihadapan orang ramai:


"Awak dapat lesen sah dari JPJ, atau awak beli?"


"Apa hat lu mau tanya ... ?" Gadis China itu membalas.


"Sebab, awak memandu dengan cara KURANG AJAR!" Aku terus menengking.


Bila nada suara aku tinggi sahaja. Aku terus dikerumuni oleh ramai orang. Dan seorang wanita Melayu terus sahaja bersuara. "Memang dia bawa cara kurang ajar, tadi depan simpang tu, nyaris ada seorang Makcik sedang bawa anak - anak ke sekolah berlanggar dengan kereta ini."


Tiba - tiba kelihatan wajah Gadis China ini merah menyala. Dan sudah ada tanda - tanda dia akan menangis. Tetapi aku tidak peduli. Aku terus menyatakan sikap aku. "Kalau awak ingat ini jalan BAPAK awak, awak boleh bawa kereta dengan suka hati, tidak ada orang hendak marah ...!"


Dan si gadis itu terus masuk kedalam kereta. Dan aku dapat melihat dia sedang mengesat air mata.


Aku berharap. Ini menjadi pengajaran kepada semua pemandu di Malaysia. Nasib baik aku masih dapat mengawal emosi. Kalau orang lain yang bersikap pembengis, boleh jadi kenderaan atau gadis itu akan menjadi mangsa AMUK !

Sunday, November 08, 2009

Ringgit ke Dollar


Peluang, ruang atau luang ?


Sudah 2 hari, aku menggaru kepala. Memang kepala aku gatal ! Rasanya kena tukar sabun atau syampu kepala. Tetapi, aku rasa, kegatalan kepala aku dek kerana ada perkara yang lebih penting, yang aku sedang fikirkan.


Ada sahabat yang mengajak aku untuk pergi ke Singapura. Memang aku teringin sangat, apatah lagi sudah hampir 10 tahun, aku tidak menjejakkan kaki ke tanah kelahiran aku itu.


Tetapi apakan daya. Aku rasa, aku tidak dapat memenuhi permintaan sahabat aku. Walau hati meronta - ronta. Kerana sahabat aku tidak mengetahui langsung keadaan aku yang sebenarnya.


Apatah lagi. Hanya beberapa hari sahaja lagi. Aku akan berangkat ke utara negara, atas pelbagai urusan.


InsyaAllah, jika diizinkan oleh Allah. Satu hari nanti, aku pasti akan menjejakkan kaki ke Pulau Singapura kembali.

Friday, November 06, 2009

Bahasa Pasembor !


Disimpan Tak Guna. Hendak Dibuang Terasa Sayang.


Aku pergi ke sebuah syarikat pengangkutan. Hendak melakukan urusan bisnes. Bertemu dengan tuan punya pengusaha syarikat itu. Seorang lelaki China, berusia dalam lingkungan 50 tahun. Tidak fasih berbahasa Melayu. Bercakap dalam bahasa ROJAK. Yang pasti tidak mampu menggunakan Bahasa Melayu dengan baik.


Aku bertanya "Tuan Lim (bukan nama sebenar) dilahirkan dimana?"


"Wa olang Penang, asat sana ooo" Tuan Lim menjawab dengan lancar.


Aku pergi ke sebuah syarikat lain. Bertemu dengan pegawai di bahagian Perkhidmatan Pelanggan. Berjumpa dengan seorang gadis China, dalam lingkungan usia 30 tahun. Si gadis ini juga tidak mampu dan tidak berkeupayaan untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia. Aku bertanya dalam Bahasa Malaysia, dijawab dalam Bahasa Inggeris.


Dengan sopan aku bertanya "Cik Anne bersekolah dimana?"


Dijawab dengan penuh mesra oleh gadis China itu "I sekolah in (tuuut) PJ."


Aku terfikir, sekarang ini aku TINGGAL DIMANA ? Malaysia atau AMERIKA ?


Hati aku sudah terasa geram. Bila aku buka Buletin Utama. Seorang MENTERI bercakap dalam bahasa ROJAK ! Aku terus tutup televisyen !


Beginilah nasib ENGKAU ! Manusia di Malaysia ini sudah LUPA nama ASAL Engkau. Semenanjung TANAH M.E.L.A.Y.U !!!


Bermula dari hari ini. Kita lupakanlah tentang nasib bahasa KITA. Marilah kita beramai - ramai bertutur, bercakap, berkomunikasi dan bergembira bersorak sakan dengan BAHASA ROJAK. Kerana bahasa ROJAK diiktiraf oleh semua orang, termasuklah oleh Para MENTERI.


Bukan aku menolak bahasa Inggeris. Aku mampu, aku berupaya, aku boleh, dan aku menguasai bahasa Inggeris. Apatah lagi aku bekerja disebuah syarikat perkapalan antarabangsa selama 20 tahun.


Thursday, November 05, 2009

LIBIDO LELAKI


Naik, Turun, Naik, Turun, Naik, Turun.


"Yang kuat, terlampau kuat, sampai isteri tak boleh tahan. Yang lemah, terlalu lemah, sampai isteri menderita ..."


Begitulah dialog antara aku dan isteri, sewaktu dalam perjalanan pulang dari hospital, usai menziarahi seorang sahabat yang mendapat kemalangan.


Kami bersembang tentang hubungan seksual suami dan isteri. Hubungan intim. Dan apabila dialog itu aku lafazkan, isteri aku ketawa berdekah - dekah. Aku tersenyum dan menggelengkan kepala.


Kisah seorang sahabat aku yang meminta bantuan. Memang mengejutkan. Selama ini, jika ada perbualan tentang hubungan seksual lelaki. Dialah yang paling hebat bercerita. Boleh ternganga mulut dibuatnya. Rupa - rupanya, itu hanyalah kisah untuk menutup aib yang tersimpan sekian lama.


Kisah sebenar ialah, sahabat aku itu tidak mempunyai kekuatan kelelakian yang normal. Atau kata ringkasnya MATI PUCUK !


Lalu aku bertanya soalan paling terbuka. "Kalau kamu melihat aggota tubuh wanita yang terbuka, adakah alat kelamin kamu akan bereaksi?" Sahabat aku hanya menggelengkan kepala dan menunduk lemah.


"Jadi ... selama ini .... isteri kamu?" Aku menduga dengan soalan yang tergantung. Dan sahabat aku bersuara "selama ini ... dia banyak kali mengesyorkan supaya aku pergi berubat."


Dipendekkan kisah. Akhirnya aku membawa sahabat aku bertemu dengan seorang pengamal perubatan tradisional. Yang aku telah kenal sekian lama.


Hampir tiga bulan proses rawatan itu berjalan. Kini, Alhamdulillah, sahabat aku sudah hampir pulih sepenuhnya. Dengan USAHA, KEYAKINAN dan yang terpenting DOA !


Baru - baru ini, aku mengirimkan satu sms separa lucah kepadanya "Bagaimana sekarang, pokok kelapa sudah ok?"


Lalu dijawab oleh sahabat aku dengan riang sekali "Bukan pokok kelapak, tapi sudah jadi Menara KLCC daa ..."


Alhamdulillah. Semoga BAHAGIA hendaknya. AMIN.



SEKS & Lelaki. Bak Irama & Lagu


Wednesday, November 04, 2009

RINDU bila berjauhan.


Berpisah, berjauhan, berjuang ... keseorangan.


Beberapa hari ini, aku sering terbayang bagaimana rupa dan keadaan anak - anak bila ibu dan ayah berpisah ataupun bercerai. Si ayah dengan kehidupan baru. Si ibu juga dengan kehidupan baru. Dan anak - anak yang pasti akan juga TERPAKSA menghadapi sebuah kehidupan baru, samada tanpa ayah ataupun tanpa ibu.


Seandainya ayah dan ibu berpisah dalam suasana harmoni. Mungkin, tekanan perasaan si anak akan berkurangan. Tetapi, bagaimana jika perpisahan itu dalam suasana begitu tegang ?


Lainlah kisahnya jika si ayah atau ibu meninggal dunia. Iaitu, berpisah mati.


Kini, perkara yang sama aku bayangkan, bagaimana keadaan anak - anak aku. Bila aku tiada disisi mereka ? Aku akan merantau mencari rezeki. Dan anak - anak aku akan hidup bersama ibu mereka. Dan anak - anak aku masih kecil - kecil belaka. Pendek kata, hampir seluruh kehidupan mereka selama ini bergantung harap dengan aku.


Namun, setelah memikirkan tentang kuasa, ketentuan dan iradah Allah. Maka, aku serahkan segalanya kepada pemilik alam semesta ini. Segala yang berlaku adalah dengan ketentuanNYA.


Aku amat berharap agar isteri dan anak -anak aku mempunyai KEKUATAN dalam menghadapi kada dan qadar Allah. Dan yang penting, kami tetap bersatu.

Monday, November 02, 2009

Selamat Hari Jadi Anak Ku.


15 tahun.


SELAMAT MENYAMBUT HARI JADI wahai anakku - Muhammad Fakhrurrazi.


Dengan doa. Semoga panjang umur, murah rezeki, sihat tubuh badan, cerdas minda, ceria selalu, dan semoga cepat dapat menghafaz 30 juzuk Al Quran.


Muhammad Fakhrurrazi kini sedang menuntut di sebuah pusat tahfiz di Shah Alam.


Semalam, hari jadinya diraikan sehari lebih awal kerana itulah waktunya semua ahli keluarga dapat berkumpul secara serentak.


Petang semalam, ayah saudaranya pulang dari Kem TUDM Subang. Tiba sahaja dirumah, diajaknya seluruh ahli keluarga untuk keluar makan. Dan lokasinya ialah di KFC. Rupanya, ayah saudaranya sudah merancang lebih awal acara itu. Alhamdulillah.

Sunday, November 01, 2009

GEMPA BLOG !


Berubah bila berpindah.


Atas pelbagai sebab manusia boleh berubah. Dan atas pelbagai alasan manusia boleh berpindah. Yang penting, atas nasihat dari seorang 'alim. Kita kena ingat tujuan dan matlamat kita hidup diatas muka bumi ini.


Jika disebabkan oleh harta benda, anak isteri, keluarga, perasaan, ikut kata orang, maka tujuan berubah itu tidak akan ke mana - mana. Tetapi, sekiranya perubahan itu adalah kerana Allah, insyaAllah amalan itu akan dipersembahkan kehadapan Allah di alam akhirat kelak.


Bukan sahaja aku akan berubah dan berpindah. Malahan, Blog Abang Long juga akan mengalami proses perpindahan dan perubahan. Banyak perubahan akan dilakukan terhadap blog ini. Dan yang pasti, blog ini akan dijadikan lebih eksklusif.


Hari ini aku berada diperingkat paling bawah dalam kehidupan. Namun, aku bersyukur kerana aku masih ada kekuatan anugerah Allah. Kepada insan yang masih muda, carilah, galilah, koreklah, timbalah sebanyak mungkin ilmu dalam Islam. Kelak satu ketika, anda akan dapat bertahan walau digegar dengan gempa bumi yang bakal meranapkan sebuah kehidupan.


Berdakwahlah dengan cara paling berhikmah. Bertepatan dengan luahan seorang tua "Bercermatlah sewaktu menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berterabur." Dan, janganlah menegur seseorang seperti dalam iklan - SECUKUP RASA !

Friday, October 30, 2009

Mesin Gegar Badan


Ilmu baru. Dari komputer ke Mesin rumput.


Dahulu, setiap kali aku melihat orang yang melakukan kerja memotong rumput. Aku terfikir, mudahnya kerja mereka. Hanya yang aku tak boleh tahan ialah bunyi dengung mesin pemotong rumput yang begitu bising dan bingit.


Rupanya, menggunakan mesin rumput juga terlalu banyak ilmu yang perlu dipelajari. Jenis rumput yang hendak dipotong, waktu paling sesuai dan selesa untuk dipotong, cara dan gaya hendak memotong rumput.


Itu belum termasuk lagi, luas kawasan, kawasan 'siapa,' penjagaan mesin dan pelbagai lagi. Juga kita tidak boleh menawarkan harga perkhidmatan kita jauh lebih rendah dari harga yang 'ditetapkan' dalam pasaran, kerana bakal mengundang risiko yang tidak sedikit.


Setakat ini, aku cuma menyewa mesin rumput dari seorang sahabat. Bila aku membuat kajian, aku dapati, harga sewa mesin rumput memang tidak masuk akal. Tetapi, biarlah. Yang penting aku perlu kerja dan mendapat ilmu.


Itu belum lagi termasuk ilmu 'terjatuh' kedalam longkang. Aku memang tahu ada longkang yang dilitupi rumput, tetapi aku tidak tahu betapa dalamnya longkang itu !



abang long

Thursday, October 29, 2009

Talian Hayat atau Internet ?


20 tahun VS 20 bulan.


Selama 20 tahun aku bekerja. Aku telah menghadap komputer dari pelbagai jenis. Namun, kesemuanya aku lakukan disatu tempat sahaja, iaitu didalam pejabat.


Dan selepas tidak bekerja tetap. Selama 20 bulan ini. Aku telah menggunakan komputer dipelbagai tempat. Aku pernah menggunakan komputer di rumah, didalam kedai Cyber Cafe, dirumah orang, didalam kereta, didalam tren, diatas jambatan, di Taman Tasek dan paling mengujakan aku pernah menggunakan komputer di tepian batas bendang.


Tetapi, kesemua komputer dan komputer riba yang aku gunakan dipelbagai tempat itu adalah hak milik sahabat - sahabat aku.


Tidak lama lagi. Blog ini akan mengalami nasib yang tidak menentu. Kerana kedudukan kawasan atau tempat tinggal aku di utara tanahair mengalami masalah laluan internet. Aku tidak akan menggunakan komputer riba, atas masalah kegawatan ekonomi yang memuncak. Malangnya, dikawasan tempat tinggal aku itu kelak, tiada kedai komputer, dan tidak ada langsung walaupun sebuah kedai Cyber Cafe.


Setelah difikirkan keutamaan dalam kehidupan. Aku merenung jauh. Lantas aku teringat. 30 tahun yang lalu. Aku tidak pernah 'menyentuh' komputer. Dan kehidupan tetap aman, damai dan sentosa.


Waktu lapang, aku dan rakan - rakan akan bermain bola ataupun sepak takraw. InsyaAllah tradisi itu akan dapat disambung semula.


Tetapi aku rasa, bila keadaan ekonomi aku telah pulih sepenuhnya, aku akan menyambung semula talian untuk berinteraksi bersama rakan di alam maya. Ataupun aku perlu berkayuh sejauh hampir 10 km untuk mendapatkan perkhidmatan internet.


Bolehkah aku mendapatkan berita sepantas kilat ? Baru 10 minit kejadian jambatan runtuh di Perak, aku sudah mendapat maklumat dalam internet. Tetapi, bila mendapat berita seumpama itu, apa yang dapat kita lakukan ? Sekadar membaca dan bersedih. Itu sahaja, ya, setakat itu sahaja.

Wednesday, October 21, 2009

Kategori 40 tahun keatas. 40SX

Bukan aksi terlampau ...


Selesai tugasan untuk membangunkan blog sebuah pusat tahfiz, waktu menghampiri pukul 12.00 tengah malam. Mata terasa begitu berat. Badan terasa amat letih.


Aku melangkahkan kaki masuk kedalam kamar. Isteri aku sedang nyenyak tidur. Dengan lafaz Bismillah ... aku merebahkan tubuh diatas ranjang. Dalam cahaya bilik yang suram aku merenung ke bahagian siling.


Disaat mata hampir terkatup. Tiba - tiba isteri aku mengalihkan tubuhnya menghadap aku dan tangannya terus terlekap didadaku. Aku dapat mendengar hembusan nafasnya hampir ke corong telinga aku.


Tiba - tiba aku dikejutkan dengan ucapan:


SELAMAT HARI JADI. Semoga panjang umur, murah rezeki, sihat tubuh badan, cerdas akal fikiran, bertambah iman, kuat semangat ... AMIN, AMIN, AMIN, Ya Rabbal 'ALAMIN. Itulah bisikan isteri, seawal pukul 12.01 minit pagi tadi. TERIMA KASIH. :)


Tidak ada apa yang mampu aku perkatakan lagi. Dengan ucapan kudus dari isteri tercinta ...



# Hampir dua jam kemudian. Aku bermimpi mendapat Kek Coklat. Terasa benar nikmat berganda.

Tuesday, October 20, 2009

Lebaran terlajak. Bukan 30 tapi 36.


Lebaran terlajak.


Meriahnya Lebaran melebihi meriahnya Ramadan. Itulah kesimpulan yang boleh dibuat. Bila ditinjau situasi yang berlaku dinegara kita Malaysia, khusunya di Pantai Barat Semenanjung.


# Gambar disebelah ialah antara novel yang dihasilkan oleh Nekchun.


Apabila aku melihat sambutan hari lebaran dinegara - negara lain. Masyarakat Islam diluar negara hanya menyambut hari lebaran cuma sehari atau dua hari sahaja. Tetapi di Malaysia, lagu raya telah berkumandang sebelum umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan lagi.


Malahan, lebih tersentak bilamana ada umat Islam yang menyatakan bahawa, disebabkan kita menjalani ibadah puasa enam hari dalam bulan Syawal. Bermakna kita perlu beraya hingga 36 hari.


Berbalik kepada kisah raya. Minggu lepas, Alhamdulillah, aku menerima jemputan untuk menghadiri rumah terbuka. Satu dirumah sahabat berhampiran dengan rumah aku. Dan satu lagi dirumah seorang teman penulis blog @ seorang rakan FB @ seorang Nekchun @ seorang Novelis.


Majlis yang diadakan begitu santai. Aku dan famili menjamu selera dengan suasana yang cukup selesa. Juadah yang menyelerakan. Dan anak - anak aku paling gembira. Kerana salah satu menu utama ialah coklat.


Makanan yang disediakan ialah hasil buatan Nekchun sendiri. Ringkas tapi memang menyelerakan. Namun, kami terpaksa menghadkan pengambilan makanan. Kerana, selepas jamuan di rumah Nekchun. Kami terpaksa bergegas pulang. Kerana ada satu lagi majlis di Masjid Terbuka dikampong aku.


Seperti yang diutarakan oleh seorang penceramah dalam majlis forum dan Masjid Terbuka itu. Rumah Terbuka ada ada sisi baik dan buruknya. Sebagai umat yang berilmu, utamakan Sunnah dalam setiap tindakan kita. Yang penting, jangan ada pembaziran, bukan hendak menunjuk - nunjuk dan elakkan percampuran bebas lelaki dan perempuan.


Kepada Nekchun. TERIMA KASIH atas jemputan itu. Masih terasa keenakan popiah.

Friday, October 16, 2009

BLOG & FB. Mempertemukan Dunia.

Utara, Selatan, Timur, Barat, Barat Daya, Timur Laut, Tenggara, Asia Tengah, Asia Barat, Eropah, Amerika Utara.
Kalau dahulu, apabila kita bertemu dengan sanak - saudara, sahabat dan rakan taulan. Antara soalan yang paling popular ialah:


1 - "Berapa hari bercuti ?"
2 - "Tak kerja hari ini ?"
3 - "Berapa orang anak kamu ?"


Masuk tahun 80'an. Soalannya telah bertambah:

1 - "Apa nombor telefon bimbit kamu ?"


Selepas masuk alaf baru. Soalan bertambah lagi:


1 - "Apa alamat emel kamu ?"



Kini, soalan bertambah lagi:


1 - "Apa nama blog kamu, tolong bagi alamat URL nya ?"
2 - "Kamu ada FB ?"



Bila anak ada FB, bila mak dan ayah ada FB, Bila adik - beradik ada FB, bila sanak - saudara ada FB, bila ibu dan ayah saudara ada FB. Terasa meriahnya dunia IT.


Abang menetap di Adelaide, menulis dalam FB "hari ini tidak kemana, salji terlalu lebat." Lalu disampuk oleh adiknya yang belajar di Universtiti Jordan "Hari ini saya demam". Lalu dinasihatkan oleh ibunya yang tinggal di Taiping, Perak "Azman, berehatlah dirumah". "Ain, minum air suam banyak - banyak". Lalu ditegur oleh Tok Wan yang tinggal di Gelang Patah, Johor "Atuk sentiasa mendoakan kesihatan kamu semua ... bila nak datang rumah Tok?"


Itulah senario hari ini. Terasa Adelaide dan Jordan itu seperti di 'sebelah rumah' sahaja ...


Begitulah aku. Kini, sedang dalam rangka menjalankan projek untuk mempertemukan seluruh ahli keluarga yang berasal dari KETURUNAN BANJAR. Rasanya dengan adanya teknologi - BLOG & FB, tugasan ini tidaklah terlalu sukar.

Wednesday, October 14, 2009

NENEK dari SINGAPURA


Nenek Singapore.


Hampir 10 tahun tidak bertemu. Akhirnya, petang semalam, sewaktu pulang dari mengambil anak dari sekolah. Aku mendapat sms dari kakak saudara yang tinggal di Sri Hartamas, memaklumkan yang ibubapa saudara kini sedang berada di KL.


Tanpa berlengah, selepas berbincang dengan isteri. Kami terus bersiap. Usai solat Maghrib, kami terus bertolak ke Sri Hartamas.


Pertemuan yang benar - benar terasa syahdu. Terasa sebesar nikmat apabila dapat bertemu dengan kedua ibu bapa saudara yang datang dari Singapura. Bukan mudah untuk aku menjejakkan kaki ke Singapura akibat dari pelbagai ujian yang melanda. Dan kini, Allah permudahkan urusan. Bilamana ibu dan bapa saudara yang menetap di Singapura dibawa oleh anaknya untuk tinggal beberapa hari di KL.


Barulah anak aku tahu kisah sejarah apabila aku menerangkan cerita atau kisah lampau. Dimana, dirumah ibu dan bapa saudara aku inilah aku dilahirkan, iaitu di - Jalan Ubi off Jalan Nanas, Geylang, Singapura. Kisah permulaan hidup aku - lebih 40 tahun yang lalu.


Sesungguhnya, ayah saudara aku yang dipanggil Abah Mid (Abdul Hamid), yang sedang uzur tidak dapat menahan sebak apabila kami bertemu. Air matanya bergenang apabila aku mencium tangannya dan memeluk erat tubuhnya yang benar - benar uzur. Beliau menghadapi masalah kesihatan akibat katarak dibahagian mata.


Semalam, aku berbual rancak dengan ibu saudara (Hajjah Maimunah Binti Abdul Hamid). Aku banyak bertanya tentang asal usul keturunan kami. Aku berharap sangat untuk bertemu lagi bagi membicarakan soal leluhur keluarga. Kerana, aku bimbang jika sekiranya generasi emas ini pergi buat selama - lamanya. Maka, aku tidak pasti, siapa lagi yang mampu untuk menceritakan kisah sejarah lampau yang memakan usia ratusan tahun.


Malam tadi kami dijamu dengan - BEEHON GORENG SINGAPORE. Terasa begitu enak sekali, masakan yang tidak menggunakan minyak yang banyak. Aku sendiri makan bertambah. Terasa begitu nikmat makan bersama sebuah keluarga besar.


Sewaktu pulang, aku diberikan ole - ole berupa buah kurma. Isteri hanya memandang dengan senyuman, kerana dia tahu, aku memang - HANTU KURMA. Satu beg besar - Alhamdulillah.

Monday, October 12, 2009

JAMUAN HARI RAYA

Makin hujung makin rancak ...


"Agaknya, bagaimana kalau ada 35 hari dalam sebulan?" Itulan soalan yang dikemukakan oleh isteri aku, sewaktu dalam kereta menuju ke rumah seorang sahabat yang mengadakan jamuan hari raya dan rumah terbuka.


Semalam, dari awal pagi lagi, aku dan keluarga melangkah penuh riang ke Dewan MPK, Telok Pulai, Klang, untuk menghadiri Rumah Terbuka ADUN Selat Klang, YB Dr. Hjh Halimah Ali. Beliau merupakan ADUN dari PAS. Beliau juga merupakan Exco Pendidikan dan Pendidikan Tinggi. Kerajaan Negeri Selangor.


YB merupakan seorang yang begitu mesra dengan rakyat. Ramai yang menyatakan bahawa mereka langsung tidak kekok, atau janggal, atau merasa terpinggir, atau merasa malu alah bila bersama dengan YB.


Aku perhatikan, dalam kebanyakan majlis yang YB hadiri. Beliau akan sedaya upaya untuk bertemu dan bersalam dan berpelukan dengan sebanyak mungkin kaum wanita dan para muslimat yang hadir dalam mana - mana program.


Jamuan hari raya yang dianjurkan oleh Pejabat ADUN, terasa begitu meriah dengan kehadiran tetamu dari pelbagai bangsa. Dan pelbagai juadah yang enak disediakan.


Dikesempatan ini, aku hanya ingin mencadangkan beberapa perkara untuk menambah baik majlis yang akan dianjurkan oleh Pejabat ADUN dimasa hadapan.



1 - Seandainya boleh, diharap dapat menyediakan khemah diluar dewan. Dan sediakan meja dan kerusi untuk tetamu menjamu selera. Kerana aku mendapati perkara yang sama berulang, dimana tetamu yang hadir begitu ramai, hinggakan ada wanita mengandung dan ada ramai wanita yang terpaksa mendukung anak dan makan dan minum sambil berdiri.



2 - Bagi setiap gerai yang menghidangkan makanan. Tolonglah rasa makanan itu terlebih dahulu, kerana ada makanan yang kurang menepati cita rasa sebenar. Tidak menepati ISO. Sebagai contoh, gerai yang menyediakan Mee Kari. Ramai yang memberikan maklumbalas yang sama, iaitu - kurang garam. Secara keseluruhannya, makanan yang disediakan oleh lain - lain gerai memang sedap.


3 - Kalau boleh, setiap Ahli Jawatankuasa Majlis, diharap tidak sahaja menunggu dan menyambut kehadiran tetamu, tetapi bertemulah, bersalamlah, menyapa dan beramah mesra dengan tetamu yang sedang menjamu selera. Kerana, diwaktu itulah yang paling sesuai untuk beramah mesra. Cuba bayangkan, seorang tetamu (rakyat jelata) yang selama ini sibuk dengan urusan harian hingga tidak kenal dengan aktivis dan pimpinan masyarakat, tiba - tiba disapa dengan penuh mesra oleh - YB, Staff Pejabat ADUN, IMAM Masjid, Ketua Kampong, Para Ulamak, para Ustaz dan sebagainya. APAKAH PERASAAN TETAMU (Baca: RAKYAT) diwaktu itu ?



# Kalau boleh, kalau boleh. Lebih seronok kalau IMAM MASJID atau Ketua Kampong atau Ustaz, duduk sekali dengan tetamu yang sedang menjamu selera. Berbual dan beramah mesra. Ini sebagai contoh sahaja :)


Secara kesuluruhannya, majlis yang berlangsung begitu meriah dan berjaya. TAHNIAH kepada YB Dr. Hjh Halimah dan jawatankuasa pengurusan majlis.


Usai program itu, aku terus pulang ke rumah dan menghadiri majlis rumah terbuka seorang jiran.


Selepas menjamu selera. Aku dan keluarga terus pulang kerumah untuk berehat sebentar. Sementara itu, aku dan anak - anak menunaikan solat Zohor di masjid. Pulang sahaja kerumah, kami terus bersiap untuk menghadiri sebuah lagi rumah terbuka di rumah seorang sahabat di Sungai Saim, Rantau Panjang, Klang.


Belum hilang penat. Selepas hampir sejam disitu. Kami terus memohon diri dan terus menuju ke sebuah lagi rumah di Pandamaran Jaya, Klang. Sebuah rumah sahabat yang mengadakan rumah terbuka dengan begitu sederhana sekali. Alhamdulillah, perut sudah penuh. Mata terasa mengantuk. Badan terasa begitu letih.


Nasib baik, program rumah terbuka semuanya dalam kawasan Klang. Andainya diluar kawasan, rasanya terpaksa ditolak. CEK TAK SANGGUP ! Hehehe ...






# Pemidang sambutan program di atas pentas utama.
















# Dihadapan sekali ialah barisan jawatankuasa program.

# Tetamu dari pelbagai bangsa sedang menjamu selera.
















# Antara gerai yang menhidangkan pelbagai juadah untuk tetamu.















# Pandangan sisi, YB Dr. Hajjah Halimah Ali. ADUN Selat Klang dan Exco Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.






Tuesday, October 06, 2009

MANISNYA LEBARAN


Manisnya KOPI.


Sewaktu berkunjung ke rumah seorang sahabat dihari raya ini. Aku dan isterinya hanya tersenyum memandang seorang lelaki yang berusia pertengahan 70'an. Maaf ya. Tetapi, aku rasa perkataan yang boleh aku gunakan ialah lelaki tua itu agak gatal.


Bukanlah tindakan lelaki itu keterlaluan. Tetapi dari percakapan, gerak tubuh dan pandangan matanya menggambarkan yang lelaki tua itu menaruh harapan yang tinggi untuk 'mendapatkan' seorang wanita sebagai pasangan hidupnya.


Aku tidak mahu bertanya lanjut. Tetapi dari situasi diwaktu itu. Aku rasa, si lelaki itu memang berhajat untuk memiliki wanita yang menjadi idamannya. Apatah lagi, si wanita yang aku agak berada didalam usia 60'an juga telah menunjukkan bibit - bibit menyukai si lelaki.


Bayangkan si lelaki dengan senyuman tersimpul bertanya siapakah yang membuat air kopi yang terhidang. Lantas dijawab oleh tuan rumah, bahawa 'si minah' yang membancuhnya. Dengan bersahaja si lelaki tua ini menjawab "patutlah sedap ... manis secukup rasa" sambil menjeling ke arah wanita idamannya. Dan si wanita itu pula memberikan maklumbalas yang cukup positif, dengan menjeling ke arah si lelaki.


Aku hanya tersenyum simpul melihat gelagat dua orang tua yang sedang dilamun percintaan di hari lebaran.


Aku agak. Aku rasa. Ramai diantara kita yang pernah mengalami dan menjalani 'proses' yang sama. BERCINTA di hari raya. Si Teruna bertandang ke rumah Si Dara di hari raya. Diusik oleh rakan dan sahabat.


Dengan rasa TIDAK MALU. Aku mengaku. Aku juga pernah mengalami situasi yang sama. 19 tahun yang lalu.


Oh ............................................................................ INDAH sungguh Hari Raya ...

Monday, October 05, 2009

Kesukaan Pemuda Perak Dua Butir


Ketupat Pulut Daun Palas.


Satu ketika dahulu. Disebuah kampong. Ada seorang pemuda, yang sejak dari kecil lagi, setiap kali menyambut hari raya. Pemuda itu memang suka memakan Ketupat Pulut Daun Palas. Kemana sahaja ia pergi untuk berhari raya, samada bersama sahabat, rakan dan saudara, mahupun jika berjalan bersama keluarga. Jika tuan rumah menghidangkan Ketupat Pulut Daun Palas, maka itulah makanan yang akan dimakan oleh pemuda itu.


Dan seandainya tuan rumah tidak menghidangkan Ketupat Pulut Daun Palas. Maka pemuda ini akan berdiam diri dan ada ketikanya bermuram durja, menahan perasaan dan keinginan yang meluap - luap.


Pemuda itu pernah berkata, Ketupat Pulut Daun Palas yang dimasak oleh Nendanya adalah yang tersedap didunia. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menandingi keenakan Ketupat Pulut Daun Palas yang dibuat oleh Nendanya.


Malahan, disegenap ceruk rantau negeri Perak Dua Butir. Pemuda ini akan membuat uji kaji sendiri. Setiap rumah yang pemuda ini pergi. Maka, pemuda ini akan merasa, menjilat, mengunyah dengan amat perlahan seumpama seorang Chef, akan setiap ketulan Ketupat Pulut Daun Palas yang masuk kedalam mulutnya, semata - mata untuk merasai akan tahap kesedapan dan kenikmatan Ketupat Pulut Daun Palas, dan pemuda ini akan membandingkan Ketupat Pulut Daun Palas yang dimakannya dengan Ketupat Pulut Daun Palas yang dibuat oleh Nendanya.


Namun kini, semuanya tinggal kenangan. Akibat angin puting beliung, gempa bumi, dan tsunami yang tidak reda melanda diri pemuda ini. Akhirnya pemuda ini hanya memandang sepi akan kehadiran Ketupat Pulut Daun Palas yang disukai, digemari, digilai dan yang disayanginya.


Apatah lagi dengan Nenda yang sudah lama meninggalkan alam yang fana ini. Maka pemuda ini sudah tidak ghairah lagi untuk mencari, memakan, dan hilang sudah ghairah untuk bercerita tentang Ketupat Pulut Daun Palas.

Friday, October 02, 2009

BENGKEL PENULISAN THRILLER DAN AKSI

Kursus Penulisan Thriller ...


ALAF 21 akan mengadakan bengkel penulisan yang akan dipimpin oleh dua orang novelis terkenal iaitu Ramlee Awang Mursyid dan Eyman Hykal. Tujuan bengkel ini untuk memberi panduan bagaimana menulis novel berbentuk thriller dan aksi.


Mereka yang berminat jangan lepaskan peluang mengikuti bengkel ini yang akan diadakan seperti berikut:


Tarikh: Sabtu 10 Oktober 2009

Tempat: Akademi Karangkraf


Alamat: Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd

Lot 2 Jalan Sepana 15/3, Seksyen 15
Shah Alam, Selangor.

Masa: 9.00 pagi – 3.00 petang


Peserta: 27 orang / Yuran: RM35
Sarapan, makan tengah hari dan cenderahati disediakan.

Bayaran hendaklah dibuat kepada Alaf 21 menerusi akaun Maybank 014271416077. Fakskan slip bayaran, butir-butir diri anda serta nama kursus ke 03-55113817 atau e-mel : ke alaf@alaf21.com.my. Sebarang pertanyaan sila hubungi:


Sa’adiah/Roziana di talian 03-55118820/21.






Hasil penulisan :

ADAM (Aku Darah Anak Malaysia)
- Bagaikan Puteri
- Cinta Sang Ratu
- Hatiku Di Harajuku
- Hijab Sang Pencinta
- Mandatori
- MIKHAIL
- PERSONAL JUSTICE
- PERSONAL JUSTICE
- Rahsia Perindu
- Ranggau
- Satu Janji
- Semangat Hutan
- Tombiruo
- Tombiruo Terakhir
- Ungu Karmila



Eyman Hykal

Hasil penulisan :
- Dekat Di Hati
- Ke Mana Hatimu
- Meniti Maut

Tuesday, September 29, 2009

asal jumpa BATANG BURUK ...


Namanya BATANG BURUK.


Setelah lemang, ketupat pulut, rendang, lodeh, dan segala makanan berlemak terpaksa diketepikan dek faktor yang tidak dapat dielakkan. Tiba - tiba sahaja, entah angin puting beliung mana yang melanda, entah hujan ribut taufan mana yang menimpa. Tiba - tiba aku 'terjatuh cinta' dengan kuih BATANG BURUK.


Sebelum proses 'jatuh cinta' ini berlaku. Aku hampir - hampir terpaksa dan memaksa diriku untuk berkurung dalam bilik. Akibat tidak mampu untuk melihat aksi menggoda dan menggiurkan, rakan sahabat dan sanak saudara yang dengan ghairahnya menjamah segala kuih muih yang dihidangkan.


Akhirnya mata aku tertancap kearah BATANG BURUK. Setelah aku selidik segala asal keturunan dan isi tubuh badannya. Aku dapati itulah makanan yang InsyaAllah, boleh, mampu dan berupaya untuk melunturkan nafsu dan keinginanku kepada kuih raya.


Akhirnya, BATANG BURUK menjadi sasaran aku yang tidak ada kompromi. Biarlah apa orang lain nak kata.


Kali ini aku akan terjah ke seberapa banyak blog rakan, sahabat dan saudara. Untuk bertanya cuma satu sahaja soalan, dan ini bukannya TAG RAYA. Tetapi sekadar sebuah soalan untuk memeriahkan dunia blog bersempena LEBARAN 09.


Soalannya berbunyi: APAKAH KUIH ATAU JUADAH YANG PALING DISUKAI SETIAP LEBARAN ?


Dan setiap jawapan yang aku perolehi akan disiarkan didalam blog ini.


Nantikan kehadiran Abang Long ke blog ANDA ... :)


Jawapan dari teman penulis blog: (akan bertambah dari semasa ke semasa):-


Tie - TART NENAS.
Achik - nasi impit dgn lodeh & sambal udang.
yginsaf4 - rendang daging.
Farah Aminuddin - sate ayam dengan kuah kacang
Mak Su - cornflakes bersalut madu.
Masy - lemang.
Zara Aluwi - ketupat dan rendang Negeri Sembilan bersama air nescafe pekat.
nza - satey dgn kuah kacang
Neeza Shahril - tart nenas
xiinam - Nasi lontong, ayam kampong,
kuah lodeh dan kuah kacang
rudy bluehikari -
nasi impit dan satay (ayam) goreng emak
aNIe - ketupat rendang dengan sambal bilis
fusarium solani - ketupat dan kuah kacang
Kak Zue - daging goreng satay
ILA - Popia berinti udang

kuIna LadyInRed - bahulu
Kakna - sultana.
kirana - batang buruk
AiNeRzA - ketupat palas dan rendang
atie - rendang maman



Saturday, September 26, 2009

Wajah Abang Long & Famili.

Wajah Riang Ria Aidil Fitri.

Tepat pada 20hb September 2009. Maka bersamaan dengan ulangtahun perkahwinan Abang Long dan isteri - 18 tahun usia perkahwinan. 20-09-2009. 18 tahun yang lalu, inilah saat yang mendebarkan kami.

Nikmatilah gambar - gambar foto yang disiarkan dibawah.
Entri ini adalah EDISI KHAS RAYA.

Kepada pengunjung Blog Abang Long yang sering tertanya - tanya bagaimana rupa dan wajah Abang Long dan famili, maka dikeluaran ini, segala - galanya disiarkan buat tatapan anda.



# Gambar foto akan bertambah dan bertukar ganti dari semasa ke semasa, seumpama menyelak helaian album. Khas buat hari raya.


# Gambar foto HANYA disiarkan pada - 26hb September. Dari jam 8 malam - 12 tengahmalam.


TAHNIAH kepada pengunjung yang telah berkunjung ke Blog ini bersempena dengan entri EDISI KHAS RAYA.

FOTO LEBARAN


Siaran Tergendala.


Akibat dari beberapa masalah teknikal, maka gambar foto riang ria Abang Long bersama famili telah tidak dapat disiarkan tepat pada waktunya.


InsyaAllah. Gambar foto akan disiarkan untuk tatapan umum bermula jam 8 malam ini dan berakhir jam 12 malam.


Tunggu ...

Ucapan Sempena Lebaran.


SMS dari yang tersayang ...


Bersempena dengan kedatangan Hari Lebaran ini. Abang long telah menerima beberapa sms. Namun tidak berupaya untuk menjawabnya. Maka, diruangan ini, Abang long mencatatkan mesej yang Abang long terima.


TERIMA KASIH yang tidak terhingga kepada pengirim sms berikut:


"Ya Allah, dipenghujung Ramadhan yang penuh barakah ini & menjelang Syawal yang mulia, ku mohon Kau berkati & muliakanlah saudaraku ini, anugerahkan kebahagiaan untuk dirinya & keluarganya, kurniakan ia segala kekuatan & keteguhan iman, limpahi & berkatilah rezekinya, tinggikan darjatnya, makbulkan hajat, doa & taubatnya. Amin Ya Rabbal 'alamin". Salam Syawal Minal 'Aidil Wal Faa Izin.


Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Dengan ucapan tulus ikhlas semoga berbahagia di hari yang mulia ini ...


Apa yang kita fikir, yang kita tahu atau yang kita percaya sebenarnya tidak penting kerana yang penting ialah apa yang kita lakukan. Selamat Hari Raya dari Fadzil.


BiLa Rya, LiNe Busy giLer .. Mse 2 nyesl pn x gne ... Mxis, CLCM, DiGi sumenya Sma saje ... Tp kLu Org Bjak x yah tggu Rye Ucp skang pn bley ...SLMT HR RYA Aidil fITRI!, Maaf zahir & batin.


salam aidilfitri ... maaf zahir & batin ..
Daripada: Rania Firdaus & keluarga di Terengganu.


Aslkm. Ya Rabbi, ketika diakhir Ramadhan yang penuh barokah ini& insyaallah akan muncul Idul Fitri yang mulia, Engkau muliakan & sayangi penerima ucapan ini, berkati keluarganya, sihatkan tubuhnya badannya, limpakan rezeki yang halal untuknya, jauhkan daripada fitnah, penganiayaan & penghinaan. Suburkan benih keimanan. Makbulkan doa - doa serta cita - citanya. Amin Ya Rabbal Alamin. Salam Idul Fitri "MAAF ZAHIR & BATIN" Ikhlas dari, Azmi Wahid & keluarga.


Selamat Hari Raya Aidil Fitri Minal Aidil Wal Faizin. Maaf Zahir dan Batin. Drpd Rashid dan Keluarga.


WaLaU LaNgKaH TaK BeRtEmU, TaNgAn TaK BeRjAbAt,UcAp TaK TrDeNgAr, MaTa TaK BeRtAtAp, TaPi IzInKaN HaTi MeMoHoN MaAf, ZaHiR & BaTiN. SALAM AIDILFITRI... ARSAILI n FAMILY.


Salam. Tak selamanya mata memandang dgn ramah, hati menilai dgn jernih dan mulut bicara dgn santun. Mohon maaf atas segala kekhilafan, baik yang bersifat lahir ataupun batin. Salam Idulfitri dari saya Suhaimi n Laily, Kedah DA.


Slmt hari raya aidil fitri. Maaf zahir batin andai ada slh silap. Semoga lebaran kali ini lbh bermakna n ceria selalu. Salam tulus ikhlas drpd, ila.


Selamat hari raya aidil fitri. Maaf zahir batin. Ikhlas dari izman sekeluarga.


Sempena hari dan bulan yang mulia ini, saya susun sepuluh jari pohon ampun dan maaf, andainya ada kesalahan dan kesilapan disepanjang urusan dan pergaulan antara kita. Selamat hari raya, maaf zahir batin. ust sapidin amran dan keluarga.


"Selamat Hari Raya Aidilfitri" 2 you n ur family.
Daripada Mr. Selvaraj.

Thursday, September 17, 2009

UCAPAN SALAM LEBARAN


Ucapan setulus ikhlas.


Dikesempatan ini Abang Long dan famili mengucapkan:
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada seluruh umat Islam dimana sahaja mereka berada.


Jua diruangan ini Abang Long menyusun sepuluh jari
MEMOHON AMPUN & MAAF
atas segala salah dan silap yang dilakukan selama ini.


InsyaAllah, pada 25hb Syawal. Abang long akan menyiarkan gambar foto bersama keluarga berhari raya. Dan entri itu akan bersiaran selama 3 jam sahaja. Bermula pada jam 8 malam.


Tuesday, September 15, 2009

SEMANGAT RAYA


Patah kaki. Tapi kuat semangat.


Walaupun patah kaki. Walau apa halangan sekalipun. Dua orang pesakit tetap hendak keluar dari wad, untuk pulang berhari raya.


Mereka memujuk rayu Doktor yang bertugas. Mereka merayu dan menggoda jururawat agar memberikan persetujuan untuk melepaskan mereka pulang untuk berhari raya.


"Kamu berdua masih belum pulih sepenuhnya, andainya saya membenarkan kamu keluar, saya bimbang kamu tidak akan berupaya untuk bergerak ..." Doktor keberatan untuk melepaskan dua orang pesakitnya.


Dua orang pesakit itu tetap berusaha untuk meyakinkan Doktor yang mereka berupaya untuk bergerak walau dalam kepayahan.


Ramai pesakit lain memerhatikan kedua - dua orang pesakit yang patah kaki itu berbincang dengan Doktor yang bertugas. Semuanya tersenyum melihat keletah dan gaya kedua - dua pesakit itu merayu si Doktor.


Akhirnya, Doktor terpaksa mengalah "Ok, ok, ok ... tapi boleh saya tahu ... awak berdua tinggal dimana?"


Kedua - dua pesakit itu tersenyum lebar dan menjawab spontan "Depan tu sahaja ... di Taman Sri Andalas".


Alahai .... beberapa orang pesakit tertawa dengan jawapan dari pesakit patah kaki itu.


# Kedua - dua orang pesakit yang patah kaki itu tinggal di kawasan Taman Sri Andalas. Dimana, Hospital Tunku Ampuan Rahimah adalah berada didalam kawasan Taman yang sama.

Monday, September 14, 2009

DIRAWAT.

Doakanlah ...


Abang long memohon dan merayu kepada semua pengunjung blog ini supaya mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Abang long.


Hari ini Abang long berada didalam Hospital Tunku Ampuan Rahimah.

Friday, September 11, 2009

SYAITAN dalam kopitiam.


Orang tua KURANG AJAR !


Semalam, hari ke 20 umat Islam berpuasa. Akhirnya aku tidak dapat menahan sabar. Sungguh, bukan main - main. Memang aku terasa amat marah, terasa darah aku naik, kalau ikut hati muda aku (cuma tubuh sahaja kelihatan tua), memang aku terasa hendak lempang sahaja !


Waktu itu aku sedang membawa anak - anak aku berjalan dideretan gerai untuk bertemu dengan seorang sahabat lama. Aku lalu berdiri dihadapan sebuah bank. Disebelah bank itu pula terdapat sebuah restoran China.


Disebuah meja diluar restoran itu. Ada beberapa buah meja yang diletakkan dibahagian kaki lima restoran. Seorang LELAKI MELAYU sedang enak mengirup segelas nescafe ais dan menghisap rokok, berkepul - kepul asapnya.


Aku memandang dengan perasaan yang berbaur, terasa malu, segan, marah, geram dan pelbagai lagi. Tiba - tiba sahaja, anak aku bertanya dengan nada suara yang agak tinggi, maklumlah, anak - anak ... manalah mereka tahu apa - apa, yang mereka tahu ialah bertanya jika mereka tidak faham.


"Abah ... kenapa orang itu minum di kedai China ... dia tidak berpuasa ... tak malu ek?"


Aku menyentap tangan anak aku, sambil menunjukkan isyarat supaya diam sahaja. Tiba - tiba LELAKI MELAYU itu datang menghampiri aku dan terus bersuara dengan agak tinggi "Hoi ... kalau aku tak puasa, aku nak buat maksiat pun ... apa masalah engkau ? Tak payah tunjuk alim ... konon nak ajar anak, yang aku ni tak puasa ... hei ... mati mampus esok kubur masing - masinglah !"


Aku terus membawa anak - anak aku berlalu dari situ tanpa mempedulikan LELAKI MELAYU itu terus menjerit - jerit.


Aku berhenti di sebuah gerai lain, yang agak jauh dari restoran kopitiam itu. Lalu, dua orang wanita, tersenyum dan terus bertanya kepada aku apa yang berlaku sebentar tadi. Aku lalu menceritakan apa yang berlaku.


"Entahlah ... apa nak jadi dengan orang Islam sekarang ... sudah hilang rasa malu. Sudahlah tidak ikut perintah tuhan, hendak tunjuk samseng lagi ... saudara tahu tak ... kalau tadi lelaki itu menyerang saudara ... ada beberapa orang lelaki diluar bank kata, mereka akan bantu saudara ... biar kita ajar sikit orang yang kurang ajar pada ugama!" Luah kata - kata oleh wanita itu kepada aku.


Sambil tersenyum aku mengucapkan terima kasih atas keprihatinan mereka. Dan aku terus menyambung "saya terkenangkan anak - anak saya, takut mereka jadi mangsa ... kalau saya seorang sahaja tadi di situ ... memang saya sudah LEMPANG dan bergasak dengan SYAITAN lelaki itu!"


Kedua - dua wanita itu terus sahaja tertawa. Dan terus berlalu sambil mengucapkan salam.

Wednesday, September 09, 2009

Sekadar Untuk Dipandang SAHAJA


Dipandang SAHAJA.


7 hb. September bersamaan 17 Ramadan yang baru lalu, diisytiharkan sebagai hari turunnya Al Quran atau Nuzul Al Quran.


Bagaimana caranya Al Quran diturunkan boleh sahaja dipelajari dari pelbagai sumber. Tetapi ianya adalah satu daripada peristiwa besar yang perlu diagungkan.


Bayangan atau gambaran mudah ialah. Ada dua perkara besar yang melibatkan 'hubungan' anatara manusia dan langit. Iaitu, peristiwa Nuzul Al Quran dan Israk dan Mikraj.


Nuzul Al Quran melibatkan arahan dan titah perintah dari Allah untuk amalan setiap manusia. Manakala Israk dan Mikraj adalah perintah khusus dari Allah untuk solat. Satu amalan yang menjadi tiang atau tonggak dalam agama.


SOLAT dan Al Quran. Dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Andainya kita bersolat, maknanya kita WAJIB membaca Al Quran. Ini membawa maksud, jika seorang muslim itu TIDAK BERSOLAT, dengan sendirinya ia TIDAK MEMBACA Al Quran.


Dan yang lebih mengaibkan ialah. Andainya seorang yang mengaku muslim itu tidak bersolat, bermakna ia tidak mengulangi atau memperbaharui SYAHADAHnya. Kerana, didalam solat itu sendiri kita WAJIB melafazkan DUA KALIMAH SYAHADAH.


Dan jika kita tidak mengucap dua kalimah syahadah. Bagaimana mungkin kita boleh menyatakan bahawa kita adalah seorang muslim yang beramal, tunduk dan patuh kepada suruhan Allah ?


Tiada TUHAN yang aku SEMBAH melainkan Allah.
Aku naik SAKSI bahawa NABI MUHAMMAD adalah PESURUH ALLAH.


Jika kita tidak bersolat atau meringankan solat. Bermakna ucapan diatas hanyalah sekadar ucapan.


Yang penting, rajin - rajinkanlah diri kita untuk melangkahkan kaki ke majlis ilmu, samada ke surau, ke masjid, atau ke mana - mana tempat yang ada pengisian ilmu.


Jangan dipandang sahaja Al Quran. Bukalah helaian didalamnya. Bacalah. Hayatilah. Fahamilah maksudnya.


Sesungguhnya Al Quran adalah sebagai TEMAN SETIA dan pelindung kita sewaktu di ALAM KUBUR. Dan Al Quran juga adalah juga menjadi SYAFAAT kepada kita, di saat kita amat memerlukan SYAFAAT di alam akhirat.


Jangan dipandang sahaja Al Quran yang berada di atas almari ... biarlah kita menangis sewaktu membaca Al Quran, daripada kita menangis menyesal sesesal sesalnya kerana 'ditinggalkan' oleh Al Quran sewaktu di padang MAHSYAR kelak.

Saturday, September 05, 2009

Filem BLACK di bulan Ramadan


B.L.A.C.K bukan A.B.C.D.E


Aku sengaja hendak membawa satu perkara yang lari tajuk. Tapi tetap ada hubungkait dengan Ramadan.


Entah kenapa, tiba - tiba aku terasa letih sangat tengahari ini. Lalu aku dengan tidak sengaja terus terpaku didepan tv. Aku menonton cerita hindustan bertajuk - B.L.A.C.K. Bukan untuk mempromosi filem ini. Tetapi, kisah yang dibawa benar - benar meruntun jiwa.


Kisah bagaimana seorang anak yang dilahirkan - BISU, BUTA & PEKAK. Dan hero filem ini membawa watak sebagai seorang Guru, tidak lain tidak bukan, aktor Amitabh Bachan.


Guru yang mengajar dengan 'jiwa.' Seorang guru yang 'membawa' anak muridnya menuju ke puncak kejayaan. Namun, sewaktu anak murid menggapai segulung ijazah. Gurunya pula berada didalam wad psikiatri. Akibat dari sakit jiwa dan menghidap Alzheimer.


Sejujurnya. Sudah lama. Ya, sudah lama aku tidak menitiskan air mata kerana menonton filem. Lagipun terasa membazir air mata dek kerana sebuah filem. Tetapi tidak untuk kali ini. Aku tidak dapat menahan perasaan gembira, terharu dan pilu yang teramat sangat.


Aku tertawa apabila dalam salah satu babak. Si gadis yang OKU ini disoal oleh jawatankuasa Universiti sebelum diterima sebagai pelajar. Soalannya berbunyi "Tahukah kamu dimana letaknya negara Amerika?"


Dan si gadis ini memang tidak tahu jawapannya. Tetapi kebijaksanaanya menjawab secara universal itulah yang menyebabkan semua orang tertawa. Si gadis hanya menjawab "Di sebabkan dunia ini luas, dan sentiasa berpusing, maka kedudukan negara Amerika juga tidak tetap dan turut berpusing."


Terlalu banyak ilmu, pengajaran dan pelajaran yang aku dapat dari menonton filem ini.


Kata - kata akhir dari gadis ini ialah - "Kita akan berasa puas bukan kerana kita mendapat apa yang kita hajati, tetapi kita akan puas kerana dapat memenuhi impian dan hajat manusia lain."


Alhamdulillah, filem yang diberikan judul B.L.A.C.K ini langsung tidak ada lagu ataupun penari yang memakai baju dalam. Tetapi cukup berkesan.

Wednesday, September 02, 2009

Sekotak Kurma. Sebuah Komuter.


PAHALA melimpah ...


Hampir masuk waktu Isyak. Barulah sepupu isteri aku tiba dirumah kami. Dengan kepenatan membawa beg dan dua orang anak, mereka datang dari Pasir Gudang.


Sambil melepaskan penat, sambil kami menjamu selera. Sebelum aku melangkah keluar untuk ke masjid berhampiran. Isteri aku bertanya, atas komuter berbuka dengan apa ? Lalu dijawab oleh sepupunya "ada orang sedekah kurma buat penumpang berbuka."


"Uihhh ... tentu orang itu kaya, kan ? Balas isteri aku.


"Entahlah kak ... orang itu cuma membuka sekotak kurma, dan dihulurkan kepada penumpang komuter untuk tujuan berbuka." Sepupu isteri menjawab.


Syukur Alhamdulillah. Aku sendiri tidak pernah terfikir atau melihat kejadian seperti itu didalam mana - mana pengangkutan awam. Mana - mana orang perseorangan atau kumpulan atau organisasi yang hendak melakukan amal jariah dengan menyediakan kurma atau apa sahaja juadah yang ringkas dan mudah untuk penumpang yang berugama Islam untuk berbuka puasa.

Tuesday, September 01, 2009

Lajunya PUASA !


Cepat, laju, deras, pantas, pecut ...


Terasa baru semalam kita mula berpuasa. Hari ini sudah masuk hari ke 10 kita menjalani ibadah puasa. Terasa seperti tidak terasa yang kita sudah berpuasa selama 10 hari. Ada ketikanya terasa seperti bermimpi.


Telah 10 hari kita menahan LAPAR dan DAHAGA di siang hari sepanjang bulan Ramadan.


Yang pasti kita sudahpun berada didalam apa yang disebut oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W, "Umat akhir zaman."


Berjaga - jagalah. Bersiap siagalah. Berwaspadalah.


Tingkatkan amalan. Perbanyakkan menimba ilmu. Lakukan dengan ikhlas. Sentiasa beristighfar. Upayakan diri untuk terus menerus berselawat ke atas Nabi Muhammad dan Ahlul Baitnya.


Pandang keliling, adakah kita telah melaksanakan - Hablum minaAllah DAN Hablum minannas.


Apakah kita sudah melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawab kepada 40 buah rumah, sekeliling kediaman kita ? Kerana ini adalah suruhan dan sunnah Nabi.


Setakat ini, aku memohon dan merayu kepada pengunjung blog ini. Selain dari melakukan segala amalan yang mulia di bulan Ramadan ini. Ada satu perbuatan paling tercela dan terkutuk yang sering dilakukan dan kita seolah - olah terlupa untuk menghentikannya iaitu perbuatan - MENGUMPAT, MENCACI MAKI, MENGATA DAN MEMFITNAH.


TOLONGLAH HENTIKAN PERBUATAN SEDEMIKIAN !


Hasil dari pembacaan buku, menadah kitab dihadapan para guru yang mursyid. Aku dapati bahawa perbuatan itu adalah paling keji disisi agama. Balasannya amat perit dan maha dahsyat di akhirat kelak.


Bak kata Rasulullah, jalan terbaik ialah - "DIAM."