
Dahulu Al Arqam.
Sekarang Aku.
Aku pasti ramai yang masih ingat, satu ketika dahulu, ahli - ahli jemaah Al Arqam, khususnya kalangan remaja. Mereka membawa kitab - kitab dan majalah karangan dan terbitan kumpulan Al Arqam. Mereka mendekati orang ramai dengan senyuman dan penuh hikmah. Terlihat wajah - wajah suci mereka, yang berusaha tanpa mengenal penat lelah.
Walau dicaci, walau dibenci, walau dihina, walau diherdik. Namun mereka tetap ISTIQAMAH.
Kini, perkara yang sama aku lakukan. Demi untuk menyara keluarga. Aku menjual kitab Terjemahan Muqaddam JUZ AMMA. Pelbagai cara aku lakukan. Pelbagai teknik aku jalankan. Pelbagai gaya aku corakkan.
Satu ketika, sewaktu aku sedang menyantuni seorang lelaki. Didalam sebuah restoran. Lelaki itu buat tidak endah. Dengan senyuman lelaki itu menggelengkan kepala. Dan aku ucapkan terima kasih dan terus beredar dari situ. Tidak manis untuk mengganggu pelanggan yang sedang menjamu selera.
Aku langsung keluar dari restoran itu. Menuju kearah yang aku sendiri tidak tahu. Hanya berjalan mengikut 'kata kaki.' Tiba - tiba seorang menepuk bahuku dari belakang. Rupanya lelaki yang aku tegur tadi.
Terus sahaja ditanya oleh lelaki itu. "Saudara sudah makan?" Aku hanya menggelengkan kepala. Lalu diajak oleh lelaki itu untuk makan bersamanya. Tetapi aku mengucapkan terima kasih sahaja. Aku katakan bahawa aku perlu menjual kitab ini terlebih dahulu. Supaya aku dapat membeli makanan untuk keluarga aku dirumah.
Lelaki itu hanya menganggukkan kepala. Lalu dia bertanya lagi "Saudara sudah solat Dhuha?" Dengan senyuman aku berkata "Alhamdulillah".
"Saya hendak minta tolong boleh?" Soal lelaki itu. "InsyaAllah, saya akan membantu dengan izin dari NYA" Aku menjawab dengan nada yang begitu lemah.
Lantas si lelaki ini menghulurkan wang kertas sebanyak RM100. Dan meninggalkan pesan. "Saudara tinggalkan kitab itu didalam Masjid, dan bakinya saudara ambil.' Si lelaki itu terus sahaja berlalu pergi. Dan menghilangkan diri.
Aku tidak sempat untuk berkata apa - apa lagi. Bila aku melihat sekeliling. Tidak kelihatan kelibat lelaki itu.