
Telah berakhirnya Syawal 1432 hijriah.
Masih  segar dalam ingatanku, peristiwa yang berlaku pada tahun 2006. Ya, 5  tahun yang lalu. Bagaimana kisah seorang bapa kepada 3 orang anak mati  akibat dibelasah oleh orang kampongnya sendiri. Kejadian bukannya  berlaku dikota London, New York ataupun di  Madras,  tetapi di Rantau  Panjang, Klang, Selangor.
Mangsa atau bapa kepada 3  orang anak itu dibelasah kerana mencuri atau meragut beg tangan seorang  wanita.  Tujuannya mencuri adalah untuk membeli beras dan susu untuk  anak - anaknya yang sedang kelaparan. Dimana mangsa telah hilang  pekerjaan berbulan lamanya dan tidak mempunyai sumber pendapatan.
Dan  perkara ini menjadi perbualan hangat didalam pejabat aku diwaktu itu.   Hingga ada usaha mengumpulkan bantuan bagi membantu keluarga mangsa  diwaktu itu.
Kini,  aku telah dapat merasakan  perkara yang sama. Kehidupan aku semakin hari semakin terdesak dan  mendesak. Akibat hilang pekerjaan. Kalau pemuda itu hilang pekerjaan  dalam tempoh berbulan lamanya. Aku pula telah mengalami tekanan akibat  hilang pekerjaan selama 3 tahun.
Aku telah  usahakan pelbagai cara dan kaedah. Namun, semuanya masih belum  menampakkan sebarang kejayaan. Aku telah mengirimkan ratusan resume  kepada ratusan syarikat dan telah menghadiri ratusan temuduga. Tidak ada  langsung sinar kejayaan.
 
"Jangan putus asa, buat  bisnes walaupun kecil."  Bisik beberapa orang teman.  Ya, aku usahakan  dengan segala kudrat dan idea.  Dengan bermodalkan RM50, baki wang  simpanan dalam bank.  Aku nekad berusaha. Namun, usaha ini juga langsung  tidak menampakkan sebarang tanda untuk berjaya.
Sejujurnya,  kami hidup dengan hasil pendapatan isteriku sebagai guru KAFA, dengan  gaji bersih tidak sampai RM1,200 sebulan - Lokasinya di KLANG,  Bandar  Di Raja Selangor.
Aku cabar jika ada sesiapa yang  sanggup dan mampu untuk hidup dengan hasil sebanyak itu dan menyara  kehidupan seramai 7 orang ahli keluarga yang sedang membesar.
Ada  juga suara yang lunak.  "Perbanyakkan bersabar dengan ujian tuhan."   Memang aku banyak bersabar. Kalau aku tidak bersabar, aku yakin akan  berlaku peristiwa seperti pemuda yang mati dibelasah itu berulang pula  sekali lagi.
 
Aku menjawab dengan tenang.  "Agaknya, bolehkah kita MEMBAYAR segala bil bulanan dengan AIR LIUR?"
 
"Eh,  mana boleh bayar bil dengan AIR LIUR,  sudah hilang akal,  tidak pernah  dibuat orang!"  Habis tu, kalau tak ada pekerjaan maknanya tidak ada  duit,  kalau tidak ada duit,  mana mungkin kita nak bayar bil atau  membeli makanan ?  Jadi,  siapakah yang boleh bersabar ?
Aku bukannya hendak menjadi peminta sedakah.  Aku masih ada anggota tubuh badan yang cukup dan minda yang waras.
Kalau  tidak waras,  mana mungkin aku berupaya menghadiri ratusan temuduga ?   Yang ada ketikanya, soalan temuduga itu menghampir 1 jam dengan lebih 30  soalan. Dan ada ketikanya soalan itu seperti tidak masuk akal. Namun,  aku tetap sabar menjawabnya.
Dalam usaha untuk  mencari pekerjaan ini. Semua tempat aku telah jejaki.  Cuma, 3 tempat  sahaja yang aku belum cuba nasib - Kilang Arak. Kedai Nombor Ramalan.  Pusat Penternakan Babi.
Aku sedar satu perkara  sewaktu menghadiri temuduga.  Jika kita tidak ada 'orang dalam'  atau   'kabel'  maka kita mesti berusaha lebih dari 100 %.  Dimana, aku  mempunyai pengalaman,  bila dibeberapa lokasi.  Aku dan beberapa orang  telah menghadiri temuduga. Dan aku gagal dalam usaha itu.  Namun,  terdapat insan yang dapat bekerja didalam syarikat itu. Bila disiasat,   aku dapati insan yang bertuah itu ada 'orang dalam'  yang mengambilnya  bekerja.  Aku tak kisah,  itu rezeki dia.
Inilah  episod sejarah hitam gelumat dalam hidupku.  Aku TIADA KABEL ataupun  ORANG DALAM.  Maka nasibku terus bergelumang dalam kegelapan.
"Ya  sheikh, perbanyakkan solat hajat, solat dhuha, perbanyakkan sedekah,  rajinkan diri bangun malam."  Itulah nasihat dari beberapa orang ulamak  besar lagi hebat ! 
Ulamak ini memberikan nasihat  dengan begitu bergaya sambil menikmati juadah yang terhidang.  Namun,  langsung tidak terlintas difikirannya untuk menjemput aku menikmati  secebis makanan bersama. Sedangkan diwaktu itu aku sedang kelaparan,   aku sedang kebuluran. Perut aku sedang sakit akibat tidak mendapat  makanan kerana menahan kelaparan.
Ayat yang aku  tulis bak orang yang semakin nipis keimanan. Betul, aku rasakan bahawa  aku sudah hilang keimanan.  Terpulang kepada pembaca untuk menilai dari  satu sudut.
Untuk memohon bantuan. Aku berusaha  dengan pelbagai cara. Yang penting - usaha.  Maka, aku sudah masuk ke  Pejabat Mesra Rakyat - BARISAN NASIONAL. Aku telah menjejakkan kaki ke -  MARKAZ PAS.  Dan aku juga telah masuk menerjah ke - PEJABAT KHIDMAT DUN  DAP.  Ironi sungguh.  Staff BN dan PAS langsung tiada perasaan untuk  membantu sesama muslim. "Kami harap saudara banyak bersabar."  Itu  sahaja, sekadar secebis nasihat. Berbeza sewaktu aku menerjah pejabat  DAP.  Dimana staffnya mendengar dengan penuh minat apa yang aku  luahkan.  Dan mereka membantu dengan sedikit bantuan material. 
Benar  apa yang disabdakan oleh NABI KITA.  -  Kefakiran itu menghampiri  KEKUFURAN. Aku telah dapat merasainya. Cuma, aku belum mempunyai  keberanian untuk mencuri atau merompak. Tetapi, jika keadaan sudah tidak  terkawal. Aku sudah tidak mampu untuk berfikir lebih jauh dan rasional.
Ada  ketikanya aku sudah mula merasai diri aku sudah mula menjauhi solat,  zikir dan membaca Al Quran.  Akibat sibuk dengan usaha untuk mencari  kerja, untuk mencari nafkah hidup. Apatah lagi bila memandang kaum lain  yang berupaya mengecapi kesenangan dan kemewahan hidup. Aku bukannya  tamak.  Aku hanya mahukan kehidupan yang sederhana.
Sungguh  aku sudah tidak mengharap apa apa dari sanak saudara.  Setiap kali aku  meminta simpati untuk tolong mencarikan kerja,  maka jawapan yang aku  sudah duga ialah  - "eh, kesiannya, dah lama tak kerja?"  itu sahaja  yang mereka sebut. NOKTAH ! Tiada langsung tindakan susulan.
Teringat  kata kata seorang pesakit yang retak tempurung kepala akibat dilontar  dengan batu.  "Hanya mereka yang kena lontar batu sahaja yang tahu  sakitnya akibat kena batu dikepala."  Orang yang melihat dan mendengar  tidak akan dapat tahu dan merasai SAKITNYA SAKIT YANG SEBENAR.
Selepas  membaca posting ini. Terpulang kepada pembaca untuk melakukan sebarang  tindakan. Cuma jangan dibuat laporan Polis sudahlah. Manalah tahu, jika  ada yang beranggapan aku akan melakukan rompakan. Yang pasti aku tiada  senjata yang merbahaya.
*****
Pertama - Jika menyampah dan tidak ada hati untuk menolong. BUANG atau PADAM atau LUPAKAN sahaja mesej ini.
*****
Kedua  - Jika ada secebis atau sebesar kuman hasrat hati untuk menolong. Maka,  jika ada sebarang kekosongan jawatan (dialam kawasan Klang, Pelabuhan  Klang ataupun Shah Alam). Harap maklumkan kepada aku.
*****
Ketiga - Jika ada sesiapa yang sanggup membantu. Dan ANDA adalah BOS disyarikat ANDA. Maka permudahkanlah usaha ini.
*****
Keempat  - Jika ada terlihat atau terdengar ada kerja kosong. Dan anda berupaya  untuk menjdai 'orang dalam' atau 'kabel'. Maka, ini memudahkan usaha  hamba ini.
*****
Kelima - Sekadar mengingatkan kepada sesama  saudara muslim. Aku tidak ada kemampuan untuk membalas jasa insan yang  membantu kami,  hanya doa sahaja yang mampu aku panjatkan.  Cuma  teringat kepada sebuah hadith - "Barangsiapa diantara kamu yang membantu  urusan saudara kamu, maka Allah akan mempermudahkan urusanmu diakhirat  kelak."
*****
Wallahu'aklam.